2 Feb 2010

Laungan "Reformasi" Bergema Di Bangunan Mahkamah

Laungan reformasi kedua bergema di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini apabila perbicaraan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula.

Sekitar jam 2.30 petang ini, Anwar disambut oleh lebih 100 wartawan dan antarabangsa di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini.

Dianggarkan lebih 1,000 rakyat pelbagai bangsa dan lapisan usia mula membanjiri mahkamah sehingga polis mula membuat kawalan di pintu masuk kandang perbicaraan.

Beberapa pemimpin utama Pakaran Rakyat seperti Ahli Parlimen Kuala Krai yang juga Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Ipoh Timur yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali antara yang terus hadir memberikan sokongan kepada Anwar.

Sebelum itu, dilaporkan berlaku suatu kekasaran kecil oleh pihak polis kepada beberapa orang wartawan asing yang mahu membuat liputan langsung ke atas perbicaraan Anwar di dalam kompleks mahkamah.

Manakala semua jurugambar turut diarahkan tidak mengambil gambar Anwar di dalam lobi mahkamah kononnya demi menjaga keharmonian mahkamah.

Pagi tadi, Anwar yang diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anak-anak tiba di perkarangan mahkamah dengan disambut ribuan orang termasuk para pemimpin PKR, PAS dan DAP.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut tiba kira-kira jam 9.15 pagi sejurus selepas Anwar masuk ke dalam mahkamah.

Sejak jam 9 pagi tadi lagi, lebih dua ribu rakyat bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat berhimpun di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi sokongan moral kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka yang hadir kelihatan mengangkat beberapa sepanduk bertulis Perhimpunan Bantah Fitnah ke-2, Bebas Anwar dan Rakyat Bersatu Tolak Fitnah Terhadap Anwar, sambil melaungkan reformasi’ iaitu suatu slogan keramat seperti era Reformasi 1998 lalu.

Mengisi pentas bantah, Bendahari PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli menyeru rakyat yang hadir supaya bersedia menempuhi gelombang reformasi kedua.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai mengulangi ucapan yang pernah ditegaskan oleh bekas Presiden PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, "bukan kerana dia Anwar, sesiapa pun yang difitnah, Islam menyeru kita menentang kezaliman".

Sebelum itu, Ketua Strategik PKR, Tian Chua menganggap tuduhan liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dialami Anwar mengulangi drama fitnah pada tahun 1997 lalu.

"Kita harap rakyat sekali kagi akan bangkit sama seperti 'drama 1997' lalu," jelasnya

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu tidak menolak kemungkinan bahawa perbicaraan kes Anwar yang bermula pada hari ini akan mencetuskan kesedaran rakyat dan reformasi kali yang kedua.

"Kita telah menyaksikan suatu kes dakwaan fitnah ke atas Anwar yang sudah tentu akan membangkitkan gelombang kesedaran rakyat kedua," jelasnya di lobi mahkamah.

Sejam kemudian, kelihatan Anwar keluar dari kandang perbicaraan lalu menuju ke anjung bantahan.

"Saya masih mempertikai motif polis memanggil isteri saya untuk memberi keterangan beberapa hari lalu, sedangkan dakwaan sudah berlangsung hari ini," kata Anwar.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat kerana sudi menyertai 'Gelombang Reformasi ke-2' bersama-samanya, sebagaimana waktu beliau disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan liwat yang berunsur fitnah.

Jelasnya lagi, perbicaraan kesnya akan bersambung pada jam 2.30 petang ini.

Mendengar gelombang 'reformasi' tali menali oleh satu kelompok kepada satu kelompok yang lain, mengingatkan Harakahdaily pada peristiwa reformasi sedekad yang lalu. -- harakahdaily



Stail Pendakwa : Hancurkan Integriti Pembela Sebelum Prosiding Bermula

Pada hari ini, sekalipun prosiding terhadap kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim belum bermula tetapi pihak pendakwa yang diwakili oleh Peguamcara negara Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata pihaknya mempunyai bukti yang kukuh dalam bentuk spesimen air mani bagi mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim memang meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Pihak pendakwa akan membuktikan kes ini melalui laporan kimia yang menunjukkan air mani diperolehi daripada mangsa,” kata Mohd Yusof yang mengetuai pasukan pendakwa raya dalam perbicaraan yang secara rasmi bermula esok.

“Terdapat spesimen yang dikeluarkan dari dubur mangsa. Ini akan membuktikan tembusan memang berlaku,” katanya.

Demikian bagaimana pihak pendakwa dilihat cuba menghancurkan kredibiliti pembela sejak dari hari pertama kes itu berada di mahkamah.

Cara yang sama dapat dilihat semasa Inkues Kematian Teoh Beng Hock dimana di hari pertama pendakwa memberitahu (walaupun tidak ditanya) satu sampel DNA milik lelaki yang tidak dikenali ditemui di bahagian belakang pakaian dan tali pinggang mendiang.

Identiti lelaki itu belum dikenal pasti walaupun contoh sampel DNA daripada 102 individu terbabit telahpun diambil oleh Jabatan Kimia, kata peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik membantu mengendalikan inkues bagi pihak kerajaan.

Tambahnya, lima sampel telah diambil daripada bahagian belakang blazer yang dipakai oleh Teoh pada hari kejadian dan hasil laporan menunjukkan terdapat dua DNA lelaki pada bahan bukti itu.

Difahami bahawa ia pada awalnya hendak mensabitkan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah dengan dikemukakan kononnya ada insiden pergaduhan dalam tandas.

Demikianlah kisahnya. Modus operandi semacam dapat dibaca. Perencanaan hampir serupa. Agenda berjalan seperti biasa.

Munawar : Kenapa Institusi Kehakiman Malaysia Menggeletar Untuk Dengar Permohonan Saya Untuk Keadilan?

Pengalaman pahit getir saya di bawah sistem kehakiman Malaysia”

Oleh Munawar A Anees, Wall Street Journal

ARIZONA: Hampir 12 tahun lalu, saya terdampar di hospital tempatan sebagai seorang tahanan yang yakin berpihak kepada yang benar.

Kehilangan kebebasan yang saya alami hanyalah kerana hubungan profesional dan peribadi saya dengan Anwar Ibrahim, yang pada ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia.

Kami difitnah dalam satu kes yang direka cipta bahawa kami melakukan perbuatan liwat secara sukarela.

Pemenjaraan politik sebegini, apabila didorong oleh motif yang jahat, membawa kesan sengsara ekoran dinafikan hak-hak seorang mangsa. Ia bertindak seperti pedang dua mata. Ketika bebebasan seseorang direntap oleh penzalim maka ia membuat seseorang itu sedar bahawa dia berada dalam keadaan lemas dan gelap gelita akibat di penjara di bawah tanah.

Maka kesedihan mula menyelubungi diri apabila seseorang itu sedar bahawa kedua-dua badan dan juga pemikiran menjadi mangsa kepada tindakan kezaliman.

Itulah yang membezakan pemenjaraan ekoran dari perbuatan jenayah yang sebenar dengan perbuatan mereka yang mendakwa dan menganiaya orang-orang lain yang tidak bersalah. Kesengsaraan yang dialami tidak pernah padam.

Tahanan ke atas saya oleh Polis Cawangan Khas Malaysia mengajar saya bagaimana kita dapat rasai derita ekoran dipaksa berpisah daripada isteri dan anak-anak.

Bagaimana saya dapat rasai apabila diperiksa dan dirampas, dilarang membuat panggilan telefon, digari, ditutup mata, dibogelkan, dibawa dalam sangkar binatang, dicukur botak, disoal siasat tanpa henti, dimalukan, dimasukkan dadah, dilarang dari tidur, dan diseksa secara fizikal.

Saya dapat rasai bagaimana diugut, digertak, dipermainkan oleh peguam-peguam polis, diseksa untuk membuat pengakuan palsu, terpaksa dimasukkan ke dalam hospital kerana sakit jantung akibat didera, dan dilayan sebagai pesakit mental dengan tanda-tanda simdrom Stockholm.

Cukup untuk menyambung hidup dengan diet berupa beras hancur dan ayam bersama 12 kali ambil ubat-ubatan dalam sehari, menghabiskan masa hampir 126 hari digari 24 jam pada katil saya, di bawah perhatian warden-warden penjara.

Insiden-insiden yang begitu tragis ini telah menghancurkan saya dan keluarga saya. Mala petaka yang menimpa dari segi kewangan, psikologi, kesan sosial masih terngiang-ngiang ditelinga walaupun setelah satu dekad peristiwa dahsyat itu berlaku.

Kesengsaraan yang saya dan keluarga saya alami sejak 10 tahun lalu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Meskipun begitu, kenyakinan kami terhadap kejayaan kepada keadilan dan kebenaran yang hakiki sedikit pun tidak luntur.

Untuk 12 tahun yang lalu, saya tidak meminta apa-apa pun kecuali keadilan. Saya telah berkali-kali menghubungi sistem kehakiman di Malaysia – Mahkamah Tinggi, Mahkamah-Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan – dengan harapan keadilan akhirnya diberi kepada saya.

Tetapi malangnya, permintaan terakhir saya untuk semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan telah ditolak. Kenapa perlu sistem kehakiman menggeletar mengenai prospek mendengar permohonan saya untuk keadilan? Kenapa saya dinafikan perbicaraan di mahkamah?

Saya tidak bersalah. Saya tidak bersalah dalam apa jua dakwaan yang direka-reka terhadap saya. Saya tidak melakukan sebarang jenayah apabila diseksa dan pemenjaraan yang tidak adil.

Saya mahu sistem kehakiman Malaysia bangkit bagi memahami bahawa ketidakadilan yang melampau telah dilakukan terhadap saya.

Saya mahu mereka sedar ketidakadilan akan berterusan selagi mereka terus menafikan perbicaraan yang adil di mahkamah terhadap saya.

Perasaan tidak bersalah membuat saya tekun dan tabah untuk terus menuntut keadilan, kerana ia merupakan hak asasi manusia paling asas yang termaktub dalam Perlembangan Malaysia.

Sistem kehakiman di Malaysia mesti bangkit bagi menyahut seruan keadilan dan menunaikan tugas-tugas mereka, tanpa melengah-lengahkan masa lagi.


* Munawar Anees kini ialah seorang penulis berpangkalan di Tucson, Arizona, Amerika Syarikat

Prosiding Tak Dibenar Tangguh Tetapi Rayuan Semak semula Dapatkan Bukti Ditangguh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan penangguhan berhubung kes liwatnya.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang mendengar hujah kedua-dua pihak berkata tiada sebab bagi penangguhan lanjut. Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan perbicaraan sehingga 2.30 petang esok.

Keputusan itu bagi membolehkan peguam Anwar bertemu dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alaudin Mohd Sherif bagi menetapkan tarikh pendengaran permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan.

Permohonan semakan itu adalah untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar mendapatkan dokumen dan material penting termasuk sampel DNA Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi persediaan pembelaan kes liwat itu.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Peguam Sankara Nair berkata, permohonan tersebut telah difailkan di Mahkamah Persekutuan pada kira-kira jam 8.40 pagi tadi.

“Kami perlu memfailkan permohonan semakan semula kerana tanpa dokumen-dokumen tersebut, tangan kami terikat dalam membuat persiapan menghadapi kes ini,” katanya.

Pagi tadi, Hakim Mohamad membenarkan prosiding ditangguh sehingga jam 2.30 petang ini, untuk mendengar hujah-hujah berhubung perkara tersebut.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan juga turut menolak rayuan Anwar untuk mendapatkan lebih banyak bukti dari pihak pendakwaraya seperti rakaman CCTV, nota doktor, senarai saksi dan kenyataan hemat saksi.

Dalam afidavit sokongannya, Anwar berkata Mahkamah Persekutuan - sebagai mahkamah tertinggi di negara ini - mempunyai kuasa untuk mendengar dan menyemak keputusan awalnya.

Menurut Anwar, beliau tidak diberi keadilan oleh Mahkamah Persekutuan yang didakwanya tidak memberi pertimbangan secukupnya terhadap rayuannya itu, kerana dokumen dan bahan-bahan tersebut, amat penting dalam menyedia pembelaannya. -malaysiakini

Ulasan GB

Begitulah sistem keadilan yang dilaksanakan oleh institusi kehakiman negara.

Prosiding kes Datuk Seri Anwar dibenarkan penangguhan.
Tetapi rayuan untuk permohonan Anwar agar keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya Jumaat lalu disemak semula ditangguhkan pagi esok.

Ia semacam satu framing. Semacam satu agenda konspirasi. Paradoks.

Sejarah Augustine Paul, Mohtar Abdullah dan Wahab patail nampaknya akan berulang.
Watak-wataknya berbeza, tetapi perwatakannya sama.

Siapa pula yang sedang berlatih memikul tilam agaknya?


Penjelasan Khalid Terhadap Pertuduhan Ke Atasnya

JK Disiplin – Penjelasan Berhubung Pertuduhan

Saya telah dimaklumkan bahawa ramai yang tidak mengetahui pertuduhan yang telah dikenakan ke atas diri saya oleh Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang dimajukan kepada JK Disiplin. Oleh itu macam-macam andaian telah diutarakan melalui beberapa blog, e-mail dan SMS yang diterima. Oleh yang demikian, demi mengelak berlakunya kekeliruan dan fitnah yang lebih besar, maka saya ketengahkan tuduhan-tuduhan tersebut sepertimana ianya dikemukakan kepada saya. Saya sebutkan juga jawapan saya terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan, secara ringkas, bukan sebagai kritikan, bantahan atau mempersoalkan keputusan yang telah dibuat oleh JK Disiplin, tetapi demi menjelaskan keadaan sebenar. Ianya juga akan menjadikan proses ‘perbicaraan’ diri saya lebih telus, supaya semua yang mengikuti persoalan ini dapat menilai proses berkenaan dan keadilan keputusannya.

Sebagai parti arus perdana, PAS mesti mampu menzahirkan keadilan dalam setiap tindakannya dan juga mempertahankannya sekiranya dipertikai. Bukan sekadar oleh ahli tetapi oleh anggota masyarakat keseluruhannya. Mad’u yang ramainya di luar sana tidak boleh diyakinkan hanya dengan menyebut kalimah wala’. Perkara inilah yang kadang kala terlupa oleh PAS sendiri. PAS bukan lagi parti pinggiran yang tidak dihiraukan oleh semua kelompok masyarakat. PAS merupakan parti arus perdana yang menawarkan diri sebagai alternatif kepada UMNO. Rakyat dan bukan hanya ahli, ingin melihat bagaimana kita bertindak dalam semua hal, termasuk cara PAS menegakkan keadilan di kalangan ahlinya.

Oleh itu ketelusan adalah amat penting dan perlu diamalkan. Keadilan bukan sekadar perlu dilaksana tetapi juga perlu dilihat terlaksana.

Sebenarnya, Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor telah mengemukakan tidak kurang dari 8 tuduhan terhadap diri saya tetapi hanya dua sahaja telah diterima sebagai ‘berasas’ oleh JK Disiplin. Aduan ini telah dilakukan oleh Dewan Harian tanpa membincangnya dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor itu sendiri. Dato PJ dengan mereka yang beliau sendiri lantik mengambil tindakan ini tanpa merujukkannya kepada BPPNS. Oleh itu, kalau ditanya YDP Kawasan, saya pasti semua tidak tahu apa tuduhan-tuduhan tersebut.

Dua tuduhan yang dianggap berasas dan jawapan balas saya terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan adalah seperti berikut:

1. PERTUDUHAN PERTAMA“BAHAWA kamu Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad, sebagai seorang ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) No. 126504 telah dengan secara salah, dengan sengaja dan dengan pengetahuan dan tanpa hak, mempertikaikan kekuasaan dan kedudukan Pesuruhjaya (PJ) PAS Negeri Selangor dalam membuat kenyataan berkait dengan tatacara pendengaran Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Negeri Selangor dengan membuat desakan perletakan jawatan olehnya sedangkan sebagai PJ beliau memiliki hak istimewa (privilege) untuk berbuat demikian dan PJ adalah dilantik oleh Presiden Parti dan perbuatan itu kamu telah mencampuri urusan Presiden Parti dan hak bidangkuasa PJ dan dengan itu kamu dianggap telah melakukan satu kesalahan di bawah Fasal 34 (4) Perlembagaan PAS dan jika didapati bersalah boleh dihukum dibawah Fasal 75 (5) Perlembagaan PAS”.

Jawapan Saya Kepada JK Disiplin Berhubung Pertuduhan Pertama ialah:

a) Saya menyatakan bahawa pertuduhan tersebut tidak tepat kerana saya tidak mendesak beliau meletak jawatan sebagai PJ. Saya sekadar menyatakan bahawa beliau sepatutnya meletak jawatan sebagai exco dan menjadi seorang ‘back-bencher’ sekiranya beliau ingin mengkritik kerajaan PR Selangor. Ini adalah lebih wajar, lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri menyatakan teguran beliau dibuat dalam kapasitinya sebagai seorang exco dan bukan sebagai PJ PAS Selangor.

b) Saya juga menyatakan bahawa saya meminta pimpinan PAS untuk menilai prestasi beliau sebagai PJ dan saya tidak mendesak beliau letak jawatan sebagai PJ. Saya faham bahawa PJ dilantik oleh Presiden namun sebagai seorang ahli BPPNS saya merasakan diri saya berhak untuk meminta prestasi PJ dinilai. Lebih lebih lagi apabila mandat yang diberikan kepada beliau melalui Muktamar adalah untuk mengukuhkan PR di Selangor dan beliau jelas tidak melaksanakan amanah tersebut.

c) Saya turut menjelaskan bahawa saya telah keluarkan kenyataan membantah kenyataan PJ yang menyalahi semangat kerjasama PR. Ianya adalah demi membela dan menegakkan prinsip setiakawan PAS bersama PR. Ini merupakan tanggung jawab saya sebagai ahli PAS yang menerima keputusan Muktamar supaya PR dikukuhkan.

d) Saya turut bertanya samada mengkritik PJ dalam tindakannya yang bercanggah dengan keputusan muktamar adalah satu kesalahan. Soalan ini dijawab oleh salah seorang JK Disiplin dengan mengatakan bahawa itu adalah untuk JK Disiplin menentukan.

2. PERTUDUHAN KEDUA

“Bahawa kamu, Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad, sebagai seorang ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) No. 0126504 telah dengan secara salah, dengan sedar dan pengetahuan mendedahkan rahsia Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang bertarikh 27hb September 2009 jam 3.30 petang melalui Blog peribadi dan dengan itu kamu dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Fasal 75 (1)(e) Perlembagaan PAS dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Fasal 75 (5) Perlembagaan PAS”.

Jawapan Saya Kepada JK Disiplin Berhubung Pertuduhan Kedua ialah:

a) Saya bertanya apakah definasi ‘rahsia’. Saya turut menyebut bahawa sekiranya semua yang disebut dalam mesyuarat adalah rahsia, maka jelas saya bersalah, saya tidak beranggapan begitu. Apa yang ditulis dalam blog saya adalah pandangan saya berhubung isu berkenaan dan oleh itu saya tidak menganggapnya sebagai ‘rahsia’ parti dan semenjak bila pula pandangan seseorang ahli dianggap rahsia parti?

b) Saya minta diberitahu apakah ‘rahsia mesyuarat BPPNS’ yang telah saya dedahkan tetapi saya tidak mendapat jawapan hingga ke hari ini. Sekiranya ianya berhubung tarikh, waktu dan tempat mesyuarat tersebut diadakan, ianya telah lama diketahui umum kerana wartawan telah hadir untuk Dewan Harian mengadakan PC sebaik sahaja mesyuarat tersebut selesai.

Mungkin kenyataan saya “bahawa sekiranya semua yang disebut dalam mesyuarat adalah rahsia, maka jelas saya bersalah” dianggap sebagai pengakuan kesalahan oleh Dato Tuan Ibrahim. Maka inilah yang menyebabkan beliau memaklumkan Malaysiakini bahawa saya sendiri mengaku bersalah, tetapi hakikat sebenarnya ia bukan satu pengakuan, tetapi sebaliknya merupakan satu soalan. Ini kerana, sekiranya semua perkara di dalam mesyuarat dianggap rahsia, maka saya kira sebahagian besar yang terlibat dalam mesyuarat PAS peringkat Pusat ataupun Negeri akan mendapati diri mereka telah melanggar displin parti.

Begitu juga dengan kenyataan beliau kepada Malaysiakini bahawa saluran dalaman perlu digunakan sekiranya ada yang tidak puas hati. Hakikatnya saya telah menggunakan saluran dalaman sejak dari awal 2008. Hasil menggunakan saluran dalaman adalah pemecatan diri saya sebagai TPJ Negeri Selangor. Selepas itu saya membuat beberapa aduan kepada pimpinan Pusat termasuk surat kepada DS Presiden tetapi malangnya tiada apa-apa tindakan ataupun maklum balas. Akhirnya berlaku peristiwa SelCAT dan EGM dicadangkan oleh TGNA untuk menapis keluar golongan anti-PR. Cadangan EGM ini ditukar kepada JK Disiplin dan inilah kesudahannya. Terpulang pada semua untuk menilai samada keputusan ini memenuhi hasrat EGM yang dicadangkan oleh TGNA. Sekiranya ‘ya’ maka Alhamdulillah. Sekiranya tidak, maka apakah persoalan EGM perlu dihidupkan kembali? Itu, fikirkan sendiri. Saya hanyalah sekadar ahli biasa.

Dalam mendengar jawapan saya kepada kedua-dua pertuduhan seperti di atas, pihak JK Disiplin tidak memberi indikasi samada jawapan tersebut dipersetujui atau sebaliknya. Mereka hanya mencatit tanpa sebarang respon dan soalan yang diajukan oleh mereka adalah sekadar untuk mendapat penjelasan berhubung sikap serta tindakan saya tanpa menyatakan persetujuan mereka atau sebaliknya.

Saya kemukakan pertuduhan dan jawapan saya untuk makluman umum kerana isu ini telahpun menjadi isu yang dibincang oleh ramai. Dengan maklumat ini semoga perbincangan ini akan lebih tepat kerana berasaskan maklumat dan bukan andaian. Ianya bukan soal SYABAS atau Puncak Niaga seperti yang disebut oleh beberapa bloggers, walaupun itu tetap merupakan persoalan yang masih belum dijawab.

Saya sama sekali tidak bertujuan membantah keputusan JK Disiplin dan saya harap tulisan ini tidak pula dianggap sebagai bantahan atau pendedahan ‘rahsia’ parti. Keputusan diterima dan saya akur dengannya. Saya yakin semua yang terlibat menyedari tanggung jawab mereka terhadap Allah dan tiada niat untuk menzalimi diri saya. Keadilan mesti dilakukan walaupun terhadap seorang musuh, apatah lagi terhadap seorang rakan perjuangan. Saya sendiri telah berpesan kepada Dato Tuan Ibrahim sebelum ini, “kalau saya bersalah, hukumilah saya dan jangan benarkan persahabatan kita menyebabkan Dato terpesong dari melakukan keadilan dan begitu jugalah hendaknya terhadap Dato PJ”. Maka, saya amat berharap itulah yang telah diusahakan beliau.

Berhubung soal rayuan, saya rasa semakin tidak berminat. Biarlah saya merayu kepada yang Maha Mendengar akan segala rayuan dan yang Maha Mengetahui akan kebenaran setiap satu rayuan. Memadailah saya merayu hanya kepada Allah, di depan rumahNya, insyaAllah. “HasbiyaAllah”. Semoga Dia selamatkan PAS dari golongan yang beragenda dan berkepentingan, sekiranya golongan seperti itu ada di dalam parti ini. Semoga Dia gagalkan agenda mereka ini serta melenyapkan pengaruh mereka selama-lamanya. Amin yaa Rabbul ‘aalamiin.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Terkini : Kembali Ke Mahkamah Tinggi, Jurugambar Dihalang Masuk Bangunan Mahkamah

Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Mahkamah Tinggi setelah permohonannya agar keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya Jumaat lalu disemak semula hanya akan didengar pagi esok.

Permohonan itu akan didengar oleh Ketua Hakim Malaya Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff ekoran arahan Tan Sri Zaki Azmi yang tiada di pejabat hari ini.

“Tan Sri Alauddin bersetuju untuk menemui kami pagi esok di Putrajaya untuk membincangkan penetapan tarikh bagi mendengar permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan,” kata salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair.

Peguam sepatutnya berhasrat untuk menemui Zaki tetapi beliau dikatakan tiada di pejabat hari ini.

Oleh itu kata beliau, mereka akan kembali ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pukul 2.30 petang ini untuk memohon penangguhan perbicaraan kes Anwar.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan ke petang ini untuk mendengar permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat beliau.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata penangguhan itu diperlukan kerana mereka perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas yang menolak permohonan Anwar untuk diberikan akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan untuk tujuan pembelaannya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata jika tiada tarikh ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan itu, Mahkamah Tinggi akan meneruskan prosiding bagi mendengar permohonan penangguhan perbicaraan.

Untuk sessi sebelah petang ini jurugambar telah dihalang untuk masuk ke bangunan mahkmahah, kemungkinan memudahkan untuk melakukan tangkapan kpada penyokong Anwar yang berdegil.

Pagi tadi polis hampir menahan Tian Chua, tetapi terhalang dengan kehadiran jurugambar-jurugambar dari dalam dan luar negara.

Pemimpin utama PAS tidak kelihatan pada sesi sebelah pagi kecuali TG Nik Aziz.

2.45 pm Peguam DSAI, Karpal Singh menyebut beberapa kes-kes terdahulu untuk menyokong permohonan penangguhan kes oleh pihak pembela.

2.53 pm - Karpal menyatakan sewakti peringkat awal pendakwa diperiksa dia tidak menyatakan dia diliwat... apatah lagi menyatakan siapa yang melakukannya

3.00 pm - Karpal menyatakan laporan klinikal menunjukkan tiada tusukan pada dubur Saiful, justeru keputusan hakim membenarkan pendakwaan diteruskan dipertikaikan.

Suasana di luar bangunan, jurufoto dihalang masuk ke bangunan. Hadir memberikan sokongan pada perbicaraan Anwar sebelah petang ialah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof serta para penyokong Datuk Seri Anwar.

3.05 pm Hakim kelihatan ketara kurang senang dengan kenyataan Karpal yang mendakwa hakim itu tidak membuang kes itu lebih awal kerana laporan jelas menunjukkan tiada penetrasi di dubur Saiful.

3.25 Pendakwa membantah menyatakan objek yang dimasukkan ke dubur Saiful bukan bahan dari plastik (yang boleh meniggalkan kesan) dan penemuan klinikal tidak memadai, perlu memanggil saksi.

3.35 pm Hakim memutuskan kes tidak boleh ditangguhkan dan perlu diteruskan. Kes akan mula didengari esok, jam 2.30 ptg.

Tamat Kemaskini



Apakah Mahkamah Sedia Memanggil Najib dan Rosmah?

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mempunyai bukti cukup untuk mensabitkan bahawa dakwaan fitnah terhadapnya adalah konspirasi Perdana Menteri Najib Tun Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, demikian lapor TVSelangor.

Anwar mengarahkan peguamnya, Karpal Singh untuk memanggil Perdana Menteri dan Rosmah menjadi saksi dalam perbicaraan beliau yang bermula hari ini.

Anwar berkata, beliau mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa Saiful telah menemui Rosmah dan kemudian Najib, dua hari sebelum membuat laporan polis.

"Orang yang terlibat berpakat dengan orang yang menuduh saya termasuk Najib dan Rosmah harus hadir ke mahkamah jelaskan keadaan".

"Kita membuat tuntutan supaya Najib dan Rosmah hadir ke mahkamah. Saya hendak tengok mereka hadir atau tidak. Kenapa hendak larang, nafikan hak saya bela diri, sekarang saya ada bukti Najib dan Rosmah mempengaruhi budak ini", ujar Anwar.

Anwar berkata Saiful Bukhari Azlan yang membuat tuduhan fitnah itu hanyalah kambing hitam di dalam episod ini, manakala dalangnya adalah Najib dan Rosmah.

Pemerhati berkata kesediaan mahkamah untuk memanggil Najib dan Rosmah adalah ujian getir untuk kewibawaan perbicaraan kali ini.

Pada 1999, hakim dalam kedua-dua perbicaraan Anwar enggan memanggil Tun Mahathir Mohamad untuk memberi keterangan walaupun mantan Perdana Menteri itu melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Anwar disamping memecat beliau dari kerajaan dan Umno.

Anwar sebelum ini berkata konspirasi politik kali ini digerakan oleh Perdana Menteri dan isterinya dalam satu lagi cubaan untuk membunuh kerjaya politik beliau selaku Ketua Pembangkang dan seteru utama Umno.

Dengan menghantar Anwar balik ke penjara, Najib berharap untuk melemahkan Pakatan Rakyat dan sekali gus memastikan kelangsungan Umno.

Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan ke 2 petang ini untuk mendengar permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat beliau.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh, berkata penangguhan itu diperlukan kerana mereka perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar untuk diberikan akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan untuk tujuan pembelaannya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata jika tiada tarikh ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan itu, Mahkamah Tinggi akan meneruskan prosiding bagi mendengar permohonan penangguhan perbicaraan.

Anwar, 63, tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sementara itu Tian Chua hampir ditahan oleh pihak polis kerana enggan menurunkan banner yang tertera "Perhimpunan Bantah Fitnah Ke 2". Tian Chua menyatakan kepada polis berkenaan, "kamu boleh rampas banner, tapi pihak CNN sedang perhatikan apa yang kamu lakukan."

Seorang warga emas yang datang ingin mengikuti perkembangan perbicaraan telah pengsan dan dikejarkan ke hospital.


TERKINI : Kes Anwar-Saiful Ditunda Jam 2.30 Petang Ini

Kes liwat 2 yang melibatkan mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual bermula pagi ini ditunda ke pukul 2.30 petang.

Penundaan itu dibuat sementara menunggu arahan dari Mahkamah Persekutuan selepas permohonan difailkan oleh Peguam Karpal Singh, supaya semakan dibuat ke atas keputusan mahkamah minggu lepas yang menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen tambahan bagi membantunya mempertahankan diri terhadap tuduhan liwat ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di sebuah kondominium setahun lalu.

Anwar dilihat keluar dari bangunan mahkamah jam 10.15 pagi tadi dengan disambut laungan REFORMASI oleh para penyokongnya.

Tepat jam 9 pagi tadi, Anwar telah melangkah masuk ke Mahkamah Jenayah 3 ditemani oleh isteri beliau Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah dan adik-adiknya Nurul Hana & Nurul Iman.

Turut hadir memberikan sokongan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Datuk Chua Jui Meng, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, exco selangor, Elizabeth Wong, Senator Dr Syed Hussin Ali dan Setiusaha agong PKR, Saifudddin Nasution.

Selain itu, turut hadir memberikan sokongan ialah Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat dalam keadaan sebak ditemani oleh beberapa duta asing dari Sweden dan US.

Sementara itu tiga trak anggota polis mula berkawal di perkarangan dan di dalam mahkamah seawal jam 7 pagi.

Kawalan ketat dan pemeriksaan dilakukan sebelum dibenarkan masuk ke Mahkamah Jenayah 3.

Sementara itu Tian Chua hampir ditahan oleh pihak polis kerana enggan menurunkan banner yang tertera "Fitnah Kedua". Tian Chua menyatakan kepada polis berkenaan, "kamu boleh rampas banner, tapi pihak CNN sedang perhatikan apa yang kamu lakukan."

Sementara itu terdapat jeritan "tangkap Saiful, tangkap saiful, bawa masuk ke tandas," diiringi senyum tawa para penyokong Anwar.

Foto dari malaysianinsider







PAS Perak Terima Kunjungan Hormat Kedutaan US

Ipoh, Kunjungan Wakil Kedutaan Amerika En. Jeremy Nathan, Timbalan Penasihat Politik Kedutaan United States di sini pagi semalam telah disambut mesra oleh Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain selaku Pesuruhjaya PAS Negeri, YB Dato’ Seri Hj Nizar, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri dan beberapa pimpinan Harian PAS yang lain.

Dalam pertemuan tersebut, Pesuruhjaya PAS Negeri telah memberi taklimat tentang dasar-dasar perjuangan PAS dan perkembangan isu-isu politik terkini di Perak.

Manakala wakil kedutaan Amerika, Mr. Jeremy menyatakan hasratnya bertemu PAS Perak untuk mengetahui perjuangan PAS sebenar yang selama ini kegiatan dan perjuangan PAS tidak mendapat liputan yang tepat melalui media arus perdana.

Beliau menyatakan kekagumannya kepada PAS yang begitu terbuka pemikiran dan tindakan, ia sangat berbeza dengan gambaran yang diterima dari pihak lain yang mengambarkan PAS sebagai fanatik agama, anti pembangunan dan berbagai persepsi negatif yang lain.

Menurut wakil kedutaan U.S itu, Melalui kunjungan-kunjungan beliau ke PAS Kelantan dan Terengganu sebelum ini ternyata semua tohmahan adalah palsu. PAS juga disifatkan bijak dalam menanggani apa sahaja isu seperti penggunaan kalimah Allah, perkauman, rasuah dan sebagainya. Beliau berjanji akan memberi gambaran sebenar tentang PAS kepada rakyat dan media Amerika.

Suasana menjadi semakin rancak dalam sesi dialog dan soal jawab antara pimpinan PAS Perak dan En. Jeremy yang masing-masing memberi pandangan terhadap isu-isu politik nasional dan Perak. Beliau begitu peka terhadap perkembangan politik di negara ini, dan ingin mengetahui isu sebenar dari sumber yang sah. Melalui pertemuan seumpama ini, beliau mendapat gambaran sebenar dari sumber yang benar dan tepat.

Ditanya oleh wartawan samada kunjungan beliau menemui PAS Perak ada kaitan dengan keputusan mahkamah yang akan memutuskan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar pada 9 Februari nanti, Jeremy menyatakan bahawa kunjungan ini sebenarnya telah lama dirancang dan hanya kali ini ada beliau ada kesempatan.

Beliau menjelaskan tujuannya adalah untuk berkenal-kenalan dan bertanya tentang peluang pelaburan yang ada di Perak.

“Amerika tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” jelasnya lagi kepada pihak media dan kedatangannya hanya kebetulan dengan keputusan kes Nizar-Zambry yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari ini.

Walau bagaimana pun ramai yang melihat kunjungan wakil Kedutaan Amerika tersebut menemui pemimpin PAS pada hari ini sebagai memberi semangat dan sokongan kepada kes Nizar menjelang 9 Februari ini.



Ulasan GB

Kalau GB ada di sana semalam GB bertanya kepada Jeremy mengenai apakah benar Zambry dihalang masuk ke US tempohari kerana dikatakan namanya tersenarai sebagai pengganas. :)

Petronas Runtuh Jika Serahkan Wang Ihsan Kepada JPP

Sebarang bayaran wang ihsan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) oleh Petronas adalah tidak sah dan tidak wajar kerana perjanjian yang ditandatangani adalah di antara Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri.

"Ia adalah satu kesalahan serius dan Petronas dianggap memungkiri perjanjian di bawah Akta Petroleum 1974," demikian ditegaskan oleh seorang pensyarah Undang-undang IPTA semalam.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan kerajaan Umno-BN mencarik peradaban prinsip demokrasi terhadap kerajaan negeri jika pemberian wang ihsan mahupun royalti disalur melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Beliau menyelar kaedah tersebut jelas menggambarkan sikap diskriminasi kerajaan pusat bukan sahaja menganaktirikan kerajaan negeri malah menganiaya demi kepentingan politik.

“JPP adalah agensi kerajaan pusat. Sedangkan royalti adalah milik kerajaan negeri sebagaimana termaktub dalam perjanjian.

"Petronas sepatutnya membayar royalti secara langsung kepada kerajaan negeri.

“Akta Kemajuan Petroleum sudah jelas, royalti menjadi hak mutlak Kelantan. Maka tiada sebab nak dinafikan,” katanya semasa ditemui.

Menurutnya, justifikasi segelintir menteri Umno yang khuatir dari segi pengurusan kewangan oleh kerajaan negeri sekiranya wang tersebut disalurkan terus kepada kerajaan negeri hanya satu retorik tidak berasas sama sekali.

Tegasnya, perkara asas paling utama adalah hak sesebuah negeri itu dalam menerima hasil daripada perjanjian yang dibuat, bukan soal pengurusan atau kelayakan.

“Kalau nak pertikai soal bijak atau tidak, contoh sudah ada. Semua rakyat sudah nampak.

"Di Terengganu stadium bernilai ratus juta ringgit tiba-tiba runtuh.

“Begitu juga stesyen bas, masjid, termasuk hospital yang tidak dapat diguna selepas dibina oleh kerajaan persekutuan.

“Secara logiknya kejadian tersebut menunjukkan berlakunya salah guna kuasa ataupun tidak menguruskan kewangan dengan baik. Jadi di mana bijaknya kerajaan persekutuan?”
soal Che Abdullah.

Sementara itu UMNO menyedari tanpa restu kerajaan negeri Kelantan, wang ihsan itu tidak akan boleh dileaskan oleh Petronas, maka dengan itu UMNO masih berharap Kerajaan Kelantan menerima tawaran menyertai Jawatankuasa Pengurusan Wang Ihsan.

Peluang itu masih lagi terbuka buat kerajaan negeri untuk menyertainya demi masa depan rakyat secara keseluruhan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu memikirkan secara serius penolakan itu kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat Kelantan yang sememangnya mahukan pembelaan dan pembangunan.

"Tawaran untuk sertai jawatankuasa ini masih terbuka buat kerajaan Kelantan dan jika masih menolak ia akan merugikan rakyat Kelantan.

"Kalau ada wakil kerajaan negeri, wakil itu boleh menentukan keutamaan dalam sektor tertentu untuk membelanjakan wang ihsan yang akan diterima pada Mac ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pertemuan Dengan Pengetua Kelantan di sini, Isnin.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini bertegas kerajaan negeri yang diketuainya itu tidak akan menerima pelawaan menyertai jawatankuasa berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pemberian wang ihsan yang bukannya royalti petroleum.

Nik Abdul Aziz berkata wang ihsan seharusnya dibayar kepada kerajaan Pusat kerana Kuala Lumpur tidak mempunyai rizab minyak dan bukan sebaliknya.

Bercakap di satu ceramah di Negeri Sembilan semalam, Nik Aziz berkata konsep wang ehsan yang diterima-pakai pemerintah BN bukan sahaja wajar, bahkan tidak masuk akal.

“Minyak Kelantan untuk Kelantan. Kuala Lumpur tidak ada minyak setitik pun. Kuala Lumpur sendiri tidak ada minyak. Dia ambil minyak kita, dia beri ihsan kepada kepada kita. Sepatutnya kita beri wang ehsan kepada dia (Kuala Lumpur)." ujar Nik Aziz.

Nik Aziz menjelaskan tindakan Umno-BN menyekat pemberian royalti minyak kepada rakyat Kelantan menunjukkan pemerintah meletakkan keutamaan pada wang ringgit, bukan rakyat.

“Kelantan miskin. Dari dulu sampai sekarang miskin. Tapi manusia undi PAS. Daripada 45 kerusi di Kelantan UMNO hanya baru dapat 6 kerusi. PAS miskin. Perkara-perkara sebegini tolong kirim salamlah kepada UMNO biar dia faham sikit” katanya lagi.

BN Terdesak 'Pancing' Pembangkang

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menyifatkan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terdesak sehingga terpaksa memancing Ahli Parlimen pembangkang menyertai kerajaan.

Malah beliau mendakwa, tindakan tersebut hanya merosakkan kredibiliti parti pemerintah itu.

"Tindakan mereka menghantar SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) kepada saya jelas menunjukkan tindakan terdesak pemimpin Umno dan BN.

"Bagi saya tindakan mereka itu sangat tidak berfaedah dan sia-sia. Bagi saya perkara sebegini akan hanya merosakkan kredbiliti mereka,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Azan dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof pernah menerima tawaran daripada Umno dan BN.

Semalam Anwar dilaporkan berkata kedua-dua ahli Parlimen berkenaan pernah didampingi pemimpin Parti Cina Malaysia, Huan Cheng Guan dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis berhubung pelawaan untuk menyertai parti masing-masing.

Beliau turut mendakwa ekoran tidak melayan pelawaan itu maka jumlah wang ganjaran yang dikatakan akan ditawarkan kepada kedua-dua pemimpin berkenaan tidak dibincangkan. Mengulas lanjut isu berkenaan, Azan mengakui pelawaan itu diterimanya dua hari selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi II PKR Pahang dan Pengerusi Biro Keahlian negeri.

"Selain SMS, saya juga ada terima panggilan telefon. Saya anggap SMS dan panggilan itu, sekadar satu pelawaan biasa dan cubaan untuk memancing saya sahaja.

"Ingin saya tekankan sekali lagi, bahawa saya akan terus setia bersama PKR mempertahankan dasar perjuangan parti bersama-sama PAS dan DAP," ujarnya.

Ditanya sama adakah pemimpin Umno yang dimaksudkannya itu, ialah bekas menteri Kabinet, Jamaluddin Jarjis, Azan berkata: "Hatta daripada mereka yang pernah ada dalam Kabinet pun ada.Cuma butirannya tidak perlulah saya dedahkan sekarang," katanya.

Beliau turut mencabar pemimpin Umno tersebut menafikan dakwaannya itu, jika mereka berada di pihak yang benar.

"Saya ada bukti, SMS yang dihantar kepada saya pun saya masih simpan. Kalau mereka betul mereka boleh nafikan dakwaan ini," ujarnya.

Pada 25 Januari lalu, Azan, 44, meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Dua PKR Pahang dan Pengerusi Biro Keahlian negeri, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau membuat keputusan itu selepas kecewa dengan pentadbiran PKR negeri terutama berkaitan isu pengurusan kewangan dan kutipan dana awam parti berkenaan.

Sementara itu, Yusmadi dihubungi enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan.

"Maaf, saya tidak sihat hari ini. Saya tak mahu ulas mengenai isu ini," katanya. -MSTAR

Selcat : Ronnie Ditegur Perbaiki Pengurusan Peruntukan

Selcat hari ini membuktikan kritikan Umno-Barisan Nasional kononnya badan itu hanya mensasarkan wakil rakyat gabungan itu adalah meleset.

Badan itu meminta Adun Pandamaran yang juga ahli Exco kanan dari Pakatan Rakyat Ronnie Liu memberi penjelasan mengenai peruntukan lebih setengah juta ringgit yang diagihkan oleh pejabat beliau dalam tempoh enam bulan.

Ronnie sendiri berpendirian tindakan Selcat meminta penjelasan dari beliau mencerminkan kewibawaan badan itu dan beliau tidak bermasalah Selcat memerinchi peruntukan itu.

Ronnie adalah antara yang dipanggil oleh Selcat hari ini untuk menerangkan bagaimana dana awam berjumlah RM611,933 dibelanjakan dalam tempoh enam bulan lalu.

Adun Pandamaran itu menerima baik peluang berdepan dengan Selcat dan berkata semua pihak harus menerima hak Selcat untuk memerinchi perbelanjaan dana awam.

Meskipun disiasat dengan terperinci oleh anggota panel Selcat, Ronnie bersikap professional dan berharap jawapannya dapat membantu siasatan Selcat.

“Pada keseluruhannya saya berpuas hati dan Selcat merupakan satu-satunya jawatankuasa yang Exco kita sendiri yang memberi kelulusan dan mengharapkan Selcat menjalankan tugas untuk ketelusan, kebertanggungjawaban dan kecekapan jadi kita setujulah, saya harap Selcat berpuashati dengan jawapan yang saya bagi tadi”, jelas Ronnie kepada pemberita.

Ronnie memberitahu Selcat bahawa 40 daripada 168 permohonan untuk peruntukan itu dibuat oleh badan-badan keagaamaan dan persatuan.

“Hanya persatuan yang benar-benar memerlukan bantuan saya minta daripada saya kerana ini akan berulang dan tidak salah persatuan-persatuan ini pergi kepada Adun-Adun yang lain, kalau dia pergi kepada Adun yang lain, benda ini akan diseimbangkan, tapi ini tidak bermakna saya akan tolak mana-mana permohonan saya akan teruskan memberi sumbangan”, katanya lagi.

Pengagihan bantuan oleh pejabat ahli EXCO ini kepada pihak yang memerlukannya tidak menimbulkan sebarang bantahan.

Namun Ronnie akur dengan keperluan untuk menepati segala keperluan birokasi demi memastikan ketelusan dalam setiap urusan.

“Setiap ringgit setiap sen yang saya janji kepada persatuan ataupun perbadanan agama ataupun individu memang telah sampai, sampai hari ini tak terima apa-apa aduan katakan wang tak sampai, dan saya memang berhasrat untuk menambahbaikan cara pengagihan peruntukan tetapi saya kena memberitahu media bahawa tekanan kepada saya sebagai Exco di kawasan Klang ini memang agak luar biasa”, ujarnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)