23 Nov 2010

Penipuan Pemilihan, PKR Akan Terima Padah Dalam PRU13 Nanti

Penyelewengan pemilihan beri kesan kepada PKR hadapi pilihanraya umum

PETALING JAYA: Pemilihan Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2010 telah pun melabuhkan tirainya semalam dengan mencatat pelbagai sejarah.

Pindaan perlembagaan yang dibuat oleh parti itu bagi membolehkan ahli akar umbinya terlibat secara langsung untuk memilih barisan kepemimpinan semua peringkat telah mencatatkan satu sejarah baru untuk PKR.

Malah, sejarah yang dicipta ini bukan sahaja satu catatan rekod peribadi PKR, bahkan merupakan catatan sejarah politik tanah air yang wajar dikongsi oleh semua masyarakat negara ini.

Langkah berani PKR itu juga disifatkan sebagai meletakkan penanda aras baru dalam menyemarakkan demokrasi dalam negara ini ke tahap yang lebih tinggi.

Di sisi lain, satu lagi sejarah turut dicatatkan di sepanjang pemilihan parti ini yang melibatkan 400,000 ahlinya daripada 206 cabang di seluruh negara.

Dalam sejarah politik moden tanah air, PKR telah mencatatkan nama sebagai satu-satunya parti politik yang menjalankan proses pemilihan pemimpin parti yang paling banyak dicemari isu penyelewengan.

Menambah burukkan keadaan apabila pemimpin-pemimpin dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) didakwa tidak cekap dalam menguruskan masalah-masalah berhubung penyelewengan yang didakwa oleh ahli dan calon bertanding.

Sebaliknya pemimpin parti dan JPP lebih gemar berterusan menafikan penipuan yang berlaku sekaligus lebih membakar kemarahan calon-calon dan ahli-ahli parti yang menganggap diri mereka tertipu
.

Selain itu, memang mudah bagi pemimpin-pemimpin ini mengkambinghitamkan sesetengah media khususnya media arus perdana dengan menuduh sebagai sengaja mengambil kesempatan memperbesarkan isu.

Perkara ini memang mudah untuk difahami apabila terdapat beberapa media arus perdana memberikan laporan kepincangan parti ini secara besar-besaran semenjak hari pertama pemilihan berjalan lagi.

Umno-BN sebagai parti seteru PKR tentunya tidak mahu dilihat sebagai parti yang tidak bijak sekiranya tidak mengambil kesempatan ke atas kemelut yang melanda PKR ini.

Bagaimanapun serangan terhadap PKR dalam isu pemilihan ini turut berlaku di kalangan pengamal media alternatif yang lebih bebas termasuk kalangan blogger pro PKR sendiri.

Sekiranya media perdana yang pro Umno-BN memberi laporan negatif dianggap bertujuan untuk meruntuhkan PKR, sebaliknya bagi rata-rata media alternatif ini cuba bersikap adil.

Bagi kebanyakkan bloger-bloger pro PKR pula, hentaman mereka lebih bersifat untuk mendidik parti itu agar tidak dilabelkan sebagai parti yang korup seperti yang dilabelkan terhadap parti seteru mereka.

Malangnya apabila kritikan-kritikan awal yang dilontarkan dengan nada lebih lembut oleh media alternatif ini dibalas dengan kenyataan bongkak dan penuh dengan sindrom penafian oleh JPP mahupun parti.

Kenyataan JPP sendiri pada peringkat awalnya yang lebih gemar menafikan adanya penyelewengan berlaku dalam pemilihan akhirnya memberi padah kepada PKR sendiri.

Akhirnya apabila aduan-aduan ahli dan calon terhadap penipuan yang berlaku tidak mendapat reaksi yang sewajarnya, maka pilihan akhir yang ada hanyalah bertemu media bertujuan memberi tekanan kepada JPP.

PKR yang lantang mempertikaikan karenah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dianggap sebagai alat BN, disarankan ada baiknya mengkaji sistem pemilihan dalaman partinya sendiri terlebih dahulu.

Bagi kebanyakkan pengkritik dari media alternatif, mereka tentunya dapat memahami sikap menyembunyikan pekung ini didorong oleh pemimpin yang tidak berjiwa besar untuk mengakui kesilapan dan juga demi menjaga imej parti.


Natijahnya, mungkinkah kerana sikap pemimpin yang beginilah, dengan sendirinya PKR terpaksa membayar harga yang mahal dalampilihanraya umum ke 13 nanti.

Kemelut yang memalukan ini tentunya mampu memberi kesan kepada pengundi di atas pagar yang dianggarkan mewakili lebih 40 peratus pengundi berdaftar dalam PRU 13 nanti.
-FMT

Bangunan Parlimen Bocor Lagi. BN Sudah Tidak Layak Memerintah

Bangunan Parlimen Bocor Lagi

KUALA LUMPUR: Bangunan Parlimen yang dibaik pulih selepas kejadian bocor di saluran pendingin hawa di laluan tepi Dewan Rakyat berhadapan dengan bilik Yang Dipertua pada 2008 sekali lagi mengalami kebocoran ekoran hujan lebat kira-kira hampir dua jam pada tengah hari Selasa.

Bagaimanapun kebocoran kali ini berlaku di kafeteria Ahli Parlimen bersebelahan bangunan utama Dewan Rakyat.

Hujan lebat kira-kira pukul 1.15 petang itu menyebabkan air mencurah-curah keluar dari bahagian syiling kafeteria berkenaan.

Kejadian yang berlaku kira-kira 20 minit selepas hujan lebat itu mengejutkan sekumpulan ahli Parlimen yang sedang menikmati makanan tengah hari pada waktu rehat persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ini merupakan kejadian keempat sejak kejadian bumbung bocor pada Mac 2008.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kejadian itu merupakan sesuatu di luar jangkaan walaupun proses baik pulih telah dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun menurutnya proses membaik pulih bangunan yang dibina pada 1962 itu perlu dilakukan bagi memastikan jangka hayat bangunan Parlimen itu.

"Bangunan ini sudah tua, bila kita lakukan sesuatu seperti memasang pendingin hawa dan ganggu sistem asalnya, ia akan mengalami masalah... jadi kita akan baik pulih bangunan ini," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan memindahkan bangunan Parlimen ini, Mohamed Nazri berkata: "Tidak, kita akan tetap berada di sini, kita tak akan pindah.

"Kita akan tetap berada di sini, tapi pada masa yang sama akan mendapatkan pandangan daripada pihak berwajib untuk mencari bangunan sementara... tapi Kabinet belum buat apa-apa keputusan lagi."

Sebelum ini Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaporkan telah mencadangkan kepada Kabinet supaya kerja pembaikan dijalankan ke atas bangunan sekarang dengan kos RM100 juta.

Gambar ehsan malaysiakini





Ulasan GB

Biasanya, setiap kali berita kebocoran Parlimen akan diikuti dengan "kebocoran" di dalam sistem kehakiman negara. Dan jika demikian halnya petunjuk Ilahi, maka BN sudah tidak layak untuk menjadi pemerintah negara.

Sebelum ini GB pernah mengulas di SINI. Petikan

GB adalah seorang yang yakin kepada perjuangan kebenaran dan keadilan. GB juga orang suka membaca dan merenung ayat-ayat Allah yang diaparkan terbentang luas di mayapada ini, ayat manzurah namanya selain dari kitab Al-Quran yang berupa ayat maqru'ah. Ramai hakim beragama Islam yang bebal dalam bab ini.

Kebocoran mahkamah petanda ada kebocoran nanti di dalam sistem kehakiman negara.

Ada hakim jahat yang masih berkeliaran di Palace of Justice, GB kata dulu. Membaca skrip yang telah disiapkan di dalam menghakimi kes-kes dengan membelakangkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Kini, ia didedahkan sendiri oleh Sang Pencipta. Hakim yang mana lagi mau tunjuk ego dengan Tuhan? Silakan. Bukan saja bumbung mahkamah yang bocor, seluruh bangunan mahkamah boleh runtuh. Hakim yang menjadi lembu UMNO masih ada, Pak Turut kepada Peguam Negara pun ramai, takut kehilangan jawatan daripada takut Tuhan paling ramai, ingat kes "correct, correct, correct"?

GB pernah mengulas sistem kehakiman negara yang bobrok di SINI


Mayat Wanita Reput Dipercayai Dibunuh Ditemui Dalam Semak

Mayat Wanita Reput Dijumpai Dalam Semak

Gambar: Anggota polis mengangkat mayat seorang wanita hampir reput dipercayai mangsa bunuh yang ditemui di sebuah kawasan semak berhampiran bekas ibu pejabat Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia Perak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini hari ini. Mayat wanita yang masih belum diketahui identitinya itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

IPOH: Mayat seorang wanita hampir reput dipercayai mangsa bunuh dijumpai di sebuah kawasan semak berhampiran bekas ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, mayat itu ditemui oleh seorang pekerja memotong rumput yang melakukan kerja pembersihan di situ tengah hari tadi.

Mayat berkenaan tersorok dalam timbunan dahan kayu dan semak dengan kedua-dua kakinya terikat, katanya.

Zakaria berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat bagi memastikan punca kematian.Beliau berkata identiti wanita itu belum diketahui kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui telefon 05-2451500. - BERNAMA

[Bergambar] Kes Aminul-Rasyid, Hakim Lawat Laluan Kejadian

Hakim lawat jalan dilalui Aminulrasyid sebelum ditembak

Gambar: Hakim Latifah Mohd Tahar (kiri) bersama peguam dan pihak pendakwaan ketika membuat tinjauan di tempat kejadian berhampiran rumah remaja lelaki yang ditembak mati Aminulrasyid Amzah, 15, di Seksyen 11 di sini, hari ini. Rakan remaja tersebut Azamudin Omar,15, turut hadir bagi memberi penerangan.

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan perbicaraan kes kematian Aminulrasyid Amzah hari ini membawa hakim dan pembelaan melawat semua jalan yang dilalui kereta dipandu mangsa sebelum terbabas di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini pada 26 April lalu.

Saksi utama pendakwaan iaitu Mohd Azamuddin Omar, 15, remaja yang berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid pada hari dia ditembak mati, turut menunjukkan kepada Hakim Latifah Mohd Tahar lokasi di mana kereta mereka bergesel dengan sebuah kereta lain di depan sebuah restoran di Seksyen 7.

Turut berada di kawasan itu ialah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani dan Adilla Ahmad; tertuduh, Koperal Jenain Subi; serta peguamnya M Athimulan dan Salim Bashir, selain saksi ke-25 pendakwaan Cif Ins Mazli Jusoh@Che Kob yang juga penyiasat tempat kejadian.

Rombongan mahkamah dibawa melalui Jalan Platinum G7/56, Jalan Platinum G7/58, Persiaran Kayangan, Bulatan Kayangan dan masuk ke Persiaran Dato Menteri.

Dalam lawatan kira-kira sejam yang bermula 12.25 tengah hari itu, mereka turut ditunjukkan lokasi di mana kereta dinaiki mangsa dan Mohd Azamuddin bergesel dengan sebuah motosikal, selain di mana mereka mula dikejar kereta peronda polis iaitu di Persiaran Dato Menteri berhampiran Kompleks PKNS.

Dalam keadaan hujan lebat, rombongan mahkamah kemudian dibawa melalui Bulatan Permai, Persiaran Masjid, Bulatan Setia Jaya sebelum masuk semula ke Persiaran Masjid menuju ke Persiaran Kayangan.

Selepas itu, mereka sekali lagi dibawa melalui Bulatan Kayangan sebelum masuk ke Jalan Wau 11/1 menuju ke Jalan Tarian 11/2 sebelum berhenti di lokasi di mana kereta yang dipandu mangsa terbabas.

Mohd Azamuddin dilihat turut menerangkan kepada hakim apa yang berlaku pada hari kejadian dan bagaimana beliau meloloskan diri menerusi tingkap cermin kereta itu, sebelum lari ke arah Jalan Gamelan 11/2E berhampiran.

Dalam kes itu, Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. - BERNAMA









ANAK Cabar BAPAK Buktikan Serius Bantu peneroka Felda

Anak bawa 20 kes 1 Dis, cabar Bapak buktikan serius bantu peneroka Felda

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman mencabar Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) yang dirasmikan kelmarin membuktikan yang ia telus dan serius mahu menyelesaikan masalah-masalah membabitkan peneroka Felda, dan bukannya gimik politik Umno-BN.

Menurut Mazlan, sekiranya Bapak gagal menyelesaikan masalah yang membabitkan peneroka, pihaknya akan menganggap penubuhan Bapak hanya semata-mata gimik politik.

Beliau berkata pada 1 Disember depan pihaknya akan membawa 20 kes yang membabitkan peneroka untuk diselesaikan Bapak.

“Pada 1 Disember ini wakil Anak dan beberapa wakil peneroka akan menyerahkan 20 kes pertama untuk diselesaikan Bapak.

“Sebelum ini Datuk Ahmad Maslan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) kata Bapak boleh menyelesaikan masalah peneroka, kita nak lihat kemampuan Bapak atau ia semata-mata agenda politik sahaja.

“Kalau Bapak gagal menyelesaikan masalah ini kita anggap penubuhan Bapak hanya sebagai gimik politik sahaja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mazlan berkata kemungkinan besar penubuhan Bapak adalah untuk memulihkan sokongan warga peneroka kepada kerajaan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya percaya penubuhan Bapak ini lebih bersifat politik kerana kerajaan sudah sedar bahawa mereka tidak lagi mendapat kepercayaan dan sokongan warga peneroka.

“Mungkin ia juga ada kaitan dengan pilihan raya yang mana kerajaan mahu memulihkan kembali sokongan warga peneroka. Peneroka adalah talian hayat mereka sekiranya masalah yang dibangkitkan tidak dapat diselesaikan kerajaan akan bimbang jadi terpaksa tubuhkan Bapak.

“Boleh kata semuanya hanya untuk mendapatkan semula kepercayaan warga peneroka,” katanya.

Ahli Jawatankuasa PAS pusat itu juga berkata penubuhan Bapak dilihat tidak akan memberikan kesan kepada warga peneroka, malah dianggap sebagai tidak relevan.

“Sebenarnya isu yang membabitkan peneroka sudah lama tapi pelik kenapa selama ini pengurusan Felda ataupun kerajaan tidak menangani perkara ini dengan serius sehingga menyebabkan peneroka tidak mempunyai saluran untuk menyampaikan masalah mereka.

“Anak memberi tumpuan terhadap masalah yang berlaku di kalangan peneroka, ini yang jadi matlamat kita. Saya rasa penubuhan Bapak ini mungkin disebabkan Anak telah mula memberikan ancaman kepada Felda, jadi mereka terpaksa tubuhkan Bapak untuk bersaing dengan Anak.

“Saya juga tidak nampak relevan Bapak ditubuhkan, kenapa baru sekarang ia hendak ditubuhkan? Kenapa baru sekarang kerajaan memikirkan tentang masalah yang dihadapi rakyat? Sepatutnya sejak dari dulu ia diselesaikan, bukan sekarang,” katanya.

Bagaimanapun Mazlan berkata, pihaknya bersedia untuk memberikan kerjasama dengan Bapak dalam usaha membantu menyelesaikan masalah yang membabitkan warga peneroka.

“Bagaimanapun saya mengalu-alukan penubuhan Bapak ini kerana ia boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi peneroka. Anak tidak buat apa-apa, kita tiada kuasa, apatah lagi nak berlawan dengan Bapak.

“Tak ada masalah Anak nak tolong Bapak, tapi kalau Bapak tak boleh harap, biarlah Anak yang buat,” katanya.

Semalam Ahmad berkata penubuhan Bapak yang merupakan biro di bawah Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) sangat dialu-alukan kerana ia boleh berfungsi untuk membantu menjelaskan dan menyelesaikan sesuatu isu itu dengan lebih cepat.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merestui penubuhan Bapak dan berharap ia memberikan faedah kepada semua warga Felda terutamanya menyelesaikan isu berbangkit atau dibangkitkan di kalangan warga Felda,” kata beliau.

Bapak merupakan alternatif baru bagi menyalurkan aduan dan pendapat untuk warga Felda sekiranya terdapat sebarang masalah, perkara dan isu yang membabitkan warga peneroka.

Dipetik Bernama, Ahmad berkata, Bapak dianggotai oleh 317 sukarelawan yang bersedia menerima aduan dan cadangan yang dikemukakan warga Felda tentang sesuatu isu dan berusaha menyelesaikan dalam tempoh paling minimum antara seminggu dan dua minggu hari bekerja.

Katanya, Bapak merupakan idea Pengerusi GWGF Tan Sri Rozali Ismail yang turut berbesar hati menaja segala perbelanjaan yang diperlukan oleh biro berkenaan.

Beliau berkata walaupun Felda mempunyai saluran aduannya sendiri, penubuhan Bapak sangat relevan dalam menangani masalah lain yang dihadapi oleh warga peneroka seperti isu kebajikan dan pendidikan.

Persatuan Pengguna Bantah Projek Arowana Di Bukit Merah Perak

Indah tapi dibantah

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Perak menghentikan segera projek ternakan ikan arowana yang dimulakan sedekad lalu di Bukit Merah, dekat Bagan Serai kerana dikatakan menjejaskan tanaman padi.

Presidennya, S M Mohamed Idris berharap kawasan sawah padi yang ditukar guna untuk ternakan arowana dibaik pulih untuk membolehkannya digunakan semula bagi tanaman padi.

“Langkah itu wajar kerana ia bukan sahaja menjejaskan matlamat utama bekalan air tasik Bukit Merah iaitu untuk penanaman padi dan kegunaan harian penduduk di daerah Kerian, malah perusahaan berkenaan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan serta boleh mencemarkan alam sekitar.

“Projek itu bermula pada 2000 dalam skala kecil iaitu tidak sampai 10 pengusaha tetapi kini diusahakan 70 pengusaha melibatkan 143 hektar tanah sawah (355 ekar) dengan pembinaan 3,808 kolam,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, projek itu dibantah pada peringkat awal pelaksanaannya oleh pesawah akibat masalah kekurangan air untuk tanaman padi setelah disedut atau dipam oleh pengusaha ternakan ikan, namun tiada perhatian dan tindakan diambil oleh mana-mana pihak.

“CAP mendapati projek ini yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan,” katanya.

Selain itu, beliau bimbang pembuangan sisa kolam ke dalam sistem saliran pertanian di daerah itu akan mencetuskan masalah alam sekitar serta pencemaran air yang serius pada masa akan datang.

“Dalam tinjauan yang dibuat CAP dan difahamkan oleh petani terlibat, kegiatan menyedut atau mengepam air dari saliran pertanian melalui Terusan Selinsing dan Terusan Bagan Serai terus dilakukan oleh pengusaha ternakan ikan itu,” katanya.

Mohamed berkata, kegiatan pengambilan air secara berleluasa turut menyebabkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian gagal membenterasnya dengan berkesan.

“Pesawah terbabit mengadu kepada CAP akibat kekurangan bekalan air, pokok padi terencat pembesarannya, buah padi kurang berisi, serangan makhluk perosak dan ancaman rumput menjadi semakin serius dan hasil pendapatan mereka merosot secara mendadak.

“Kajian JPS antara 15 Ogos hingga 26 Oktober 2010 menunjukkan takungan air di Tasik Bukit Merah menurun 6.1 sentimeter sehari,” katanya.

“Air Tasik Bukit Merah bukan sahaja digunakan oleh lebih 10,000 pesawah daerah Kerian dan Seberang Perai Selatan melibatkan sawah seluas lebih 24,000 hektar, tetapi menjadi kegunaan harian 200,000 penduduk di Semanggol, Selinsing, Bagan Serai, Beriah, Parit Buntar, Tanjong Piandang dan Kuala Kurau.

Sementara itu, wakil petani Bagan Serai dan Semanggol, Md Rasid Saliman berkata, projek ikan arowana menjejaskan hasil pertaniannya sebanyak 50 peratus sejak diusahakan 10 tahun lalu.

“Pesawah tidak mahu projek ikan arowana diteruskan kerana ia menjejaskan kami," katanya. -SH

Patung Bogel Dijual Secara Terbuka Di Perlis

Padang Besar - Mungkin hanya untuk tarikan, namun seorang peniaga tidak mempedulikan sensitiviti apabila dia dikesan menjual patung wanita separuh bogel secara terbuka di Pasar Sehari Wang Kelian di sini kelmarin.

Patung yang menampakkan buah dada wanita itu akan bergerak-gerak selepas dihidupkan dengan hanya menggunakan tenaga solar apabila coli patung itu ditanggalkan.

Menurut peniaga tersebut yang enggan dikenali, patung itu dijual pada harga RM10 sahaja dan permainan tersebut sesuai diletakkan di papan pemuka kenderaan untuk menghilangkan rasa mengantuk.

"Pelanggan yang berkunjung suka melihat patung ini apabila buah dadanya bergerak-gerak selepas colinya ditanggalkan.

"Dalam sehari lebih lima buah akan terjual. Patung ini sesuai diletakkan di dalam kereta dan kebanyakan pembeli adalah orang muda," katanya. -kosmo

Ulasan GB

Hmm patutlah puting beliung melanda Peris baru-baru ini.

Anwar Sudah Diprogram Untuk Dipenjarakan Semula.

Tegang di mahkamah, polis dikerah kawal keadaan

Ketegangan tercetus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin bertikam lidah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa individu di galeri awam.

Semuanya gara-gara peguam utama pembela, Karpal Singh yang gagal dalam usahanya cuba mengasak saksi hari ini, Dr Siew Sheue Feng supaya merujuk kepada nota perubatan asal.

"Saksi-saksi ini sudah diprogram sebagai robot,” bidas Karpal.

Anwar juga dilihat hilang sabarnya hari ini kerana telah berulang-kali dinafikan hak mendapatkan nota perubataan asal yang dibuat oleh doktor-doktor di Hospital Kuala Lumpur.

"Ini sudah melampau kerana awak semua (pendakwa) cuba menyaring semua bukti,” kata Anwar.

Yusof menjawab: "Kau tidak tahu mengenai undang-undang."

Ia kemudian mencetuskan pertikaman lidah pula antara Yusof dengan beberapa individu di galeri awam.

Anggota polis yang berjumlah empat hingga lima orang, termasuk seorang yang berpangkat ASP kemudiannya dikerah bagi mengawal keadaan.

Anwar keluar dari mahkamah masuk beberapa kemudian sambil memberi petunjuk kepasda polis bahawa beliau akan bertenang.

Karpal kemudian berkata pihak pembelaan akan mengemukakan permohonan bagi melucutkan kelayakan hakim membicarakan kes itu kerana Zabidin didakwa gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Kita akan failkan permohonan pagi esok.”

Tak ingat

Sebelum itu, Karpal bertanya kepada Dr Siew berhubung apa yang diisi dalam borang perubatan.

Nama pesakit - saksi menjawab, "Mohd Saiful Bin Bukhari."

No IC - Dr Siew berkata dia tidak ingat.

Tarikh lahir - sekali lagi doktor itu berkata dia tidak ingat.

Pekerjaan - “pembantu peribadi”

Status - "bujang"

Dr Siew juga berkata dia tidak ingat nombor laporan polis berkenaan.

Karpal kemudian meminta Dr Siew merujuk kepada laporan perubatan. “ Bukankah awak ingin menyegarkan semula ingatan awak berdasarkan nota itu?”

Saksi berkata dia hanya merujuk kepada maklumat dalam laporan perubatan terakhir dan bukan nota perubatan yang asal.

"Saya ada laporan yang lengkap,” katanya.

Pagi tadi, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sekali lagi menolak permohonan pihak peguambela bagi mendapatkan nota perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam perbicaraan kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mahkamah tidak boleh memaksa dokumen itu dikemukakan.

Keputusan mahkamah agung

Sebelum itu berlaku pertikaman lidah antara peguam utama pihak pembelaan Karpal Singh yang berhujah bahawa hakim gagal memahami Seksyen 45, Akta Keterangan 1950 yang mensyaratkan seseorang pakar perlu mengemukakan semua dokumen bagi menyokong semua hujah yang dikemukakan di mahkamah.

"Ini keputusan Mahkamah Agung.”

Hakim Mohamad Zabidin berkata: "Bagaiaman jika dia (saksi) tidak mahu melihatnya (dokumen)?”

Karpal berkata ini tidak adil dan ini menyukarkan tugas pihak pembelaan dalam melaksanakan tugas mereka.

“Apa yang mungkin Yang Arif catatkan adalah tidak berguna kecuali ia disokong oleh data dan ia tidak berguna dengan tulisan di atas kertas itu.”

"Kenapa mesti Yang Arif duduk dan terdedah kepada tidak tentu arah?” soal Karpal.

Katanya, tindakan itu bagi membantu mahkamah mendapatkan gambaran dari sudut sains.

Justeru, menurut Karpal, adalah tidak adil kepada pihak peguambela jika data yang disertakan tidak menyokong kenyataan lisan dan bercanggah dengan sistem perundangan.

"Fungsi pakar (saksi) adalah mengemukakan kepada mahkamah setiap maklumat bagi menyokong keterangan dalam terma sains agar mahkamah tidak tersilap arah," kata Karpal.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin mencelah mengatakan saksi layak menjawab secara lisan selain tiada desakan untuk saksi mengemukakan data.

Katanya tugas pakar patologi HKL, Dr Siew hanya untuk mengambil sampel dan mengenalpasti kecederaan dan bukan mengenalpasti data. -mk

Ulasan GB

Anwar telah diprogramkan supaya dipenjarakan semula. Maka apa-apa pun usaha pembelaan tidak mendatangkan apa-apa kesan. Calon Ketua AMK yang kalah, chegu bard sebelum ini pernah menyatakan: "Di dalam politik, kita mesti realistik. Daripada trend perbicaraan mahkamah, Anwar pasti akan disumbat ke dalam penjara. Barang siapa yang tidak berani untuk membicarakan perkara ini, mereka buta politik."

Masalah pertama ialah masalah institusi kehakiman yang sepatutnya menegakkan keadilan telah tercemar.

Tetapi perjuangan rakyat Malaysia terutama penyokong tegar DSAI daripada mana-mana parti tersilap di dalam fokus perjuangan mereka.

DSAI mungkin meliwat mungkin tidak. Tetapi beliau perlu diberikan keadilan.

GB pernah menyatakan begini:

Kita perlu membela "keadilan" untuk Anwar, bukan membela "Anwar" untuk keadilan.

Itu dua perkara yang berbeza. Ramai yang keliru sehingga perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan tiba-tiba bertukar menjadi perjuangan menegakkan Anwar dan kroninya.

Sewaktu Saidina Ali menjadi Khalifah, pernah satu ketika seorang Yahudi telah mencuri baju besi beliau. Saidina Ali menyedari perkara ini lalu membawa kes ini ke pengadilan hakim. Walaubagaimanapun beliau tidak mempunyai bukti dan saksi bahawa Yahudi tersebut mencuri baju besi beliau. Lalu hakim memutuskan baju besi tersebut menjadi hak milik Yahudi.

Namun sekalipun Yahudi itu terlepas, ini tidak bermakna Yahudi itu perlu disokong. Islam tidak menyokong Yahudi berkenaan tetapi melepaskannya kerana tiada saksi yang dpt ditampilkan oleh Saidina Ali sekalipun memang baju besi itu memang kepunyaan Saidina Ali.

Perbuatan "salah tetap salah" sekalipun di dunia mungkin terlepas.


Jika sistem kehakiman itu yang tidak adil, maka sistem kehakiman yang adillah yang kita perjuangkan, bukan Anwar yang perlu diperjuangkan.

Oleh itu kita jangan keliru.

Seorang mukmin sebenar tidak akan terpelosok ke lubang biawak dua kali, kata Nabi.

Ya, begitulah reformis dan blogger sebenar tidak akan tertipu dua kali.

Jika kita membela "keadilan" untuk Anwar maka keadilan itulah yang tertegak.

Sebaliknya jika kita membela "Anwar" untuk keadilan, "Anwar"lah yang tertegak.

Menegakkan Anwar belum tentu keadilan itu tertegak, jika menegakkan keadilan, insyaAllah Anwar boleh ditegakkan jika beliau buktikan bahawa beliau tidak bersalah.


Sekali lagi GB kata, jangan keliru.

Jika perjuangan itu kerana Allah, maka yang pertama, iaitu perjuangkan keadilan untuk Anwar, itulah yang benar, bukan yang kedua.


Itu sebab mengapa di dalam banyak tulisan-tulisan GB sebelum ini menjurus kepada menegakkan kebenaran dan keadilan tanpa rasa gentar, tanpa rasa risau celaan orng yang mencela.

Buktinya GB menulis tentang bobroknya sistem kehakiman negara di dalam rangka usaha "menegakkan kebenaran dan keadilan":

Sistem Kehakiman Negara Yang Bobrok Runtuhkan Istana Keadilan

Institusi Kehakiman Negara? ... Teringat Tikus Dalam Kuah Roti Canai..

Badan Kehakiman, Apakah Masih Ada Kebenaran Dan Keadilan Di Sana?

Hari Ini, Satu Dunia Menilai Sistem Kehakiman Negara

6,133 Penjawat Awam Bermasalah, Prestasi Rendah

6133 Penjawat Awam Bermasalah, Prestasi Rendah Tahun Lepas

PUTRAJAYA: Jumlah penjawat awam yang bermasalah dan berprestasi rendah meningkat kepada 6,133 orang pada tahun lepas berbanding 5,344 atau 0.84 peratus pada 2008, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata antara masalah yang dihadapi adalah disiplin, hubungan interpersonal, psikologi, prestasi rendah serta kesihatan kronik seperti penyakit jantung, kanser dan kencing manis.

"Masalah disiplin, kesihatan dan prestasi rendah merupakan tiga masalah paling utama," katanya semasa berucap merasmikan majlis pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) kali keenam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.Sehubungan itu, beliau menyarankan agar rakan pembimbing membantu pihak pengurusan sumber manusia dalam mengatasi masalah yang timbul selain mempamerkan diri mereka sebagai model contoh kepada rakan sekerja yang lain dengan mengamalkan nilai-nilai positif dan menunjukkan tatalaku yang boleh dicontohi.

"Ahli psikologi berpendapat rakan sekerja akan berasa lebih selesa berbincang dengan rakan sekerja berbanding dengan pegawai atasan mereka. Selain itu teguran daripada seorang rakan lebih mudah diterima berbanding teguran ketua yang mudah disalah tafsir sebagai hukuman lisan," katanya.

Abu Bakar berkata elemen 'buddy system' (sistem sahabat) perlu dimasukkan ke dalam modul pasca AKRAB dan seterusnnya menggerakkan sistem sahabat kepada ahli AKRAB secara lebih tersusun dan komprehensif.

"Misalnya seorang AKRAB akan segera menghubungi rakan 'buddy'nya jika didapati rakan 'buddy'nya itu sedang menghadapi masalah kesihatan atau kewangan yang boleh menjejaskan tugas-tugas hariannya dan bantuan segera akan dihulurkan kepada rakan tersebut semampunya," katanya.

Pada majlis itu, 1,027 pegawai ditauliahkan sebagai rakan pembimbing perkhidmatan awam menjadikan jumlahnya bertambah kepada 3,583 orang sejak ia dilaksanakan pada 2005.

Anugerah AKRAB Utama bagi kategori individu diterima oleh Pauzan Ahmad dari Jabatan Perkhidmatan Awam manakala SME Corp Malaysia menerima Anugerah AKRAB Gemilang untuk kategori organisasi dengan masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Abu Bakar percaya peningkatan bilangan keahlian AKRAB yang ditauliahkan setiap tahun mampu memberikan impak yang besar terutama dalam membantu pihak pengurusan sumber manusia meningkatkan pembangunan modal insan yang berdaya saing dan berpretasi tinggi di agensi masing-masing. - BERNAMA

Penduduk Bantah Ternakan Burung Walit

Penduduk 5 kampung bantah ternakan burung walit

KULIM: Lebih 1,200 penduduk dari lima kampung di Mukim Sidam, Padang Serai dekat sini, berkata mereka berdepan kesukaran akibat kegiatan industri burung walit yang menghasilkan bunyi bising selain kenderaan berat syarikat burung walit berkenaan yang menyebabkan jalan kampung mereka rosak.

Mereka adalah penduduk yang tinggal di Kampung Paya Ketiau, Kampung Tengah Lesung Tujuh, Kampung Teluk Binu, Kampung Sidam Kanan dan Kampung Bukit Sidam yang menggunakan jalan kampung dari Taman Damai, Pekan Padang Serai dan kawasan sekitar sejauh 2.5 kilometer.

Hari ini lebih 50 penduduk mengadakan demonstrasi secara aman sebagai bantahan terhadap pengusaha ternakan burung walit di sebuah tapak lokasi baru yang dicadangkan didirikan sebuah bangunan di Kampung Paya Ketiau.

Jurucakap kumpulan itu, Md Yusof Nik Din, 52, berkata kegiatan menternak burung berkenaan bermula dengan aktifnya pada 2008.

"Sejak itulah jalan kampung di sini menjadi mangsa lori beroda enam berulang-alik untuk membawa barang-barang peralatan pembinaan," katanya kepada pemberita selepas demonstrasi 15 minit itu.

Sepasukan anggota polis diketuai Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Daerah Polis Kulim, ASP Hamdan Basiron, mengawasi demonstrasi berkenaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini tidak berlaku.

Md Yusuf yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Paya Ketiau, berkata dengan kerjasama beberapa Pengerusi JKKKP sekitar kawasan terbabit, mereka telah menulis surat kepada beberapa jabatan kerajaan yang terbabit menyatakan kekesalan mereka dan meminta supaya tindakan sewajar diambil.

Katanya, cuma dua jabatan sahaja iaitu Pejabat Tanah Kulim dan Pejabat Kesihatan sahaja yang menjawabnya tetapi hanya sekadar melepas tangan sementara jabatan yang lain tidak memberi sebarang tindakan.

Md Yusuf berkata, ketika ini terdapat sembilan bangunan memelihara burung itu dan tiga lagi akan dibina di sekitar tempat tinggal penduduk.

"Kami kesal kerana pihak berkuasa tempatan boleh mengeluarkan lesen kepada bangunan yang dibina sekitar tidak sampai pun 100 meter jaraknya dengan rumah kediaman kami," katanya.

Pekerja kilang Jaafar Man, 47, dari Kampung Paya Ketiau, berkata empat orang anaknya yang masih bersekolah tidak dapat belajar dengan sempurna antara 7 malam dan 10 malam setiap hari kerana bunyi yang kuat daripada rakaman suara burung yang dipasang di situ.

Pengerusi JKKKP Kampung Tengah Lesung Tujuh Yusuf Abdul Rahman, 65, pula berharap tindakan segera diambil pihak berwajib mengatasi masalah di situ.

"Semakin banyak bangunan memelihara burung ini didirikan semakin merugikan penduduk di situ," katanya. - BERNAMA

Aktivis Islam Mahu Ariel Dikenakan Hukuman Berat

Bicara klip video seks Ariel berlangsung 82 minit

ARIEL ditemu ramah pemberita dari dalam lokapnya sebelum kesnya didengar di Bandung semalam.

BANDUNG - Perbicaraan penyanyi band Peterpan, Ariel berhubung dakwaan dia menyebar klip video seks yang menampilkan lelaki yang memiliki wajah miripnya berlangsung selama 82 minit di sebuah mahkamah di sini semalam.

Perbicaraan itu diadakan secara tertutup bermula pada pukul 8.58 pagi dan berakhir pada pukul 10.20 pagi waktu tempatan.

Selepas perbicaraan itu selesai, Ariel dibawa menaiki sebuah kenderaan menuju ke pusat tahanannya di Rutan Kebonwaru.

Ariel yang merupakan penyanyi terkenal di Indonesia didakwa menyebarkan dua klip video di Internet.

Kes itu mengejutkan penduduk di Indonesia.

Salah satu klip video menunjukkan seorang lelaki yang memiliki wajah seperti Ariel sedang melakukan hubungan seks dengan wanita mirip kekasihnya, Luna Maya, 27, yang merupakan seorang pengacara TV.

Satu lagi klip video menampilkan seorang lelaki memiliki wajah mirip Ariel melakukan hubungan seks dengan wanita seperti bekas kekasihnya, Cut Tari, 33, yang kini sudah bersuami.

Ariel atau nama sebenarnya, Nazril Ariel, 29, muncul di mahkamah di sini dengan memakai baju berwarna kelabu dan seluar gelap.

Menurut pendakwa raya, Rusmanto, dia didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang antipornografi 2008.

Lebih 500 anggota polis dikerah untuk mengawal kawasan sekitar mahkamah tersebut.

Sejumlah peminat Ariel terutama wanita muda turut hadir di luar mahkamah selain anggota-anggota kumpulan Islam yang melakukan tunjuk perasaan.

"Terdapat banyak kes seperti ini. Kenapa mereka (suspek klip video lucah) dibebaskan dan tidak Ariel.

"Adakah kerana dia (Ariel) seorang yang terkenal? Kami mahukan keadilan," kata seorang pelayan, Ruri Astara.

Kira-kira 20 peminat menyanyikan lagu-lagu popular Ariel dan membawa kain pemidang bagi menuntut pembebasan Ariel.

Penyanyi itu tidak mengaku bersalah mengedar klip video tersebut.

Seorang aktivis Islam, Hirman Firdaus berkata, perbuatan penyanyi itu merupakan satu ancaman ke atas masyarakat dan dia perlu dihukum dengan hukuman maksimum.

"Saya mahu dia dikenakan hukuman berat. Ini (perbuatannya) tidak bermoral," katanya.

Jika disabitkan kesalahan, penyanyi itu boleh dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak AS$672,000 (RM2.08 juta) kerana beberapa kesalahan termasuk mengedarkan pornografi di Internet.

"Ariel membantu untuk menyediakan kemudahan bagi mengedarkan video pornografi itu," kata Rusmanto.

Penyanyi itu kelihatan tenang semasa dia bercakap kepada pemberita di dalam lokap mahkamah.

"Saya sudah membaca dakwaan-dakwaan itu. Saya sudah bersedia untuk berdepan apa sahaja," katanya.

Dia dipenjarakan selepas menyerah diri kepada polis pada 22 Jun lalu ekoran pendedahan media mengenai penyebaran klip video tersebut.

SEORANG anggota sebuah pertubuhan Islam melakukan tunjuk perasaan bagi menuntut Ariel dihukum di luar sebuah mahkamah di Bandung semalam.

Kekasihnya, Luna Maya turut berada di mahkamah itu.

Bagaimanapun, Luna Maya dan Cut Tari tidak dikenakan sebarang pendakwaan walaupun golongan aktivis radikal mendesak supaya kedua-dua selebriti tersebut dikenakan hukuman rejam sampai mati.

Kedua-dua wanita itu turut kehilangan kontrak komersial ekoran skandal tersebut.

Menurut seorang hakim, perbicaraan itu diadakan secara tertutup bagi melindungi masyarakat daripada mendengar perbuatan seks yang didedahkan sepanjang Ariel dibicarakan.

Kes Ariel akan disambung semula pada 29 November depan. - Agensi

SYABAS Kutip Balik Subsidi Untuk Sabotaj Kerajaan Negeri

Tabung Budi: Lesen Syabas dirampas jika langgar perjanjian, kata MB

SHAH ALAM, 22 Nov – Kerajaan Selangor akan meminta kerajaan pusat menarik balik lesen konsesi yang diberikan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) jika syarikat itu didapati mengutip balik kos 20 meter padu air yang disubsidi oleh kerajaan Selangor kepada rakyatnya menerusi Tabung Budi.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata Syabas tidak berhak mengutip derma daripada mana-mana individu pengguna air yang mendapat subsidi daripada kerajaan negeri menerusi tabung yang dilancarkan syarikat itu.

“Jika benar ada individu yang mahu mendermakan subsidi yang diberikan, mereka hendaklah memulangkannya kepada kerajaan negeri dan bukannya kepada Syabas. Syabas tidak boleh menggunakan duit subsidi itu. Duit subsidi yang saya gunakan ini ialah duit negeri untuk rakyat.

“Saya akan berbincang perkara ini dengan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan pihak kewangan negeri sebab dalam perjanjian penswastaan yang dibuat bersama Syabas, kerajaan negeri tidak menyatakan Syabas boleh jalankan usaha ini (mengutip balik kos 20 meter padu air).

“Kita mahu lesen Syabas dirampas jika didapati tidak menjalankan tugas seperti yang dijanjikan dalam perjanjian penswastaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor di sini.

Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lepas melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas.

Wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

Abdul Khalid berkata Syabas bukanlah sebuah badan yang ditugaskan untuk menjaga hal ehwal kebajikan rakyat.

“Tujuan Syabas bukanlah untuk jaga kebajikan. Adalah sesuatu yang ‘hypocrisy’ untuk katakan dia (Syabas) sekarang bertaubat menolong rakyat... itu bukan tujuannya.

“Saya akan mengutus surat kepada Syabas sama ada perkara ini melanggar tatacara perjanjian yang kerajaan negeri buat bersama Syabas pada 2004,” katanya. – Bernama

Ganti Tambak Johor - Sultan Johor Ulangi Gesaannya

Sultan Johor ulangi hasrat supaya tambak Johor digantikan

JOHOR BAHARU, 22 Nov – Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura diteruskan.

Pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52 hari ini, Sultan Ibrahim bertitah pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang-alik ke Singapura malah menjadi kemudahan untuk rakyat negara jiran itu melancong ke negara ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin dan berusaha menangani masalah rakyat. Namun begitu, masih ada hasrat rakyat Johor yang masih belum dapat dipenuhi iaitu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor,” titah baginda di Istana Besar di sini.

Baginda bertitah ketiadaan Tambak Johor akan membolehkan air di Selat Tebrau bebas mengalir sekaligus memberi kesan yang baik terhadap alam sekitar di sekelilingnya.

Berangkat ke istiadat berkenaan ialah permaisuri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Yang Dipertua Jumaah Di Raja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad dan kerabat-kerabat di raja lain.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Prof Datin Jamilah Ariffin, barisan exco kerajaan negeri, anggota Dewan Undangan Negeri serta pegawai kanan kerajaan.

Sultan Ibrahim turut meminta rakyat di Johor supaya hidup secara bertolak ansur, bersederhana dan hormat-menghormati tanpa mengira kaum selaras dengan motto kerajaan Johor “Muafakat Itu Berkat” bagi mengekalkan kesejahteraan negeri.

Baginda mahu semua pemimpin masyarakat sentiasa berusaha menyatupadukan masyarakat yang dipimpin serta mengutamakan kepentingan ramai berbanding kepentingan individu mahupun politik.

“Di Johor, tidak kira apa jua kaum, Melayu, India, Cina, mereka semua adalah rakyat negeri saya. Hak dan kepentingan semua akan dijaga. Oleh itu, jangan diungkit apa yang telah berlaku supaya terhindar rasa tidak puas hati dan buruk sangka,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan seluruh rakyat Johor supaya merebut peluang daripada pembangunan pesat negeri termasuk pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.

Dalam titah berkenaan, baginda turut mengisytiharkan penubuhan Yayasan Sultan Ibrahim yang bertujuan memberikan bantuan pendidikan, kebajikan, biasiswa kepada pelajar miskin, perubatan serta bantuan kepada warga emas dan orang kurang upaya.

Menurut Sultan Ibrahim, dana untuk yayasan berkenaan disumbangkan daripada semua elaun diraja yang diterima baginda.

Sultan Ibrahim pada istiadat berkenan turut berkenan mengurniakan gelaran “Duli Yang Maha Mulia” kepada Raja Zarith Sofiah dan gelaran “Yang Amat Mulia Enche Besar” kepada bonda baginda, Hajah Khalsom Abdullah.

Baginda turut mengurniakan Darjah Kerabat Pangkat Pertama (DK I) yang merupakan darjah tertinggi bagi Johor kepada Hajah Khalsom dan Pangkat Pertama Datuk Seri Setia Sultan Ismail Johor (SSIJ) kepada Tunku Ismail. – Bernama

Ariel Didakwa Membuat Dan Menyebarkan Video Porno

Ariel didakwa membuat dan menyebarkan video porno

Penyanyi Ariel alias Nazriel Ilham hari ini (22/11) didakwa sebagai pembuat dan penyebar sebuah video yang berisi adegan porno dirinya dengan dua orang perempuan.

Dalam sidang tertutup di Pengadilan Negeri Bandung itu, Pendakwa Raya mendakwa Ariel melanggar Undang-undang Pornografi dan Undang-undang tentang Informasi dan Transaksi Elektronik.

Pendakwa menyebut Ariel telah membuat dan menyebarkan video porno.

Sidang yang berlangsung sekitar 1 jam ini, juga dihadiri oleh penunjuk perasaan dari pendukung dan kelompok yang menuntut agar penghakiman dibuat secara terbuka.

Ratusan polis dihadirkan untuk mengamankan proses persidangan.

Dilanjutkan eksepsi

Selain menyampaikan tuntutan sidang pertama ini juga langsung mengajukan eksepsi atau nota keberatan dari pihak terdakwa.

Dalam kesempatan itu, kuasa hukum Ariel menyatakan keberatan atas dakwaan yang dibacakan di Pengadilan Negeri Bandung.

"Kami keberatan, dan kami sudah membacakan tanggapan atas dakwaan itu," jelas kuasa hukum Ariel, OC Kaligis, tentang sidang yang berlangsung tertutup tersebut.

Kes yang menimpa Ariel bermula dari beredarnya rekaman video yang berisi adegan porno antara seorang lelaki yang tampak seperti Ariel dengan dua perempuan.

Berdasarkan rakaman video, polis telah beberapa kali memanggil Ariel dan artis Luna Maya serta Cut Tari - yang dipercayai juga berada dalam rakaman video - untuk disoalsiasat.

Polis kemudian memastikan bahwa lelaki yang ada dalam video tersebut adalah Ariel, penyanyi dari kelompok musik terkenal Peterpan.

Ahmedinajad Lelong Kereta Peugeotnya

Presiden Iran lelong kereta Peugeot miliknya

TEHERAN - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad akan melelong kereta Peugeot 504 yang dimilikinya pada 1977 untuk tujuan kebajikan, lapor sebuah stesen televisyen semalam.

Wang hasil lelongan kereta itu akan diserahkan kepada projek perumahan Mehr untuk penduduk yang berpendapatan rendah.

"Kereta itu akan dijual dalam satu lelongan antarabangsa," kata Menteri Kebajikan dan Keselamatan Sosial, Sadeq Mahsouli dalam laman web televisyen tersebut.

Selepas beliau dipilih menjadi Presiden Iran pada 2005, antara aset yang diisytiharkannya ialah rumah di kawasan kelas pertengahan berusia 40 tahun di timur Teheran dan kereta Peugeot berwarna putih.

Pada Februari lalu, Menteri Perumahan, Ali Nikzad menyatakan, kira-kira satu juta penduduk Iran layak untuk mendapatkan rumah kos murah itu. - AFP

Ulasan GB

Sekadar itu dua asset milik seorang yang bergelar Presiden iaitu sebuah rumah sederhana berusia 40 tahun dan sebuah kereta Peugeot seperti gambar tertera.

Bandingkan harta yang dimiliki oleh ADUN-ADUN atau MP-MP di negara kita...