8 Jul 2010

Kerajaan Guna Akta Zalim Sekat Kebebasan Bersuara

Apabila demokrasi di hukum mati — Mohamed Hanipa Maidin

Kerajaan BN yang zalim telah mengggunakan Akta zalim iaitu Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 bagi melarang PKR untuk menerbitkan akhbar Suara Keadilan. Tulisan ini ingin membawa para pembaca melihat dan mengenali Akta draconian ini dengan lebih dekat supaya para pembaca dapat melihat kezalimannya dengan lebih dekat.

Harapan saya selepas para membaca artikel ini dan mengenali betapa buruknya Akta ini maka kita dapat bersama-sama dengan satu nada menyumpah Akta ini dan berdoa agar Akta ini dapat dimusnahkan dengan kadar segera.

Di dalam Islam hanya Allah yang ada kuasa mutlak. Kuasa manusia tidak mutlak. Kuasa manusia boleh dibahas dan dipertikaikan. Jika kita lihat Akta Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 ianya berpaksikan atas satu dasar sahaja iaitu Menteri Dalam Negeri adalah berkuasa penuh dan tiada siapa boleh persoalkan kuasa mutlak tersebut hatta Mahkamah.

Akta ini mengingatkan saya kepada kata-kata Lord Acton yang masyhur iaitu “power corrupts and absolute power corrupts absolutely” (“Kuasa itu merosakkan dan kuasa yang mutlak rosak secara mutlak”) .

Ayuh mari kita berkenalan dengan Akta zalim ini.

Seksyen 6 ( 1 ) ( a ) memperuntukkan bahawa Menteri boleh melalui budibicaranya yang mutlak memberikan kebenaran atau permit kepada mana-mana orang untuk menncetak dan menerbitkan suratkhabar di Negara ini tetapi dalam masa yang sama di bawah seksyen 6 ( 2 ) Menteri yang sama juga diberikan kuasa mutlak untuk membatalkan permit suratkhabar atau menggantungnya seberapa lama yang Menteri itu mahu.

Seksyen 13A ( 1 ) Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 memperuntukkan bahawa keputusan Menteri untuk tidak memberikan, membatalkan permit atau menggantung permit adalah muktamad dan keputusan tersebut tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa alasan sekalipun.

Seksyen 5 pula mengandungi 10 kesalahan yang boleh dikenakan ke atas mana-mana orang iaitu kesalahan-kesalahannya adalah mencetak, mengimport ,menerbitkan, menjual dan mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri atau kesalahan atau menawarkan diri untuk mencetak, menawarkan diri untuk mengimport , menawarkan diri untuk menerbitkan,menawarkan diri untuk menjual dan menawarkan diri untuk mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri.

Mana-mana orang yang didapati melakukan mana-mana kesalahan dari 10 kesalahan di atas boleh ditangkap dan jika didapati bersalah oleh Mahkamah boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun penjara atau dengan hukuman denda yang tidak melebihi RM 20,000-00 atau kedua-duanya.

Akta ini juga memberikan kuasa kepada Pendakwa Raya, jika dia mendakwa mana-mana orang di bawah mana-mana peruntukkan Akta ini, untuk meminta Mahkamah menggantung penerbitan akhbar tersebut dan jika Mahkamah berbuat demikian ianya adalah suatu yang sah di bawah seksyen 8c ( 2 ) Akta tersebut.

Akta ini juga berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) memberi kuasa mutlak kepada Menteri untuk meletakkan apa-apa syarat di atas permit yang diberikan dan kuasa Menteri ini juga tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun.
Kita tentu tidak lupa bagaimana akhbar Harakah pernah dikenakan syarat-syarat yang tidak munasabah oleh Menteri meskipun permit dikeluarkan.

Saya masih ingat sewaktu mewakili Harakah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri suatu ketika dahulu. Harakah telah mencabar syarat-syarat yang dirasakan tidak munasabah yang dikenakan ke atas akhbar tersebut.

Saya masih ingat salah satu syarat yang dikenakan kepada Harakah adalah ia hanya boleh menerbitkan berita tentang PAS sahaja . Maknanya kalau Harakah hentam Umno di dalam akhbar tersebut ia dikira melanggar syarat permit. Tidakkah ini syarat gila yang hanya boleh dikenakan oleh Kerajaan gila seperti Kerajaan BN.

Meskipun jangka hayat permit suratkhabar itu adalah untuk tempoh 12 bulan daripada tarikh permit dikeluarkan namun berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) Menteri juga diberi kuasa mutlak untuk meletakkan syarat di dalam permit bahawa tempoh usia permit itu dikurangkan dari 12 bulan.

Seksyen 12 ( 2 ) secara jelas menyatakan Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk tidak meluluskan permohonan bagi mendapatkan permit. Dan di bawah seksyen 12 ( 2 ) inilah Menteri telah menggunakan kuasa mutlaknya itu untuk tidak memperbaharui permit akhbar Suara Keadilan.

Harus diingatkan Menteri tidak perlu memberi apa-apa alasan mengapa ia enggan memperbarui permit Suara Keadilan.

Di dalam undang-undang pentadbiran ( administrative law ) sebarang keputusan pihak awam seperti kuasa Menteri perlu mematuhi prinsip keadilan asasi ( natural justice ) di mana salah satu prinsip itu adalah apa yang dipanggil “ audi alteram partem” ( seseorang hendaklah diberi hak untuk didengar ).

Diterjemah di dalam kes akhbar Suara Keadilan sepatutnnya Menteri hendaklah memberi hak tersebut kepada PKR apabila ia memutuskan untuk tidak mahu memberikan permit kepada Suara Keadilan. Adakah tindakan Menteri tersebut boleh dicabar ? Jawabnya tidak kerana seksyen 13B dengan secara jelas memberi kekebalan kepada Menteri apabila diperuntukkan bahawa mana-mana orang yang tidak diberikan permit atau digantung permitnya tidak perlu diberi hak untuk didengar oleh Menteri.

Akhirnya Akta ini juga membenarkan mana-mana orang yang ditangkap kerana disyaki melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini tanpa perlu waran tangkap dari Mahkamah ( lihat seksyen 20 Akta ) .

Seterusnya jika pihak penguatkuasa KDN melakukan penggeledahan dan rampasan dan berlaku kerosakan mereka juga kebal dari sebarang tuntutan gantirugi dan mereka tidak boleh disaman di Mahkamah ( lihat seksyen 24 )

Amat menghairankan hanya kerana Suara Keadilan menyerang bertubi-tubi pengurusan Felda – agensi di bawah jagaan dan kawalan Najib- maka ia dihukum dengan hukuman yang amat berat – tidak boleh lagi diterbit dan dicetak akhbar tersebut. Kita tidak faham kenapakah Suara Keadilan perlu di hukum dengan hukuman sebegitu berat. Jika pun berita tentang Felda itu adalah satu fitnah ke atas Felda bukankah Felda dibenarkan oleh undang-undang untuk menyaman akhbar itu dan menuntut gantirugi .

Tidakkah akhbar pro Umno juga banyak kali menyiarkan berita fitnah dan bohong dan mengapakah mereka tidak pernah dihukum seperti Suara Keadilan?

Suatu yang amat ganjil parti apabila politik berdaftar seperti PKR dinafikan haknya yang fundamental iaitu menyebarkan mesejnya kepada rakyat melalui penerbitan akhbar. Jika Perlembagaan Perskutuan di dalam Perkara 10 ( 1 ) memberi kebebasan bersuara yang mana hak itu termasuk kebebasan akhbar Akta zalim ini menjadikan hak dan kebebasan di dalam undang-undang tertinggi tersebut tidak lagi bermakna dan hanya satu ilusi atau mimpi.

Sayugia diingatkan apabila BN menghukum Suara Keadilan menggunakan Akta zalim itu pada hakikatnya BN sedang menjatuhkan hukuman mati ke atas demokrasi. Apabila hak bersuara PKR dinafikan BN pada hakikatnya sedang mencabut oksigen dari tabung atau balang demokrasi. Pembunuh demokrasi wajib dihukum mati oleh hakim yang berkuasa di negara ini-rakyat atau pengundi .

Apa lagi – marilah kita sama-sama menyumpah Akta zalim ini 33 kali dalam sehari!

Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Kes Kematian Yang Ditembak Polis

Sebanyak 26 pertubuhan masyarakat negeri Johor termasuk parti politik menggesa kerajaan menubuhkan badan siasatan bebas untuk menyiasat kes-kes kematian melibatkan penggunaan kekerasan atau senjata oleh anggota polis.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berkata dengan petisyen yang baru diterimanya di Parlimen daripada pertubuhan Suara hak Asasi Manusia (Suaram) pagi tadi, mereka juga mendesak kerajaan mendedahkan laporan siasatan dengan kadar segera.

Pada sidang media di parlimen tadi, wakil Suaram menyerahkan petisyen 26 Parti Politik dan Pertubuhan Masyarakat Negeri Johor Kepada Perdana Menteri melalui Lim Kit Siang. Petisyen itu diserahkan oleh Kordinator Suaram Johor Bahru, Fang Pei Fen.

Dalam kandungan petisyen tersebut memperincikan beberapa desakan antaranya meminta Ketua Polis Negara meletakkan jawatan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas anggota polis yang terbabit.

“Ketua Polis Negara dengan hanya menyebelahi hujah anak buahnya, bukan sahaja menolak tuntutan munasabah pihak keluarga mangsa dan masyarakat, malah mengeluarkan kenyataan yang angkuh dan sombong. Beliau harus meletak jawatan dengan segera. Anggota polis yag terbabit harus dibicara dan menerima hukuman dengan adil. Pihak kerajaan pula harus menegakkan keadilan dengan membersihkan nama baik mangsa dan memberi ganti rugi kepada ahli keluarga mangsa.”

Koordinator Suaram Pusat, S. Arutchelvan menegaskan penubuhan badan bebas adalah perlu bagi memastikan siasatan yang adil, telus dan saksama bagi semua pihak.

“Hanya Suruhanjaya Diraja yang bebas dan berkuasa dpat mencungkil rahsia sebenar kematian mangsa-mangsa tembak mati polis. Lain dengan mahkamah koronel, Suruhanjaya Diraja mempunyai kuasa untuk memanggil saksi dalam proses penyiasatan. Suruhanjaya Diraja dibentuk daripada pakar undang-undang dan perubatan. Keputusan Suruhanjaya Diraja yang berdasarkan siasatan bebas dari pelbagai aspek dipercayai lebih adil. Suruhanjaya Diraja juga kelihatan lebih neutral dan berkecuali.

“Kami 26 organisasi di Johor termasuk NGO dan parti politik dan ingatkan di sini, ini satu insiden yang jelas ditembak mati dan kematian dalam tahanan terus berlaku dan kita tidak puas hati dengan siasatan yang dibuat oleh pihak polis.Polis tidak boleh menyiasat diri sendiri, kita perlu satu badan untuk menyiasat apa-apa salah polis terutamanya kematian kerana nyawa sudah hilang, nyawa itu hak untuk hidup.”

Pada 20 Oktober 2009, seorang remaja Melayu, Mohd Afham Arin, 18 tahun ditembak mati.

Allahyarham Mohd Afham menunggang motosikal bersama Mohd Firdaus Marsawai yang juga berusia 18 tahun dikejar dan ditembak mati oleh tiga polis yang berpakaian biasa semasa dalam perjalanan dari Taman Johor Jaya ke Pasir Gudang.

Mohd Afham mati kerana kecederaan yang berpunca daripada tembakan pistol di arteri jantung tiga.

Pihak polis mendakwa tiga peronda bermotosikal cuba menahan motosikal yang dinaiki oleh Mohd Afham dan Mohd Firdaus kerana mereka disyaki terlibat dalam kes ragut yang berlaku di Taman Johor Jaya.

Tembakan dilepaskan oleh anggota polis atas alasan mempertahankan diri kerana pembonceng motosikal iaitu Mohd Firdaus melibas pisau dan pedang terhadap anggota polis.

“Jadi kita sentiasa mengambil berat mengenai kes tembak. Pihak polis sewenang-wenangnya tembak. Jadi kita ada dua kes ini yang pertama atas Afham dan satu lagi kes ke atas Agustin yang berlaku di Johor.

“Hari ini saya ada satu soalan mengenai kes tembakan atas kes ini dan Aminulrasyid dan meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah kerajaan perlu meminta maaf secara rasmi kerana sewenang-wenangnya menembak mereka termasuk Aminulrasyid dan apakah siasatan sudah dibuat oleh Menteri Dalam Negeri," kata Lim Kit Siang. -TVS

Bapak Penipu Tuduh Orang Lain Menipu

Siapa Harus Rakyat Percayai?

Perdana Menteri Najib Razak menggesa orang ramai tidak mempercayai pengarang blog Malaysia Today Raja Petra Kamarudin kerana mendakwa beliau menulis berita-berita fitnah terhadap kepimpinan Umno.

Najib turut meminta rakyat tidak mempercayai dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam mengenai pembabitan Perdana Menteri, isterinya Rosmah Mansor dan kerabat keluarga Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Selain itu, sudah lumrah juga untuk Perdana Menteri menggesa rakyat tidak mempercayai pemimpin-pemimpin seperti Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan tentunya Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan seteru politik utama Umno.

Malah, seluruh jentera media arus perdana khususnya Utusan Malaysia digerakkan untuk menanam persepsi di kalangan rakyat bahawa orang-orang ini - dari Raja Petra sampai kepada Anwar Ibrahim TIDAK boleh dipercayai.

Terbaru, Najib meminta rakyat tidak mempercayai Suara Keadilan, akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat yang melahirkan rasa khuatir Felda akan bankrap jika wangnya terus disalah-urus.

Dalam tempoh lima tahun lalu, rizab tunai Felda sudah pun susut lebih enam puluh peratus.

Duit RM4 bilion tinggal RM1 bilion.

Jika semua pihak yang dinyatakan di atas tidak boleh dipercayai, persoalan yang harus diajukan kepada Perdana Menteri ialah SIAPA harus rakyat percayai?

Bolehkah rakyat mempercayai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz yang mendedahkan Kabinet meluluskan pembinaan Parlimen baru RM800 juta di Putrajaya?

Apabila berdepan dengan bantahan rakyat, Nazri kemudian mendakwa beliau tersalah memberi maklumat.

Bagaimana pula kewibawaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan?

Haruskah rakyat menelan bulat-bulan penjelasan beliau yang mendakwa simpanan tunai Felda RM2 bilion digunakan untuk penanaman semula oleh peneroka?

Kenyataan itu adalah pembohongan semata-mata kerana peruntukan untuk penanaman semula datang dari sebuah tabung berasingan yang dibiayai oleh peneroka sendiri, kata bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang bertanggungjawab ke atas Felda semasa beliau dalam Kabinet.

Bagaimanapula dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang gagal memberikan penjelasan bagaimana rekod kemasukan Altantuya Shaariibuu yang mati dibom ke negara ini “tiba-tiba” hilang dari rekod Jabatan Imigresen? Adakah beliau boleh dipercayai?

Dan akhir sekali, apakah rakyat boleh mempercayai Najib sendiri, selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri?

Pemimpin utama negara ini memberitahu Parlimen, beliau tidak pernah menjanjikan projek untuk mendapatkan undi pada mana-mana pilihan raya kecil.

Hakikat, seperti yang terpacar dalam rakaman-rakaman video ialah Najib menjanjikan RM5 juta kepada penduduk di Sibu untuk projek banjir jika mereka memenangkan calon BN pada PRK Mei lalu.

Umpan sama diberikan kepada pengundi Cina dan peneroka Felda semasa PRK Hulu Selangor beberapa minggu sebelum itu.

Najib adalah juga pemimpin Melayu yang berjanji mempertahankan kesucian agama Islam dan kebajikan seluruh rakyat lain tanpa mengira agama dan bangsa.

Namun pada masa sama beliau meluluskan lesen judi sukan yang bertentangan dengan agama Islam dan mendatangkan masalah sosial dan jenayah kepada masyarakat yang terjebak dengan amalan buruk itu.

Apabila Pakatan Rakyat dan rakyat bangkit menentang, Najib secara tiba-tiba berkata lesen itu ditarik balik.

Hari ini apabila isu itu reda, Najib sekali lagi memberitahu Parlimen pihaknya bersedia memberikan semula lesen judi sukan jika ada rancangan untuk menghalalkan amalan itu di negara ini.

Kenyataan yang mengelirukan dan putar belit. Siapa yang mempunyai kuasa untuk menghalalkan judi sukan jika bukan kerajaan pemerintah.

Namun pendirian kabur dan berdolak dalih sudah saban kali di perlihatkan oleh Najib dalam mengumumkan keputusan-keputusan kerajaan.

Justeru, rakyat keliru, mana satu Najib yang harus dipercayai?

Patutkah mereka berpegang kepada seorang Perdana Menteri yang mudah membuat janji dan kemudiannya bingkas mengubah kata-katanya?

Ini belum lagi dikupas janji-janji Najib untuk memansuhkan hak pemilihan 30 peratus di dalam Model Ekonomi Baru sebelum menjajanya ke Amerika Syarikat.

Sekembali dari berjumpa dengan Presiden Barack Obama, segala peruntukan itu dikekalkan dalam RMK-10, selepas dikritik oleh Perkasa dan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimana pula dengan kelewatan Najib mengkritik serangan Zionis ke atas misi kemanusiaan kapal laut yang berkesudahan dengan pertumpahan darah.

Ataupun tindakan Umno-BN mengupah syarikat Apco Worldwide yang dipimpin bekas pegawai-pegawai risikan Zionis dengan kos RM77 juta.

Negara semakin condong ke arah menjadi tali barut kuasa-kuasa tertentu, dan Malaysia akan “bankrap” nilai-nilai moral dan kemanusiaannya jika rakyat meletakkan kepercayaan kepada pemimpin yang hanya pandai menanam tebu di bibir dan menyembunyikan hakikat sebenar.

Jelas, rakyat mempunyai kesukaran untuk memberi pertimbangan kepada gesaan Najib supaya tidak mempercayai orang dan pihak tertentu.

Ini kerana kenyataan Perdana Menteri ibarat meludah ke langit. Bak kata Karam Singh Walia, paku dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih.

Itulah akibatnya apabila tukang “nasihat” sendiri dibelit dengan kredibiliti rapuh lagi mencurigakan. -Wira Arjuna


Lesen judi: Respons bertulis PM tambah keliru, kata Mahfuz
Oleh Clara Chooi July 07, 2010
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Jawapan bertulis Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menimbulkan kekeliruan berhubung status lesen pertaruhan sukan yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi di kalangan pelbagai pihak sehingga memaksa kerajaan membatalkannya.

Respons kepada soalan Ahli Parlimen PAS seolah-olah menunjukkan bahawa lesen pertaruhan telah dikeluarkan meskipun akhir bulan lalu Najib mengumumkan yang ia tidak akan diberi kelulusan.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) memperlekehkan jawapan bertulis yang dikeluarkan di Dewan Rakyat dan mempersoalkan mengapa Najib tidak kisah untuk memberi butiran sedemikian selepas kerajaan “sudah sewajarnya” telah membatalkan lesen itu.

“Jawapan beliau seharusnya menggambarkan pendirian kerajaan sebagaimana telah diumumkan oleh Najib.

“Meskipun saya bertanya mengenainya, mengapa respons beliau datang dalam bentuk seperti ini? Apakah pendirian sebenar beliau?” kata beliau pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mahfuz dalam soalan lisan kepada Najib, yang juga Menteri Kewangan, telah meminta kementerian mengemukakan senarai syarat dan peraturan pihaknya terhadap lesen yang diberikan kepada Ascot Sports Sdn Bhd bagi mengendalikan pertaruhan ketika kejohanan Piala Dunia 2010.

Naib Presiden itu juga mengemukakan persoalan mengenai anggaran tranksaksi pertaruhan sukan dan sama ada kerajaan sedar aktiviti ini boleh meningkatkan ketagihan judi sukan di kalangan rakyat.

Dalam responsnya, Najib berkata: “Untuk makluman anda, kerajaan belum lagi mengeluarkan lesen bagi pertaruhan sukan bagi kejohahan Piala Dunia 2010. Justeru, isu pulangan dianggarkan daripada judi Piala Dunia tidak timbul sama sekali.

“Bagaimanapun kerajaan telah menawarkan pengeluaran semula lesen kepada Ascot Sports untuk perkhidmatan bookie (tidak termasuk Piala Dunia) sejak syarikat telah diberi kelulusan terdahulu untuk mengendalikan aktiviti itu.

“Oleh itu kerajaan berpendapat bahawa jika pengeluaran semula lesen hendak dipertimbangkan, adalah adil jika Ascot Sports diberikan keutamaan berdasarkan pengalaman mereka dalam industri ini,” katanya.

Najib menyenaraikan 14 terma dan syarat yang kerajaan beri kepada Ascot Sports termasuk syarikat itu dikehendaki membayar deposit sekuriti RM10 juta kepada kerajaan.

“Ascot Sports kena memastikan bahawa tiada sesiapa di bawah 21 tahun dan yang beragama Islam dibenarkan membeli pataruhan atau bekerja di syarikat,” itu.

Mahfuz juga berkata, respons Najib tidak jelas, sebaliknya mencetuskan lebih banyak persoalan sama ada kerajaan masih ada rancangan untuk meluluskan lesen pertaruhan sukan tetapi tidak ketika Piala Dunia ini.

“Ini bermakna isu Piala Dunia tidak timbul. Persoalan sekarang ialah sama ada lesen tidak diberikan untuk Piala Dunai... tetapi selepas ini? Kemungkinan untuk Liga Perdana Inggeris? Atau Piala Malaysia? Adakah ia bermakna kerajaan masih akan mengeluarkan lesen kepada Ascot Sports untuk aktiviti lain dan bukannya Piala Dunia?” kata Mahfuz.

Menurut beliau, jawapan rasmi yang diberikan oleh perdana menteri di Parlimen dengan jelas tidak mencerminkan keputusan yang beliau umumkan bahawa lesen kepada Ascot Sports ditarik balik.

“Saya mahukan penjelasan jujur daripada kerajaan mengenai isu ini. Tambahan pula, isu di sini ialah sama ada keputudan harus datang daripada Kabinet ataupun Majlis Tertinggi Umno,” katanya.

Mahfuz memberitahu, perdana menteri mengumumkan keputusan itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, bukannya selepas perbincangan Kabinet.

“Adakah bermakna lesen masih akan dikeluarkan? Atau Majlis Tertinggi lebih penting atau lebih tinggi status berbanding Kabinet,” katanya.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan dalam tindakan drastik yang mengejutkan banyak pihak memutuskan untuk tidak mengeluarkan lesen sukan judi kepada Ascot Sports, syarikat milik jutawan Tan Sri Vincent Tan.

“Pada dasarnya kerajaan bersetuju untuk memberikan kelulusan kepada Ascot yang mahu lesen itu diperbaharui sejak 1990, tetapi kerajaan memutuskan untuk tidak memberikan kelulusan,” kata Najib.

Najib memberitahu syarikat itu telah dimaklumkan mengenai keputusan itu. -TMI


Musa Hassan Berlagak Hero Sebelum Pencen

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berusaha menonjolkan dirinya sebagai hero menyelamatkan kerajaan Barisan Nasional dengan secara tiba-tiba membangkitkan isu Jemaah Islamiah dan terbaru isu usaha menangkap penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin yang dikehendaki oleh pihak polis.

Tindakan 'mengambil hati' Umno-BN dilihat sebagai membantu misi mengalih perhatian rakyat terhadap isu kritikal seperti penglibatan Apco Worldwide dalam soal keselamatan negara, skandal komisyen dalam pembelian kapal selam Scorpene, tindakan menyerahkan tanah KTMB di Tanjung Pagar kepada Singapura dan juga beberapa rancangan pengambilan tanah serta soal lesen judi.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul kesal dengan tindakan Musa dan menyifatkan pendedahan yang dibuat KPN tersebut kepada media seumpama mencari populariti demi memenuhi kepentingan dirinya.

"Saya yakin benar bahawa dia bermain politik dalam isu ini, jika tidak kenapa dengan tiba-tiba menjadikan dirinya sebagai orang penting dengan mengetengahkan isu tersebut semata-mata bagi menyambung semula kontraknya sebagai KPN yang dijangka berakhir pada September tahun ini.

"Oleh yang demikian dia terpaksa cari isu untuk menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Beliau juga menganggap isu JI sengaja diada-adakan setelah kerajaan BN berdepan dengan banyak isu besar termasuk pembelian kapal selam Scorpene, lesen judi bola sepak dan kehadiran syarikat milik Yahudi di negara ini, Apco.

"Sehingga sekarang perkara tersebut tidak pernah diambil perhatian oleh kerajaan untuk diambil tindakan. Bagi menutup isu tersebut, kerajaan menggunakan isu yang baru tentang pergerakan yang berada di negara ini selain bertindak menakut-nakutkan rakyat.

"Kita lihat kerajaan sekarang sedang melakukan usaha mengalih perhatian umum kepada isu yang telah dikeluarkan oleh KPN berkenaan dengan isu JI.

"Umno-BN cuba mengalihkan isu yang telah kita dedahkan dahulu berkaitan penglibatan Apco, lesen judi mahupun penyerahan aset negara kepada negara luar dan juga soal pengambilan tanah daripada terus menjadi perhatian umum.

"Kita juga berpendirian sikap pelampau tidak boleh dibiarkan dan diambil tindakan tegas, tetapi isu yang besar itu janganlah dibiarkan perlu diselesaikan segera bukan dengan menggunakan cara mengalihkan pandangan rakyat.

"Kalau benar-benar sepertimana yang didakwa Musa, kenapa sehingga sekarang tiada tangkapan yang dibuat pihaknya," tegas beliau lagi.

Johari juga berharap fokus perlu ditumpukan kepada soal keselamatan sementara soal JI perlu diselesaikan oleh pihak polis dan bukan menggunakan cara pendedahan awam tentang kumpulan tersebut agar rakyat berasa takut dengan situasi yang berlaku di dalam negara ini.

Sebelum itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Musa pada 14 Jun lalu menyatakan kumpulan JI sedang berusaha untuk menghidupkan kembali perjuangan mereka.

Ekoran kenyataan itu, pelbagai pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap isu JI sengaja ditimbulkan sekarang kerana kerajaan BN cuba mengalih perhatian rakyat.

Selain itu beliau menambah kumpulan terbabit merekrut pelajar universiti dan remaja tempatan untuk berjihad di luar negara.

Dalam kenyataan yang sana, Musa juga berkata pemantauan akan dilakukan ke atas pelajar yang mengikuti sebarang ceramah atas faktor keselamatan negara. -SK