Kereta imam jadi mangsa
HULU TERENGGANU - Malang tidak berbau. Demikian situasi dialami Imam 1 Masjid Kampung Butut dan seorang makmum apabila kereta diparkir di pekarangan masjid berkenaan, dipecah pencuri ketika mereka sedang menunaikan solat Subuh, semalam.
Bagaimanapun, kejadian tersebut hanya diketahui imam berkenaan, Ramly Jusoh, 60 dan makmum, Syed Ibrahim Syed Hitam, 77, kira-kira jam 6.45 pagi setelah dimaklumkan jemaah lain selepas selesai tazkirah Subuh.
Difahamkan, kes pecah masuk kenderaan pertama kali berlaku di masjid berkenaan memandangkan selama ini, hanya tabung masjid yang kerap menjadi sasaran pencuri.
Kejadian pertama babitkan pecah kenderaan
Ramly berkata, beliau tersentak apabila dimaklumkan kereta Mercedes Benz miliknya yang diparkir di tempat khusus untuk imam, dipecah masuk apabila jemaah ternampak kaca bertaburan dengan keadaan cermin pintu sebelah kiri bahagian hadapan pula pecah.
Menurutnya, kejadian tersebut pertama kali berlaku sepanjang hampir 20 tahun beliau bertugas di masjid berkenaan.
"Gara-gara kejadian ini, beberapa dokumen termasuk buku-buku bank, segugus kunci dan sebuah telefon bimbit yang diletakkan dalam sebuah beg, hilang.
"Saya tidak menolak kemungkinan perbuatan ini dilakukan pencuri bermotosikal kerana saya diberitahu, ada makmum terdengar bunyi motosikal ketika saya mengimamkan solat Subuh pagi tadi (semalam). Namun, bunyi itu hanya seketika, mungkin sewaktu pencuri berkenaan ingin berlalu dari kawasan masjid.
“Sebelum ini tabung masjid jadi sasaran, kali ini kereta pula. Namun, saya anggap semua ini ujian daripada-Nya dan berharap ia tidak akan berulang kerana masjid adalah tempat beribadah, bukannya untuk melakukan perkara bertentangan dengan agama,” katanya.
Al-Quran dalam kereta turut lesap
Sementara itu, Syed Ibrahim pula berkata, cermin pintu sebelah kiri bahagian belakang Proton Iswara diparkir di hadapan pintu masuk masjid berkenaan, turut dipecahkan pencuri sekali gus menyebabkan dia kehilangan senaskhah al-Quran besar yang diletakkan di dalam beg.
“Jarak kereta saya dengan imam hanya beberapa meter. Beg berisi al-Quran tersebut diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan mungkin pencuri merembatnya kerana beranggapan terdapat barang bernilai.
“Kes kecurian di sini bukan perkara luar biasa kerana ia kerap berulang terutama melibatkan tabung masjid. Malah sebelum ini tabung masjid turut dilarikan, namun dihantar semula beberapa hari kemudian dengan meletakkannya di tepi dinding dalam masjid. Banyak juga tabung rosak akibat dikopak pencuri.
"Sehingga kini, lebih 10 kali kecurian berlaku termasuk beberapa kes curi motosikal dan kini, kereta pula jadi sasaran,” katanya.
Orang ramai perlu berhati-hati: Mohd Rosli
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada jam 6.53 pagi semalam di Balai Polis Kuala Berang.
Kata beliau, sebagai langkah keselamatan, orang ramai diingatkan agar tidak meninggalkan barang berharga atau beg di dalam kenderaan bagi mengelakkan ia menjadi sasaran pencuri.
Dun Terengganu tolak usul laksana hudud
KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri Terangganu hari ini menolak usul supaya melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu yang diluluskan oleh dewan itu pada 7 Julai 2002.
Usul tersebut dibawa oleh Ustaz Mohd Nor Hamzah (PAS-Bukit Payong) di bawah peraturan mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dun.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dun, Mohd Zubir Embong menolak usul tersebut.
Kandungan usul beliau seperti di bawah.
Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguh mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu Perlaksanaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M yang telah diluluskan oleh Dewan Yang Mulia Ini pada 7 Julai 2002.
Isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana perlaksanaan undang-undang Islam adalah satu tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Quran antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 178, an-Nur ayat 2, surah al-Maidah ayat 38 dan lain-lain lagi.
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M telah diluluskan menjadi undang-undang tertinggi bagi negeri ini, dan mendapat persetujuan DiRaja Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 September 2002 serta telah disiarkan dalam warta negeri Terengganu pada pada 25 September 2002.
Bahkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M telah dicatatkan berkuatkuasa bermula pada 27 Oktober 2003 melalui dokumen TR.P.U.10/2003, bahkan jauh dari itu, penemuan batu bersurat di Kuala Berang telah membuktikan bahawa kerajaan Terengganu suatu ketika dahulu telahpun mengamalkan undang-undang Islam lebih dahulu daripada kerajaan Islam Melaka. Namun malangnya, sehingga kini ia gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu.
Isunya mengapakah sehingga kini, kerajaan yang berkuasa melaksanakan Enakmen ini gagal untuk melaksanakannya, bahkan tidak mengambil sebarang usaha untuk melaksanakannya.
Menteri Besar serta pemimpin kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan kerajaan melaksanakan Enakmen ini.
Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai kerana keamanan tidak berlaku dalam negeri ini dengan begitu banyaknya kejadian jenayah berat dan ringan yang melibatkan keselamatan hidup rakyat negeri Terengganu sehinggakan rumah Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, turut menjadi mangsa serangan tembakan suatu ketika dahulu.
Kerajaan dan rakyat mengalami kerugian, kehilangan maruah, nyawa dan harta benda, akibat kejadian jenayah berat dan ringan yang semakin hari semakin meningkat.
Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan. -HD (15/04/2014)
ULASAN GB
Hukum kebenaran dan keadilan berjalan.
Apabila DUN Terengganu menolak Hudud, di perkarangan masjid pun sudah tidak selamat. Kereta imam dipecahkan.
Apakah ini tidak lagi dapat membuka mata pihak yang buta?
Dan apabila UMNO di peringkat negeri telah tolak hudud, anda masih percaya UMNO akan menyokong hudud di peringkat negara?