29 Sep 2012

[BONGKAR] Penipuan SPR - 64,100 Pengundi Pos Didaftar Dalam Sehari, 5 Juta Tiada Alamat

Kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipertikaikan lagi apabila audit yang dibuat ke atas daftar pemilih mendapati 64,100 pengundi pos telah didaftar dalam satu hari.

Ia telah didaftarkan pada 9 April 2010 dan menimbulkan pelbagai tanda tanya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia berdasarkan audit yang dibuat pada bulan Mac 2012, kata Anwar.

Beliau mendedahkan perkara ini ketika berucap di majlis makan malam perdana anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Melawati malam tadi.

Hampir kesemua pemimpin kanan Pakatan Rakyat, kecuali Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang tidak berapa sihat, berada di majlis itu.

Selain itu, audit yang dibuat juga mendapati 77,400 pengundi yang tidak dimasukkan dalam senarai pemilih 2008 telah dimasukkan begitu sahaja dalam senarai ini tanpa melalui proses yang sepatutnya.

Audit itu juga mendapati, 2,052 anggota tentera telah dimasukkan dalam senarai pemilih itu tanpa dinyatakan nombor kad pengenalan baru Malaysia.

Anwar juga memberitahu, 4.38 juta pemilih yang ada dalam senarai itu tidak mempunyai nombor rumah pada alamatnya manakala 3.3 juta pemilih pula mempunyai nombor rumah sahaja tetapi tidak mempunyai alamat jalan dan sebagainya.

"Kesemua ini menimbulkan pelbagai tanda tanya ke atas kewibawaan senarai pemilih ini," kata Anwar.

Bagaimanapun, di sebalik kesemua masalah itu, katanya, beliau yakin Pakatan akan menang dalam pilihan raya umum akan datang ini.

"Perkembangan yang berlaku di Sabah dan Sarawak serta kehadiran pemimpin mereka malam ini memberikan satu semangat baru kepada kita," kata Anwar.

Antara yang hadir malam tadi adalah bekas timbalan menteri, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan anggota Parlimen Wilfred Bumburing serta beberapa nama besar lagi dalam arena politik tanah air.

Kedua-dua mereka telah mengumumkan meninggalkan Barisan Nasional dan menyokong Pakatan Rakyat sebelum ini. -HD

Anwar:Cubaan menipu PRU,SPR daftar 5 juta pengundi tiada alamat

SHAH ALAM 29 September: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sebanyak 64,100 pengundi pos dimasukkan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh sehari, tanpa melalui prosedur.

“Audit mendapati ada penipuan besar-besaran dari daftar pemilih. Penemuan 64,100 pemilih pos dimasukkan dalam daftar pada 9 April 2010, berkemungkinan besar tidak melalui proses semakan dan bantahan rasmi.

“Sebanyak 77, 246 nama pengundi baru yang tidak ada dalam daftar pemilih PRU 12,imasukkan.

“Bezanya apa? Permohonan dibuat bertahun-tahun sebelum PRU 12. Ada lima, lapan tahun tetapi tidak semena-mena nama-nama itu terpancar semula,” kata Ketua Pembangkang pada majlis Makan Malam Perdana Pakatan Rakyat di Stadium Tertutup Melawati itu yang dihadiri kira-kira 3,000 pemimpin

Menyifatkan ia didalangi Umno lantaran tidak yakin memenangi PRU 13, Anwar memberi amaran keras kepada SPR supaya membersihkan daftar pemilih itu.

Tambah memeranjatkan, kata Anwar, SPR mendaftar pengundi yang tiada alamat.

“Ini bukan perkara baru, sebanyak 5.75 juta pemilih tiada alamat dalam daftar pemilih SPR, 3.3 juta hanya ada nombor rumah.

“Ada 4.38 juta pemilih tanpa nombor rumah. Dia jawab, di kawasan Dayak, Kadazan, nombor rumah tiada tapi takkan sampai 4 juta. Manakala 1.99 juta boleh diperbaiki, ada alamat tapi tidak dibetulkan,” katanya.

Selain taktik pertambahan pengundi meragukan, beliau berkata, kaedah SPR untuk menipu melibatkan isu lokaliti dan persempadanan.

“Kita tahu beberapa nama diumumkan oleh kawan-kawan kita yang terlibat tentang soal lokaliti. Lokaliti ini dulu banyak tetapi dikurangkan.

Dulu jika ada enam, sekarang jadi tiga.

“Selangor sahaja jumlah lokaliti berkurang daripada 24,479 kepada 13,813. Masalahnya, kita mahu semak satu persatu jadi susah sebab kawasan jadi besar,” katanya.

Selain itu, katanya masalah pemilih pos juga berlaku kecurigaan kerana nombor kad pengenalan tidak sepadan.

“Ada 304,136, ini bukan jumlah kecil. Kita tak kata semuanya penipuan tetapi ada kejanggalan tentang tarikh permohonannya.

“Malah, sebanyak 2,522 pemilih tentera dan polis tanpa nombor kad pengenalan baru yang berpadanan dengan nama-nama mereka,” katanya.
-KD




Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Awasi Tingkah Laku & Gelagat Anak Gadis Anda!

Johor Bahru – Keseronokan melakukan seks kali pertama selepas terpengaruh dengan video lucah di Internet menyebabkan seorang gadis berusia 13 tahun sanggup meniduri tujuh lelaki, termasuk beberapa penjawat awam, sejak awal tahun ini. Gambar fail

Tanpa memikirkan risiko ke atas dirinya, gadis kecil ini rela bersama lelaki berkenaan di hotel bajet dan rumah sewa di bandar raya ini, meskipun baru berkenalan beberapa hari menerusi Internet tanpa mengenakan bayaran.

Gadis berkenaan juga bangga menceritakan pengalamannya kepada rakan sekolahnya, sebelum aktiviti sumbangnya itu terbongkar apabila ibunya mengesyaki anaknya kerap keletihan setiap kali pulang ke rumah, selain sering dipanggil guru kaunseling berikutan masalah ponteng sejak Julai lalu.

Membuat pendedahan tersebut, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, perkara itu telah dirujuk kepada pihak polis dan JKM untuk tindakan susulan berikutan mangsa di bawah umur.

“Bagi menyelamatkan gadis berkenaan, kami terpaksa menahannya selama 30 hari di pusat perlindungan JKM mengikut Seksyen 46 (2) (bb) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membantu menjalankan siasatan.

“Selepas dirujuk ke mahkamah, remaja berkenaan diarahkan menjalani perintah tahanan sementara selama tiga tahun di Batu Gajah, Perak dan dia akan dihantar ke sana hujung bulan ini untuk proses pemulihan.

“Diharapkan pendedahan ini menjadi pengajaran kepada semua ibu bapa, supaya mengawasi tingkah laku anak-anak mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik,” katanya kepada media semasa Majlis Penutup Seminar Keselamatan Kanak-kanak dan Keluarga di @Mart Kempas, di sini, semalam.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng yang merupakan wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri Johor, Dr Robia Kosai.

Dalam pada itu, Song Cheng ketika membacakan teks ucapan Robia memberitahu, statistik JKM negeri merekodkan sebanyak 133 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan telah diselamatkan sehingga Ogos tahun ini.

“Manakala pada tahun lalu menunjukkan sebanyak 158 kes kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Berdasarkan statistik ini ianya amat menyedihkan dan mendatangkan kebimbangan kepada kita apabila memikirkan adakah anak-anak kita selamat berada di persekitaran.

“Masyarakat perlu sedar tanggungjawab sebagai ibu bapa, anggota keluarga dan anggota masyarakat untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak mereka selain perlu mengambil tahu dan peduli bagi memastikan keselamatan masyarakat sekeliling terjamin,” katanya.

Negeri "Fixed Deposit" BN Terpinggir Lagi Dalam Bajet 2013


Bajet 2013 pinggir rakyat Sabah, Sarawak

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin melahirkan rasa kekecewaan apabila kerajaan Umno BN terus meminggirkan rakyat Sabah dan Sarawak pada Bajet 2013 yang dibentangkan hari ini.

Bajet 2013 bertemakan Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada jam 4 petang tadi.

Lajim yang ditemui sejurus selepas perbelanjaan bajet tersebut memberitahu tiada peruntukan khusus diberikan kepada Sabah mahupun Sarawak.

"Tumpuan kepada Sabah dan Sarawak terus dipinggirkan, tidak ada langsung disebutkan melainkan hanya mewujudkan jelapang padi di Kota Belud dan Batang Lupar sedangkan kita tahu Sabah merupakan 'fixed deposit' kepada Barisan Nasional, tiada satu pun projek yang dikhususkan khas untuk rakyat Sabah," jelasnya.

Beliau turut menyatakan bajet kali ini juga tidak menunjukkan satu penyelesaian yang kuat akan dilakukan oleh kerajaan pada tahun 2013.

"Ia seperti bantuan di kalangan belia yang belum berkahwin diberi RM250 apakah itu satu penyelesaian jangka panjang, apa yang disediakan itu hanya untuk jangka pendek sahaja.

"Apa yang kita mahu ialah kerajaan perlu meletak penyelesaian untuk tempoh jangka panjang supaya rakyat Malaysia terutamanya golongan muda lebih terjamin masa depan mereka," sambung beliau lagi.

Beliau yakin bajet yang dibentangkan kali ini merupakan satu bajet politik untuk Barisan Nasional menghadapi pilihanraya umum.

Bajet 2013 diperuntukan sejumlah RM251.6 bilion dengan meletakkan RM201.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Pakatan Rakyat sebelum ini membentangkan belanjawan Pakatan Rakyat 2013 telah meletakkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM233 bilion.

Najib Bacul! Berani Hentam Anwar & PR Tapi Pengecut Untuk Berdebat

PM akhiri ucapan dengan hentam pembangkang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil peluang ketika membentangkan belanjawan terakhirnya dalam penggal pentadbiran kali ini untuk menyerang pemimpin pembangkang.

Tanpa menyebut nama Anwar, beliau berkata ketua pembangkang itu "tidak melaksanakan apa yang dikokokkan" ketika berada di dalam kerajaan.

"Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan.

"Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang?," katanya.

"Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatkanya?," katanya dalam ucapan di Dewan Rakyat.

Walau tidak menyebut mana-mana individu, serangan itu dilihat ditujukan kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan menteri kewangan ketika krisis kewangan Asia melanda.

Najib juga mendakwa, Pakatan Rakyat masih belum menunaikan janji di negeri yang dikuasai mereka.

"Jika kini, di negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa?," katanya.

Beliau turut menyelar pembangkang apabila mengumumkan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia yang menurutnya "tidak membahayakan masa depan orang ramai".

"Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang pun tak perlu bayar," kata Najib.

Katanya, bayaran bantuan yang diumumkan kerajaan hari ini bukanlah pemberian subsidi secara pukal tetapi disasarkan kepada kelompok yang memerlukan.

Dalam belanjawan 2013 berjumlah RM251.6 bilion itu Najib mengumumkan subsidi berjumlah RM37.6 bilion, berkurangan daripada jumlah subsidi RM42.4 bilion dalam belanjawan 2012.

Ulasan GB

Apa punya jenis PM yang hanya berani mengehntam Anwar dan Pakatan Rakyat tatkala beliau membentang Bajet yang hanya beliau sendiri yang bercakap ketika itu, sedangkan apabila diajak berdebat, beliau berdalih menyatan debat bukan budaya kita?

Semakin hari Najib semakin menunjukkan kebaculannya dan hukum kebenaran dan keadilan akan menurunkan Najib dari jawatannya itu kerana apa yang dilakukan Najib itu tidak memenuhi ciri-ciri seorang PM yang berwibawa.

Dikutuknya Anwar, dikutuknya PR dan hukum kebenaran dan keadilan akan memulangkan semua kutukan itu kepada dirinya sendiri. Sama seperti isu "haramjadah" yang akhirnya menimpa dirinya sendiri. Sama-sama kita nantikan.





Belanjawan Bingai: Hutang Negara Semakin Bengkak Menjadi RM502 Billion

Hutang negara yang semakin bengkak ekoran perbelanjaan Belanjawan Negara 2013 yang tinggi mendapat perhatian pemimpin Pakatan Rakyat yang risau ia akan tenggelamkan ekonomi negara.

MP Pakatan yang ditemui juga berpendapat, belanjawan tersebut tidak mengambil kira keadaan ekonomi antarabangsa dan domestik yang semakin mencabar dan akan memberi kesan kepada pendapatan negara.

Mereka juga berkata belanjawan tidak mengambil kira masalah struktur ekonomi yang sarat dengan monopoli kroni Umno-BN yang mengakibatkan harga tinggi bagi barangan dan perkhidmatan.

Ini berbeza kata mereka, dengan belanjawan Pakatan Rakyat yang mengstruktur-semula asas ekonomi negara supaya pendapatan rakyat ditingkatkan, mengalakkan daya saing yang sihat dalam bidang keusahawanan dan melahirkan masyarakat yang saksama.

Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan belanjawan kerajaan pusat yang berjumlah RM 251.6 bilion.

Defisit negara daripada perbelanjaan belanjawan itu dianggarkan pada paras empat peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2013.

Manakala Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat yang diumumkan pada 26 September, memperuntukkan RM 234 bilion dengan defisit yang berjumlah 3.5 peratus dari KDNK.

Berikut adalah petikan respons dari MP Pakatan :

MP Gombak Azmin Ali “Apa yang saya tegaskan tadi pengumuman bajet amat mengejutkan.

“Kita harus memberi unjuran gambaran situasi ekonomi dunia yang sudah tentu akan beri kesan langsung kepada ekonomi domestik tetapi Menteri Kewangan langsung tidak sentuh.

“Apa yang amat menyedihkan, rakyat biasa kelas menengah dan rakyat miskin diberikan sogokan kecil one off seperti BRIM tetapi untuk tauke besar dan kroni pemerintah, diberikan insentif 10 tahun seperti yang diumumkan tadi iaitu Tun Razak Exchange.

MP Bagan Lim Guan Eng

“Kalau melihat hutang pula, RM 456 billion untuk tahun lepas (meningkat) kepada RM 502 billion untuk tahun ini.

“Yang lebih dapat banyak manfaat masih kroni-kroni yang dapat banyak projek yang telah dijanjikan Ini adalah janji ditepati kepada kroni-kroni.

“Janji dalam buku jingga dapat dilaksanakan jika kita memerintah Putrajaya dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ianya bukan untuk kroni-kroni.

MP Kepong Dr Tan Seng Giaw

“Ia merupakan peruntukan bajet yang amat besar berbanding dengan tahun lalu.

“Tetap ada beberapa perkara yg belum dibuat misalnya utk SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah) kerana kita ingin mencegah ketirisan.

“Sebab itu defisit sekarang ialah RM 43 bilion dan kalau kita tiada badan yang betul-betul boleh uruskan ini kita susah untuk hadapi masalah kerana hutang negara telah melebihi 54 peratus KDNK.

“Bajet ini secara keseluruhannya untuk pancing undi pada pilihanraya akan datang.

Yang penting kerajaan perlu atasi defisit.

MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar

“Belanjawan yang diumumkan hari ini tidak menjelaskan sumber-sumber pertumbuhan pada masa akan datang.

“Bayangkan cukai peribadi personal income tax diturunkan satu peratus jadi saya tertanya-tanya kritikan sebelum ini mengatakan tidak ada sumber pertumbuhan yang dikemukakan oleh Pakatan.

“Kenapa hari ini terlalu bersifat budaya amat memperlihat pembelian undi dan juga tidak benar-benar cuba menyelesaikan masalah struktur ekonomi Malaysia?



Bajet 2013 tidak dapat selesai hutang negara

KUALA LUMPUR: Bajet 2013 didakwa memberi tumpuan yang lebih kepada golongan sasar untuk menarik undi mereka pada Pilihan raya Umum ke-13.

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr.Mujahid Yusof Rawa berkata, pemberian one off kepada golongan belia, nelayan, petani dan pesara tentera menunjukkan kerajaan sedang menawan hati golongan itu.

"Apa yang kerajaan beri dalam bentuk one off kepada golongan 21 tahun ke atas seperti rebat pembelian smartphone, pelajar sekolah dapat RM100 baucer, RM250 baucer buku kepada pelajar IPT, ini semua sasaran kerajaan dalam pilihan raya," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen, petang tadi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga berkata, tiada sesuatu yang baru dalam Bajet 2013 selain tidak menyelesaikan masalah bebanan hidup rakyat.

"Semua ini tidak menyelesaikan bebanan hidup. Kita mahu kalau boleh ada isu harga minyak tapi tak ditekankan.

"Saya menganggap bajet ini berada dalam kerangka lama, tidak ada sesuatu yang baru dan bajet pilihan raya kerana semuanya akan diberi pada 2013.

Selain itu katanya, masalah hutang negara juga tidak dapat diselesaikan jika kerajaan terus mengamalkan pemberian one off.

"Masalah hutang negara tidak digarap dan meningkap 10.1 peratus dalam laporan ekonomi iaitu hutang dalaman RM484.8 bilion berbanding dahulu iaitu lebih kurang RM430 bilion," katanya.

“Jadi saya bimbang kalau pun Pakatan berjaya meneraju pemerintahan kita akan mewarisi ekonomi yang bankrup.” -selangorku



Ulasan GB

GB terbaca dari wall fb:

Hutang Malaysia 2007 : RM247 bilion
Hutang Malaysia 2011 : RM421 bilion (Laporan : Hutang Negara Mencecah RM437.2 Bilion @ 52.7% Daripada KDNK. Bakal Cecah RM1 Trillion Tahun 2020)
Hutang Malaysia Mac 2012 : RM456.1 Bilion. (Laporan : Menteri kata jangan risau, tidak perlu bimbang. Kita baru 53 percent. Threshold 55 percent. Bagus pny menteri)
Jun 2012 : RM470.76 Bilion (Laporan : Hutang Malaysia 2012 (Terkini) Mencecah RM470.76 Bilion : Meningkat RM14 Bilion (54.8/55%)!!)
September 2012 (terkini): RM476.68 bilion.
sumber: Bank Negara Malaysia

Bajet 2013 : RM 502 Billion

clap clap clap....




Najib! Kamu Jangan Ponteng Sesi Bahas Bajet Isnin Nanti...

Anwar cabar Najib debat Belanjawan 2013

KUALA LUMPUR 28 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai Belanjawan 2013 yang dibentang hari ini.

“Kalau kamu sanggup untuk kritik, maka kamu perlu sanggup untuk berdebat. Tapi kamu tak sanggup untuk respons cabaran. Kamu (Najib) tidak datang ucapan saya (di Dewan Rakyat) pada Isnin jam 11.30 pagi, tapi saya sanggup duduk dengar kritikan.

“Separuh dari ucapan (penggulungan) Najib kritik Pakatan Rakyat. Ayuh kita berdebat, Pakatan Rakyat lawan Barisan Nasional. Kamu kata kamu demokrat bukan,” kata Anwar kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, jelas Anwar, belanjawan kali ini tidak meletakkan keutamaan kepada rakyat terbanyak melainkan insentif kepada kroni dan golongan atasan.

“Insentif untuk Tun Razak Exchange (TRX), itu insentif kewangan untuk orang kaya. Tak disentuh tentang IPP (Penjana Tenaga Bebas). Harga gula disentuh, tetapi monopoli gula tak disentuh.

“Perubahan struktur tidak dilakukan.. ini masalah besar. PTPTN diminta untuk bayar balik, tetapi hutang (kroni) berbilion tak disentuh. Tidak ada tindakan dan cadangan (dalam Belanjawan),” tegasnya.

Sementara itu, katanya, tidak ada yang baru dalam belanjawan dibentangkan untuk manfaat golongan berpendapatan sederhana dan pertengahan seperti Skim Rumah Pertamaku.

Mengulas lanjut kata Anwar, syarikat perumahan negara sepatutnya menjadi institusi yang meletakkan kebajikan rakyat lebih utama dari keuntungan.

“Kalau bermotif untung seperti sekarang, tak mungkin berhasil. Mesti ada badan kerajaan yang tak semesetinya rugi besar, tapi mesti menjana projek yang boleh memenuhi permintaan rakyat.

“Sebab itu saya ajak Najib debat tentang belanjawan, tentang isu pentadbiran,” tegas Anwar. -KD

Anwar cabar Najib hadir sesi bahas bajet Isnin ini

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar perbahasannya berhubung Bajet 2013 yang dibentangkan beliau, Isnin ini.

Anwar selaku Ketua Pembangkang akan membahaskan cadangan Bajet 2013 Isnin ini.

"Saya cabar najib untuk turut hadir dan mendengar perbahasan Isnin ini.

"Jika selama ini Barisan Nasional (BN) hanya tahu mengkritik apa yang pembangkang lakukan, beliau (Najib) mesti berani juga untuk hadir Isnin ini," tegas beliau ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Bajet 2013.



Bajet Terakhir UMNO BN: Bajet Panik Untuk Hadapi PRU13



Datuk Seri Najib Razak menawarkan “gula-gula” dalam Bajet 2013 hari ini, menggunakan RM3 bilion wang pembayar cukai untuk pemberian wang tunai kepada keluarga berpendapatan kurang daripada RM3, 000 dan bonus 1.5 bulan untuk 1.4 juta penjawat awam dalam apa yang dilihat sebagai bajet pilihan raya sebelum pilihan raya akan datang, perlu diadakan menjelang pertengahan 2013.

Perdana menteri yang juga menteri kewangan juga memberikan RM250 bagi yang belum berkahwin dan berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM2,000, yang membentuk seramai 3 juta pengundi baru dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pelajar-pelajar sekolah juga akan mendapat RM100 setiap seorang dari Putrajaya tahun depan manakala RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk golongan tua, kanak-kanak, pekerja kurang upaya dan mereka yang mempunyai penyakit kronik di bawah Program Kebajikan 1Malaysia.

Najib juga mengurangkan satu peratus cukai pendapatan bagi yang berpendapatan RM50,000 pendapatan bercukai setahun, menyediakan bantuan kecil kepada 1.2 juta pembayar cukai dalam negara yang mempunyai rakyat seramai 28 juta.

Tetapi Barisan Nasional (BN) memotong subsidi gula sebanyak 20 sen/kg, meninggalkan subsidi sekarang pada 34 sen/kg, menurunkan bil subsidi gula kepada RM278 juta pada harga semasa.

Kerajaan juga akan membelanjakan RM1.9 bilion untuk membina 123,000 unit perumahan untuk mereka yang berpendapatan antara RM3,000 dan RM5,000.

Antara beberapa tajuk lain rancangan perbelanjaan kerajaan seperti:—

- RM500 juta akan diperuntukkan untuk projek Kehidupan Sungai bagi membaikpulih Sungai Klang

- RM 9 billion untuk Mass Rapid Transit (MRT)

- RM 200 juta untuk Dana Industri Halal

- RM 1 billion untuk perusahaan kecil dan sederhana (SMEs) Bumiputera

- Pencen minimum ditingkatkan dari RM720 ke RM820 bagi yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun

- RM38.7 billion untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan tambahan RM 500 juta untuk melatih guru bagi subjek penting seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik

- Geran dan insentif untuk memulakan tadika dan pusat jagaan kanak-kanak dengan RM1.2 billion peruntukan bagi pembangunan pendidikan pra sekolah

- RM1billion untuk membaik pulih sekolah
RM400 juta untuk sekolah kebangsaan dan RM100 juta untuk sekolah Cina, Tamil, agama, berasrama penuh dan MRSM

- “Skim Rumah Pertama Saya” had pendapatan bagi pinjaman individu meningkat dari RM3, 000 hingga RM5, 000 sebulan, dan sehingga RM10, 000 bagi pinjaman bersama pasangan berkahwin.

- Had bagi pengecualian duti setem bagi rumah dinaikkan daripada RM350, 000 hingga RM400, 000. Pengecualian ini juga diperluaskan sehingga Disember 2014

- Cukai keuntungan hartanah meningkat daripada 10 peratus kepada 15 peratus untuk hartanah yang dijual dalam tempoh dua tahun dari tarikh pembelian, dan daripada 5 peratus hingga 10 peratus bagi hartanah yang dijual antara dua dan lima tahun.

- Nilai Baucer Buku 1 Malaysia untuk pelajar meningkat daripada RM200 kepada RM250.

- Pelepasan cukai untuk pendidikan tinggi meningkat daripada RM4, 000 kepada RM6, 000.

- Pelepasan cukai dua kali ganda bagi Skim Simpanan Pendidikan Negara, daripada RM3, 000 kepada RM6, 000.

- Dua puluh peratus diskaun ke atas pembayaran penuh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara 1 Oktober 2012 dan 30 September, 2013.

- Sepuluh peratus diskaun ke atas ansuran pembayaran balik tetap pinjaman PTPTN.

-FELDA akan membina 20,000 unit perumahan bernilai RM1.5 bilion di 5,000 ekar tanah FELDA.
Pembangkang sambut sinis Bajet

Pembangkang hari ini menyambut sinis pembentangan Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Berikut petikan beberapa pemimpin utama pembangkang berhubung pembentangan sebentar tadi:

Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua pembangkang

Belanjawan biasanya memberikan unjuran berdasarkan senario antarabangsa dan keupayaan domestik.

Kedua-dua ini nampak tak disentuh sangat tapi nampak beberapa gimik politik yang agak keterlaluan.

Tentunya ada beberapa isu kita boleh jawab umpamanya disentuh tentang perumahan yang besar tetapi tidak pernah dicapai seperti kita harapkan."

Lim Guan Eng, ketua menteri Pulau Pinang Jelas bajet ini bajet pilihan raya kerana ia tidak mengambil kira keadaan fiskal atau keadaan kewangan negara.

Kalau kita lihat belanja tahun lepas ia telah lebih belanja RM20 bilion, Kalau kita lihat. Hutang naik 456 bilion tahun lepas kepada 502 bilion untuk akhir tahun ini.

Jadi jelas ia bajet pilihan raya untuk beli undi tapi kita harap bukan sekadar beli undi tapi menjadikan kroni-kroni kaya sahaja.

Kita lihat di sini yang dapat manfaat kroni-kroni dengan projek yang dijanjikan.

Kita lihat kalau tahun depan Pakatan menang ini mungkin akan buat kita lebih susah lagi.

Tan Sri Khalid Ibrahim, menteri besar Selangor

Ia (belanjawan) masih berkisar soal isu makro dan bukan isu-isu berkaitan rakyat.

Salahuddin Ayub, naib presiden PAS

Asas kekuatan ekonomi tidak disentuh secara kukuh dalam bajet kali ini.

Banyak fokus yang menjurus kepada pemberian undi.

Kena kembali kepada asas dan pecahkan sistem monopoli.

"Bajet yang sangat jelas menjurus kepada pemberian undi yang tidak dapat dielakkan ekoran terlalu banyak pengumuman pemberian tunai.

"Bajet Pakatan lebih bersifat fundamental dan punya objektif yang kukuh untuk menyelesaikan masalah rakyat jika memilih Pakatan.

Datuk Mahfuz Omar, naib presiden PAS

Ini bajet panik kerajaan kerana ia berasaskan pemberian yang diumumkan dan di akhirnya memang menyeru harapan rakyat supaya bagi peluang kepada Umno-BN sekali lagi.

Kerajaan panik dengan gelombang kebangkitan rakyat. Bajet yang tidak mengetengahkan reformasi kepada struktur ekonomi.

Ada lagi unsur ketirisan dan nak kayakan kroni bukan untuk rakyat.

Dengan hutang negara telah mencecah RM476billion hutang negara, kerajaan masih tidak mengemukakan langkah untuk membawa pulang semula RM1.08 trilion ke dalam negara.

Anthony Loke, ketua Pemuda DAP

Ia untuk membeli pengundi dari pelbagai sektor. Gula-gula paling jelas ialah rebat pembelian telefon pintar RM200. Ia jelas mensasarkan pengundi pertama kali.

Begitu juga dengan baucar dan sebagainya.

Penjawat awam dengan bonus sebulan setengah, Ini pertama kali bonus untuk penjawat awam naik kepada sebulan setengah.

Tujuannya untuk mendapatkan sokongan kelompok ini dalam pilihan raya.

Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor)

Jelas bahawa bajet PM seolah-olah tidak mengambil latar belakang fizikal dan hanya disusun untuk mendapatkan undi.

Ini kita sudah jangkakan.

Perbelanjaan sepatutnya bertanggungjawab dan ini berlaku sebaliknya.

Segala pemberian one-off bermakna Najib hanya mahukan undi untuk pilihan raya umum.

Ringkasnya, walaupun bajet PM dan belanjawan Pakatan bersifat popular dan populis - opular untuk memenuhi kesejahteraan rakyat - populis hanya memberikan beban pada rakyat.