15 Nov 2011

Pemimpin UMNO Tempelak Shahrizat, Kalau Nak Bela Lembu Jangan Jadi Menteri!

Lagi pemimpin Umno desak Shahrizat letak jawatan

Keluarga Ketua Wanita Umno itu kini berdepan tuduhan menyalahguna dana RM250 juta dari NFC termasuk membeli kondominum berharga RM9.8 juta.

PETALING JAYA: Selepas Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, beberapa pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) lain juga mahu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Keluarga Ketua Wanita Umno itu kini berdepan tuduhan menyalahguna dana RM250 juta dari National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) termasuk membeli seunit kondominium One Menerung Bangsar dekat Kuala Lumpur berharga RM9.8 juta.

Semalam Bung Mokhtar meminta Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri kerana telah menyusahkan Umno.

Ketika dihubungi, Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin menegaskan jika Shahrizat mahu berniaga lembu beliau tidak perlu menjadi menteri.

“Macam mana ni? Menteri mahu, Senator mahu, Ketua Wanita Umno mahu dan jadi peniaga lembu pun mahu. Shahrizat patut pilih satu sahaja. Kalau nak bela lembu jangan jadi menteri,” katanya.

TPM pertahan Shahrizat

Pandangan sama diberikan Setiausaha BN Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Alhabshee yang juga ketua Umno Bahagian Cheras dengan kenyataan ringkas beliau, “Shahrizat perlu letak jawatan.”

Bagaimanapun laporan terbaru hari ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Shahrizat tidak perlu meletakkan jawatan menteri.

Pandangan sama diberikan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berkata isu itu patut diajukan kepada suami Shahrizat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar tampil mempertahankan Shahrizat. -FMT

Hanya 2 Orang Keluar PKR, Tapi Dihebohkan 180 Orang

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian menegaskan bahawa tidak wujud 180 ahli (PKR) keluar parti seperti yang diumumkan bekas Naibnya Suhaimi Saari.

Menurut beliau setakat ini melalui semakan yang dibuat hanya dua orang sahaja termasuk Suhaimi yang keluar dari PKR.

“Kita sudah siasat rata-rata mereka yang hadir pada program itu tidak menahu tentang agenda program itu yang mahu perserta yang hadir untuk keluar parti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya setakat ini pihaknya mengetahui sebanyak tiga buah bas bergerak dari Taman Medan ke Cameron Highlands yang rata-ratanya peserta terdiri daripada golongan belia.

“Program itu pada mulanya diberitahu hanya program riadah namun bila tiba di sana segala berubah selepas ianya dikatakan menjadi medan untuk individu keluar daripada PKR,”katanya.

Mengulas lanjut mengenai status jawatan Suhaimi di dalam cabang pjs,beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Parti tidak pecat dia tetapi dia (Suhaimi) sudah secara rasminya keluar daripada parti dan selepas ini dia juga tidak mempunyai apa-apa lagi urusan dengan PKR,”katanya

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan turut menegaskan naibnya itu kini sudah dibayar oleh Barisan Nasional untuk mengerakkan program belia di Selangor.

“Dia dapat RM 4000. sebulan dari BN dan peruntukkan RM 200,000 untuk buat program belia di Selangor kita sudah tahu perkara ini sejak dua minggu yang lalu namun kita tidak gentar kerana sebelum ini dia bukanlah seorang ahli yang aktif dan tidak mempunyai pengaruh,”katanya.

Jelasnya lagi, apa yang berlaku tidak menjejaskan Cabang PKR Petaling Jaya Selatan sebaliknya ianya dilihat salah satu percubaan BN untuk mencipta propaganda politiknya.

Akhbar ini semalam menyiarkan mengenai pengumuman bekas naib cabang PKR Pjs Suhaimi Saari bahawa 180 orang ahlinya keluar parti dan menyertai Umno selepas menyerahkan borang keahlian kepada Pemangku Ketua Umno Bahagian Pjs Datuk Raja Hanipuddin Raja Nong Chik dalam satu program yang diadakan di Bentong semalam. -SH

180 ahli PKR masuk Umno

BENTONG – Seramai 180 ahli PKR Cabang Petaling Jaya Selatan, mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menjadi ahli Umno.

Bekas Naib Ketua Cabang PKR Petaling Jaya Selatan, Suhaimi Saari berkata, keputusan diambil kerana mereka percaya kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) lebih baik daripada PKR.

Menurutnya, beliau sendiri sudah hampir 11 tahun berjuang dalam parti PKR sejak awal penubuhan dan mengetahui banyak rahsia parti.

“Namun, kini saya sudah tidak tahan dengan masalah membelenggu dan mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Naib Ketua Cabang, seterusnya membubarkan PKR Cabang Petaling Jaya Selatan.

“Kemasukan seramai 180 ahli ke dalam Umno melibatkan sebahagian dari 17 Ranting di bawah Cabang PKR Petaling Jaya Selatan,” katanya selepas menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Raja Hanipuddin Raja Nong Chik.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Donald Lim Siang Chai.

Sementara itu, Raja Hanipuddin berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka keputusan bekas ahli PKR itu itu dan menganggap ia sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, penyertaan mereka ke dalam Umno membuktikan rakyat sudah tidak mempercayai PKR yang hanya pandai menabur janji tetapi tidak mampu untuk melaksanakannya. -SH


Bayi Lelaki Ditemui Dalam Beg Yang Bergerak-gerak

Bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh beberapa jam ditemui berbalut dengan tuala dalam beg di belakang bangunan Klinik Kesihatan Daerah Kota Setar di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu, berkata, bayi yang berusia empat jam itu dijumpai oleh seorang jururawat sekitar jam 12.05 tengah hari semalam sebelum dihantar ke unit kecemasan klinik berkenaan.

Menurutnya, bayi berkenaan ditinggalkan di bawah pokok yang terletak antara kawasan tempat letak kereta dan longkang belakang wad sakit jiwa lelaki.

“Ketika dijumpai bayi yang dipercayai berbangsa Melayu berada dalam keadaan sihat dan masih mempunyai tali pusat serta terdapat sedikit kotoran pada bahagian mukanya.

“Bayi itu kini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan susulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Baharom berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Kita akan terus menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan pemilik sebenar bayi berkenaan,” katanya. -SH


‘Beg bergerak-gerak’

ALOR SETAR: Seorang jururawat tidak menyangka beg kain berbelang merah putih di bawah pokok yang ditemuinya berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini, semalam, mengandungi bayi lelaki baru dilahirkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, bayi dalam keadaan berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih itu dipercayai baru empat jam dilahirkan.

Bayi seberat 2.6 kilogram (kg) yang masih bertali pusat itu ditemui jururawat berkenaan yang baru saja meletakkan kenderaan di kawasan itu untuk memulakan tugasannya di klinik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata jururawat itu membuka bungkusan itu dan terkejut apabila mendapati ada bayi lelaki di dalamnya.

“Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru empat jam dilahirkan dan mukanya masih kemerahan selain tangannya dihurungi semut. Bayi itu ditemui di bawah pokok berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini.

“Jururawat itu ternampak beg kain berbelang merah putih di bawah pokok berhampiran yang kelihatan bergerak-gerak sebelum menghampirinya. “Dia mendapati seorang bayi lelaki yang hanya berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih di dalam beg berkenaan dan terus membawanya ke klinik sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. -hm


Permohonan Hisham Padam Pembelaan Anwar Ditolak & Diperintah Bayar RM25,000

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk memadamkan bahagian tertentu dalam kenyataan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman berhubung video seks yang memaparkan individu mirip ketua pembangkang itu.

Hakim Datuk VT Singham memutuskan kenyataan pembelaan Anwar berkaitan perlindungan bersyarat, ulasan adil dan justifikasi patut diputuskan pada akhir perbicaraan.

Beliau berkata mahkamah patut menggunakan budi bicaranya apabila menimbangkan permohonan untuk memadamkan kenyataan pembelaan dan beliau perlu mendengar keterangan saksi-saksi menerusi perbicaraan, untuk mencapai keputusan yang adil.

Katanya defendan (Anwar) berhak memfailkan kenyataan pembelaan untuk mematahkan kes itu.

Bagaimanapun, hakim memadamkan tiga perenggan kenyataan pembelaan Anwar kerana ia tiada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan plaintif (Hishammuddin).

Hakim juga memerintahkan Hishammuddin membayar RM25,000 sebagai kos kepada Anwar. Beliau menetapkan tiga hari bermula 5 Dis untuk mendengar saman itu.

Peguam Sunil Abraham yang mewakili Hishammuddin memaklumkan mahkamah, plaintif akan memanggil kira-kira 15 saksi manakala peguam yang mewakili Anwar, Sulaiman Abdullah berkata pihaknya juga akan memanggil jumlah saksi yang sama.

Pada 26 April, Hishammuddin memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung temuramah ketua pembangkang itu dengan wakil media pada 22 Mac di ibu pejabat polis Dang Wangi selepas membuat laporan menafikan dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Menteri itu berkata kata-kata berkenaan difahamkan membawa maksud yang beliau bertanggungjawab menayangkan video itu kepada sekumpulan editor dan wartawan di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac.

Katanya kata-kata berkenaan juga difahamkan bermaksud yang beliau telah mengaturkan penayangan video itu dan berkomplot dengan perdana menteri dan pegawai tinggi polis berhubung penayangan video itu.

Dalam kenyataan pembelaannya, Anwar berkata kata-kata beliau telah diterbitkan atas kapasiti perlindungan bersyarat dan kedudukannya sebagai ketua pembangkang.

Anwar juga memfailkan kenyataan balas menyatakan kata-kata Hishammuddin dalam sidang akhbarnya pada 21 Mac, seolah-olah mengesahkan kenyataan oleh tiga individu yang mendedahkan video itu bahawa pelaku dalam video itu adalah dirinya (Anwar).

- Bernama

Dicekup Berpelukan Dalam Kereta

Kulim - Sebuah kereta jenis Perodua Viva yang berada di kawasan bangunan tinggal di Bukit Putera menarik perhatian polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim berikutan berada dalam keadaan yang mencurigakan, kira-kira jam 3 petang semalam.

Hasil intipan yang dilakukan, polis mendapati pasangan remaja sedang berpelukan di dalam kereta berkenaan.

Polis kemudiannya memaklumkan kepada Pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) untuk tindakan selanjutnya.

Dari pemeriksaan dibuat, PADK mendapati pasangan perempuan masih bersekolah serta memakai pakaian kokurikulum manakala pasangan lelaki berusia 20 tahun bekerja di sebuah kilang automotif di Karangan.

Ketua Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, ketika soal siasat dijalankan pasangan perempuan menangis dan tidak mahu bekerjasama.

“Bagaimanapun setelah dinasihatkan, kedua-dua mereka akur dengan kesalahan yang dilakukan.

“Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan,” katanya.

Menurutnya, masalah remaja terlibat dalam maksiat semakin menjadi-jadi.

“Perkara ini sangat serius. Jika tidak dibendung dari awal, maka rosaklah anak-anak muda kita.

“Bagaimana sekali pun kes yang melibatkan anak-anak ini, ibu bapalah pihak yang pertama perlu bertanggungjawab.

“Anak-anak adalah anugerah ALLAH, maka pikullah tanggungjawab dengan sebaik-baiknya,”
katanya.

Sementara itu, pasangan terlibat diarah hadir ke ke pejabat PADK untuk diambil kenyataan. Sekiranya gagal berbuat demikian, PADK akan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enekman Jenayah Syariah 1988 kerana berkelakuan kurang sopan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. -SH

Video Seks Cuba Kaitkan PAS Diedar Di Seberang Perai

Umat Islam bantah pengedaran video seks di masjid

Umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di beberapa masjid di Seberang Perai minggu lalu terkejut apabila mendapati salinan rakaman video seks yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diedarkan di tempat-tempat strategik menuju ke masjid-masjid berkenaan.

Pengerusi masjid Guar Perahu Abu Bakar Dakilani Abu Hassan, berkata kira-kira 50 salinan pita seks itu ditemui di sekurang-kurangnya lapan masjid.

Katanya, VCD, dengan penutup hijau itu, diletakkan di pintu masuk ke masjid, tetapi tiada sesiapa yang dapat mengenal pasti mereka yang meletakkan pita tersebut di sana.

Beliau berkata ramai jemaah mengambil VCD itu kerana tertipu dengan perkataan ‘Wasiat Tok Guru dan Saksikan’ yang tertera pada VCD. Mereka menyangkakan bahawa ia merujuk kepada amanat oleh Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Tetapi mereka terkejut besar apabila memainkan pita itu di rumah dan mendapati bahawa ia adalah video seks yang didakwa melibatkan Anwar (sedang mengadakan hubung seksual) dengan seorang wanita," katanya kepada Malaysiakini.

Sehubungan dengan pengedaran video itu, kira-kira 100 orang mengadakan perhimpunan membantah tindakan berkenaan.

Perhimpunan selama kira-kira 30 minit itu diadakan di luar masjid Guar Perahu, petang semalam.

Abu Bakar berkata tunjuk perasaan itu adalah untuk menunjukkan bagaimana umat Islam berang dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan video lucah itu di kawasan masjid.

"Kami mahu beri mesej jelas bahawa mereka yang edarkan VCD ini melakukan tindakan yang memalukan serta tidak bermoral,” katanya.

Menurut Abu Bakar, dua lagi pengerusi masjid dari Sugai Lembu dan Kubang Semang juga membuat laporan polis di balai Kubang Semang selepas bantahan itu.

"Kami mahu polis siasat dengan serius dan tangkap mereka yang bertanggungjawab mencemarkan nama baik masjid kita,” katanya lagi.

Video seks itu menimbulkan kontroversi apabila ia didedahkan pada bulan Mac lalu. Anwar juga telah menafikan beliau adalah lelaki dalam video berkenaan.

Video itu pertama kali ditayangkan kepada beberapa wartawan oleh sekumpulan tiga individu yang menamakan diri mereka sebagai 'Datuk T'. Mereka adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim.

Ketiga-tiga individu itu kemudiannya didakwa di mahkamah majistret Kuala Lumpur pada bulan Jun dan dikenakan hukuman denda RM5,500.

Namun demikian, ini tidak menghalang beberapa versi lain video seks itu daripada terus disebarkan menerusi Internet.

Anwar, yang berulang-kali menafikan pembabitannya dalam video itu juga telah membuat laporan polis dan kini disiasat oleh polis atas dakwaan memberi "maklumat palsu". -mk

Sebar VCD lucah di masjid

PENANTI – Hampir 100 orang berkumpul di hadapan Balai Polis Kubang Semang, dekat sini, semalam, bagi membantah tindakan individu tidak bertanggungjawab menyebarkan video lucah menggunakan nama Tok Guru.

Cakera padat video (VCD) bertajuk ‘Wasiat Tok Guru’ itu diletakkan di hadapan tangga masjid Jumaat lalu, dan sasaran mereka adalah masjid di sekitar Permatang Pauh.

Memeranjatkan apabila video yang disangka benar-benar mempunyai ucapan Tok Guru (Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat) itu rupanya video lucah lelaki mirip Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Kariah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Abu Bakar Bakilani Abu Hassan berkata, kewujudan VCD itu disedari ketika orang ramai sibuk hendak mengerjakan solat Jumaat.

Pihaknya difahamkan kira-kira 50 hingga 100 keping VCD diletakkan di situ yang mana ia habis diambil kariah yang datang untuk bersolat pada tengah hari itu.

“Jika dilihat dari luaran, pasti orang akan ingat ia benar-benar video ‘Wasiat Tok Guru’. Tapi, saya terkejut apabila ada anak kariah yang datang kepada saya maklumkan bahawa kandungan sebenar adalah video lucah.

“Bukan setakat masjid ini sahaja, malah, perkara sama turut berlaku di lebih lima masjid dalam kawasan Permatang Pauh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Semang, semalam.

Abu Bakar berkata, laporan dibuat kira-kira jam 3.30 petang disusuli dengan perhimpunan damai anak kariah bagi membantah perbuatan yang disifatkan mempunyai agenda pihak tertentu.

Turut membuat laporan semalam adalah wakil Masjid Mengkuang Sungai Lembu.

Beliau dalam pada itu berharap pihak polis menyiasat mengenai perkara itu, seterusnya mengambil tindakan terhadap individu yang bertindak menyebarkannya.

“Perbuatan ini amat melampaui batas dan tidak dapat dimaafkan kerana menggunakan masjid sebagai medium untuk menyebarkan perkara tidak elok. Ia juga dilihat mencemarkan imej masjid sebagai sebuah institusi agama.

“Saya meminta supaya mereka yang ada menyimpan VCD ini supaya mengembalikannya semula kepada pihak masjid untuk dimusnahkan,” katanya. -SH


Ulasan GB

Begitu dasyat, sehingga sanggup menggunakan perkataan "Wasiat Tok Guru dan Saksikan" dan menggunakan warna hijau di bulatan pada video seks yang diedarkan.

Seperkara yang semacam dirancang iaitu pengedaran video seks ini dilakukan semula selepas Menteri KDN menyatakan kertas siasatan mengenai video seks telah diserahkan kepada peguam negara.

[Video] Isu Feedlot: Shahrizat Perlu Letak Jawatan Dari Jadi Liabiliti Kepada UMNO & BN

Bung Moktar mahu Shahrizat letak jawatan

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Datuk Bung Moktar Radin hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri kabinet yang bertanggungjawab dalam Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) patut meletakkan jawatan.

Perkara itu disebut sekali lalu ketika membahaskan ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012.

Bung Moktar membuat saranan itu ketika ahli parlimen BN membahaskan isu rundingan pertukaran saham antara syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dengan Malaysia Airlines.

"Pendirian saya cukup jelas, macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab.

"Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.

"Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti kepada Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil," katanya.

Ahli parlimen Kinabatangan yang lantang itu, bagaimanapun tidak menyatakan nama menteri berkenaan di dalam dewan.

Namun, ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang tadi, Bung Moktar mengesahkan bahawa beliau merujuk kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Dia patut bertanggungjawab dan menghadapi akibatnya," kata Bung Moktar. -malaysiakini



Ulasan GB

Perkara yang salah akan tetap salah. Itu hukum kebenaran dan keadilan. Walaupun perkara yang salah itu disokong oleh PM dan TPM.

Akan tetapi, tetap ada orang yang mendedahkan kebenaran itu sekalipun seluruh suara Pakatan Rakyat dinafikan sebelum ini.





Gadis Diperkosa Rakan Sekolah Sendiri

Kuala Lumpur: Luluh hati seorang bapa apabila mengetahui anak perempuannya menjadi mangsa rogol di dalam rumahnya sendiri ketika dia dan isteri sedang nyenyak tidur, kelmarin. Gambar hiasan.

Dia tidak menyangka remaja lelaki terbabit yang berusia 16 tahun yang juga rakan sekolah anaknya berusia 15 tahun sanggup menceroboh kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia sebelum memperkosa anaknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, bapa mangsa berusia 50-an terjaga daripada tidur sebelum keluar dari bilik untuk membuang air kecil.

Menurut sumber, bagaimanapun niatnya itu terbantut apabila mendapati pintu dan jeriji rumah terbuka menyebabkan dia mengesyaki ada pencuri menceroboh masuk.

“Risaukan keselamatan keluarga, dia bertindak berani memasang lampu untuk mencari pencuri terbabit dan ketika itulah dia melihat seorang remaja lelaki tiba-tiba melintas di depannya dan terus melarikan diri.

“Terkejut dengan tindakan pantas suspek yang datang dari arah bilik tidur anaknya, dia cuba tahan suspek namun gagal,” katanya.

Sumber berkata, dia berpatah balik dan terus ke bilik anaknya, terkejut apabila mendapati keadaannya tidak terurus dan sedang menangis.

Menurutnya, geram sebaik mendengar pengakuan mangsa dirogol rakan sekolah sendiri, dia ke Balai Polis Salak Selatan untuk membuat laporan. Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Operasi dan Risikan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu. -hm

Ulasan GB

Gejala rogol menjadi-jadi di kalangan pelajar sekolah. Apakah menteri akan kata jumlah kes adalah kecil berbanding dengan jumlah pelajar?


Kes Feedlot-Kondo Hanya Disiasat Apabila Pakatan Rakyat Berkuasa

SPRM serah siasatan projek Fidlot pada polis

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kes projek lembu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil untuk disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut suruhanjaya itu, keputusan itu dibuat setelah merujuk kepada bahagian perundangan dan pendakwaannya yang mengaklasifikasikan aduan yang diterima bawah kesalahan Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu SPRM telah diminta merujuk aduan tersebut kepada pihak PDRM," kenyataan itu dipetik.

"Ia juga selaras dengan nasihat daripada Lembaga Penasihat dan Pencegahan Rasuah yang meminta SPRM tidak menjalankan siasatan selain daripada kesalahan di bawah ASPRM (Akta Pencegahan Pencegahan Rasuah Malaysia) 2009."

Kenyataan itu juga memaklumkan, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada pengadu yang bersetuju dengan tindakan itu.

Sementara itu, NGO Jingga 13 sebagai pengadunya berkata, mereka dimaklumkan kes itu akan disiasat bawah Seksyen 409 melibatkan kesalahan pecah amanah jenayah oleh pekhidmat awam.

"Jingga 13 meminta agar pihak PDRM mengambil sikap telus dan profesional serta segera menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kes berprofil tinggi ini kerana ia melibatkan wang rakyat yang telah dipecah amanah tanpa rasa bersalah; dan bertanggungjawab melakukan jenayah dan mengkhianati rakyat Malaysia," kata Penyelarasnya Fariz.

Pengadu: Prasangka berlarutan

NGO yang dikaitkan dengan PKR itu pada 11 November membuat laporan pada SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan pinjaman untuk membeli kondominium mewah RM9.8 juta One Menerung di Bangsar, Kuala Lumpur.

Ia ekoran dakwaan PKR bahawa dana daripada pinjaman NFC kepada National Meat and Livestocks Corporations Sdn Bhd (NLMC) digunakan untuk pembelian seunit projek berprestij itu.

Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution mendakwa, tindakan syarikat milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil itu merupakan penyelewengan dan bertentangan dengan tujuan pinjaman wang kepada NFC.

Menurut seksyen itu, penjawat awam atau agen yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan dengan hukuman sebatan dan denda.

Dalam kenyataannya hari ini, Fariz juga mengucapkan terima kasih atas komitmen SPRM yang bertindak profesional terhadap aduan pihaknya.

Sementara itu, Setiausaha Jingga 13 Sharifuddin Shafi Muhammad pula mendesak Shahrizat meletakkan jawatan kerana penglibatan keluarganya didakwa "mendatangkan prasangka yang berlarutan".

Malah, katanya, "pendedahan lengkap" beberapa pemimpin PKR gagal dijawab dengan fakta oleh menteri yang didakwa bersikap berdolak dalik.

"Jingga 13 juga benar-benar amat hairan sehingga kini seluruh ahli Wanita Umno terus membisu dengan skandal NFC yang melibatkan ketuanya," katanya. -mk

Ulasan GB

Dalam kes isu Feedlot ini, kita sudah dapat mengagak tindakan SPRM yang "menendang bola" kepada Polis.

Polis pula akan bertindak acuh tidak acuh terhadap sebarang laporan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat terhadap salahlaku pemimpin-pemimpin UMNO, berbanding jika sebaliknya laporan UMNO terhadap pemimpin-pemimpin PR.

Kes ini melibatkan wang rakyat yang beratus juta nilainya. Siasatan ke akar umbi perlu dilakukan. Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan, tidak memadai siasatan SPRM atau polis.

Tetapi seperti yang GB nyatakan sebelum ini, PM sepastinya berdiam diri terhadap sebarang desakan untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan kerana beliau awal-awal sudah membela projek berkenaan.

Hanya satu jawapan, Pakatan Rakyat perlu menang PRU13 untuk merampas kerajaan Pusat. Barulah fail siasatan akan dibuka, dan menteri-menteri yang bertanggungjawab itu akan diheret ke muka pengadilan.

Ulasan GB sebelum ini. Petikan:

Kes ini melibatkan wang rakyat yang beratus juta nilainya. Siasatan ke akar umbi perlu dilakukan.

Penyelewengan dan salahlaku seperti yang didedahkan oleh Jabatan Audit egara adalah jelas.

Alasan Shahrizat bahawa keluarganya berhak mendapat projek lembu berkenaan kerana mereka telah bekerja kuat adalah teramat lucu dan dilihat cuba "melembukan" orangramai.

Hubungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Md. Noh Omar dengan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu juga disiasat kerana Noh Omar terlalu kuat membela pemberian projek itu kepada Shahrizat. Dan Shahrizat pula cukup bergantung kuat kepada jawapan menteri berkenaan untuk menjustifikasikan keluarga beliau diberikan projek berkenaan.

"(Perkara) ini sudah dijawab dengan panjang lebar oleh menteri pertanian dan industri asas tani.

"Dan daripada apa yang saya dimaklumkan, jawapan daripada beliau itu sangat jelas dan nyata,"


Najib sepastinya akan menolak Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan kerana beliau juga telah terlibat awal-awal membela pemberian projek itu kepada Shahrizat.

Tiada pilihan lain, Pakatan Rakyat perlu menang di dalam PRU13 ini bagi mempastikan kesemua penyelewengan dan salahlaku ini terbongkar.

Yang bersalah, seperti yang GB katakan sebelum ini, mengikut hukum kebenaran dan keadilan, perlu dihambat masuk ke penjara. Itu kandang yang sesuai bagi mereka kerana mengkhianati wang rakyat dengan jumlah yang begitu besar.



KR1M - MYDIN: Pelanduk Dua Serupa [Updated]

Mydin nafi barangan 1Malaysia tak bermutu

Pengendali Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Mydin, hari ini menangkis sebahagian besar tohmahan, khususnya daripada ketua antagonis, Tony Pua - bahawa produk 1Malaysia dijual pada harga lebih tinggi manakala kualitinya pula adalah rendah.

Pada sidang akhbar yang diadakan khas di gudangnya di Kelana Jaya, petang ini, pengarah urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin yang diiringi beberapa pembekal barangan yang didakwa kualitinya mencurigakan itu, membekalkan beberapa laporan makmal bagi menguatkan hujah mereka.

Katanya, hanya satu daripada 10 dakwaan yang dibuat oleh ahli parlimen DAP dari Petaling Jaya Utara, Ton Pua dianggap sah, iaitu berkenaan sos tiram syarikat tersebut.

Justeru, katanya, Pua berlaku tidak adil kepada pembekalnya dan menggunakan taktik kotor.

Dakwa Ameer lagi, dakwaan Pua juga tidak berasas dan “separuh benar” kerana beliau membandingkan produk yang salah dan berlainan kualiti serta kategori dengan memetik undang-undang yang salah.

"Sebelum tuduh orang lain, belajar dulu atau pergi ke sekolah ... sebelum kata sesuatu,” bidasnya terhadap Pua yang lulusan Oxford itu. -malaysiakini

Ulasan GB

Hairankah kita apabila Mydin membela produk-produk KR1M? Bukankah Mydin dan KR1M adalah burung-burung yang serupa bulunya? Maka sewajarnya untuk mereka terbang beriringan... memadu asmara bersama.

Megapa GB berkata begitu. Kerana Mydin sendiri adalah sebuah pasaraya yang sememangnya menjual produk-produk yang rendah kualiti!

Pergilah ke mana-mana cawangan pasaraya Mydin yang berdekatan dengan anda, anda akan mengakui kata-kata GB di atas, kerana di sana anda akan memperolehi barang-barang yang dibeli secara pukal Made In China yang juga terjual di kebanyakan kedai barangan RM2, tetapi di Mydin its above RM2.

Kedua, Pak Menteri mana yang ada berbelanja di Pasaraya Mydin dan kedai KR1M? Tidak ada. Kerana orang kaya-kaya tahu barangan di sana adalah rendah mutunya. Hatta drebar dan amah pak menteri tak berbelanja di Mydin dan kedai KR1M.

Ketiga, jika Mydin ini berada di negara maju sudah lama mereka diheret ke mahkamah. Tetapi di Malaysia dimana persatuan pengguna kita lemah dan Kementerian Hal Ehwal Penggunanya bukan untuk pengguna, kamu dijulang kerana kononnya menjual harga-harga di paras yang rendah, dan lantarannya rakyat marhaen terpesona sekalipun barangan yang dibeli rendah kualitinya.

Keempat, pihak Mydin menyatakan dakwaan Pua juga tidak berasas, sedangkan Mydin mengakui bahawa dakwaan Pua adalah separuh benar. Bererti dakwaan Pua tidak seratus peratus salah. Justeru dakwaan Pua BERASAS dan kenyataan pihak Mydinlah yang salah.

Kelima, pengurusan Mydin nampaknya berlagak dengan mengeluarkan kenyataan berikut "Sebelum tuduh orang lain, belajar dulu atau pergi ke sekolah ... sebelum kata sesuatu".

GB ingin bertanya tinggi mana tahap kamu bersekolah sehingga kamu boleh mengeluarkan perkataan penghinaan sedemikian rupa? Pangkat PhD atau sarjana mana yang kamu ada atau kamu beli sehingga boleh menempelak taraf keilmuan orang lain semata-mata kamu ingin mepertahankan perniagaan kamu yang berasaskan barangan yang rendah kualitinya selama ini? Tony Pua, seorang graduan dari Universiti Oxford, anak beranak Mydin?

Keenam, kamu boleh menipu sesetengah manusia dalam sesetengah masa, tapi kamu tidak boleh menipu semua manusia dalam semua masa. Kamu boleh mengambil sikap berkonfrantasi dengan Pakatan Rakyat tetapi INGAT: bahawa di dalam pilihanraya yang lalu separuh pengundi di negara ini mengundi Pakatan Rakyat. Apa kata jika rakyat yang kamu berkrontasi itu mengambil sikap memboikot Mydin selepas ini?

Ketujuh, tindakan kamu Mydin memalukan. Kamu sepatutnya membela dan berpihak kepada rakyat marhaen dan pengguna yang selama ini banyak membantu kamu, tetapi kamu lebih suka membela dan berpihak kepada menteri yang tak pernah pun beli barangan kamu. Hukum kebenaran dan keadilan akan berlaku: jika sikap kamu berterusan begitu, kamu akan binasa di satu masa.

They say one good name deserves another, but in the above case one bad name has enticed another.