18 Feb 2009

Zambry dilarang hadir DUN 18 bulan, 6 Exco 12 bulan

Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir digantung sertamerta dan dilarang daripada menghadiri sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selama 18 bulan.

Sementara enam Anggota Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri digantung selama 12 bulan daripada menghadiri sesi DUN juga berkuatkuasa hari ini.

Speaker DUN Perak V. Sivakumar mengumumkan keputusan itu selepas Zambry dan enam Exco berkenaan tampil di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN di sini hari ini.

Kesemua tujuh Adun BN itu sebelum ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

Sivakumar berkata setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry (Adun Pangkor), Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

"Keputusan ini diambil selepas mendapati kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan hari ini.

"Mereka telah gagal menawarkan sebarang penjelasan atas tindakan mereka yang menghina Dewan Undangan Negeri," kata Sivakumar dalam satu kenyataan akhbar empat perenggan di sini lewat petang ini.

Selain Sivakumar, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dianggotai Husin Din (Pas-Selingsing), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (DAP-Kepayang) dan Sum Chok Leng (DAP-Bercham), manakala wakil tunggal Barisan Nasional (BN) ialah Datuk Hasbullah Osman (Temenggor).

Sebelum itu, kesemua tujuh Adun terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan pada pukul 3 petang di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Zambry dan enam Exco itu yang dilihat keluar dari bilik mesyuarat itu pada kira-kira 3.30 petang enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita yang menunggu.

Sementara itu, Zambry Abdul Kadir berkata beliau dan enam Exco kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan mengikut peraturan dan undang-undang berhubung tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang menggantung dan melarang mereka daripada menghadiri sesi DUN.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan apakah tindakan susulan itu.

Zambry berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar tidak boleh membuat keputusan itu dengan sewenang-wenangnya tetapi sebaliknya perlu membawanya ke sidang DUN terlebih dahulu.

"Keputusan jawatankuasa itu juga adalah menidakkan kuasa Sultan Perak yang membuat pelantikan Menteri Besar dan barisan Exco berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Katanya tindakan jawatankuasa berkenaan juga adalah subjudis memandangkan isu pelantikan beliau sebagai Menteri Besar telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ingin mencabar kesahihan pelantikan berkenaan. Menteri Besar berkata Sivakumar juga telah melakukan satu penipuan yang besar apabila mendakwa di dalam kenyataan akhbarnya hari ini bahawa Zambry dan enam Exco berkenaan telah gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan petang tadi.

Menurut Zambry, beliau dan Exco berkenaan telah memberikan penjelasan kepada jawatankuasa tersebut dan turut mengemukakan bantahan awal dengan mengemukakan sebab-sebab mengapa beliau dan enam exco berkenaan tidak boleh dikenakan tindakan terhadap pertuduhan yang dikenakan.

"Oleh itu dakwaan Speaker bahawa kami telah gagal menawarkan sebarang penjelasan merupakan satu penipuan paling serius yang dilakukan oleh seorang speaker," katanya. BERNAMA

.

Hubungan Sultan - Rakyat : Hanya Pilihanraya Jawapannya

Hubungan pihak Istana Perak dengan rakyat Perak tiba-tiba menjadi semakin tegang dan renggang ekoran dari episod kemelut politik Perak yang telah menyaksikan satu rampasan kuasa paling jijik di dalam sejaran negara.

Tidak sukar untuk menuding jari siapa penyebabkany kerana semua rakyat negara ini mengetahuinya kerana masing-masing mengikuti perkembangan kemelut ini sejak dari detik permulaan ia berlaku.

Dan apabila terjadi rampasan kuasa yang menobatkan Zambry Abd Kadir sebagai menteri Besar bagi sebuah kerajaan BN yang tidak dibentuk melalui sistem pemilihan oleh rakyat, tetapi sekadar penonjolan dari "orang yang tamak kuasa" serta mendapat perkenan pula dari pihak Istana, rakyat Perak hampa dan kecewa.

ADUN-ADUN yang melompat yang pada awalnya begitu ceria di waktu pengumuman oleh di perampas kuasa, tiba-tiba kini mendapati diri mereka menjadi sasaran penghinaan penduduk dan pengundi mereka sendiri menjadikan mereka sebagai manusia yang sudah tidak mempunyai nilai harga diri - satu trauma yang tak pernah dialami di sepanjang hidup mereka dan seluruh keluarga mereka kini menjadi sasaran kutukan dan hinaan yang tiada tara dasyatnya.

"Khianat" - satu perkataan setajam sembilu tetapi yang teramat tepat menjelaskan sikap mereka yang melompat.

Berdasarkan perkembangan yang ada, tidak mungkin mereka dapat bertahan lebih lama di kerusi yang mereka duduki kini, kerana segala-galanya sudah tidak bererti lagi apabila singgah di warung kopi pun mereka "terasa sendiri" yang diri mereka diejek oleh makhluk-makhluk sekeliling.

"Hey bedebah", "hoi pengkhianat", "manusia hipokrit" dan pelbagai panggilan jelek terngiang-ngiang di telinga mereka - tiada siapa yang menjerit begitu tetapi ia datang dari hati mereka sendiri - sebagai hukuman terhadap apa yang mereka telah lakukan.

Bagi istana, yang menjadi kegusaran baginda satu ketika dulu tetiba kini persis menjadi nyata.

Raja Nazrin pernah bertitah:

Islam juga telah membawa Raja Melayu kepada dua konsep murni, adil dan muafakat. Konsep adil dapat dibuat tafsiran lanjutan kepada perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan 'magna carta' orang Melayu. Konsep keadilan politik Melayu dibayangkan oleh kata-kata 'Raja adil Raja disembah - Raja zalim Raja di-sanggah'. Konsep taat setia rakyat kepada Raja tidak bererti bahawa Raja boleh melakukan apa sahaja menurut sesuka hati. Konsep muafakat menekankan kepada semangat bermesyuarah.

Titah itu tiba-tiba menjadi batu ujian pula kepada takhta yang baginda sendiri apabila tidak menjangka sudah ada jebat-jebat yang tidak lagi khuatir untuk dihukum sula.

Dengan senario yang ada, hanya ada satu jalan yang boleh menjembatani semula hati rakyat kepada pihak istana - itulah pilihanraya.

Jika tidak hubungan mesra yang terpupuk selama ini akan terus mencuka.


Kes "MB vs MB" Ditetapkan Isnin

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan Isnin ini bagi sebutan untuk mempertimbangkan tiga isu yang dibangkitkan pada hari pertama prosiding undang-undang yang difailkan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mencabar pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Tiga isu itu ialah sama ada
1)Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof patut menarik diri daripada mendengar saman itu,
2)kes itu patut dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan daripada segi persoalan undang-undang
3)mengenai kedudukan Penasihat Undang-undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid untuk mewakili Dr Zambry dalam saman itu.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini selepas Mohammad Nizar memfailkan saman itu Jumaat lepas.

Hadir di mahkamah ialah Mohammad Nizar, yang diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai Sulaiman Abdullah.

Bantahan Sulaiman berasaskan fakta bahawa Zambry disaman pada kapasiti peribadinya dan bukan sebagai MB Perak dan oleh itu tidak berhak untuk menggunakan hak kerajaan megeri termasuklah Penasihat Undang-undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Dr Zambry diwakili oleh Ahmad Kamal manakala See mewakili Pejabat Peguam Negara dan Datuk Mohd Hafarizam Harun adalah peguam pemerhati bagi Umno.

Mohammad Nizar memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah dan bagi injunksi untuk menghalang Dr Zambry atau ejennya daripada menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Besar.

Video akan menyusul.

Ahli Parlimen Bidas Menteri & Timbalannya

Dewan Rakyat digemparkan dengan gelagat menteri dan timbalannya yang lansung tidak ambil peduli untuk menghadirkan diri di sidang Dewan Rakyat pada pagi ini.

Ahli Parlimen BN Seri Gading, YB Datuk Mohamad Haji Aziz membidas sikap menteri dan timbalan-timbalan menteri yang tidak memandang penting perbahasan ahli parlimen terhadap menjunjung kasih titah ucapan Yang di Pertuan Agong.

Hanya seorang sahaja Timbalan Menteri yang hadir pagi ini sementara menteri-menteri dan timbalannya yang lain membiarkan kerusi mereka di dewan rakyat kosong.

Sikap menteri-menteri dan timbalan menteri berkenaan jelas tidak menghormati Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan juga menyelar sikap tidak ambil peduli menteri dan timbalannya yang katanya menyebabkan Barisan Nasional kalah di dalam pilihanraya.

Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, YB Mahfuz Omar sambil menyindir bahawa menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir di persidangan Dewan Rakyat kerana sibuk dengan urusan lain terutama untuk mendapatkan sokongan kerana terlibat di dalam pemilihan (UMNO) yang bakal menjelang.

Perbahasan mengenai hal ini juga turut mengundang Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, YB Abdul Wahid Endut yang bangun buat julung kali dengan menyatakan bahawa seorang timbalan menteri baru ditewaskan di Kuala Terengganu.

Beliau menambah di dalam pilihanraya akan datang Pakatan Rakyat akan "kerjakan" semua menteri dan timbalannya, tegasnya semasa melahirkan kehampaannya dengan melihat ketidak-hadiran tidak ada seorang pun menteri kabinet di Dewan Rakyat kali ini.



Khir Toyo Disaman MB Selangor

Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini memfailkan dua saman terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Saman tersebut difailkan oleh peguam plaintif, S.N. Nair pada pukul 12.15 tengah hari.

Kedua-dua saman tersebut dibuat berhubung perkataan yang didakwa memfitnah Abdul Khalid seperti yang disiarkan dalam laporan akhbar mengenai pembelian 46 ekor lembu korban dan 15 kereta Toyota Camry.

Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif tidak menyatakan berapakah jumlah pampasan yang diminta dan sebaliknya memohon mahkamah memutuskan jumlah ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Selain itu, plaintif memohon injunksi untuk menegah Mohd. Khir yang juga merupakan defendan daripada melafaz, bercakap, menulis atau menerbitkan artikel yang memfitnahnya.

Awal tahun ini Khir mendedahkan yang beliau mempunyai salinan minit mesyuarat bertarikh 28 November tahun lepas yang disahkan Menteri Besar yang mengarahkan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNs), Selangor Incorporated Corporation (SIC) membiayai RM110,400 untuk pembelian 46 ekor lembu bagi ibadah korban dan peruntukan itu perlu ditanggung anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

Bekas Menteri Besar Selangor itu juga mendakwa mempunyai resit pembayaran bagi lembu berkenaan berjumlah RM110,400 bertarikh 16 Disember dan memberitahu kesemua bukti itu telah diposkan kepadanya.

Ditanya sejauh mana kebenaran dakwaan Dr. Mohamad Khir itu, Abdul Khalid berkata: "(Dakwaan) Tidak berapa betul kerana saya hanya beri senarai surau di Bandar Tun Razak apabila PKNS putuskan untuk serah lembu di kawasan itu setelah mendermakan lembu di seluruh kawasan Selangor."

"PKNS dan anak syarikatnya hanya menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya sahaja," kata beliau.

Khalid pada 4 Feb 2009 telah menyerahkan surat tuntutan kepada Khir Toyo supaya beliau memohon maaf dan menarik balik pernyataan fitnah yang dibuatnya.

Khalid telah menyerahkan surat tuntutan itu melalui firma guaman Sankara Narayanan Nair & Partners.

Sankara Nair berkata, surat tuntutan itu dibuat berdasarkan arahan anak guamnya yang mahukan Mohd. Khir menarik balik kenyataan yang telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia, 23 Januari lalu berkaitan salah guna wang kerajaan negeri membeli 46 ekor lembu korban.

Satu lagi notis tuntutan dibuat berdasarkan laporan News Straits Times 15 Januari lalu yang bertajuk Lexus is my own, says Khalid.

'Kedua-dua artikel yang diterbitkan itu telah mencemarkan imej anak guam saya yang terbukti bahawa kenyataan Khir Toyo adalah berbaur hasutan dan surat tuntutan telah dihantar kepadanya supaya menarik balik segala tohmahan dalam masa tujuh hari," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Sankara Nair memberitahu, anak guamnya hanya mahukan Mohd. Khir menarik balik dan memohon maaf di atas kenyataannya di dalam kedua-dua akhbar tersebut secara terbuka.

Beliau berkata, arahan daripada anak guamnya itu hanya mahukan bekas Menteri Besar Selangor bertanggungjawab di atas kenyataan tersebut selain membersihkan dirinya daripada tuduhan yang tidak berasas.

"Kita memberi tempoh kepada Mohd. Khir untuk menarik balik dan memohon maaf dan jika beliau enggan berbuat demikian kita akan meneruskan saman terhadapnya," ujarnya.

Dan hari ini apabila surat tuntutan itu tidak diindahkan, maka saman ke atas Khir diteruskan.

Gambar Terhangat Di Pasaran

Mungkin gambar ini menjadi penyebab kepada apa yang dikatakan "kemelut Elizabeth Wong".

Gambar foto separuh bogel yang dirakam sewaktu beliau sedang tidur yang tiba-tiba tersebar begitu cepat di era digital ini yang tiba-tiba menjadi punca kejatuhan seorang pemimpin.

Gambar itu sendiri pada hemat GB tidaklah begitu menghairankan kerana di internet ini sudah ada gambar yang lebih hebat dan dasyat daripada itu.

Apatah lagi ianya tidak mendapat keizinan dari tuannya. Ini bererti sesiapa yang teraniya di mana gambarnya sedang mandi atau tidur automatik ia mesti dihukum, kalau berdasar logik dua bekas MB Selangor yang perasan sangat dia dah cukup bermoral.


Cuma yang menjadikan ia begitu laris, ia tentang seorang tokoh politik seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

Blog national-express menyifatkan laporan Malay Mail yang mendedahkan kes tersebut sebagai satu contoh kewartawanan longkang apabila foto perempuan yang tidak ada kena-mengena berita berkenaan diselitkan bersebelahan dengan berita tersebut.

Dan hal yang sama dilakukan oleh sebuah akhbar online, agendadaily, yang wartawannya adalah bekas mereka yang terbiasa dengan kerja-kerja fitnah di sebuah syarikat akhbar bernama Utusan, yang sering menimbulkan isu perkauman sempit yang dimurkai oleh Sultan Mizan di dalam titahnya semalam yang tanpa mengenal batas etika asalkan saja ia boleh popular dengan menjadikan ia sebagai isu untuk menjatuhkan pemimpin Pakatan Rakyat. Gambar sebegini pun boleh dijadikan modal oleh mereka yang bangkrap idea dan bangkrap isu.


Kalau pemimpin UMNO rasanya mereka tidak begitu hairan dan banyak pula justifikasi yang akan diberikan bila berkeadaan begitu.


Bagaimana kalau di atas adalah pemimpin Pakatan Rakyat?
Tentunya dah macam nak kiamat dilakukan media massa arus perdana


Mungkin agaknya lebih berfaedah untuk mendedahkan gambar "misteri" yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia tentang MPV Proton bernama Exora yang bakal berada di pasaran pada bulan April nanti yang harganya di bawah RM80,000 dan didatangkan dengan lima warna berbeza.




Atau setidak-tidaknya untuk meringankan kepala tengok gambar-gambar yang boleh menghilangkan sedikit ketegangan mental seperti ini:




Kalau tak suka sangat dengan gambar di atas di atas alasan ia boleh membnangkitkan rasa syahwat melulu terutama untuk mereka yang terlalu sensitif keberahiannya, maka boleh gantikan dengan melihat gambar ini yang sepastinya membangkitkan pula rasa kemanusian yang tinggi malah mampu menitiskan airmata.


Atau mengkaji dengan lebih jauh sedikit bagaimana dunia digital mampu "merubah" sesuatu wajah kehidupan.

Untuk tujuan itu kena belajar dari pakar di sini , yang penting jangan selama-lamanya hanya menjadi penonton pasif yang hanya pandai mengguna dan menerima tetapi hendaklah berusaha menjadi manusia yang kreatif, aktif dan rajin memberi. Tuntutlah ilmu dari buaian sehingga liang lahad, kita tidak akan rugi.

Mufti Perak Patut Salahkan UMNO

Siapa yang bersalah sekiranya Mufti Perak Dato Seri Dr Harussani Zakaria dimaki, bukankah itu semua gara-gara Umno yang khianat dan mempergunakan Mufti?

Siapa yang tidak hormatkan instituti Mufti kalau bukan Umno yang tidak mahu mendengar fatwa dan nasihat mufti, bukankah Malaysia mempunyai rekod mufti paling ramai dalam dunia, tak cukup setiap negeri satu mufti siap dengan timbalannya pula tu.

Terkini Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kononnya kecewa apabila Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dijadikan bahan cercaan dan makian oleh penyokong pembangkang di Internet.

Tidak cukup dengan itu beliau juga kesal instituti raja juga dihina sedangkan apa yang beliau katakan semuanya terbalik dan berbalik kepada Umno yang mempergunakan sultan, pegawai istana, pegawai kerajaan negeri dan tidak tertinggal mufti.

Kami dari Pakatan Rakyat tidak bermusuh dengan instituti mufti, malah kita mengangkat dan menghormati mufti selaku penasihat sultan dan tempat rujukan hukum dan fatwa disaat rakyat memerlukan pedoman dan panduan.

Siapa yang mengenali Mufti Perak ini secara lebih dekat, jelas sebenarnya beliau sangat sayangkan perpaduan dalam Islam, beliau secara diam sebenarnya menyokong apa yang PAS lakukan selama ini termasuklah simpati dengan kezaliman yang dikenakan keatas Dato Seri Anwar Ibrahim satu ketika dahulu.

Pastinya apa yang berlaku sekarang adalah momokan dan sandiwara Umno yang mengambil kesempatan kononnya hendak mengekalkan hagemoni kuasa kononnya kalau melayu mestilah Islam walhal selama ini Mufti Perak ini ditipu oleh pemimpin-pemimpin Umno sepertilah buat alim depan mufti, dibelakang mufti pula apa maksiat yang pemimpin Umno tak buat.

Diceritakan dalam pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat Perak sebelas bulan yang lalu, Mufti Perak ini disuruh memujuk adun-adun PAS untuk membentuk kerajaan campuran dengan Umno.

Paling malang Mufti Perak baru-baru ini, membuat kenyataan tentang kewajipan taat kepada pemimpin yang akhirnya kenyataan beliau itu ditegur oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato Dr Harun Din sebenarnya pemimpin yang macam mana kita perlu taat.

Kini sudah tiba masanya, pimpinan PAS menghantar wakilnya untuk duduk bermuzakarah dengan Mufti Perak untuk menerangkan apakah sebenarnya perjuangan gerakan Islam dalam parti PAS bersama-sama Pakatan Rakyat dan paling penting menerangkan kejahatan Umno dan BN selama 51 tahun kita merdeka.

pasjohorbahru.com

Ulasan Berita Hangat 18 Feb 2009

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hari ini mendesak Elizabeth Wong untuk menimbang semula keputusannya meletakkan jawatannya sebagai ADUN dan EXCO kerajaan Negeri Selangor.

Wong menawarkan untuk melepaskan kedua-dua jawatan itu setelah beliau menjadi mangsa penyebaran gambar bogel yang diambil tanpa kebenarannya, ketika dia tidur.

Wong memberitahu sidang akhbar pagi tadi bahawa keputusan itu berpaksi kepada pendirian bahawa isu peribadinya tidak harus mendatangkan sebarang kekusutan kepada PKR.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong supaya bercuti bagi menenangkan fikiran berikutan insiden gambar bogelnya yang kini tersebar.

Anwar berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah memaklumkan kepada beliau bahawa Wong telah diminta bercuti berikutan tekanan yang diterima oleh exco Selangor itu terutama daripada beberapa laman web berhubung insiden tersebut.

Beliau mengecam taktik keji yang digunakan oleh pihak tertentu ke atas Elizabeth Wong sehingga memaksa beliau meletak jawatan sebagai EXCO kerajaan negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik keji yang digunakan ke atas beliau. Kita tertanya-tanya sekeji mana dalang ini sanggup menggunakan taktik tersebut,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia mengadakan pilihan raya kecil serentak di kerusi bernama "Bukit" - termasuk Bukit Lanjan di Selangor jika ada kekosongan.

Sambil tidak menolak kemungkinan itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya boleh mempertimbangkan pilihan raya kecil di ketiga-tiga kerusi Bukit Lanjan, Bukit Selambau dan Bukit Gantang serentak awal April ini.

"Kemungkinan itu ada jika wujud kekosongan... tetapi sehingga kini belum ada kekosongan (secara rasmi),"

BAHASA INGGERIS: GMP SERAH MEMORANDUM KEPADA HALI PARLIMEN

Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) (GMP) hari ini menyerahkan memorandum bantahan mereka terhadap pelaksanaan dasar PPSMI kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammmuddin Tun Hussein.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi gerakan itu, Datuk Dr, Hassan Ahmad di lobi Parlimen pagi ini.

Beliau turut menyerahkan memorandum tersebut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili ahli Parlimen pembangkang.

Seramai 20 ahli GMP berarak dari Tugu Negara pada pukul 9.30 pagi tadi ke bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, hanya 10 orang yang dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen pada pukul 10.15 pagi bagi menyerahkan memorandum itu.

Dalam sidang medianya, Hassan berkata, masalah PPSMI kini menjadi semakin serius sejak ia dilaksanakan enam tahun lalu.

NAJIB: UNJURAN EKONOMI MALAYSIA DIKAJI SEMULA

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 3.5 peratus pada tahun 2009 akan disemak semula berikutan kelembapan ekonomi dunia.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pakej rangsangan kedua yang bertujuan mengatasi masalah kelembapan ekonomi itu yang akan diumumkan pada 10 Mac ini akan menyediakan peruntukan lebih besar dan menyeluruh.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

TIGA TERMASUK DUA BERANAK MATI DITIKAM

Tiga termasuk dua beranak ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat beberapa kesan tikaman di rumah di Taman Tasik Permai, Ampang di sini, hari ini.

Lebih menyayat hati apabila mayat wanita itu ditemui dengan anak bongsunya yang berusia setahun, menangis sambil menggoncang tubuh ibunya yang tidak bernyawa itu.

Mereka yang terbunuh itu dikenali sebagai Nurhajahan, 39, dan anaknya Nurazizah, 7, serta saudara mereka Nasir, 22. Kesemua mereka adalah rakyat Myanmar dan pemegang status pelarian Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan, ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, berkata ketiga-tiga mayat itu ditemui oleh suami wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Mohamad Ali, berusia dalam lingkungan 40-an.