9 Jan 2010

Nasib Hassan Ali, Khalid Samad Ditentukan Minggu Depan

Jawatankusa disiplin PAS yang selesai mendengar keterangan dua pemimpin parti itu dari Selangor akan membuat keputusannya minggu depan.

Jawatankuasa itu memutuskan demikian selepas selesai mendengar keterangan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali selama tiga jam petang ini.

Bekas timbalannya Khalid Samad telah memberi keterangan kelmarin dengan membawa seorang saksi.

Ketika ditemui The Malaysian Insider di Ibu Pejabat PAS di sini lewat petang ini, pengerusi jawatankuasa itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya boleh membuat keputusan membabitkan kedua-dua mereka hujung minggu depan.

Beliau ada tarikh ditetapkan untuk tujuan itu.

Jawatankuasa pusat PAS akan bermesyuarat pagi esok tetapi ia tidak akan sentuh kes mereka.

“Kami rasa hujung minggu depan sudah boleh membuat keputusan... sudah agak lama juga siasatan dijalankan,” kata beliau.

Bagaimanapun jelas beliau pihaknya menanti satu dokumen yang hendak dikemukakan oleh Hasan dan saksi yang beliau bawa hari ini.

Hasan membawa tiga saksi hari ini, kata Tuan Ibrahim yang juga naib presiden PAS.

Saksi Hasan terdiri daripada Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Iskandar Abdul Samad, Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman dan Bendaharinya Yusof Ludin yang juga bekas setiausaha perhubungan negeri.

Hasan berhadapan dengan tuduhan membuat yang merugikan Pakatan Rakyat dan sebagai Exco Kerajaan Negeri sepatutnya menggunakan saluran rasmi untuk melahirkan rasa tidak puas hati. Tuduhan ini dirujuk kepada kenyataan beliau mengenai Selcat dan pelantikan pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor awal tahun lalu.

Dalam pada itu Khalid berhadapan dengan tuduhan mempertikaikan Hasan sebagai pesuruhjaya PAS Selangor dengan membuat kenyataan terbuka meminta beliau dipecat.

Selain itu Khalid juga dikenakan tuduhan mendedahkan maklumat mesyuarat perhubungan kepada publik.

Jawatankuasa disiplin menyiasat mereka selepas PAS mengadakan mesyuarat khas Nov lalu ekoran gesaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar diadakan muktamar agung khas.

“Tidak ada saksi lain akan dipanggil.

“Jawatankuasa disiplin merasakan cukup maklumat cuma dokumen tambahan yang akan dibekalkan oleh pihak Datuk Hasan.

“YB Khalid tidak ada apa-apa dokumen tambahan lagi. Jawatankuasa disiplin berpuas hati dengan penjelasan mereka yang diberikan ruang yang luas,” katanya.

Terdahulu Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor tiba di pekarangan Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut di sini kira-kira pukul 2.53 petang tadi.

Beliau menghadap jawatankuasa disiplin yang dipengerusikan oleh Tuan Ibrahim mulai 3 petang.

Pertemuan itu sepatutnya diadakan sebelah pagi tadi tapi ditangguhkan sehingga 3 petang ini.

Penangguhan itu ekoran majlis taklimat isu-isu semasa anjuran parti itu di Shah Alam.

Hasan yang didampingi The Malaysian Insider sebelum memasuki pejabat PAS enggan mengulas apa-apa.

Bagaimanapun ketika selesai sesi pendengaran yang berakhir 6 petang, Hasan berkata, “saya OK kerana telah diberikan kemudahan dan masa untuk memberikan penjelasan.”

“Sama ada gembira atau tidak ia adalah subjektif,” katanya.

Turut mengiringi beliau ketua penerangan PAS Selangor Roslan Sharir dan Timbalan Pesuruhjaya PAS III Selangor Dr Che Rosli Che Mat.

Pada akhir bulan lalu jawatankuasa disiplin PAS mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti adanya kes kukuh terhadap Hasan dan bekas timbalannya Khalid Samad.

Khalid telah memberikan keterangan lebih dua jam kelmarin.

Tanggal 7 dan 9 Jan telah ditetapkan untuk memanggil mereka menghadap anggota jawatankuasa disiplin.

Sebelum ini Tuan Ibrahim menjelaskan bentuk hukuman bergantung pada penjelasan susulan mereka.

Jawatankuasa disiplin mempunyai tiga pilihan hukuman iaitu memberi amaran bertulis, menggantung jawatan yang disandang ataupun memecat dari parti, bergantung pada tahap serius kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun mereka yang disabitkan kesalahan boleh merayu kepada jawatankuasa pusat dan majlis syura ulama. -MI

Ulasan GB

Kita juga ingin tahu apakah sikap J/K Disiplin terhadap kenyataan Hassan Ali yang terang-terangan menentang pendirian parti.

Hassan Ali telah bertegas menyatakan penggunaan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain bagi mengelak salah faham umat Islam.

Sedangkan pendirian PAS di dalam isu berkenaan telah diketahui umum bahawa PAS mengambil sikap sederhana membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada penganut agama samawi, hanya sanya tidak mahu ianya disalahgunakan.

Apakah nanti Tuan Ibrahim akan menyatakan tiada laporan salahlaku Hassan Ali sedangkan akhbar tempatan telah jelas membuat laporan berkenaan dan setakat hari ini, Hassan Ali sendiri tidak menafikan?

GB ingin bertanya sekali lagi kepada Tn Ibrahim, mengapa sewaktu Khalid Samad membuat kenyataan tiba-tiba Tn Ibrahim mengarahkan Khalid supaya berhenti keluarkan kenyataan yang kononnya bertentangan dengan pendirian parti (skalipun akhirnya terbukti pendirian parti menyokong kenyataan Khalid)?

ADILKAH BEGITU?

Tidakkah Tuan Ibrahim itu sendiri yang perlu diheret ke Jawatankuasa Disiplin kerana telah bertindak bias dan pilih kasih secara terang dan nyata?

Jika PAS tidak boleh membetulkan J/K Disiplin Parti, kita terpaksa menyerahkan kepada Allah s.w.t. kerana GB yakin, bukankah Dia sebaik-baik Hakim? (Alaisallaahu biahkamil haakimiin- At-Tiin 8).

Slogan 1Malaysia Punah Dalamasa Kurang 24 Jam

Parti Keadilan Rakyat kesal Umno-Barisan Nasional mewujudkan suasana tegang dan menyemai prasangka antara Muslimin dan Kristian melalui media massa.

Ketua Umum Anwar Ibrahim berkata liputan media arus perdana menuruti tunjuk perasaan tempoh hari memaparkan sikap konfrontasi pimpinan Umno-Barisan Nasional.

"Saya telah bersama pimpinan Parti Keadilan, PAS dan DAP membuat kenyataan mengutuk keras serangan itu. Pimpinan UMNO harus memikul tanggungjawab kerana mereka telah menggunakan media selama ini untuk menghasut rakyat benci kepada Kristian yang menuntut nama Allah digunakan," tegas Anwar.

Beliau berkata, media milik UMNO-Barisan Nasional harus lebih berwaspada dalam melaporkan isu-isu keagamaan dan perkauman.

"Media yang membawa aliran, fahaman perkauman dan mendokong perasaan benci kepada kaum dan agama harus menjawab dan dipertanggungjawabkan," tambahnya.

Pemimpin reformasi ini berkata slogan 1Malaysia punah dalam masa kurang dari 24 jam berikutan serangan keatas gereja-gereja semalam.

Beliau berkata pemerintah merestui tunjuk perasaan tempoh hari kerana layanan yang berbeza diberikan untuk ceramah pembangkang dan perhimpunan anti-kenaikan harga minyak dan tol, atau demonstrasi anti-ISA.

"Kerajaan yang selama ini keras terhadap ceramah aman sekarang ambil tindakan umpamanya memberi laluan kepada demostrasi kononnya demostrasi aman boleh. Padahal selama ini kita ditekan dengan kasar sekali," jelas Anwar.



Pembakar Gereja Berani Kerana Sedar Diri Mereka Dilindungi

Pihak yang merasa diri mereka tidak dilindungi tidak berani membakar dan menceroboh beberapa gereja di Lembah Klang semalam, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

"Saya percaya, hanya mereka yang merasa dilindungi yang berani berbuat demikian," katanya sambil merujuk serangan-serangan sedemikian ke atas pejabat-pejabat parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dan rumah para pemimpin parti-parti tersebut.

Beliau juga mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang disifatkannya memberi kata-kata pembakar semangat kepada mereka yang memilih cara yang provokatif dalam menangani isu antara kaum dan agama yang sangat sensitif.

"Umpamanya, kalau si ayah kata anaknya tidak boleh dihalang apabila si anak hendak memilih provokasi terhadap jiran, tentulah anaknya fikir bakar rumah jiran pun si ayah tak akan halang," katanya.

Mengenai apa yang disifatkannya sebagai kata-kata pembakar semangat itu, Mohamad merujuk berita Bernama yang melaporkan bahawa Najib berkata, kerajaan tidak akan menghalang para penunjuk perasaan jika mereka mahu berhimpun di sekitar kawasan masjid selagi ia di dalam lingkungan batas kawasan itu.

Utusan Malaysia pula melaporkan Najib berkata, mereka yang hendak berhimpun membantah penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan agama lain "tidak boleh dihalang untuk berhimpun asalkan di dalam pagar masjid".

Bernama juga melaporkan Hishammuddin berkata, kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald ketika diminta mengulas mengenai rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam.

"Sepatutnya mereka mencari jalan meredakan suasana tegang memandangkan Mahkamah Tinggi telah menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Herald itu," kata Mohamad.

Mengenai amaran Hishammuddin bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk menggunakan apa jua cara termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), beliau mengingatkan Menteri Dalam Negeri itu bahawa penggunaan akta tersebut tidak akan meredakan perasaan mereka yang telah diransang dengan kata-kata pembakar semangat tersebut.

"Ketegangan tidak akan reda kerana kerajaan Umno tidak akan menangkap dalang-dalang utama ketegangan seperti yang berlaku dalam Operasi Lallang 1987 dahulu.

"Kita tahu, mereka akan mengambil peluang untuk melepaskan dendam terhadap para pemimpin pembangkang.

"Sejarah Operasi Lallang mungkin akan berulang di mana pemimpin-pemimpin pembangkang yang tidak terlibat mencetuskan ketegangan telah dijadikan mangsa untuk menutup kesalahan Umno menggunakan isu perkauman ketika itu," kata beliau yang turut dimangsakan operasi tersebut.

Beliau berharap mereka yang tidak berpuas hati terhadap penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald supaya tidak mengambil kesempatan untuk melepaskan geram secara tidak bertamadun.

"Semua orang ada hak untuk bersetuju atau tidak bersetuju tentang sesuatu perkara. Tetapi, perbuatan membakar gereja tidak akan menyelesaikan rasa tidak puas hati mereka malah akan menyebabkan orang-orang Islam dipandang negatif.

"Soal kaum dan agama sangat sensitif, apa salahnya memilih cara yang lebih tenang seperti mengadakan perbincangan?" katanya.

Jika perbincangan diadakan, katanya, banyak perkara boleh dibincangkan dengan sikap yang lebih matang termasuk Perkara 11 (4) Perlembagaan Malaysia yang melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang-orang Islam.

Tiga gereja dilempar bom api, dipercayai ada kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald.

Kejadian pertama membabitkan Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic di Taman Melawati disusuli Gereja Assumption Assunta, Petaling Jaya dan Gereja Chappel, Damansara. -harakahdaily

Vandalisme Di Kota Tinggi Bukti Rakyat Semakin Tolak UMNO?

Siapakah yang punya angkara membaling cat merah ke kediaman dan gambar bekas Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar di Kota Tinggi? Sehingga hari pihak polis terus menyiasat siapakah ‘dalang’ di sebalik tindakan vandalisme yang berlaku Februari lalu.

Selepas peristiwa jelik enam pemuda Kota Tinggi ditahan dan tersiar panas didada media, pada 5 Disember lalu, berlaku lagi vandalisme berbaur politik.

Jika sembilan bulan lalu, rumah dan gambar Syed Hamid serta rumah bekas setiausaha akhbarnya, Rosleli Jahari di baling cat merah, kali ini, nama Rosleli, Syed Hamid yang ditulis sebagai ‘Arab’, Najib dan Rosmah pula jadi sasaran di tembok pintu pagar masuk ke pejabat Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

Pada tembok pejabat itu tertulis ‘Rosleli Perasuah, Arab$, 1Najib Pembunuh Altantuya dan C4 Rosmah’ Susulan kejadian yang disedari pada awal pagi itu, ramai orang awam yang melalui jalan itu turut merakam contengan itu termasuk ahli-ahli dan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Kota Tinggi.

Walau bagaimanpun, contengan memalukan yang turut menghina pemimpin nombor satu negara segera dipadam oleh pihak berkuasa.

Sehubungan itu, PR Kota Tinggi dalam kenyataannya menafikan sekeras-kerasnya tindakan itu adalah perbuatan ahli-ahli PR.

Sebaliknya, menyifatkan tindakan itu dilakukan oleh orang profesional, ada latar belakang politik dan tentunya musuh sesama ahli Umno itu sendiri.

Ketua PR Kota Tinggi, Kamaldin Tahir, berkata sejak kejadian Februari lalu dan terbaru ini, mesej yang ingin disampaikan jelas iaitu Umno sudah semakin tidak relevan dan pemimpinnya terbukti perasuah.

Beliau berkata, kejadian itu sekali lagi menjadi ketakutan kepada Umno dan pemimpin-pemimpin yang menyokong dibelakangnya. Tindakan pihak individu atau pihak berkuasa yang segera memadam contengan itu juga adalah bukti kes itu serius dan pemimpin yang dimaksudkan itu ada melakukan kesalahan.

Kata Kamaldin,“nama Umno yang diconteng sebelum ini, pejabat Umno yang dilontar cat sebelum ini dan rumah pemimpin Umno yang dibaling dengan cat membuktikkan rakyat sudah benci pada Umno”

“Mereka mungkin tidak benci kepada kerajaan, tetapi lebih benci kepada pemimpin tertentu termasuk Syed Hamid, Najib, Rosmah serta mereka yang berada dalam kepimpinan Umno itu” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau menyeru penduduk Kota Tinggi yang begitu kuat menyokong Umno supaya menilai semula pilihan mereka dan mengalihkan sokongan kepada PR dalam pilhan raya umum ke-13 akan datang.

Sebagai kubu terkuat Umno Johor dan Umno Malaysia, tidak mustahil satu hari nanti Kota Tinggi boleh dirampas oleh PR terutama apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah tumbang di peringkat nasional.

Meninjau pandangan pemimpin Umno Kota Tinggi dan mereka yang tidak sebulu dengan Syed Hamid, mengatakan semua yang berlaku berpunca daripada Ketua Umno bahagian itu sendiri.

Sejak pertelagahan team ‘A’ dan team ‘B’ yang panas sejak Jun tahun lalu, sehinggalah kepada kemuncaknya apabila Syed Hamid hilang semua jawatan.

Ramai pemerhati politik juga mengakui dan menyifatkan, Umno Kota Tinggi sedang melalui jalan-jalan luka yang menyakitkan dan hitam.

Kepimpinan Syed Hamid dan sikap konco-konconya yang dibenci oleh sebahagian besar ahli membuatkan Umno bahagian itu berpecah.

Namun, barisan kepimpinan sedia ada daripada team ‘B’ dikatakan masih setia dibelakang Daing Malik A. Rahaman, yang sebelum ini mengetuai menjadi pencabar kepada Syed Hamid.

Seorang pemimpin pemuda Umno mendakwa, tindakan yang berlaku pada Februari lalu dan 5 Disember lalu itu sebenarnya didalangi oleh penyokong-penyokong Syed Hamid sendiri. Beliau tidak percaya tindakan itu dilakukan oleh penyokong-penyokong PR ataupun penyokong Daing Malik.

“Ini semua kerja orang yang sudah sah didakwa bersalah dan bersalah dalam Umno. Tindakan memburuk-burukkan pemimpin sendiri itu hanya provokasi mereka, dan membolehkan orang menuding jari itu semua kerja orang yang benci Rosleli dan Syed Hamid”

“Saya percaya, kami penyokong kumpulan Setiakawan tak buat kerja bodoh macam ini. Lihat sajalah nanti kalau polis berjaya siasat dan tahan mereka yang buat kerja bodoh itu.

Kami pun tak puas hati kerana ramai kalangan kami kena siasat akibat tindakan baling cat bulan Februari lalu” katanya.

Siasatan polis untuk kes pada bulan Februari lalu masih gagal menahan individu yang membaling cat berkenaan. Termasuk tindakan terbaru menconteng tembok itu. Polis dilaporkan ada menahan suspek, tetapi tiada bukti kukuh untuk menahan mereka yang disyaki itu. -FMT

Perbuatan Khianat : Empat Bas Musnah Terbakar Di Ipoh

Empat bas musnah, membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit, dipercayai akibat perbuatan khianat dalam satu kebakaran di stesen bas Medan Kidd di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Ibrahim Abu Bakar, berkata ia berlaku kira-kira 3.30 pagi ini.

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang menyiasat punca kejadian dan telah mengambil keterangan daripada beberapa pengawal keselamatan yang berada di stesen bas berkenaan bagi membantu siasatan.

"Siasatan sedang dijalankan dan kita menunggu laporan daripada forensik," katanya ketika ditanya sama ada polis mengesyaki berlaku perbuatan khianat.

Tiga daripada bas yang musnah itu dimiliki Syarikat Reliance Omnibus Company Sdn Bhd dan sebuah lagi kepunyaan Kinta Omnibus Sdn Bhd.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 3.44 pagi dan 14 anggota yang bergegas ke tempat kejadian berjaya memadamkan api selepas kira-kira sejam.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan stesen berkenaan, Yeo Sin Hock, 49, mendakwa ternampak sebuah lori memecut keluar dari kawasan berkenaan semasa api sedang marak.

"Saya nampak lori itu keluar semasa (saya) berlari untuk melihat api," katanya.

Pengarah Urusan Reliance Omnibus Company Sdn Bhd, Mohd Syaful Abdullah, berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen berkenaan kepada polis. - Bernama

Serangan Gereja Untuk Operasi Lalang Ke II

Naib Presiden Pas Mahfuz Omar melahirkan rasa bimbang sekiranya serangan keatas gereja sekitar Lembah Klang merupakan isyarat awal 'Operasi Lalang II'.

“Operasi Lalang suatu ketika dulu menyaksikan sentimen Melayu begitu kuat sehingga ada pihak menyeru supaya orang-orang Melayu bersenjata ke Kuala Lumpur untuk membunuh orang-orang Cina,” jelasnya memetik laporan Harakahdaily.

“Perhimpunan tersebut akhirnya tidak berlaku, tetapi beberapa pemimpin pembangkang pula ada (yang) ditangkap (oleh Kerajaan) atas nama menjaga keselamatan negara. (sedangkan) pemimpin- pemimpin tertentu dalam Umno (dan) BN yang menjadi punca tercetusnya (Operasi Lalang) itu selamat (tidak ditangkap)," jelas Mahfuz.
Mahfuz tidak menolak kemungkinan ada 'tangan ghaib' yang sengaja mencetuskan suasana tidak tenteram.

Setakat ini, kes serangan gereja dilaporkan berlaku Lembah Klang dan Selangor. Setakat ini, tiada kes di luar negeri Pakatan Rakyat ini dilaporkan.

Kerajaan Selangor turun padang hari ini meninjau gereja-gereja yang terjejas dan menyeru orang-ramai supaya berwaspada.

“Kita (PAS) tidak menuduh mana-mana pihak, tetapi saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tidak kira orang Islam atau bukan (Islam) (supaya) lebih berhati-hati kalau ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang sengaja mencetuskan provokasi (berkaitan) isu ini untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

Mahfuz turut memperagui Kementerian Dalam Negeri yang membiarkan media massa menguja emosi negatif rakyat.

“Saya begitu meragui apabilan KDN tidakpun mengenakan tindakan yang tegas ke atas beberapa media arus perdana yang saya lihat seolah-olah melaporkan isu ini (guna nama Allah) dalam rupa yang cukup negatif sehingga membawa suatu suasana saling membenci dan berprasangka antara satu sama lain,” tegasnya.

Ulasan GB

Tangkap dan hukum Si Pemabakar Gereja, tajuk satu entri di dalam sebuah blog.
Soalnya siapa si Pembakar Gereja itu?
Apakah ada pihak yang sedang bersandirwara?


Bagaimana Dengan Lagu Kebangsaan Negeri - Allah Lanjutkan Usia Sultan?

UMNO Terdesak
Oleh datuk Zaid Ibrahim

Semakin sukar untuk Malaysia menjadi sabuah Negara aman damai selagi Umno terus memerintah. UMNO bila tersepit mempergunakan isu kaum dan agama di negara ini.

UMNO yang ada hari ini tak sama dengan UMNO zaman Tunku Abdul Rahman dahulu yang lebih terbuka dan dihormati banyak pihak. Hari ini cara politik UMNO telah meluaskan jurang perbezaan kaum dan agama.

Jika UMNO dibiarkan terus memerintah, ia akan menyebabkan negara dan rakyat sentiasa dilagakan kerana kesempatan ini akan diambil oleh pemimpin mereka untuk mempolitikkan perbezaan kaum dan agama.

Kita tahu bukan semua ahli UMNO setuju dengan permainan politik seperti ini. Tapi kita juga tahu ada golongan dalam UMNO mahu orang Melayu mengangkat mereka menjadi wira pembela agama. Golongan ini melalui kuasa kerajaan telah melarang akhbar The Herald, yang hanya dijual di gereja-gereja Katolik saja, daripada menggunakan perkataan “Allah”, dan mereka yakin Mahkamah Rayuan akan “memperbetulkan” keputusan yang ada sekarang.

Kita mesti sentiasa waspada bila ada kumpulan menggelarkan diri mereka pembela agama dan Allah. Seperti kata Allahyarham Gus Dur, bekas presiden Indonesia dan pemimpin besar Nahdatul Ulama; Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak perlu dibela, yang memerlukan pembelaan adalah manusia yang dianiayai dan ditindas.

Jadi bila ada kumpulan NGO yang dibiayai oleh UMNO ini berkumpul dan berteriak “Islam dinodai” atau “Selamatkan agama kita”, rakyat mesti berhati-hati dan perlu waspada tentang apa motif sebenar mereka.


Soal penggunaan perkataan Allah (God) atau Tuhan Allah (the Lord God) oleh orang Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti difahami dari perspektif sejarah pra-Merdeka dan sebelum mereka menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Semasa membaca doa di gereja, ramai penganut Kristian di sana tidak tahu berbahasa Inggeris; lagi pula mereka dari berbagai kaum seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Melanau, Kelabit, Kedayan dan sebagainya yang mempunyai bahasa dan dialek yang berbeza.

Jadi mereka memilih satu bahasa yang difahami semua pihak, iaitu Bahasa Melayu. Kitab Bible berbahasa Melayu yang mereka gunakan datangnya dari Indonesia. Bible mereka menggunakan perkataan Allah.

Sejak zaman-berzaman orang Islam di Sabah dan Sarawak tidak menghadapi apa-apa masalah tentang hal ini. Begitu juga orang UMNO di Semenanjung yang tak rasa sensitif. Kalau benar orang UMNO marah, mengapa isu ini tak timbul pada masa dahulu?

Mungkin kerana sebelum ini kuasa UMNO dan Barisan Nasional di Parlimen sangat kuat, maklumlah mereka ada 2/3 kerusi, iaitu boleh buat apa saja yang mereka suka. Sekarang banyak hal dengan tiba-tiba menjadi “sensitif”.

Ini kerana kedudukan politik UMNO sudah goyang. Persoalannya ialah, mengapa UMNO membenarkan nama Allah digunakan sejak sekian lama. Mengapa tidak arahkan semua doa dan percakapan dalam gereja supaya jangan guna nama Allah?

Bila orang bukan Islam diminta menyanyi Ya Allah Selamatkan Sultan Kami adakah mereka melakukan kesalahan? Mengapa hanya The Herald diharamkan daripada menggunakan perkataan Allah? Sudah tentu The Herald tidak akan menggunakan perkataan itu kalau penganut dan pembacanya menggunakan perkataan lain dalam ritual sembahyang dan doa mereka.

Jadi Perdana Menteri Najib dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin kena semaklah doa orang Kristian di Sabah dan Sarawak – jika didapati mereka menggunakan perkataan Allah, mungkin tindakan keras harus diambil.

Tapi sebelum mengambil tindakan keras, kena semak juga sejarah. Saya difahamkan bahawa pada abad ke-17 sudah ada perkataan Allah untuk Tuhan dalam kamus Melayu-Latin.

Allah juga disebut dalam kitab doa Katolik yang dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19. Persoalannya, jika tindakan keras diambil, adakah ia akan membantu usaha dakwah Islamiah atau mencacatkan imej Islam semata-mata kerana ada orang tertentu mahu jadi wira agama tanpa kajian yang mendalam.

Para alim ulamak seluruh dunia Islam sudah lama menerima orang dari agama lain menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan. Antaranya yang diguna pakai oleh umat Kristian Koptik di Mesir dan Kristian di Lubnan, Palestin, Iraq dan beberapa negara umat Islam yang lain.

Sudah tentu ulamak-ulamak UMNO juga sedar perkara ini kerana mereka sudah jauh berjalan dan banyak pengalaman. Tak kan lah ulamak UMNO yang amat tinggi ilmu agama mereka buat-buat tak faham semata-mata nak “bersihkan” Islam dari segala unsur-unsur kaum, budaya dan agama lain.

Tak kan mereka tak sedar Bahasa Melayu kita masih lagi mengekalkan Bahasa Sanskrit dari asal usul Hindu untuk Islam seperti perkataan sembahyang, puasa, syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Kita telah ada cukup undang undang melarang sesiapa sekali pun yang berusaha untok menarik minat orang Islam kapada agama lain.

Ini larangan yang jelas. Kepercayaan kapada ajaran agama kita yang tulin adalah benteng untok kita memberhentikan mana mana usaha untuk membawa orang Islam keluar dari akidah Islam. Kalau ini belum cukup itu bererti pegangan agama kita lemah.

Siapa yang perlu disalahkan?


Ulasan GB

Menyentuh mengenai lagu kebangsaan negeri-negeri, beberapa buah negeri menyelitkan nama Allah juga, bagaimana apabila yang bukan Islam dipaksa menyanyinya seperti lagu kebangsaan negeri Perak?

Dilanjutkan
Allah usianya Sultan
Adil dan murah
Memerintah watan

Ditaati rakyat
Kiri dan kanan
Iman yang soleh
Allah kurniakan

Allah berkati
Perak Ridzuan
Allah selamatkan
Negeri dan Sultan.

Atau lagu kebangsaan negeri Pahang
"Ya Allah Yang Masa Kuasa
Lanjutkan Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Dirgahayu Darul Makmur Aman dan Bahagia Sentiasa
Ya Allah Selamatkan Kebawah Duli Raja Kami".

Mengapa ia tidak diharamkan atau diarah semua bukan-Islam tutup mulut dari menyebut perkataan Allah?

Inilah kerja-kerja bodoh golongan nasi0nalis dan separa-nasionalis (UG) yang cuba mengkurung nama Allah hanya untuk umat Islam tetapi tak melihat realiti sebenar apa yang telah dan sedang berlaku, sedangkan selama ini mereka berdiam diri!

p/s Meminjam kata-kata Ahmad Nisfu di dalam Seniman Bujang Lapok: "Kecik-kecik tak nak mampos, dah besar menyusahkan orang".