25 Dis 2012

[KERJA 'BINATANG'] Ketua Penerangan ANAK Ditahan & Diikat Tangan Dibuat Macam Hamba Abdi


Maran: Kembara Oren Selamatkan Felda peringkat Pahang, kelmarin kecoh apabila Ketua Penerangan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak), Noraza Muda yang mengetuai konvoi ditahan dan diikat tangannya.

Tindakan tersebut dilakukan bagi menghalang Noraza dan peserta konvoi memasuki kawasan Felda Kampung Awah, Chenor.

Pengarah Pilihan Raya Pas Maran, Shamsuri Hussin yang turut menyertai program berkenaan berkata, pada awalnya konvoi berjalan dengan lancar dari Felda Bukit Kepayang, Bera.

"Suasana bermula apabila konvoi tiba di Felda Kampung Awah. Noraza ditahan dan diikat kedua belah tangannya.

Katanya, tindakan tersebut menimbulkan kemarahan peserta konvoi dan berlaku ketegangan di kawasan tersebut.

Menurutnya, keadaan kembali reda apabila Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan, Sulaiman A. Hamid campur tangan dan mengarahkan Noraza yang ditahan selama 15 minit di sebuah pondok dilepaskan.

Katanya, hasil rundingan dengan penduduk, konvoi dibenarkan memasuki kawasan Felda dan meneruskan program penerangan jelajah di Markas Pas di dalam kawasan Felda itu.

Shamsuri berkata, insiden berkenaan cukup mengecewakan dan pihaknya mengutuk tindakan tidak bermoral pihak yang menghalang jelajah berkenaan.

Menurutnya, peserta konvoi juga terkilan dengan tindakan pihak yang mencetuskan provokasi.

“Perbuatan ini melanggar Perlembagaan dan undang-undang yang memberi hak kepada semua rakyat negara ini untuk ke mana sahaja dan berhimpun dengan aman.

“Pemuda Pas Maran yakin bahawa sebahagian besar peneroka dan penduduk Felda kini matang dalam berpolitik, mereka tahu untuk memilih pimpinan dan wakil dalam memperjuangkan hak dan kebajikan mereka.

Kelmarin, Kembara Oren di Negeri Sembilan kecoh apabila ratusan penduduk menghalang laluan konvoi berkenaan.

Sebelum ini pada 3 November insiden yang sama berlaku di Felda Lawin Selatan, Gerik Perak. -SH

[ISU AIR] Kelentong UMNO BN Terbongkar, Bekalan Air Selangor Cukup Sehingga 2030

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yakin bekalan air mentah di Selangor kini 100 peratus mencukupi dan mampu menampung keperluan rakyatnya sehingga tahun 2030.

Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata, sehingga 20 Disember lalu, kapasiti air bagi Empangan Tasik Subang, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Klang Gates dan Empangan Batu adalah penuh pada tahap 100 peratus sehingga berlakunya limpahan.

Manakala kapasiti air bagi empangan Sungai Tinggi pada tarikh yang sama adalah pada tahap 93.33 peratus dan Empangan Sungai Selangor (90.17%).

“Kapasiti Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi ini dijangka akan terus meningkat hasil daripada kadar hujan yang banyak ketika Monson Timur Laut daripada bulan November sehingga Mac.

“Berdasarkan kadar peningkatan takungan, kapasiti kedua-dua empangan ini dijangka akan kembali penuh sebelum bulan Februari 2013,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Md Khairi, berdasarkan kajian semula sumber air negara (2000-2050), jumlah air larian permukaan di Negeri Selangor adalah sebanyak 17,000 juta liter sehari (JLH) setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi.

Manakala jumlah air yang diabstrak untuk bekalan air kepada penduduk adalah sebanyak 4501 JLH.

“Sekiranya usaha dilakukan untuk menakung atau menyimpan sebanyak 40 peratus daripada jumlah air larian permukaan tersebut, sumber air mentah di negeri Selangor boleh dimanfaatkan sehingga tahun 2030,” katanya.

Tepis dakwaan Ong Tee Keat

Kenyataan ini sekaligus menepis dakwaan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat bekalan air Selangor semakin menyusut dan tiada sumber yang baru.

Md Khairi, LUAS telah mengenal pasti lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber air tambahan seperti kolam projek tebatan banjir Sungai Rasau di Lembangan Klang dan juga Kolam Bestari Jaya di Lembangan Selangor.

Md Khairi berkata, kolam terbabit akan bertindak secara dwifungsi sebagai kawalan tebatan banjir dan juga kolam penstoran air ketika berlakunya aliran banjir.

Sebanyak 20 kolam takungan (banjir atau kolam bekas lombong) lain juga dikenal pasti berpotensi untuk dijadikan sumber air tambahan di Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

“Kolam-kolam berkenaan dengan jumlah anggaran 325 juta meter padu merupakan rizab simpanan air mentah yang boleh dibangunkan sebagai sumber air tambahan (tertakluk kepada kualiti airnya).

“Selain itu,beberapa lokasi lain yang mempunyai potensi yang sama sebagai sumber air tambahan seperti kolam bekas lombong MC8 dan MC9 di Lembangan Langat.

“Kajian kemungkinan yang terperinci akan dilaksanakan bagi memastikan kebolehdapatan sumber air berkenaan,” katanya.

LUAS dalam masa yang sama juga menurut beliau kini sedang dalam proses pelaksanaan aplikasi’ River Bank Filteration’ (RBF) dan juga pembangunan sumber air bumi (sehingga 15%) yang dijangka mampu menyumbang kepada peningkatan kebolehdapatan sumber air di Selangor.

Konspirasi Isa Samad Ambil Alih Koperasi Permodalan Felda Gagal!


Hakim Mahkamah Tinggi KL, Abang Iskandar Abang Hashim, membenarkan KPF untuk mencabar keshahihan keputusan Panel Rujukan Pertikaian SKM pada 26 Nov lalu yang membatalkan Mesyuarat Agung Tahunan KPF ke 31, 20 Jun lalu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan KPF untuk menggantung arahan SKM yang mengarahkan KPF mengadakan semula AGM pada 27 Dis ini.

Alhamdulillah, konspirasi Isa Samad yang memperkudakan Ismail Sabri Yaakob dan Dato' Md Yusof Samsudin, Pengerusi Eksekutif SKM untuk mengambilalih KPF telah GAGAL!

Keputusan berani hakim yang menyelamatkan caruman dan aset berbilion ringgit milik 246,000 ahli KPF.

ANAK mengalu2kan keputusan yg sangat melegakan ini. Syukur kpd Allah SWT.

Marilah kita sujud syukur bagi menzahirkan kemenangan bermakna ini..

ALLAHUAKBAR 3x -mazlan aliman

Mahkamah Tinggi batalkan AGM KPF 27 Dis

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan seorang ahli lembaga pengarahnya agar mahkamah membatalkan Mesyuarat Agung (AGM) KPF ke-31 pada 27 Disember ini.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim turut membenarkan KPF mencabar kesahihan keputusan Panel Rujukan pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membatalkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KPF ke-31.

SKM mengeluarkan surat pada 4 Disember lalu, mengarahkan KPF mengadakan AGM ke-31, bersama surat kuasa yang menyatakan AGM pada 20 Jun lalu tidak sah dan AGM akan dipanggil oleh SKM.

Surat tersebut menyatakan bahawa asas bagi mengarahkan mesyuarat itu diadakan semula adalah pertikaian dalaman pada 26 November.

Ia mengandungi agenda mesyuarat seperti yang disenaraikan di bawah:

- Mengesahkan minit mesyuarat agung perwakilan tahunan kali ke-30 pada 23 Jun 2011 dan minit mesyuarat agung khas yang diadakan pada 19 April 2012.

- Membentang dan meluluskan Laporan Lembaga tahun 2011.

- Menimbang dan meluluskan penyata kewangan teraudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 berserta laporan jawatankuasa audit dalaman dan pandangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

- Menimbang dan meluluskan cadangan pembahagian keuntungan tahun 2011.

- Memilih anggota-anggota Lembaga sesi 2012/2013.

Mengulas keputusan mahkamah itu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, keputusan tersebut melegakan 246,000 ahli KPF.

"Saya bagi pihak Anak mengucapkan terima kasih dan tahniah atas keputusan berani hakim.

"Ia sangat melegakan 246,000 ahli KPF dan menyelamatkan berbilion caruman dan aset KPF daripada penyamun yang diketuai (Tan Sri) Isa Samad," katanya kepada Harakahdaily.

Anak sebelum ini mendakwa wujud konspirasi untuk melantik Isa dan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad dalam KPF.
-HD

PETRONAS Diletakkan Bawah J/Kuasa PARLIMEN Bila PR Memerintah Nanti


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memotong dividen tahunan Petronas RM30 billion kepada Putrajaya jika Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pilihan raya umum akan datang, menurut laporan portal berita perniagaan Bloomberg.com hari ini.

PR bercadang untuk menetapkan dividen Petronas kepada negara berdasarkan peratus keuntungan syarikat yang ditetapkan, dan dengan ini membenarkan syarikat petroleum negara itu untuk membuat lebih pelaburan di luar negara yang dijangka memberi lebih banyak keuntungan, kata pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar).

“Petronas seharusnya diuruskan secara komersil sepenuhnya,” katanya kepada Bloomberg semasa menerangkan cadangan Anwar, yang merupakan ketua umum PKR.

Menurut Bloomberg, pentadbiran PR akan mengadakan jawatankuasa peringkat parlimen di Dewan Negara untuk meningkatkan ketelusan terhadap Petronas, yang sekarang ini melapor terus kepada perdana menteri.

Petronas kini dilihat sebagai sumber kewangan negara, dengan laporan dari Reuters berkata pada Julai lalu ia adalah pembayar cukai terbesar dan sumber kewangan terbesar negara, dan menyumbangkan 45 peratus dari perbelanjaan kerajaan yang terus mempunyai hutang yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Shamsul Azhar Abbas berkata pada September lalu bahawa model sekarang, di mana pembayaran RM30 billion setiap tahun kepada Putrajaya harus ditukar kepada 30 peratus berdasarkan keuntungan, menurut laporan Bloomberg itu lagi.

Selain itu, perubahan polisi PR ialah untuk meningkatkan rizab petroleum negara dan pendapatan Petronas dengan membeli banyak blok petroleum di luar negara, dan mengurangkan pencarian di kawasan petroleum yang kecil di dalam negara.

PR dilaporkan berkata pencarian petroleum di luar negara mungkin merupakan cara yang lebih baik untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi daripada pelaburan Petronas dalam masa lima tahun yang berjumlah RM300 billion.

“Terdapat banyak kemungkinan akan mendapat blok yang lebih besar untuk kita dapatkan petroleum di luar negara.

“Kita akan hilang peluang untuk jangka masa panjang, kerana China sedang agresif mencar blok petroleum di seluruh dunia,” kata Rafizi kepada Bloomberg selepas temuramah bersama Bloomberg Selasa lalu.

Dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Petronas telah menawarkan pemotongan cukai dan perkongsian pengeluaran kepada syarikat carigali petroleum luar negara untuk memikat mereka untuk mencari gali kawasan petroleum luar pantai di negara ini.

Najib pada November 2010 berkata pencarian kawasan baru itu bermungkinan menjana pendapatan sehingga RM50 billion untuk 20 tahun akan datang, menurut laporan Bloomberg.

Tetapi menurut Rafizi, cara Putrajaya itu cuma untuk jangka masa pendek.

“Ini bukan soal kewangan, ini soal masa dan tenaga kerja.

Potensi untuk mencari kawasan baru yang besar sangat terhad,” kata Rafizi, dengan Bloomberg melaporkan bahawa pengarah strategi PKR itu pernah bekerja di unit perancangan perniagaan di Petronas.

Andrew Harwood, seorang penganalisis dari syarikat konsultasi dari Singapore Wood Mackenzie Ltd, bersetuju dengan Rafizi.

“Ia sangat munasabah jika syarikat petroleum negara keluar dari sempadan negara untuk pencarian kawasan petroleum baru.

” Beliau berkata dengan melakukan sedemikian, Petronas akan menggunakan sumbernya untuk mencari yang lebih besar, manakala kawasan minyak yang lebih kecil akan ditinggalkan kepada syarikat lain.

Victor Shum, konsultan dari Singapura berkata Petronas harus membuat kedua-duanya dengan mencari sumber tempatan dan membeli blok di luar negara.

“Ini adalah peluang untuk menjadi lebih berjaya dan efisyen dari segi kos.

Mereka perlu cari gali kawasan tersebut,” kata pengarah urusan IHS Consultant yang dilaporkan oleh Bloomberg.

Menurut Bloomberg, rizab petroleum Malaysia akan bertahan 29 tahun lagi, sementara itu rizab gas akan bertahan 37 tahun. -TMI

Datuk Fauzi Tidak Pernah Menyesal Malah Bersyukur Sertai PAS


Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menafikan ada mengeluarkan kenyataan mengatakan beliau menyesal menyertai Pas.

“Kenapa saya perlu menyesal bersama Pas. Saya sudah buat pilihan yang tepat. Kenapa masih ada yang pertikai dan ragu-ragu dengan tindakan saya ini.

“Saya rasa tindakan saya menyertai Pas membuatkan ada beberapa pihak tidak senang hati. Sebab itu mereka sengaja mencipta isu ini,” katanya, semalam.

Sebelum ini, terdapat mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), yang mendakwa Fauzi menyatakan penyesalannya menyertai Pas.

Mesej itu berbunyi: “Kalau saya tahu begini keadaan Pas taubat saya tidak akan menyertainya. Masuk Pas umpama masuk parti DAP. Belum apa-apa saya disuruh bersumpah baiah cerai isteri talak tiga jika saya tinggalkan Pas.”

Fauzi, yang bakal dicalonkan bertanding Parlimen Larut berkata, kenyataan itu tidak benar.

“Saya amat gembira dan bersyukur atas apa yang saya hadapi dan nikmati sejak bersama Pas,” katanya. -SH

Ulasan GB

Siapalah si bangang yang menghantar SMS tu... macam dah terdesak sangat...

Nak merasai kemanisan iman, marilah serta PAS, bersama-sama di dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Bukan menilai dan melihat dari luar kepompong jemaah Islam.

Mengapa Polis & FRU Tak Bertindak Ke Atas Samseng UMNO BN Yang Serang Kembara Oren?


Seorang saksi yang turut mengikuti Kembara Oren ‘Selamatkan Felda’ Negeri Sembilan semalam kesal apabila polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) langsung tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang serangan samseng Umno ke atas kumpulan itu.

Samseng yang membawa bendera BN menghalang Kembara Oren masuk ke kawasan Felda Bukit Rokan Utara.

Rebin Birham yang juga Setiausaha Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN berkata, sikap pihak berkuasa amat mendukacitakan, walaupun peserta konvoi dipukul, dipijak dan diserang dengan pelbagai objek keras, tetapi serangan itu hanya mampu dilihat dan dibiarkan oleh polis.

“Felda Bukit Rokan Barat dan Utara, dan di Tampin, paling teruk berlaku provokasi. Penyokong Umno awal-awal sudah menunggu dengan bangga mengibarkan bendera BN, sambil memegang kayu, besi dan batu besar,” jelasnya kepada Keadilan Daily.

“Apa yang lebih menyedihkan apabila pasukan Rela turut membantu mereka membawa bendera tersebut,” kata Rebin yang juga Naib Ketua KEADILAN Cabang Jempol.

Menurut Rebin, pihak konvoi diberitahu serangan itu mendapat arahan pihak pengurusan Felda, yang mengarahkan penyokong Umno, pihak berkuasa dan anak muda Felda agar menghalang kembara dari memasuki kawasan tersebut.

“Saya percaya sebahagian besar mereka yang menyerang itu adalah remaja belasan tahun yang diupah. Kami tak lawan, kami cuma bertahan, itu yang menjadikan keadaan kami teruk diserang,” jelasnya.

Akibat serangan itu, Ketua Penerangan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Naraza Muda cedera di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan sebatang kayu yang tajam.

Jurukamera yang berdiri di bahagian belakang pacuan empat roda turut dipukul sehingga jatuh dari kenderaan lalu dipijak, selain cermin depan dipecahkan.

“Jelas Umno sangat terdesak. Mereka takut kita sampaikan maklumat yang benar tentang penyelewengan mereka kepada orang Felda,” kata Rebin. -KD

Ulasan GB

Terlalu malang nasib negara apabila mempunyai pasukan polis yang bertindak secara berat sebelah dan pilih kasih.

Apabila kepincangan didedahkan oleh portal-portal, polis begitu cepat menerjah pejabat-pejabat malaysiakini, harakahdaily, Freemalaysiatoday, Themalaysianinsider untuk memburu wartawan-wartawan sedang samseng-samseng UMNO yang jelas dan nyata menimbul kekacauan dan huru-hara dalam negara selama ini dibiarkan begitu sahaja.

Sebelum ini GB sudah ulas, petikan:

Wahai polis, mengapakah kamu tidak bersikap adil di dalam melaksanakan tanggungjawab?

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap mengambl tempatnya. Polis yang bersikap berat sebelah dan dwi-standard akhirnya akan menerima hukuman Tuhan. Tidakkah tuan-tuan polis semua melihat bagaimana mantan-mantan polis pangkat tertinggi akhirnya berpihak kepada kebenaran dan keadilan? Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyertai PAS, dan Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara sendiri melakukan pendedahan berani tentang campurtangan menteri KDN dan orang luar yang bernama Robert Phang terhadap urusan PDRM.

Pekung-pekung jenayah anggota polis pun banyak Allah dedahkan, yang merogol, yang buat harta semasa berkhidmat dan lain-lain. Itu hukum kebenaran dan keadilan apabila anda gagal menyempurnakan tugas dengan adil dan bertanggungjawab!


Selalu GB tegaskan, kita bukan menghasut orangramai untuk membenci pasukan polis, tetapi tindakan polis yang berat sebelah dan pilihakasih itulah yang menyebabkan rakyat membenci pasukan polis.

[WASPADA] Air Mineral BN Selangor Tidak Patuh Piawaian

PPengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri mendedahkan, air mineral yang diedar BN Selangor semasa program-programnya menyalahi peraturan air mineral, malah logo halal yang dilekat di botol itu diragui kesahihannya.

Beliau berkata, pembekalan air mineral percuma berjenama ‘Nurani Rakyat’ dalam kempen Sayangi Selangor itu tidak pernah disahkan kualitinya mengikut piawaian yang ditentukan kerajaan.

Katanya, ia melanggari Akta Makanan 1983, Akta Perihal Dagangan 2011, dan Sijil Perakuan Halal Jakim.

“Sebab itu kita minta Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) siasat dan ambil tindakan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Yahya membandingkan air mineral berbotol yang dikeluarkan syarikat komersil mematuhi sepenuhnya piawaian, sedangkan pembekalan produk yang dibuat syarikat BN langsung tidak tertera dibiar melanggari undang-undang.

“Sepatutnya pada botol ini tertulis jenis punca air dan lokasi diperolehi, kandungannya dan nama syarikat yang membotolkan, tapi langsung tak dinyatakan,” kata Yahya.

Beliau turut mempersoal kesahihan logo halal Jakim yang dipapar pada produk berkenaan.

Manakala jenis penutup botol air mineral itu berwarna biru, tanda kepada jenis air galian bawah tanah, namun diragui sumbernya.

“Bagaimana kalau saya katakan air ini berpunca dari air paip Syabas? (Syarikat Bekalan Air Selangor)” soal Yahya.

“Sendiri jadi menteri sendiri buat peraturan, sendiri yang langgar. BN tipu rakyat di program anjurannya. Ini penyalahgunaan logo yang jelas. Kita yakin dalam masa kempen pilihan raya, air ini akan dibekalkan secara meluas di program anjuran mereka,” katanya.

Menurut Yahya, melalui pemerhatiannya, pengeluaran produk tersebut menyalahi semua peraturan berkenaan.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, syarikat atau institusi yang melakukan kesalahan boleh didenda sebanyak RM10 juta, manakala RM2 juta bagi kesalahan individu,” kata Yahya.

Manakala penyalahgunaan sijil dan logo halal Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri boleh didenda maksimum RM5 juta kerana kesalahan memperdaya atau mengelirukan pengguna. -KD