7 Jan 2012

Presiden PAS: Ketepikan Dulu Soal Siapa PM, Fokus Menangkan Pakatan Rakyat

Menangkan dulu Pakatan, bukan bincang siapa PM

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menegaskan, apa yang penting sekarang untuk semua ialah memenangkan Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya Umum ke 13 dan bukannya berbincang mengenai siapa menjadi Perdana Menteri.

Dalam satu posting di Facebook pagi ini, Abdul Hadi berkata soal menjadi Perdana Menteri ialah ketentuan Allah.

“Apa yang penting kita mesti menangkan dulu PR dalam pilihan raya ke 13, soal siapa menjadi PM tidak penting, yang penting negara kita selamat, segalanya ketentuan Allah,” kata beliau.

Dalam temubual bersama Malaysiakini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat sekiranya memenangi pilihanraya ke 13 akan melantik seorang Perdana Menteri sementara.

“Kita sudah bincang perkara ini dengan kepimpinan Pakatan (jika beliau dipenjarakan). Adalah ia satu masalah? Tidak. Sekiranya kita menang, kita akan ada satu Perdana Menteri sementara. Sudah tentu, kerana saya yakin jika kita menang, saya tak akan berada di penjara untuk lama,” kata beliau.

Pada 9 Januari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumumkan keputusan perbicaraan kes liwat versi II selepas perbicaraan yang penuh kontroversi berlangsung tahun lepas.

Anwar, 64, dituduh telah melakukan liwat terhadap Mohd Saiful di sebuah kondominium di Damansara Heights pada Jun 2008, beberapa bulan sebelum kembali dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan orang ramai yang sudah mempunyai tanggapan di minda untuk Januari 9 ini bahawa kesemua manusia akan dihukum semula dengan hukuman yang pasti adil di hadapan Allah di akhirat.

“Dalam duniawi, apapun, yang berharap akan terus menanti, yang tidak percaya akan terus tidak yakin, yang menang hari ini tidak semestinya akan terus menang, yang tewas hari ini tidak semestinya akan kalah selalu dan yang akan dihukum akan terus menjalani hukuman.

“Namun, yang pasti kesemua kita akan dihukum semula dengan hukuman yang pasti adil di hadapan Allah di akhirat. Beringatlah pada Allah selalu,” pesan Tuan Ibrahim. -HD

Anwar Sahkan Pakatan Menang Besar Dalam PRU Jika Dia Dipenjarakan

Anwar: Pakatan akan dapat lebih sokongan jika saya dipenjarakan

PETALING JAYA, 7 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan sekiranya beliau didapati bersalah dan dihukum penjara pada 9 Januari ini ia akan membantu Pakatan Rakyat neraih lebih banyak sokongan pengundi dan rakyat Malaysia akan bangkit menentang gejala rasuah dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Ketua Umum PKR ini didakwa atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlana, satu tuduhan yang mana beliau telah menafikan sekeras-kerasnya dan menyifatkan ia satu konspirasi untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dijangka akan mengumumkan keputusan kes liwat itu pada Isnin ini.

“Jika saya dihukum penjara, kita akan dapat lebih banyak sokongan...Anwar masuk atau tidak (ke dalam penjara) tiada masalah, pilihan raya akan datang kita mesti menang walau apa jua cara.

“Anda boleh tahan lelaki itu dalam penjara tetapi misi akan semakin kuat seperti biasa malah lebih kukuh,”
katanya dalam satu ceramah di Subang Jaya malam tadi.

Kira-kira 2,000 orang telah hadir mendengar ceramah yang disampaikan ketua pembangkang itu.

Anwar (gambar) menuduh “musuh politiknya” memperbesarkan tuduhan terhadap dirinya dengan pelbagai tohmahan seperti pro-Kristian, pluralisme, ejen Yahudi dan homoseksual.

“Jangan ancam saya dengan hukuman penjara. Mereka pernah memukul saya, mereka pernah membogelkan saya.

“(Tetapi) jika mereka fikir dengan mengurung saya akan menyebabkan Pakatan Rakyat di hujung tanduk maka mereka salah, kami telah bersedia sejak tiga tahun lalu,” dakwanya menambah pemimpin Pakatan Rakyat bersedia menghadapi “sebarang kemungkinan” yang berlaku.

Anwar dalam temubual bersama Bloomberg baru-baru ini memberitahu kepimpinan Pakatan Rakyat telah mengenal pasti seorang pengganti untuk mengetuai pakatan pembangkang itu sekiranya beliau dipenjarakan.

“Berdasarkan pada fakta, undang-undang...Anwar perlu dibebaskan pada 9 Januari ini. Tetapi kita menggunakan undang-undang Umno,” tambahnya yang kelihatan penat tetapi bertenaga.

Beliau menambah “komited” untuk menentang demi reformasi dalam negara walaupun telah menerima tawaran dari beberapa negara asing yang mahu memberikan perlindungan.

Kebanyakan orang ramai yang menghadiri ceramah itu merupakan penyokong-penyokong kuat Pakatan Rakyat dan memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkeyakinan Anwar tidak bersalah.

“Individu seperi (Mohd) Saiful akan sentiasa ada. Perbicaraan pertama, kini yang kedua. Tiada bukti dakwaan Mohd Saiful.

“Walaupun orang biasa apabila mereka membaca akhbar mereka akan memberitahu ia tiada asas,” kata seorang ahli perniagaan berbangsa Punjabi yang mahu dikenali sebagai Jit.

Jit berkata dia hadir ke ceramah itu kerana mahu memberikan sokongan kepada Anwar serta kerajaan negeri Selangor yang mana telah menunjukkan prestasi yang baik berbanding ketika di bawah pentadbiran BN.

“Sekurang-kurangnya kami tahu ke mana wang kami pergi.”

Seorang bekas tentera S.M Amin memberitahu dia memandu dari Klang bersama rakan-rakannya untuk mendengar ucapan Anwar.

“Anwar ialah mangsa dalam sistem BN. Disebabkan itu saya memandu dari Klang untuk menunjukkan sokongan dan membuktikan rakyat berada di belakang Anwar, Pakatan Rakyat,” katanya.

Dia berkata kepimpinan BN gagal untuk menyedari bahawa mereka perlu membayar kembali dosa-dosa yang dilakukan selepas mati.

“Sudah tentu, beliau tidak bersalah, rakyat sudah bosan sebab itu mereka berada di sini untuk menyokong Anwar, Pakatan Rakyat,” kata seorang warga emas berumur 65 tahun yang mahu dikenali sebagai Ali.

Ali percaya tuduhan terhadap Anwar patut digugurkan dan berkata akan menyertai perhimpunan 901 pada Isnin ini.

PKR telah mengumumkan akan mengadakan satu perhimpunan aman pada 9 Januari untuk menyokong Anwar di kawasan parkir kereta di luar Mahkamah Tinggi Jalan Duta dan menambah polis telah memberikan kebenaran.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat akan memastikan sejumlah 100,000 rakyat akan turut serta dalam perhimpunan tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap Anwar ketika Mahkamah Tinggi membuat keputusan Isnin ini berkaitan kes liwat keduanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh mengesahkan perkara itu semasa satu taklimat dan sidang akhbar bersama PKR selepas rundingan dengan parti itu.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Anwar akan dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara, tetapi akan terlepas hukuman sebat kerana umurnya sudah melebihi 60 tahun.

Ini akan menamatkan karier politiknya dan memusnahkan peluangnya untuk menjadi perdana menteri. -TMI

Ulasan GB

Sebelum ini GB sudah membuat ulasan. Petikan:

Tetapi pada pandangan GB jika Anwar dipenjarakan, ia akan menyebabkan simpati dan kebangkitan rakyat, sepertimana yang berlaku di dalam PRU10 tahun 1999. Bererti UMNO akan habis jugak. Malah lebih dasyat jika Anwar tidak dipenjarakan.

Sifirnya: Anwar dipenjarakan atau tidak, UMNO tetap lingkup.

Bezanya ialah jika Anwar dipenjarakan, UMNO akan lingkup dengan lebih parah dan lebih dasyat jika Anwar tidak dipenjarakan FULLSTOP



Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Pimpinan PAS Akan Bincang Kes Hassan Ali Esok

Pas buka semula kes Hasan Ali, bincang esok

SHAH ALAM - Pas akan melihat semula kes melibatkan Datuk Dr Hasan Ali pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat parti, esok ekoran kenyataan terbaru Exco Kerajaan Negeri Selangor itu kelmarin.

Hasan, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dilihat telah mengeluarkan kenyataan 'melawan arus' apabila meminta pengikut dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) tidak menyertai perhimpunan 901, Isnin ini.

Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan perkara tersebut akan disentuh pada mesyuarat bulanan parti di ibu negara esok.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya berpendirian bahawa isu melibatkan Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia sudah selesai selepas mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang bulan lalu.

"Kami beranggapan bahawa isu sebelum ini sudah selesai selepas pertemuan dengan Mursyidul Am dan Presiden (di Kota Bahru) baru-baru ini.

"Sebaliknya, beliau terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan parti. Jadi, kami akan membincangkan isu ini esok," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendesak Pas mengambil tindakan sewajarnya terhadap Hasan ekoran kenyataanya meminta orang ramai khususnya pengikut dan penyokong PR tidak menyertai perhimpunan 901.

Azmin berkata, kenyataan Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam PR dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

Menjawab kenyataan Azmin itu, Salahuddin berkata, "apa pun, biar kami selesaikan hal rumah tangga kami."

Bagaimanapun jelas beliau, perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat untuk dibincangkan.

"Setakat ini, apa yang saya boleh katakan sekarang ialah dalam satu dua hari ini, kita akan memutuskan isu ini," kata beliau.

"Kita akan mengadakan mesyuarat bulanan, kami akan membincangkan isu ini. Itu saya boleh kata.

"Kita akan membincangkan, akan melakukan sesuatu. Hal rumah tangga Pas, serahkan kepada kami untuk selesaikan... kami akan bincang dalam mesyuarat nanti, perkara seperti ini," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.

Kata Salahuddin, Pas merupakan parti politik yang sudah "terbiasa dengan isu-isu seperti ini."

"Dan, kami akan membincangkan dalam mesyuarat kami," kata beliau lagi.

Ketika mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menjelaskan, terdapat dua pilihan sama ada jawatankuasa kerja pusat sendiri memutuskan sesuatu tindakan ataupun merujuk Hasan kepada lembaga tatatertib.

"Jadi, kami ada pilihan-pilihan ini. Mesyuarat akan putuskan salah satu pilihan," katanya lagi.

Jelas beliau, mesyuarat esok hanya akan memfokus ke atas kenyataan-kenyataan dibuat Hasan dan tidak membabitkan bekas Timbalan Presiden Nasharudi Mat Isa.

"Selepas pertemuan (28 Disember lalu), Nasharudin bertindak proaktif, tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Jadi, fokus esok adalah isu melibatkan Datuk Hasan Ali," kata Tuan Ibrahim lagi.

Laporan media sebelum ini menyebut Hasan dan Nasharudin telah mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din pada 28 Disember lalu untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti.

Pertemuan itu berlangsung di JKR 10 dan perkara itu disahkan sendiri oleh Nik Abdul Aziz, dan menurutnya, Hasan turut memohon maaf daripada pimpinan PAS.

“Saya melahirkan kesyukuran di atas rasa rendah diri Datuk Hasan Ali yang bersedia membuat permohonan maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

“Bukan mudah orang nak mengaku salah selepas melakukannya, jadi tindakan beliau itu mengharukan saya. Saya juga berharap orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Hasan,” kata Nik Abdul Aziz. -SH

Kenyataan Hasan Ali menghina Presiden PAS, kata Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR, 7 Jan — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Datuk Dr Hasan Ali telah menghina presiden parti Islam itu kerana mengeluarkan kenyataan “melawan arus” yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pemimpin.

Menurut Mahfuz, kenyataan Dr Hasan ang menolak perhimpunan 901 pada Isnin ini dan menyifatkan ia sebagai perbuatan sia-sia telah menjatuhkan imej dan maruah Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi parti selain disanjung tinggi oleh pemimpin luar negara.

“Bagi saya beliau (Dr Hasan) menghina presiden PAS...presiden telah mengatakan akan hadir sama dalam perhimpunan itu namun Dr Hasan telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan itu adalah perkara yang sia-sia.

“Beliau juga mengatakan pergi ke mahkamah adalah perbuatan yang sia-sia, ini adalah satu penghinaan kepada presiden PAS dan satu perkara yang amat memilukan apabila seorang presiden dihina oleh seorang pemimpin yang kononnya menyanjung tinggi ulama namun tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang menghina presiden sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dr Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor sebelum ini berkata menolak perhimpunan 901 an menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Dr Hasan berkata semua pihak termasuk pemimpin yang terlibat harus memikirkan sedalam-dalamnya perkara itu kerana ia memberikan kesan bukan sahaja kepada negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada tarikh berkenaan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.

Hasan berkata perbicaraan itu telah berlangsung lebih tiga tahun dan Anwar telah diberikan ruang dan peluang yang sepatutnya oleh mahkamah.

Semalam Abdul Hadi berkata akan menyertai perhimpunan 901 menambah ”untuk ahli PAS pula terserah kepada masing-masing.”

Ekoran kenyataan Dr Hasan itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mendesak PAS mengambil tindakan sewajarnya terhadap exco kerajaan negeri Selangor itu.

Azmin berkata kenyataan Dr Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

Esok PAS akan mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat dan kemungkinan besar isu Dr Hasan akan dibangkitkan.

Tambah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, PAS akan memanggil Dr Hasan untuk memberikan penjelasan dan tindakan akan diambil dengan mengikut perlembagaan parti.

Beliau menambah tindakan yang akan diambil PAS bukan disebabkan pengaruh atau desakan sesiapa.

“Tindakan PAS tidak berasaskan kepada apa orang cakap, kita buat tindakan mengikut bidang kuasa kita...tindakan ini bukan disebabkan Azmin Ali atau pemimpin lain.

“Begitu juga semasa pertemuan presiden dengan Dr Hasan Ali sebelum ini, ia bukan disuruh oleh sesiapa tetapi adalah tindakan PAS sendiri...kita mempunyai prosedur dan pendirian sendiri,” katanya.

Mahfuz berkata sebarang bentuk hukuman akan diputuskan oleh kepimpinan PAS.

“Apa yang berlaku ini sangat mendukacitakan...ahli merungut dan kecewa dengan tindakan Dr Hasan Ali yang telah merosakkan suasana dalam parti,” katanya. -TMI


PKR desak PAS bertindak atas keceluparan Hasan Ali

PKR hari ini mendesak rakan kongsinya, PAS supaya bertindak keras ke atas bekas pesuruhjaya Selangor parti itu Datuk Hasan Ali yang mengeluarkan pelbagai kenyataan yang dianggap mencerca dan menghina ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas tulisannya di Twiteer, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini membidas kenyataan Hasan yang juga ahli exco kerajaan negeri Selangor kerana menganggap tuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar sebagai perkara peribadi.

"Biar saya ulangi pendirian PKR dan Pakatan yang bersatu dalam menyokong Anwar dan bahawa dakwaan itu adalah satu rekayasa dan politik murahan yang digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional. Adakah Hasan merestui politik murahan yang digunakan oleh Umno dan BN.

"Oleh itu, ia tidak wajar baginya untuk mengatakan ini adalah perjuangan peribadi Anwar dan salah baginya untuk melibatkan orang ramai kerana kenyataannya itu bukan merupakan pendirian Pakatan.

"Saya berharap dan medesak PAS supaya bertindak terhadap kenyataan Hasan yang celupar ini yang tidak sepatut diluahkan untuk agenda peribadinya,” katanya.

Menurut Azmin, ketika Hasan mencerca ketua pembangkang itu, Anwar sedang mengunjungi Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu yang telah menyatakan sokongan beliau.

"Nik Aziz kata beliau akan datang pada 9 Januari ini jika kesihatannya membenarkan. Siapa Hasan yang berkata sebaliknya (meminta ahli-ahli PAS tidak datang)?" soalnya.

"Saya harap PAS mengkaji mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Hasan. Jika dia tidak mahu hadir, dia tak perlu hadir tetapi demo HIMPUN dia hadir," kata Azmin.

Azmin mengulas kenyataan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali yang semalam mengeluarkan kenyataan bahawa adalah tidak sesuai mengheret rakyat menyertai perhimpunan haram itu semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasan ali pcHasan yang juga exco kerajaan negeri Selangor juga mengumumkan bahawa beliau tidak akan hadir pada Isnin ini.

Ditanya sama ada beliau akan mengesyorkan kerajaan Selangor yang diterajui PKR oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menggugurkan Hasan dari barisan exco negeri, Azmin berkata bahawa beliau akan membiarkan PAS mengambil tindakan pertama. -MK


BERS✔H 3.0 Jika SPR Masih Berdolak- Dalik Tunai Tuntutan PSC

Bersih 3.0 jika gagal tunai tuntutan PSC

PETALING JAYA, 6 Jan: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan jika Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tidak melaksanakan tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC), maka Bersih 3.0 akan dilancarkan.

Beliau bertindak mengeluarkan kenyataan tersebut apabila melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh SPR Negeri Wilayah Persekutuan yang bercanggah dengan apa yang telah dibincangkan di peringkat pusat sebelum ini.

"Saya kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah SPR, Shafie Taib seperti mana yang dijelaskan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

"Kita dari Pakatan Rakyat telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam PSC bagi memastikan pilihan raya negara ini berlaku secara bersih dan adil.

"Saya tegaskan jika SPR gagal untuk menunaikan tuntutan PSC itu, maka mereka akan berdepan dengan Bersih 3.0 nanti," jelas beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR.

Beliau mempersoalkan kenapa tidak ada keselarasan antara SPR peringkat pusat dan negeri sedangkan ia telah dipersetujui sewaktu perbincangan PSC dan juga SPR.

"Saya tidak pasti apa sebenarnya berlaku di dalam SPR dan saya harap ada penjelasan dari mereka.

"Perkara ini akan dibawa ke peringkat tertinggi Pakatan Rakyat untuk dibincangkan bagi mendapat tindakan selanjutnya," sambung beliau.

Sebelum itu, Nurul Izzah memberitahu pertemuan Majlis Pimpinan Negeri PKR Wilayah Persekutuan bersama SPR Negeri telah mengejutkan pihaknya terhadap isu penggunaan dakwat kekal, isu pengundi awal dan pos serta isu syarikat MIMOS Sdn Bhd yang sepatutnya mengesahkan integriti senarai pengundi induk SPR.

"SPR Wilayah Persekutuan mengatakan dakwat kekal tidak akan digunapakai untuk pengundi awal atai pengundi pos.

"Sistem pengundian awal yang jelas belum ditetapkan terutamanya berkaitan waktu pengundian dan bagaimana undi-undi yang telah dibuang awal akan dikawalselia hingga hari mengundi," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Dalam pada itu, isu pengundi pos secara otomatik dijadikan pengundi awal dan sistem bagaimana pengundi awal boleh memilih untuk menjadi undi pos semula.

Nurul Izzah juga menyatakan isu pasangan anggota tentera atau polis yang turut menjadi pengundi awal atau pengundi pos, walhal tiada keperluan bagi mereka memiliki status tersebut.

"Malah yang paling mengejutkan makluman Ketua Pengarah SPR itu bahawa syarikat MIMOS tidak akan digunapakai untuk melakukan audit dan mengesahkan intergriti pangkalan data senarai pengundi induk SPR.

"PKR dan Pakatan Rakyat seluruhnya berasa terkejut dan kecewa dengan perkara-perkara ini terutamanya isu MIMOS dan integriti pangkalan data senarai pengundi induk SPR lebih-lebih lagi kerana ianya merupakan satu cadangan khusus dari PSC yang diluluskan di Parlimen," tambah Naib Presiden PKR itu lagi.

Pakatan Rakyat menyeru agar SPR terutamanya Pengerusi SpR dapat memberikan penjelasan sepenuhnya di atas isu-isu yang menimbulkan tandatanya itu.

Turut hadir sidang media itu adalah Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook dan juga Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang. -HD

Tan Sri Khalid Kepada Najib: Dapatkan Fakta Sebelum Memfitnah Kerajaan Selangor!

Khalid : Najib Perlu Dapat Fakta Sebelum Memfitnah

SHAH ALAM 6 JAN : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim membidas tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menuduh kerajaan negeri Pakatan Rakyat enggan meluluskan projek-projek perumahan di di beberapa kawasan felda di Hulu Selangor.

"Tiada sebarang permohonan kebenaran merancang projek perumahan di Felda Gedangsa di Hulu Selangor dari Kerajaan Persekutuan atau Felda." kata Khalid.

Khalid berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menerima cadangan untuk bangunkan projek perumahan kepada generasi kedua di felda itu seperti yang didakwa Perdana Menteri

"Jika ada pun permohonan yang diterima, ia hanya melibatkan permohonan dari Felda untuk melupuskan pemilikan tanah seluas 14.65 hektar di Felda Soeharto bagi tujuan kediaman.

"Kerajaan Negeri bagaimanapun mendapati tanah itu masih terletak di bawah Seksyen 44 Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang bermaksud tanah itu masih di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan. Adalah salah untuk Perdana Menteri mendakwa Kerajaan Negeri enggan membantu,"
kata Menteri Besar.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri yang menyalahkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat kerana didakwa enggan meluluskan projek-projek perumahan di felda-felda di Hulu Selangor.

Menteri Besar juga berkata, semakan dengan Jabatan Tanah dan Galian Negeri Selangor juga mendapati terdapat satu cadangan pada awal tahun 1990-an itu dari Felda untuk projek pembangunan di Felda Gedangsa tetapi ditolak oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional ketika itu kerana kegagalan projek pembangunan semula di Felda Sungai Buaya

Menteri Besar kecewa kerana Perdana Menteri menyalahkan pihak lain ekoran kegagalan UMNO-BN menunaikan janji-janji yang dibuat pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.


"Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk kebaikan rakyat. Kami telah buktikan dengan Projek The Greater Klang Valley dan projek River of Life. Tiada alasan untuk Kerajaan negeri mendiskriminasikan peneroka Felda.

"Malah, lebih 2,000 ekar tanah milik Kerajaan Negeri di Hulu Bernam telah dibangunkan oleh Felda tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri tidak menerima bayaran satu sen pun," katanya.

Perdana Menteri perlu mengkaji fakta sebelum membuat tuduhan tidak berasas kerana Kerajaan Negeri mengadakan reformasi pengurusan dan pentadbiran tanah secara berterusan bagi mengalakkan rakyat Selangor memiliki kediaman sendiri. -KD

Janji tak ditunaikan: PM persalahkan k'jaan S'gor

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempersalahkan kerajaan negeri Selangor berhubung janji-janji pilihan raya yang dibuat BN tetapi belum ditunaikan semasa pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tahun lalu.

Ketika perjumpaan dengan peneroka Felda Gedangsa di Kuala Kubu Baru, Najib berkata kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat enggan meluluskan projek-projek perumahan yang dirancang oleh kerajaan persekutuan.

"Kita mahu bina rumah-rumah untuk generasi kedua peneroka Felda tetapi ini ditolak oleh kerajaan negeri ... semata-mata atas sebab-sebab politik.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana pembangunan tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri," kata Najib.

Najib hari ini melawat Hulu Selangor hari ini untuk memeriksa kemajuan projek-projek yang diluluskan pada pilihan raya kecil itu selepas calon BN P Kamalanathan mengalahkan calon PKR, Zaid Ibrahim dengan majoriti 1725 undi pada April 2010.

Katanya, beliau kecewa kerana projek-projek yang dijanjikan tidak dapat ditunaikan dan terpaksa menjelaskan kepada rakyat berhubung isu berkenaan.

"Jika anda mahukan perubahan, maka lakukannya apabila tiba masanya," katanya sambil mengingatkan rakyat supaya mengundi dengan bijak pada pilihan raya akan datang.

Najib juga menyumbangkan RM200,000 bagi pembinaan taman permainan kanak-kanak di empat penempatan Felda Gedangsa, Sungai Tengi, Suharto dan Sungai Tengi Selatan.

Beliau juga meluluskan RM300,000 lagi untuk menaik taraf kedai-kedai perniagaan di Gedangsa dan Soeharto. -mk


Guna MIMOS Bersihkan Daftar Pemilih: PR Persoal Kenyataan Flip-Flop SPR

SPR sangkal dakwaan Nurul tidak guna MIMOS

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak akan menggunakan khidmat syarikat inovasi, teknologi dan maklumat (MIMOS Berhad) sebagai badan yang mengesahkan daftar pemilih disangkal oleh Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Beliau berkata SPR tidak pernah menolak syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC).

Malah satu perjumpaan diadakan baru-baru ini oleh pihak SPR bersama Mimos

“SPR tidak pernah menolak syor PSC seperti yang didakwa. SPR telah pun berjumpa dan berbincang dengan MIMOS baru-baru ini,” katanya melalui Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada FMT.

‘Tiada pembersihan daftar pemilih’

Beliau yang enggan mendedahkan butiran itu berkata, sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kepada PSC kemudian.

Semalam, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memaklumkan bahawa SPR tidak akan menggunakan khidmat MIMOS.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan bersama Pengarah Pilihan Raya Negeri, Shafie Taib itu semalam.

Sementara itu, ahli PSC Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media hari ini pula mempersoalkan kekeliruan yang timbul sehingga wujud maklumat sedemikian di peringkat SPR pusat dan negeri.

Anthony turut menyatakan kebimbangan beliau memandangkan keputusan bersama PSC sudah dimaklumkan, namun SPR negeri menyatakan yang sebaliknya.

Timbul kekeliruan

“Apa yang diberitahu SPR terhadap anggota PSC tidak diarahkan kepada SPR negeri sehingga ada kekeliruan. Adakah ini kekeliruan atau tiada arahan diberi kepada SPR negeri?

“SPR Wilayah Persekutuan kata MIMOS tidak digunapakai itu tidak tepat. Timbul kekeliruan yang amat besar.

“Segala keputusan bersama dilaksanakan dan diikuti. Kerisauan saya adalah perbincangan nampak cantik dalam kertas, ia perlu dilaksanakan. Jika tidak ia tidak mmbawa apa-apa makna,” katanya yang juga ahli Parlimen Rasah.

Nurul Izzah yang turut menyertai sidang media itu berkata, pihaknya hanya menuntut penjelasan dan mahu maklumat berkala berhubung isu ini.

“Ada saksi yang ramai dengar pegawai SPR negeri berkata MIMOS tidak akan diguna khidmat mereka. Perkara itu berlaku ketika mesyuarat dalaman SPR akhir Disember.

Kenapa tiada penyelarasan

“Kami mahu kepastian. Pengerusi SPR perlu pastikan dan ia disambut oleh negeri-negeri kerana jika tidak ia akan wujud jurang besar. Maka perlunya maklumat berkala,” katanya.

Dalam pada itu Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata jika penggunaan dakwat kekal, isu pengundi awal dan pos serta hal MIMOS tidak diberi jaminan maka Bersih 3.0 tidak dapat dielakkan.

Katanya keputusan MIMOS juga telah diputuskan oleh parlimen dan jika sebaliknya berlaku maka wujud percanggahan.

“Keputusan untuk MIMOS telah diputuskan dalam parlimen. Usul telah diteruskan dan dipersetujui. Kenapa tiada penyelerasan?


“Ini perkara serius yang kita akan bincangkan dan bawa kepada majlis tertinggi agar SPR jawab isu dakwat kekal,daftar pemilih dan MIMOS ini,” katanya. -FMT

PR Kesal SPR 'flib-flop' keputusan PSC

PETALING JAYA, 6 JAN: Pakatan Rakyat kesal dan terkejut dengan tindakan Suruhan Jaya Pilihanraya SPR Wilayah Persekutuan, yang bertindak membelakangkan keputusan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pilihan KhasParlimen (PSC).

Dalam Sidang Media yang berlangsung petang tadi, pemimpin Pakatan Rakyat kesal dengan SPR pusat yang tidak membuat penyelarasan dengan SPR negeri-negeri sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

Dalam pertemuan semalam SPR wilayah persekutuan memaklumkan bahawa SPR menolak menggunakan khidmat MIMOS bagi mengatasi masalah pembersihan daftar pemilih

Selain itu timbul juga isu penggunaan dakwat kekal dan isu pengundi awal dan pengundi pos yang masih belum selesai.

Ikuti berita penuh dalam video berikutnya.





Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Contengan Di Bangunan UMNO, Ada Pihak Cuba Burukkan Perhimpunan 901

Bangunan Umno kena conteng

ALOR SETAR - Perhimpunan 901 belum bermula, namun provokasi berhubung isu itu semakin berleluasa apabila beberapa bangunan milik Umno Kedah diconteng kata-kata nista menggunakan cat.

Malah contengan pada Bangunan Tunku yang menempatkan Pejabat Perhubungan Umno Kedah turut memburukkan Perdana Menteri dan isteri.

Kejadian dipercayai berlaku antara 3.30 hingga 5 pagi dan disedari pengawal keselamatan jam 5 pagi.

Pengurus Bahagian Harta Umno Kedah, Salleh Saad berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada pengawal berkenaan pada jam 6.15 pagi memaklumkan bangunan berkenaan diconteng menggunakan cat.

“Dua warna cat digunakan iaitu biru dan hitam. Berdasarkan tulisan berkenaan, kita percaya salah seorang suspek adalah orang yang sama melakukan perbuatan serupa sewaktu demo Bersih 2.0 lalu.

“Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan laporan dibuat di Balai Polis Kota Setar pada jam 9 pagi,” katanya kepada media di pejabat Badan Perhubungan Umno Kedah, semalam.

Salleh berkata, beberapa hari lalu cadangan untuk meletakkan kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di Bangunan Tunku sudah dipersetujui, namun tidak sangka kejadian berkenaan berlaku lebih awal.

“Selain di Alor Setar, bangunan Umno Padang Terap dan Kubang Pasu, Jitra turut menjadi sasaran kumpulan tidak bertanggungjawab termasuk kenderaan awam yang disembur cat berwarna hitam dengan perkataan Bebaskan Anwar dan Gerakan 901.

“Kita serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap dalang yang melakukan perbuatan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan bertugas, Chok Nun, 62, berkata, dia hanya menyedari kejadian pada jam 5 pagi sewaktu keluar dari bangunan untuk meronda kawasan, namun tiada sebarang bunyi mencurigakan ketika itu.

“Ini kejadian kedua selepas Bangunan Tunku dibina pada 1983 dan secara kebetulan saya bertugas semasa kedua-dua kejadian,” katanya.

Lebih 10 kenderaan dan premis turut diconteng

Kejadian sama turut berlaku pada premis dan lebih 10 kenderaan di Kubang Pasu, Padang Terap dan Alor Setar dengan kempen mempelawa ke demonstrasi Isnin ini.

Pemilik kenderaan, Zainol Abidin Mohamad, 53, berkata, dia kesal tindakan seumpama itu kerana individu terlibat tidak sepatutnya melibatkan orang lain dalam kempen terbabit.

“Saya baru selesai mengecat Kereta Perodua Kembara tiga hari lalu dengan kos RM3,000 dan terpaksa mengecat semula kerana tidak mahu ada pihak menuduh saya mempromosikan kempen demonstrasi itu pula,” kata guru tuisyen di Pekan Jitra di sini, semalam.

Manakala, pemilik restoran, Yee Kian Chin, 42, berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan awal pagi dan dirancang kumpulan tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak dengar sebarang bunyi bising ketika tidur di tingkat atas restoran, namun seorang rakan memberitahu melihat kelibat orang mundar mandir di kawasan berkenaan,” katanya yang turut memiliki Toyota Alphard.

Tinjauan di pekan ini mendapati lebih 10 kenderaan dicat warna hitam tertera Anwar 901, jom KL. Antaranya melibatkan kereta seperti Toyota Alphard, Perodua Myvi, Kancil, Honda City dan lori.

Tandas awam dan tempat duduk di hentian bas di pekan tidak terkecuali menjadi mangsa conteng.

Pengangkutan dan tempat awam jadi sasaran

Dalam pada itu, Pejabat Umno Padang Terap, pusat beli-belah Angsana dan restoran KFC, Kuala Nerang serta dua bas henti-henti serta kereta turut dicat kempen sama.

Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dukacita dengan gerakan yang dipercayai dirancang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya kesal tindakan mereka dan kumpulan terbabit turut menconteng kain pemindang sembah tahniah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menurut Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Umno Kedah turut membuat laporan polis di Kota Setar, Kuala Nerang dan Jitra.

“Sekiranya mereka mahu menyuarakan sebarang tentangan terhadap Umno perlu dibuat secara bersemuka, bukannya dengan cara menconteng bangunan pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Sentiasa nasihatkan penyokong berkelakuan baik

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, mereka percaya kejadian conteng premis dan kenderaan yang berlaku di beberapa daerah tidak mempunyai kaitan dengan penyokong dan pengikut mereka.

“Kita selalu menasihatkan penyokong supaya tidak bertindak ganas serta sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan. Jangan buat sebarang tuduhan atau provokasi melulu kepada PKR berhubung insiden ini.

“Tiada apa sebab kenapa kita perlu berbuat demikian. Kita serah sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan mereka,” katanya. -SH

Ulasan GB

GB melihat insiden di atas sebagai satu perbuatan untuk memburukkan perhimpunan 901 sekaligus menggagalkannya.

Ia adalah perbuatan lempar batu sembunyi tangan, yang merupakan sebahagian dari grand design pihak tertentu untuk menyalahkan dan memburukkan Pakatan Rakyat melalui provokasi.

Mengambil kesempatan dengan percubaan untuk mencetuskan huru-hara, dan kemudian menghalakan tuduhan kepada PR melakukannya.

Simbah cat, baling molotov coktail, rosakkan kenderaan awam, ugutan peluru melalui surat, letak kepala babi... adalah diantara kaedah yang digunakan.

Ia seakan wujudnya skrip yang sama, berlaku di seluruh negara.

Hubaya-hubaya!

Ku Utuskan Mawar Merah Untuk Safwan Sebagai Rakaman Perhargaan - Koh Wee Sun

Mengapa saya terfikir untuk memberikan bunga kepada Safwan?

Mengapa 19 orang ibu atau sahabat saya ini terfikir untuk memberikan bunga kepada Safwan?

Saya tidak berbicara tentang politik di sini. Saya hanya ingin berbicara tentang pendidikan.

Kawan saya di sini (laman Facebook penulis) semua tahu, bahawa saya telah mengajukan dua soalan sejak anak sulung saya belajar di sekolah rendah, dua tahun yang lalu. Apa itu pendidikan, dan ke manakah anak kita dibawa dengan pendidikan kita ini?

Ini kerana pengamatan saya mendapati, bahawa pendidikan di sekolah bukan untuk mencerahkan minda, bukan untuk mengajar bagaimana anak saya membezakan antara yang baik dengan buruk, bukan untuk mengajar mereka menganalisa, sebaliknya mengajar mereka untuk percaya kepada autoriti, akur sepenuhnya. Kanak-kanak bukan belajar bagaimana untuk menyelesaikan tugasan bersama, tetapi belajar bagaimana untuk mengatasi murid yang lain dari segi prestasinya.

Namun, bukankah pendidikan seharusnya mendidik anak kita, bagaimana untuk berfikir dan menganalisa? Bukankah pendidikan kita seharusnya mengajar kanak-kanak bagaimana menjadi seorang insan yang baik? Mereka sepatutnya berkemampuan untuk membezakan, antara autoriti yang betul dengan yang salah - dan bukannya mempercayai autoriti sepenuhnya. Mereka boleh akur dan patuh, tetapi anda seharusnya memujuk dan meyakinkan mereka - apa perlunya mereka untuk mematuhi sesuatu?

Ramai ibu bapa tidak memikirkan bahagian ini, lantas gagal menyedari di manakah masalahnya. Apabila kita mendapati ramai pelajar yang tidak tahu apa yang ingin dilakukan selepas Tingkatan Lima, atau mengisi ruang cita-cita dalam borang mengikut pandangan ibu bapa atau abang dan kakak - ianya masalah pendidikan, selain kawalan ibu bapa yang keterlaluan.

Namun, kumpulan pelajar ini mampu berfikir, maka mereka menyedari mengapa pentingnya kebebasan akademik. Mereka menyedari bahawa sesuatu yang bernilai untuk mahasiswa dan mahasiswi telah hilang dengan kemunculan AUKU. Mereka tahu. Tetapi mereka bukan berteriak dalam kedai kopi, atau memaki dalam Facebook, atau mencemuh ketika berbual-bual dengan kawan. Mereka tampil ke depan dan meminta agar kerajaan memandang berat isu ini.

Kemudian anda boleh lihat keberanian dan semangat setiakawan yang ada dalam diri mereka ketika membantu kawan mereka. Peristiwa pada awal pagi 1 Januari 2012 berlaku kerana mereka menyatakan sokongan mereka terhadap Adam Adli (yang dipanggil menghadiri prosiding lantaran perbuatannya menurunkan bendera berwajah Najib). Pada hari itu, ramai yang ditangkap kerana menyokong kawan mereka yang dibelasah polis. Mereka tidak meninggalkan situ sebab ketakutan, kerana yang dibelasah itu adalah kawan mereka. Sikap sedemikian gagal ditemui dalam dunia orang dewasa seperti kita.

Apa yang saya nampak dari Adam dan Safwan adalah semangat ini - mereka mempunyai pandangan mereka yang tersendiri, mereka mampu berfikir, mampu menganalisa senario terkini, malah menterjemahkan pandangan mereka kepada tindakan. Semangat sedemikian telah lama hilang dalam diri kita. Sekarang saya mula nampak cahaya, walaupun belum pasti apakah makna di sebalik cahaya ini (maafkan saya, saya hanya seorang ibu, bukan pendidik, malah bukan penganalisa politik).

Namun saya tetap ingin memberikan sekuntum bunga kepada anak-anak sebegini, untuk merakamkan penghargaan dari hati saya. Terima kasih kepada beliau dan rakan beliau - kerana menerokai satu kemungkinan halatuju reformasi pendidikan - demi anak saya atau rakan anak saya. -MerdekaReview

*Koh Wee Sun ialah seorang suri rumah tangga, antara ibu yang memberikan bunga kepada Muhammad Safwan Anang, Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), setelah beliau dikejarkan ke hospital lantaran keganasan yang berlaku dalam perhimpunan di depan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi 1 Januari 2012. Bunga ini disampaikan melalui Chua Yee Ling (gambar kanan, baju hijau), ahli Majlis Daerah Hulu Selangor.

**Tulisan ini dipetik, diterjemah dan disunting dari Facebook Koh Wee Sun dengan kebenaran.