10 Okt 2010

Kemalangan Ngeri Babitkan 6 Kenderaan, 12 Maut

12 Maut, Lebih 40 Cedera Dalam Kemalangan Babitkan Enam Kenderaan

Gambar: Kemalangan membabitkan dua bas ekspres, satu van dan tiga kereta di KM223 Lebuhraya PLUS berhampiran tol Simpang Ampat, malam tadi dipercayai meragut 11 nyawa. - Foto Jaafar Mulup/BH

REMBAU, 10 Okt (Bernama) -- Seramai 12 orang maut dan lebih 40 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat di sini Ahad.

Polis berkata kejadian berlaku pada kira-kira 6.40 petang apabila sebuah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur, gagal dikawal lalu melambung dan memasuki laluan bertentangan.

Bas terbabit kemudian melanggar sebuah van dan menghempap dua kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menuju ke selatan.

Sebuah kereta lagi turut terbabit dalam kemalangan itu, namun pemandu dan penumpangnya selamat.

Setakat ini, kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti.

Semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke tiga hospital berasingan iaitu Hospital Tampin, Hospital Tuanku Ja'afar dan Hospital Melaka. -- BERNAMA


Kemalangan maut di Alor Gajah, 10 terbunuh

MELAKA, 10 Okt: Lebih 10 dipercayai mati dalam kemalangan maut apabila sebuah bas ekspres dari Melaka menuju Kuala Lumpur terbabas lalu melayang ke jalan bertentangan di Simpang Empat Alor Gajah kira-kija jam 7 sekejap tadi.

Bas yang dipercayai sarat dengan penumpang itu bergeser dengan sebuah kereta lalu melayang ke laluan sebelah dan menghempap kereta yang sedang menuju ke Melaka dari Seremban menyebabkan bas itu terbalik dengan tayar ke atas.

Menurut Roslan Abdul Hamid, Pengarang Berita Harakah yang hanya lewat beberapa saat sahaja untuk terlibat dalam kemalangan itu, mayat-mayat bergelimpangan di atas jalan raya itu.

"Ia berlaku kira-kira jam 6.50 petang apabila bas ekspress Delima dari Melaka ke Kuala Lumpur bergeser dengan sebuah kereta lalu melayang ke jalan sebelah menghempap kereta dari laluan bertentangan itu," cerita Roslan kepada Harakahdaily dari tempat kejadian.

Turut terlibat dalam kemalangan maut itu adalah sebuah bas sekolah dan beberapa buah kereta.

"Salah sebuah dari kereta itu terbakar manakala sebuah lagi terperosok di bawah bas ekspres itu," beritahu Roslan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke rumahnya di Melaka.

Akibat dari kemalangan ini, Lebuhraya Utara Selatan itu jam teruk dari Seremban ke Melaka.

"Orang ramai sedang berusaha mengeluarkan mayat di samping membantu yang cedera," beritahu Roslan.

Keadaan mayat pula, katanya, amat menyedihkan.

"Ada yang putus tangan, ada yang pecah kepala dan hancur badannya," beritahu Roslan lagi yang masih terperangkap di tempat kejadian bersama keluarganya. -harakahdaily



Khalid Ibrahim Masuk Gelanggang, Azmin Terkesima

Khalid Ibrahim tanding timbalan presiden PKR

Tan Sri Khalid Ibrahim akhirnya mengumumkan bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

"Saya, Khalid Ibrahim menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti," katanya.

Beliau membuat pengumuman itu di hadapan 300 penyokong dan pemimpin cabang di kediaman rasmi menteri besar di Shah Alam sebentar tadi.

Ini bermakna, beliau akan bersaing dengan dua naib presiden sekarang Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub dan Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim untuk kerusi nombor dua itu.

Belum pasti sama ada Zaid - salah seorang pesaing utama untuk jawatan itu - akan mengundurkan diri untuk memberikan laluan kepadanya, seperti yang pernah dijanjikannya sebelum ini.

Manakala ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Pengarah Strategi PKR Tian Chua yang sudah cukup dua pencalonan minumum untuk bertanding belum membuat sebarang pengumuman sama ada menyertai persaiangan itu atau pun tidak.

Berdasarkan keputusan pencalonan daripada 171 cabang yang diperoleh Malaysiakini, Azmin mendahului dengan 102 pencalonan, Zaid 38, Mustaffa 17, Tian Chua 5, Khalid 5 dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail 3 yang melayakkan mereka bertanding jawatan itu. -mk

Ulasan GB

Sekalipun sebelum ini Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan tuduhan bahawa Azmin Ali berhasrat untuk menjatuhkannya, yang Azmin cukup gembira dengan penafian Tan Sri Khalid itu, namun sepertimana yang GB utarakan sebelum ini Khalid bukan kecik anak.

Penafian dari seorang tua bukan bererti perkara itu tidak berlaku, tetapi sebagai seorang yang low profile dan tidak mahu menampakkan persengketaan yang lebih ketara, Tan Sri Khalid lebih tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Tan Sri Khalid sebelum ini pernah dikritik secara biadab oleh Azmin, yang kerana kebiadabannya itu, Tan Sri Khalid berundur dari jawatan Ketua PKR negeri.

Terkesimalah Azmin, bukan Zaid, sekalipun Zaid pernah menyatakan bahawa beliau berundur jika Tan Sri Khalid masuk ke gelanggang.



Chua Cuba Takutkan Bukan Melayu Terhadap PAS

Hanya PAS berkuasa jika Pakatan tawan Putrajaya, BN beri Cina amaran

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) hari ini secara terbuka menzahirkan isyarat bahaya di kalangan pengundi Cina dengan menegaskan sebarang sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) hanya akan membuka ruang kepada PAS mengepalai ikatan muda itu.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi amaran, meskipun PAS memperlihatkan kesederhanaan parti Islam itu pasti tidak akan mengetepikan “pendirian autokratik Islam” jika PR menguasai Putrajaya.

“Kami merasakan jika Pakatan berkuasa, PAS akan berada di tempat kapten.

“PAS tidak akan melupakan dasar autokratik Islam dan jangan terkejut jika PAS memperoleh kuasa, ia akan kembali keterbelakang,” tegas Dr Chua dalam ucapan dasar presiden MCA pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-57 hari ini.

Dr Chua mendakwa sejak pilihan raya umum 2008, DAP dari PR, yang kelihatan seolah-olah sekedudukan dengan MCA, hanya berjaya dalam membawa sokongan Cina kepada PAS.

“Kami (BN) tidak mendakwa kami adalah kerajaan yang sempurna, tetapi (kami) berharap rakyat Malaysia akan menghalusi dengan mendalam jika mereka meraskaan Pakatan adalah pilihan yang baik,” katanya lagi.

Selain PAS dan DAP, PR dianggotai PKR.

Meskipun mendakwa pakatan mereka adalah konkrit berdasarkan dasar dan platform bersama, kedua-dua PAS dan DAP secara terbuka memperlihatkan perbezaan pendirian berhubung usaha melaksanakan negara Islam.

Sejak beberapa bulan lalu, pemimpin-pemimpin PAS menekankan bahawa mereka kekal dengan pendirian mengadakan undang-undang hudud meskipun DAP memberi amaran mengenai idea tersebut.

Pada perhimpunan MCA hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyertai Dr Chua dengan memberi amaran kepada pengundi Cina bahawa tidak mungkin PAS akan mengubah pendiriannya.

“Dr Chua betul dalam memperingatkan anda bahawa mereka (PAS) tidak menyerah dalam pendirian negara Islam mereka. Dan, saya pasti jika ia dilaksanakan, ia akan mengubah cara hidup anda dan memberi kesan ke atas masyarakat Cina,” kata beliau.

Sehubungan itu, Najib menambah, Pengerusi DAP Karpal Singh serba salah apabila satu ketika dahulu bahawa “melangkah mayat saya” berhubung matlamat PAS.

“Itu sebab Karpal berkata ‘melangkah mayat saya’. Saya tidak bersetuju dengan Karpal dalam kebanyakan masa, tetapi kali ini, beliau betul,” kata Najib dalam ucapan perasmian perhimpunan kali ini yang dihadiri 1,764 perwakilan.

Najib juga menambah, kata-kata Karpal menunjukkan pemimpin itu tidak mempercayai PAS yang menganggotai PR bersama PKR.

Sambil mendakwa kedua-dua parti itu tidak mempercayai antara satu sama lain tetapi seolah-olah memperlihatkan kepercayaan masing-masing Najib berkata, ia satu sandiwara politik.

“Ini adalah sandiwara politik. Kita dalam Barisan Nasional mempercayai satu sama lain. Itu sebabnya kami boleh bekerja sebagai satu pasukan,” kata Najib yang juga Pengerusi BN.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Chua mengarahkan pemimpin-pemimpin MCA di negeri-negeri yang dikuasai PR supaya menggunakan pendekatan ofensif dan bertindak sebagai pembangkang yang kuat untuk mendedahkan segala kelemahan dan kekurangan mereka.

“Pergi dan mendedahkan kekurangan, skandal, salah guna kuasa, penyelewengan dan kelemahan kerajaan-kerajaan itu,” katanya.

“Dan, saya pasti mesti ada banyak (kes),” kata Dr Chua.

Tsunami politik 2008 telah mengurangkan perwakilan MCA di Parlimen daripada 31 kerusi pada 2004 kepada hanya 15 manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri pula ia menurun daripada 75 kepada 31 kerusi.

Sementara itu, MCA hari ini menolak cadangan untuk meminda dua artikel dan subartikel perlembagaan parti, selepas gagal memperoleh undi majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk melakukan pindaan itu.

Penolakan itu meleburkan harapan Pemuda MCA untuk memberi peranan dan perwakilan yang lebih besar kepada anggotanya ke perhimpunan agung tahunan parti berkenaan.

Speaker Datuk Yik Phooi Hong berkata hanya 671 atau 63 peratus daripada 1,064 perwakilan yang mengundi, bersetuju untuk meminda artikel dan subartikel itu manakala 392 yang lain menentang dan terdapat satu undi rosak.

Cadangan untuk meminda Artikel 67 dan Sub-Artikel 67.7 serta Artikel 94 dan Subartikel 94.7 bertujuan membolehkan seorang anggota Pemuda MCA dari setiap cawangan dan bahagian untuk menghadiri perhimpunan agung.

Pada masa ini hanya sayap Wanita sahaja dibenarkan berbuat demikian. -TMI

Ulasan GB

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dihentam teruk oleh Wanita MCA akibat skandal seksnya hari ini cuba mengalihkan perhatian masyarakat Cina dengan menakut-nakutkan mereka bahawa kononnya seandainya PR berkuasa, PAS akan menjadi kapten. Tmabhanya ini akan menyebabkan parti Islam itu pasti tidak akan mengetepikan “pendirian autokratik Islam”.

Kita ingin bertanya pula kepada Soi Lek, jika keadaan demikian kenapa takut dan kenapa cuba menakutkan bukan Melayu (kususnya Cina) terhadap PAS?

Yang takut kepada hukum Islam yang dibawa oleh PAS ialah yang bersalah. Yang tak bersalah tidak ada apa yang perlu gentar.

Sama seperti hukuman mati mandatori ke atas pesalah seperti pembunuh dan pengedar dadah di dalam undang-undang sivil. Jika anda bukan pesalahnya kenapa takut dengan hukum mandatori itu?

Bukan sahaja Chua Soi Lek yang takut kepada hukum Islam, UMNO juga takut, kerana di kalangan mereka ramai yang macam Chua juga, malah ada yang lebih teruk dari itu. Di dalam sistem yang ada kini, kerana manipulasi agensi-agensi seperti SPRM, PDRM, Peguam Negara dan sistem kehakiman, perasuah-perasuah dan penjenayah-penjenayah ini terlepas. Sampai bila mereka perlu dibiar lepas bebas tanpa hukuman?

Itu pun PAS perkenalkan hukum Islam untuk umat Islam dahulu. Memperkenalkannya sebagai mukaddimah, sebagai pengenalan. Umat Islam memang wajib melaksanakannya untuk mematuhi perintah agamanya, kecuali UMNO yang semamangnya selam ini tak pernah mahu patuh kepada perintah agamanya. Jika nanti bila orang bukan Islam sudah bersetuju dan yakin mengenai kebenaran dan keadilannya barulah boleh ia dilaksanakan untuk semua rakyat.

Ini belum apa-apa lagi, Chua sudah takut amat sangat dan kini cuba untuk menakut-nakutkan kaumnya terhadap undang-undang berkenaan.


Histeria Lagi. Apa Puncanya?

Pelajar Sekolah Agama Kuala Terengganu Diserang Histeria

Gambar: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik ditenangkan oleh guru dan pelajar lain setelah diserang histeria di sekolah itu di sini, hari ini Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU, 10 Okt - Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik di sini kecoh apabila enam pelajar perempuannya diserang histeria selepas acara perhimpunan pagi tadi.

Lima daripada pelajar terbabit merupakan pelajar Tingkatan Lima manakala seorang lagi adalah pelajar Tingkatan Dua yang sebelum ini telahpun terkena histeria pada Khamis lepas.

Difahamkan, pada Khamis lepas, dua pelajar perempuan Tingkatan Dua sekolah itu terkena histeria dan diarahkan dibawa pulang, namun kejadian sekali lagi berulang hari ini apabila seorang pelajar yang sama kembali terkena gangguan itu sebelum merebak kepada lima pelajar Tingkatan Lima.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Razali Daud berkata, sekumpulan ustaz dari Darul Syifa telah dipanggil untuk membantu memulihkan keadaan pelajar terbabit selain usaha membaca surah Yasin yang dilakukan guru-guru dan pelajar sekolah berkenaan.

"Keadaan terkawal dan setakat petang ini hanya tinggal seorang pelajar perempuan yang masih belum pulih sepenuhnya dan kita telahpun membenarkan mereka dibawa pulang oleh keluarga masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita pada hari Ahad.

Katanya, pelajar yang terlibat dibenarkan bercuti sehingga keadaan masing-masing kembali pulih.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada kejadian berpunca daripada gangguan makhluk halus atau tekanan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar berkenaan.

Sementara itu semasa tinjaun dilakukan kedengaran bacaan Yasin dari salah sebuah bilik darjah di mana seorang pelajar perempuan yang masih pulih daripada gangguan itu ditempatkan.

Pelajar terbabit yang merupakan salah seorang pelajar harapan sekolah untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia nanti kemudian kelihatan dibawa pulang oleh ahli keluarganya Kira-kira 2.30 petang. - BERNAMA


Histeria dari sudut sains

Histeria sejenis gangguan psikiatri atau mental boleh berlaku disebabkan tekanan tidak terurai, dan apabila tidak dapat kendalikan dengan baik, maka ia akan mempengaruhi pemikiran individu dan dikeluarkan secara histeria.

Presiden Persekutuan Asean Bagi Kesihatan Psikiatri dan Mental (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata apabila individu yang menjadi punca histeria dirasuk, ia boleh mempengaruhi orang berhampirannya kerana mungkin orang yang berada di sekitarnya ketika itu, turut menghadapi masalah sama dengan `ketua' yang memulakan histeria itu, seperti tekanan akibat peperiksaan dan sebagainya.

"Histeria dikatakan berjangkit, tetapi sains melihatnya sebagai mekanisme minda yang boleh mempengaruhi individu lain. Contoh yang paling mudah, kalau si A menyatakan kubur hujung kampung ada hantu, si A nampak hantu dan menyebarkan cerita itu kepada orang lain, maka orang yang seterusnya akan menganggap memang betul ada hantu di kawasan kubur berkenaan, seterusnya kawasan itu dicop sebagai berhantu.

"Ia adalah tindakan emosi yang menyebabkan ia berlaku begitu, tetapi dalam kes histeria, ia boleh jadi lebih ekstrem lagi. Apabila seorang memulakan, individu lain yang melihatnya akan berasa ketakutan dan turut terbabit histeria. Walaupun histeria turut berlaku di kalangan lelaki, wanita yang lebih ramai kerana naluri, selain pengaruh psikologi mereka," katanya.

Begitupun, Prof Mohamad Hussain berkata, kepercayaan berhubung perkara tahyul, turut mempengaruhi apabila yang menjadi ketua itu dikatakan terkena sampuk sedangkan mungkin sebelum itu individu berkenaan sememangnya sudah berhadapan tekanan perasaan sebelum ini.

"Dalam proses rawatan, kita akan analisa `ketua' itu terlebih dulu bagi memastikan apakah sebenarnya punca masalahnya. Selalunya kita akan berikan pesakit ubat penenang, seterusnya kaunseling dan diberikan cuti rehat. Justeru, majikan atau pihak sekolah harus faham kerana rawatan kadangkala memakan waktu kerana ada rawatan susulan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, histeria juga dikaitkan dengan proses pemodenan. Apabila sesuatu masyarakat itu melalui proses perpindahan dari kampung ke kawasan moden, kejadian histeria dilaporkan semakin berkurangan.

Merujuk pada tahun 1980 dan 90-an dulu, Prof Hussain berkata, ketika itu, banyak kejadian histeria berlaku di sekolah dan industri hingga memaksa berlaku penutupan sekolah serta kilang malah dalam satu kes pada 1980-an, sebuah kilang terpaksa ditutup kerana kira-kira 50 orang pekerjanya terkena histeria.

"Psikobudaya masyarakat yang ada masalah histeria lebih menjurus kepada pemikiran atau masih dikongkong dengan tahyul. Tetapi apabila kita melihat di Malaysia, dari segi etnik, Melayu paling tinggi dibandingkan dengan kaum lain.

Psikobudaya terkongkong dengan pemikiran tradisi yang ada kaitan dengan tahyul banyak berlaku di kalangan orang Melayu.

"Zaman 1960-an lalu, ramai juga orang India serta China terkena histeria, tetapi apabila zaman berubah, golongan daripada kaum itu yang terbabit dengan kejadian histeria semakin berkurangan, tetapi sekiranya dibandingkan antara tiga golongan ini, orang Melayu masih menduduki tempat tertinggi," katanya yang tidak menolak kemungkinan faktor ekonomi rendah turut mempengaruhi mangsa.

Mengambil contoh kejadian histeria, katanya, orang meracau akan mengeluarkan bahasa yang sukar difahami hingga segelintir menyatakan disampuk hantu India atau Cina, tetapi apabila didengar betul-betul, ia sekadar bahasa yang sukar difahami.

Memandangkan histeria berlaku di sekolah, beliau menasihatkan supaya `ketua' yang memulakan histeria dibawa ke hospital dengan segera kerana kesan histeria boleh melumpuhkan sesuatu organisasi.


INFO Kejadian histeria (seperti dilaporkan media)

* 15 Julai 2009

ARAU: SEKURANG-KURANGNYA sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin (SMKSS) gempar apabila beberapa pelajarnya histeria selepas mendakwa melihat kelibat wanita dalam keadaan mengerikan berkeliaran di pekarangan sekolah itu. Pelajar yang baru pulang dari menyertai Latihan Perkhemahan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Bukit Ayer meraung, meracau dan menangis secara tiba-tiba. Malah, ada antara mereka mula bertutur dalam loghat Indonesia sehingga mencetuskan rasa takut di kalangan rakan, sambil menangis meminta tolong ketika cuba dirawat seorang pengamal perubatan tradisional. Kejadian selama sejam bermula 10 pagi itu sebenarnya adalah lanjutan kepada serangan histeria yang dilaporkan berlaku di Bukit Ayer di sini, yang turut membabitkan pelajar sekolah sama, hari sebelumnya. Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya lima daripada 32 pelajar SMKSS yang menyertai Latihan Perkhemahan JPAM di Bukit Ayer, dilaporkan mengalami histeria, sebelum dibawa pulang ke sekolah.

* 28 APRIL 2009

Alor Setar: LIMA pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Langgar (SMKL) di sini, diserang histeria.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika kebanyakan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat sedang membaca surah Yasin di surau sekolah apabila seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit sambil menunjuk ke arah kantin sekolah sebelum diikuti beberapa pelajar lain. Dalam kejadian itu seorang pelajar mendakwa ternampak kelibat seorang wanita berambut panjang dan berkain putih mengelilingi sekolah, menyebabkan ramai pelajar perempuan menjerit dan meracau kerana takut.

* 11 Oktober 2008

Kuala Lumpur: Empat pelajar perempuan Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gombak diserang histeria sejak awal minggu lalu. Seorang pelajar mendakwa kejadian itu turut dialami tiga lagi rakannya sejak beberapa hari lalu selepas waktu rehat sesi petang persekolahan.

Sebaik mangsa dibawa ke bilik guru, rakannya pula melarikan diri kerana mendakwa ada lelaki ingin mencederakannya dan ketika itu juga dia nampak wanita berwajah menakutkan berdiri di sebelahnya.

* 3 OGOS 2010

Kuala Lumpur: Sebuah sekolah menengah di Desa Petaling di sini, terpaksa ditutup sementara selepas lebih 10 pelajar perempuan, seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita tiba-tiba diserang histeria, semalam. Serangan histeria itu bermula kira-kira jam 7.45 pagi apabila seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga, Atikah Abdullah, yang menghadiri perhimpunan pagi tiba-tiba mengamuk dipercayai dirasuk. Keadaan dialami mangsa berjangkit kepada sembilan pelajar lain termasuk seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita ketika semua mereka yang juga rakan sekelas mangsa cuba menenangkannya.


Galas: Ibrahim Putar Lidah Kata Perkasa Tak Mahu Kempen Calon UMNO BN

Perkasa tidak mahu bantu kempen calon Umno-BN di Galas

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Perkasa yang pernah terlibat dalam kempen beberapa pilihan raya kecil secara aktif tidak akan membantu calon Barisan Nasional (BN) di Galas kali ini, keputusan yang dipercayai diambil ekoran kontroversi berhubung kerjasama dengan Umno-BN baru-baru ini.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya tidak akan terlibat dalam apa jua bentuk kempen sebagai entiti, tetapi membenarkan ahli-ahlinya, yang sesetengah mereka merupakan anggota parti-parti politik, membantu parti masing-masing atas kapasiti ahli parti mereka.

“Perkasa tidak akan terlibat dengan apa jua kempen di Galas... tapi ahli Perkasa secara individu atau yang menjadi ahli kepada mana-mana politik parti, adalah hak masing-masing, begitu juga saya,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini dalam satu kenyataan.

Ibrahim tidak menggariskan sebab Perkasa mengambil tindakan ini.

PAS dan Umno melihat pilihan raya kecil ini sangat penting kepada mereka.

Ibrahim pernah menjadi ahli Umno dan telah memenangi kerusi Parlimen Pasir dengan menggunakan simbol PAS pada 8 Mac 2008.

Pengarah jentera BN di DUN Galas Tengku Razaleigh Hamzah pula merupakan bekas ketuanya ketika menganggotai Parti Melayu Semangat 46.

The Malaysian Insider difahamkan ia ada kaitan dengan kontroversi membabitkan Ibrahim dengan beberapa pemimpin kanan Umno dan BN sejak Jun lalu.

Ketika ada dakwaan bahawa pendirian Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa membela hak orang Melayu dan Bumiputera ini, membawa elemen-elemen rasis, mereka juga menggesa agar Umno menjauhkan diri daripada Perkasa.

Mereka bimbang Perkasa boleh menghakis sokongan kepada BN dalam pilihan raya termasuk pilihan raya kecil.

Sebelum ini, Perkasa menafikan dakwaan sedemikian atas alasan ia hanya ditubuhkan dua tahun lalu, sebaliknya kemerosotan sokongan kepada BN adalah kerana masalah dalaman parti-parti komponen BN.

Perkasa pernah aktif berkempen ketika pilihan raya kecil DUN Manek Urai Julai 2009 dan seterusnya di DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan.

Penyertaan Perkasa ketara ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan mengadakan bilik gerakan khas. Ia tidak terlibat secara langsung di Sibu, Sarawak Mei lalu.

Dalam kenyataannya kali ini, Ibrahim kelahiran Kelantan memberitahu, sekiranya beliau pergi meninjau atau memberi pendapat ketika kempen pilihan raya kecil DUN Galas, ia adalah atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bebas dan bukan atas nama presiden Perkasa.

“Tegasnya, Perkasa atas nama organisasi tidak akan terlibat dgn sebarang kempen,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 November ini dengan penamaan calon pada 26 Oktober.

Ulasan GB

Yang sebenarnya, Perkasa TIDAK DIPERLUKAN untuk membantu UMNO BN di Galas, bukan Perkasa tidak mahu membantu UMNO.
GB sudah ulas di SINI.


Lelaki Punyai 100 Isteri Meninggal Dunia

Nairobi: Seorang lelaki Kenya yang terkenal kerana mempunyai 100 isteri, meninggal dunia minggu ini selepas jatuh sakit, lapor media tempatan.

Lelaki yang tinggi digelar ‘Danger’ (Bahaya) kerana pandai memikat wanita, mempunyai hampir 160 anak, lapor Perbadanan Penyiaran Kenya (KBC). Ancentus ‘Danger’ Akuku berusia 90-an. Disebabkan anggota keluarganya ramai, beliau membina sebuah gereja dan sekolah untuk anak-anaknya di bandar Kisumu.

Akuku mengakui saiz keluarganya menyebabkan dia mustahil untuk mengingati kesemua nama mereka.

Lelaki itu menganggap pemakanan tradisional termasuk sayur adalah faktor utama dia umur panjang serta terus bersemangat menjalani kehidupan, kata media di sini.

Dia pengsan di rumahnya disebabkan komplikasi tekanan darah tinggi dan diisytiharkan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di sini, kata anaknya.

Akuku berkahwin isteri pertamanya pada 1939 dan kali terakhir pada 1992. Dia juga bercerai sebanyak 30 kali, lapor akhbar kerajaan.
Ketika era Akuku membesar, poligami adalah amalan biasa di negara Afrika Timur itu. Bagaimanapun, ia tidak lagi popular dan semakin jarang diamalkan kebelakangan ini.

Selain itu, wanita juga semakin ramai yang menuntut persamaan hak di Kenya dan kebanyakan mereka juga enggan bermadu.

“Saya tidak peduli sama ada dia raja atau presiden. Amalan ramai isteri ketika era nenek moyang sudah tamat dan wanita juga memegang kuasa sekarang, tidak seperti dulu,” kata seorang penduduk Nairobi, Janet Otieno, 25.

Kata-katanya disokong oleh Anastasia Wanjiru yang menganggap poligami sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Adakah semua isterinya tinggal bersama? Tidak mungkin rumah tangga saya akan aman jika saya bermadu. Itu tidak normal. Gila,” kata Wanjiru, 28, ketika diminta mengulas. – Agensi

Mayat Bayi Perempuan Dihurungi Lalat

Kemusykilan seorang pemuda tentang tanah yang ditimbus dan dihurung lalat, membawa kepada penemuan mayat bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat dalam kejadian di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, berdekatan Sungai Klang, di sini, semalam.

Lebih memilukan, mayat berlumuran darah itu dibungkus dengan kain lampin dan dipercayai ditanam di kawasan itu sejak tiga hari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Harun Sungep, 25, berkata, ketika itu, dia ke tempat kejadian mencari daun keladi untuk dijadikan makanan itik peliharaannya.

“Saya duduk di bawah pokok sebelum melihat sekumpulan lalat menghurung tanah yang baru ditimbus. Timbul rasa hairan di hati sebelum saya mengambil keputusan untuk mengorek tanah itu.

“Beberapa minit selepas menggali, saya melihat kain putih berdarah dan terus menghubungi abang ipar sebelum dia ke sini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, selepas abang iparnya, Mazlan Endut, 43, tiba di lokasi, mereka cuba mengali lagi dan terkejut apabila melihat tangan bayi sebelum menghubungi polis memaklumkan penemuan itu.

“Rabu lalu, abang ipar saya sudah melihat timbunan tanah itu tetapi menyangka pemilik kebun sebelah menanam bangkai binatang bawah pokok ini kerana ada baru ditimbus.

“Dia ada beritahu saya, bagaimanapun kami tak ambil peduli. Tetapi tadi (semalam) selepas waktu kerja, saya terus ke sini untuk memberi makan kepada kambing dan itik yang dipelihara dan apabila ternampak lalat menghurung tanah itu, saya tergerak hati untuk menggali,” katanya.

Menurutnya, ini pertama kali berlaku sejak kebun berhampiran Sungai Klang diusahakan hampir enam tahun lalu dan sepanjang minggu ini, mereka tidak nampak kelibat individu yang mencurigakan berada sekitar kawasan itu kerana kebun itu jauh dari kawasan kediaman.

Sepasukan polis dari Unit Forensik ke lokasi kejadian mengumpul bukti kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin mengesahkan penemuan mayat bayi itu dan menurutnya siasatan sedang dijalankan. -SH

UMNO Kelantan Belanja Sakan Hasil Rompakan Wang Royalti

Agihan wang ihsan mesti diselesaikan akhir bulan ini: JPP

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan memastikan semua pengagihan wang ihsan pelajar di negeri Kelantan diselesaikan akhir bulan ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustaffa, berkata semua peruntukan RM25 juta itu akan dihabiskan sehingga tempoh tersebut.

“Ia sebagaimana dikehendaki oleh Kerajaan Pusat melalui agensi pelaksana pengagihan wang itu iaitu JPP dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan,” katanya selepas melakukan upacara pelepasan serombongan 1,500 anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Kelantan yang menaiki 32 bas di Dataran Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, di sini, malam tadi.

Rombongan diketuai Mejar (B) Mohd Ali Nawang itu dijangka mengadakan pertemuan khas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Putrajaya, petang ini.

Makhtar berkata, lebih 70,000 pelajar rendah rendah dan tingkatan enam menerima bantuan wang ihsan itu yang dikendalikan jabatannya dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (JPP) dan Pejabat Pembangunan Jajahan (PPJ).

Pemberian wang ihsan itu diperuntukkan Kerajaan Persekutuan selepas menukarkannya daripada royalti mula dikeluarkan kepada pelajar Ogos lalu, membabitkan 70,800 pelajar di seluruh negeri Kelantan tanpa mengira bangsa.

Katanya, mengikut peraturan, pelajar yang telah menerima bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajaran Malaysia (KWAMP) dan keluarga berpendapatan lebih RM1,500 sebulan, tidak layak menerima wang itu.

“Pelajar tingkatan enam layak menerima wang ihsan itu tanpa mengira kedudukan dan pendapatan keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu mereka yang menerima wang ihsan itu memanfaatkan pemberian itu sewajarnya untuk kemudahan pelajaran mereka tanpa menyalahgunakannya. -BERNAMA



Royalti: Kelantan saman tidak libatkan Pusat

KOTA BHARU, 7 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menolak permohonan peguam Petronas agar kerajaan Pusat dilibatkan bersama dalam isu pertikaian hak royalti negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, penolakan itu dibuat kerana kerajaan negeri berpendapat kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam isu saman tersebut.

Saman tersebut, jelasnya hanya melibatkan Petronas yang melanggar perjanjian dengan kerajaan negeri.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri bagaimanapun bersetuju dengan permohonan mereka satu lagi iaitu memberi tempoh lanjutan mengemukakan afidavit pembelaan terhadap saman kerajaan negeri.

"Kita dah bincang dengan Menteri Besar, dan kita bersetuju untuk memberi masa lanjutan kepada Petronas untuk memfailkan afidavit pembelaan.

"Adapun berhubung penyertaan kerajaan pusat itu, kita bersetuju untuk menolak, kerana kita saman Petronas yang memungkiri kontrak, kerajaan Pusat tiada kena mengena dalam hal ini," katanya pada satu majlis di sini, semalam.

4 Oktober lalu adalah merupakan tarikh akhir bagi Petronas mengemukakan afidavit pembelaan mereka namun ianya belum dibuat.

Mereka bagaimanapun mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kelantan agar dilanjutkan tempoh tersebut.

Penjelasan itu juga merupakan perkembangan terbaru isu tersebut selepas Kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 30 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, banyak pihak menjangkakan isu tuntutan royalti ini menjadi topik utama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas pada 4 November nanti.

Isu ini juga menarik perhatian ramai apabila bakal memperlihatkan pendirian veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga disebut-sebut sebagai pengarah pilihan raya Umno BN bagi PRK Galas.

Beliau sebelum ini satu-satunya pemimpin Umno yang lantang menyokong tindakan kerajaan negeri menyaman Petronas menuntut hak royalti minyak. -harakahdaily

Ulasan GB

Demikian menyedihkan dimana kerajaan UMNO BN sanggup merompak hasil royalti milik Kerajaan Kelantan dengan menjadikannya wang ihsan (dengan mengenepikan Perjanjian yang dibuat di antara Petronas dengan kerajaan negeri), yang kemudiannya wang ihsan ini tidak diserahkan kepada kerajaan negeri tetapi diagihkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Rakyat menjadi keliru sebelum ini Husam Musa, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri menolak permohonan peguam Petronas agar kerajaan Pusat dilibatkan bersama dalam isu pertikaian hak royalti negeri itu.

Mungkin dari sudut teknikal perundangan, GB belum nampak rasional tindakan sedemikian namun kita percaya Kerajaan Pusat ada terlibat secara lansung mengenepikan perjanjian berkenaan dengan tindakan mereka menukar wang royalti kepada wang ihsan.

Perancangan jahat Datuk Seri (sekarang Tun) Mahathir Mohd yang memulakannya apabila Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS pada pilihanraya 1999. Dan polisis itu diterus di zaman Abdullah Ahmad Badawi dan kini Mohd Najib.

Dan kita berharap Jabatan Audit Negara dan PAC menyiasat penggunaan wang ihsan tersebut dengan teliti dan sebarang penyalh-gunaannya mestilah didedah dan dihentikan.

Kita juga berharap mesej jelas tuntutan wang royalti akan diberikan nada yang keras dan lantang di pilihanraya kecil Galas nanti.



Emas Dari Skuad Menembak. Tahniah Dari Rakyat Malaysia.

Tembakan emas!

PINGAT emas keenam negara - sesuatu yang tidak dijangkakan - menyusul daripada acara menembak menerusi gandingan Nur Suryani Mohd Taibi dan Nur Ayuni Halim semalam buat mendekatkan sasaran kontinjen negara dengan sasaran 10 emas pada edisi Sukan Komanwel XIX, kali ini.

Dua gadis itu tidak terbayang kejayaan bakal dilakar dalam acara 10 meter air rifle berpasangan ketika terus ‘bersembunyi’ dalam bilik persalinan sejurus selepas menamatkan acara mereka di Lapang Sasar Dr Kami Singh.

“Saya dan Ayu masuk bilik dan tukar baju. Kami tidak mahu keluar kerana perasaan kami penuh gementar memikirkan apakah kesudahan cabaran kami ketika hanya berfikir boleh menang perak saja,” kata Suryani.

“Apabila kami keluar, pegawai pasukan menjerit-jerit ke arah kami - “Kamu menang emas, kamu menang emas. Saya dan Ayu seperti tidak percaya dan memeluk sesama sendiri. Ini adalah pencapaian terbaik kami berdua sepanjang kerjaya menembak.”

Suryani melakukan bidikan yang memberi 398 mata manakala Ayuni - yang kurang sihat kerana sakit perut semalam - melakukan 395 bagi jumlah terkumpul 793 mata untuk menewaskan pasangan Singapura, Jasmine Ser Xiang Wei-Cheng Jian Huan dengan kelebihan tiga mata. Gangsa menjadi milik Shihur Suma Siddharth-Kavitha Yadav dari India, 785.

Ia adalah emas pertama daripada skuad menembak di New Delhi sejak kejayaan Nurul Huda Baharin pada edisi 1998 di Kuala Lumpur.

Ayuni, 20, dari Kuantan yang membuat kemunculan pertama di temasya ini, mendedikasikan pingat kejuaraan ini kepada arwah neneknya, Zaharah Yusof yang meninggal dunia tahun lalu.

“Nenek kata nak tengok aksi saya di televisyen dan minta saya berlatih baik-baik dan menang. Saya sedih dia sudah tiada lagi melihat kejayaan cucunya,” katanya yang bertekad memburu satu lagi pingat dalam acara individu, hari ini.

Suryani, 26, dari Ipoh yang melakukan catatan peribadi terbaik, menyuarakan rasa gembira selepas berjaya memperbaiki pencapaian dua gangsa di Melbourne 2006 dan seperti Ayuni, mahu memburu satu lagi kejayaan dalam acara individu, hari ini.

“Perasaan takut seperti sudah hilang kerana emas ini memberi keyakinan baru,” katanya yang berterima kasih kepada sokongan keluarga, khususnya, ayahnya Mohd Taibi yang menjadi pendorong kejayaannya. -BH

Rombak Modul BTN - Pemuda MCA

Perhimpunan Agung MCA desak rombak modul BTN

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 resolusi diluluskan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA Ke-46, semalam termasuk mendesak kerajaan merangka semula modul latihan Biro Tatanegara (BTN) dengan memansuhkan kandungan berunsur perkauman.

Menurut resolusi keenam itu, modul latihan BTN perlu meningkatkan semangat patriotik di kalangan kakitangan awam serta menjalankan tanggungjawab secara adil tanpa mengira warna kulit.

“Kerajaan juga harus mengarahkan semua pensyarah BTN supaya berhati-hati ketika penyampaian kuliah dan tidak menyinggung perasaan kaum lain yang membawa padah kepada perpaduan.

“Peranan BTN adalah memastikan kakitangan awam faham tanggungjawab mereka ialah memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan bukan meningkatkan kerenah birokrasi dalam sistem pentadbiran awam,” menurut resolusi itu.

Resolusi lain ialah memberi amaran kepada semua pihak supaya jangan mempolitikkan isu perkauman, termasuk sengaja mengeluarkan kenyataan memansuhkan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Selain itu, pergerakan berkenaan menyokong pendirian ‘Malaysian First’ dan kerajaan Barisan Nasional perlu tegas memutuskan hubungan dengan organisasi seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bagi meredakan isu perkauman yang semakin tegang.

Seterusnya, kerajaan perlu menetapkan peraturan baru sistem ganjaran dan hukuman kakitangan awam bagi mengurangkan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kepincangan pentadbiran.

Di samping itu, usul terbabit menyokong dan mencadangkan kerajaan melaksanakan gaji minimum seca-ra berperingkat bagi mewujudkan modal ekonomi bernilai tinggi serta meminta kerajaan meneruskan pemberi-an biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Luar Negara berdasarkan merit.

“Menyokong penuh usaha kerajaan untuk mensistematikkan pelan biru mekanisme baru perumahan di mana sekeping tanah akan disediakan bagi pembinaan SJKC di kawasan pembangunan baru dengan kepadatan 3,000 rumah.

“Menyeru kerajaan menerima pelajar berkelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk memasuki maktab perguruan, menjadi kakitangan awam dan memasuki universiti awam,” menurut resolusi itu lagi. -BH

Ulasan GB

GB sudah ulas di Si Sepet Dan Si Buta: Wartawan TMI Yang Kena Siasat

Penduduk Serbu Rumah Gadis Rakam Gambar Jin Dalam Botol

Jertih: Rumah gadis misteri di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, yang kerap ghaib menjelang senja dan tengah malam diserbu ratusan penduduk apabila dua bomoh yang merawat gadis itu mendakwa berjaya menangkap sembilan jin dan makhluk halus, malam tadi.

TERTARIK... orang ramai berebut-rebut mengambil gambar jin dan makhluk halus yang dimasukkan ke dalam tabung khas sebelum ia dihanyutkan ke laut oleh bomoh malam tadi.

Dua bomoh itu yang datang untuk menawarkan khidmat percuma selepas mengetahui kisah gadis itu menerusi akhbar sejak Selasa lalu, berpecah ketika sesi merawat, dengan seorang mengerjakan solat di dalam rumah dan seorang lagi menggunakan jampi di luar rumah.

Selepas 15 minit kedua-dua bomoh itu merawatnya, rakan bomoh di luar rumah ternampak satu lembaga dan terus mengejar lalu berjaya menangkap makhluk berkenaan.

Kerja menangkap berkenaan berlangsung satu demi satu sebelum sembilan jin atau makhluk halus berjaya ditangkap, menyebabkan beratus-ratus penduduk setempat menyerbu rumah gadis itu dan melihat usaha bomoh menangkap makhluk itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali serta isteri turut hadir untuk melihat peristiwa yang menggemparkan penduduk daerah ini.

Ramlan berkata, selepas menangkap sembilan jin dan makhluk itu, bomoh terbabit memasukkannya ke dalam bekas khas yang bertutup bagi mengelak ia keluar.

Orang ramai yang menyaksikannya tidak melepaskan peluang mengambil gambar dan video, kebanyakannya menggunakan telefon bimbit, untuk dijadikan kenangan dan bahan bukti kejayaan bomoh berkenaan.

Ibu gadis itu, Norizan Said, 47, ketika ditemui berkata, sejak kisah anaknya disiarkan media ini, Selasa lalu, seramai 17 bomoh datang menawarkan diri untuk merawat Siti Balqis secara percuma, tetapi kejadian malam tadi paling kemuncak apabila bomoh berkenaan menunjukkan kepakaran berjaya menangkap makhluk yang sebelum ini didakwa menjadi punca anaknya ghaib.

Usaha wartawan Berita Minggu untuk mendapatkan komen dan mengambil gambar dua bomoh itu gagal kerana mereka tidak mahu menonjolkan diri, sebaliknya memberitahu makhluk halus yang ditangkap akan dihanyutkan ke laut.

Ulasan GB

Kewujudan jin sebagai makhluk Allah selain daripada manusia memang ada. Ini dinyatakan di dalam Al-Quran.

TETAPI menyatakan jin itu boleh membawa menafaat atau mudharat kepada kita, itu adalah salah dan tidak boleh menjadi pegangan, kerana "Innallahu 'ala kulli syain qadiir"... Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu.

Kisah-kisah jin yang berlaku di dalam masyarakat hanyalah tipu daya syaitan yang dengannya manusia boleh disesatkan terutama mereka yang tidak berpengetahuan atau cetek pendidikan agamanya.

Manusia yang disesatkan tanpa mengira bangsa, warna, pangkat dan darjat, di dalam kes di atas kita lihat seorang ADUN bersama isterinya hadir sama. Walau bagaimanapun GB berharap kehadirannya hanyalah untuk meredakan suasana rakyat yang berada di kawasannya, bukan untuk tujuan lainnya.

Hal mempercayai kepada kekuatan dan kekuasaan jin dan makhluk halus ini seperti yang GB katakan tadi, ialah apabila aqidah umat Islam yang terlalu longgar. Diperburukkan pula siaran TV di negara ini yang mutakhir ini banyak menonjolkan cerita-cerita khurafat dan tahyul tanpa penapisan oleh kerajaan. GB dah ulas perkara itu di SINI.

Galas: Isu Royalti TETAP Relevan Pada Bila-bila Masa Sehingga Ia Dibayar Kepada Kerajaan Kelantan

Isu Wang Ehsan, Royalti Minyak Tidak Jejas Peluang BN Di Galas

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Isu pemberian wang ehsan dan royalti minyak buat rakyat Kelantan tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi pilihan raya kecil di Galas, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya isu itu tidak akan menjejaskan peluang BN dalam pilihan raya kecil itu kerana ianya adalah isu di peringkat nasional.

"Yang penting di peringkat negeri, kita sudah agihkan wang ehsan dan rakyat sudah mulai menerima wang ehsan tersebut, jadi isu ini tidak relevan lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai strategi pembangkang yang bakal membangkitkan isu-isu sensitif termasuk isu wang ehsan dan royalti minyak.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat dari Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 September lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu pada 26 Oktober ini dan jika ada pertandingan tarikh pilihan raya ditetapkan pada 4 Nov.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata mesyuarat rasmi pertama antara Pengarah Pilihan Raya Kecil Galas iaitu Tengku Razaleigh Hamzah bersama jentera pilihan raya BN Isnin ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ke Galas Rabu ini untuk bertemu dengan jentera pilihan raya bagi membincangkan strategi pilihan raya kecil kali ini, katanya. -- BERNAMA

Ulasan GB

Banyak cantik awak punya muka, kata isu royalti tidak relevan. Isu royalti tetap akan mendominasi setiap kali pilihanraya di Kelantan selagi Petronas tidak mematuhi perjanjian.

Rompakan yang dilakukan oleh UMNO BN dengan menggantikannya dengan wang ihsan, kemudian diserahkan bukan kepada kerajaan negeri sepeertimana termaktub di dalam perjanjian adalah merupakan satu pengkhianatan terhadap rakyat Kelantan khususnya.

Pengarah pilihanraya UMNO BN bagi PRK Galas, YBM Tengku Razaleigh akan menjadi sasaran rakyat untuk menjawab setiap persoalan mengenai royalti ini. Apakah akan ada pusingan U pada pendirian Ku Li terhadap isu royalti ini. Kita akan sama-sama nantikannya.