13 Nov 2012

Di Negeri PM Sendiri (Pahang) Tak Cukup Bekalan Air, Nak Bekal Air Ke Selangor?


42 hari tanpa bekalan air

Temerloh - Seramai 250 penduduk Kampung Teris, dekat sini, mengalami masalah terputus bekalan air selama 42 hari.

Penduduk, Zulkifli Mahmud, 48, berkata, masalah tersebut sudah dilaporkan kepada pihak berkenaan namun hingga kini masalah paip pecah itu masih belum dibaiki.

Menurutnya, penduduk terutama yang tinggal di kawasan tinggi tidak mendapat bekalan air dan itu menimbulkan masalah kepada penduduk untuk mencuci pinggan mangkuk, membasuh pakaian, mandi, solat dan sebagainya.

“Air sungai pula jauh terletak kira-kira lima kilometer dan kami tidak akan mengambil air sungai itu kerana ia tercemar dengan aktiviti pertanian.

“Untuk mendapatkan bekalan air bersih kami beramai-ramai terpaksa berkongsi mengambil air di tiga perigi milik penduduk kampung ini. Itulah air yang selamat untuk kami gunakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Mohd Syuhadi Shamsuddin, 28, berkata, air di kawasan paip pecah itu terbiar begitu sahaja mengalir masuk ke dalam paya berdekatan tanpa dibaiki dan ia sangat membazir serta merugikan kerana penduduk tidak dapat menggunakan air bersih itu.

Menurutnya, apa yang lebih menimbulkan kemarahan penduduk apabila bil air mereka turut melambung kerana terpaksa menanggung kos air yang tidak digunakan mereka.

“Kampung ini kerap mengalami masalah paip pecah. Sebelum ini terdapat dua paip pecah dan pihak berkenaan membaiki salah satunya. Namun, paip di kawasan ini tidak dibaiki menyebabkan penduduk tidak dapat bekalan air yang sempurna,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Hashim Mahusin berkata, pihaknya sudah melaporkan masalah itu kepada pihak berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pihak berkenaan memberitahu mereka tidak dapat melepaskan air dalam tekanan yang kuat kerana akan berlaku banyak paip pecah.

“Kalau itu masalahnya sampai bila penduduk di sini akan terus mengalami masalah terputus bekalan air.

Saya juga sudah pergi ke pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Temerloh untuk melaporkan masalah itu.

“Kami di sini bukan membayar bil air tetapi bil angin. Ini kerana angin lebih banyak daripada air dan ia membebankan penduduk,” katanya.

PKNS Serang Balas Zaini Hassan & Utusan Malaysia


Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan nyata tertekan akibat fitnah yang dimainkan beliau sendiri menerusi lidah propaganda UMNO, Utusan Malaysia.

Fitnah demi fitnah yang ditaburkan menerusi pemesongan fakta bagi mempengaruhi kaum Melayu untuk berprasangka buruk terhadap Pakatan Rakyat dengan menggunakan agensi Kerajaan Negeri, PKNS, sebagai punching bag.

Sebagai sebuah agensi Kerajaan Negeri, PKNS, telah dipertanggungjawabkan untuk mengangkat martabat Melayu dan Bumiputra khususnya di Negeri Selangor.

Dalam masa empat tahun pemerintahan Pakatan Rakyat, PKNS telah berjaya menempatkan diri sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) terbaik di dalam negara berbanding dengan negeri-negeri lain dan dianugerahkan “Best SEDC” pada tahun 2011.

Ini dibuktikan dengan kemampuan PKNS untuk membayar zakat dan cukai kepada Lembaga Zakat, Kerajaan Negeri dan Pusat berjumlah hampir RM300 juta dalam masa tidak sampai empat tahun.

Namun begitu, Zaini Hassan dan Utusan Malaysia menutup mata dan telinga dan tidak memperakui pencapaian PKNS hasil daripada titik peluh dan keringat warga kerja PKNS yang 99% terdiri daripada orang Melayu.

PKNS telah mencatatkan keruntungan demi keuntungan hasil dari operasi yang bersandarkan tahap ketelusan dan akauntabliti yang tinggi dengan diperakui sendiri oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Transparency International.

Keuntungan sebanyak RM420 juta yang dicatat oleh PKNS pada tahun 2011 telah membolehkan PKNS untuk terus menerus melaksanakan tanggungjawab mereka dengan pembinaan rumah-rumah mampu milik bagi nikmat rakyat Negeri Selangor, amnya dan masyarakat Melayu dan Bumiputra, khasnya.

Di samping itu, warga kerja PKNS turut mendapat habuan bonus sebanyak 7 bulan pada tahun 2011, sesuatu yang hanya dapat dicapai oleh syarikat-syarikat swasta, GLC dan Multi National Company. Keuntungan PKNS dikongsi dengan warga kerja yang juga kaum Melayu dan Bumiputra.

Zaini dan Utusan tidak mahu orang awam untuk diberitahu mengenai projek-projek rakyat seperti pembinaan 12,000 unit rumah-rumah mampu milik di seluruh Negeri Selangor daripada 2008 sehingga 2020.

Zaini dan Utusan juga mahu menidakkan kebijaksanaan rakyat dengan memadamkan fakta bahawa 80% daripada pembeli rumah-rumah PKNS adalah terdiri dari kalangan orang Melayu.

Tidak cukup dengan perasaan hasad dengki, Zaini dan Utusan terus menerus memfitnah bahawa kononnya PKNS menyelamatkan hutang tokeh Cina tuanpunya Kumpulan Talam yang juga kroni UMNO sedangkan hakikat sebenarnya, PKNS tidak menggunakan satu sen pun daripada tabung dana PKNS bagi urusniaga Kerajaan Negeri untuk mengutip hutang bernilai RM392 juta daripada Kumpulan Talam.

Malah, PKNS mendapat yuran perkhidmatan sebanyak RM70,000 kerana bertindak sebagai Special Purpose Vehicle bagi Kerajaan Negeri mengutip hutang daripada Talam.

UMNO terus memutar belitkan fakta bagi mengaburi kejayaan Kerajaan Negeri Selangor mengutip kembali hutang berjumlah RM392 juta tersebut daripada Talam bagi manfaat rakyat Negeri Selangor.

Perkakas-perkakas UMNO menggunakan NGO-NGO yang tidak bermaruah seperti Sohaimi Shahadan menerusi GPRS, Azwanddin Hamzah menerusi JMM dan Hamidzun Khairuddin menerusi GAPS untuk menghasut rakyat bagi melakukan demo terhadap PKNS saban hari.

Azwanddin dan Hamidzun bertindak sebagai front-men Ezam Mohd Noor yang bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor dengan cuba membuktikan kepada Najib Razak bahawa tindakan mereka itu akan membolehkan UMNO kembali menguasai tampuk kepimpinan Negeri Selangor.

Tindakan mereka ini telah dilambung tinggi oleh Zaini dan Utusan yang kini terperangkap dengan fitnah rekaan mereka sendiri.

Tidak cukup dengan permainan politik jijik mereka, Zaini dan Utusan menambah lagi dosa fitnah mereka dengan mendakwa kononnya PKNS akan menjual aset-aset komersil mereka sedangkan PKNS hanya memindah milik aset-aset tersebut kepada anak syarikat milik penuh PKNS sendiri.

Terdesaknya Zaini dan Utusan untuk mencalarkan Pakatan Rakyat, mereka sanggup mempergunakan nama Istana dan mengheret Sultan Selangor bagi memajukan politik perkauman sempit mereka.

Apa yang telah mereka capai adalah untuk menabur pasir ke atas periuk nasi lebih 1,500 orang warga kerja sebuah institusi yang telah berjaya mengangkat martabat kaum Melayu dan Bumiputra serta seluruh rakyat Negeri Selangor.

Akibat daripada keceluparan Zaini dan Utusan, PKNS tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnah dan mencemarkan imej serta kredibiliti PKNS.

Jadi siapakah pejuang Melayu sebenarnya?

Penulis upahan seperti Zaini Hassan dengan alat propanda UMNO, Utusan Malaysia atau politikus upahan seperti Sohaimi, Azwanddin, Hamidzun dan Ezam ATAU sebuah institusi yang telah berjuang sepanjang 48 tahun untuk mengangkat kedudukan Melayu dan Bumiputra menerusi program-program pembangunan usahawan dan pembinaan rumah-rumah mampu milik untuk rakyat?

Siapa pula yang cuba untuk mencalarkan, menekan dan memfitnah institusi yang memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputra?

Jawapannya amat jelas, terang dan nyata.

Semoga Allah S.W.T. melindungi rakyat Negeri Selangor, kaum Melayu dan Bumiputra daripada dipengaruhi oleh fitnah-fitnah yang berleluasa akibat puak-puak desperado oportunis politik yang tidak bermaruah ini. –KLd

Tangisan Bayi Bongkar Kisah Remaja Tkn 4 Bersalin

Luluh hati seorang abang apabila adik perempuannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan, melahirkan seorang bayi di dalam bilik di rumah keluarga mereka di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, abang kepada remaja perempuan terbabit berkata, tangisan kuat yang didengari datangnya dari arah bilik adiknya itu mengejutkan dia dan seorang lagi adik lelakinya, sebelum kelahiran bayi itu disedari mereka.

Difahamkan, ketika pintu bilik dibuka, gadis berumur 16 tahun itu berada di lantai dalam bilik tidurnya dengan keadaan berlumuran darah manakala bayi tersebut pula berada di sisinya sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibu mereka.

Menurut si abang, dia kemudiannya meminta bantuan jiran terdekat untuk membawa adiknya itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan mendakwa melaporkan mengenai kejadian itu di balai polis berdekatan.

“Kami sekeluarga juga tidak mengesyaki dia hamil sebelum ini kerana tubuhnya agak besar berbanding rakan seusianya, malah saiz perutnya juga kelihatan seperti normal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSNZ Kuala Terengganu, semalam.

Abang remaja terbabit berkata, adik perempuannya dan bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan hanya keluarga mereka dibenarkan melawat, namun keadaan adik dan bayi itu sehingga tengah hari semalam dilaporkan stabil.

Anak sulung daripada tiga beradik itu juga memberitahu adiknya juga mengaku pernah dinodai seorang lelaki dikenali keluarga mereka pada Februari lalu, namun merahsiakan perkara itu sehinggalah melahirkan bayi berkenaan dalam bilik tidurnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi tengah hari semalam bagaimanapun tidak dapat mengesahkan mengenai perkara itu kerana masih belum menerima laporan terperinci. -SH

[Edisi Terdesak] Najib Perdaya Artis Untuk Tarik Sokongan Melalui YA1M

Pengacara, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman atau nama sebenar, Muhammad Hakim Lokman berkata, pelancaran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya untuk tarik sokongan golongan itu kepada BN.

Katanya, Umno terbukti semakin parah kerana sanggup menjanjikan habuan demi kepentingan politik.

“Ini janji tak ikhlas, kenapa baru sekarang nak bagi (perhatian) kepada artis.

Adakah kerana tiada penyokong, baru nak gunakan artis.

“Ini semua tindakan terdesak mereka. Selama ini siapa yang pandang artis, kami hanya digelar sebagai penghibur, tiada kepentingan,” tempelaknya.

Najib melancarkan YA1M itu semalam sebagai langkah menarik sokongan golongan seni yang semakin peka dengan isu politik kepada BN.

Dalam ucapannya, beliau berjanji kepada golongan seni menyokong kerajaan akan mendapat bantuan lebih banyak kelak jika BN meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Najib turut mengumumkan sumbangan RM2 juta kepada YA1M pada tahun ini dan RM3 juta pada tahun depan di samping akan menimbang untuk menyediakan skim perlindungan insurans kepada golongan seni.

“Kalau dah buat macam-macam, takkan artis tak boleh fikir, mesti ada muslihat di sebalik janji-janjinya. Kalau mereka (artis) waras, mereka tak akan sokong perkara ini. Kalau tak boleh baca lagi (muslihat Najib), maknanya mereka tak normal.

“Tapi kalau mereka tidak bermaruah, orang itu pastinya mudah ditipu,” tegasnya ketika dihubungi.

Antara artis yang telah menyertai parti politik ialah penyanyi dan pelakon kontroversi Abby Abadi yang mengumumkan penyertaan ke dalam PAS.

Selain Bob Lokman, terdapat beberapa artis lain yang menyertai Pakatan Rakyat antaranya pelakon Hairie Othman, penyanyi Dayangku Intan, Noryn Aziz dan Yatt Hamzah.

Sementara itu, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN, Tengku Intan Tengku Abd Hamid atau Dayangku Intan menyifatkan tindakan terdesak Najib itu kerana sedar beliau akan kalah dalam PRU 13 sehingga terpaksa bergantung kepada artis.

“Ini semua kerana mereka takut kalah PRU 13, baru mereka tahu bagaimana artis boleh mempengaruhi rakyat dengan hasil seni mereka.


“Kalau mahu bercakap mengenai royalti, perlindungan kepada artis, ini bukan perkara baru.

Sudah bertahun kita perjuangkan. Kenapa baru sekarang mahu jaga artis,” kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Semakin Rindu Semakin Sayang.

Kata artis veteran itu lagi, Umno sebenarnya ketandusan idea kerana terpaksa meniru apa yang dibuat Pakatan Rakyat.

“Kalau mahu tarik sokongan artis, Umno sebenarnya sudah terlambat kerana Pakatan lebih dahulu memahami artis.

“Semuanya ditiru, dari (jelajah) bas, sehinggalah beri peluang kepada artis ke pentas ceramah (Umno). Sudut ini pun kita boleh tengok Pakatan lebih dekat dengan artis,” ujarnya.

Selangor Beri Tempoh 14 Hari Tanggalkan Kamera AES


Kerajaan negeri Selangor akan memberi tempoh selama 14 hari kepada Kementerian Pengangkutan, bermula hari ini, untuk menurunkan dua kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang dipasang di negeri itu.

Anggota exco Ronnie Liu dalam laporan Nanyang Siang Pau berkata, pihak berkuasa setempat akan "membantu" menanggalkan kamera tersebut sekiranya kementerian gagal berbuat demikian.

Liu semalam dilaporkan berkata, pemasangan dua kamera tersebut di Kajang tidak mendapat kelulusan majlis perbandaran termpatan, seperti ditetapkan undang-undang.

Beliau seterusnya menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung dan Menteri Pengangkutan Datuk Ser Kong Cho Ha supaya merujuk Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Kerajaan Selangor (juga mengharamkan pelaksanaan) AES di negeri itu.. kerana sistem berkenaan mengandungi banyak kelemahan," katanya.

Selangor menjadi negeri pertama yang menentang AES dengan alasan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan gagal menjelaskan kelebihan sistem tersebut.

Niat Nurul Izzah Berdakwah Kepada Bukan Islam


Shah Alam - Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad mempertahankan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersabit kenyataannya dalam isu kebebasan beragama sebagai bertujuan untuk berdakwah kepada bukan Islam di negara ini.

Bagaimanapun menurut Khalid, kenyataan Nurul Izzah itu dijadikan bahan fitnah dan sengaja diputarbelitkan oleh pihak tertentu atas dasar kepentingan politik.

"Dia mengasaskan hujahnya kepada ayat 'La Iqra Haffidin' - tidak ada paksaan dalam agama.

"Forum dianjurkan di sebuah gereja. Maknanya dia pergi, latar belakangnya, hendak berdakwah, berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam, nak berdakwah menyatakan kepada orang bukan Islam, jangan takut pada Islam kalau ada pemerintahan yang berasaskan Islam sekali pun, soal kebebasan beragama dijamin dalam Islam. Itu konteksnya.

".... hilangkan ketakutan orang bukan Islam terhadap Islam tapi akhirnya dia ditempelak dengan tuduhan hendak memurtadkan orang," jelas Khalid.

Nurul Izzah pada 3 November lalu dijemput sebagai seorang panelis dalam forum bertajuk Negara Islam: Versi Mana? Tanggungjawab Siapa?

Pada sesi forum itu, Nurul Izzah ditanya "apabila anda bercakap tentang kebebasan beragama, adakah ini termasuk masyarakat Melayu sekali?".

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kemudian menjawab "bila anda bertanya kepada saya, tiada paksaan dalam agama. Dr Farouk pun telah memetik ayat Quran tersebut. Bagaimana anda boleh menanyakan kepada saya, atau kepada sesiapa pun… Bagaimanakah sesiapa boleh mengatakan, "Maaf, ini hanya untuk orang bukan Melayu".

"Ia mesti diaplikasi secara saksama. Inilah asas," Nurul Izzah dipetik sebagai berkata.

Ulasan GB

Apa yang nyta di dalam isu Nurul Izzah ini ialah: terdedahnya kumpulan jahil ugama dan buta Al-Quran yang terdiri dari kaum pemimpin UMNO dan para pencacainya!

Kerana nak sangat mempolitikkan apa juga isu bertujuan untuk memburukkan pemimpin parti Pakatan Rakyat dengan cara memutarbelitkan ucapan dan kenyataan mereka, tetapi kumpulan berkenaan tidak menyedari membuka kebebalan sendiri tentang "la iqra hafiddiin" - tiada paksaan orang di dalam beragama.

Kalau nak kira murtad, orang UMNOlah yang telah ramai dan telah lama murtad - dengan tak payah isytihar keluar ugama tetapi cukup bersandarkan dengan pegangan mereka yang berjuang di atas dasar kebangsaan (assabiyah).

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada Assabiyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar Assabiyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati kerana Assabiyah” (Hadith Riwayat Abu Daud)

Kedua: Demi bangsa Melayu, UMNO menggunakan "assabiyah", cuba untuk mengubah fakta kebenaran mengikut hawa nafsu mereka demi untuk mempertahankan kuasa yang kini hanya tinggal "nyawa-nyawa ikan".

Namun yakinlah bahawa usaha mereka itu akan sia-sia. Tuhan tidak sekali-kali akan mengizinkan kebatilan dan kezaliman mengatasi kebenaran dan keadilan.

Kita nasihatkan kepada warga UMNO supaya membaca Al-Quran dan menuntut lebih dalam lagi di bidang agama. Apa yang dilakukan oleh orang-orang UMNO kini, boleh menjejaskan pengucapan dua kalimah syahadat sendiri. Mengikut kitab-kitab dari ulamak muktabar seperti Said Hawa menjelaskan perkataan-perkataan yang meragukan hukum Islam boleh membawa kepada murtad. Mestika Hadith terbitan Jabatan Perdana Menteri sendiri, ada menyebut beberapa contoh kata-kata yang boleh membatalkan iman seseorang atau yang boleh menjadi murtad iaitu:

Kata-kata (menghina atau merendahkan) mana-mana hukum Islam seperti :

• Hukum apa ini ?
• Hukum ini sudah lapuk.
• Zaman sekarang tidak sepatutnya diharamkan riba' kerana menghalang kemajuan.
• Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus (tutup aurat dengan memakai telekong).
• Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?
• Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya.
• Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.
• Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam, sampai kiamat kita tidak maju.
• Seseorang berkata,"Perbuatan yang demikian tidak beradab", apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa makanan dijarinya (sebelum dibasuh tangan).
• Seseorang berkata,"Aku tidak mahu memotong kuku sekalipun sunnah", apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunnah.
• Membaca ayat-ayat suci al-Quran, hadith nabi dan nama-nama Allah dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.

Itu baru ungkapan yang contoh kata-kata yang boleh menjadi murtad.

Bukan GB yang kata tetapi dari kitab MESTIKA HADITH keluaran Jabatan Perdana Menteri sendiri!

Saham FGVH Jatuh Bawah Harga Senarai, Isa Samad Didesak Letak Jawatan


SSaham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) merosot ke paras paling rendah sejak disenaraikan pada 28 Jun lalu.

Saham itu didagangkan pada harga penutup RM4.60 pada 9 November, hanya 5 sen lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM4.55 sesaham.

Pagi ini, saham FGVH terus merosot ketika diniagakan pada pukul 10.46 di paras terendah RM4.53 sebelum kembali naik pada sesi penutup tengah hari.

Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN, Rebim Birham mendakwa kejatuhan saham FGVH telah dijangka sejak awal berdasarkan penyenaraian yang tidak telus serta menggunakan secara ‘paksa’ tanah-tanah peneroka sebagai modal.

“Pihak pelabur melihat penyenaraian FGVH ini lebih kepada tindakan politik dan bertujuan meraih untung jangka pendek untuk individu atau golongan tertentu. Pihak yang berkepentingan menjual saham sebaik sahaja harga naik.

“Oleh itu, pelabur jangka panjang enggan terus melabur atau menambah pelaburan. Pelabur antarabangsa yang dijangka akan masuk pula tidak berminat apabila mendapati senario politik tidak lagi menyebelahi BN.

“Bagi menyekat kejatuhan berterusan ini, kita desak Pengerusi Felda Isa Samad yang bertanggungjawab ke atas penyenaraian meletak jawatan segera agar tempatnya boleh diisi oleh orang lain yang lebih berkelayakan,” kata Rebin ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman pula berkata kepada Harakah Daily, kejatuhan berterusan saham FGVH menambah penderitaan peneroka yang sebelum itu telah diperdaya membeli saham tersebut.

“Jika harga saham RM4.78 pun dikira peneroka sudah rugi setelah ditolak interest dan bayaran kepada bank. Kalau harga hari ini RM4.61 bermakna ia sudah jauh jatuh, sudah negatif,” katanya.

Tambahnya, apabila rugi pemegang saham tidak dapat menjual saham, akhirnya mereka bukan menikmati durian runtuh tetapi menghadapi malapetaka.