6 Jun 2010

Lesen Judi : Kita Perangi UMNO BN Habis-habisan!

Mana-mana orang Islam yang menghalalkan kegiatan judi wajib ditentang kerana telah melakukan jenayah kepada agama dan ummah, begitu kata Mufti Selangor Dato' Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Menurut Mufti Selangor ini, tiada logik dan alasan yang munasabah untuk membenarkan kegiatan judi berleluasa kerana semua pihak akui bahawa judi membawa mudarat, walaupun keuntungan dari jenayah judi itu digunakan untuk tujuan kebajikan.

TV Selangor menghubungi Dato’ Setia Utama Diraja Mufti Negeri Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Abd Wahid untuk meminta panduan berhubung permintaan hartawan kaya Vincent Tan supaya kerajaan Selangor menarik-balik sekatan keatas pertaruhan judi bolasepak, yang diberi kepadanya oleh kerajaan Pusat.

Vincent Tan memberi jaminan bahawa beliau akan mendermakan RM525 juta hasil judi kepada badan-badan kebajikan.

"Sepatutnya maknanya tidak ada satu agensi atau lebih-lebih lagi agensi kerajaan yang hendak menghalalkan judi bukan senang orang Islam. Sepatutnya orang Islam mematuhi peraturan ketika hidup di dunia sebagaimana yang dikatakan hadis Rasullullah S.A.W : orang Islam ini mesti patuh kepada syarat yang ditetapkan oleh peraturan Allah Subhanallahi Taala. Melainkan satu syarat dia tidak ikut ,kalau ini dilanggar maknanya memang boleh diperangi, contohnya menghalalkan benda yang haram atau mengharamkan benda yang halal, jadi jika seorang Islam yang menghalalkan judi kita boleh memerangi mereka".

Mufti Selangor menasihatkan orang-ramai supaya tidak terkeliru dengan pelbagai alasan yang diberi oleh penguasaha dan penyokong judi sukan ini.

"Sebenarnya hasil judi ini, itu sudah jelas, maknanya hukumnya tetap haram, maknanya hasil judi ni apa cara sekalipun memang ia adalah salah satu sumber yang dilarang oleh agama" .

"Di samping itu juga maknanya tidak ada dosa yang sehebat judi tu, kerana itu kita disuruh memerangi judi itu” tambah beliau lagi.


GMJ: Derma tidak akan menghalalkan judi

Janji hartawan Tan Sri Vincent Tan untuk 'menderma' kepada yayasannya adalah 'gula-gula' untuk cuba memujuk rakyat Malaysia supaya menerima sebagai halal apa yang mereka tahu memang haram, kata setiausaha Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ), Suhaizan Kaiat.

"Tan Sri Vincent Tan jangan fikir rakyat Malaysia termakan dengan gula-gula RM525 juta, yang ditabur atas nama kebajikan.

"Tidak ada rakyat yang hidup bahagia kaya raya hasil daripada judi kecuali syarikat judi sahaja yang kaya raya seperti beliau. Duit yang dikaitkan dengan judi tidak boleh membawa manusia hidup bahagia," kata Suhaizan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Tan - yang memiliki syarikat Ascot Sports yang mendapat lesen judi sukan - untuk menderma RM525 juta, hasil jualan Ascot kepada Berjaya Corps - konglomerat yang dikuasainya.

Tan dilaporkan berkata, sumbangan kepada Better Malaysia Foundation, yang menyediakan biasiswa dan bantuan perubatan, adalah untuk menolak dakwaan yang beliau meraih keuntungan daripada hasil jualan Ascot.

Suhaizan berkata, Tan seolah-olah cuba membayar segala tentangan rakyat Malaysia terhadap judi sukan dengan derma tersebut.

"Apalah maknanya dengan angka RM525 juta dibandingkan dengan kerosakan terhadap keluarga, masyarakat dan negara ekoran daripada kelulusan lesen judi sukan ini.

"Negara terpaksa membayar kerosakkan ini dengan nilai yang jauh lebih besar daripada derma yang akan disalurkan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, GMJ akan berkempen seluruh negara membantah lesen judi sukan sehingga lesen ini ditarik balik.

"Saya menasihatkan kepada Tan Sri Vincent Tan agar menyerahkan duit derma tersebut kepada pihak yang meluluskan lesen judi tersebut. Barangkali mereka memerlukan," tambahnya. -mk


BERSIH II : Bebaskan Pilihanraya Dari Cengkaman Kerajaan UMNO BN

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah mendesak kerajaan pemerintah mengkaji semula proses pilihan raya supaya ia bersifat bebas daripada cengkaman kerajaan atau berdepan protes dari rakyat.

Katanya, kegagalan sistem pilihan raya yang adil dan telus bakal mendorong Badan Bukan Kerajaan seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) terus-terusan mengenakan tekanan.

Pada pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu, pelbagai kecelaruan berlaku sepanjang proses asas demokrasi itu berlangsung, dipercayai sebagai usaha memenang Umno Barisan Nasional.

“Saya sokong cadangan itu kerana Bersih sudah mulakan tetapi Bersih kali ini dengan wadah yang lain sedikit.

"Dulu Bersih pertama diterajui oleh golongan ahli politik, sekarang cadangan bahawa imej bebas bagi meyakinkan sekitar rakyat yang lebih besar adalah lebih wajar pimpinan Bersih kedua ini adalah pimpinan dari NGO,” katanya.

Beliau percaya tekanan ini perlu bagi memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menyeleweng setiap kali pilihan raya.

“Jadi sekarang ini saya rasa mesti ada tuntutan utama usaha Bersih pada masa akan datang.

“Pilihan raya umum di Malaysia masih bukan pilihanraya bebas yang adil yang boleh diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ini jelas daripada PRU tidak menunjukkan political will untuk mengubah pendirian,” katanya.

Sivarasa turut meminta kerajaan pemerintah menimbangkan semula sistem pengundian pos yang tidak lagi tidak relevan.

“Satu lagi kelemahan besar dalam sistem pengundian ini ialah sistem undi pos yang harus dihapuskan," katanya.

Sebenarnya sistem undi pos ini jika di negara lain, hanya digunakan untuk pengundi di luar negara tetapi di negara kita sudah menjadi satu perkara kepastian di mana negara kita, pasangan tentera perlu mengundi, mengapa kita bezakan mereka?,” katanya.

TV Selangor difahamkan Dewan Pemuda PAS akan membahas usul supaya Gerakan Bersih II bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada muktamar parti ini, minggu depan.

Sibu Turut Bawa Harapan Untuk Rakyat Sabah Tukar Kerajaan

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata ahli Parlimen yang melompat dan meninggalkan KEADILAN sebagai anggota Bebas adalah individu yang mempunyai masalah peribadi dan kecewa serta tidak sanggup jatuh bangun bersama perjuangan parti.

Menurut Nurul Izzah mereka juga adalah daripada golongan pemimpin yang sanggup mengkhianati kepercayaan rakyat yang diberikan kepada mereka mewakili KEADILAN.

Justeru itu beliau menegaskan ketiadaan kelompok yang telah membelot ini dalam KEADILAN sebagai satu hikmah kepada semua ahli parti yang setia.

"Pada kami di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, untuk menukar kerajaan daripada Umno-Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat bukan suatu perkara yang sudah diduga, ia bagi kami adalah suatu yang luar biasa, diluar jangkaan tetapi kerana rakyat di negeri-negeri tersebut sudah muak dengan kerajaan Umno-BN maka perubahan pun dilakukan oleh rakyat sendiri dalam PRU ke-12 yang lalu," tegas Nurul Izzah pada majlis makan malam anjuran KEADILAN Cabang Putatan semalam.

Katanya, Pakatan Rakyat mempelajari daripada rakyat Sabah yang mempunyai pengalaman luas menukar kerajaan Usno-BN kepada Berjaya-BN dan kemudianya PBS dan kini Umno-BN.

"Tidak ada sebab mengapa rakyat tidak boleh tukar kerajaan Umno-BN kepada Pakatan Rakyat di Sabah kerana Umno-BN di Semenanjung dan Sabah sama sahaja jenamanya?" sindir Nurul Izzah sambil tersenyum.

Ahli parlimen muda itu menjelaskan pemimpin dalam Umno-BN kini berantakan sama sendiri dan akibatnya mereka sudah saling tidak percaya antara satu sama lain.

Malah kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga sering dipertikaikan oleh ahli Umno sendiri kerana pimpinannya tidak dinamik, ekonomi negara terus menjunam dan subsidi untuk rakyat bakal dihapuskan.

"Bahananya rakyat akan rasa dalam beberapa bulan lagi. Ketika itu rakyat akan tanya diri sendiri pada siapa yang perlu diundi kalau bukan Pakatan Rakyat?" kata beliau.

Seorang lagi tokoh politik muda, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia yang hadir pada majlis makan malam itu berkata Najib berbangga melaungkan bahawa Sabah dan Sarawak merupakan satu simpanan tetap atau 'fixed deposit' buat Umno-BN atas andaian walau tsunami politik hebat bergelora di Semenanjung, namun rakyat kedua negeri itu akan tetap berdiri teguh di belakang Umno-BN.

"Namun “tilikan” PM 1Malaysia nampaknya mulai kurang bersinar dengan kekalahan di pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini. Pada hal Sibu adalah kubu kuat Barisan Nasional yang didakwa sebagai "fixed deposit".

"Sikap angkuh Umno-BN memang merupakan satu tradisi turun-temurun walaupun mereka tahu bahtera Umno-BN kemegahan mereka sedang meniti hari-hari kiamatnya, hanya menunggu hari Umno-BN akan "lebur terkulai layu" sahaja. Namun untuk menyedapkan hati masing-masing, maka Umno-BN berusaha gigih mewar-warkan cerita dongeng yang Pakatan Rakyat sedang pecah-memecah pada hal kerosakan dalaman Umno-BN yang kian condong menyembah bumi," kata Nik Nazmi.

Turut hadir termasuk Ketua Cabang Putatan, Ahmad Sah Sahari yang berharap semangat Pakatan Rakyat mampu membawa perubahan politik yang sangat didambakan rakyat Sabah. -SK