11 Jan 2012

Bahan DNA Tercemar. Harapan Saiful Merayu Tipis

Bapa Saiful mohon Peguam Negara rayu kes liwat II

Azlan Mohd Lazim, bapa kepada pengadu kes liwat II, Mohd Saiful Bukhari berkata beliau akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil susulan keputusan Mahkamah Tinggi Isnin lalu yang memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, buat masa ini beliau masih menunggu langkah yang akan diambil peguam negara -- sama ada akan merayu keputusan tersebut.

Peguam Negara juga masih belum menghubungi beliau berhubung tindakan itu, kata Azlan, 58, ketika ditanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Azlan turut menyelar Majlis Peguam yang sebelum ini membuat saranan kepada Peguam Negara untuk tidak merayu kes berkenaan.

"Pada hemat saya, tindakan majlis peguam itu... langkah untuk menidakkan hak seseorang warganegara untuk diadili dan didengar rayuannya ke peringkat tertinggi," katanya.

Badan itu sebaliknya perlu bersikap neutral dan tidak menghalang proses keadilan, kata Azlan lagi.

"Adakah gesaan itu melambangkan pendirian semua peguam atau hanya pendirian individu tertentu yang menduduki kerusi Majlis Peguam yang berkepentingan politik?

"Diharap pihak Peguam Negara tidak terpengaruh," katanya lagi yang menambah anggota keluarga itu juga menerima keputusan mahkamah dengan tenang.

Katanya, masih ramai yang masih bersimpati dengan Saiful dan juga keluarga beliau atas keputusan tersebut.

"Tapi apa boleh buat itu keputusan mahkamah," katanya lagi dalam sidang media di kediamannya di Petaling Jaya.

"Sebagai bapa saya akan terus bersama anak saya untuk dapatkan keadilan,

Katanya lagi, Mohd Saiful, 26, kini berada di dalam negara dan bekerja di Kuala Lumpur.

Azlan berkata anaknya itu juga kini masih bujang, seperti dirinya. -mk

Saiful: Saya tidak akan serah kalah, mahu kes dibawa ke Mahkamah Rayuan

Mohd Saiful Bukhari Azlan berharap pihak pendakwa dapat mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mendapat pembelaan adil untuk dirinya.

Dalam tulisan terbaru di blognya, Mohd Saiful (gambar), 26, bekas pembantu peribadi dan pengadu kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mempunyai hak untuk mendapat pembelaan yang adil hingga ke peringkat tertinggi badan kehakiman.

"Semua sedia maklum keputusan pada hari ini tidak memihak kepada saya. Namun saya redha dan menghormati keputusan ini...saya menerimanya dengan hati yang tenang.

"Bagaimanapun aduan saya sebagaimana laporan polis yang dibuat pada 28 Jun 2008 mempunyai hak untuk diadili hingga ke peringkat mahkamah atasan. Oleh itu saya dan keluarga berharap agar pihak pendakwa raya dapat memfailkan dan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan," katanya.

Anwar, Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh hari ini dilepaskan dan dibebaskan dari tuduhan meliwat Mohd Saiful tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Diah membuat keputusan itu dengan alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa selain pihak pendakwaan gagal membuktikan Anwar melakukan perbuatan itu.

Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Tambah Mohd Saiful, beliau percaya setiap perkara yang berlaku "ada hikmahnya" selain ia ketentuan Allah.

"Sebagai hamba Allah, saya percaya bahawa setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Perancangan Allah pastinya jauh lebih hebat dari manusia.

"Iman dan keyakinan saya pada Allah tetap teguh. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." katanya.

Di akhir tulisannya, Mohd Saiful berkata beliau tidak akan sesekali menyerah kalah. -TMI



Ulasan GB

Meneliti keputusan hakim, maka kita akan dapati pihak pendakwa tidak mempunyai alasan untuk membuat rayuan. Ini kerana pihak pendakwa tidak mempunyai bukti lain untuk diketengahkan selepas kedua-dua bukti materi telah ditolak iaitu DNA dan oral-lisan.

Hakim Mohamad Zabidin, dalam keputusan yang mengejutkan memutuskan Anwar tidak bersalah dan mengarahkan supaya beliau dibebaskan.

Hakim Mohamad Zabidin yang tidak membaca penghakiman penuh kecuali kesimpulannya berkata kedua-dua bukti iaitu DNA dan oral-lisan tak boleh sabit kesalahan.

"Selepas meneliti bukti, saya tidak boleh pasti 100 peratus bahawa bukti telah diusik.

"Justeru, mahkamah keberatan menerima bukti sedemikian dari SP1 Saiful."


Mengimbau kembali perbicaraan, Pakar forensik dan patalogis Australia, Dr David Wells menyifatkan integriti spesimen yang diambil daripada pengadu Saiful Bukhari Azlan dalam kes fitnah liwat II ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat kritikal.

Kita juga telah didedahkan maklumat bahawa seorang pegawai polis, Pegawai penyiasat (IO) DSP Jude Blacious Periera mengakui bahawa beliau memotong bahagian luar plastik spesimen DNA untuk tujuan penandaan.

Malah Jude turut memberitahu bahawa beliau menyimpan spesimen tersebut di dalam almari tidak berhawa dingin lebih daripada 40 jam.

Pasukan peguambela pada hari ini berjaya menimbulkan kesangsian tentang cara pengendalian sampel DNA yang diambil oleh doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke atas Saiful.

Katanya Jude sendiri telah melanggar prosedur analisis kimia dengan memotong bekas plastik yang mengandungi sampel DNA pengadu.

Dalam pada itu Sankara yang ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, "Pakar mengatakan IO telah potong beg. Ini memberi peluang kepada kontaminasi dan perkara ini memang berlaku. Kononnya untuk buat penandaan baru dan pakar cakap prosedur ini tidak betul. Itu menujukkan kejayaan pihak pembela hari ini".


Sekarang apabila bahan bukti utama telah tercemar dan ditolak, apa lagi yang hendak dirayukan? Apa evidences lain yang hendak dikemukakan? Dubur Saifulkah? Itupun disyaki telah dicemari.

Tiada ruang untuk pendakwa raya hendak persoalkan dan menekan mahkamah supaya bahan bukti itu diterima semula kecuali ada permainan lain direncanakan untuk menafikan keputusan hakim tersebut.

Justeru itu, harapan untuk Saiful agar Peguam Negara merayu adalah tipis dan GB merasakan peguam negara tidak akan mengambil risiko dimalukan lagi jika membuat rayuan terhadap kes ini. Apatah lagi Peguamcara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili pihak pendakwaraya dan Pejabat Peguam Negara bagi kes liwat II dilaporkan sebelum ini telah pun meletakkan jawatannya!

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Utusan Cuba Jadi Jaguh Moral, Lupakah Bagaimana Gelagat Wanita & Puteri UMNO?

Muslimah PAS pertahan `gelagat’ ahli ketika menyokong Anwar

Petaling Jaya: Muslimah PAS mempertahankan tindakan ahli dan penyokongnya ketika menyokong Datuk Seri Anwat Ibrahim di perkarangan mahkamah tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Timbalan ketuanya, Dr Mariah Mahmud berkata, tidak ada apa salahnya bernyanyi beramai-ramai dengan bersemangat.

Beliau berkata, amalan ini berlaku di negara-negara Islam lain termasuk di Timur Tengah dan Indonesia.

Menurutnya, Muslimah yakin yang apa yang berlaku bukan satu kesalahan dan dosa dan bukan kayu ukur akhlak dan moral muslimat.

Dr Mariah berkata, tidak ada percampuran dengan lelaki dan perempuan, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada lenggang lengguk yang mengiurkan, intonasi suara bukan intonasi yang jatuh kepada haram dan perkataan yang digunakan tidaklah lucah.

“Apalah “kesilapan” yang sedikit ini dibandingkan dengan dosa rasuah, penyelewengan, kezaliman, penolakan hukum Hudud yang dilakukan pimpinan Umno/BN serta fitnah I dan II terhadap Anwar? ” katanya.

Terlalu gembira

Menurut Dr Mariah, nyanyian pun dalam sekitar 10 minit kerana yang hadir dari sebelum Subuh lagi terlalu gembira dengan pembebasan Anwar.

Ahli Parlimen PAS Kota Raja itu berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar akhbar Utusan Malaysia dan rakaman You Tube yang memaparkan kegembiraan sebahagian Muslimat PAS selepas pengumuman pembebasan Anwar.

Dr Mariah mendakwa, kegembiraan yang dizahirkan secara nyayian beramai-ramai dan senikata yang zahir secara spontan telah menaikkan kemarahan penyokong Umno dan BN.

“Ini membuka peluang mereka untuk membina persepsi negatif terhadap PAS. Satu kesinambungan usaha Umno/BN untuk memburukkan PAS.

“Maka mereka cuba menggambarkan yang akhlak muslimat buruk dan mempersoalkan moral muslimat,” katanya lagi. -FMT


Utusan dakwa gelagat muslimat PAS memalukan

Muslimat PAS yang berhimpun di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu mempertontonkan gelagat yang cukup memalukan sewaktu menunggu keputusan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa Utusan Malaysia.

Menurut laporan di halaman 4, akhbar milik Umno itu berkata meskipun bertudung labuh dengan sebahagian besar mereka berjubah, muslimat PAS itu itu “menyanyi-nyanyi dan bersorak tanpa mempedulikan orang ramai yang memerhatikan aksi mereka”.

“Dengan dipimpin oleh seorang ketua yang memegang pembesar suara, muslimat PAS itu menyanyi-nyanyi dan bersorak tanpa mempedulikan orang ramai yang memerhatikan aksi mereka.

“Lebih memalukan, muslimat PAS itu seolah-olah lupa diri sehingga sanggup mengeluarkan perkataan ''Umno mampus'' malah ada kalangan mereka yang gagal menjaga aurat dengan selamba bersalaman dengan lelaki bukan muhrim,” petik akhbar itu lagi.

Pada perhimpunan Isnin lalu, tidak kurang 5,000 hadir bagi menyokong ketua umum PKR itu. Mereka bukan sahaja daripada penyokong PKR tetapi juga membabitkan penyokong Pakatan Rakyat yang lain seperti DAP dan PAS serta juga orang ramai.

Utusan juga mempersoalkan Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof yang bukan setakat tidak melarang gelagat tidak senonoh pengikutnya, malah kelihatan gembira dan bersama-sama meraikannya.

Aurat

Sebelum ini, beberapa blog pro-Umno juga membuat dakwaan yang sama dan memuat-naikkan gelagat yang dikatakan tidak sopan itu ke laman sosial Youtube.

Antaranya blog Sel13.com di http://sel13.com yang turut mempertikaikan akhlak muslimat PAS itu sedangkan menurut blog berkenaan PAS satu masa dahulu pernah mengharamkan wanita menyertai tilawah al-Quran kerana suara wanita adalah aurat.

''Jika dulu PAS sering mengutuk Wanita serta Puteri Umno kerana tidak berakhlak dan bebas bersalaman dengan bukan muhrim. Adakah itu berakhlak?

''Walaupun Ketua Muslimat PAS berada di situ tetapi tiada langsung usaha untuk menghalang daripada menghentikan perbuatan tidak berakhlak ahli-ahlinya. Malah, beliau pula yang turut sama bergembira.

''Kami tidak berhasrat menulis lebih panjang lagi. Kami pulangkan kepada rakyat untuk menilai akhlak sebenar muslimat-muslimat PAS yang selama ini memperjuangkan Islam melebihi orang lain," petik blog berkenaan.

Dosa rasuah

Sementara itu, mengulas laporan berkenaan, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata kegembiraan yang dizahirkan secara nyanyian beramai-ramai secara spontan itu telah menaikkan kemarahan penyokong Umno dan BN dan membuka peluang mereka untuk membina persepsi negatif terhadap PAS.

“Apalah ‘kesilapan’ yang sedikit ini dibandingkan dengan dosa rasuah, penyelewengan, kezaliman, penolakan hukum hudud yang dilakukan pimpinan Umno BN serta Fitnah I dan II terhadap Anwar?” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Siti Mariah ia satu kesinambungan usaha Umno BN untuk memburukkan PAS yang cuba menggambarkan yang akhlak muslimat buruk dan mempersoalkan moral muslimat.

Baginya, rakaman itu sebenarnya hendak ditujukan kepada ahli-ahli PAS dan penyokong PAS yang tidak hadir di Himpun 901 dan akan melihat rakaman tersebut di luar konteks peristiwa.

“Kami menduga ia akan memberi persepsi negatif terhadap muslimat PAS kepada mereka yang mungkin tidak pernah turun ke jalan raya untuk demonstrasi dan tidak mungkin memahami perasaan mereka yang sentiasa berhadapan dengan kezaliman pihak berkuasa, biasa disembur dengan gas pemedih mata dan air beracun,” katanya lagi dipetik Harakahdaily.

Menurutnya, anak-anak muda itu menghabiskan usia muda mereka bersama berjuang menuntut keadilan dan menyanggah kezaliman regim Umno BN.

“Saya menghadiri dan bersama dengan sebahagian wanita dalam Himpun 901 dari awal hingga peserta Himpun 901 bersurai. Saya juga acap kali turun berdemo dan sentiasa memantau pergerakan muslimat,” katanya.

Portal rasmi PAS itu juga melaporkan Siti Mariah berkata, sesiapa yang ada bersama pada Himpun 901 tahu yang sebahagian Muslimat PAS dan wanita yang hadir telah berhimpun di satu sudut tempat berhimpun untuk bermunajat kepada Allah SWT untuk membebaskan Anwar.

Bacaan Ma’thurat dan Yasin

“Kami telah mengetuai bacaan Ma’thurat dan Yasin. Malah pengumuman pembebasan Anwar diumumkan sebaik sahaja muslimat habis membaca Yaasin.”

Katanya lagi, sebahagian muslimat telah mengadakan sujud syukur sebaik sahaja keputusan diketahui di tempat perhimpunan.

“Semasa bergerak keluar daripada tempat parkir menuju ke masjid berhampiran kami berselawat beramai-ramai. Ini semua tidak pula dimasukkan ke YouTube,” katanya.

Tambah beliau lagi, selepas berselawat barulah mereka menyanyikan lagu reformasi dengan spontan.

Baginya, tidak ada apa salahnya bernyayi beramai-ramai dengan bersemangat dalam sekitar 10 minit.

Kata beliau, sememangnya semua yang hadir dari sebelum Subuh lagi terlalu gembira dengan pembebasan Anwar.

Jelasnya lagi, tidak ada percampuran dengan lelaki dan perempuan, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada lenggang lengguk yang menggiurkan, intonasi suara bukan intonasi yang jatuh kepada haram, dan perkataan yang digunakan tidaklah lucah.

“Kalau kita singkap sirah Rasulullah SAW, apabila Nabi SAW sampai di Madinah baginda di sambut oleh muslimat dengan nanyian dan rebana untuk menzahirkan kegembiraan,” katanya. -mk




Ulasan GB

Cuba wartawan Utusan siarkan yang ini, tunjuk punggung ada, lucah ada, percampuran lelaki & perempuan ada. Muslimat manakah itu? PASkah UMNO?

Kalau tak mahu siar memang dasar kewartawanan Utusan di tahap bingai:






Kenapa Dr Rani Layak Untuk Menjadi Exco Gantikan Hassan Ali?

Rani paling layak ganti Hasan Ali

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyokong penuh saranan Datuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meminta supaya Datuk Dr Hasan Ali meletakkan jawatan selaku exco kerajaan negeri secara sukarela.

Ini kerana beliau tidak lagi mewakili parti setelah dipecat keahlian beliau oleh PAS baru-baru ini.

Menteri besar juga menyerahkan kepada pimpinan PAS Selangor untuk melantik pengganti kerana kuota exco tersebut adalah untuk parti PAS.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini juga menyokong penuh saranan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Dr Raja Ahmad Al Hiss, supaya kekosongan untuk exco diserahkan kepada Dr Abdul Rani Osman selaku pesuruhjaya PAS negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru.

Dr Abdul Rani adalah orang yang selayaknya mengisi kekosongan kuota tersebut bukan sekadar beliau merupakan orang PAS nombor satu Selangor tetapi beliau juga cukup dekat dengan rakyat dan cukup prihatin dengan permasalahan rakyat.

Jawatan Ini Jawatan Yang Memeningkan Kepala

KLANG: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru mengantikan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat Ahad lalu berkata, beliau akan memikul amanah itu jika hanya diarahkan oleh kepimpinan PAS pusat.

Ini kerana katanya, beliau tidak mempunyai sebarang cita-cita untuk menyandang jawatan tersebut kerana ia adalah satu jawatan yang memeningkan kepala.

Bercakap dalam satu pertemuan dengan akhbar The Star, ahli Dewan Undangan Negeri Meru itu yang pada Jun tahun lalu turut mengantikan Dr Hasan sebagai pesuruhjaya PAS negeri menegaskan, pendiriannya itu tidak berubah walaupun sekarang nampaknya kerusi tersebut bakal dikosongkan ekoran perkembangan terbaru dalam parti.

"Bukannya kerana saya keberatan atau apa, tetapi hakikatnya ialah saya tidak berminat. Ia (jawatan Exco) datang bersama bebanan yang memeningkan.

"Ia adalah satu tanggungjawab yang sangat besar. Hanya jika kepimpinan parti mahukan saya mengambil alih barulah saya terima tetapi saya tidak minta diberikan peluang itu," katanya.

Apabila diberitahu bahawa banyak pihak melihat beliaulah calon yang paling layak untuk kerusi tersebut, Dr Rani menjawab; "Masih ramai ahli Dewan Undangan Negeri dari PAS yang lebih layak dan kanan daripada beliau untuk diamanahkan jawatan ini."

Antara yang menyokong agar Dr Rani dilantik mengantikan Dr Hasan sebagai Exco ialah Dewan Pemuda PAS Selangor atas dasar beliau kini adalah pesuruhjaya PAS negeri.

Dr Hasan yang dipecat sebagai ahli PAS Ahad lalu masih berpeluang membuat rayuan kepada Majlis Syura PAS berhubung pemecatannya itu.

Bagaimanapun sehingga kini, beliau masih belum memutuskan apakah langkah seterusnya termasuklah tentang kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Juga masih samar-samar apakah kepimpinan PAS pusat hanya akan mencadangkan satu nama baru untuk mengisi kerusi Exco tersebut selepas Dr Hasan memutuskan untuk membuat rayuan atau tidak. -mstar


Ulasan GB

Memerhatikan jawapan yang diberikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman tatkala diajukan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru mengantikan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat, menampakkan beliau memang seorang yang merendah diri dan tawadhu - sifat yang begitu jarang ditemui di kalangan pemimpin.

Biasanya seseorang akan melompat kegirangan apabila disebut-sebut sebagai exco, malah ada yang lebih dasyat, merancang pula nak jadi MB sebaik saja menang pilihanraya dengan pelbagai helah dan cara, tetapi tidak diizinkan Allah rencananya itu.

Malah satu ketika seingat GB, ketika nama Dr.Rani Osman disebutkan untuk menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor pun, beliau sanggup bernazar hendak sembelih kambing jika tidak terpilih.

Dr.Rani mengetahui bahawa sesuatu "jawatan" itu bukan satu tasyrif (keistimewaan), tetapi satu taklif (bebanan tanggungjawab).

Inilah ciri yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw.

Rasulullah saw bersabda kepada Abd al-Rahman Bin Samurah ra:

"Wahai Abdulrahman, kamu jangan meminta imarah(pemimpin), kerana, jika tugas pemimpin diberikan kepada kamu kerana kamu minta ia akan diserahkan kepada kamu dan kamu dibebani. Jika ia diberikan kepada kamu bukan kerana kamu minta, kamu akan dibantu atas (kendalian) nya". - Bukhari, Muslim

PAS perlukan ramai pemimpin seperti Dr.Rani ini.

Seperti yang pernah GB utarakan sebelum ini bahawa PAS adalah "hizbullah", maka Allah yang akan memilih siapa yang layak untuk memimpin gerakan Islam ini. Dan Allah akan memilih mereka yang paling merendah diri dari kalangan beriman untuk memimpin ummah.

Dan itulah diantara ciri kemenangan hizbullah seperti firmanNya di dalam Surah Al-Maidah ayat 56

وَمَن يَتَوَلَّ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ فَإِنَّ حِزْبَ اللّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman itu penolongnya, maka sesungguhnya kumpulan (parti) Allah itulah yang menang.



UMNO Malu Nak Pelawa Hassan Ali, Hassan Malu-malu Nak Sertai UMNO

UMNO tak tawar keahlian kepada Hasan Ali

PUTRAJAYA - UMNO tidak membuat apa-apa tawaran keahlian kepada anggota Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang dipecat oleh Pas kelmarin, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO ketika ditanya kemungkinan Hasan menyertai UMNO berkata, sebagai pemimpin bijak dan berpengalaman, Hasan boleh memilih mana-mana parti politik yang dianggap sesuai dengan perjuangannya.

"Kita (UMNO) tidak terburu-buru dalam hal ini malah kita tidak membuat apa-apa tawaran pun. Mungkin dia (Hasan) dapat fahami secara dalam apa Pas sebenarnya. -kosmo

Pintu Umno sentiasa terbuka

PUTRAJAYA: “Umno sentiasa terbuka kepada sesiapa saja kalau mereka minat dan yakin dengan perjuangan kita, maka terserahlah kepada individu berkenaan untuk menilai,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengulas sama ada Umno akan membuka pintu parti itu sekiranya bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berminat menyertai Umno.

Menurutnya, sekiranya Dr Hasan berpendapat Umno landasan terbaik untuk memperjuangkan Islam, beliau boleh membuat keputusan sewajarnya.

Namun, katanya, parti tidak pernah membuat sebarang tawaran kepada Exco Selangor itu untuk menyertai Umno.

“Agak terlalu awal, nanti orang kata Umno terburu-buru, esok adalah keluar dalam blog nanti kata Umno terburu-buru, seolah-olah tak ada pemimpin lain...Saya perlu berhati-hati bila nak cakap begitu. “Seperti diketahui, Umno sentiasa terbuka pintunya kepada sesiapa saja. Kalau Datuk Hasan Ali kata mungkin sekarang ini jiwanya sebati dan faham perjuangan Umno, maka kita mungkin sehaluan dalam soal itu, jadi terserahlah kepadanya,” katanya.

“Tetapi ini tidak bermakna kenyataan saya ini kata ghairah sangat... nanti ada orang salah anggap, media pun nanti lapor begitu, tapi (yang penting) kita sikap terbuka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Khas Amanat Tahun Baru Kementerian Pelajaran 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Hadir sama, kedua-dua timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud. -hm


Ulasan GB

"Baiah" dah lepas Hassan. Tak perlu gusar lagi. Jangan malu-malu untuk sertai UMNO. mana tahu jika UMNO sudi turunkan kamu sebagai calon PRU nanti.

Putera Idaman menulis diFBnya:

1. SAYANG....Semangat Islamnya tinggi tapi kurang memahami fiqh politik..Nak bawa Islam mesti penuh strategi...

2. PAS memecat Dr Hassan Ali bukan kerana DAP, bukan kerana 901, bukan kerana soal Anwar, tetap beliau telah membelakangi 'manhaj' dan disiplin parti, beberapa kali membuat kenyataan terbuka yg mengkritik pandangan dan dasar parti walaupun sudah diberi amarah berkali2.....NAMUN PAS tetap beri peluang utk membuat rayuan...kalau beliau ikhlas bersama jemaah, beliau akan kembali membuat rayuan..jika tidak??...faham2lah sendiri...

3. Syeikh Qaradhawi, Muhd Al Ghazali, Syd Sabiq dll pernah diambil tindakan oleh Ikhwan Muslimin. Namun mereka menunjukkan keikhlasan dan kekal bersama pjuangan Islam hingga penghujung usia...Ketika Muhd Al Ghazali dipecat, Hasan Hudhaibi berkata:

"Kami memecat beliau bukan sebagai menafikan ilmu dan tawadhu'nya, tetapi kepentingan menjaga disiplin dalam kerja jamaah adalah diutamakan."

4. Barbalik persoalan pemecatan keahlian ini, PAS tak pernah gugurkan perjuangan Islam. Tapi hanyalah strategi seperti mana strateginya Nabi Saw membawa Islam sehingga terpaksa gugurkan Kalimah Bismillah dan Rasulullah dlm Perjanjian Hudaibiyah.

5. Gugur kalimah bukan bererti gugur perjuangan...Gugur kalimah 'islamic State' dan swing kepada 'welfare state' hanya semata2 strategi yg langsung tak bercanggah dgn Islam..

6. Insyaallah, Majlis Syura Ulama' dipenuhi tokoh agama dan orang2 alim, mereka pastinya arif dan sudah melakukan 'istikharah' sebelum membuat keputusan..

7. Pada HASSAN ALI, anda boleh perjuangkan perjuangan dan cita2 anda melalui NGO, luar drpada PAS...sbb PAS ada perlembagaan, PAS bukan milik individu, tapi jemaah, kena faham fiqh politik dan adab jemaah kalau nak sertai haraki PAS...lepas ni kalau nak pakai tv3, Utusan Malaysia hari2 pun xpa...=)


Kes Kerani Bank Terbunuh Ditikam: Teman lelaki Dihadapkan Ke Mahkamah

Tertuduh yang juga teman lelaki mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan, Muhammad Faizul Mohd Ali, 27, dan penganggur, Muhammad Zal Haziq Razali, 23, dituduh dengan niat bersama membunuh Rozana Mohd Yusak, 36, di premis Nombor B-01-15F Jalan Puncak Desa 2, Kepong, di sini, antara jam 12 tengah malam hingga 1.15 pagi, 21 Disember 2011.

Gambar: MUHAMMAD Faizul (kiri) dan Muhammad Zal yang terbabit kes pembunuhan kerani bank ditikam 35 kali di Kepong dihadapkan ke mahkamah, semalam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan di depan Majistret Mohd Isa Md Nor, tetapi kedua-dua tertuduh mengangguk faham apabila pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Hamzah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dan memohon tarikh sebutan bagi mendapatkan izin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Mohd Isa kemudian menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi dikemukakan bersama laporan forensik, kimia dan laporan bedah siasat. -BH

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Sudahlah Batu Disangka Emas, Bakal Didenda Pula Korek Jalan

Johor Bahru: “Sah bukan emas,” kata Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Johor, Shahar Effendi Abdullah Azizi mengenai ketulan batu di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee yang didakwa penduduk mengandungi emas sehingga menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan sejak lima hari lalu.

Gambar: ORANG ramai terus sibuk mencari logam berharga yang disangka emas di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru semalam. -kosmo

Shahar yang ditemui ketika melawat lokasi itu semalam berkata, pihaknya sudah mengambil sampel ketulan batu berkenaan dan melaksanakan kajian terhadap hablur yang sebelum ini didakwa emas.

“Hasil kajian mendapati ketulan batu itu tidak mengandungi emas, sebaliknya ia hanyalah sejenis batuan granit mengandungi mineral pirit atau besi sulfid.

“Orang ramai jangan mudah tertipu kerana untuk rekod, pirit juga dikenali sebagai ‘fool’s gold’. Ia memang seakan-akan warna emas, namun langsung tidak ada nilai,” katanya.

Shahar yang hadir bersama Timbalan Pengarah (Sumber Mineral) jabatan berkenaan, Abdullah Sani H Hashim berkata, beliau difahamkan longgokan batu di kawasan itu diambil dari sebuah kuari di Kulaijaya.

Menurutnya, agak malang kerana penduduk di situ dan kawasan sekitarnya terpedaya dan tersalah sangka.

“Kami sudah memaklumkan keputusan kajian kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor untuk tindakan selanjutnya dan berharap orang ramai menghentikan tindakan mengorek batuan di kawasan itu.

“Ingin saya tegaskan, individu yang mengorek batuan di kawasan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara atas kesalahan melakukan kerja mengorek atau menceroboh tanah kerajaan tanpa kebenaran,” katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, sesiapa yang berbuat demikian boleh didenda RM10,000 dan penjara selama setahun.

Harian Metro sebelum ini melaporkan laluan baru ditar di Jalan Mewah menjadi tumpuan ramai sejak lima hari lalu disebabkan percaya ketulan batu bersalut hablur emas. -hm

LAPORAN SEMALAM

Penduduk kampung temui 'emas' di JB


JOHOR BAHRU: Ratusan orang bakal bergelar 'orang kaya' sekiranya puluhan ketulan batu yang dikumpul keluarga masing-masing di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini, sejak Sabtu lalu kerana dikatakan bersalut hablur emas, disahkan emas tulen.

Sejauh ini, wakil pemilik kedai emas yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di Tampoi mengesahkan ia emas tulen.

Penduduk berkata mereka mendapat kerjasama wakil kedai emas itu, yang datang ke tempat tersebut dan melakukan pemeriksaan ke atas ketulan batu itu Ahad lalu.

Hasilnya, wakil tersebut mendakwa ketulan batu diselaputi warna kuning tua itu emas tulen yang mempunyai gred terbaik.

Bagaimanapun, perkara itu belum ditentukan kesahihannya 100 peratus kerana banyak lagi kajian serta ujian perlu dilakukan sebelum boleh dipastikan ketulan batu itu diselaputi emas tulen.

Seorang penduduk, Encik Idham Mohd Diah, 36 tahun, berkata wakil pemilik kedai emas yang mengunjungi tapak pencarian itu turut menempah batu-baru tersebut daripada penduduk.

'Ada penduduk mendakwa batu yang dikumpul mereka itu sudah ditempah pembeli emas pada harga hingga RM15,000 ($6,173).

'Saya dan bapa saya menemui beberapa ketulan emas sejak mencarinya empat hari lalu,' katanya.

Seorang suri rumah dari Stulang, Cik Munawarah Rashid, 29 tahun, berkata beliau dan suaminya mengumpul 40 batu bersalut hablur, dipercayai emas, sejak 10 pagi hingga 3 petang Ahad lalu.

'Kami bercadang kembali semula ke sini pagi ini dengan harapan dapat menemui lebih banyak batu itu.

'Saya mendapat tahu berkaitan penemuan batu-batu ini menerusi rakan yang mendakwa mengumpul 20 ketulan batu bersalut hablur emas dalam tempoh dua jam. Jika benar ia emas tulen, kami menganggapnya rezeki,' ujar beliau.

Cik Munawarah berkata beliau tahu tentang wakil kedai emas yang berkata batu itu sah emas dan beliau berharap ia benar.

Seorang lagi penduduk, Encik Mohd Diah Abdullah, 63 tahun, berkata suasana perkampungan itu bertukar riuh selepas penemuan batu-batu tersebut.

Menurut beliau, orang pertama yang menemui batu itu ialah keluarga besannya, pada Sabtu lalu. -- HM


Letupan Di Himpunan 901: Polis Perlu Siasat Segera

PKR menganggap isu letupan yang berlaku kelmarin semasa himpunan 901 sebagai amat serius dan memerlukan siasatan terperinci dan segera dari pihak polis.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata kejadian ini mengejutkan memandangkan himpunan tersebut adalah antara himpunan pertama yang mendapat permit Polis.

"Polis harus beri penjelasan sebab sepanjang malam polis sahaja yang dapat acces ke kawasan tersebut. Dari pada gambar-gambar dan saksi, didapati bahan letupan tersebut disimpan dibawah 'kon' polis dan ia diletupkan melalui remote control atau time bom. Ini bukan boleh dibuat oleh orang biasa,"katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam kejadian tersebut terdapat pihak-pihak lain juga turut berada dilokasi tempat letak kereta berhampiran Mahkamah Jalan Duta semalam.

"Baik pun perkasa ke pekida pun saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana mereka juga berhak untuk berhimpun, saya harap pihak polis boleh menyiasat dan mencari orang yang bertanggungjawab,"ujarnya.

Menyentuh mengenai himpunan aman semalam, Tian berkata keputusan pembebasan Anwar semalam merupakan suatu kegembiraan kepada seluruh Pakatan Rakyat.

"Ini saya anggap orang yang tak puas hati dengan himpunan aman yang berlangsung atau orang tidak berpuas hati dengan kes ini. Ini boleh menjadi sedikit klu kepada pihak polis untuk mengadakan siasatan untuk mengetahui siapa yang bertanggung jawab,"katanya.

Sehubungan itu, PKR dan Pakatan Rakyat akan cuba menemui pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak supaya siasatan segera dijalankan.

Dalam kejadian semalam tiga insiden letupan bom yang mencederakan lima orang awam berlaku selepas mahkamah melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan mengikut Seksyen 377(B) Kanun Keseksaan. -tvsnews



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Dia Mengucap Dua Kalimah Syahadah Di Depan MSN Messenger

Nama saya Greg Sowden. Saya memeluk agama Islam pada tanggal 15 Disember 2001. Sebelumnya saya adalah penganut Katolik Roma. Setelah memeluk Islam di usia 16 tahun saya memilih nama Ali Mahdi.Saya lahir pada tahun 1985. Saya belajar di Universiti Wilfrid Laurier di Waterloo, Ontario, Kanada bidang sejarah. Kampung halaman saya ialah Port Dover, Ontario, Kanada dan besar di peternakan ayam dan sapi yang berjumlah sekitar 400 ekar.

Saya menganggap diri seorang Kristian Katolik yang patuh. Setiap Ahad, saya ke gereja dan tidak pernah mempersoalkan kepercayaan saya. Setiap kali saya mendengar seseorang berkata tidak baik tentang agama Katolik, saya akan berusaha keras untuk membuktikan mereka salah. Walaupun kini saya sadar betapa waktu itu pengetahuan sangat minima.

Ibu amat bimbang dengan diri saya. Ia merasakan saya telah menyimpang. Saya melihatnya ia merasa kehilangan saya. kerana saya tidak lagi pergi ke gereja bersama anggota keluarga yang lain. Ia terus mengulangi betapa saya dulu gembira dengan agama saya. Jadi kini ia hairan mengapa saya perlu menukar agama.

Saya tidak bermaksud untuk menukar agama. Ketika membuat penelitian saya membaca tentang Islam kerana murni minat pada Islam. Sejak usia muda memang saya minat untuk belajar tentang agama dan budaya bangsa lain. bapa saudara mempunyai koleksi majalah National Geographic. Koleksi dari tahun 1930-an. Saya banyak menemukan isu-isu tentang Islam di sana. Hal itu benar-benar sangat menarik perhatian saya. Tinggal di sebuah kota kecil membuat saya tidak mengenal orang yang memiliki latar belakang orang bukan-Kristian. Akhirnya saya teramat ingin tahu dunia luar.

Pada tahun 2000, saya mulai mencari orang dari berbagai negara untuk berkomunikasi secara online. Hal itu saya lakukan untuk belajar lebih banyak mengenai orang lain. Di tapak web Penpal saya bertemu dengan Yahya, seorang anak muda dari Kuwait. Saya mulai bertanya padanya tentang banyak hal berkaitan agamanya. kerana saya memang tidak tahu berkaitan Islam. Tidak terlintas juga dalam fikiran saya untuk memeluk agama Islam kerana saya memang merasa puas dengan agama saya. Saat saya mula mengambil kursus berjudul "Agama Dunia" di sekolah tinggi, minat saya bertambah besar.

Dalam buku teks saya disebutkan kedudukan Nabi Isa al-Masih dalam Islam lewat perspektif Quran. Saya tahu bahwa Nabi Isa as adalah seorang nabi dalam Islam, tetapi saya tidak tahu betapa pentingnya dia. Saya juga tidak tahu bahwa ibunya adalah Maryam yang dianggap sebagai salah seorang dari empat wanita agung dalam Islam!

Selepas sekolah, saya pulang ke rumah mencari peranan Nabi Isa dalam Islam di internet. Peran Nabi Isa as membuka pikiran saya berkaitan dengan perkara yang tidak pernah terlintas di benak saya tentang Kristian dan Nabi Isa secara menyeluruh.

Semakin saya mendalami tentang Nabi Isa dan keyakinan Islam semakin saya ingin memeluk agama Islam. Informasi yang saya dapati memberi keyakinan kepada saya bahwa agama Islam adalah agama yang benar. Argumentasinya masuk akal dan malah ada bukti Muhammad dan Islam dalam Injil!

Semakin saya belajar dan menjadi tertarik dengan Islam. Saya mengirim e-mail dengan rakan Kuwait saya dan memberitahu apa yang saya dapatkan. "Mungkin saya harus memeluk agama Islam setelah mempelajari lebih jauh mengenai Islam," tulis saya kepadanya.

Saya tidak merancang untuk memeluk Islam begitu cepat kerana itu merupakan satu hal yang sulit untuk saya lakukan tanpa wujud komuniti Islam di tempat saya tinggal. Saya fikir hal itu akan kulakukan selepas memasuki Universiti. kerana saya tidak dapat ke masjid. Saya memberitahu teman Kuwait saya, dan ia kata saya dapat saja mengucapkan kalimah syahadah kepadanya.

Pada tanggal 15 Disember 2001 bertepatan 29 Ramadhan 1422, saya mengucapkan kalimah syahadah lewat MSN Messenger. Dengan menyebut kalimah indah tersebut saya menjadi seorang muslim!! Alhamdulillah! Segala puji bagi Allah!!! -republika

Ulasan GB

Itulah kegunaan teknologi moden seperti yang terdapat di internet ini contohnya blog, twitter, facebook, yahoo messenger, MSN Messenger dan sebagainya.

Menjalankan tugas amal makruf nahi munkar, menyebarkan risalah Islam, menegakkan kebenaran dan keadilan - dapat disempurnakan dengan peralatan internet yang sering kita gunakan.