19 Jan 2010

PKR Anjur Sesi Taklimat Bersama Diplomat

Diplomat asing melahirkan keresahan dengan siri serangan keatas rumah-rumah ibadat menyusuli perebutan kalimah Allah.

Kerajaan dilihat terlalu mendominasi isu ini dikala ketegangan semakin memuncak, dan menghalang pembabitan gerakan Islam, Istana selaku penjaga agama Islam dan cendekiawan tempatan untuk turut serta mencari penyelesaian.

Kebimbangan itu dinyatakan dalam satu sesi taklimat khas antara Parti Keadilan Rakyat dan 40 diplomat asing dari pelbagai negara, pagi tadi.

Sesi taklimat khas ini menyatakan pendirian PKR terhadap isu semasa di Malaysia, terutamanya keganasan sekitar isu penggunaan kalimah Allah.

“Memang ada kebimbingan dan beberapa aspek penjelasan yang mereka mahukan dalam soal ini sebagai contohnya bagaimana pendirian Yang DiPertuan Agong isu penggunaan kalimah Allah. Mereka persoalkan setelah mereka lihat umumnya di kalangan rejim yang memerintah condong ke arah tidak membenarkan.

“Demikian juga mereka bertanya tentang soal bagaimana proses mahkamah yang bermula dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan kemudian Mahkamah Persekutuan. Mereka ingin mengetahui bagaimana proses mahkamah di Malaysia,”kata Pengerusi Biro Antarabangsa Mustaffa Kamil Ayub.

Tiga panel terdiri daripada Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Hussin Ali, Naib Presiden Sivarasa Rasiah dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantan Agama Dr Muhd Nur Manuty.

Dr Syed Hussin Ali berkata PKR tetap dengan pendirian bahawa al-Quran dan Hadith tidak menyatakan kalimah Allah diharamkan terhadap orang bukan Islam.

Rakyat dimomokkan dengan ketakutan umat Islam akan tergelincir akidah mereka, seraya membuktikan bahawa kerajaan gagal menanam kefahaman agama.

Beliau menjelaskan isu ini telah diperbesarkan oleh media pro-kerajaan, dan tunjuk perasaan anti-penggunaan kalimah Allah tempoh hari langsung tidak membantu merungkai permasalahan ini.

“Ini boleh menimbulkan ketegangan dan kita harap tidak akan digunakan oleh sesetangah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keadaan di mana mereka boleh memperalatkan ISA atau undang-undang darurat untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dan memastikan mereka boleh memerintah lebih lama lagi,” kata Dr Syed Husin.

Mustafa pula menambah isu ini sengaja dibangkitkan sebagai cubaan untuk melemahkan Pakatan Rakyat dalam usaha memastikan UMNO dapat mengembalikan sokongan Melayu dan kekal mentadbir negara dengan menggunakan isu perkauman dan politik.

“Dan juga bacaan politik kita mengenai kes-kes yang sedang berlaku ini yang kita nyatakan banyak bersifat untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar yang sedang dihadapi negara pada hari ini termasuk soal rasuah, persoalan kehilangan enjin jet yang kita ikuti bersama dan isu besar lain termasuk kehilangan bilion ringgit yang dihadapi negara,”tambah Mustaffa.

Taklimat ini juga menyorot perhatian diplomat kepada perbicaraan pertuduhan liwat mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang akan berlangsung pada 25 Januari depan.

“Kami melihat banyak perkara yang tidak adil sedang berlaku terutama dalam kes Anwar bukan sahaja dwi standard untuk benarkan demonstrasi tetapi ketidak adilan juga digunakan dalam kes Anwar, pemilihan hakim dan tarikh pendengaran dan kengganan pihak pendakwaan beri maklumat-maklumat yang diminta oleh pembelaan menunjukan memang ada usaha untuk memastikan Anwar didapati bersalah,” katanya. -TVS



Pemuda PAS Sehati Sejiwa Dengan Pemuda UMNO?

Antara Dua Pemuda

Pemuda UMNO Kelantan buat laporan polis - isu Bazar Tok Guru.

Jika benar Pemuda UMNO Kelantan dan Malaysia mempunyai kesedaran memerangi rasuah dan penyelewengan, masyarakat harus bersyukur. Separuh masalah negara kita otomatik selesai kerana selama ini, hiruk pikuk penyelewengan datang dari parti pemerentah di Putra Jaya.

Sikap tidak berkompromi dengan penyelewengan sudah sangat bermakna, tetapi janganlah ia terhenti atas isu yang cuba dimanipulasikan semata-mata. Ia hendaklah menyeluruh dan seluruh korupsi hendaklah diperangi.

Satu masa dulu, Jambatan Tambahan Sultan Yahya di Pasir Peikan khabarnya melibatkan seorang bekas pemimpin Pemuda UMNO Kelantan dengan nilai 'lesap' berpuluh juta. Kenapa tak ada laporan polis?

Jika diteliti Laporan Ketua Audit Negara sahaja, sudah cukup untuk menunjukkan UMNO/BN lah 'juara' apa yang ditentang oleh Pemuda UMNO.

Saya tidak ingin panjangkan huraian mengenainya.

Dalam kesempatan ini, saya cuma ingin mengajak Pemuda UMNO Kelantan meneliti blog Mindnoevil, posting terakhirnya. Saya petik sebahagian;

What do you think would be the price tag that was charged to the government for the purchase of the 120mm Rifled Mortars, the two regiments of Multi Launched Rocket Systems (MLRS), and the Vera-E Passive Air Defence Sensor that I had mentioned in my earlier writings, to name a few?

Why has the price tag being kept confidential; out of public hearing and is not even discussed in parliament. Does the price have any national security implication? Or is the government too afraid to expose the price tag, because someone will come out with figures that are far less than what the government has paid for?


Pembelian rifel 120mm dan lain-lain kelengkapan tentera melambung melebihi harga pasaran.

Blog ini bukan ditulis oleh sebarang tinta seperti sesetengah blogger sampai keputusan Mahkamah pun cuba 'di tak tahukan'.(Terima kasih kepada Perisik Rakyat atas kecekapannya memasukkan nombor, tarikh dan bilik bicara Mahkamah Rayuan kes berkenaan).

Mindnoevil hasil tinta bekas pegawai kanan tentera, Muhamad Arshad Raji.

Saya cadangkan Pemuda UMNO dan Pemuda PAS Kelantan melaporkan kes ini kepada SPRM secara bersama.

Jangan pula langkah melaksanakan satu obligasi sosial seperti yang dipersetujui oleh Tok Guru dalam kes Bazar ditukar menjadi penyelewengan pada hal tidak. Lihat kenyataan terima kasih para peniaga Arked Uda atas langkah yang diambil oleh Tok Guru. Tok Guru memayungi rakyatnya dengan belanja RM 23 juta dan bagi Pemuda UMNO Kelantan, itu adalah salah.

Adakah Pemuda UMNO tidak terasa malu bila para peniaga di Arked UDA berkeliaran bila Arked UDA akan dirobohkan? Tugas itu patut diambil oleh agensi Kerajaan Persekutuan seperti UDA. Kenapa tugas UDA menjaga kebajikan strategik peniaga di situ hendaklah dilepaskan pada Tok Guru? Kenapa tidak UDA sahaja membina satu bazar baru yang moden dan diberi percuma atau berharga murah kepada peniaga kecil di Kota Bharu? Kenapa UDA juga harus berlumba membina bangunan tinggi sehingga peniaga di bawah naungan mereka terpaksa mencari perlindungan di lain tempat?

Kenapa Pemuda UMNO Kelantan tidak cuba menjadi juara konstruktif dalam isu ini mendesak UDA membatalkan cadangan asal mereka tentang kompleks komersial kepada satu kompleks mampu milik para peniaga di Kota Bharu di tapak yang ada sekarang?

Atau mereka sekadar mahu cemarkan nama baik Tok Guru?

Jika itu agenda sebenar mereka, di mana Pemuda PAS, Negeri atau Pusat?


Mungkin Ketua Pemuda Pusat ada mengeluarkan apa-apa kenyataan menyangkal laporan polis Pemuda UMNO Kelantan namun media mungkin tidak menyiarkannya.

Sebaliknya, komen Ustaz Tantawi mengenai isu 'cah keting' ada disiarkan Utusan hari ini.

Memang wajar media pro UMNO menyiarkan isu-isu 'dalaman' PAS untuk tujuan politik mereka. Sesuai dengan matlamat dan agenda mereka dan selagi kita bersedia memberikan 'bekalan' untuk tujuan itu, mereka sangat bergembira.

Namun, oleh kerana ia telah disentuh oleh Ustaz Tantawi, saya ingin menyokong ulasan beliau.

Isu 'cah keting' adalah isu yang tidak boleh dipandang ringan. Ia boleh mencemarkan nama baik PAS yang selama ini dikenali sebagai parti yang berdisiplin dengan pemimpin dan ahli yang jujur.

Fenomena sedemikian perlu dikenalpasti dan program pendisiplinan perlu dilakukan dengan bijaksana dan tegas.

Islam sangat menekankan disisplin yang tinggi pada para pejuangnya dan mempunyai tatacara disiplin yang lengkap.

Jangan dibiarkan ia berlalu tanpa diuruskan tetapi langkahan disiplin perlu segera digerakkan.

Islam, dalam konteks governance, menekankan dua perkara : individu yang terbina atas dasar taqwa dan mempunyai nilai-nilai persenaliti kukuh yang terbina secara dalaman. Kedua, sistem luaran yang boleh mencegah dan mengelakkan apa-apa ciri buruk yang disebutkan oleh Ustaz Tantawi.

Dalam konteks ini, sudah sampai masanya semua pemegang jawatan kerajaan terutama pemimpin dan petugas parti mengisytiharkan kekayaan dan harta mereka dari masa ke semasa kepada satu badan tertentu yang telus dan bebas.

Ia boleh mengelakkan sesiapa sahaja pemimpin yang jujur dan bersih dari apa jua tuduhan seperti tamak dan menyeleweng.

Pemuda PAS dan Pemuda UMNO rasa saya, boleh bersetuju jika mereka memang sehati sejiwa menentang keburukan dari kesempatan pangkat dan kedudukan.


Pemuda UMNO buat laporan polis

KOTA BHARU: Pemuda Umno Kelantan hari ini membuat laporan polis berhubung satu kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis yang didakwa berbaur hasutan dan boleh mewujudkan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Laporan itu dibuat oleh ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian, di Balai Polis Kota Bharu pada 10.30 pagi tadi dengan diiringi kirakira 100 anggota pergerakan itu yang membawa beberapa sepanduk mengecam tindakan Pas bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Anuar berkata kenyataan Nik Aziz pada 21 Jun lepas menyamakan perjuangan Umno seperti ajaran sesat Ayah Pin dan juga menyamakan Umno sebagai komunis dan menolak Islam, adalah tidak berasas.

"Pemuda melihat tuduhan ini sebagai mengetepikan sejarah dan perlembagaan negara kerana sekiranya disamakan Umno dengan Chin Peng, kita mahu bertanya Nik Aziz, berapa ramaikah yang telah dibunuh dan diperkosa oleh Umno sejak penubuhannya.

"Sekiranya kita Umno disamakan dengan ajaran sesat Ayah Pin berapa ramaikah yang telah disesatkan oleh Umno, dan sekiranya kita disamakan dengan parti sosialis yang tidak percayakan agama dan kewujudan ketuhanan, kami yakin Umnolah yang banyak membawa perubahan kepada orang Melayu dan Islam dalam negara ini," katanya.

Anuar berkata kenyataan Nik Aziz itu telah mencetuskan perasaan marah, benci dan kecewa dalam kalangan ahli Umno dan rakyat, dan beliau perlu dikenakan tindakan. BERNAMA


Ulasan GB

Ada satu hal di dalam tulisan Husam yang menarik perhatian GB.

"Atau mereka (Pemuda UMNO Kelantan - GB) sekadar mahu cemarkan nama baik Tok Guru?

Jika itu agenda sebenar mereka, di mana Pemuda PAS, Negeri atau Pusat?


Mungkin Ketua Pemuda Pusat ada mengeluarkan apa-apa kenyataan menyangkal laporan polis Pemuda UMNO Kelantan namun media mungkin tidak menyiarkannya.

Sebaliknya, komen Ustaz Tantawi mengenai isu 'cah keting' ada disiarkan Utusan hari ini."

Benar, mengapa hal "cah keting" pula yang diperbesarkan oleh Pemuda PAS Pusat sedang PAS sedang diserang dengan isu Bazaar oleh Pemuda UMNO?

Apakah Pemuda PAS sehati sejiwa dengan Pemuda UMNO? Sama-sama menghentam PAS Kelantan? Perenggan akhir Husam (Read between the lines.) sinis bertanya kepada Ust Nasaruddin Hassan Tantawi.


Amerika Mahu Sekat Ekonomi Malaysia (?)

IAmerika Syarikat mungkin mengambil tindakan tegas, termasuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Malaysia jika kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) masih gagal menangani dua isu yang dianggap serius oleh masyarakat antarabangsa, menurut sumber-sumber diplomatik.

Pentadbiran Presiden Barrack Obama menuntut penjelasan penuh dari kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak bersabit kecurian dua enjin pesawat F-5E dan siri serangan ke atas gereja serta rumah ibadat lain bersabit penggunaan kalimah Allah sejak dua minggu lalu.

Menurut sumber Wisma Putra, sekiranya Najib memandang ringan terhadap kedua-dua isu berkenaan, Washington mungkin mengenakan sekatan ekonomi. Amerika Syarikat adalah rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara bernilai lebih dari AS43.7 bilion.

Sebarang sekatan ekonomi akan memberi kesan buruk kepada Negara yang sudah pun ditimpa defisit belanjawan yang begitu besar. Sumber-sumber Wisma Putra memberitahu bahawa nota diplomatik yang dihantar oleh Washington mencerminkan keseriusan
pentadbiran Obama yang sebelum ini hanya membuat bantahan menerusi kenyataan.

“Selepas ini, sekiranya kerajaan masih berdolak dalik dan tidak serius menangani masalah ini, tekanan lebih hebat mungkin dikenakan termasuk sekatan ekonomi,” kata sumber berkenaan.

Dalam SMSnya kepada Suara Keadilan, Pegawai Media Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Tina Malone Washington memandang berat laporan media mengenai kehilangan ejin pesawat buatan negara itu.

“Kerajaan Amerika Syarikat memandang berat laporan mengenai kecurian enjin pesawat F-5E yang dibekalkan kepada Malaysia. Kerajaan Amerika Syarikat telah meminta kerajaan Malaysi membentangkan laporan komprehensif berkaitan penyiasatan mengenai perkara ini.

Sumber Wisma Putra turut mengesahkan Amerika Syarikat juga menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Malaysia bersabit serangan bom petrol dan vandalisme ke atas beberapa buah gereja Kristian.

Serangan itu bertujuan mencetuskan provokasi dan ketegangan agama setelah Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah penerbitan Kristian menggunakan kalimah Allah dalam laporannya.

Kebimbangan Amerika Syarikat itu disuarakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Antarabangsa Amerika Mengenai Kebebasan Agama, Leonard Leo.

“Bagaimana cara pemimpin Malaysia menangani perkara ini akan menentukan masa depan politik dan ekonomi negara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan. -SK

Muktamad: Mahkamah Perintah Bayar Peneroka Felda RM11 Juta

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu membayar RM11 juta sebagai ganti rugi kepada 354 peneroka Felda berhubung bayaran bagi buah kelapa sawit selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Felda hari ini.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Gopal Sri Ram sebulat suara menolak permohonan Felda untuk kebenaran mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan Felda membayar ganti rugi terhadap semua peneroka.

Zaki berkata tidak wujud persoalan undang-undang yang memerlukan mahkamah tertinggi itu membuat keputusan.

Mahkamah turut memerintahkan Felda membayar kos RM30,000.

Felda mengemukakan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan agensi itu membayar saman berjumlah RM7.8 juta termasuk faedah kepada peneroka selepas peguam Felda gagal hadir di mahkamah untuk perbicaraan kes itu.

Amaun berkenaan telah meningkat kepada RM11 juta dengan faedah terkumpul dan setiap peneroka dijangka menerima pampasan RM30,000.

Peneroka Felda Kemahang 3 di Tanah Merah, Kelantan mengemukakan saman itu terhadap Felda pada 2002 dengan setiap seorang menuntut antara RM20,000 hingga RM30,000 sebagai ganti rugi umum selepas mendakwa agensi itu telah menurunkan mutu buah kelapa sawit mereka dari 1996 hingga 2002 mengakibatkan mereka rugi.

Mereka menamakan Felda sebagai defendan pertama, Pengurus Rancangan Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Ibrahim Ismail defendan kedua (Ibrahim telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd selaku defendan ketiga.

Di dalam writ saman itu, mereka mendakwa berlaku penipuan dalam urusan jual beli hasil atau buah sawit yang dijual.

Semasa prosiding hari ini kira-kira 200 peneroka hadir dan memenuhi perkarangan mahkamah Istana Keadilan.

Semua peneroka diwakili sekumpulan peguam diketuai Yusfarizal Yusof manakala Felda diwakili peguam Datuk Cecil Abraham dan Sunil Abraham

Berita Setahun Lalu


Peneroka Felda Diugut Diusir Jika Dedah Konspirasi - Peguam Bela

PUTRAJAYA, 8 Jan 2009(Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu seramai 354 peneroka Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan, telah diugut akan diusir dari tanah penempatan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) jika mereka cuba mendedahkan konspirasi penipuan urus niaga jualan kelapa sawit.

Peguam Yusfarizal Yusof memberitahu mahkamah, agensi itu bukan sahaja enggan mengambil tindakan terhadap laporan peneroka berhubung penipuan itu, malah mereka diancam akan dikenakan tindakan disiplin dan diugut diusir keluar dari rancangan skim kelompok Felda jika membuat sebarang tindakan yang boleh merosakkan nama agensi terbabit.

Beliau yang mewakili 354 peneroka itu berhujah demikian ketika membacakan nota keterangan peneroka Felda Othman Hamat, ketika dia dipanggil sebagai saksi plaintif dalam perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kota Baharu awal tahun lalu.

"Kami (peneroka) telah berjumpa dengan Naib Pengerusi dan Pengerusi Biro Ladang (tentang penipuan dan konspirasi) tapi tiada apa-apa tindakan diambil oleh pengurusan Felda. Oleh itu satu laporan polis dibuat pada 13 Okt 2001. Selanjutnya kami membuat memorandum kepada Pengerusi Felda dan menghantar secara serahan tangan ke pejabat Felda di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Kami diugut untuk diusir dari rancangan jika ambil apa-apa tindakan yang merosakkan nama FELDA.

"Tidak tahan dengan penipuan itu, kami lantik Tetuan Wan Rohimi dan Asmadi dan pada 22 Sept 2002 tindakan difailkan di mahkamah. Defendan enggan berunding dan bertindak lebih ganas dengan mengancam peneroka akan diambil tindakan disiplin," kata Yusfarizal ketika memetik nota keterangan tersebut.

Dalam saman yang difailkan itu, Felda dinamakan sebagai defendan pertama; Pengurus Rancangan Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Ibrahim Ismail sebagai defendan kedua dan syarikat pengilang minyak kelapa sawit Felda Palm Industries Sdn Bhd defendan ketiga.

Seterusnya Yusfarizal memberitahu pada 1 Nov 2002, satu perjumpaan telah diadakan di Pusat Kegiatan Ummah Felda, Kemahang yang dihadiri Pengerusi Felda Kemahang Tiga dan Datuk Mustapa Mohamed, ketika itu Ahli Parlimen kawasan Jeli, serta peneroka-peneroka yang kemudian menerima satu lagi ugutan dibuang dari rancangan skim kelompok FELDA jika masih meneruskan kes itu di mahkamah.

Yusfarizal berkata demikian ketika membalas hujahan peguam Datuk Cecil Abraham, mewakili defendan, yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baharu yang menolak permohonan Felda untuk mengenepikan penghakiman dan perintah mahkamah itu supaya membayar RM7.8 juta sebagai ganti rugi kepada peneroka terbabit.

Pada 13 Jan 2008, Mahkamah Tinggi memerintahkan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada peneroka terlibat kerana menipu dalam urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar ganti rugi am sebanyak RM7.1 juta dan ganti rugi teladan sebanyak 10 peratus daripada jumlah itu iaitu RM710,000 serta kos, berkuat kuasa serta-merta.

Mahkamah membuat keputusan itu pada hari pertama perbicaraan tuntutan saman peneroka Felda Kemahang Tiga itu yang mendakwa kedua-dua defendan menipu membabitkan urusniaga penjualan hasil kelapa sawit bermula tahun 1997 sehingga tahun 2002.

Tiga saksi dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang berlangsung tanpa kehadiran peguam pihak defendan.

Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati berdasarkan keterangan-keterangan semasa perbicaraan, memang wujud bukti konspirasi antara pengurus Felda dan kilang berkenaan untuk menipu gred harga kelapa sawit.

Mahkamah juga berpuas hati bahawa kadar gred harga kelapa sawit yang diberikan oleh pihak berkenaan kepada peneroka, tidak munasabah.

Ekoran keputusan itu, defendan memfailkan permohonan untuk mengenepikan keputusan tersebut, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi, dan kini mereka merayu terhadap keputusan itu ke Mahkamah Rayuan.

Cecil hari ini berhujah mahkamah patut menimbangkan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi kerana keputusan yang dibuat tanpa kehadiran peguam defendan boleh membawa ketidakadilan dalam penghakiman sebenar kes ini.

Beliau juga mempersoalkan penemuan fakta yang dibuat oleh hakim bicara tentang wujudnya konspirasi antara Felda dan defendan kedua atas alasan defendan kedua, Ibrahim Ismail, orang yang sebenarnya melakukan penipuan harga dan gred kelapa sawit itu, telah meninggal dunia.

Yusfarizal dalam hujahan balasnya berkata adalah tidak adil sekiranya kes itu diulang bicara ke Mahkamah Tinggi kerana kesemua peneroka telah menunggu selama enam tahun untuk mendapatkan keadilan, dan dalam tempoh itu seramai 53 peneroka telah pun meninggal dunia sebelum sempat menerima wang ganti rugi.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk James Foong menangguhkan keputusan rayuan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian untuk membolehkan mahkamah mengkaji semua hujahan dan dokumen yang dikemukakan dalam prosiding hari ini.

Seramai kira-kira 400 peneroka hadir di mahkamah hari ini, kesemua mereka diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud, Asmadi Abu Bakar, Yusfarizal dan Muhd Azmi Talib.


Tim Pesuruhjaya PAS WP Parah Dilanggar Kereta

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Wilayah Persekutuan, Ust Mohd Ali Jamil (gambar - berbaju putih) kini berada di Wad 4G, Tingkat 4 Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Cheras pada hari sabtu, 16 Januari lalu.

Dalam kejadian berkenaan beliau dilaporkan telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dari arah belakang dan menyebabkan beliau yang memandu motosikal berseorangan ketika itu terdorong kehadapan melanggar sebuah lagi kereta lain.

Akibat dari kemalangan itu beliau telah mengalami kecedaraan parah dengan tangan kiri serta kaki kirinya patah. Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Cheras turut kehilangan 5 batang gigi akibat kemalangan berkenaan.

Ust. Ali merupakan aktivis sepenuh masa PAS yang aktif sejak zaman mudanya dan pernah terlibat dalam organisasi Dewan Pemuda dan Dewan Ulama’ Negeri. Beliau juga banyak memberikan sumbangan dengan mengajar serta memberikan kuliah dimasjid dan surau sekitar Lembah Klang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad yang ditemui memaklumkan bahawa beliau memerlukan sejumlah RM 3,000 bagi kos rawatan penyambungan besi bagi tangan dan kaki beliau yang patah.

Bagi ahli-ahli PAS serta mereka yang ingin membantu bolehlah menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam -14023010000110 atas nama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan atau menghubungi Kamaruzaman-019-2828536 -hermanshamsudden

Bukankah Polis Sendiri Yang Menjejaskan Imejnya?

Dtuk Wira Abu Seman, Timbalan Menteri Dalam Negeri (gambar) menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan terdapat penulis laman blog menulis artikel bagi memburuk-burukkan imej anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk publisiti murahan.

"Ada kemungkinan blogger yang buat cerita-cerita spekulasi itu semata-mata untuk publisiti," katanya kepada pemberita selepas melawat pasar Chowrasta di sini hari ini, Bernama dipetik.

Tetapi tindakan seperti itu hanya akan mencetuskan suasana tidak aman dan menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan masyarakat, katanya ketika mengulas kenyataan sesetengah pihak kononnya PDRM gagal mengawal situasi hingga berlaku pelbagai insiden tidak diingini.

Rakyat ingin memberitahu kepada Datuk Wira bahawa apa sebenarnya berlaku ialah polis-polsi sendiri yang telah menjatuhkan imej polis.

Kita mempenyai pelbagai bukti yang kalau hendak di dedahkan di dalam blog, maka satu-satu entri blog itu akan panjang berjela-jela dengan gambar, dengan klip video dengan ulasan dengan komen-komen pengunjung.

Polis perlu perbaiki mutu perkhidmatan, polis perlu kembali kepada professionnya yang sebenar supaya berkhidmat dengan adil, dengan bersih tanpa pilih kasih.

Apa yang masyarakat lihat kini polis hanya menumpukan perhatian untuk "menekan" dan "menindas" golongan yang tidak sehaluan dengan kerajaan pusat.

Mereka yang dari Pakatan Rakyat apabila melakukan demonstrasi walau sebagaimana kecil dan aman sekalipun akan diberikan layanan buruk oleh polis dengan sekatan jalanrayanya, dengan water canonnya, dengan anjing pengesannya, dengan semburan gas pemedih matanya, air asidnya, provokasinya, pukulan cotanya dan bermacam-macam lagi.

Sedangkan jika ianya ada kaitan dengan UMNO BN, polis akan berdiam diri sekalipun demontrasi itu boleh menimbulkan ketegangan agama dan kaum seperti perarakan kepala lembu dan demonstrasi kalimah Allah di Masjid Negara baru-baru ini.

Asalkan ada perhimpunan yang dilakukan oleh pihak yang tidak ada kepentingan kerajaan, maka akan berlaku hal-hal yang melibatkan kelibat polis melakukan kekasaran yang tidak perlu dan tidak wajar sepertimana kes penyerahan memorandum mahasiswa kepada Menteri Pendididikan Tinggi, Datuk Khaled Nordin beberapa hari lalu.

Di Selangor keadaan lebih buruk di mana Ketua Polis Selangor sendiri, Datuk Khalid Abu Bakar mengambil sikap berkonfrontasi dengan kerajaan negeri semata-mata kerana negeri tersebut berada di bawah Pakatan Rakyat.

Semua rakyat tahu bahawa salah satu dari enam KRA (Key Result Areas), yang berkait rapat dengan KPI (Key Performance Index) yang perlu diambil berat oleh KDN ialah persoalan "mencegah jenayah".

Itu yang sepatutnya diberikan perhatian oleh anggota PDRM untuk menggilapkan semula imej polis. Bukan menuduh yang bukan-bukan kepada blogger. Blogger tak perlu publisiti murahan dengan mendedahkan kelemahan polis kerana itu bukan matlamat blogging.

Pendedahan kelemahan polis adalah rintihan rakyat marhain supaya setiap satu kelemahan itu ditangani dengan telus, pantas dan effisyen tanpa mengambil kira kepentingan politik atau kumpulan tertentu.

PDRM perlu diletakkan di statusnya yang lebih murni. Dan sepastinya jika sifat PDRM lebih terbuka dan berlapang dada menerima kritikan dan bersedia melakukan perubahan, matlamat itu boleh dicapai dan ianya tidak perlu lagi tersenarai di bawah NKRA yang menjadi harapan Perdana Menteri sendiri.

PAS Perak Perlu Perkukuhkan Parti, Bukan Berspekulasi

Spekulasi lagi. Entah kali ke berapa. Mengharapkan pilihanraya berlaku di Perak dari sehari ke sehari, entah jadi entahkan tidak.

Kita merasakan bahawa PAS Perak sudah tidak perlu untuk berspekulasi bilakah pilihanraya akan berlaku di negeri itu kerana sejarah UMNO BN tidak pernah mahu melepaskan sesatu yang telah dipegangnya. Ia tamsil seekor kucing yang telah dapat membaham ikan di mulutnya... dibantai dan dikejar ke manapun kucing itu tetap tidak akan melepaskan ikan yang sudah ngap di mulutnya.

Oleh yang demikian, apa yang perlu dilakukan?

Itu, pengumuman Suruhanjaya Pilihanraya menyatakan semalam 4.39 juta pengundi yang belum mendaftar sebagai pemilih. Apa motifnya SPR mengumumkan demikian bukan soalnya untuk kita perdebatkan lagi. Soalnya, apakah usaha PAS Perak bagi mempastikan pengundi-pengundi di kawasan masing-masing telah didaftarkan sebagai pemilih.

Ketua Penerangan PAS pula keluar dengan kenyataan menawarkan satu kerjasama serius digerakkan antara SPR dan diperingkat akar umbi PAS bagi memberikan kefahaman kepada rakyat tentang pentingnya mereka melibatkan diri serta besarnya nilai undi mereka dalam menentukan hala tuju negara. Begitu pulak kisahnya, sedangkan SPR ada matlamat lain, yang tak boleh didedahkan. PAS Perak pula nak hulurkan tangannya kepada tangan si perompak negerinya untuk bekerjasama mendaftarkan pengundi.

Hentikan kerja-kerja menabur benih di angkasa, ia tidak ada faedahnya. Pergi segera ketuk pintu rumah-rumah rakyat seluruh Perak sekrang juga. lakukan culaan. Daftarkan mereka sebagai pemilih, bawa sekali borang keahlian PAS. Panggil dan jemput Presiden, Timbalan Presiden dan sekalian pimpinan tertinggi untuk gerak-gempur seluruh Perak dulu. Kemudian baru cerita bab pilihanraya semula. Bukan berspekulasi seperti orang sedang bermimpi.


Zambry jumpa Najib bincang bubar DUN?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Beberapa perkembangan terbaru di negeri Perak memberi keyakinan akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) itu dalam sedikit masa lagi.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu beberapa petanda menuju ke arah itu sedang berlaku.

Ianya termasuk pertemuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Arab Saudi baru-baru ini sehingga Zambry didakwa sanggup meninggalkan Persidangan Ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) yang di pengerusikan oleh Raja Muda Perak.

"Datuk Seri Zambry yang sanggup tidak hadir ke Persidangan Ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) yang di pengerusikan oleh Raja Muda Perak baru-baru ini di lihat ada perkara lebih penting yang akan di bincangkan dengan Datuk Seri Najib di Arab Saudi," kata Mohd Nur Amin selaku pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Perak.

Selain itu menguatkan lagi keyakinan mereka akan berlakunya pilihanraya adalah maklumat yang mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengadap Seri Paduka Sultan Perak dalam satu majlis awal November lalu.

Sehubungan itu, pemuda PAS Perak mengarahkan semua jentera Pemuda PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya supaya bersedia dengan pembubaran DUN itu.

Awal Februari ini, kerajaan Perak diteraju Zambry akan mencapai usia setahun pentadbirannya.



Gemencheh : Rashidi Hadapi 4 Tuduhan (updated)

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana tuduhan membunuh ayah, adik, datuk dan neneknya pada 5 Jan lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Rasidi Ismail, 32, yang beralamat No. 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Tampin didakwa membunuh adik perempuannya Siti Khadijah, 22, di alamat No. 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh pada 5 Jan antara pukul 7 hingga 11 pagi.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan kedua, ketiga dan keempat iaitu membunuh ayahnya, Ismail Awang, 76, neneknya, Sufiah Katas, 80, dan datuknya, Atan Daud, 87, di rumah tidak bernombor Kampung Batang Rokan, Gemencheh pada tarikh dan waktu yang sama.

Rasidi kelihatan tenang dan mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh.

Sebelum itu, tertuduh yang memakai baju dan seluar panjang lokap polis berwarna oren serta bergari kedua-dua belah tangannya tiba di mahkamah pada pukul 8.45 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis.

Emak tertuduh, Saharah Atan, 59, serta seorang anak saudara lelakinya hadir di mahkamah.

Sementara itu, ketika dibawa keluar dari mahkamah dan semasa di dalam kereta polis, Saharah dengan rasa hiba menghampiri Rasidi sambil mengusap pipi anaknya dan Rasidi sempat berkata: "Datang dengan siapa? Tidak mengapa..... 19 Februari di sebut di Mahkamah Tampin."

Majistret Siti Nur Shafrida Hashim menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud memaklumkan pihak pendakwaan masih menunggu laporan kimia.

Mahkamah juga menetapkan bahawa jaminan tidak akan diberikan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam pada hari ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. -BERNAMA foto: BH

Berita Terdahulu

Kenapa Mahfuz Sibuk Sangat Serang Kelantan?

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta kerajaan Kelantan memberikan penjelasan terperinci berhubung tindakannya membeli Bazar Tok Guru bernilai RM23 juta daripada Sensatimur Sdn Bhd ekoran 'masalah teknikal'.

"Kita harap kerajaan negeri akan dapat beri penjelasan kepada rakyat Kelantan secara terperinci bagi mengelak pelbagai spekulasi dan pentafsiran," katanya.

Mahfuz diminta mengulas tindakan kerajaan negeri membeli tingkat bawah Bazar Tok Guru bernilai RM23 juta yang disifatkan sesetengah pihak sebagai tindakan menyelamatkan projek Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Pada 16 Januari lalu, Nik Abdul Aziz dilaporkan mengesahkan pembelian tersebut - yang sedang dibina - daripada Sensatimur, yang menurutnya untuk menjaga kepentingan peniaga.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mahfuz berkata, jika perlu, maklumat keputusan mesyuarat exco negeri Rabu lalu yang dikatakan dibocorkan kepada seorang penulis blog, dikelaskan semula sebagai tidak tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Saya tidak lihat ia melibatkan unsur-unsur yang mengancam keselamatan. Secara prinsipnya, OSA (dibuat) ini untuk melindungi keselamatan negara," katanya yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Maklumat pembelian yang diputuskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri Rabu lalu didedahkan oleh penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz.

Pembocoran tersebut dipandang serius oleh exco kerajaan tempatan Datuk Takiyuddin Hassan yang meminta Nik Aziz melakukan siasatan kerana keputusan mesyuarat exco tertakluk di bawah OSA.

Manakala Husam yang diketahui umum pernah rapat dengan Syed Azidi, turut menyokong siasatan tersebut bagi mengelak sebarang sangkaan atau perbuatan menuding jari, berhubung perkara itu.

Syed Azidi pula menafikan penglibatan Husam sebagai pemberi maklumat tersebut. -malaysiakini

Ulasan GB

Apa pasal Mahfuz Omar terlalu sibuk bab Kelantan? Bukan sekali tapi dah dua kali Naib Presiden PAS ini mengasak Mursyidul Am PAS, TG Nik Aziz untuk melakukan sesuatu permintaan yang karut. Kali pertama kes Arifahmi.

Sedangkan Mahfuz belum menjawab dan meminta maaf kepada ahli-ahli PAS mengenai ketidak hadirannya di persidangan Parlimen yang menyaksikan tewasnya Pakatan Rakyat di tangan Barisan Nasional di dalam pengundian belah-bagi.

Atau apakah sindrom tak sabar dengan publisiti setelah dihubungi wartawan masih menebal di kalangan pemimpin-pemimpin PAS ini?


Mengapa Mahfuz tak serang negeri-negeri lain yang juga mengunakan OSA bagi melindungi butiran maklumat-maklumat mesyuarat exco?

Biarlah kerajaan Kelantan, TG Nik Aziz dan para exconya memutuskan. Tak perlu ada pimpinan PAS lain lakukan serangan dengan terbuka yang memberikan impak negatif kepada jiwa dan minda TuanGuru yang telah diserang dari segala arah oleh musuh-musuh luar selimut dan dalam selimut.

Munaqasyah yang baru lalu nampaknya tidak berjaya mendisiplinkan Naib-naib Presiden Presiden PAS yang ada yang sesuka hati keluarkan kenyatan-kenyataan yang sifatnya boleh merugikan parti!

Tragedi Gemencheh, Bekas Pegawai Bank Didakwa Membunuh

Bekas pegawai bank, Rashidi Ismail, 34, pagi ini didakwa di Mahkamah Majistret Rembau dekat sini atas empat pertuduhan membunuh ahli keluarganya di Gemencheh, awal bulan ini.

Tiada pengakuan direkodkan.

Rashidi, suspek utama kes tersebut telah dibawa ke tempat kejadian pada 8 Januari lalu untuk membantu siasatan sebaik sahaja polis mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari daripada Mahkamah Majistret Gemas.

Perintah itu tlah dikeluarkan oleh Majistret Siti Nor Shafirda Hashim mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman dibuat oleh Ketua Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Asisten Supritendan Khairil Anuar Saidin.

“Walaupun hanya sekejap jumpa dia (Rashidi) tetapi ia cukup bernilai. Dia menyatakan rasa kesal dengan apa yang telah berlaku dan minta maaf,” kata ibu Rashidi, Zaharah Atan, 59 sambil mengalirkan air mata pada pertemuan singkat dengan anaknya sewaktu anaknya ditahan beberapa hari lalu.


Pembunuhan kejam empat sekeluarga menggemparkan negara

"SAYA buat kerana ia perintah daripada kuasa agung. Mereka adalah syaitan-syaitan yang menyamar."

Itulah kononnya kata-kata Rashidi Ismail, 34, kepada pihak polis mengenai tindakannya menyembelih bapanya, Ismail Awang, 76, serta mengerat jari adiknya, Siti Khadijah Ismail, 22, dalam kejadian bunuh melibatkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan, Selasa lalu.

Dalam tragedi yang disifatkan sangat kejam itu, bekas imam kampung yang juga datuk suspek, Atan Daud, 90, dan isterinya, Sufiah Keatas, 80, turut maut dibunuh.

Atan ditemui dengan tangan kiri terputus, Sufiah putus tangan kanan, Ismail hilang kepala manakala Siti Khadijah terbaring kaku dengan pisau tercacak di dada.

Suspek kemudian membawa kepala bapanya dari Tampin ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sejauh 120 kilometer sebelum ditanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

"Masih sukar untuk dilupakan. Setiap kali mahu lelapkan mata, pasti terbayang-bayang wajah orang-orang yang saya sayangi itu menemui ajal dalam keadaan yang menyedihkan," luah Siti Mariam Ismail, 19, orang pertama menemui empat mayat ahli keluarganya itu sekembalinya dari sekolah kira-kira pukul 3.30 petang.

Di lantai rumah ini, Mariam menemui mayat datuk, nenek dan bapanya yang terbujur kaku.

Menurut Mariam, kebiasaannya Ismail akan menjemputnya dengan motosikal di jalan besar. Namun, pada hari kejadian, kelibat bapanya tidak kelihatan dan dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumah.

"Sampai saja di rumah, saya panggil kakak, tapi dia tak jawab. Pelik juga sebab biasanya dia akan sambut saya pulang. Bila saya buka pintu, saya nampak kakak terbaring di lantai dengan pisau terpacak di dadanya.

"Saya berlari ke rumah datuk dan nenek yang terletak berdekatan. Malangnya, di sana saya menemui pula datuk, nenek dan ayah terbujur kaku di lantai rumah," katanya yang masih trauma dan murung akibat kejadian itu.

Kasih ibu

Bagi Zaharah Atan, 59, peristiwa itu adalah tragedi paling besar dalam hidupnya. Beliau yang kematian suami, ibu, bapa serta anak perempuan turut diuji apabila suspek utama, Rashidi juga merupakan anaknya.

"Semasa kejadian, saya keluar bekerja di kilang ayam tidak jauh dari sini. Lebih kurang pukul 4.50 petang, ada jiran datang ke kilang dan menjemput saya pulang.

"Bila saya tanya kenapa, dia kata sabarlah. Bila sampai di rumah, saya nampak orang ramai dan kereta polis.

"Saya ingat ada pokok tumbang menghempap rumah. Disebabkan saya tak dibenarkan masuk ke rumah, saya duduklah di kebun getah," cerita beliau.

ZAHARAH reda tragedi yang menimpa keluarganya.

Apabila Mariam datang, Zaharah bertanya kenapa tetapi Mariam hanya menggelengkan kepala. Mariam pula menjawab 'ada' bila ditanya di mana kakaknya, Siti Khadijah.

Zaharah bertanya lagi, balik sekolah tadi naik apa? Mariam hanya kata jalan kaki dan tidak tahu kenapa bapanya tidak datang menjemput seperti biasa.

"Saya mula rasa sesuatu yang buruk telah berlaku. Setengah jam selepas itu, baru saya dapat tahu, suami, anak, ibu dan bapanya mati dibunuh," beritahu Zaharah kepada Jurnal.

Pada awalnya, Zaharah tidak percaya apabila Rashidi dikaitkan sebagai suspek utama sementelah dia disifatkan sebagai anak yang baik.

"Dia anak saya yang terbaik dalam pelajaran. Tak pernah dia tinggi suara, membentak atau bertempik dengan orang tua. Dengan adik-beradik pun dia tak macam itu," kata Zaharah.

Digambarkan sebagai anak yang soleh, Rashidi yang juga bekas pegawai bank itu sentiasa tersenyum.

Tidak pernah menyusahkan ibu bapa, Rashidi yang mendapat pendidikan sekolah agama juga amat disenangi oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.

LOKASI pembunuhan empat mangsa di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan Selasa lalu.

"Kalau diikutkan perangai Rashidi yang saya kenal, dia bukan panas baran orangnya. Saya dapat rasakan ada sesuatu yang mendorong dia buat begitu.

"Begitupun, saya reda dengan apa yang telah terjadi. Kalau ditakdirkan anak saya itu bersalah dan dihukum gantung, saya terima.

"Kalau dia disahkan sakit jiwa pun, saya masih terima dia sebagai anak.

"Saya memang marah dan terkilan, tapi itu tidak akan buang perasaan sayang saya pada dia," tuturnya yang sempat mencium pipi Rashidi semasa anaknya itu dibawa ke lokasi pembunuhan. -Kosmo



Ulasan GB

Kisah menyayat hati ini telah diulas di sini dan di sini.

Aneh, walaupun yang meninggal dunia itu ibu saudara Rosmah, isteri PM, samada Najib atau Rosmag tidak ada mengeluarkan ucapan takziah apatah lagi menjenguk keluarga mereka di Gemencheh tanda simpati atau hubungan kekeluargaan. Jika tan nak mengaku keluarga, bukankah mereka yang meninggal itu rakyat 1Malaysia?

Bilakah Berakhirnya Isu Khalimah Allah?

Kenyataan terbaru kerajaan bukan sahaja gagal menyelesaikan polemik kalimah Allah, bahkan menambahkan lagi kekalutan isu ini.

Terkini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz mengumumkan bahawa masyarakat bukan Islam boleh terus menggunakan kalimah Allah di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Menteri Undang-Undang ini menjelaskan ini kerana tiada enakmen khusus yang menghalang penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negeri-negeri tersebut.

Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berlainan bagaimanapun berkata kerajaan tidak akan menarik balik rayuan menghalang penggunaan kalimah Allah.

Mengulas perkembangan ini, Ketua Parti Keadilan Rakyat Rembau, Badrul Hisham Shaharin tidak terkejut dengan kecelaruan Umno-BN mendepani masalah ini.

Beliau menjelaskan kelemahan pemerintah ini jelas menunjukkan bahawa politik, dan bukannya prinsip mahupun agama, yang melatari polemik ini.

“dalam isu Allah ini saya melihat bahawa ia boleh dibincangkan tapi kembalikan perbincangan itu kepada orang yang alim, mereka yang menguasai isu dan rakyat perlu diberikan panduan dalam isu ini”

Badrul yakin bahawa kejadian ini adalah salah satu strategi Umno untuk meraih sokongan masyarakat Melayu-Islam menjelang pilihanraya akan datang.

Badrul turut mengesyaki tujuan Menteri Undang-Undang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat Kristian di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan berkaitan dengan mengaut kembali keyakinan masyarakat bukan Islam yang terhakis dengan polemik ini.

“adakah Islam di Sabah dan Islam Sarawak berbeza, adakah Allah di Sabah dan Sarawak berbeza, Sabah Sarawak bukan Malaysia, bukan dibawah pemerintahan yang sama”

Umno, dalam pilihanraya umum 12 lalu, tumpas di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Perak, Kelantan dan Selangor, dan hanya berjaya membentuk kerajaan dengan ehsan rakyat Sabah dan Sarawak.

Badrul menambah taktik konfrontasi ini pernah digunakan pada tahun 1987, sewaktu Umno kehilangan sokongan Melayu, dan MCA kehilangan sokongan masyarakat Cina.

“ini semua lawak jenaka yang tak serius, yang menghuru-hara kan keadaan” katanya mengakhiri perbualan. -TVS



Kebakaran Di Brickfields Libatkan Bangunan Dalam Pembinaan Bersebelahan Gereja

SSatu kebakaran berlaku di tingkat 23 kompleks D. Tiara yang sedang dibina di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields malam tadi.

Kebakaran berlaku di kompleks itu yang menempatkan pejabat dan hotel pada 8 malam.

Bagaimanapun, pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran pada 9.15 malam.

Lalu lintas di sekitar mengalami kesesakan teruk ketika lima jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

Projek pembinaan itu itu sepatutnya setinggi 35 tingkat.

Seorang pekerja pembinaan, Al-Amin, 27, dari Bangladesh berkata, dia dan pekerja lain sedang mengimpal di tingkat atas apabila mereka tiba-tiba melihat api.

Para pekerja berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

Kebakaran itu boleh dilihat sejauh dua kilometer dan pertama dilaporkan oleh orang ramai menerusi rangkaian media sosial.

Laporan dari blog kerengga menyatakan bangunan yang masih dalam pembinaan itu terletak bersebelahan sebuah gereja dan juga tidak jauh dari bangunan Mahkamah Syariah.

Akhi Mustafa, empunya blog kerengga, yang tinggal di Brickfields melaporkan sehingga pukul 10.20pm api masih kelihatan dari rumahnya.