20 Jan 2012

Malaikatul Maut Sudah Berada Di Atas Bas Untuk Menjemputnya Pulang

Tragedi Genting Sempah

BENTONG – Niat seorang penumpang bas ekspres berpindah tempat duduk dari belakang ke bahagian hadapan bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan petang semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rizal Zaharon, 39 beralamat di Rumah Murah Peramu Jaya, Pekan menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 40.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak melibatkan sebuah bas ekspres dan lori treler membawa muatan kayu kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, bas dinaiki oleh 39 penumpang termasuk mangsa bersama seorang pemandu.

“Setibanya di tempat kejadian iaitu di kawasan menuruni bukit selepas terowong Genting Sempah, bas yang dipandu dipercayai terlanggar bahagian belakang lori treler itu.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan kiri tempat duduk penumpang tersepit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Yusri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurutnya, mangsa terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.

“Selain mangsa, sembilan lagi penumpang dan pemandu dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan akibat kecederaan ringan dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil.

“Kes kemalangan masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -SH

Setengah jam keluarkan mangsa

BENTONG – Seorang penumpang bas maut dalam kemalangan melibatkansebuah bas ekspres dan lori treler membawa muatan kayu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan petang semalam di Kilometer 40.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini.

Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan bas ekspres dan treler muatan kayu.

Pegawai Operasi Menyela-mat, Hamzah Wangai berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 4.00 petang selepas menerima maklumat.

Menurutnya, pihaknya hanya mengambil masa lebih kurang tiga minit ke tempat kejadian memandangkan pada masa itu mereka berada di Genting Sempah sempena Ops Sikap 25.

“Setibanya di tempat kejadian, seorang mangsa berada dalam keadaan tersepit di bahagian tempat duduk hadapan bahagian kiri bas.

“Manakala semua penumpang lain bersama pemandu sudah keluar dari bas terbabit, “ katanya.

Hamzah berkata, pihaknya terpaksa mengalihkan lori treler itu terlebih dahulu sebelum memulakan operasi mengeluarkan mangsa.

Menurutnya, keadaan mangsa yang terperosok di bahagian pinggang ke bawah itu menyebabkan pihaknya mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk mengeluarkannya.

“Mangsa, Mohd Rizal Zaharon, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di bawa ke Hospital Bentong,” katanya.

Seorang mangsa, Nurul Hazirah Sapeai, 21 berkata, dia menaiki bas ekspres itu kira-kira jam 2.30 petang untuk pulang ke Kuantan.

Menurutnya, dia tidak mengingati dengan jelas kejadian yang berlaku kerana apabila sedar, dia sudah berada di Hospital Bentong menerima rawatan.

“Pada masa kejadian saya duduk di bahagian tepi tengah bas sebelah kanan.

“Apabila sedar saya sudah berada di hospital dan doktor mengatakan saya mengalami kecederaan di bahagian mulut,” katanya.

Nurul Hazirah yang merupakan mahasiswa tahun satu Universiti Malaya itu berkata, dia sering menggunakan perkhidmatan bas ekspres itu untuk pulang bercuti. Menurutnya, kali ini dia pulang untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina dan tidak menyangka kejadian seumpama ini berlaku.


Ulasan GB

"Kematian" datang kepada kita apabila ajal sudah tiba. Datang pelbagai cara dan tak kira kita di mana. Apabila daun sudah gugur ia tidak tercepat atau terlambat walau sesaat jua.

Siapa duga, dia beralih tempat duduk dari belakang ke depan, rupa-rupanya gilirannya sudah tiba.

Justeru beringatlah kita sentiasa, sebelum malaikatul maut menjemput kita. Mungkin "dia" sudah ada dalam kereta yang kita naiki, dalam pejabat, atau di mana saja kita berada... entah esok entahkan lusa...

Kepada almarhum.. alfatihah... kita sedekahkan pahala agar dicucuri rahmat ke atas rohnya.

Tubuh J/K Parlimen Untuk Semak Beli Alat Tentera

Tubuh JK Parlimen semak beli alat tentera

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini mencadangkan agar ditubuhkan Jawatankuasa Parlimen Komiti bagi melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap pembelian peralatan ketenteraan di negara ini.

Cadangan tersebut disuarakan oleh tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi di pejabatnya di Kementerian Petahanan, di sini.

Ketiga-tiga ahli Parlimen terbabit terdiri daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat bagi pihak PAS, Ahli Parlimen Machang yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak PKR dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang juga Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dari DAP.

Pertemuan tersebut bermula jam 3.00 petang dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad, Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara.

Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut pada dasarnya telah dipersetujui oleh Zahid, Ketua Setiausaha kementerian dan ketiga-tiga panglima terbabit sekiranya ia diluluskan oleh Parlimen.

"Ini merupakan satu perkembangan yang baik. Ini akan membolehkan rakyat mendapat manfaat lebih besar apabila pemimpin yang juga ahli-ahli Parlimen pembangkang turut berpeluang memainkan peranan penting bagi melaksanakan tugas semak dan imbang terhadap perbelanjaan kerajaan khususnya berhubung pembelian peralatan ketenteraan di negara ini," katanya.

Bercakap pada sidang media bersamanya dengan Saifuddin dan Tony di hadapan bangunan Kementerian Pertahanan selepas pertemuan itu, beliau berkata, pertemuan tersebut diadakan bagi mendapatkan penjelasan daripada Zahid mengenai beberapa isu.

"Antara isu utama yang dibincangkan adalah mengenai kos sebenar pembelian kapal patrol yang telah berubah harga sebanyak RM3 bilion selepas setahun iaitu dari RM6 bilion kepada RM9 bilion," jelasnya.

Menerusi pertemuan itu, ketiga-tiga mereka telah dijelaskan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu bahawa perbezaan tersebut berlaku kerana perkara sebenar mengenainya tidak dijelaskan oleh Zahid pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Berdasarkan penjelasan Ketua Setiausaha kementerian itu didapati kos sebenar pembelian kapal tersebut sememangnya RM9 bilion, tetapi daripada jumlah itu hanya RM6 bilion sahaja yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), manakala RM3 bilion lagi dimasukkan dalam RMK-11.

Pada sidang media yang sama, Saifuddin menjelaskan, penjelasan tersebut akan dikaji oleh pihak Pakatan Rakyat dan mereka akan memberikan respon mengenainya kemudian nanti.

"Buat masa ini, kami memang menerima dulu segala penjelasan yang diberi, tetapi kami akan kaji pula selepas ini sama ada penjelasan itu boleh diterima oleh pihak Pakatan Rakyat atau tidak," katanya.

Manakala Tony pula berkata, langkah Kementerian Pertahanan yang bersetuju mengadakan pertemuan dengan pihak pembangkang pada hari ini pasti akan memberikan kesan yang cukup baik bagi kepentingan negara.

Beliau berharap agar langkah seperti itu akan turut diadakan oleh kementerian-kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Tidak rugi jika pihak kerajaan bersetuju mengadakan pertemuan seperti ini kerana ia akan membolehkan pihak pembangkang melakukan semak dan imbang terhadap segala tindakan dan perbelanjaan kerajaan bagi kepentingan rakyat dan negara," ujarnya. -HD



RBF Kata Papagomo & Parpukari Sukar Dikawal, Ada 1,800 Cybertroooper Dilatih

Unit media Umno tak dapat kawal Papagomo, Parpukari'

Pengerusi unit media baru Umno, Tun Faisal Ismail Aziz berkata beliau tidak dapat mengawal penulis blog tertentu seperti Papagomo dan Parpukari yang dikatakan sering menyiarkan tulisan berunsur fitnah di laman berkenaan.

Katanya, beliau tidak menyokong pandangan tertentu yang diketengahkan dalam blog berkenaan namun beliau mengakui bahawa laman berkenaan menyumbang kepada pengaruh Umno, lebih-lebih lagi ketika menghadapi pilihan raya kecil dan pilihan raya umum.

"Tapi saya lebih bimbang apabila berdepan dengan pemilihan Umno. Penulis blog ini akan bersaing antara satu sama lain.

"Nak kawal blogger Umno sendiri bukan senang. Apa cara kita hendak kawal mereka?," katanya lagi ketika ditemui di satu majlis diskusi pengguna laman blog Twitter, malam tadi.

Katanya, walau beliau mengenali penulis blog berkenaan secara peribadi, individu berkenaan tidak mendedahkan identiti mereka di ruang maya.

"Penulis blog yang menyerang ini, sukar untuk kenali mereka, mungkin mereka terikut-ikut dengan orang lain.

"Lainlah macam saya. Saya bertanggungjawab kepada parti," kata anggota exco pemuda Umno itu lagi.

Katanya, Unit Media Baru Umno juga tidak menyokong serangan peribadi yang dilancarkan oleh kumpulan penulis blog berkenaan, seperti yang dilakukan ke atas exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong.

ADUN PKR itu dilanda kontroversi apabila foto separuh bogel beliau tersebar di laman pro-Umno bermula Februari 2009.

Tun Faisal menjelaskan, penulis blog seperti papagomo dan parpukari telahpun meraih populariti apabila Umno mula menubuhkan unit baru itu ketika memasuki gelanggang pilihan raya 2008.

Katanya Umno telahpun jauh ketinggalan di belakang PAS, DAP dan PKR yang beralih untuk menyampaikan mesej mereka di ruang Internet apabila tidak lagi mendapat tempat di media arus perdana.

Kumpulan pro-pembangkang telahpun menggunakan ruang Internet semenjak 1999 ketika slogan seperti "Mahazalim" mula timbul sebagai kritikan kepada corak pemerintahan perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita jauh ketinggalan di belakang sedangkan lanskap (perang media) telahpun berubah. Pada 2008 kita terkejut kerana ia bukan lagi sekadar tulisan tetapi kandungan multimedia digunakan.

"Fitnah semakin banyak dengan gambar dan visual. Sebab itu Pak Lah kena teruk (diserang). Ianya lebih teruk daripada (fitnah) 'zaman Mahazalim'," katanya lagi.

Semenjak dilantik mengetuai unit berkenaan pada 2010, Tun Faisal berkata beliau telah melatih seramai 1,800 orang untuk bergiat di ruang siber melalui penulisan blog dan juga menyertai laman sosial.

Secara peribadi, beliau bagaimanapun hanya mengenali seramai 27 orang daripada jumlah tersebut.

Beliau dilantik oleh ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin ke unit berkenaan untuk mendedahkan orang Umno dengan media baru supaya tidak begitu bergantung kepada media arus perdana.

Sekarang, kata Tun Faisal, pihaknya mempunyai lebih ramai pengendali media dalam talian untuk mengimbangi keadaan tersebut.

'Cybertrooper' berkenaan juga, katanya, dilatih untuk menyerang pembangkang dan juga untuk melengkapi fungsi media arus perdana yang lebih banyak melaporkan dasar dan implementasi kerajaan

"(Latihan tersebut) sama ada anda kelirukan orang atau beritahu sisi cerita yang lain," katanya lagi berjenaka.

Turut hadir dalam program diskusi pada malam tadi ialah kolumnis Malaysiakini Hishamuddin Rais, ahli parlimen Kota Belud Datuk Rahman Dahlan dan juga timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Perbincangan berkenaan antara lain bertujuan untuk mengadakan dialog yang lebih membina di antara penyokong BN dan Pakatan di ruang Twitter. -mk

Ulasan GB

Papagomo? Parpukari?

Kita tak hairan pun dengan dua manusia(?) ini. Hukum kebenaran akan menghukum mereka. Kita tunggu dan lihat kerana segala pekung mereka bakal terdedah jua.

Sekalipun mendapat perlindungan dan "diberikan makan" paling kenyang oleh pihak tertentu, kesudahannya akan berakhir kedua-duanya akan tercampak ke lembah kehinaan dan kebinasaan hasil dari perbuatan tangan mereka sendiri.

Kita tunggu dan lihat.

Isu Hassan Ali: Ayam Terlepas, Tangan Bau Tahi

Isu Exco: Hasan Ali dakwa Pas jadi ‘pak turut’

SHAH ALAM - Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, yang dipecat Pas awal bulan ini, hari ini mendakwa masyarakat melihat parti Islam itu terpaksa menjadi "pak turut" kepada parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain ekoran perubahan portfolio pentadbiran kerajaan negeri semalam.

Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Exco bagi menggantikan Hasan.

Hasan berkata, rombakan portfolio menurutnya agak ganjil dan pelik kerana Dr Ahmad Yunus hanya diberi portfolio Adat-adat Melayu, Belia dan Sukan manakala portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam diserahkan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau sebelum ini merupakan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

"Sayangnya dengan rombakan yang terbaru ini, maruah Pas sebagai sebuah parti Islam telah dipijak,” katanya hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia ini berkata, bagi beliau rombakan ini telah memberi satu tamparan hebat kepada imej dan kedudukan Pas dalam kerajaan PR Selangor.

"Rombakan tersebut menggambarkan yang Adun Pas yang ada dilihat tidak layak dan tidak berkemampuan untuk memikul portfolio penting yang telah saya pikul sebelum ini.

"Lebih menyedihkan apabila portfolio agama yang selama ini menjadi kebanggaan Pas sebagai sebuah parti Islam telah terlepas ke tangan parti komponen yang lain," katanya sambil menambah, "saya khuatir apabila memikirkan sebuah hadis Nabi yang menggambarkan

saat kehancuran akan tiba apabila sesuatu jawatan diserah kepada bukan ahlinya akan menjadi kenyataan."

Hasan, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika penubuhan kerajaan negeri PR di Selangor pada Mac 2008 telah meminta beliau dan kepimpinan Pas Selangor pada waktu itu memastikan portfolio agama dipegang oleh parti itu dan mesti mempertahankannya. -SH

Dr Rani: Tukar portfolio bukan isu, sudah dibincang

SHAH ALAM - Keputusan menukar portfolio di bawah rombakan kecil Exco Kerajaan Negeri semalam bukan satu isu kerana ia dicapai menerusi perbincangan antara kepimpinan pentadbiran negeri dan Pas.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, perkara tersebut telah dibincangkan oleh PKR dan parti Islam itu.

Malah kata Dr Rani, pihaknya juga diberi jaminan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa jika ada isu-isu besar membabitkan Islam dan Muslim, beliau akan mengadakan perbincangan kepimpinan Pas.

"Itu jaminan diberikan kepada kami, jadi tidak menjadi satu masalah," katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, tidak timbul soal Pas telah tunduk kepada kepada tekanan komponen lain dalam Pakatan Rakyat ekoran perubahan portfolio berkaitan hal ehwal Islam.

"Tidak timbul soal Pas dibelakangkan. Kita memang sudah berbincang, sudah dibincangkan oleh kepimpinan Pas," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.


Ulasan GB

Hassan Ali masih terus meroyan dan menyerang
ajakan muhasabah diri dipandang sepi
semakin meroyan semakin terdedah siapa Hassan Ali
ayam terlepas tangan bau tahi




Shahrizat Sepatutnya Tidak Dibenarkan Saman Kerana Kes Masih Dalam Siasatan

Saman dari Shahrizat: Kami cukup bersedia dan ‘teruja’- Rafizi

KUALA LUMPUR 19 Jan: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata beliau bersedia untuk berdepan saman dari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Ia ekoran Shahrizat hari ini mengemukakan saman terhadap beliau dan Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurutnya, peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan yang bakal diikuti lebih ramai rakyat Malaysia.

“Peluang ini memang telah ditunggu-tunggu agar kami boleh menggunakan kuasa mahkamah untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini,”

“Oleh itu, kami cukup bersedia dan teruja untuk berdepan dengan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak,” tegasnya.

Menurut Rafizi, beliau yakin semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri.

“Sebelum memulakan siri pendedahan skandal, pasukan kami telah pun berbincang dengan peguam-peguam KEADILAN mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, risiko saman itu adalah berat dipihaknya yang berdepan kemungkinan muflis sekiranya kalah, sedangkan Shahrizat hanya perlu membayar kos guaman dan pentadbiran jika saman itu ditolak.

Zuraida ketika membuat laporan polis terhadap NFC 23 November lalu.

“Dengan kekayaan keluarga beliau, sudah tentu beliau mampu membayarnya,”

“(Namun) jika pimpinan Umno seperti Shahrizat beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar,” katanya. -KD

Ulasan GB

Satu persoalan yang timbul, mengapa Shahrizat dan Rafizi disaman berhubung pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC) sedangkan skandal ini masih di dalam siasatan polis dan SPRM? Apatah lagi skandal ini didedahkan oleh Jabatan Audit Negara sendiri?

Malah Najib sendiri sudah mengumumkan pembekuan asset-asset NFC disamping Muhyiddin sendiri khabarnya ingin melantik firma audit untuk mengaudit akaun NFC?

Menyaman orang yang mendedahkan penyelewengan adalah sesuatu yang menghina semua pihak yang terlibat iaitu institusi perundangan, kehakiman, Jabatan Audit, SPRM, Polis, PM & TPM sendiri apatah lagi kes itu masih di dalam siasatan.

Undang-undang telah memberi perlindungan bukan sahaja Zuraida dan Rafizi yang dilihat lebih bertanggungjawab kerana tampil dengan terbuka dan telus, malah undang-undang juga melindungi pemberi maklumat anonymous di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Pihak Kehakiman atau Peguam Negara perlu menegur peguam Shahrizat yang bebal dan melampau itu kerana ia tidak mengikut prinsip dan kaedah perundangan yang betul. Tidak sepatutnya ada mana-mana pihak yang didakwa atau disaman semata-mata "memberi maklumat" dan mendedahkan penyelewengan, rasuah atau salahlaku dan tindakan Shahrizat menyaman Zuraida & Rafizi ternyata hanya untuk membuat satu kegemparan sedang tindakan itu tidak selayaknya dibenarkan undang-undang.

Jika boleh dibenarkan demikian, maka semua defendan nanti boleh menyaman pihak plaintif

Sungguh benarlah mereka itu semua bermentalitikan lembu belaka.



Tol Perlu Hapus Kerana Syarikat Konsesi Telah Untung Besar

Keuntungan berlipat kali ganda yang diterima oleh syarikat konsesi kutipan tol-tol di Malaysia disifatkan sebagai maha firaun oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ini berdasarkan kepada maklumat yang diterima oleh Lim lanjutan daripada soalan yang dikemukakan beliau di dalam parlimen tahun lepas berkenaan kutipan tol di Malaysia.

"Maklumat yang diperolehi jelas menunjukkan beberapa syarikat mengaut untung yang sangat besar, maha besar dan maha firaun," ulas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Lim memberi contoh pembinaan Lebuhraya Utara Selatan yang memperuntukkan kos pembinaan sebanyak RM 6 billion tetapi menerima pulangan sebanyak 308% daripada modal yang dikeluarkan. Ini memberi jumlah kutipan dan pampasan berlipat ganda daripada kos asal iaitu sebanyak RM 24.3 billion.

"Ini bermakna mereka telah mencapai keuntungan sebanyak RM 18.3 billion dan inilah dikatakan keuntungan maha firaun. Sedangkan mereka boleh mengutip tol sehingga Disember 2038 sehingga ke anak cucu cicit kita.

Jesteru, Lim menjelaskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, Beberapa lokasi kutipan tol akan dihapuskan terutama kepada syarikat yang sudah menikmati keuntungan besar selama ini.

Lim juga mempersoalkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Noh Mohd Yaakob bahawa jika tol dihapuskan, negara ini akan muflis sedangkan keuntungan diperolehi jauh lebih tinggi daripada modal yang dikeluarkan.

"Saya kata tidak. Malaysia tidak akan muflis. Dan sekiranya dia masih yakin dengan kenyataannya, marilah berbahas berdasarkan fakta dan bukan sekadar serangan yang tidak masuk akal.

"Saya harap beliau tidak takut untuk berbahas tentang isu penting seperi isu ekonomi dan kos hidup rakyat ini. Malah sekiranya tol dihapuskan, inflasi juga akan turun,"
jelas Lim lagi sambil mencabar Noh Yaakob untuk berbahas dengannya secara terbuka mengenai isu ini.

Sementara itu setakat 31 Disember 2010, Lebuhraya Metramac memperolehi hasil kutipan keuntungan tertinggi dengan pulangan setakat 2010 sebanyak 877% iaitu RM440 juta dengan kos pembinaan cuma RM 45 juta. Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak turut dicatat keuntungan besar sebanyak RM1.4 billion dengan kos pembinaan RM 451 juta selain tempoh konsesi selama 38 tahun.

Manakala Keuntungan konsasi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang dibina dengan kos RM1,08 bilion telah memcatat keuntungan RM1.61 bilion. Manakala tempoh konsasinya selama 34 tahun.




Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Video Bunyi Aneh Di Langit Kota Samarahan Sama Dengan Di Alberta

Insiden ‘bunyi aneh dan menakutkan’ dari langit yang kedengaran di Kota Samarahan, Sarawak pada 11 dan 12 Januari lalu kini mendapat perhatian antarabangsa apabila artikel mengenainya yang disiarkan di The Borneo Post mula dibincangkan secara hangat di dalam internet di seluruh dunia.

Pada yang belum tahu, sehari sebelum kejadian pada waktu mejelang Subuh itu berlaku, terjadi perkara yang sama di Aaborg, Denmark.

Bahkan bunyi aneh dan menggerunkan tersebut pernah direkodkan di Sweden pada 1 November tahun lalu

The Borneo Post tempoh hari melaporkan satu bunyi aneh telah kedengaran di Kampung Meranek, Kota Samarahan yang mencetuskan ketakutan dan kegelisahan penduduknya.

Tidak lama selepas bunyi itu kedengaran, satu kejadian gempa bumi kuat (7.3 skala Richter) berlaku di Sumatera, Indonesia.

Bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan sejauh mana kaitannya antara bunyi aneh itu dan kejadian gempa bumi tersebut.

Ini bunyi yang berjaya direkodkan oleh salah seorang penduduk:



UPDATED: dan terbaru , bertarikh 17 Januari 2012, bunyi yang seakan akan sama direkodkan di London. Saksikan..



Sementara itu Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, Datuk Fadillah Yusuf tidak mahu terus membuat konklusi mengenai perkara itu.

Katanya, beliau perlu terlebih dahulu mendapatkan maklumat saintifik mengenainya daripada Jabatan Metrologi.

Selain daripada kejadian gempa bumi di Sumatera itu, ada juga teori yang mengaitkan bunyi aneh itu dengan sebuah program yang dikenali sebagai High Frequency Active Auroral Research Programme (HAARP)

HAARP adalah program penyelidikan berkaitan ionosfera dan dinaungi sepenuh oleh US Air Force, US Navy, University of Alaska dan Defense Advanced Research Projects Agency(DARPA).

DARPA adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk membina pelbagai senjata berteknologi tinggi untuk kegunaan ketenteraan Amerika Syarikat.

HAARP berselindung dengan aktiviti penyelidikan saintifik yang kononnya menyelidik lapisan ionosfera bagi meningkatkan lagi penggunaan sistem komunikasi dan pemantauan cuaca.

Tapak penyelidikan HAARP yang berada di Gakona, Alaska menempatkan peralatan berteknologi tinggi iaitu Ionospheric Research Instrument(IRI).

IRI adalah sebuah instrumen yang menghasilkan frekuensi radio berdefinisi tinggi sekitar 2.7MHz sehingga 10MHz.

IRI mampu memancarkan frekuensi ke lapisan yang terhad untuk dicapai iaitu di lapisan Ionosfera dan menghantar kembali isyaratnya ke bumi.

Boleh tengok penjelasan berkaitan HAARP



Apapun sehingga kini, belum ada jawapan jelas mengenai apa sebenarnya yang berlaku di Kota Samarahan dan beberapa buah kawasan di dunia tempoh hari.

Yang pasti, bunyi yang aneh dan menggerunkan itu akan terus menghantui penduduk selagi tiada jawapan yang jelas mengenainya – Oleh SYAHRIL A. KADIR (Mynewshub.my)

**apapun, sebagai seorang Islam, kita tak boleh nak mempercayai sebarang perkara diluar batasan pemikiran dan bersifat tahyul .Mungkin ada sebabnya semua ini berlaku. Ada yang kata ini suara Dajjal. Hanya Allah yang mengetahui. Jadikan pengajaran untuk peringatan dan pedoman kita. Bukan sesuatu yang menyesatkan kita. -hazrilhafiz