23 Nov 2009

Kementerian Kerja Raya Lembab Atau Sabotaj?

Kerajaan negeri Selangor terpaksa menangguhkan keputusan mengumumkan hasil siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa setelah Kementerian Kerja Raya gagal memberikan kebenaran untuk laporan itu diedarkan kepada umum.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata salinan buku laporan itu sudah pun siap untuk diedarkan.

“Kita sudah sedia, sudah cetak salinannya tapi kita masih menunggu kebenaran dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dari kementerian. Kita masih belum dapat lagi tetapi saya sudah tulis surat supaya membenarkan kerajaan negeri untuk mengklasifikasikan di bawah Seksyen 2 C (Akta Rasiah Rasmi 1972) untuk dibenarkan risalah laporan sebagai rahsia, tetapi boleh diberikan kepada mereka yang berkenaan tanpa tertakluk pada ikatan OSA,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengumuman beliau pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Rabu lalu bahawa orang ramai boleh mendapatkan salinan laporan berkenaan di kaunter Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mulai hari ini.

Dalam sidang media berkenaan, Khalid mendedahkan faktor utama yang dikenalpasti penyebab runtuhan tanah itu berpunca dari kebocoran paip air dari saluran paip air yang aktif di rumah terbengakalai yang meningkatkan kandungan air dalam tanah di kawasan kegagalan cerun.

Bagaimanapun salinan laporan berkenaan tidak dapat diedarkan kepada umum kerana Kementerian Kerja Raya masih belum memberikan kelulusan pendedahan berkenaan.

Beliau juga akan menulis surat kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berhubung kebenaran berkenaan.

Katanya sekiranya, Shaziman tidak mempunyai kuasa berhubung permohonan ini, beliau meminta supaya surat berkenaan diserahkan kepada Kabinet.

“Mungkin saya akan tulis surat pada pihak menteri supaya jika menteri tidak mempunyai kuasa fikir perkara ini, saya minta mereka memberikan surat saya itu kepada kabinet untuk penilaian,” katanya. -TVS

Ulasan GB

Hanya ada dua jawapan di dalam fikiran kita mengenai kegagalan Kementerian Kerja Raya gagal memberikan kebenaran untuk laporan itu diedarkan kepada umum.

1) Kementerian berkenaan sememangnya LEMBAB di dalam menjalankan kerja-kerjanya atau
2) Usaha sabotaj supaya rakyat meletakkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri Selangor kerana masih tidak mengedarkan laporan seperti yang dijanjikan.




Gani Patail Berniat Jahat Terhadap Anwar - Peguam

Dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berniat jahat dan tidak boleh diterima memandangkan ketiadaan penemuan perubatan berhubung penetrasi, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Isnin.

Peguam R.Sivarasa, yang mewakili Anwar, berkata bukanlah satu perkara baru bahawa untuk melakukan dakwaan liwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, penetrasi merupakan perkara utama dan teras.

Beliau berkata dalam kes ini, tiada bukti perubatan yang pasti bagi mencadangkan berlaku penetrasi ke dalam dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Berdasarkan laporan perubatan oleh pegawai perubatan dari Pusrawi yang mula-mula sekali memeriksa pengadu, dinyatakan bahawa dubur itu tidak berdarah, tidak cedera, tidak bernanah dan ia adalah bersih, kering serta kelihatan normal," katanya, sambil menambah perkara itu turut disokong oleh laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur yang menyatakan bahawa penetrasi tidak berlaku.

Oleh itu, beliau berhujah hakikat itu cukup untuk mahkamah membatalkan dakwaan terhadap Anwar memandangkan jelas bahawa tiada kesalahan yang telah dilakukan.

Sivarasa berhujah di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berhubung permohonan Anwar untuk membatalkan dakwaan liwat terhadapnya.

Pada 10 Mac, Anwar mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 24, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 27 Jun tahun lepas.

Sivarasa turut berhujah bahawa dakwaan terhadap Anwar tidak berasaskan bukti sebaliknya berat sebelah, menyalahi undang-undang, berniat jahat, bermotifkan politik dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Beliau berkata mahkamah mempunyai hak dan kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonan membatalkan atau menangguhkan dakwaan itu bagi mengelak pendakwaan yang menindas dan mempunyai niat buruk terhadap Anwar.

Sivarasa berkata pembabitkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kes itu jelas menunjukkan niat jahat terhadap Anwar, memandangkan beliau disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berikutan laporan polis terhadap beliau oleh Anwar membabitkan pemalsuan keterangan dalam insiden "mata lebam" ketika Anwar ditahan polis pada 1998.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata mahkamah mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk membatalkan atau menangguhkan dakwaan itu, bagi membetulkan salah laksana keadilan jika dakwaan itu benar-benar merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

"Bagaimanapun kami berpendapat dalam tindakan ini, ia hanya untuk menghentikan prosiding atau untuk menghalang mahkamah daripada terus mendengar kes ini," katanya.

Mohamed Yusof berkata berdasarkan laporan DNA oleh ahli kimia, terdapat spesimen DNA campuran daripada dua lelaki di tempat kejadian, yang menyokong dakwaan Mohd Saiful bahawa dia diliwat oleh Anwar.

"Ini bukanlah kes yang sewajarnya untuk mahkamah menggunakan kuasa sedia ada bagi membatalkan atau menangguhkan dakwaan memandangkan pendakwaan tidak tahu bagaimana kes itu memudaratkan Anwar," katanya.

Hakim Mohamad Zabidin menetapkan 1 Dis untuk keputusan. -Bernama


Permohonan Penolakan Pertuduhan Kes Liwat II Ketua Umum PKR 1 Disember Ini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 1 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes permohonan penolakan pertuduhan liwat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah selepas pihak pembelaan diwakili Sivarasa Rasiah mengemukakan hujah mengenai tiga pekara asas utama mengapa mahkamah perlu membatalkan kes berkenaan.

Perkara pertama yang disebutkan ialah tuduhan atau pendakwaan yang dibuat adalah mala fide dan ia merupakan satu kesalahan dalam proses perundangan.

Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah dalam hujahnya kepada Hakim, Mohamad Zabidin Mohd Diah menambah, perkara pokok kedua yang perlu diambil kira oleh pihak mahkamah ialah adanya konspirasi politik mala fide ke atas Anwar.

Sivarasa turut berhujah bahawa pertuduhan ke atas Anwar adalah berniat jahat semata kerana tiada sebarang bukti klinikal yang menunjukkan terdapat apa-apa tusukan pada bahagian dubur Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya telah diliwat Anwar.

“Permohonan peguam saya untuk membuktikan kes ini dimanipulasi oleh peguam dan dari awal lagi memang tidak ada bukti. Dia beri contoh bahawa mahkamah punya kuasa untuk menghentikan cara kotor dan politik yang dimainkan oleh peguam negara," katanya.

Anwar juga turut mempersoalkan di mana lojiknya kes liwat II beliau ini sekiranya keterangan dari doktor cukup jelas.

“Tidak ada kesan sama sekali adanya kemasukan maka hendak terus bicara soal apa? Tidak pernah dalam mana-mana kes jenayah seks dunia di mana keterangan doktor begitu jelas termasuk pohak doctor yang ditentukan oleh pendakwa dan juga polis," katanya.

Dalam sesi prosiding tersebut, Sivarasa turut menambah sikap berat sebelah pihak pendawaraya juga antara sebab mengapa pihak mahkamah perlu membatalkan pertuduhan ke atas Anwar.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23 tahun di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lalu.

Walau bagaimanapun pakar dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pusrawi mengesahkan tiada sebarang tusukan objek keras ke dalam dubur Saiful. -TVS



Polis Masih Diperguna UMNO-BN, Tarik Balik Permit Ceramah

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Polis DiRaja Malaysia masih terus diperguna UMNO-Barisan Nasional.

Menurutnya tindakan polis menarik balik permit ceramahnya di Kulai, Johor malam tadi atas alasan ia mendapat bantahan 30 pemuda UMNO adalah tidak munasabah.

Beliau turut menyatakan kekecewaaannya terhadap sikap dingin Ketua Polis Daerah yang tidak mahu mengadakan sebarang perbincangan.

“Walaupun kita minum teh tarik semeja dengan Najib ini tidak bermakna polis sudah tidak diperlukan oleh UMNO, malah akan terus menjadikan polis sebagai perkakas UMNO. Dan saya diberitahu oleh OCPD, tidak ada permit tidak boleh berucap," katanya.

“Malam tadi semasa Keadilan Kluang memaklumkan bahawa tiada halangan untuk berceramah disitu kerana kawasan merupakan kawasan persendirian. Malah ceramah masih diteruskan oleh pemimpin kawasan tersebut dari Johor, seterusnya saudara Tian Chua berceramah, tetapi sebaik tiba giliran saya, saya dihalang oleh OCPD," jelasnya.

Semalam Anwar terpaksa membatalkan ceramahnya di Kulai, Johor malam tadi ekoran bantahan 30 Pemuda Umno.

Ekoran bantahan berkenaan Polis menarik balik permit yang telah dikeluarkan.

“Saya minta 10 minit untuk terangkan kepada orang ramai dan meleraikan mereka,dan apa yang lebih mengecewakan alasan yang diberikan ialah terdapat 30 pemuda UMNO menjerit-jerittidak sepatutnya," ujarnya.

Anwar berkata, beliau kemudiannya bertanya kepada pegawai polis tersebut adakah tindakan sama akan dilakukan kepada Umno-Barisan Nasional sekiranya terdapat bantahan dari sebilangan kecil kelompok.

Katanya bagaimanapun, pegawai berkenaan hanya mampu berdiam diri dan kemudiannya menjawab “saya tidak mahu berbincang”. -TVS



SPR Tak Perlu Makan Buah Kedondong!

SATU : Di Kedah, satu rekod baru dicatatkan di negeri ini, semalam, apabila seorang bayi seberat 6.15 kilogram selamat dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di sini.

Ibu bayi berkenaan, Aishah Bee Yassin, 35, dari Changloon, melahirkan bayi tersebut yang juga anak kelimanya dengan dibantu seorang doktor dan beberapa kakitangan pusat perubatan tersebut pada jam 2 pagi.

Aishah berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan mendapat bayi seberat itu kerana ketika sarat mengandung, bayinya yang diimbas dianggarkan seberat empat kilogram sahaja.

"Tapi satu perkara yang luar biasa sedikit ketika saya mengandung anak kelima ini, saya sering mengidam nak makan buah amra (kedondong). Bayangkan dalam satu hari saya boleh habiskan sekilogram buah amra," katanya.

Aishah berkata, sepanjang tempoh hamil, dia tidak selera makan nasi dan hanya makan buah amra, roti dan susu sahaja.

“Pernah sekali saya mengamuk kepada suami apabila tidak dapat makan buah amra dan memaksa suami mendapatkannya segera,” katanya , semalam.

Difahamkan kelahiran bayi itu telah memecah rekod PMC apabila dilahirkan seberat 6.15 kilogram berbanding rekod sebelum ini, 4.65 kilogram yang dicatat pada Jun lalu.

“Apapun saya bersyukur kami berdua selamat dan saya tidak mengalami sebarang kesukaran ketika melahirkannya awal pagi kelmarin,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Mohd Ali Khan Ghazali, 41, berkata dia terkejut apabila diberitahu bahawa anak kelimanya itu direkodkan seberat 6.15 kilogram kerana menyangka berat bayinya hanya sekitar empat kilogram sahaja.

“Saya agak terkejut kerana sebelum ini anak keempat kami iaitu Nor Hashimah paling berat ketika dilahirkan iaitu lima kilogram tapi adiknya ini lebih berat. Bagaimanapun, saya bersyukur apabila doktor mengesahkan anak saya sihat,” katanya.

Selain bayi itu, Ali yang bekerja sebagai ejen pengimport mempunyai empat anak iaitu Mohd Amirudin Mohamed, 13, Nor Hafisah Mohamed, 12, Mohd Nazirul Mubin Mohamed, 10 dan Nor Hasyimah Mohamed, 6. -SH

DUA, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil. -malaysiakini

Ulasan GB:

Sama sperti kes ikan berkepala buaya yang ditemui di Selangor dan kes taun kerana keropok lekor dari Marang dan Wakaf Mempelam, kes bayi yang besar dan berat dalam perut di Kedah ada kaitan ker dengan Kota Siputeh di Kedah, tanya seorang peminat blog Kelab GB melalui email.

GB kata tak der sesuatu pun ciptaan Allah yang sia-sia.

Budak yang ibunya makan buah kedondong itu menjadi berat dan selamat dilahirkan.

Keputusan samada pilihanraya atau tidak untuk Kota Siputeh itu walaupun dilewat-lewatkan oleh SPR melalui hujah senandung dalam rayuan-rayuannya (bak ibu yang makan buah kedondong) ke mahkamah akan menambah beratkan keputusan hakim untuk berpihak kepada Speaker DUN Kedah.

Dengar keputusan hakim hari ini:

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin berkata beliau bersetuju dengan Sulaiman Abdullah, peguam utama bagi Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, bahawa SPR gagal menyakinkan mahkamah berhubung isu keadaan luar biasa bagi mewajarkan permohonan itu dibenarkan.

Katanya alasan mengenai implikasi kewangan yang dinyatakan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaruddin Md Said yang mewakili SPR, tidak boleh ditakrif sebagai satu keadaan luar biasa.

"Mengikut undang-undang, menguruskan pilihan raya merupakan tanggungjawab biasa SPR dan suruhanjaya ini tidak merujuk mana-mana undang-undang kes untuk menyokong hujahnya," kata Alizatul.

Ini ada satu kes baru dari berita baru masuk, apa pulak pengajarannya: Tiga cedera diserang beruk liar di Kuantan Pahang!

Ayat-ayat manzurah ini sentiasa serasi dengan ayat-ayat maqru'ah. Kerajinan membaca dan mengkaji ayat-ayat maqrua'ah (ayat Al-Quran) akan dikurniakan Allah kebijaksaan untuk memahami untuk ayat-ayat manzurah (alam sejagat).

Wala' Tetap Wala', Tapi Asri Dan Nakhaei Pun Kena Sepak

Pintu Kerajaan Perpaduan (UG) telah ditutup rapat kata Presiden PAS. Walaupun berbagai tafsiran boleh dibuat dengan rangkai kata “ditutup rapat”, saya yakin dengan kesepaduan dan kemampatan kenyataan beliau. Cuma saya kurang yakin dengan orang yang akan membukanya kembali.

Mungkin, Tuan Presiden mempunyai kata laluannya sendiri, namun dengan kecanggihan zaman “IT” ini, “hackers” tetap dapat menggunakan kata laluan alternatif.

Hingga ke hari ini, saya belum terbaca lagi apatah lagi mendengar daripada kaum (yang saya anggap sebagai dedalu) berkenaan membuat penjelasan secara terbuka. Apa yang saya lihat mereka cuma tersengeh-sengeh macam kerang busuk mendengar kenyataan Presiden. Dalam pada itu, orang yang berkenaan bersama juak-juak menyusun beberapa strategi bagi mencantas golongan yang senada dengan TGNA. UMNO juga telah dimangsagunakan bagi menutup mulut TGNA.

Bagaimana rasionalnya UG ini kepada PAS? Teorinya begini. Mudah sahaja. Di dalam UMNO, memang terdapat golongan yang berpendidikan dan b erpengetahuan agama. Golongan yang tahu membezakan antara halal dan haram. Keduanya ada juga kelompok yang telah letih membuat kerja-kerja haram. Mereka semakin tua. Walaupun nafsu masih kuat dan tajam, kemampuan tidak seberapa. Ketiga ada juga puak yang seperti sudah bosan dengan UMNO. Meluat dan menyampah.. Namun disebabkan masalah yang ada kaitan dengan dirinya, mereka tidak dapat hendak ke mana. Umpama pepatah nak ditelan mati emak , nak dibuang mati bapa.

Ketiga –tiga golongan ini jika digabungkan dengan ahli PAS ia telah mampu menjadi kumpulan yang dominan di dalam UMNO khususnya dan BN amnya. Suara-suara tua, telah mula dapat dibaca daripada kenyataan Mahathir dan Muhammad Taib. UMNO sebagai tunjang BN cuma dikendalikan oleh dua kelompok yang bersepupu yang mana para pengikutnya menganga umpama anjing kelaparan dirasakan tidak memberi apa-apa keuntungan pada ketiga golongan ini melainkan imej yang buruk.

Khairy Jamaludin (KJ), umpama ayam jantan yang mana ekornya bergelumang tahi, cuma mampu berkokok untuk mencari ayam betina. Lebih daripada itu tidak ada siapa yang mempedulikannya. Untuk kelihatan mahu mensucikan diri, ketua pemuda UMNO ini mulalah berjinak-jinak dengan puak ketayap putih. Itu sebabnya, ia sering kelihatan di mana-mana majlis yang berkaitan. Tidak mustahil, dia cuba menunjukkan sokongan dengan penganjur UG.

Pada KJ, UG ini penting untuk mendapatkan magoriti sokongan di dalam UMNO khasnya dan BN am. Itu sebabnya, cuma KJ yang sering terpampang di dalam mana-mana insiden yang berkaitan dengan PAS. Lebih-lebih lagi, Presiden PAS pernah mengeluarkan kenyataan bahawa UG ini cuma sesuai pada zaman Pak Lah. Oleh itu, sebagai anak menantu, KJ akan cuba menjaga dengan seberapa baiknya pusaka ini.

Memang tidak ada apa yang perlu dirisaukan dalam PAS. Semua ahlinya akan tetap memberi walak. Namun jangan lupa, Asri dan Nakhaei pun kena sepak. -smartlife

Kota Siputeh : Mahkamah Tinggi Tolak Rayuan SPR

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil. -malaysiakini

Nik Aziz Arah Arriffahmi Letak Jawatan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengarahkan menantunya, Abdul Ariffahmi Rahman supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Arahan itu berkaitan dengan isu membabitkan pelantikan Ariffahmi ke jawatan CEO daripada jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO).

Nik Aziz yang juga Pengerusi PMBK baru-baru ini mempertahankan pelantikan itu dan berkata Ariffahmi yang berkelulusan sebagai jurutera, sememangnya mempunyai keupayaan serta kebolehan memegang jawatan terbabit.

"Mana boleh Menteri Besar melantik seseorang yang tidak menentu (tiada kebolehan untuk pegang jawatan itu). Saya beri kepercayaan kepada menantu saya itu (Ariffahmi) kerana dia seorang jurutera serta mempunyai kebolehan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pemuda Umno Kelantan yang menuntut siasatan dilakukan terhadap pelantikan Ariffahmi ke jawatan CEO di PMBK ketika ini selepas menjawat COO perbadanan itu.


Menantu Nik Aziz letak jawatan

Menantu tokoh PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilanda kontroversi sejak dua minggu lepas meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menjadi fokus kontroversi apabila memecat Syed Azidi Syed Abdul Aziz, seorang pegawai kanan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Beliau, exco Pemuda PAS Kelantan, mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media hari ini.

Surat rasmi peletakkan jawatan tersebut bagaimanapun belum diserahkan, katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau juga enggan mengulangi kenyataannya dalam sidang akhbar tersebut.


Ulasan GB

Tahniah dan terima kasih TG Nik Aziz, Tahniah dan terima kasih juga untuk Ariffahmi. Tuan-tuan telah menyelamatkan PAS Kelantan dari terus difitnah oleh orang yang suka memfitnah.

Ini menunjukkan Ariffahmi tidak gila jawatan, tidak gila pangkat.

Semuga Allah s.w.t terus menjaga PAS Kelantan disamping mnghancurkan semua perancangan jahat golongan yang membenci kepimpinan TGNA.


Penentang Husam Terkedu. Nik Aziz Masih Bela Husam

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan desas desus bahawa Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan seperti dilapor media Umno BN semalam.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya pagi ini, Nik Aziz memberitahu, Husam juga tidak pernah menghantar surat meletak jawatan sepeti yang didakwa.

Media kerajaan semalam melaporkan Nik Aziz memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran kerana didakwa mahu meletakkan jawatan.

Menurut Nik Aziz, Husam diberi cuti rehat ekoran beliau perlu menjalani pembedahan tulang belakang selepas ditangguhkan sejak dua bulan lalu.

Husam ujarnya ada bertemu dengan beliau di pejabatnya minggu lalu untuk memberitahu bahawa doktor menasihatkan beliau masuk hospital dan berehat selama lima hari kerana masaalah tulang belakangnya.

“Itu lah sebenarnya tak lebih tak kurang. Masalah nak undur langsung tak timbul, baik dalam kepala dia, baik dalam kepala saya.

“Saya baru terbaca sebuah surat khabar hari ini, saya rasa amat terkejut di atas laporan sebuah akhbar hari ini muka depan, tajuk dia Husam letak jawatan, walaupun ada tanda soal,”ujarnya.

Nik Aziz berkata, tiada sebab Husam mahu melepaskan semua jawatannya termasuk sebagai anggota exco kerajaan negeri yang menjaga portfolio perancangan ekonomi dan kewangan.

“Kalau benar sekalipun Husam memohon untuk melepaskan jawatannya, saya tetap tidak akan mengizinkannya, kerana kebijaksanaan dia telah berjaya menyelesaikan pelbagai masaalah rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun politik Malaysia,”ujarnya.

“Husam ni saya nak sebut, Allah Taala buat dia bukan sahaja untuk Kelantan, tetapi untuk Malaysia, budaknya cerdik, pengalamannya banyak, dan pemikirannya jauh ke depan.

“Dan sekarang ni rakyat Kelantan banyak menerima buah fikiran yang baik dari Husam termasuk dengan mengambil tanah Felcra, termasuk mengadakan kifalah yang banyak sehingga dapat dimanafaatkan oleh wasi…OKU dan ramai lagi yang terima banyak manfaat hasil pemikiran Husam.

Sebelum ni, tambahnya beliau tidak pernah menyebut perkara itu, (keistimewaan Husam) sebab takut perasaan anggota exco lain berkecil hati, lagipun exco lain mempunyai portfolio masing-masing.

Tetapi, sambungnya portfolio kewangan yang dipegang oleh Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri banyak memberi manfaat kepada Kelantan dan rakyatnya.

“Tiba-tiba orang kita suka buat cerita (Husam letak jawatan) letak muka depan ni akan mengguriskan hati orang sakit.

"Sudahlah dia sakit, macam ni boleh menambahkan kerisauan dia, rungsing,”ujarnya lagi.

Perkara itu katanya tidak seharusnya berlaku apa lagi sekarang umat Islam berada dalam bulan haji, iaitu bulan Zulhijjah.

Sambungnya, sebagai umat Islam setiap orang dikehendaki membuat kebajikan, puasa sunat, sembahyang sunat, menderma kerana bulan ni bulan Allah Taala di mana bulan ini Allah telah menurunkan malaikat dari langit ke bumi untuk memimpin manusia menuju ke syurga.

“Tetapi dukacitanya wartawan kita masih suka mengkrobek hal peribadi orang, termasuk menuduh orang-orang tertentu dengan sesuatu yang mengejutkan.

“Wartawan kita suka mencari benda panas walaupun perkara tu tak betul tetapi panas, dia fikir untuk melariskan jualan akhbar dia, dia tak fikir ianya boleh melukakan hati orang lain, fikiran orang tergugat, dia tak kira. Ini suatu perkara yang dukacita dalam masyarakat wartawan kita.

Pada masa yang sama beliau turut mempersoalkan kenapa wartawan Melayu bersifat sedemikian yang lebih mementingkan sensasi dari kebenaran sehinggakan pada masa yang sama beliau mempersoalkan wartawan berkenaan tidak mendapat kursus atau bagaimana.

“Adakah wartawan ni hanya pandai ambil kalam… kertas dan tulis tulis… tiada kursus ke wartawan ni…apa ni lagu ni, malu kita pada wartawan cina, wartawan cina lebih pandai pada wartawan kita,”sambungnya lagi.

Datuk Husam Musa ketika dihubungi Harakahdaily bagaimanapun hanya menasihatkan semua agar tidak bimbang dengan perkembangan terbaru itu.

"Harap semua jangan bimbang, baca posting saya dalam (blog) cetusan hati," katanya melalui khidmat pesanan ringkas, SMS. -harakahdaily

Ust Nasha Dimasukkan Ke IJN

Timbalan Presidn PAS Ust. Nasharuddin Mat Isa telah dikejarkan ke Intitut Jantung Negara (IJN) pagi ini selepas mengadu sakit dada ketika menghadiri sidang Parlimen.

Ahli Parlimen Bachok ini dilihat dibawa dengan kerusi roda kira-kira 11.45 pagi tadi ke kereta beliau.

Beliau diiringi oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan bekas Setiausaha Agung Datuk Kamaruddin Jaafar..

Bercakap kpada pembrita kemudiannya, Mahfuz menyatakan Nasharuddin mrasa sakit di dada sebelah kanannya.

"Setelah mengadu kesakitan itu, beliau telah di bawa ke klinik Parlimen dan menjalani pemeriksaan electrocardiogram (ECG), di mana doktor tidak dapat mengenal pasti punca sakit dadanya.

Nasharuddin yang juga ahli parlimen Bachok, kemudiannya dirujuk ke IJN.

Siapa Bakal Ganti TG Nik Aziz?

SATU - Puteri nabi Syuib mencadangkan kepada bapanya supaya mengambil nabi Musa bekerja kerana dia ‘qawiy - kuat’ dan ‘amin - amanah’. Sifat ‘kuat’ nabi Musa terbukti semasa dia secara berseorangan mengangkat penutup telaga yang biasanya hanya mampu diangkat oleh beberapa orang lelaki yang gagah untuk memberi minum kambing-kambing puteri nabi Syuib.

Selepas mengangkatnya, dia beredar dan berehat jauh daripada kedua-dua puteri nabi Syuib itu. Musa tidak mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka. Itulah ‘amanah’ nabi Musa.

Semasa nabi Sulaiman menawarkan kepada tenteranya mengenai usaha membawa singgahsana Balqis ke hadapannya, jin ifrit bersedia membawanya sebelum nabi Sulaiman bangun dari tempat duduknya. Namun ada seorang lelaki alim bersedia membawanya sebelum mata nabi Sulaiman berkelip. ‘Kepantasan bekerja’ yang ada pada orang alim itu disyukuri oleh nabi Sulaiman.

Nabi Yusof ditawarkan oleh raja Mesir dengan jawatan di dalam kabinet kerajaan itu. Nabi Yusof memohon diberikan jawatan menteri kewangan. Katanya, dia mampu memikul tugas itu dengan baik kerana dia seorang yang ‘hafiz - bijak mengawal’ dan ‘alim - bijak ekonomi’.

DUA - Kelantan bergolak lagi. Kali ini dengan isu salah seorang exco kerajaan negeri itu yang katanya, ada usaha untuk menggulingkannya. Saya rasa pergelokan Kelantan dalam isu ini sukar diredakan. Ini bukan isu TGNA ditaja ke Mekah, atau isu PMBK, isu Ariffahmi atau Azidi, tetapi ini adalah isu siapakah bakal menggantikan TGNA sebagai MB?

Penggal ini dilihat umum sebagai penggal terakhir TGNA sebagai MB Kelantan. Biasanya, MB adalah Pesuruhjaya PAS negeri. Dan biasanya juga, salah seorang daripada tiga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri akan dilantik mengambil tempat Pesuruhjaya.

Bakal Pesuruhjaya PAS negeri pula bukan dipilih oleh bekas Pesuruhjaya tetapi oleh Presiden. Sekiranya bekas Pesuruhjaya itu masih ada, dia mungkin boleh mencadangkannya kepada Presiden, namun semuanya terletak di tangan Presiden. Mendapat restu AJK PAS Pusat pun, dalam perkara ini hanyalah ‘formality’ sahaja.

Justeru, siapakah yang bakal dipilih oleh Presiden sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan? Juga, sebagai MB Kelantan selepas TGNA? Nyata perkara ini bukan mudah tetapi rumit, sukar, sulit, rencam, sensitif dan …

TGNA dan PAS Pusat tidak boleh menunggu sehinggah saat-saat akhir, atau menyerah kepada keadaan mengenai individu yang layak menggantikan TGNA. Dan, TGNA juga dipercayai telah ada di dalam kepalanya orang yang bakal menggantikannya.

Siapa pun orang itu, ciri-ciri yang dimiliki oleh Musa, Yusof dan orang alim pada zaman Sulaiman hendaklah dimilikinya.

Orang itu hendaklah alim, walau pun tidak sealim TGNA tetapi sekurang-kurangnya dia tahu untuk bertanya dan merujuk kepada orang alim. Maksudnya, dia tahu bila sepatutnya dia bertanya dan bila pula dia tidak perlu bertanya kepada orang alim.

Dia juga hendaklah kuat dan amanah serta pantas dan cekap bekerja. Dia tidak perlu sepantas lelaki alim pada zaman Sulaiman, tetapi dia perlu tangkas untuk mendepani perubahan dan keperluan.

TIGA - Apa pun, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri ke jawatan itu seperti Yusof menawarkan dirinya, menunjukkan kebolehan sendiri seperti orang alim pada zaman Sulaiman melakukannya dan melahirkan kekuatan dan amanah seperti yang dilakukan oleh Musa.

Yusof menawarkan dirinya kerana dia tahu dia memang mampu melakukannya. Orang alim pada zaman Sulaiman pula terus melakukannya sebaik sahaja memaklumkan bahawa dia mampu melakukannya sementara nabi Musa pula melakukannya tanpa sebarang niat untuk menarik perhatian atau meminta balasan.

Kalau ciri-ciri nabi Musa, orang alim zaman Sulaiman dan nabi Yusof ada pada mana-mana salah seorang exco Kelantan sekarang, bagi saya itulah orang yang layak menggantikan TGNA. Dan, yang paling mustahak, hendaklah orang itu bukan orang Umno. -Ust Zolkharnain Abidin



AMK Perlis Mahu Polis Bertanggungjawab Di Atas Kematian Tawfiq

AMK Negeri Perlis ingin menarik perhatian terhadap satu laporan berita yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia pada 16/11/2009 dalam ruangan Jenayah di mana diberitakan kematian adik Mohamad Tawfiq Noorzan mati ditembak oleh pihak polis, demikian dinyatakan di dalam satu kenyataan mdia yang dikeluarkan oleh Ketua AMK perlis hari ini.

Daripada laporan berita berkenaan, termasuk kenyataan keluarga mangsa apabila diziarahi oleh jawatankuasa AMK Negeri Perlis hari ini, kami berpendapat bahawa kematian adik Mohamad Tawfiq Noorzan adalah satu kejadian bunuh oleh pihak polis.

Mangsa dikatakan digari oleh pihak polis untuk dibawa ke balai selepas mangsa membuat kenyataan ingin membunuh rakan-rakan yang meninggalkannya di Alor Setar sehingga menyebabkan mangsa terpaksa berjalan kaki pulang ke rumahnya di Arau, Perlis sejauh lebih kurang 60KM.

AMK Negeri Perlis tidak nampak sebarang alasan yang kukuh untuk polis menembak mangsa, meskipun dikatakan polis berkenaan berniat menembak di bahagian kaki. Dalam keadaan mangsa telah digari selepas keluarga sendiri mengizinkan mangsa diambil pihak polis, tindakan menembak mangsa adalah satu tindakan melampau. AMK Negeri Perlis turut diberitahu oleh keluarga mangsa bahawa terdapat kesan tembakan di bahagian dada mangsa, tambah kenyataan tersebut.

Zamri Safar, Ketua AMK Perlis mengaskan, AMK Negeri Perlis mahu pihak polis mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini dan meletakkannya di bawah kategori jenayah di mana anggota polis terbabit mesti dikenakan hukuman keras di bawah tuduhan membunuh dengan sengaja.

AMK Negeri Perlis ingin menegaskan bahawa sekiranya pihak polis gagal menangani kes ini dengan wajar, kes ini boleh menisbahkan profesyen polis sebagai satu bentuk jenayah berlesen atau gangster beruniform.

AMK Negeri Perlis percaya bahawa institusi polis tidak wajar membiarkan persepsi negatif orang awam terus berlaku akibat kelemahan, kecuaian dan keangkuhan kuasa yang ada.

AMK Negeri Perlis juga menggesa pihak polis untuk menerima Suruhanjaya Bebas Tentang Salah Laku dan Maklum Balas Terhadap Polis (IPCMC) sebagaimana digesa Kaukus Parlimen berkaitan Hak Asasi Manusia dan Urus Tadbir Kerajaan Yang Baik bagi meningkatkan keberkesanan pihak polis sendiri dalam menggunakan kuasa yang diizinkan perlembagaan.

Akhir sekali AMK Negeri Perlis mendesak kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bebas menyiasat kes kematian adik Mohamad Tawfiq Noorzan, Kugan, Teoh Beng Hock serta mangsa-mangsa yang lain agar lunas-lunas keadilan dapat ditegakkan.

Husam Ulas Mengenai Berita Di Mingguan

Ohhh Mingguan Malaysia!

Oleh Husam Musa

Mingguan Malaysia sekali lagi 'memandang tinggi' pada saya dengan berita provokatif muka depan.

Dulu saya diserang bertubi-tubi menjelang Muktamar PAS.

Agenda 'mematikan' saya nampaknya belum berakhir.

Hari ini, Utusan cuba berbagai cara menghubungi saya untuk 'pohon penjelasan'. Semasa Utusan bersiap 'meletupkan' berita itu semalam sepatah penjelasan saya tidak diminta.

Beratus sms, kegelisahan begitu ramai orang dan deringan talipon sejak awal pagi adalah bukti 'berita' yang sengaja dimasak sebegitu rupa telah mencetuskan kesan negatif yang bukan sedikit.

Saya amat terharu dengan penjelasan segera bos, guru, rakan dan bapa saya - Tok Guru Nik Aziz.

Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti. Bila saya nak masuk wad untuk rawatan itu saya boleh tentukan sendiri ikut kelapangan saya, tetapi jangan kurang dari lima hari penuh. Jangan lambat, kata doktor.

Saya maklumkan pada bos saya. Lima hari sebelum raya haji amat sesuai. Tetapi program saya kena tangguh dan mana mesyuarat yang saya ditugaskan wakili Tok Guru kena tukar kepada rakan yang lain.

Apa kata Tok Guru bila saya terus jumpa beliau Khamis lalu?

Jumpa doktor Di Pakar Perdana habis jam 12.30 tengah hari. Jumpa Tok Guru lebih kurang jam 1 sebelum zohor.

"Tak boleh lok (tangguh). Buat (rawat) selalu (segera). Jangan jadi macam ana..."

Saya bercadang masuk hospital hari Isnin. Keluar petang Khamis.

Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan?

Letak semua pulak tu?

Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?

Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.

Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba meng-agendakan kami?

Sakit adalah lumrah insan. Letak jawatan tidak boleh diikat dengan satu dua hari di hospital - maka ia bukti Husam letak jawatan.

Kepada teman dan rakan, sahabat dekat dan jauh, saya ucapkan terima kasih atas ingatan anda semua. Ustaz Aziz menalipon pagi hari dari Mekah kerana terbangun dari mimpi, saya hargai erti persahabatan.

Bolehkah media kita diajar erti kredibiliti?

Tanpa menyakiti Utusan, tetapi tulisan Art Harun dalam blognya Articulations, menulis tentang Utusan buat sedikit 'touch' untuk tukar gambar payung berlambangkan dacing dengan gambar payung biru tanpa dacing, barangkali cukup untuk kita merasa tertanya-tanya Utusan ini apa..?



Terdapat payung berlambang dacing di belakang pak cik yang ditangkap kerana membunuh isterinya yang minta cerai di Kedah. Gambar yang sama diguna pakai oleh Metro, The Star dan Berita Harian.

Tapi demi maruah BN, Utusan menyiarkan gambar yang diubah seperti di bawah pada berita yang sama, 10 Nov 2009;



Ulasan GB

Anehnya ada pihak dalam PAS yang gembira dengan berita yang disiarkan di dalam Mingguan Malaysia tersebut. Kumpulan tersebut juga kumpulan yang gembira dengan ketewasan Husam merebut jawatan Timbalan Presiden PAS melawan Ust Nasharuddin Mat Isa yang dilihat mewakili kumpulan UG di dalam Muktamar PAS yang lalu.

Kumpulan itu juga kini yang terpekik terlolong menjerit di sana sini, UG dah ditutup, tiada UG dalam PAS dan seumpamanya sedangkan jarum mereka terus berjalan sepertimana terbukti dengan pertemuan kumpulan ini dengan blogger UMNO di Selangor!

Mereka menuduh pula kumpulan anti-UG sebagai kumpulan pro-UMNO yang kononnya nak menjatuhkan pemimpin-pemimpin PAS. Laksana si pencuri yang menjrit "pencuri, pencuri" agar mereka terlepas dari hambatan orangramai yang sedang mengejarnya.

Ironisnya apabila Husam diserang media massa UMNO, kumpulan inilah yang bertempik sorak, melompat keriangan malah sehingga kini, malah belum ada pemimpin tertinggi atau blogger pernah dikaitkan dengan UG bangun membela Husam atau setidak-tidaknya membidas Utusan...

Apa nak jadi pada PAS?