31 Ogo 2011

Tragedi Bukit Kepong: Siapa Pejuang Siapa Pengkhianat?

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu perlu balik ke landasan yang betul dan berpegang kepada prinsip taqwa.

Sebagai seorang pemimpin Islam, beliau berkata Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu patut selalu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan sentiasa bercakap benar.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan Mat Sabu memutarbelitkan kenyataan adalah satu dosa.

“Kalau dah tersasul dia kena mohon ampun pada Tuhan dan bertaubat supaya tak melakukan sesuatu seperti itu lagi,” katanya kepada pemberita semasa rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Kompleks Seri Pekembar di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, Muhyiddin berkata demikian semasa diminta mengulas tindakan Mat Sabu menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung tragedi Bukit Kepong yang mendakwa penyerang anggota keselamatan dan keluarga tragedi itu adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Muhyiddin kesal dengan kenyataan Mat Sabu dan menyifatkan pemimpin PAS itu lebih berpolitik dan tindakan Mat Sabu menafikan membuat kenyataan itu dan berhasrat menyaman akhbar Utusan Malaysia hanyalah psikologi politik bagi memperbetulkan keterlanjurannya.

“Bagi saya, saya tak tahu ini gambaran PAS yang sebenarnya atau perlakuan peribadi Mat Sabu tetapi yang pastinya apabila seseorang seperti beliau berucap, beliau bercakap dalam kapasiti sebagai Timbalan Presiden (PAS),” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kalau itu menjadi trend PAS pada masa akan datang, ia telah lari daripada asas perjuangan parti berkenaan. -TMI


Sejarah: Cakaplah benar walaupun pahit

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, manusia perlu jujur dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.

“Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas isu kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang diputarbelitkan oleh media perdana.

Dalam isu sejarah kejadian Bukit Kepong yang dibangkitkan Mohamad dalam satu ceramahnya yang sengaja dijadikan isu kontroversi hangat oleh Umno baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas itu.

"Apakah British dan konconya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah?

“Kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.

"Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya. Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang,”
kata beliau.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Ini disusuli pula dengan pelbagai kecaman daripada pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan dan jasa Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.

“Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat?” soal beliau.

"Disebabkan pada zaman British menjajah negara kita, British telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka, namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan, katanya maka kini, timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.

“Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM, PKM dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British.

"Atas penilaian inilah, kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang melawan penjajah British sebagai hero.

Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?” tanya beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

“Jika dua-dua pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya? Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya.


Katanya, secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam-putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat.

"Yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero,” terang beliau lagi.

Secara menafsir sejarah secara jujur, Tuan Ibrahim berpendapat bahawa semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun.

Namun demikian, kata beliau ia tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya “menghalau penjajah” – namun apa yang pasti, “menghalau penjajah” merupakan common goal yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain.

“Pada tahun 1950, adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi Merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu.

Selepas Merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan. Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British.

"Oleh itu, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis,”
tegas beliau, sambil menambah sekiranya tafsiran sejarah dibuat secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi suatu-suatu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era.

“Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas Merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri SELEPAS menghalau penjajah,” kata beliau.

Kontroversi yang sama juga timbul pada sejarah tanahair yang paling kritikal iaitu di zaman peralihan antara Jepun dan British, katanya, di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British.

“Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.

"Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Professor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini,” nasihat beliau.

Mohamad dalam satu sidang akhbarnya di Perlis berkata kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu. -HD




Raya Semakin Mahal, Rakyat Perlu Pembelaan - Wan Azizah

TPresiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu keadilan terbela bagi rakyat yang terpaksa menghadapi kesan kenaikan harga barang dalam kegembiraan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Oleh itu, beliau turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memperketat dan memantau mekanisma kawalselia harga agar keperluan rakyat dan peniaga dapat dijaga.

"Kekangan dan bebanan sara hidup yang semakin meninggi akibat tatakelola dan perancangan yang tidak dilandasi semangat kerakyatan dan kesederhanaan. Rakyat terus dibebani dengan kenaikkan harga barang yang tidak terkawal terutamanya barang keperluan raya," katanya dalam satu Perutusan Khas sempena Hari Raya hari ini.

Dalam menyambut bulan Syawal, Wan Azizah turut mengajak rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam meneladani pengajaran pembersihan jiwa sepanjang ramadan dengan terus berjuang demi keadilan , kebenaran dan perpaduan sejati.

Dalam perutusan Hari Raya beliau, Wan Azizah mahu kemenangan yang disambut dalam bulan Syawal hasil daripada pentarbiyahan dalam menjalani latihan dan disiplin sepanjang Ramadhan memberi semangat kepada setiap umat Islam.

"Ramadhan adalah bulan dan masa yang amat sesuai untuk kita semua meningkatkan ilmu, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Kita sedar bahawa bulan ramadhan ini juga adalah tempat para pejuang yang mahu menegakkan keadilan dalam menghadapi pelbagai ujian, cabaran dan fitnah dunia yang mencengkam kebebasan dan kemerdekaan rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Wan Azizah mahu ahli PKR terus komited dalam perjuangan parti itu dalam memastikan negara ini bebas dari cengkaman dan fitnah yang membelenggu kehidupan rakyat dan seterusnya memartabatkan keadilan sejati.

"KEADILAN menyeru agar kita tidak terus berpeluk tubuh dan membiarkan kemarakan fitnah ini membinasakan kebenaran,keadilan dan perpaduan ummah. Marilah kita terus bersama menghindarkan diri daripada bersubahat dengan fitnah," kata beliau.

"Oleh itu kita perlu begandingan dalam membina keyakinan untuk terus meneladani kebabasan dan keadilan sejati," tambahnya lagi.


Sekali Lagi Wang Rakyat Digunakan Untuk Kempen Tipu Rakyat

Tiga firma ditapis bantu kempen tenaga nuklear Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Kerajaan Malaysia sedang mencari sebuah agensi perhubungan awam untuk membantu membina sokongan orang awam terhadap usaha Putrajaya mengadakan tenaga nuklear — sumber tenaga alternatif menjelang tahun 2013.

The Holmes Report, yang diterbitkan di New York, melaporkan awal minggu ini bahawa Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC), sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan Januari lalu, telah menyenarai pendek tiga firma untuk membantu menjalankan kerja-kerja perhubungan awam projek yang sensitif itu.

“Difahamkan pemilihan formal belum dilakukan. Satu sumber terlibat dalam proses berkata fi (juga) belum disahkan, tetapi dijangka mencecah tujuh digit,” katanya lagi.

Pelawaan untuk mendapatkan khidmat firma perhubungan awam antarabangsa dijangka mencetuskan kontroversi baru selepas laporan baru-baru ini menyebut Putrajaya telah membayar RM58 juta kepada FBC Media untuk membina imejnya di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai saluran penyiaran antarabangsa.
Badan kawal selia Britain, Office of Communications (Ofcom) sedang menyiasat program-program dikendalikan oleh FBC Media bagi British Broadcasting Corporation (BBC).

Difahamkan Putrajaya telah menamatkan kontrak dengan FBC Media selepas didedahkan bahawa pemimpin-pemimpin Malaysia seringkali muncul dalam temu bual berbayar program televisyen global CNBC.

Usaha terbaru ini muncul di sebalik kontroversi krisis loji nuklear di Fukushima, Jepun Mac lalu ekoran malapetaka berganda gempa bumi dan tsunami.

Berdasarkan nota taklimat yang diperoleh oleh Holmes Report, khidmat runding perhubungan awam dikehendaki untuk memastikan pihak-pihak berkepentingan boleh membuat satu keputusan berdasarkan pada fakta dan boleh diyakini mengenai loji disyorkan menjelang tempoh yang telah pun ditetapkan.

“Pokoknya: Malaysia perlu ada tenaga nuklear dan memperoleh mandat rakyat menjelang 2013, apabila kerajaan membuat keputusan akhir dan mengumumkan lokasinya,” demikian nota ringkas itu.

Menurut Holmes Report, mendapatkan sokongan awam lebih 50 peratus adalah keutamaan, selain menangani aspek kebimbangan dan isu-isu yang timbul.

Beberapa pihak telah pun membantah usaha mengadakan loji tenaga nuklear di negara ini.

Pada Mac lalu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan supaya menghentikan segera cadangan untuk membina loji nuklear dan empangan besar bagi menangani isu krisis tenaga kerana bimbang berlaku kebocoran reaktor seperti yang berlaku di Jepun.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata trajedi yang berlaku di Jepun menunjukkan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak mustahil Malaysia juga akan mengalami perkara yang sama.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak perlu memiliki sebuah loji tenaga nuklear.

Malaysia bercadang membina dua loji seumpama itu yang masing-masing akan menjana kuasa 1,000 megawatt dengan loji pertama sedia untuk beroperasi pada 2021 dan yang kedua setahun kemudian.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Akhir Disember lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan serius untuk melaksanakan cadangan membina loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik kerana ia termaktub dalam Program Transformasi Ekonomi.

Langkah itu katanya, juga merupakan satu daripada cara mentransformasi industri elektrik sebagai satu sumber tenaga yang stabil bagi memastikan negara tidak menghadapi masalah pada masa akan datang.

Beliau berkata loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik sudah lama menjadi pilihan beberapa negara luar berikutan kenaikan harga petrol dan diesel serta arang batu, yang boleh mempengaruhi harga bekalan tenaga elektrik hingga membebankan pengguna. -TMI



Akhirnya Che Rosli Buat Pengakuan Tak Sokong Lynas

Che Rosli: Saya tak langgar dasar PAS, tak sokong Lynas

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Ahli Parlimen Hulu Langat dari PAS Dr Che Rosli Che Mat berkata akan akur dengan sebarang tindakan parti Islam itu sambil menegaskan, beliau hanya muncul di TV3 atas kapasiti peribadinya sebagai seorang saintis.

Menjawab pendirian kontroversi mengenai loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng dan desakan agar dikenakan tindakan disiplin, Che Rosli berkata, beliau sebenarnya telah memaklumkan saluran swasta itu bahawa tidak akan hadir sebagai wakil PAS, sebaliknya selaku seorang pakar dalam bidang sains nuklear.

Che Rosli mengetepikan kritikan banyak pihak dengan berkata, “seperti Dr Ahmad Termizi Ramli (Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan), saya muncul di TV3 sebagai saintis. Itu sahaja.”

“Saya memberitahu wartawan TV3 bahawa saya perlu mendapatkan kebenaran presiden parti, tetapi oleh kerana wartawan Karam Singh Walia telah menelefon saya dua tiga kali, saya pun kata bahawa saya hanya akan hadir atas kapasiti sebagai seorang saintis,” kata bekas pensyarah sains nuklear kepada The Malaysian Insider.

Malangnya tegas Che Rosli, beliau telah diatribut sebagai wakil PAS — “Ahli Parlimen PAS” sehingga membawa kepada kontroversi sekarang.

“Bila saya disebutkan sebagai Ahli Parlimen PAS, maka ia menjadi kontroversi,” kata beliau.

“Saya hanya pergi sebagai seorang saintis, saya tidak bertindak bertentangan dengan parti, saya juga tidak menyokong Lynas,” katanya dengan merujuk kepada pandangannya bahawa hanya memberikan cadangan bagaimana sisa buangan loji Lynas boleh diuruskan.

“Sekarang sudah jadi isu kontroversi,” kata beliau yang bersedia untuk bertemu dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Saya akan bertemu dengan presiden parti, tetapi kalau nak saya beri penjelasan... boleh, tiada masalah, sila hantar surat secara formal, melalui surat berdaftar... saya akan pergi, sekarang saya baru dengar melalui akhbar, belum ada surat rasmi,” kata wakil rakyat ini sambil menambah, “saya dengar akan dikenakan tindakan kerana melanggar disiplin, katanya nak panggil saya beri penjelasan.”

The Malaysian Insider difahamkan beliau akan dipanggil ke ibu pejabat parti pada minggu kedua bulan depan.

Dalam satu kenyataan Mac lalu, Che Rosli pernah berkata, negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat perlu mengorak langkah dengan mendahului kerajaan persekutuan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui ini demi masa depan rakyat dan lestari alam.

Katanya, jika sisa-sisa buangan ini dijana dengan betul satu penghasilan tenaga baru akan meningkat.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu The Malaysian Insider, partinya akan memanggil Che Rosli, yang dilaporkan menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng dekat Kuantan, untuk membuat penjelasan mengenai pendiriannya selepas cuti sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun pucuk pimpinan tidak menganggap kenyataan wakil rakyat itu sebagai satu tindakan melanggar disiplin parti walaupun bercanggah dengan pendirian PAS.

“Kami akan minta YB Che Rosli agar memberi penjelasan kepada pucuk kepimpinan kerana apa yang dikatakan oleh beliau bercanggah dengan pendirian parti,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah, “setakat ini apa yang dikatakan oleh beliau tidak boleh dianggap sebagai isu disiplin.”

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, Che Rosli kemungkinan telah memberi pandangannya mengikut kepakaran beliau dalam bidang nuklear, tetapi pendirian parti adalah berlainan iaitu tidak bersetuju dengan loji Lynas didirikan di Gebeng.

Akhir minggu lalu, pemimpin Pakatan Rakyat Pahang membidas TV3 ekoran pengakuan Che Rosli yang menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas.

Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, yang mendesak agar loji bernilai RM700 juta itu dihentikan, mahu TV3 menarik balik dan meminta maaf termasuk Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker yang telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap dirinya.

PAS Pahang juga meminta kepimpinan pusat agar memanggil Che Rosli untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad memberitahu The Malaysian Insider tindakan Che Rosli itu tidak boleh diterima kerana beliau sepatutnya menyatakan sokongan melalui akhbar rasmi parti, Harakah.

“Kita tahu beliau menyokong loji itu semasa kali pertama kita bincangkan isu ini pada 2009. Tetapi selepas berunding dengan pakar lain, pendirian PAS adalah membantah projek itu. Tetapi sekarang beliau telah masuk ke musuh untuk serang parti sendiri,” katanya.

TV3 menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh mengatakan Dr Ahmad Termizi dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear.

Che Rosli didakwa bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau “malu” dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik.

Fuziah berkata, Che Rosli hanya bercakap tentang soal bahaya radiologi sedangkan beliau dan penduduk di sekitar loji itu telah berunding dengan ramai pakar dalam beberapa bidang termasuk kesihatan awam, kejuruteraan kimia, fizik nuklear dan undang-undang alam sekitar. -TMI

Ulasan GB

Dan kita berharap isu ini sekali lagi memberi pengajaran kepada YB-YB dan pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat.

Isu ini menjadi kontroversi kerana Che Rosli tidak dapat menepis pelawaan Karam Singh Walia - yang kemudiannya "bersetuju" untuk pergi sebagai seorang saintis.

“Saya memberitahu wartawan TV3 bahawa saya perlu mendapatkan kebenaran presiden parti, tetapi oleh kerana wartawan Karam Singh Walia telah menelefon saya dua tiga kali, saya pun kata bahawa saya hanya akan hadir atas kapasiti sebagai seorang saintis,”


Kita tidak dapat memisahkan diri kita menjadi dua. Seorang YB PAS, seorang saintis. Orang sudah kenal siapa kita. Dan apa-apa juga perkataan kita yang berbeza pandangan dengan dasar parti di kaca TV arus perdana sepastinya dieksploitasi dan dimanipulasi sepuasnya oleh mereka.

Che Rosli akhirnya membuat kenyataan beliau tidak bersetuju dengan projek Lynas. Baguslah.

“Saya hanya pergi sebagai seorang saintis, saya tidak bertindak bertentangan dengan parti, saya juga tidak menyokong Lynas,”

Kenyataan seperti itu sepatutnya disuarakan semasa wawancara berkenaan untuk mengelakkan ia menjadi kontroversi. Tetapi Che Rosli terus bercakap dengan menyerang YB Pakatan Rakyat pula. Jadi beliau tidak boleh menyalahkan pihak yang berpersepsi negatif terhadapnya.

Natijahnya, berlakulah apa yang dikatakan kontroversi itu.

Episod ini sepatutnya membuka mata semua pemimpin parti komponen PR. Jangan mudah terpedaya dengan bujukan media arus perdana. Jangan timbulkan kekecohan menjelang pilihanraya.

Ulasan GB sebelum ini di SINI. Petikan:

Kita sentiasa mengingatkan supaya berhati-hati terhadap mikrofon wartawan dari media arus perdana, tetapi yang kali bukan sekadar mikrofon, siap dengan paparan kaca TV lagi!

Dan yang aneh beliau berdalih menyatakan hendak dicakapkan adalah hal-hal teknikal sedang yang berlaku ialah serangan sesama ahli parlimen di kalangan Pakatan. Bukankah itu pendustaan namanya di bulan puasa?

TV3 menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh Walia mengatakan Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan Dr Ahmad Termizi Ramli dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear.

Che Rosli bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau “malu” dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik. -TMI


dan tanpa segan silu beliau menghentam akhbar Harakah melalui kaca TV3:

Che Rosli turut mengkritik akhbar rasmi PAS, Harakah kerana bersikap tidak adil terhadap beliau berbanding Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang sering disiarkan kenyataan-kenyataannya berhubung nuklear dan isu Lynas yang bertentangan dengan pendiriannya. -Harakahdaily



Kakitangan Kerajaan Pusat Cuba Sabotaj Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

Exco Selangor Dr Xavier Jeyakumar berkata isu kakitangan 'keras kepala' yang enggan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat melicinkan urustadbir negeri sudah lama disedari umum.

Buktinya, kewujudan beberapa jabatan baru yang berhubungan terus dengan Kerajaan Persekutuan sehingga menyebabkan berlaku masalah dalam urustadbir negeri.

"Mereka tubuhkan jabatan ICU, JKKP dan sebagainya di luar kerajaan negeri. Tidak ada bantuan dari Jabatan Tanah, dan Majlis daerah. Dan organisasi ini lakukan kerja tidak seperti dahulu," kata beliau ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan negeri Selangor hari ini.

Xavier berkata pertemuan beliau dengan duta Amerika Syarikat pada 11 September tiga tahun lalu adalah atas jemputan mereka.

Dalam pertemuan itu beliau membincangkan kekangan yang dihadapi Pakatan Rakyat selepas berjaya merampas negeri yang paling berharga untuk Barisan Nasional.

"Saya ingat apa yang saya beritahu bukan isu yang tidak diketahui tapi tidak difahami tapi itu cara kerajaan pusat cuba ambil alih negeri Selangor tidak kira apa yang dilakukan," tegas beliau

Kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat yang bocor mendedahkan bahawa anggota Xavier Jayakumar berkata kerajaan negeri menghadapi kesukaran ketika berurusan dengan kakitangan awam yang degil itu.

Kakitangan berkenaan, menurut laporan memetik Jayakumar sebagai berkata ada pegawai kerajaan negeri yang masih "terikat dengan kerajaan BN (bekas) Perdana Menteri Tun Abdullah (Ahmad Badawi), dan usaha BN bagi menetapkan struktur selari bagi mengalihkan dana daripada disalurkan kepada kerajaan negeri”.



Siang Berpuasa, Malam Jual Tubuh

Kuala Lumpur: “Sewaktu menjejakkan kaki ke sini, setahun lalu saya bersama-sama 20 rakan yang juga dari Indonesia ditempatkan di sebuah rumah di Brickfields beramai-ramai. Gambar fail

“Majikan memberitahu siang kami perlu berehat dan malam perlu ‘bekerja’ , hanya segelintir saja diminta ‘bekerja’ di siang hari,” kata Nadirah, 19, seorang pelacur warga Indonesia yang ditemui di sebuah rumah tumpangan di Brickfields.

Menceritakan saat-saat mula menjejakkan kaki ke negara ini, dia memberitahu pada awalnya ejen di Indonesia menawarkan pekerjaan kepadanya sebagai pelacur di Malaysia dan mereka dikehendaki memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Kerana keluarga kesempitan wang, akhirnya saya bertekad datang ke Kuala Lumpur dan kini sudah setahun bekerja sebagai pelacur. Sekarang ini pun pas lawatan sosial sudah tamat tempoh dan majikan tidak memperbaharuinya lagi.


“Siang kami berpuasa, tetapi malam kami melacur kerana kami dibayar gaji tetap RM800 sebulan. “Dan dengan duit itulah kami akan menghantar sebahagiannya kepada ibu bapa kami di Indonesia sebagai persediaan sambutan Aidilfitri,” katanya ketika menunggu pelanggan.

Nadirah mengakui terpaksa bekerja sebagai pelacur berikutan tiada pekerjaan di kampung asalnya di Bandung, Indonesia selain gaji yang diperoleh bertujuan membantu ibu bapanya yang kesempitan.

Menurutnya, walaupun dia tahu perbuatannya itu berdosa tambahan pula di bulan Ramadan, tetapi dia tiada pilihan kerana memerlukan wang untuk membantu ibu bapanya.

Katanya, walaupun bergelar pelacur dia memberitahu masih ada segelintir antara mereka masih berkesempatan berpuasa sebelum berbuka bersama.

“Selalunya waktu operasi bermula kira-kira jam 9 malam sehinggalah jam 4 pagi. Sesudah habis bekerja saya akan mandi wajib sebelum berpuasa keesokan harinya,” katanya.

Nadirah memberitahu majikannya mengaut keuntungan puluhan ribu semalaman dengan mengenakan bayaran antara RM30 dan RM60 bergantung kepada kualiti pelacur, tetapi hanya membayar gaji tetap RM800 sebulan kepadanya.

“Kami tidak diberikan komisen ataupun bonus sedangkan majikan untung ribuan ringgit satu malam,” katanya.

Wartawan Harian Metro yang menyamar pada malam itu ‘celik mata’ sejurus mendapati seorang pelacur warga Indonesia berumur 15 tahun sudah pun terjebak dengan pekerjaan itu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ani memberitahu terpaksa meninggalkan alam persekolahannya di Sumatera Barat kerana mahu membantu ibu bapanya mendapatkan wang tambahan “Sebulan saya dapat RM800, kadang-kadang RM850. Untuk ibu bapa, saya beri RM400 sebulan setakat berkemampuan membantu. Majikan kami ada bagi tahu kalau pelanggan tanya kami dari mana, jangan cakap kami orang Indon tapi bagi tau kami orang Filipina atau Vietnam,” katanya.

Ketika asyik menemubual, wartawan mendapati ramai rakyat tempatan yang sepatutnya memanfaatkan bulan Ramadan dengan amal ibadat tidak menghiraukannya, sebaliknya terbabit sama melanggan pelacur. -HM

Isu Tung Shin: Jangan Salahkan Kakitangan Hospital Jika Mereka Enggan Beri Kerjasama

Insiden Tung Shin: Saksi didakwa enggan kerjasama

Keengganan saksi untuk bekerjasama telah menyebabkan kelewatan melengkapkan siasatan dakwaan bahawa gas pemedih telah dilepaskan di dalam kawasan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu di Kuala Lumpur semasa perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata saksi terdiri daripada doktor, jururawat dan pesakit di hospital berkenaan enggan tampil untuk membantu dalam siasatan insiden tersebut.

Katanya beliau telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Kamarul Zaman Md Isa supaya mempercepatkan siasatan.

Bagaimanapun, saya dimaklumkan beberapa saksi gagal hadir semasa siasatan, katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempena Aidilfitri di Seri Perdana, di Putajaya hari ini.

Liow berkata laporan siasatan itu akan dikemukakan kepada Kabinet.

Katanya dua pasukan, satu dari kementeriannya dan satu dari pihak polis, ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan terhadap pasukan polis atas kejadian itu. - Bernama

Ulasan GB

Awal-awal dulu, Menteri Kesihatan sudah membuat kenyataan karut dengan menyalahkan angin, bukan polis yang melepaskan tembakan gas ke kawasan hospital.

Da pihak kakitangan hospital Tung Shin lebih tahu apa yang sebenarnya yang terjadi.

Justeru tidak salah untuk pihak Hospital Tung Shin tidak mahu memberi kerajasama kepada pihak kementerian yang telah awal-awal berbohong dan berdusta.

Malah tindakan Menteri kesihatan yang secara melulu membuat andaian yang karut itulah yang sepatutnya dipersalahkan.

Sebelum ini GB sudah ulas di SINI. Petikan:


Terlalu mendukacitakan dan memalukan seorang menteri kesihatan mengambil sikap mempertahankan tindakan polis tetapi membelakangkan keselamatan pesakit di hospital.

Katanya, polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan.

Bukankah polis mengetahui kawasan itu adalah kawasan sebuah hospital dan jika sekalipun benar ia tak membidik hospital tetapi jalan besar ia tetap merupakan satu kesalahn serius.

Seperti orangramai tidak boleh membunyikan hon kenderaan di jalanraya di hadapan sekolah kerana menganggu para pelajar, apatah lagi menembak gas pemedih mata di jalanraya di hadapan sebuah hospital.

Alasan menteri berkenaan hanyalah bertujuan politik. Mempertahankan tindakan polis yang ternyata jelas bersalah sedangkan sudah sedia maklumkan asap tembakan sudah pasti merebak ke kawasan di sekelilingnya.

Namun yang jelas dan nyata, tembakan yang dilakukan sebenarnya memang ke arah hospital. Gambar dan video yang dirakam membuktikannya tetapi menteri berkenaan masih dengan sikap membodek agar jawatan menterinya tidak terlepas.

Dasar menteri kabinet BN memang kaki pendusta!


Kemerdekaan Mekah: Nabi Menentang Bangsanya Sendiri Yang Amalkan Ajaran Jahiliah


Nabi pun dianggap pengkhianat

Dunia hari ini akan menghukum bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pengkhianat kepada bangsa dan tanahair, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ini, katanya kerana Nabi s.a.w. menyerang bangsa dan tanahairnya sendiri di Mekah dan kaum Arab yang dipimpin oleh bapa mertuanya, Abu Suffian.

“Tidak, tidak sekali-kali kerana bangsanya menganut ajaran jahiliah, ajaran syaitan dengan meninggalkan syariat Allah SWT,” tegasnya semasa berkhutbah Idulfitri di Masjid Rusila, hari ini.

Pada ketika itu, jelasnya di bahagian timur Semenanjung Tanah Arab dijajah oleh Parsi dan baratnya oleh Rom.

“Mekah dibebaskan, Mekah dimerdekakan. Dimerdekakan daripada siapa? Dimerdekakan daripada jahiliah, bukan jahiliah Parsi, bukan jahiliah Inggeris, jahiliah Perancis, jahiliah Cina dan India. Mekah dibebaskan dari jahiliah Arab, sebangsa dengan Nabi s.a.w.,” jelasnya di hadapan lebih 3,000 jemaah.

Katanya, Mekah dijajah oleh jahiliah Arab, dengan itu Nabi s.a.w. memimpin para sahabat untuk membebaskan Mekah daripada jahiliah bangsanya sendiri.

Tegasnya, Mekah dibebaskan daripada jahiliah kerana kemerdekaan yang sebenar ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT.


Beliau yang juga ahli parlimen marang berkata, tidak ada kemerdekaan selagi tidak mengabdikan diri kepada Allah SWT.

“Selagi sembahyangnya tidak mengadap Allah, selagi syariat dan hukum-hakamnya tidak mengikut syariat dan hukum-hakam Allah, tidak dinamakan merdeka dalam erti kata yang sebenar,” jelasnya.

Tegasnya, perjuangan memerdekakan manusia dengan hanya mengabdikan diri kepada Allah.

“Ketahuilah, umat Islam belum merdeka daripada penjajah Inggeris, penjajah Perancis, penjajah Itali, penjajah Komunis, penjajah Cina, Rusia dan lain-lain selagi mereka tidak melaksanakan Islam di tanahair mereka.

“Selagi hukum Islam tidak berdaulat, syariat Allah tidak diamalkan semuanya, menandakan perjuangan kita belum selesai, perjuangan untuk menyambung risalah yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w. belum selesai,” ujarnya lagi. -HD


Jiwa kaya, iman kuat bangkit jatuhkan rejim zalim

MARANG, 30 Ogos: Walaupun rejim Tunisia, Mesir dan Libya dibantu oleh kuasa-kuasa Bart namun tumbang kerana kebangkitan rakyat yang kaya jiwa dan iman yang kuat.

“Kebangkitan rakyat yang berani, yang bersedia untuk mengorbankan diri mereka di jalan raya, yang tidak tunduk pada kezaliman kerana jiwa yang kaya bukan jiwa yang miskin dan papa kedana,” tegas Presiden PAS ketika menyampaikan khutbah Idulfitri di Masjid Rusila, hari ini.

Katanya, kebangkitan dengan jiwa yang kaya dan iman yang kuat boleh menjatuhkan kerajaan-kerajaan yang zalim.

“Sekiranya kita berpegang dengan Islam kita akan diberikan kemuliaan oleh Allah SWT,” katanya.

Justeru, katanya puasa mengajar umat Islam untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT yang bersedia untuk mengorbankan diri, sanggup berlapar, berdahaga, letih dan menahan diri menghadapi kesusahan dan kepayahan.

Tambahnya, mereka meninggalkan nikmat dunia kerana taatkan kepada Allah SWT.

“Begitulah kewajipan kita untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi Allah ini,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, orang-orang munafik didedahkan oleh Allah bahawa mereka golongan berpura-pura Islam, hatinya tidak percaya dengan Islam.

Katanya, orang-orang yang lemah imannya menganggap janji kemenangan yang disebut oleh Allah dan Nabi s.a.w. hanyalah tipu daya sahaja.

Justeru, ujarnya adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam yang dilatih oleh Allah SWT dengan puasa Ramadan untuk membebaskan diri daripada tipu daya syaitan.

“Marilah kita berhari raya dengan semangat yang baru, jiwa yang baru, bercita-cita untuk menemui Allah SWT dan hari pertemuan kita dengan Allah adalah hari yang paling bahagia,” ujarnya lagi. -HD