23 Ogo 2013

Mantan Mufti Nafi Keluar Fatwa Halal Bunuh Anggota Ikhwan

Ahli Majlis Ulama Besar, Asy-Syeikh Dr Ali Jumu'ah menafikan sekeras-kerasnya penyebaran fatwa palsu yang disandarkan kepada dirinya yang mengatakan "halal" membunuh penyokong legitimasi dan ahli Ikhwan Muslimin.

Beliau menegaskan bahawasanya khabar angin tersebut tidak berasas dan jauh menyimpang dari kebenaran, sumber Al-Azhar Asy-Syarif menyebut.

Katanya, khabar angin yang telah tersebar itu sangat bertentangan dengan ajaran Islam, yang mana menyeru untuk memelihara nyawa serta kehidupan manusia, mengutuk dengan keras segala bentuk kekejaman.

Fatwa palsu itu sebelum ini tersebar di media khususnya yang pro kerajaan kudeta serta beberapa media antarabangsa.

Asy-Syeikh Dr Ali Jumu'ah juga menyebut bahawasanya beliau ketika menyandang jawatan Mufti Republik Arab Mesir, pernah mengeluarkan fatwa berkenaan keharusan mengadakan demonstrasi atau tunjuk perasaan secara aman yang tidak akan menyebabkan berlaku sebarang kemudharatan.

Dalam fatwa tersebut, beliau juga menyebut berkenaan pengharaman penggunaan sebarang bentuk senjata semasa demontrasi, dan kesucian darah rakyat Mesir yang tidak boleh dicabuli. -HD

Terperanjatkah Kita Mahkamah Rayuan Bebaskan Sirul Azhar & Azilah?


Jadi, siapa bunuh Altantuya? Dan kenapa?

Sepanjang tujuh tahun, tidak ada sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kematian Altantuya Shaariibuu. Dan tidak ada siapa pun tahu mengapa si cantik warga Mongolia itu dibunuh pada Oktober 2006.

Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini tidak berjaya menutup fail pembunuhan misterinya.

Malahan, keputusan membebaskan bekas ketua inspektor Azilah Hadri dan bekas korperal Sirul Azhar Umar membangkitkan lebih banyak soalan.

Siapa bunuh dia? Mengapa?

Dia ditembak mati dan bahan letupan C-4 dikatakan digunakan untuk meletupkan mayatnya hingga berkecai, tetapi kedua-dua komando polis itu berkata mereka tidak ada akses terhadap bahan letupan itu. Jadi, apa yang berlaku? Adakah orang lain terbabit?

Dia datang ke negara ini, tetapi tidak akan rekod imigresen dengan namanya. Adakah dia menggunakan pasport lain? Bolehkah pihak berkuasa menjelaskan perkara ini?

Semua persoalan ini mungkin boleh terjawab jika saksi seperti DSP Musa Safri dipanggil memberi keterangan.

Pihak pendakwaan tidak memanggilnya dan mahkamah rayuan hari ini membenarkan rayuan itu kerana saksi material tidak dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk Musa.

Musa mungkin boleh memberi keterangan apa yang membantu penganalisis politik, Abdul Razak yang memintanya supaya dapat mengelak diri daripada Altantuya.

Penterjemah itu pernah menjadi kekasih Abdul Razak tetapi kemudian memburunya dan menyebabkan Abdul Razak terpaksa mendapatkan perkhidmatan penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk memerhatikan Altantuya. Apabila Altantuya muncul pada malam malang 18 Oktober 2006 itu, polis menangkapnya dan itu adalah kali terakhir wanita itu dilihat hidup.

Seterusnya yang berlaku menggemparkan politik Malaysia. Abdul Razak ditahan kerana ada kaitan dengan pembunuhan itu dan kedua-dua polis komando Azilah dan Sirul kemudian didakwa atas pembunuhan Altantuya.

Kaitan antara mereka ialah Musa, yang ketika itu pegawai khas kepada timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan, Datuk Seri Najib Razak.

Kini perdana menteri, Najib menafikan sebarang kaitan terhadap kes itu walaupun Abdul Razak adalah seseorang yang rapat dengannya. Adakah keputusan hari ini memberikan penutup kepadanya juga?

Adakah ia juga memberikan penutup kepada Abdul Razak, yang terlebih dahulu dibebaskan dalam tuduhan bersubahat membunuh Altantuya. Beliau mengaku mengelak dan mengusir wanita itu, tetapi tidak minta kematiannya.

Menariknya, pihak pendakwa tidak pernah memfailkan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak.

Tetapi, hari ini pihak pendakwaan berkata, mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Azilah dan Sirul, kedua-dua tertuduh yang `disembunyikan’ daripada masyarakat awam sepanjang 159 hari perbicaraan kes itu.

Itu juga sekali lagi menimbulkan lebih banyak persoalan. Dan `endless possibilities’. -TMI


Mahkamah bebas Azilah, Sirul dari tuduhan bunuh Altantuya


Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ini berikutan mahkamah dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pasangan itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwa akan mempunyai peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini.

Hakim Datuk Md Apandi Ali mengetuai panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut.

Bagaimanapun, penghakiman itu dibacakan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang memutuskan berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri, dan kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan bahawa Azilah (kiri) berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Seorang lagi anggota panel hakim tersebut ialah Datuk Linton Albert.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan dua anggota polis itu atas tuduhan bunuh. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Pendakwa akan merayu

Azilah diwakili oleh peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Peguamcara Negara 111, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengetuai pasukan pendakwaraya yang turut dianggota DPP Manoj Kurup dan Noorin Badaruddin.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Menurut peguam, kedua-dua tertuduh mungkin dibebaskan dari penjara Sungai Buloh lewat hari ini.

Dalam mesej teks, Tun Majid berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.
- mk


ULASAN GB

Terperanjatkah kita dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini?

GB tidak terperanja kerana sebelum ini GB sudah dapat merasakan bahawa kedua-dua mereka akan bebas SELAGI perancang pembunuhan itu tidak didakwa dan dihukum.

Di dalam keterangannya, tertuduh pernah menyatakan di mahkamah:

Tertuduh kedua kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dia adalah sekadar "kambing hitam yang harus dikorbankan" untuk melindungi rancangan dan niat mereka yang tidak berada dalam mahkamah ini untuk menghadapi pertuduhan.

Tiada Lagi Solat Di Dua Masjid Besar Kaherah


Mesir: Selepas terbakar dan rosak teruk diserang pihak tentera yang menggempur penyokong legitimasi, dua masjid antara yang terbesar di Kaherah tidak lagi boleh berfungsi.

Masjid Raba'ah (gambar atas), hampir keseluruhannya bahagiannya terbakar dalam serangan berdarah oleh tentera 14 Ogos lalu yang menyaksikan ribuan penyokong Morsi terbunuh.

Masjid Fath (gambar bawah) di Ramsis juga mengalami nasib sama apabila digempur pihak tentera dan samseng upahan sehingga masjid itu rosak keseluruhannya.


Kedua-dua masjid ini merupakan tempat perlindungan penyokong legitimasi yang telah diserang dengan peluru hidup beberapa minggu lalu.

Semalam, Kementerian Wakaf Mesir mengumumkan tiada solat jumaat di kedua-dua masjid berkenaan minggu ini.

Kementerian itu berkata, pihak mereka telah meminta syarikat pembinaan untuk membaiki kedua-dua masjid terebut secepat mungkin.

Sementara itu, gabungan parti yang menyokong Presiden Morsi mengumumkan himpunan besar-besaran sempena hari Jumaat hari ini.

Perikatan Kebangsaan bagi pertahankan legitimasi berkata, perhimpunan akan bermula dengan doa kepada rakyat mesir yang telah terkorban dalam serangan tentera sebelum ini di seluruh masjid di Mesir.

"Kami akan tetap berpegang teguh sehingga rampasan kuasa tentera berdarah dikalahkan," kata gabungan itu.

Morsi, presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi, telah digulingkan pihk tentera melalui rampasan kuasa. -HD

Pemandu Bas Bertengkar Dgn Pemandu Teksi Sejurus Sebelum Jatuh Gaung


Ketika punca sebenar kemalangan bas di Genting Higland semalam masih tidak dapat dipastikan secara rasmi, beberapa versi cerita telah muncul daripada mangsa yang terselamat.

Seorang daripadanya, Mosammat Sirajum mendakwa sejurus sebelum kemalangan berlaku, pemandu bas itu dan seorang pemandu teksi kelihatan marah-marah di antara satu sama lain sewaktu memandu kenderaan masing-masing.

"Dua anak saudara lelaki saya nampak pemandu bas itu dan seorang pemandu teksi seperti saling menunjuk-menunjukkan isyarat marah antara satu sama lain," kata pemastautin tetap Malaysia dari Bangladesh itu.

"Menurut mereka, pemandu teksi itu cuba memotong bas tersebut dan pemandu bas sempat menekan pedal brek,"
kata Mosammat sewaktu ditemui di Hospital Selayang.

Menurutnya, anak-anak saudara beliau yang masing-masing berumur 22 tahun dan 14 tahun kehilangan ayah mereka yang berusia 54 tahun dalam kemalangan itu walaupun ibu mereka terselamat.

"Ini kali pertama sepupu saya, seorang warganegara Kanada, membawa keluarga mereka ke Malaysia," katanya.

Seorang lagi mangsa, warganegara Indonesia, Andri Purwadi yang berusia 23 tahun, memberitahu wartawan yang bas itu dipandu laju.

Andri berkata beliau adalah salah seorang daripada lima penumpang yang membeli tiket berharga RM7 tetapi terpaksa berdiri kerana tempat duduk telah penuh.

Beliau yang sakit gigi menaiki bas jam 2 petang untuk bertemu doktor gigi di bandar sementara rakannya Nur Firdil Gusman, 25 tahun, juga warganegara Indonesia yang bekerja sebagai tukang cuci di Genting Highlands, diwadkan di Hospital Selayang.

Andri yang juga bekerja sebagai tukang cuci berkata pemandu itu tidak mengantuk atau pun mabuk.

Menurutnya beliau berada dalam kesakitan sewaktu bas itu mencecah tanah selepas terjunam dan mereka terpaksa menunggu selama kira-kira sejam sebelum bantuan tiba.

Andri patah kaki dan akan dibedah petang ini. -mk


Cerita penumpang bas: Pemandu seolah 'merasainya'


KUALA LUMPUR - Seorang penumpang yang cedera dalam kemalangan bas dekat Genting Highlands semalam berkata pemandu bas itu telah memberhentikan basnya di tepi jalan sebelum kemalangan seolah-olah mengesyaki sesuatu tidak kena dengan kenderaan itu.

Nur Maizatul Syazana Ahmad Sharuddin, 23, berkata sebelum bas terjunam ke dalam gaung pemandunya sempat memberhentikan bas dan turun selama tiga minit untuk melihat enjin bas sebelum naik semula dan menghidupkan enjin.

"Pada masa itu saya terdengar bunyi yang begitu kuat dari bahagian depan bas tetapi pemandu itu masih meneruskan perjalanan," katanya yang duduk di belakang pemandu bas dalam perjalanan itu.

"Masa itulah, tiba-tiba bas tidak dapat dikawal, cuba mengelak beberapa kereta dan bas tapi saya perasan bas ada melanggar dua tiga buah kereta sebelum sampai di suatu selekoh, bas terus menjunam jatuh ke dalam gaung," katanya yang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh kepada Bernama ketika ditemui di hospital itu, dekat sini, hari ini.

Nur Maizatul yang merupakan mangsa kedua yang dibawa naik dari dalam gaung dalam insiden itu berkata ini merupakan pengalaman pertamanya pergi dan pulang dari Genting Highlands bersama kawan lelakinya, Mohd Razis Ibrahim, 23, dengan menaiki bas dan menjadi detik ngeri yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

"Saya ingat lagi masa itu keadaan sangat cemas, takut dan semua menjerit kuat. Tetapi saya tidak faham mengapa bas boleh bawa ramai penumpang sehingga ada yang sanggup berdiri dan duduk di pintu tangga bas," katanya sambil menambah kawannya kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Menceritakan pengalamannya ketika di dalam gaung itu, beliau berkata saat itu merupakan saat yang paling menakutkan apabila melihat ramai penumpang sudah bergelimpangan di sekitar bas itu dalam keadaan cukup menyayat hati.

"Saya lihat satu-satu daripada mereka depan mata saya sendiri, ada yang sudah tidak bernyawa, ada yang kritikal.

"Pada masa itu, saya meminta tolong lelaki sebelah kiri saya yang juga terselamat untuk membantu saya bangun kerana kaki saya patah tetapi dia pun tidak dapat berbuat apa-apa kerana turut mengalami nasib yang sama seperti saya (patah kaki)," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Batu Caves dan menetap di Rawang bersama keluarganya.

Sementara itu, abang mangsa, Mohamad Nor Fazli Sahazmi Ahmad Sharuddin, 26, berkata beliau bersama ibunya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada ayahnya yang mengatakan adiknya terlibat dalam kemalangan di Genting Highlands.

"Ayah hubungi saya selepas seorang anggota bomba menelefonnya menggunakan telefon adik dan memberitahu adik selamat tapi cederanya agak teruk. Masa itu pukul 3.30 petang, saya tidak fikir apa terus pergi sana.

"Sejam kemudian saya sampai di tempat kejadian, saya buntu, saya pergi ke khemah yang menempatkan mayat-mayat, saya lihat satu persatu mayat sebab tidak pasti keadaan adik dan tak jumpa," katanya.

Beliau berkata kira-kira pukul 5 petang, abang iparnya menelefon beliau memaklumkan Nur Maizatul berada di Hospital Sungai Buloh.

"Masa itu, rasa bersyukur sangat adik selamat, cuma mengalami cedera di muka, patah di bahagian tulang punggung, betis dan paha," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa warga Korea yang dirawat di Unit Kecemasan (ICU) Hospital Sungai Buloh, Kang Byoung Kuk berusia 60 tahun tidak dapat ditemubual kerana masih tidak sedar diri.
- Bernama


Laporan sebelum ini
klik untuk baca

[BERGAMBAR] Proses Evakuasi Pelajar Malaysia Di Mesir Bermula


Seramai 420 penuntut Malaysia di Mesir akan dibawa pulang secara berperingkat melalui empat penerbangan komersil dalam Ops Piramid 2 hari ini, demikian lapor Bernama.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata penerbangan pertama membawa lapan penuntut dari Alexandria menaiki pesawat Emirates dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 9.45 malam ini.

Seramai 365 penuntut akan dibawa pulang dari Kaherah dengan penerbangan AirAsia dan dijangka tiba pada 5.25 pagi esok (23 Ogos).

Penerbangan ketiga akan membawa 45 penuntut, juga dari Kaherah, melalui pesawat Singapore Airlines (SIA SQ493) yang dijangka tiba pada 8.05 pagi, 23 Ogos.

Dua lagi penuntut akan dibawa pulang dari Kaherah menaiki pesawat Egypt Air dan dijangka tiba pada 6.40 petang esok.

Menurut kenyataan itu penerbangan pertama Egypt Air membawa enam penuntut Malaysia dari Kaherah yang berlepas kira-kira tengah malam tadi waktu Kaherah, dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 6.40 petang ini.

Selasa lepas, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 penuntut Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersil berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.