15 Jun 2011

Dua Mati Lemas Dalam Tragedi Sungai Pasir Kemudi

Seorang penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan dan sahabatnya mati lemas ketika mandi-manda di Sungai Pasir Kemudi, Sungai Lembing dekat sini pagi Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata, mangsa tersebut penuntut Fakulti Biologi Mohd Adhamerudin Omar, 22, yang berasal dari Padang Sanai, Padang Terap, Kedah dan Amirul Hakim Mustafa, 19, dari Indera Mahkota di sini.

Katanya sebelum kejadian, kedua-dua sahabat itu bersama dua lagi rakan mereka dipercayai mendaki Bukit Panorama di Sungai Lembing selepas solat Subuh di Masjid Sungai Lembing.

"Kesemua mereka kemudiannya turun dari bukit berkenaan dan terus ke sungai itu di mana dua mangsa berkenaan telah turun ke dalam sungai manakala dua lagi rakannya menyediakan makanan di darat," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Zulkifli berkata ketika sedang mandi-manda pada pukul 8.30 pagi tadi, salah seorang daripada mangsa didapati lemas dan beliau cuba dibantu oleh seorang lagi mangsa sebelum kedua-duanya tenggelam.

"Dua rakan mereka cuba membantu tetapi tidak sempat sebelum kedua-duanya membuat laporan mengenai kejadian itu," katanya.

Menurutnya sepasukan anggota polis, bomba dan orang ramai melancarkan operasi mencari dan menyelamat sejurus selepas itu berjaya menemui mangsa kira-kira sejam kemudian tidak jauh dari lokasi mangsa hilang.

Katanya kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing. -- BERNAMA








Laman Facebook Curi-curi Wang Malaysia Dilancarkan

Susulan pendedahan Kementerian Pelancongan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengujudkan Facebooknya, beberapa pihak yang tidak berpuas hati membuka laman baru Facebook bertajuk Curi-Curi Wang Malaysia.

Laman web yang dibuat sekitar jam 6 petang semalam telah berjaya mengumpul lebih 20 ribu orang pengikut setakat ini.

Laman tersebut boleh diakses menerusi
https://www.facebook.com/pages/Curi-curi-Wang-Malaysia

Rata-rata pengguna Facebook mengecam jumlah yang diperuntukan Kementerian itu hanya untuk mengemaskini laman Facebook Tourism Malaysia ~ Cuti- Cuti 1Malaysia.

Antara yang membidas pembaziran itu di Parlimen semalam termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Semalam Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke Siew Fook mendedahkan perbelanjaan itu dan memberi perakuan akaun Facebook yang mana kos penyelenggaraan dapat dilakukan dengan kos yang jauh lebih murah.

Anthony yang juga Ketua Pemuda DAP berkata Facebook Curi-curi Wang Malaysia mencerminkan rasa marah komuniti siber yang menentang pembaziran wang rakyat.

“Kita bersetuju bahawa sektor pelancongan meupakan antara sektor yang penting bagi negara tetapi ia tidak bermakna kerajaan boleh membelanjakan RM1.8 juta sedangkan ianya percuma. Semua orang tidak boleh menerima kenyataan sebegini,” katanya.

Anthony Loke mendesak supaya Menteri Pelancongan, Datuk Dr Ng Yen Yen menggantung kontrak Impact Creation Sdn Bhd yang bertanggungjawab menyelenggara laman Facebook Tourism Malaysia ~ Cuti- cuti 1 Malaysia.

“Saya mendesak Datuk Ng Yen Yen menggantung segera kontrak Impact Creation Sdn Bhd dan meminta mereka memulangkan semula wang kepada Kementerian Pelancongan,” katanya.

Anthony turut menyatakan beliau akan memaklumkan perkara ini kepada Perdana menteri, Najib Razak dan mendesak tindakan tegas terhadap Ng.

“Saya akan memaklumkan kepada Perdana Menteri apa yang telah dilakukan oleh Ng Yen Yen sekarang bertentangan dengan apa yang dia (Najib) lakukan di dalam mendekati komuniti online,” katanya.

Semalam Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit mengaku kontrak RM1.8 juta itu diberikan kepada syarikat, Impact Creations Sdn Bhd, untuk selama tiga tahun iaitu bermula 2011 hingga 2013.

Ng hari ini mempertahankan perbelanjaan itu sambil menegaskan skop kerja Impact Creation bukan terbatas kepada membuat laman Facebook.

"(RM1.8 juta) adalah untuk menjawab, memberi maklumat, interaksi dan memantau (kerja di laman Facebook) menilai semula, pengumpulan data, pembangunan kandungan dan pengiklanan di Google, Facebook.

Beliau mendakwa perbelanjaan RM18 juta itu berbaloi berbanding “Pelancongan Australia membelanjakan RM150 juta untuk tiga tahun akan datang di media sosial,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur.

Menurut Ng, Facebook digunakan sebagai satu platform dan menerusinya laman web Cuti-cuti Malaysia Pelancongan Malaysia telah mendapat 24,000 peminat sejak ia dilancarkan pada Mei lalu.


Facebook "Curi-curi Wang Malaysia" bantah pembaziran RM1.8 juta

Ekoran pendedahan bahawa Kementerian Pelancongan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengendalikan laman peminat Facebooknya, satu lagi akaun laman peminat Facebook atas nama "Curi-curi wang Malaysia" diwujudkan.

Menurut maklumat yang terpapar di laman peminat itu, ianya diwujudkan bertujuan membolehkan rakyat Malaysia menyuarakan bantahan terhadap Kementerian Pelancongan Malaysia yang membelanjakan RM1,758,432 untuk membuka dan menjaga laman peminat kementerian itu.

"Facebook adalah percuma. Jangan curi duit kami dengan cara bodoh ini dan cuba buat kami seperti orang jahil.

"Beri balik duit kami!", tulis pengendali laman itu.

Setakat berita ini ditulis, laman peminat Curi-curi Wang Malaysia ini sudah mendapat 19,044 peminat.

Jumlah itu dijangka akan terus meningkat apabila pautan ke laman peminat itu turut dipromosikan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat melalui Facebook dan Twitter mereka.

Dalam beberapa respon kepada peminatnya, pengendali laman peminat ini yang diwujudkan secara percuma, menjelaskan mahu bersaing dengan laman peminat kementerian pelancongan.

Mereka juga mahu membuktikan mereka boleh mendapat jumlah peminat lebih tinggi dari laman kementerian itu tanpa sebarang kos.

"Ubah Sekarang untuk Selamatkan Malaysia! Kita selamat, kita jimat", seru laman itu.

Sementara itu, laman peminat 'Tourism Malaysia- Cuti-cuti Malaysia' setakat berita ini ditulis juga mendapat 26,082 peminat.

Persidangan Dewan Rakyat semalam 'dikejutkan' dengan penjelasan Timbalan Menteri Pelancongan, James Dawos Mamit bahawa kementeriannya memperuntukkan RM1.8 juta mewujudkan laman peminat Facebook kementerian itu.

Projek itu diberikan kepada agensi pengiklanan yang dilantik, Impact creations sdn Bhd bermula 2011 sehingga 2013.

Anthony Loke (DAP-Rasah) bagaimanapun mempersoal kenapa begitu besar jumlah wang 'dibazirkan' untuk Facebook itu yang sebenarnya hanya boleh dibuat secara percuma.

Pandangan bahawa jumlah itu sebagai 'pembaziran' juga turut dipersetujui Khairy Jamaludin (BN Rembau). -HD


Laporan sebelum ini



Himpunan BERSIH: Peniaga Akan Untung Besar

BERSIH 2.0: Peniaga akan untung besar Oleh Suhaizan Kayat

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan telah menyatakan bahawa Himpunan Bersih 2 akan menyusahkan rakyat, penjaja, peniaga dan pemandu teksi.

Beliau menyifatkan himpunan ini adalah ancaman kepada ekonomi negara khususnya industri pelancongan dan pelaburan asing.

Perkara pertama yang wajib difahami oleh Datuk Ahmad Maslan adalah himpunan aman tanpa senjata adalah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.

Ini bermakna bahawa himpunan tanpa senjata adalah halal di sisi undang-undang negara. Semua warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama untuk hadir dalam himpunan aman
.

Peserta himpunan yang bakal hadir adalah seramai 300 ribu orang. Mereka datang daripada seluruh negara dengan membawa duit perbelanjaan masing-masing, sekurang-kurangnya RM100 seorang.

Dalam masa 3 jam sahaja aliran tunai paling minima di kalangan peserta himpunan Bersih 2 adalah RM30 juta. Mereka akan berbelanja seperti membeli makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Bukan semua mereka berkenderaan ke Kuala Lumpur.

Sebahagian besar mereka menaiki kenderaan awam. Oleh itu perkhidmatan bas, teksi, LRT dan lain-lain akan mendapat pulangan yang berganda. Kenyataan yang menyatakan bahawa penjaja, peniaga dan pemandu teksi akan mengalami kerugian adalah hujah yang paling dangkal di abad ini.

Walaubagaimana pun semua pihak hendaklah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Pihak kerajaan, Polis, Jawatankuasa Bersih 2, PERKASA, PERKIDA, parti-parti politik dan lain-lain pihak harus menghormati kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan.

Sebagai contoh mengapa tidak pihak polis membuat reformasi dalam menguruskan peserta himpunan dengan meletakkan anggota polis di sepanjang jalan dari Jalan Chow Kit ke Istana Negara di mana Ketua Polis Negara memandu Pengerusi Bersih Datuk Ambiga ke Istana Negara. Di laluan yang lain pula Timbalan Ketua Polis Negara pula mengiringi Datuk Ibrahim Ali menuju ke Istana Negara.

Saya penuh yakin masyarakat negara ini khususnya anak muda sudah jauh terbuka minda mereka terhadap himpunan aman. Masyarakat sudah boleh menerima bahawa himpunan aman adalah suatu keperluan kepada negara demokrasi seperti Malaysia.

Pelancong-pelancong yang hadir akan berpuas hati dengan keharmonian yang berlaku. Seperti mereka melihat sambutan Maulidur Rasul S.A.W dan Thaipusam di Batu Caves.

Pihak polis bekerjasama dengan penganjur bagi menjayakan aktiviti tersebut
.

Jika pihak polis bersedia membuat reformasi dalam menguruskan himpunan aman ini maka insya Allah tiada kekacauan akan berlaku dan pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa.


Peserta Bersih 2.0 bawa duit, peniaga untung

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Peniaga, penjaja dan pemandu teksi sepatutnya menyokong, bukan menyaman penganjur himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, ia kerana pihak penganjur iaitu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan membawa lebih 800 ribu pelanggan kepada mereka.

"Kami nak bawa pelanggan. PAS sahaja 300 ribu orang. Sepatutnya peniaga sokong bila orang ramai nak datang.

"Mereka yang datang sini bawa duit bukan datang tangan kosong," katanya kepada Harakahdaily.

PAS, katanya seperti usul diluluskan pada Muktamar ke 57 lalu, akan mengerahkan 300 ribu dari ahlinya yang kini mencecah lebih 1 juta orang.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan semalam 'meracuni' penjaja, peniaga dan pemandu teksi agar menyaman penganjur himpunan Bersih bagi menuntut ganti rugi berikutan pendapatan mereka yang mungkin terjejas semasa perhimpunan berkenaan.

Mengulas lanjut, Firdaus yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, himpunan aman Bersih 2.0 tidak akan menjejaskan perniagaan mereka melainkan diprovokasi oleh pihak polis sehingga menimbulkan kekecohan.

"Kalau polis tembak gas, kami kena lari la, bila lari bertembung tahu-tahu sahajalah.

"Cuba polis jaga dan kawal elok-elok, sudah tentu semuanya akan untung malah berlipat kali ganda," tambahnya lagi.

"Semua tiket bas dari utara dan timur, Air Asia penuh, FireFly habis, jadi apa petandanya tu?" soalnya.

Sehubungan itu katanya, Umno khususnya perlu menerima himpunan Bersih akan datang demi kebaikan mereka apabila menjadi pembangkang selepas PRU ke-13 nanti.

"Kalau mereka (Umno) dah jadi pembangkang nanti, mereka tak perlu buat demo lagi untuk mereformasikan pilihan raya untuk menang semula sebab kita dah buat," tegasnya sinis. -HD


Pernah Ditawarkan Sejumlah Wang Jika Tak Bertanding Lagi Dalam PRU - Dr. Abd Rani

Ketua PAS Selangor: Saya ada ditawar tapi diminta tak pertahan DUN Meru

KLANG, 15 Jun — Dr Abd Rani Osman yang awal minggu ini dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor mendedahkan beliau juga pernah didampingi dua lelaki yang mendakwa diri mereka mewakili Umno dan memujuknya tidak lagi bertanding mempertahankan kerusi DUN Meru pilihan raya umum ke-13.

Ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam, Dr Abd Rani berkata, kedua-dua mereka datang hanya meminta “saya agar tidak bertanding lagi pilihan raya umum akan datang.”

Sambil melahirkan rasa hairan dengan pendekatan itu, wakil rakyat penggal pertama ini memberitahu, kedua-dua mereka tidak memintanya keluar PAS dan menyertai komponen BN sebagaimana pernah disaksikan sejak tiga tahun lalu.

“Mereka tak minta saya keluar PAS, keluar Pakatan Rakyat, mereka tak minta saya menyertai Umno, tetapi hanya mahu saya tidak bertanding lagi pilihan raya umum akan datang... saya pun tidak tahu mengapa,” kata beliau dalam temu bual sempena pelantikannya menggantikan Datuk Dr Hasan Ali mengetuai PAS Selangor.

Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri mengetuai PAS Selangor selama lapan tahun atau empat penggal.

The Malaysian Insider difahamkan beliau ada ditawarkan sejumlah wang jika sanggup menerima permintaan tersebut.

“Saya memberitahu mereka nilai saya ialah al-Quran dengan menunjukkan mereka al-Quran, mereka menitiskan air mata dan keluar dari pejabat saya... saya tak jumpa mereka lepas itu... saya pun tak ingat nama mereka,” kata doktor perubatan ini yang menceburi politik dengan menyertai PAS akhir 1990-an.

Dengan seringkali kelihatan mengenakan songkok yang berbeza daripada ahli-ahli PAS yang lain, Dr Abd Rani (gambar) yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Kapar berkata, beliau didampingi kedua-dua lelaki itu awal tahun ini selepas beliau kembali dari lawatan ke luar negara.

DUN Meru merupakan salah satu kerusi dalam bahagian Parlimen Kapar yang wakilnya adalah dari PKR.

Dr Abd Rani memenangi kerusi Meru dengan menewaskan Md Ghazali Amin dengan memperoleh majoriti 5,513 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Abd Rani memperoleh 14,826 undi manakala Md Ghazali pula 9,313 undi.


PAS yang bergandingan dengan DAP dan PKR membentuk kerajaan negeri mempunyai lapan kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Usaha memujuk wakil rakyat parti komponen Pakatan Rakyat meninggalkan perikatan itu dan menyertai BN menjadi sebahagian ‘budaya’ politik sejak pilihan raya umum 2008.

Ia juga berlaku di Perak, Kedah dan Pulau Pinang iaitu negeri-negeri diterajui Pakatan Rakyat.

Di Selangor, Adun Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat mesra Umno.

Tawar-menawar kepada wakil rakyat agar keluar Pakatan Rakyat menjadi fokus ketika cakap-cakap mengenai idea kerajaan perpaduan antara Umno-PAS turut menjadi perhatian dan banyak diperkatakan.

Mengulas mengenai idea kerajaan perpaduan itu, Dr Abd Rani menegaskan, sudah tidak lagi timbul soal kerajaan perpaduan khususnya selepas parti itu mengambil pendirian tegas.

“Ini soal UG (kerajaan perpaduan) ini jangan dikatakan lagi, bagi saya sudah tidak ada lagi soal UG ini... kami (PAS) akan kekal dalam Pakatan Rakyat, akan bersama dengan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum,” kata beliau.

Dr Abd Rani berkata, dengan gandingan dan kerjasama komponen Pakatan Rakyat pihaknya yakin akan meningkatkan kerusi diperoleh parti Islam itu.

“Insya-Allah kami yakin dapat menambah kerusi, ya... sekali ganda... hingga 15 kerusi, berbanding lapan yang ada sekarang,” katanya. -TMI

Ramai Tutup Akaun Facebook Kerana Kesedaran Bahaya Maklumat Peribadi Terdedah

Britain - Penutupan akaun laman jaringan sosial Facebook yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini seolah-olah menjadi petanda kepada permulaan zaman lesu laman web tersebut.

Pakar psikologi Internet, Graham Jones memberitahu pengguna Facebook mula berasa bosan setelah satu tempoh masa menggunakan Facebook.

"Adalah sesuatu yang normal bagi seseorang individu teruja menggunakan sesuatu yang baru. Dia kemudian akan berasa bosan dan beralih pada perkara baru," katanya.

Kajian berkaitan penggunaan Facebook yang dijalankan di United Kingdom (UK) menunjukkan sebanyak 100,000 pengguna di Britain telah menutup akaun mereka sejak bulan lalu.

Penutupan secara mendadak itu turut dikaitkan dengan kebimbangan pengguna Facebook mengenai pencerobohan data dan maklumat peribadi mereka. Malah, timbul spekulasi bahawa laman Facebook juga bakal berdepan waktu suram seperti yang dialami MySpace dan Friendster.

Awal tahun ini, para eksekutif Facebook mengumumkan jumlah pengguna laman web itu UK mencecah 30 juta, iaitu separuh daripada populasi penduduk UK.

Di Amerika Syarikat (AS), jumlah pengguna Facebook juga jatuh merudum kepada 149.4 juta pengguna berbanding 155.2 juta sebelum ini. - Agensi

Felda Tewas, Diarah Bayar Balik RM1.2j Caruman Peneroka

Kota Bharu – Mahkamah Tinggi Kota Bharu, di sini, semalam memerintahkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membayar balik caruman Tabung Wang Simpanan Tanam Semula berjumlah RM1.2 juta kepada lebih 100 peneroka di Tanah Merah, Kelantan.

Hakim Mahkamah Tinggi Alor Star, Kedah, Datuk Mohd Azman Husin memutuskan perkara membabitkan 131 peneroka di dua Tanah Rancangan Felda Kemahang 1 dan 2 di daerah itu.

Semua peneroka selaku plaintif memfailkan writ saman tuntutan pada tahun 2004 didapati berhak ke atas keseluruhan jumlah wang caruman mereka sejak 20 tahun lalu itu.

Berdasarkan fakta tuntutan, perjanjian antara Felda (defendan) dan plaintif pada 1981, RM56 dipotong setiap bulan dan berakhir pada 1998, menjadikan jumlah keseluruhan caruman setiap peneroka mencecah RM12,000.

Sementara itu, plaintif, Ismail Mat Jusoh berkata, beliau dapat menarik nafas lega apabila keputusan berpihak kepada peneroka. -SH

Dewan Rakyat Tolak Usul Bantah Perhimpunan BERSIH

Persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai depan, kononnya bagi menuntut reformasi dalam pelaksanaan pilihan raya di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengambil ketetapan untuk menolak usul yang dibawa Datuk Seri Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru) mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.

"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia sudah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan Bersih itu dan akan sentiasa memantau aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Terdahulu, Zahrain yang mengemukakan usul itu sebaik sesi soal jawab selesai, meminta Dewan mengambil ketetapan untuk mengecam sekeras-kerasnya segala tindakan BERSIH, terutama menghasut rakyat agar merusuh di jalanan seperti mana yang berlaku di beberapa negara Asia Barat, termasuk Tunisia dan Mesir.

Beliau juga mahu persidangan mendesak BERSIH supaya membatalkan cadangan mengadakan demonstrasi baik di Kuala Lumpur, mahupun di mana-mana negeri demi keselamatan rakyat dan negara.

Zahrain berkata, tindakan BERSIH tidak mencerminkannya sebagai sebuah badan yang benar-benar memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan telus, sebaliknya bermotifkan politik kepartian.

"Kegiatan lampau BERSIH membuktikan kumpulan ini mempunyai agenda politik sempit dan berhasrat mengelirukan rakyat demi mencapai matlamat politik mereka," katanya.
Pada 2007, BERSIH yang menggunakan slogan "Gelombang Kuning", menganjurkan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara atas alasan sama.

Perhimpunan yang bermula di Dataran Merdeka itu bagaimanapun gagal mencapai sasaran mengumpul 100,000 peserta, apabila hanya beberapa ribu orang hadir.

Demonstrasi jalanan itu bagaimanapun menggugat ketenteraman awam selain menyebabkan kesesakan di lokasi utama di ibu negara.

Perhimpunan kedua BERSIH pada bulan depan antara lain untuk menuntut pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil. - BERNAMA

Yang Dipersoalkan Bukan Penahanan Itu, Tetapi Bogel & Ketuk Ketampi Itu Sah Atau Tidak?

Penahanan Dua Wanita Singapura 9 Jun Lepas Sah

KUALA LUMPUR: Penahanan dua wanita rakyat Singapura ketika cuba memasuki negara ini oleh pegawai Imigresen bertugas di kaunter pemeriksaan keluar, bangunan Sultan Iskandar Johor Baharu, Johor pada 9 Jun lepas adalah sah.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata penahanan itu dibuat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas untuk masuk ke Malaysia.

"Kedua-dua mereka telah ditahan oleh pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter pemeriksaan keluar kerana didapati tidak memiliki sebarang pas atau cop masuk ke Malaysia yang sah," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai menafikan laporan oleh portal berita Malaysiakini.com hari ini yang memetik akhbar harian Singapura, Lianhe ZaoBao yang melaporkan bahawa penahanan kedua-dua wanita berkenaan adalah tidak sah.

Alias berkata di bawah akta berkenaan, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata dakwaan kedua-dua wanita berkenaan bahawa tiada pegawai penyelia yang bertugas di kaunter pemeriksaan keluar pada hari itu adalah tidak benar kerana pasport kedua-dua wanita berkenaan menunjukkan mereka telah beberapa kali masuk dan keluar ke negara ini.

"Kali terakhir mereka masuk ialah pada 31 Julai 2010 dan 6 April 2010," katanya sambil menjelaskan bahawa kesemua 38 kaunter laluan kenderaan dibuka pada 9 Jun lepas.

Alias berkata kertas siasatan berkenaan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 10 Jun lepas dan Timbalan Pendakwa Raya memutuskan kedua-dua wanita terbabit diusir ke Singapura dengan amaran.

Tindakan pengusiran telah dilakukan pada hari yang sama, katanya. -BERNAMA


SUARAM: Hentikan penyeksaan dan penyalahgunaan kuasa segera!

SUARAM berasa amat terkejut dan kecewa dengan isu dua orang wanita warga Singapura yang dipaksa ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel oleh anggota Jabatan Imigresen di dalam lokap Pontian selepas ditangkap atas dakwaan cuba masuk ke Malaysia secara tidak sah pada hari bulan 9 Jun pada pukul 1.30am di Johor Bahru.

Kes Orang Kena Tahan (OKT) yang dipaksa ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel dalam lokap bukan kes pertama kali malah insiden sebegini pernah berlaku pada tahun 2005 yang menimbulkan kontroversi dalam masyarakat mengenai etika dan isu penyalahgunaan kuasa yang timbul dalam pihak-pihak penguatkuasa.

Insiden in jelas menunjukkan bahawa institusi penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen tidak mengambil pengajaran daripada kesilapan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2005.

Selain itu, dalam laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat Peraturan Prosedur Operasi Standard (IGSO) berhubung isu pemeriksaan badan, ketika ditangkap dan dalam tahanan pada 2006 juga menyatakan bahawa sebelum ini Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Diraja telah menerima banyak kes seperti begini.

Hal ini menarik sekali lagi perhatian dan pandangan masyarakat bahawa manakah inisiatif dan penambahbaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan terhadap institusi penguatkuasa selepas isu "ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel" berlaku. Jelasnya ia tidak berlaku malahan bertambah teruk terutama dari segi penerapan unsur-unsur hak asasi di kalangan anggota penguatkuasa.

Walaupun negara kita sebagai ahli dalam majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), namun tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menambahbaikkan status hak asasi kita, antaranya termasuk meratifikasikan konvensyen Anti Penyeksaan iaitu The United Nations Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT) dan juga mematuhi Prinsipal Perbadanan untuk Melindungi Semua Orang yang Ditahan atau Dipenjara (1).

Masa kini, makanisme kerajaan yang sedia ada langsung tidak dapat menangani isu penyalahgunaan kuasa terutama dalam PDRM dan Jabatan imigren antaranya termasuk bahagian tatatertib PDRM dan Biro Pengaduan Awam. Rakyat perlu menolak kerajaan yang zalim yang membenarkan isu penyeksaan dan penyalahgunaan kuasa diteruskan berlaku.

Pendirian SUARAM, sekiranya tiada satu mekanisme yang bebas dan berkuasa untuk memantau institusi-institusi penguatkuasa terutamanya PDRM dan Jabatan Imigren seperti penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja pada tahun 2005, maka tidak akan selesainya masalah penyalahgunaan kuasa seperti yang berlaku sekian hari.

Insiden sebegini jelas sebagai tindakan penyeksaan dan melanggari prinsip hak asasi manusia. Sempena 26 Jun adalah Hari sambutan sedunia PBB untuk menyokong mangsa-mangsa penyeksaan (2), SUARAM akan melancarkan beberapa program termasuk kempen kesedaran untuk menuntut kerajaan menghentikan segala tindakan penyeksaan terhadap rakyat pada masa akan datang.

1. Body of Principles for the Protection of All Persons under Any Form of Detention or Imprisonment

2. The United Nations International Day in Support of Victims of Torture

*Kenyataan media oleh Yap Heng Lung selaku Penyelaras SUARAM. -


Ulasan GB

Kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad lansung tidak menyentuh mengenai tindakan anggota Jabatan Imigresen memaksa dua orang wanita warga Singapura ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel oleh di dalam lokap Pontian selepas ditangkap.

Itu yang menjadi tumpuan sekarang, yang menyebabkan nama negara begitu tercemar kini di luarnegara, bukan sekadar di Singapura kerana berita mengenainya tersebar di media-media antarabangsa.

Cubaan Ketua Pengarah Imigresen mengalihkan pandangan serta cuba membuat "cover-up" terhadap pegawainya itu amat dikesalkan.

Bagaimana kalau nanti Pegawai Imigresen di negara luar meminta Ketua Pengarah Imigresen itu nanti dibogelkan dan ketuk ketampi? Marah atau tidak?

Percubaan nak membodohkan rakyat sepanjang masa oleh pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan ini.

Kelantan Sifar Murtad

Jamil Khir: Permohonan murtad 135 orang diluluskan

Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar).

Beliau menjawap soalan lisan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah jumlah yang diluluskan mengikut negeri sepanjang sedekad yang lalu.

Er juga memohon penjelasan kerajaan mengenai cara-cara yang diambil bagi menangani kes-kes gejala murtad itu.

Jamil dalam jawapannya berkata mengikut perangkaan yang dibekalkan kepada kementeriannya menunjukkan sejumlah 168 orang yang memohon untuk meninggalkan agama Islam diluluskan.

Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.

Mengikut kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.

Mengikut data yang dibekalkan, jumlah tertinggi yang diluluskan adalah dari Sabah iaitu seramai 67 orang dan diikuti dari Negeri Sembilan dengan 33 orang.

Jumlah permohonan untuk meninggalkan Islam yang terbesar adalah di Sabah - 238, Negeri Sembilan - 172, Selangor - 99 dan Perak - 47.

Tiada permohonan murtad dicatatkan di Kelantan.

"Dalam menangani gejala murtad, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa melasanakan program dan aktiviti bagi mengelakkan berlakunya gejala ini terutamnya di kalangan saudara-saudara baru.

"Antara program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti khidmat nasihat; ziarah dan lawatan ke rumah; aktivitiaktiviti pengukuhan agama; kelas pengajian agam; dan sokongan Baitulmal," kata Jamil. -mk

Besarnya Kuasa Tuhan, Wanita Kebas Dompet Di Surau Akhirnya Ditangkap

Melaka: “Takdir tidak memihak kamu. Selepas kejadian di surau Melaka Mall kira-kira jam 5.20 petang (Sabtu), kamu ditangkap di Mydin MITC dua jam kemudian. Saya tidak pernah berjumpa kes macam ini yang menunjukkan betapa besarnya kuasa Tuhan.”

Begitu kata Majistret Muhammad Hazri Hanafi ketika menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM7,500 terhadap seorang wanita pekerja kilang, Zalina Shidid, 38, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri dompet dan wang tunai RM650 milik Penolong Juruaudit Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Nor Azzren Bazid, 26, di sebuah surau di Melaka Mall, Rabu lalu.

Muhammad Hazri juga dalam penghakimannya itu memerintahkan Zalina yang tidak diwakili peguam, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda.

“Apa alasan kamu melakukan perbuatan ini, adakah kerana kesempitan hidup? Atau peluang terbuka depan mata? “Jika mahu bayar sewa sekali pun, carilah sumber halal dan jangan ambil wang orang lain. Mana tahu, mangsa juga perlukan duit itu untuk bayar sewa dan sebagainya.

“Saya bimbang ia jadi tabiat awak mencuri dan berdoa kamu jadi lebih baik, berubah selepas ini,” katanya. Zalina sebelum itu mengaku bersalah mencuri dompet jenama Cardirino, kad pengenalan, lesen memandu kelas B2/D, dua kad kredit Maybank American Express dan Master Card, kad ATM Ambank, telefon bimbit Nokia E71 yang semuanya bernilai kira-kira RM1,700 kepunyaan Nor Azzren di surau tingkat satu Melaka Mall, Jalan Lebuh Ayer Keroh, dekat sini, pada 8 Jun lalu, kira-kira jam 5.20 petang.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Tertuduh juga mengaku pertuduhan kedua, iaitu mencuri wang tunai RM650 milik pengadu di mesin ATM Ambank Pasaraya Mydin, Jalan Ayer Keroh, pada hari sama, kira-kira jam 7.20 malam.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan setahun penjara serta denda RM2,500 bagi kesalahan kedua yang berjalan serentak dari tarikh ditangkap.

Mengikut fakta kes, ketika berada di surau itu, pengadu masuk ke bilik air dan meninggalkan beg tangan di tepi dinding manakala rakannya bersembahyang.

Apabila keluar dan memeriksa beg tangannya, didapati dokumen penting, telefon bimbit dan wang tunai hilang.


Pengadu sebelum itu menyedari suspek berada di dalam surau itu sebelum kehilangan barangan miliknya. Pengadu menghubungi Maybank dan diberitahu kad kreditnya digunakan di Pusat Pakaian Hari-Hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Ayer Keroh (MITC), Ayer Keroh.

Pengadu terus menghubungi rakannya membantu mengesan suspek dan berjaya menahannya berhampiran pasar raya itu sebelum diserahkan kepada polis. -HM

Berita sebelum ini:



Ulasan GB

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah juga.

Doktor Pelatih Yang Hilang Di Jitra Telah Ditemui Di Kuantan - Apa Pengajarannya?

Jitra – Seorang doktor pelatih Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini yang hilang selama hampir sebulan didakwa akibat dipukau ditemui selamat di pusat beli-belah Berjaya Mega Mall di Kuantan, Pahang pada Sabtu lalu iaitu pada hari dia sepatutnya melangsungkan majlis pertunangan..

Dr. Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, ditemui oleh ketua pengawal keselamatan di pusat beli-belah tersebut apabila dia ditahan kerana tidak membayar bil makanan sushi RM70 di sebuah restoran pada pukul 5 petang.

Ketika ditemui, Mohd Noor mengenakan baju T putih dan seluar sukan sambil membawa sebuah beg galas mengandungi pakaian yang dipakainya pada hari dia dilaporkan hilang iaitu kemeja, kasut dan tali pinggang.

Turut disimpan dalam beg sama beberapa barangan lain antaranya kain pelikat, kopiah, berus sabut dan berus gigi.

Bagaimanapun, telefon bimbit dan beg kerjanya berwarna hitam yang mengandungi beberapa dokumen penting hilang.

Mengimbas kehilangannya, Noor Azam berkata, dia tidak menyedari apa yang berlaku pada dirinya sepanjang dilaporkan hilang sejak 26 hari lalu sehinggalah pengawal keselamatan membuka dompetnya untuk mengambil kad pengenalan.

“Pengawal itu bertanya sama ada saya Dr. Mohd. Noor Azam yang hilang selepas melihat kad pengenalan dan kad pekerja saya tetapi saya masih tidak ingat sehingga saya melihat gambar bakal tunang di dalam dompet.

“Saya tersedar dan terus menangis lalu bertanya kepada pengawal itu tarikh dan tempat saya berada pada ketika itu,” kata doktor itu ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Bunga Raya di sini semalam. -kosmo




Doktor pelatih hilang sejak 16 Mei ditemui


Seorang doktor pelatih yang dilaporkan hilang hampir sebulan ditemui selamat di sebuah pusat beli-belah di Kuantan Sabtu lalu tetapi tidak dapat menyatakan dengan jelas apa yang sebenarnya berlaku.

Dr Mohd Noor Azam Mohd Nazri, 26, memberitahu pemberita di rumah keluarganya di Taman Bunga Raya di sini hari ini, bahawa sepanjang dilaporkan hilang, beliau langsung tidak sedar apa yang berlaku sehingga membawanya ke Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Apa yang saya tahu, saya mendengar arahan daripada satu suara yang saya tidak pasti datang dari mana. Saya rasakan kehilangan saya hanya empat hari sahaja,"
katanya.

Mohd Noor Azam adalah lulusan Akademi Perubatan Moscow dan sedang menjalani latihan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar sejak Oktober tahun lalu.

Menceritakan detik beliau ditemui, Mohd Noor Azam berkata beliau ditahan oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kuantan kerana tidak membayar makanan yang dimakannya.

Ketika saya ditahan, mereka telah memeriksa dompet saya untuk memastikan sama ada saya betul-betul tiada wang atau sebaliknya. Ketika mereka membuka dompet saya itu, baru saya berada dalam keadaan sedar.

"Sebaik sahaja sedar, saya berasa sangat lapar dan letih. Kaki juga berasa sangat lenguh, mungkin saya berjalan terlalu jauh," katanya.

Beliau dilaporkan hilang pada 16 Mei selepas dihantar ke tempat kerja oleh bapanya.

Mohd Noor Azam berkata bahawa semasa berjalan menuju ke pejabatnya, beliau mendengar suara yang pernah didengarnya sebelum ini dan ketika itulah beliau tidak sedar apa-apa.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, berkata beliau menerima mengenai penemuan anaknya itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semasa beliau dan keluarga dalam perjalanan ke Kuantan.

"Kami tergerak hati untuk pergi sendiri mencari Azam di Kuantan selepas diberitahu dia ada mengeluarkan duit di sebuah mesin ATM di sana," katanya.

Natrah berkata ketika sampai di IPD Kuantan, dia melihat anaknya berada dalam keadaan sihat tetapi pakaian yang dipakainya lusuh dan bukan miliknya.

"Beg kerjanya juga tiada sebaliknya dia menggalas sebuah beg mengandungi berus gigi, berus sabut, kain pelikat, kemejanya yang sudah lusuh dan beberapa barang lagi yang bukan miliknya," katanya.

Sebelum kejadian itu, Mohd Noor Azam pernah hilang dua kali tetapi kehilangannya itu hanya dua hari sahaja. - BERNAMA


Berita sebelum ini:




Ulasan GB

Pertama, bersyukur ke hadhrat Ilahi kerana doktor muda berkenaan telah ditemui dengan selamat.

Kedua, Itulah pentingnya berita mengenai kehilangan seseorang disebarkan secara meluas melalui akhbar, blog dan sebagainya supaya orangramai dapat mengetahui kejadian tersebut. Syukur kerana GB turut menyebarkan kisah tersebut sejak dari awal kehilangan itu dilaporkan oleh akhbar tempatan. Macam kes di atas, dengan berita yang tersebar, doktor berkenaan telah dapat dicam oleh pengawal keselamatan:

sehinggalah pengawal keselamatan membuka dompetnya untuk mengambil kad pengenalan.

Pengawal itu bertanya sama ada saya Dr. Mohd. Noor Azam yang hilang selepas melihat kad pengenalan dan kad pekerja saya tetapi saya masih tidak ingat sehingga saya melihat gambar bakal tunang di dalam dompet.


Ketiga, isu pukau. Masyarakat Islam perlu meningkatkan kefahaman Islam disamping memperkuatkan aqidah mentauhidkan Allah s.w.t. Ketinggian ilmu duniawi semata-mata tanpa diiringi dengan kemantapan aqidah akan menyebabkan kita boleh diperdaya oleh "ilmu-ilmu hitam" sedangkan orang yang telah belajar mentauhidkan Allah yakin bahawa "benda baharu tidak boleh memberi bekas". Apabila ilmu aqidah tidak mantap maka mudah bagi syaitan dan iblis memperdaya manusia seperti kes diatas "hanya dengan sekali tepuk di dahi mangsa".

“Dia cerita kepada saya bahawa ada seorang wanita muda bertudung merah berusia lingkungan 20-an menegurnya ketika mahu naik lif di HSB kira-kira pukul 6.30 pagi.

Wanita itu bertindak menepuk dahi anak saya menyebabkan dia tidak sedar. Dia hanya tersedar di dalam kereta di kompleks beli-belah City Square di Sungai Petani dua hari selepas itu dan hilang sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM500,” Kelab GB


Belajar dunia tinggi-tinggi, kumpul duit banyak-banyak, tetapi lupakan ilmu ukhrawi, nanti demikianlah jadinya. Salah satu cara untuk menjaga iman kita di dada ialah sentiasa hidup di dalam jemaah Islam tak kira dimana pun kita berada. InsyaAllah, di bawah imbauan surah Al-Asr iaitu saling "ingat-memperingatkan" akan menjadikan hidup kita sentiasa terpelihara dari lalai dan lupa yang merupakan ruang untuk syaitan dan iblis mencelahnya. Bayangkan pula jika kita tidak berjemaah, tentulah lebih besar ruang lalai dan lupa itu adanya.

p/s diharap keluarga Dr. Mohd. Noor Azam Mohd. Nazr tidak berkecil hati dengan ulasan GB di atas untuk dijadikan pengajaran kepada GB dan semua pembaca blog ini. Semuga Allah melindungi kita semua hendaknya.

[Video] Nizar Ucap Tahniah Kepada UMNO Kerana Takut Buat Pemilihan

PRU 13: Tahniah, Umno takut buat pemilihan

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) mencadangkan agar bekas tentera dilantik sebagai ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di setiap negeri.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, amat sesuai untuk bekas tentera ini dilibatkan dalam JKKK memandangkan ianya berkait dengan keselamatan rakyat.

"Saya nak cadangkan di sini dan saya minta pendapat menteri apakah boleh kalau bekas tentera ini dipilih sebagai ahli JKKK.

"Nama pun jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung jadi sudah tentu bekas tentera ini ada kepakaran, kemahiran dan disiplin dan akan memberikan manfaat kepada orang ramai.

"Jadi saya harap bekas tentera ini mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Nizar turut mempersoal kegagalan bekas tentera mendapatkan tanah walaupun telah membuat permohonan setelah bersara pada umur 40 tahun.

Sedangkan menurut Nizar, permohonan tanah itu termaktub dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) tahun 1973.

Beliau merujuk kepada PMAT bertarikh 29 ogos 1973, perenggan 9 hingga 11 yang antara lain menyatakan bahawa isteri bekas tentera berhak untuk memohon 20 ekar tanah pertanian dan dua tapak tanah perumahan daripada Kementerian Pertahanan melalui kerajaan negeri tertentu.

"Malangnya 99 peratus daripada pemohonan tidak diluluskan dan ahirnya ramai di antara bekas tentera hari ini hanya sekadar menjadi pengawal keselamatan, pemandu atau kerja-kerja buruh kasar.

"Saya merasa amat sedih oleh kerana mereka telah menggadaikan usia muda mereka, masa bekerluarga tiba-tiba selepas bersara tidak dilayan sebaiknya," katanya yang juga Adun Pasir Panjang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam jawapannya bagaimanapun tidak menjawab soalan sebenar sebaliknya cuba mengalihkan isu dengan mendakwa tanah di bawah kuasa kerajan negeri dan Nizar sewaktu menjadi Menteri Besar Perak juga tidak memberikan tanah kepada bekas tentera.

Jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil Pakatan Rakyat dan mendakwa Zahid tidak mengkaji isu sebenar
.

Nizar dalam soalan asalnya meminta Menteri Pertahanan menyatakan usaha serta langkah kerajaan dalam memanfaatkan tenaga serta kepakaran bekas-bekas tentera khususnya mereka yang tamat perkhidmatan pada umur 40-an.

Berbalas sindiran

Sementara itu, sewaktu sesi soal jawab berlangsung, berlaku berbalas-balas sindiran di antara Zahid dan Nizar.

Ianya bermula apabila Zahid sebelum menjawab soalan Nizar "mengucapkan tahniah" kepada Nizar dan pimpinan PAS yang menang dalam pemilihan parti minggu lalu.

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada Bukit Gantang (Nizar) yang diberikan kepercayaan semula oleh Presiden partinya sebagai AJK PAS Pusat walaupun beliau kecundang dalam perebutan jawatan naib presiden baru-baru ini.


"Tahniah juga kepada Pokok Sena (Datuk Mahfuz Omar) dan Kubang Kerian (Salahuddin Ayub) yang dapat mengekalkan jawatan sebagai naib presiden PAS dan tahniah kepada Presiden PAS yang menang tanpa bertanding," katanya.

Nizar sebelum mengemukakan soalan tambahan membalas "ucapan tahniah" itu dengan turut "mengucapkan tahniah" kepada Umno yang takut untuk mengadakan pemilihan partinya kerana ingin memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-13.

"Saya ucapkan tahniah kepada menteri yang menjawab (soalan saya) dan kemudiannya memberikan ransangan dan mengucapkan tahiah kepada saya dan rakan-rakan yang bertanding dalam pemilihan parti baru-baru ini.

"Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada menteri kerana parti Umno juga gentar dan takut membuat pemilihan dan akhirnya ditangguh.

"Jadi tahniahlah kerana takut dan kalau boleh ditangguhkan lagi lama lagi elok. Tahniah,"
katanya. -HD