9 Feb 2011

MasyaAllah! 517 Kes Buang Bayi Diantara 2005 - Jan 2011

517 Kes Buang Bayi Dilaporkan Dari 2005 Hingga Januari Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 517 kes pembuangan bayi dilaporkan sejak tahun 2005 hingga Januari tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata jumlah itu merangkumi 203 orang bayi lelaki, 164 orang bayi perempuan dan 150 orang bayi yang tidak diketahui jantinanya.

"Bagi kes tidak dikenal pasti jantina, ini adalah kerana keadaan mayat yang reput dan bedah siasat tidak dapat dilakukan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Rabu.

Beliau berkata daripada 517 bayi itu, sebanyak 230 merupakan bayi yang hidup manakala 287 pula bayi yang telah meninggal dunia.

Mohd Bakri berkata seramai 37 orang suspek telah ditangkap dari 2005 hingga tahun ini termasuk empat orang pada Januari ini berhubung kes pembuangan bayi.

Dalam tempoh yang sama, 18 kes telah dituduh di mahkamah dan sebanyak sembilan kes telahpun dijatuhi hukuman, katanya.

Menurutnya hasil kajian mendapati lokasi yang paling popular untuk jenayah ini adalah di kawasan perumahan dan tempat pembuangan sampah selain di tepi jalan, masjid, sungai, semak dan dalam tandas.

Mohd Bakri berkata polis berdepan dengan kekangan dalam siasatan jenayah tersebut seperti kesukaran untuk mengesan suspek, tidak dapat mengumpulkan bukti yang mencukupi kerana kebanyakan bayi telah reput.

"Ujian DNA tidak dapat dilakukan kerana tiada sampel yang diperolehi daripada suspek untuk perbandingan," katanya.

Justeru itu, polis mencadangkan kepada semua pihak yang terlibat dalam mencegah jenayah ini sama ada kerajaan dan bukan kerajaan agar menekankan aspek pencegahan dan rawatan secara serentak.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya kini diberi tanggungjawab mengendalikan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai NUR Alert (National Urgent Response Alert) bagi mengesan dan menghebahkan kehilangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Katanya pihaknya diberi kepercayaan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam isu ini memandangkan siasatan dilakukan oleh polis turut meliputi pencarian bukti dan penyebaran maklumat.

"Oleh itu bagi polis, kita mengharapkan kerjasama dari semua pihak dalam mengendalikan perkara itu," katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil baru-baru ini berkata, kementerian itu bersama-sama polis telah memuktamadkan pelaksanaan sistem itu setelah ia dipersetujui kedua-dua pihak.

"Kalau ada kes-kes kehilangan, sistem ini akan digerakkan segera," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

GB telah menyatakan di sini:

[Bergambar] Alangkan Binatang Sangat Sayang Anaknya...

[Bergambar] Siri Kedua: Alangkan Binatang Sayang Anaknya

Obama Akhirnya Berhenti Merokok

Presiden AS Barack Obama akhirnya dapat mengakhiri kecanduannya pada rokok. Isterinya, Michelle, menyatakan sangat bangga bahawa mantan "panglima penghisap asap" itu dapat memandang mata anak-anaknya dan berkata ia tak lagi merokok.

Perjuangan Obama untuk mengalahkan kecanduannya telah menjadi pusat perhatian yang sangat besar buat media AS selama kempen kelilingnya tahun 2008 dan dalam dua tahun pertama masa jabatannya.

Namun, Ibu Negara Michelle Obama, Selasa (8/2), mengatakan kepada wartawan bahwa Obama sudah tak mengepulkan asap selama satu tahun terakhir. Michelle mengatakan, ia "sangat bangga" Obama telah berhasil dalam mengalahkah apa yang telah menjadi "tantangan peribadi buat dia", demikian laporan USA Today.

"Ketika seseorang melakukan tindakan yang benar, jangan mengacaukannya," kata Michelle Obama sebagaimana dikutip USA Today. Ia menambahkan, Obama akhirnya berhenti merokok sebab ia mau memberitahu puteri-puterinya, Malia dan Sasha, bahawa ia tak merokok lagi.

Ibu Negara Amerika Serikat itu berbicara kepada wartawan untuk menandai peringatan kempen "Let’s Move" guna mengakhiri kegemukan pada anak-anak.

Obama telah didesak doktornya pada Februari tahun lalu agar berhenti merokok demi kebaikannya setelah pemeriksaan kesihatan pertamanya sebagai presiden. Pada pemeriksaan itu, Obama dinyatakan "memiliki kesihatan yang sangat bagus" dan "cocok untuk menjalankan tugas", tetapi doktornya mendesak dia untuk berhenti merokok.

Jurucakap Rumah Putih Robert Gibbs mengatakan, beberapa pembantu dekat Obama telah bergabung dengan presiden tersebut dalam usaha untuk berhenti merokok. Gibbs menambahkan, dirinya yakin pengaruh Ibu Negara telah membantu. "Saya fikir ketika seseorang memutuskan untuk berhenti merokok ... mereka melakukannya bukan sekadar kerana mereka mau, tetapi kerana orang lain juga mau mereka melakukannya," kata Gibbs.

Polis Nak Sokong Lagi Pemimpin BN Setelah Mahathir Tibai Polis?

Ops Lalang: Kit Siang cabar Mahathir namakan pembangkang, jangan salahkan polis

KUALA LUMPUR, 9 Feb — Lim Kit Siang hari ini mencabar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan nama pemimpin-pemimpin pembangkang yang beliau bertemu dan memberi jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan di bawah Operasi Lalang 1987.

Menjawab dakwaan Dr Mahathir bahawa polis yang mahu pemimpin-pemimpin pembangkang dan yang lain ditahan, Lim berkata:

“Biar Mahathir menamakan pemimpin-pemimpin pembangkang yang beliau telah bertemu dan memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan, tetapi ia telah diatasi oleh polis menerusi Operasi Lalang.”

Dr Mahathir mengatakan demikian dalam buku terbaru “Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad” tulisan Tom Plate.

Penasihat DAP itu berkata, Dr Mahathir bukan sahaja berhadapan dengan masalah memori selektif dan fikiran tidak betul tetapi turut memutarbelitkan perkara tidak benar mengenai ketidakdilan yang dilakukannya selama 22 tahun menjadi perdana menteri.

Operasi Lalang atau Ops Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh polis, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi menangkap mereka yang mengeruhkan suasana politik ketika itu.

Dalam Operasi Lalang ini, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan pembatalan dua akhabar harian dan dua akhbar mingguan.

Selain Lim, turut ditahankan ialah Chandra Muzaffar, Karpal Singh, Kua Kia Soong, Ibrahim Ali dan Mohamed Fahmi Ibrahim.

“Saya tidak pernah berjumpa dengan Mahathir dan beliau tidak pernah memberikan saya jaminan bahawa saya tidak akan ditahan sebelum Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 meskipun sehari sebelum itu saya bercakap di Parlimen ketika perbahasan bajet mengenai peningkatan ketegangan kaum dan saya meminta kesemua parti bersetuju dengan (syor) moratorium selama setahun di mana tiada isu perkauman, bahasa atau agama dicetuskan atau dibangkitkan bagi setiap rakyat Malaysia memberi tumpuan ke atas keutamaan negara mencapai pemulihan ekonomi dan pertumbuhan,” katanya lagi.

Kata Lim, tidak patut Dr Mahatahir mempersalahkan polis sebagai bertanggungjawab atas Operasi Lalang memandangkan beliau bukan sahaja tidak mempertahankan penahanan 106 orang di bawah Seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), malah beliau menggunakan kuasanya selaku Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 8 akta itu untuk mengeluarkan perintah menahan selama dua tahun membabitkan 49 orang termasuk tujuh ahli Parlimen DAP.

Lim berkata, Dr Mahathir sentiasa membuat dakwaan palsu dan tidak berasas bahawa ahli-ahli Parlimen DAP ditahan bukan kerana mereka wakil rakyat atau disebabkan kepercayaan politik, tetapi kerana cuba untuk mencetuskan kerusuhan kaum.

Sebagai contoh katanya, Dr Mahathir memberitahu majalah Asiaweek keluaran 11 November 1988 bahawa beberapa orang masih ditahan kerana enggan memberi jaminan tidak akan mencetuskan perkauman lagi.

Malah kata Lim, sebenarnya salah guna ISA untuk tujuan peribadi, berfikiran sempit dan perasaan dendam adalah jelas memandangkan beliau dan anaknya Guan Eng, kini Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang, adalah dua yang terakhir daripada 49 tahanan Operasi Lalang dibebaskan pada April 1989.

“Sedangkan yang lain dibebaskan bermula Jun 1988,” kata beliau.

“Saya selalu mengakui memang ada ketegangan kaum pada Oktober 1987, tetapi ketegangan kaum ini bukan dicetuskan oleh ahli-ahli Parlimen DAP atau tahanan lain Operasi Lalang, tetapi oleh beberapa pihak yang mahukan kuasa politik dalam Umno,” katanya.

Pada 1987 Umno berhadapan dengan krisis kepimpinan membabitkan dua puak, satu diketuai oleh Dr Mahathir manakala yang satu lagi oleh Tengku Razaleigh Hamzah-Tan Sri Musa Hitam.

“Sebagaimana dikatakan oleh Bapa Malaysia dan perdana menteri pertama (Almarhum) Tunku Abdul Rahman sejurus selepas Operasi Lalang, pada November 1987, ia bukan persoalan orang Cina menentang kerajaan tetapi parti sendiri, Umno, yang menentang beliau,” kata Lim memetik akhbar The London Times edisi 9 November 1987.

Sehubungan itu kata Lim, Dr Mahathir tidak boleh memindahkan tanggungjawabnya terhadap pasukan polis, sebaliknya perlu tampil bersih dan meminta maaf kepada seluruh negara kerana mengadakan Operasi Lalang, yang disifatkan sebagai bab hitam dalam soal hak asasi manusia di Malaysia.

“Adakah Mahathir (juga) mahu mempersalahkan kehakiman, polis, Suruhanjaya Pilihan Raya, agensi antirasuah, media dan institusi-institusi utama negara atas kegagalan membantah demi melindungi, mempertahan dan menggalakkan keberkesanan, kebebasan dan profesionalisme ketika (era) kepimpinannya?” kata Lim lagi.

Dalam buku itu, Dr Mahathir yang meneraju Malaysia selama 22 tahun itu mengakui bahawa beliau berang dengan tindakan polis tersebut.

“Ya, saya akan tangani secara berbeza, tetapi polis ingin melakukan hal-hal ini (tangkapan ISA) kerana mereka menyatakan ia perlu.

“Saya sebenarnya berjumpa dengan semua ahli pembangkang (terlebih dahulu) dan meyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditangkap. Dan awak tahu apa yang polis lakukan? Polis menangkap mereka. Kredibiliti saya hilang,”
katanya. -TMI



Ops Lalang: Mahathir persalahkan polis

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Dr mempersalahkan polis atas Ops Lalang, yang menyaksikan 106 orang, termasuk seteru politiknya ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987.

Dalam buku terbaru mengenai Mahathir, yang berjudul 'Doctor M: Operation Malaysia - Conversations with Mahathir Mohamad', bekas perdana menteri yang meneraju Malaysia selama 22 tahun itu mengakui bahawa beliau berang dengan tindakan polis tersebut.

"Ya, saya akan tangani secara berbeza, tetapi polis ingin melakukan hal-hal ini (tangkapan ISA) kerana mereka menyatakan ia perlu...

"Saya sebenarnya berjumpa dengan semua ahli pembangkang (terlebih dahulu) dan meyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditangkap. Dan awak tahu apa yang polis lakukan? Polis menangkap mereka. Kredibiliti saya hilang," katanya.

"Awak pastinya marah!" balas Tom Plate, yang mewawancara Mahathir dan mengarang buku berkenaan.

"Yeah, tapi apa yang boleh saya lakukan? Saya perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah orang-orang yang membuat keputusan. Saya memberikan kuasa umum kepada mereka untuk bertindak," kata Mahathir.

Semasa penangkapan besar-besaran pada 27 Oktober 1987, lebih seratus orang ditangkap - sebahagian besar mereka terdiri daripada pemipin pembangkang dan segelintir ahli politik dari Umno dan MCA. Selain itu, permit penerbitan untuk akhbar The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan telah ditarik balik.

Kerajaan kemudian menawarkan penjelasan bahawa tangkapan ISA yang kedua terbesar sejak rusuhan perkauman 13 Mei adalah 'perlu' bagi membendung 'ketegangan perkauman' yang semakin memuncak akibat protes besar-besaran berhubung pelantikan pengetua bukan berpendidikan Cina di sekolah-sekolah vernakular Cina.

Umno pula membalas dengan juga mengadakan protes besar-besaran yang diketuai oleh ketua pemudanya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak di Kampung Baru, beberapa hari sebelum tangkapan beramai-ramai dibuat. -mk


Ulasan GB

Jelas kini bahawa polis jadi pihak yang diperbodohkan pemimpin BN. Polis selama ini menyokong dan mendokong pemimpin-pemimpin BN, tetapi apa kesudahannya?

Imej polis tercalar teruk kerana Mahathir secara terbuka mempersalahkan polis kerana Operasi Lalang yang menurutnya, menjadi sebab kredibilitinya hilang. Pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang pula yang membela polis.

Tentang Mahathir ni, kita sudah tahu sangat. Dia jadi PM bukan setahun dua. Dia hipokrit peringkat paling tinggi. Menipu dan berbohong adalah biasa baginya. Tahukah anda ciri-ciri orang berdusta? Sebelum ini GB pernah mengeluarkan artikel mengenai Bagaimana Mengenali Jika Seseorang Itu Berdusta?

Petikan:

Menyentuh hidung

Apabila seseorang itu berbohong, tisu-tisu erektil pada hidungnya akan dipenuhi darah menyebabkan ianya membesar. Fenomena ini juga dikenali sebagai kesan pinocchio. Jadi, apabila si dia bercakap dengan anda dan kerap menyentuh hidung yang tidak gatal, sebenarnya ada sesuatu yang diselindungkannya.


30 Saat Sahaja Untuk Wanita Hamil Mengecam Polis Yang "Merompak" Dan Menamparnya

Chow cam anggota polis wanita dalam 30 saat

Pemilik kedai, Chow Soo Meng, yang mendakwa ditampar dan dirompak oleh anggota polis preman di Sungai Buloh minggu lalu, hari ini mengenalpasti anggota polis wanita yang didakwa mengambil wang RM20,000 dari beg tangannya.

Chow, 38, mengenalpasti anggota polis berkenaan dalam satu kawad cam di ibupejabat polis Petaling Jaya pada jam 12.05 tengahari tadi.

Pemilik kedai yang sedang mengandung lapan bulan itu ditemani ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Menurut Lim, Chow hanya mengambil masa 30 saat untuk mengenalpasti anggota polis wanita yang didakwa menggari dan mengambil wangnya.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohammed enggan memberi sebarang komen mengenai perkara itu.

Sabtu lalu, Chow telah mengenalpasti lima lagi anggota polis dalam satu kawad cam berasingan.

Polis nafi curi wang

Chow mendakwa polis telah mencuri kira-kira RM20,000 wang tunai dan beberapa barangan dari kedainya, serta menamparnya.

Dalam laporan polisnya, Chow mendakwa polis mengambil beberapa jenis rokok, enam botol minuman keras, oren mandarin dan tiga karton minuman tin.

Polis Petaling Jaya menafikan anggotanya mengambil RM20,000 dan barangan lain seperti yang didakwa oleh Chow, tetapi mendakwa hanya RM15,900 dirampas untuk tujuan siasatan berhubung kemungkinan ia keuntungan haram.

Polis juga mengesahkan memotong besi jeriji pintu kedai Chow selepas dia enggan membukanya, dan sedang menyiasat dakwaan bahawa Chow ditampar.

Ulasan GB

Seperti yang GB ulaskan sebelum ini, perbuatan polis berkenaan adalah melampau.

SEKALI LAGI GB bertanya: Apa hak di sisi undang-undang polis menampar wanita hamil berkenaan?

KEDUA: Apa bukti yang polis boleh ketengahkan untuk menyatakan wang yang dirampas itu kononya ia "kemungkinan keuntungan haram?"

KETIGA : Chow mendakwa polis mengambil beberapa jenis rokok, enam botol minuman keras, oren mandarin dan tiga karton minuman tin. Apa hal polis bertindak demikian? Dah pelahap sangat?

Kes Sosilawati: 21 Feb, Keputusan Semakan & Rayuan Pekerja Ladang Lupuskan Mayat

Keputusan Semakan Dan Rayuan Pembunuhan Banting 21 Februari

Gambar: ANGGOTA Polis Penjara membawa dua pekerja ladang yang didakwa melupuskan mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, K. Sarawanan (dua dari kiri) dan U. Suresh (tiga dari kiri), ketika hadir pada keputusan tarikh rayuan dan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

SHAH ALAM: Rayuan dan semakan kehakiman terhadap dua pekerja ladang yang dihukum penjara selama tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya akan diketahui pada 21 Februari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan tarikh tersebut kerana memerlukan masa untuk meneliti hujahan dan nas undang-undang yang dikemukakan oleh pihak yang terlibat dalam permohonan itu.

K. Sarawanan, 20, dan U. Suresh, 27, dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, di sini, selepas mengaku salah melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati dan tiga individu yang turut hilang bersamanya.

Sosilawi, 47, hilang bersama pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamal Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44, selepas dilaporkan menuju ke Banting untuk berjumpa seorang peguam bagi berbincang urusan jual beli tanah.

Tidak lama selepas itu, peguam N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T. Thiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pembunuhan tersebut.

Pada 15 Oktober lalu, Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara terhadap Sarawanan yang mengaku bersalah atas tuduhan membakar mayat mangsa, manakala pengakuan Suresh direkodkan bagi kesalahan membuang abu mayat ke dalam Sungai Panchau.

Sementara itu, pada prosiding Rabu, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin memohon supaya mahkamah mengekalkan hukuman penjara tersebut kerana majistret telah membuat keputusan yang betul dengan mengambil kira fakta dan peruntukan undang-undang.

“Prinsip satu transaksi dan prinsip keseluruhan bukanlah sesuatu yang mutlak apatah lagi di dalam kes ini melibatkan pembunuhan yang kejam terhadap empat individu yang tidak berdosa di mana mereka dibunuh, mayat mereka dibakar sehingga menjadi abu.

“Tertuduh bagi memastikan ketiadaan kesan ke atas perbuatan rakan mereka, telah menghapuskan bukti dengan membuang abu mayat ke dalam Sungai Panchau bagi menggagalkan siasatan polis,” katanya. Turut mewakili pihak pendakwaan ialah Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dan Idham Abd Ghani.

Sementara itu, peguam A. S. Dhaliwal pula menghujahkan agar pengakuan salah tertuduh diketepikan dan tertuduh dianggap sebagai tidak bersalah sehingga kes tersebut dipulangkan semula ke Mahkamah Majistret.

Terdahulu, usaha Dhaliwal untuk membawa Suresh berjumpa dengan pesuruhjaya sumpah selama 10 minit bagi mengingkrarkan afidavit gagal kerana permohonan tersebut ditolak oleh Mohtarudin.

“Saya tidak melihat mengapa afidavit diperlukan kerana Suresh tidak memfailkan rayuan dan hanya terlibat dalam prosiding melalui semakan oleh saya. Saya tidak memerlukan afidavit dalam semakan saya,” kata Mohtarudin. -mstar

Kijang Sesat Dalam Kawasan Rumah

Aampang: Sukar dipercayai apabila petugas Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) menerima panggilan kecemasan mendakwa seekor kijang sesat dengan melanggar bertalu-talu dinding dan pintu rumah seorang penduduk di Taman Tun Abdul Razak, di sini.

Gambar:MANA MAHU LARI... kijang selepas ditangkap Perhilitan. Gambar kecil, anggota Perhilitan mengikat kijang berkenaan.

Kijang berkenaan yang dipercayai datang dari kawasan hutan berhampiran ditemui dalam keadaan cemas dan berlari-lari di dalam kawasan rumah penduduk kira-kira jam 8 malam kelmarin .

Laporan itu bagaimanapun disahkan benar apabila sepasukan empat anggota Pasukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang tiba di banglo berkenaan dan mendapati seekor kijang berlari.

Ketua Operasinya, Leftenan Muda JPAM Shahrul Kamar Johari, berkata anggota bertugas mengepung kawasan rumah berkenaan bagi menangkap kijang betina itu.

“Kijang berkenaan melanggar pagar rumah dan dinding berkali-kali kerana panik. Ia turut melompat melepasi tembok pagar dua banglo berhampiran sebelum ditangkap seorang anggota JPAM. Usaha menangkap kijang yang cedera itu mengambil masa kira-kira 20 minit.

“Hasil pemeriksaan mendapati haiwan itu cedera di kepala, kaki dan badan selain keletihan akibat tindakannya yang agresif melanggar pintu dan tembok rumah di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, kijang itu dibawa ke ibu pejabat JPAM sebelum perkara berkenaan dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Jabatan Perhilitan diketuai Timbalan Pengarahnya, Celescoriano Razond yang tiba tidak lama kemudian merawat kijang itu sebelum membawanya pulang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, penemuan kijang di taman berkenaan kejadian kedua selepas seekor kijang dilaporkan tersesat di kawasan sama pada 2007.

Beliau berkata, haiwan itu dipercayai sesat dari hutan tebal di belakang taman berkenaan yang luasnya hingga ke daerah Hulu Langat.

“Ada kemungkinan haiwan liar itu tersesat dari habitat asal atau dikejar anjing liar hingga menceroboh masuk ke kawasan rumah berkenaan.

“Kijang berkenaan akan diberikan rawatan dan dipindahkan ke Zoo Melaka,” katanya. -HM

PRK Merlimau: Strategi Pondan UMNO BN Guna Harta Awam Untuk Kegunaan Parti

Setiausaha jentera pilihanraya PAS di Melaka, Bahiki Ismail kesal dengan sikap Umno/BN yang terus menerus menggunakan kemudahan awam untuk program politik kepartian.

Terbaru, dakwanya kerajaan menyalah-gunakan Dewan Politeknik Merlimau untuk program suaikenal bapa angkat dengan jawatankuasa peti undi DUN Merlimau. Program tersebut melibatkan pengerusi perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga adalah ketua menteri.

Program telah berlangsung Isnin lalu dan melibat semua ketua-ketua peti undi di DUN Merlimau.

"Umno/BN sering menuduh PAS berpolitik di masjid dan surau tanpa bukti tetapi sebaliknya merekalah yang sering menggunakan surau, masjid, sekolah dan institusi masyarakat yag lain untuk program politik mereka".

"Kita tidak kisah jika program itu adalah program kerajaan dan agensi-agensinya tetapi yang kita kesalkan ialah mereka secara terang-terang menggunakan harta rakyat yang dibiayai dengan duit rakyat untuk program politik mereka." kata Bahiki (atas, kanan) dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau menggesa tindakan menggunakan harta awam untuk program parti dihentikan serta merta kerana ia jelas mengheret institusi awam ke kancah politik.

Bahiki juga mengingatkan semua pengarah, pengetua, guru besar dan pegawai kerajaan supaya tidak tunduk dengan tekanan politik kepartian sehingga membenarkan institusi di bawah tanggungjawab mereka digunakan sewenang-wenangnya oleh Umno/BN untuk program parti.

"Tuan-tuan dan puan-puan diberi amanah untuk menjaga harta dan kemudahan awam janganlah kerana tekanan politik kita sanggup mengabaikan amanah yang dipikul oleh kita.

"Pengunaan harta dan kemudahan awam sudah berlaku dari dulu, kini dan mungkin selamanya namun kita kesal kerana pihak berwajib seperti polis, SPRM, SPR dan sebagainya tidak berani mengambil tindakan walaupun sudah acapkali kita membuat laporan agar tindakan di ambil ke atas pihak terbabit" katanya.

Beliau berharap Umno/BN tidak mengulangi kesilapan itu pada kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau kerana ia perbuatan menyalah-gunakan duit rakyat.

"Umno/BN wajar mencontohi PAS yang menjalankan program di premis parti kerana PAS tahu etika dan undang-undang.

"Jika perkara ini berulang, PAS juga sepatutnya dibenarkan untuk mengadakan program di semua institusi awam kerana PAS juga parti berdaftar" kata Bahiki lagi. -mk

Ulasan GB

Pakatan Rakyat perlu untuk mengumpulkan bukti-bukti terhadap penggunaan jentera dan harta awam oleh UMNO BN untuk kepentingan kepartian.

Ia menyalahi undang-undang dan sekalipun diketahui nanti SPR akan tidak akan berbuat apa-apa malah membela UMNO/BN, tugas kita membuat aduan dan pendedahan kepada rakyat perlu dilakukan.

Setidak-tidaknya Tuhan Mengetahui kita telah "berusaha" untuk menunjukkan ketempangan perjalanan sistem pilihanraya di negara kita sekian lama. Dan Dia Maha Berkuasa untuk membantu pihak yang teraniaya dan dizalimi.

[Bergambar] Kediaman Bekas Juara Bina Badan Negara Terbakar

Kuching – Badan bekas Mr. Asia, Bujang Taha bergetar-getar sambil ditenangkan oleh isterinya apabila menyaksikan rumah beliau ranap dijilat api dalam kebakaran petang tadi.

Gambar: Bekas juara bina badan negara Bujang Taha, 74, pasrah melihat kediamannya hangus terbakar di Kampung Tanjung dekat Petra Jaya, Sarawak kira-kira 2.05 petang tadi. – Foto Bernama

Bujang, 74, jaguh bina badan yang terkenal di negara Asia sekitar tahun 70an dan 80an, bukan sahaja kehilangan rumah sekelip mata, namun barangan peribadi seperti trofi, medal emas dan hadiah yang dimenangi semasa bergiat aktif dalam bidang bina badan.

Bagi beliau, barangan peribadi ini terlalu bernilai sentimental, yang tidak dapat diganti sampai bila-bila.

“Selain kerugian wang tunai sebanyak RM27,000, kebakaran ini turut memusnahkan harta benda lain yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM300,000,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Menurut Bujang, kira-kira jam 2.05 petang, beliau pergi ke tingkat atas rumahnya di Kampung Jalan Tanjong Merdeka apabila beliau melihat percikan elekktrik di siling.

Beliau terus menjerit menyuruh isterinya, 86, yang kebetulan sedang menikmati makan tengah hari bersama cucu masing-masing berusia 9, 11 dan 13 di tingkat bawah keluar menyelamatkan diri.

Namun tidak banyak harta benda dapat diselamatkan memandangkan api marak begitu pantas memusnahkan rumah kayu yang didiami oleh 11 penghuni itu.
Malah kebakaran itu turut merebak ke rumah jiran di sebelah.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 petang. Seramai 15 anggota bomba bersama dua enjin pemadam api dari Padungan dan Petra Jaya digegaskan ke tempat kejadian dan tiba di tempat kejadian pada jam 2.53 petang.

Api berjaya dikawal pada jam 3.08 petang.

Ketua Balai Bomba Petra Jaya Madu Anggut berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

“Api merebak begitu panta disebabkan angin kuat dan rumah yang dibina dari kayu,” katanya lagi sambil menambah pihak bomba masih menyiasat punca dan kerugian kebakaran. -sarawakupdate










Pertambahan Luarbiasa Jumlah Pemilih Baru - Misi Untuk Kalahkan PR Dalam PRU13?

Pendaftaran pemilih baru pada suku terakhir 2010, melibatkan bulan Oktober hingga Disember, meningkat secara ketara sehingga mencecah 300,000 orang – dilihat dipengaruhi ‘demam’ spekulasi pilihan raya umum dan gerakan pendaftaran secara agresif oleh parti-parti politik.

Perangkaan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu berbanding 246,962 orang antara Julai dan September lalu.

Jumlah permohonan baru bagi suku terakhir tahun lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding suku pertama 2010.

Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.

“Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun keempat, Oktober hingga Disember, SPR telah menerima sebanyak 292,44 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi,” kata pegawai perhubungan awamnya Sabri Said dalam satu kenyataan.

Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.

Sehingga 27 Disember lalu rekod SPR menunjukkan negara mempunyai 11,532,876 pengundi iaitu 5.956 juta pengundi kalangan orang Melayu, Cina (3.571 juta), India (839,700), Bumiputera Sabah (540,086), Bumiputera Sarawak (472,628), Orang Asli (57,453) dan lain-lain (94,555).

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider awal bulan lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau tidak dapat memberikan jumlah permohonan baru kasar melibatkan suku terakhir meskipun beliau mengharapkan ia akan mencecah paras 250,000.

Dalam kenyataanya hari ini Sabri berkata, selaras dengan kehendak Peraturan 13(5A) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun keempat 2010 akan dipamerkan mulai esok hingga 15 Februari ini di 1,006 tempat pameran di seluruh negara.

Sehubungan itu kata beliau, mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi harus menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010.

“Dalam hal ini mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 itu bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B,” katanya.

Beliau berkata, bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 bagi satu-satu bahagian pilihan raya itu bolehlah membuat bantahan tersebut dengan mengisi Borang C.

Kata Sabri, selain mempamerkan nama-nama pemilih baru dan nama-nama pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

“Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meningal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera atau perkhidmatan polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya,” katanya.

“Di sini juga SPR ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 akan datang, SPR menasihatkan kepada pemilih-pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka,” katanya.

Kata beliau, ia penting bagi memastikan pemilih-pemilih terbabit didaftarkan di lokaliti yang betul dan bagi mengelak tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih atau pun menukar lokaliti seseorang tanpa dipohon.

“Jika keadaan ini berlaku menjadi sesuatu pilihan raya, SPR tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti dan maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR,” katanya.

Selain itu katanya, bagi pemilih-pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi berdekatan dengan tempat kediaman masing-masing.

“Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi ibu pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88856500 atau melalui faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010,” katanya. -TMI

Ulasan GB

Tiada ribut, tiada tsunami.. tiba-tiba kita dikejutkan berita SPR mengumumkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu berbanding 246,962 orang antara Julai dan September lalu.

Sekadar untuk renungan semula, Sekretariat Media PAS bagi PRU-12 pernah mengemukakan aduan bahawa:


Operasi sebegini telah dilaksanakan oleh BN untuk menjatuhkan Kerajaan PAS di Terengganu pada tahun 2004. Pada tahun tersebut, kita semua maklum tentang banyak perkara yang luarbiasa seperti yang telah dilaporkan sebelum ini antaranya:-

a. Pertambahan jumlah pengundi dalam daftar pemilih Terengganu yang luarbiasa sejak tahun 2000 hingga 2004;

b. Peratus keluar mengundi yang meningkat luar biasa sehingga lebih 90% di sesetengah tempat (yang anehnya Pengerusi SPR telah membuat kenyataan beberapa hari sebelum hari mengundi bahawa beliau mengjangkakan berlaku pertambahan peratus keluar mengundi yang besar pada tahun tersebut);

c. Pengundi-pengundi yang tidak dapat mengundi kerana rekod menunjukkan mereka sudah mengundi (bermaksud ada orang lain telah mengundi menggunakan nama mereka);

d. Penambahan masa mengundi di Selangor. Penambahan masa ini dipercayai dibuat untuk membolehkan pengundi-pengundi upahan yang mengundi di Terengganu sempat berpatah balik bagi mengundi di Selangor (di dalam keputusan petisyen pilihanraya bagi Parlimen Gombak dan DUN Gombak Setia, mahkamah telah memutuskan bahawa penambahan masa tersebut adalah pelanggaran kepada undang-undang, malangnya mahkamah tidak membatalkan kemenangan BN di atas alasan pelanggaran tersebut tidak menjejaskan keputusan pilihanraya)



Wang Tunai RM1.63 Juta Dirampas Dari Seorang "Datuk"

Lelaki bergelar ‘Datuk’ ditahan bersama wang tunai RM1.63 juta yang disembunyikan dalam karung makanan anjing, sejumlah dadah jenis syabu, 500 biji pil eramin 5 dan 20 butir peluru hidup di Taman Cheras di sini, Khamis lalu.

Ahli perniagaan berusia 31 tahun itu ditahan bersama isterinya yang berusia 29 tahun dalam kereta Toyota Camry selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan pada jam 11.50 malam.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui 13 butir peluru jenis 30 Cabine 83 dan tujuh butir peluru hidup jenis Cabine SB.

Pasangan itu kemudian dibawa ke rumah mereka di taman sama sebelum menjumpai 500 biji pil eramin 5 dan 95 gram dadah jenis syabu serta wang tunai RM1.63 juta yang sebahagiannya disembunyikan dalam karung makanan anjing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata siasatan mendapati suspek bergelar ‘Datuk’ itu turut menjawat jawatan pegawai atasan Rela berdasarkan pada kad yang dimilikinya.

“Kita sedang mencari senjata kepada peluru yang ditemui bersama suspek.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan wang tunai terbabit digunakan bagi urusan pembelian atau penjualan dadah,” katanya.

Kedua-dua suspek itu ditahan reman sehingga hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bandar raya turut menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah membabitkan warga asing dan tempatan di sekitar ibu negara, sejak 2 Februari lalu.

Dalam serbuan pertama ke atas sebuah rumah teres di Taman Puchong Hartamas pada 2 Februari lalu, lima lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan ditahan selepas polis menemui 24 paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 805 gram dan dua paket dadah jenis ganja seberat 117 gram.

Di rumah itu, polis turut merampas wang tunai RM128,822 dipercayai hasil dadah yang dijual ke luar negara, selain barang kemas, komputer riba, telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Persona.

Semua mereka yang kini direman disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam serbuan lain Ahad lalu, ke atas sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini, polis menahan sepasang kekasih berusia 39 dan 25 tahun dan merampas dadah jenis ketamin dan heroin seberat 1.56 kilogram.

Turut dirampas tiga peluru hidup jenis Luger PMC 9mm dan tiga peluru hidup jenis Lugger Speed 9mm dan wang tunai RM150,750. -BH

"Sharpshooter" Pelik Beliau Dijadikan Sasaran Rais, Bukan Wikileaks Atau Migrant Care

Pengendali blog sharpshooter.blogspot, Amizudin Ahmat tidak gentar untuk berhadapan tindakan saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh Menteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kehairanan apabila blog beliau yang dijadikan sasaran saman menteri terbabit dan bukannya pihak lain yang juga turut mengulas isu yang sama di dalam mana-mana penerbitan.

“Cuma pelik sikitlah, sebab dalam banyak-banyak media yang menulis isu yang sama, tetapi saya pula yang ‘terpilih’, tak apalah, saya bersedia, tiada apa yang hendak digentarkan.

“Migrant Care, yang mempertahankan kenyataan mereka yang mendakwa menemubual pihak terbabit ataupun WikiLeaks sendiri yang mencetuskan isu ini contohnya tidak pula disaman.” katanya.

Beliau juga memberitahu beliau hanya mengetahui tindakan saman terhadap beliau hanya diketahui melalui media dan sehingga kini masih belum menerima apa-apa surat dari mahkamah atau peguam yang mewakili Rais.

“Saya cuma tahu perkara ini melalui berita. Sampai sekarang saya masih belum terima apa-apa surat dari mahkamah atau peguam pihak satu lagi itu.

Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai

“Jika dipanggil ke mahkamah, saya akan hadir. Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai, kalau takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan.

Sekali melangkah pantang undur,” kata Amizudin ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang enggan mengulas panjang berhubung isu ini ketika dihubungi bagaimanapun sempat mengucapkan terima kasih kepada Rais yang menyebabkan jumlah pengunjung blog beliau mengalami peningkatan yang ketara.

“Maaflah, setakat ini itu sahaja yang dapat saya katakan, tak boleh nak ulas panjang tentang isu ini, cuma terima kasih kepada Rais kerana tindakan (saman) dia, pengunjung blog sharp shooter meningkat dengan ketara,” katanya dengan nada berseloroh.

Sementara itu menurut satu sumber rapat beliau, beberapa peguam termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menyatakan kesediaan untuk mewakili Amizudin sekiranya beliau dipanggil ke mahkamah.

“Setakat ini beberapa peguam telah menawarkan diri secara percuma untuk mewakili Amizudin termasuklah Shamsul,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu yang menyamakan kes tersebut dengan kisah Raja Namrud dan nyamuk yang pernah berlaku pada zaman Nabi Ibrahim juga mempertikaikan keengganan Rais menyaman pihak lain yang turut memainkan peranan untuk mendedahkan isu ini. -FMT

Ulasan GB

Teruskan perjuangan sdra Amizuddin. Semua blogger PR akan memberikan sokongan, insyaAllah.

GB sudah ulas sebelum ini.

Rais Sepatutnya Dakwa Wikileaks Dan Migrant Care, Bukan Blogger



Ibu Campak Anak Lima Tahun Dari Tingkat Enam Sebelum Bunuh Diri

Wanita murung nekad bunuh diri terjun dari tingkat 10

Gambar: ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa yang dipercayai terjun dari tingkat 10 Flet Aman, Seri Kembangan, semalam.

SERDANG: Seorang ibu yang disyaki mengalami kemurungan mencampakkan anak perempuannya berusia lima tahun dari tingkat enam Blok B, Flet Aman, Jalan SK 6/1, Seri Kembangan di sini, tengah hari semalam, sebelum membunuh diri dengan terjun dari tingkat 10 blok bersebelahan.

Kejadian itu berlaku selepas suami mangsa, Teoh Hock Hwa, 45, keluar rumah untuk membaiki kereta selepas mengambil anaknya dari sebuah tadika sejam sebelum kejadian dan menghantarnya pulang serta meninggalkan mereka berdua di rumah.

Menurut Teoh, selepas 10 minit keluar dari rumah, dia menerima panggilan daripada jiran yang menyatakan isteri dan anaknya mati akibat terjatuh dari bangunan.

“Ketika menghantar anak pulang, saya turut membelikan makanan untuk anak dan isteri sebelum meninggalkan mereka di rumah. Ketika itu isteri saya menangis kerana ingin mengikut saya ke bengkel kereta, tetapi saya tidak mengendahkannya,” kata Teoh yang kesal ketika ditemui di tempat kejadian.

Teoh berkata, sebelum kejadian itu beberapa jiran mendakwa melihat isterinya membawa kerusi dari rumah mereka di tingkat dua Blok B flet berkenaan menuju ke tingkat enam sebelum bertindak mencampakkan anak mereka.

Kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Man Yee mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di badan, selain tangan yang hampir putus selepas tersangkut pada tangki air serta hentakan kuat pada kepala.

Selepas mencampakkan anaknya, isteri Teoh kemudiannya dilihat menuju ke Blok A sebelum naik ke tingkat 10 bangunan terbabit dan terjun ke bawah.

Mayat isteri Hock Hwa kemudian ditemui di tingkat bawah blok berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.

Teoh berkata, beliau tidak menyangka isterinya sanggup bertindak sedemikian walaupun sedar dia mengalami kemurungan sejak 10 tahun lalu.

Difahamkan, keluarga mangsa menyewa di tingkat 2 blok itu sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Razak Elias, berkata kes kematian anak beranak itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Kematian Mengejut (SDR) iaitu membunuh dan bunuh diri. -BH

Pelajar Tkn 5 Maut Terjatuh Dari Tingkat 2 Bangunan Sekolah

Belikan saya keranda' - LEE...pesan dalam laman sosial

Gambar: DI SINI…lokasi di tingkat dua yang menjadi tempat mangsa terjatuh.

MELAKA: Seorang pelajar perempuan tingkatan lima sempat mengingatkan rakannya supaya membelikan keranda untuknya menerusi blog laman sosialnya kira-kira 12 jam sebelum mangsa ditemui mati di pekarangan sekolahnya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi, remaja berkenaan, Sally Lee Qian Chun, 17, ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua berhampiran bangunan Blok C menempatkan makmal sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota di Jalan Air Leleh, di sini.

Catatan pada blog laman sosial itu dipercayai dikirim sendiri remaja terbabit dalam bahasa Mandarin.

Dalam catatan itu, dia turut mengingatkan rakannya mereka adalah sahabat baiknya dan Tahun Baru Cina yang lalu, adalah yang terakhir buat dirinya.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika remaja terbabit sedang mengikuti kelas teori kimia di makmal terletak di tingkat satu iaitu di bawah kelasnya, 5A di bangunan sama.

Katanya, semua guru dan pelajar tergamam apabila tiba-tiba mangsa keluar daripada kelas dan terus menuju ke tingkat dua.

“Tiba-tiba berlaku kekecohan dan guru serta pelajar kelasnya keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Ketika itu, mangsa sudah duduk di bahagian tembok penghadang di beranda dengan bahagian belakang badannya menghadap ke luar. Keadaan berlaku begitu pantas dan mangsa terus jatuh ke lantai berhampiran longkang di tingkat bawah,” katanya ketika ditemui, di sini.

Sumber itu berkata, tiada siapa sempat menghalangnya kerana kejadian itu berlaku pantas dan mereka berada jauh daripada mangsa.

Katanya, mangsa berada dalam keadaan mengiring ke kiri dan dia dipercayai mati di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman yang mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami pendarahan dalaman di kepala akibat terjatuh.

Katanya, kejadian berkenaan disaksikan beberapa pelajar dan guru yang melihat remaja terbabit berada di beranda sebelum dia jatuh.



“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan kes diklasfikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Gan Tian Loo turut meluangkan masa melawat tempat kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Satu jam selepas itu, Mohd Ali turut menziarahi keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Katil, di sini.

Usaha wakil Harian Metro untuk menemuramah ibu bapanya gagal apabila enggan ditemubual berikutan terlalu sedih dengan kehilangan anak perempuan mereka. -hm

[Video] Imej "Penunggang Kuda Misteri " Dirakam Di Dataran Tahrir

Kaherah - Stesen televisyen MSNBC merakamkan imej hantu dipercayai seorang lelaki yang menunggang kuda dalam rusuhan bagi menuntut Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan di sini pada Khamis lalu.

Gambar: SATU lembaga penunggang kuda (dalam bulatan) berada di sebatang jalan raya dekat Dataran Tahrir di Kaherah pada Khamis lalu.

Imej misteri itu disiarkan dalam lintasan berita mengenai situasi yang berlaku dekat Dataran Tahrir di sini pada awal pagi.

Dalam imej tersebut, bayang penunggang kuda yang berwarna hijau dan bercahaya itu seolah-olah melihat gelagat para penunjuk perasaan membaling batu dan kebakaran kereta di tepi sebatang jalan raya dalam rusuhan itu.

Kuda yang dinaiki lelaki itu kemudian bergerak perlahan-lahan sebelum ia berlari ke langit dan lenyap ditelan kegelapan.

Imej tersebut kini menjadi perdebatan hangat dalam beberapa laman web di Internet mengenai kejadian misteri itu.

Beberapa pengguna Internet yang menyaksikan rakaman video itu menyatakan ia disebabkan oleh cahaya kilat kamera atau pantulan cahaya.

Imej misteri itu juga boleh dilihat di laman YouTube. - Agensi.



Kisah Seorang Anggota Unit Amal Dipukul, Digari & Disumbat Ke Lokap

Pengalaman dipukul, digari dan disumbat ke dalam lokap oleh polis tidak mudah dilupakan oleh seorang anggota Unit Amal yang menyertai himpunan membantah sokongan Amerika terhadap pemerintahan Hosni Mubarak di Kuala Lumpur Jumaat lalu. - gambar fail

Lebih-lebih lagi insiden buruk itu berlaku pada kali pertama beliau menyertai perhimpunan dan bertugas sebagai Unit Amal.

Sebelum ini, Hafizuddin Kamaruddin, 26, yang baru menyertai Unit Amal dari Kawasan Temerloh itu beranggapan pasukan polis mesra dan berhemah dengan orang ramai sebagaimana slogan digunakan pihak berkuasa itu.

Namun apa yang saya alami sendiri Jumaat lalu tidak menggambarkan sedemikian,” katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Hafizuddin ialah salah seorang daripada tujuh peserta himpunan menyerahkan memorandum di kedutaan Amerika Syarikat yang telah diberkas polis selepas perhimpunan tersebut.

Menceritakan detik itu, beliau pada sebelah paginya pada hari tersebut bersama 20 orang Pemuda PAS Temerloh memakai seragam Unit Amal pergi ke Kuala Lumpur dengan tujuan untuk berkawal dan mengawal ketegangan tanpa sedikit pun terlintas untuk melakukan sebarang kekerasan.

Katanya, polis cuba menghalang perarakan daripada masjid lagi tetapi dengan kekentalan semangat Amal mereka bergerak dalam satu rantaian berjaya melepasi hadangan polis untuk ke kedutaan Amerika.

“Pada masa perhimpunan dan menyerahkan memorandum semuanya berjalan lancar tanpa gangguan. Tetapi semasa sudah bersurai dan mula beredar pulang ada polis berpakaian biasa dan berseragam polis tiba-tiba menyemburkan sejenis asap pedih. Termasuk yang menjadi sasaran ialah muslimat.

“Ia berlaku 100 meter daripada bangunan kedutaan Amerika. Saya berada di barisan belakang ketika itu dan bersama rakan-rakan lain terpaksa menerpa menghulurkan air mineral kepada muslimat yang sedang kepedihan mata dan panik.

Kemudian polis sembur lagi kali kedua yang membuatkan orang ramai menjadi marah. Bila saya cuba menyelamatkan muslimat tiba-tiba lima ke enam orang polis pakai seragam serang saya. Saya kena tumbuk, disepak, terajang dan dipukul dengan cota sehingga bengkak di kepala, luka di bibir dan cedera di siku, katanya.

Menceritakan pengalamannya, Hafizuddin berkata, beliau kemudiannya ditahan di dalam sebuah trak polis bersama enam lagi yang ditangkap.

Satu jam setengah kami berada dalam Black Maria, kira-kira jam 6 petang kami dihantar ke lokap Balai Polis Dang Wangi untuk diambil kenyataan,” tambahnya.

Kata Hafizuddin, selepas sembahyang Maghrib berjamaah dalam lokap barulah mereka diambil biodata peribadi. Tetapi apabila pegawai polis bertanya tentang demonstrasi mereka memilih untuk berdiam diri kerana banyak soalan-soalan provokasi yang ditanyakan.

Selepas itu mereka disoal siasat pula oleh pegawai penyiasat bernama Inspektor Lydia.

Semasa disoal siasat kami disuruh duduk bersila atas lantai sedangkan dia duduk di atas kerusi, terasa betapa hinanya kami sedangkan kami tidak lakukan apa-apa jenayah. Masa itu kami desak untuk jumpa peguam tapi tidak dibenarkan. Dah lama barulah kami ditemukan dengan lima orang peguam.

“Kira-kira jam 11 malam kami diberitahu dapat jaminan mulut dan boleh balik
.”

Jelas Hafizuddin, kenangan pahit dan pedih yang dialaminya tidak akan dilupakannya sepanjang hayat kerana sebelum ini mati-mati beliau beranggapan mesra rakyat dan bersifat pelindung.

“Kenapa apabila berhadapan dengan rakyat tiba-tiba mereka melakukan kekerasan? Sedangkan kami bukannya membawa senjata malah kami memang dah mula bersurai.

“Lagipun kami turun ke Kuala Lumpur kerana sensitif dengan pergolakan yang berlaku di kalangan negara umat Islam. Jadi kenapa sanggup perlakukan kekerasan terhadap kami?”, soalnya. -harakahdaily