29 Nov 2013

[VIDEO] Lagu Scorpion Semasa Muktamar...Angin Perubahan Melanda PAS?


Melagukan angin perubahan dalam PAS Oleh Izmil Amri

SAYA kurang minat kumpulan Scorpions. Kumpulan rock Jerman yang tua setahun daripada DAP ini bagi saya sama maqamnya dengan kumpulan rock kapak di Malaysia seperti Terra Rossa, Bumiputera Rockers dan barangkali Fabiens. Saya lebih minat Black Sabbath atau Led Zeppelin, mungkin kerana saya sedikit anglophile.

Ada juzuk budayawan yang mahu melonggok Scorpions seiring band rock seperti Sweet Charity dan yang sewaktu dengannya. Tapi bagi saya itu hasil kekaburan mata mereka yang memandang Scorpions dengan kanta ‘orang puteh’. Tapi tak apalah, bukan itu yang saya mahu bicarakan.

Bait-bait lirik lagu kumpulan ini bertajuk ‘Wind of Change’ berkumandang di Muktamar PAS yang baru sahaja selesai. Dr Muhaimin Sulam barangkali peminat Scorpions. Maka digunakan lirik kumpulan rockers tua ini untuk mengukuhkan hujah ucapan penggulungannya.

Dr Muhaimin, dengan imej rambut panjang mayang mengurai di samping wajahnya yang jernih berjanggut membacakan rangkap syair tulisan Klaus Meine ini dengan begitu bersahaja:

Take me to the magic of the moment
On a glory night
Where the children of tomorrow share their dreams
With you and me
Take me to the magic of the moment
On a glory night
Where the children of tomorrow dream away
In the wind of change



“Bawalah daku ke saat penuh sakti kala malam gilang gemilang, Di tempat anak-anak hari esok berkongsi mimpi bersama kau dan aku; Di tempat anak-anak masa depan akan terus punya impian, dalam hembus bayu perubahan.” Demikianlah lebih kurang terjemahnya.

Lagu ‘Wind of Change’ ini ditulis dengan berlatarkan polisi glasnost yang diperkenalkan Mikhael Gorbachev kepada Kesatuan Soviet Rusia dalam pertengahan dekad 80an. Glasnost secara mudah faham membawa maksud ketelusan dan sentiasa digunakan Gorbachev dalam rangka usaha menstruktur semula Parti Komunis Rusia; atau juga disebut perestroika.

Usaha mengislah Parti Komunis Rusia yang cuba dibawa Gorbachev inilah yang menjadi inspirasi penulisan ‘angin perubahan’ Scorpions lantaran ketika itu juga bermulanya kejatuhan kerajaan blok Timur selepas tamatnya Perang Dingin. ‘Wind of Change’ seakan menjadi lagu tema sejak runtuhnya Tembok Berlin dan popular bagai nak rak di Jerman dan negara Eropah pasca terlungkupnya Parti Komunis Soviet Rusia.

Demikian peranan budayawan, penyair dan rockers yang sentiasa tidak jemu memberi muzik latar kepada sejarah di saat ia berkembang. Bukan setakat meraikan kehidupan dengan syair cinta mahupun lagu penuh kemarahan buat anak-anak muda yang menyampah duduk di rumah dengar bersama kawan ketika lepak di bawah jambatan sambil hangguk-hangguk.

PAS tak cukup rock?

Ternyata plot twist konsert rock di Karnival PAS For All ini tidak menerima banyak reaksi positif daripada pendukung parti Islam itu yang rata-ratanya berkupiah dan bertudung labuh. Rock dilihat umpama zikir mengangungkan setan, hatta setiap kali ada kumpulan rock dari negara orang puteh mahu bikin gig di ibu negara, di situlah kita akan ketemu pemuda PAS datang membantah.

Tapi itu tidak bermakna PAS tidak boleh duduk sebelah menyebelah dengan budak punk seluar koyak dan rambut pacak. PAS sudah lama menjadi pilihan mat rock yang bukan setakat mahu ‘kembali ke pangkal jalan’ malah mahu menyumbang kepada usaha menjatuhkan United Malays National Organisation. Belum pernah lagi kita dengar artis kembali ke pangkal jalan dan kemudian masuk UMNO. Belum pernah.

PAS sebenarnya lebih perlu mendekati golongan yang menjauh daripadanya. Sebuah parti politik yang hanya mahu menjaga tapak sokongannya sahaja tanpa mendapatkan sokongan kelompok baru adalah parti politik yang tidak bekerja.

Jadi PAS dan Pakatan Rakyat, harus mampu berkeadaan fleksibel dan ‘boleh bercampur’ dengan segala rockers rambut panjang jika tidak mahu dilihat sebagai organisasi mat skema yang tidak boleh bergaul.

Barangkali itulah roh angin perubahan yang mahu disampaikan Dr Muhaimin Sulam kepada perwakilan PAS di muktamar itu; supaya ahli dan pekerja parti tidak lagi meletakkan had dan jurang antara diri dan kelompok anak-anak seni yang tidak semestinya hanya tahu bergendang dan bernasyid sahaja.

Seni dan budaya itu seharusnya dipandang sebagai satu lagi jalan untuk meraih sokongan dan bukannya dijadikan alasan untuk menambahkan penentangan.

Menepis lambaian UMNO

United Malays National Organisation melambai-lambai dalam dua keadaan. Pertama sebelum menaiki jet peribadi untuk pergi makan angin atau buat lawatan rasmi. Kedua dalam keadaan ia terapung-apung nyawa-nyawa ikan hampir mahu mati.

Lambaian ini seharusnya ditepis dengan manis muka, mengikut saranan Al-Fadhil Hj Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS yang berjaya mengekalkan jawatannya di tengah asakan kanan dan kiri membunuh kerjaya politiknya di PAS.

PAS sudah punya tapak yang kukuh dalam koalisi Pakatan Rakyat. Ini tidak ada makhluk yang boleh nafi.

Bersama-sama Pakatan Rakyat, PAS sudah boleh duduk semeja dengan DAP yang sejak dulu mahu menjeling pun susah sekali. Melalui koalisi ini, PAS berjaya prestasi yang cemerlang dan bukan sahaja menawan Kedah dalam PRU ke-12 malah turut mengetuai kerajaan negeri Perak suatu ketika dahulu.

Koalisi politik yang dinikmati parti komponen Pakatan Rakyat tidak akan dapat dicapai sekiranya PAS membalas jelingan nakal UMNO dengan senyum simpul penuh makna. Jelingan UMNO mengajak berpadu ini seakan lirikan mata langsuir mahu membonceng motosikal di tengah malam. Justeru PAS mesti sentiasa bijak mengatur langkah dan memasang pendinding agar tidak menjadi mangsa parti politik yang sudah berpuluh tahun menikamnya berulang kali.

Angin perubahan yang membayu di dalam PAS akan memberikan nafas segar kepada keseluruhan koalisi politik Pakatan Rakyat dalam usaha merapatkan barisan dan menyusun semula gerakan menuju Putrajaya. Apa yang penting ialah ‘kerjasama’.

UMNO akan terus cemburu dengan cinta tiga segi PAS, PKR dan DAP. Ia akan terus menyerang. Namun Pakatan Rakyat harus terus bertahan, demi mimpi anak-anak hari esok. “Where the children of tomorrow dream away, In the wind of change” – Roketkini

ULASAN GB

Dahulu semasa sebelum PRU12, di blog ini buat pertama kali GB menyiarkan radio internet dan GB sendiri bertindak sebagai deejay. Dan GB membawa konsep terbuka demi untuk menarik anak muda kepada perjuangan PR. Maka berputarlah lagu WIND OF CHANGE dari Scorpion di komputer-komputer mereka yang melayari blog GB ini.

Ramai yang menyokong, tapi tak kurang juga yang menentang. Ada yang bertanya fikrah mana yang GB bawa ni? GB cuma senyum kerana sukar juga nak beri penjelasan dan penerangan kepada golongan yang memang "anti-muzik rock". GB teruskan lagi dengan beberapa lagu berirama rancak seperti FIKIRKAN BOLEH oleh kumpulan Metropolitan untuk menaikkan semangat juang para petugas PR yang sedang bekerja menampal poster yang terdiri dari anak muda seluruh negara.

Ia sekitar tahun 2007 dan tahun 2008 - sudah menjadi sejarah.

Kini 2013, di Muktamar PAS berkumandang apa yang telah pernah GB lakukan dahulu.




[TERBONGKAR] Remaja Itu Pernah Diperkosa Bekas Suaminya Sebelum Kahwin


Bapa kepada pasangan kahwin muda, Saad Mustafa mendedahkan bahawa anak perempuannya, Nor Fazira Saad, 13, diperkosa oleh bekas suaminya, Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20, bersama dua kawan lelaki empat bulan sebelum perkahwinan itu dilangsungkan.

Saad, 44, berkata, dia membuat laporan polis pada 15 Julai 2012, namun ibu bapa Mohd Fahmi datang menemuinya selama beberapa hari merayu laporan itu ditarik balik kerana tidak mahu anaknya menerima hukuman penjara.

“Saya kahwinkan dia kerana diperkosa,” katanya seperti dilapor akhbar berbahasa Inggeris, The Star hari ini.

Berikutan rayuan itu, dia sebagai bapa memahami permohonan keluarga Mohd Fahmi dan bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat serta menikahkan anaknya pada November 2012.

Pada bulan lalu, Nor Fazira memberitahu bahawa dia tidak tahan dengan layanan keluarga mentuanya dan memutuskan untuk meminta cerai.

Saad turut mengakui bahawa keluarga Mohd Fahmi tidak menyukai anaknya dari awal perkahwinan dan Nor Fazira selalu didera secara fizikal serta tidak diberi makan oleh keluarga mentuanya.

Akhbar itu melaporkan Mohd Fahmi menafikan dakwaan Saad dan berkata dia hanya meniduri Nor Fazira selepas mereka sah diijabkabulkan.

“Saya menceraikan Nor Fazira kerana bekas isteri saya itu mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki lain dari Kuala Ketil.

“Nor Fazira juga biadab terhadap keluarga dan tidak pernah memasak serta selalu keluar rumah sekiranya tidak berpuas hati,” katanya.

Mohd Fahmi menafikan dakwaan bahawa Nor Fazira didera dan tidak diberi makan.

Katanya, keluarga mereka melayan Nor Fazira dengan baik walaupun perlakuan remaja wanita itu teruk. -TMI


Remaja 13 Tahun Dicerai Talak Tiga


KULIM: Kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulangtahun pertama perkahwinan, pasangan muda Nor Fazira Saad, 13 dan Mohd Fahmi Alias, 20, disahkan bercerai dengan talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim.

Nor Fazira berusia 12 tahun ketika dinikahkan dengan pasangannya, Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 20 tahun.

Memetik laporan Harian Metro, bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 43, berkata, beliau menerima kenyataan berkenaan walaupun pahit dan menganggap bukan jodoh anaknya untuk kekal di alam perkahwinan.

Saad turut memberitahu bahawa dia tidak mengetahui punca sebenar keretakan rumah tangga anaknya itu kerana Nor Fazira tidak banyak bercakap mengenai nasib yang menimpa dirinya.

Buat masa ini, Nor Fazira tinggal bersama bapa saudaranya di Padang Serai supaya jiwanya kembali tenang.

Harian Metro turut melaporkan kegagalan untuk menghubungi keluarga Mohd Fahmi untuk mendapatkan maklum balas.

Nor Fazira mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

Majlis pernikahan pasangan itu dilangsungkan di Masjid Kampung Padang Cina dengan mas kahwin RM1,500 serta wang hantaran RM4,552 pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin pada 2012 dan Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan terbabit.

Ia merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim dan mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.
-astro awani


Isu Kenaikan Gaji Selangor Beri Impak Negatif Terhadap Pakatan Rakyat

Kenaikan gaji wakil rakyat Selangor permulaan Pakatan menjadi BN?

Apabila penggubal undang-undang membuat keputusan untuk memberikan ganjaran kepada diri mereka sendiri dengan bayaran lebih tinggi, mesej apakah yang hendak disampaikan kepada pengundi, terutama selepas kerajaan negeri berjimat menggunakan wang sepanjang lima tahun lalu?

Negeri terkaya Malaysia, Selangor mempunyai banyak simpanan kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) begitu berhati-hati dalam menggunakan wang sejak mengambil alih kuasa pada Pilihan Raya Umum 2008. Cara beliau menguruskan ekonomi menyebabkan beliau berkuasa untuk penggal kedua dengan majoriti lebih besar.

Tetapi, tindakan Abdul Khalid menaikkan gaji dirinya, Exco, Speaker, Timbalan Speaker mengejutkan pengundi di Selangor dan partinya sendiri, PKR.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan kenaikan gaji bagi semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bermula tahun hadapan dengan Timbalan Speaker mendapat peratusan tertinggi iaitu 373.3%.

Gaji menteri besar akan meningkat dari RM14175.15 kepadaRM29,250, exco dari RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker, dari RM6,109.29 kepada RM22,500, timbalan speaker, dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250. Terdapat 44 Adun Pakatan Rakyat (PR) di Selangor sementara Barisan Nasional (BN) pula mempunyai 12 Adun.

Tindakan Abdul Khalid memberikan ganjaran kepada Adun bukan yang pertama dilakukan pada tahun ini. Sarawak membuat keputusan untuk menaikkan gaji Adun mereka sebanyak tiga kali ganda, menjadikan gaji Adun lebih tinggi daripada ahli Parlimen.

Di Singapura, beberapa tahun lalu Lee Kuan Yew membuat keputusan menaikkan gaji menteri sehingga berjuta dolar. Justifikasinya adalah gaji tinggi akan menarik bakat terbaik untuk menyertai politik dan mengekang rasuah.

Sedekad selepas itu, pemerintah PAP masih berlegar dalam isu gaji apabila anak kepada Lee, Lee Hsien Loong memotong gaji selepas pilihan raya lalu.


Faktanya adalah tiada siapa akan mempersoalkan kenaikan gaji penggubal undang-undang jika kadarnya berpatutan, bukan dengan kadar yang tidak masuk akal terutama apabila orang ramai masih mengharapkan wakil rakyat mereka memberikan khidmat tanpa memikirkan ganjaran wang.

Terutamanya lagi apabila mereka daripada parti pembangkang yang selama ini berkempen untuk tanggungjawab fiskal dan kewangan.

Abdul Khalid seharusnya ingat, ramai orang di negerinya bergelut untuk membayar hutang isi rumah dan sangat beruntung jika mendapat kenaikan gaji 10% setahun, kadar yang jauh lebih rendah daripada Adun Selangor.

Apatah lagi penyelarasan gaji penggubal undang-undang Selangor baru sahaja dilakukan pada 2011. Walaupun pengundi di Selangor mengembalikan mereka kepada kekuasaan, PR seharusnya ingat penyelarasan gaji itu mungkin akan mencederakan imej mereka, lebih daripada apa yang BN mampu lakukan.

BN cuba merampas kembali negeri perindustrian terbesar di Malaysia itu sejak kalah pada 2008 tetapi tidak berjaya.

Keputusan Abdul Khalid untuk memberikan ganjaran kepada penggubal undang-undang di Selangor mungkin menjadi permulaan untuk menunjukkan kepada pengundi bahawa PR tidak berbeza dengan BN dalam memberikan ganjaran kepada diri mereka sendiri selepas berjaya menunjukkan bagaimana beliau berjimat untuk negeri itu.


Seharusnya terdapat imbangan di antara orang ramai gembira dan penggubal undang-undang turut gembira. Memberikan ganjaran hanya kepada satu pihak tanpa memberikannya kepada satu pihak lain tidak menunjukkan keseimbangan.

Abdul Khalid seharusnya belajar daripada Singapura dan Sarawak tentang begaimana untuk menguruskan negeri tanpa hanya memberikan ganjaran hanya kepada rakan setugasnya. Atau beliau sendiri akan berdepan dengan pengundi yang mengharapkan sesuatu daripada wakil rakyat mereka.

Lagipun, beliau bukanlah menteri besar daripada Umno atau BN yang percaya hanya kepada cara mereka. Abdul Khalid boleh mendengar rintihan rakyat dan memberikan ganjaran kepada mereka, bukan hanya kenaikan gaji wakil rakyat. –TMI

ULASAN GB

GB sudah ulas semalam. Dan berdasarkan analisis dari Pengarang TM di atas, ia tidak jauh lari dari apa yang GB cadangkan semalam. Menurut tulisan di atas:

"Memberikan ganjaran hanya kepada satu pihak tanpa memberikannya kepada satu pihak lain tidak menunjukkan keseimbangan."

Itu sebab mengapa semalam GB tulis begini:

Bukan GB menentang kenaikan gaji itu, tetapi kenaikan itu biarlah berpada-pada. Separuh dari kenaikan tersebut sepatutnya disalurkan kepada rakyat di dalam bentuk peruntukan YB.

TS Khalid mengurus negeri sebagai seorang ahli korporat kerana beliau bekas seorang tokoh korporat yang berjaya. Beliau tidak pandai sangat berpolitik. Ini pernah diakuinya sendiri. Baca: MB Selangor akui kelemahan dalam politik, tubuh ‘political liaison’

Akibat dari itu, TS Khalid membandingkan gajinya dan rakan setugsa dengan gaji di pihak swasta sekalipun tindakan itu, tulis GB semalam amat merugi dan membahayakan Pakatan Rakyat secara umumnya:

langkah tersebut amat menyusahkan Pakatan Rakyat di tempat lain untuk mempertahankannya. Di saat kita menentang pembaziran dan belanja besar kerajaan UMNO BN di peringkat pusat dan negeri, tiba-tiba Selangor pula tidak dapat menjadi contoh yang baik di dalam apa yang kita sebutkan "belanja berhemah".

Impak kenaikan gaji bagi Selangor bukan terhadap negeri Selangor tetapi terhadap Pakatan Rakyat di negeri-negeri lain.

Sepatutnya Naikkan "Peruntukan YB", Bukan Naikkan Gaji!


Selangor tidak akan tangguh kenaikan gaji, kata MB

Kerajaan negeri Selangor hari ini menegaskan pendirian mereka untuk tidak menangguhkan kenaikan gaji yang dijadualkan bermula 1 Januari tahun depan kerana telah mendapat persetujuan 100% Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, kedua-dua Adun daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat berhubung kenaikan tersebut, dan Dewan telah bersetuju perkara itu akan dilaksanakan.

"Saya tak akan pertimbangkan. Ia telah diputuskan Dewan," katanya kepada pemberita selepas sidang DUN di Shah Alam, hari ini.

Malah, Abdul Khalid menegaskan, sebelum perbahasan berkenaan perkara itu dilakukan, beliau telah memaklumkan kenaikan gaji itu hanya akan dilakukan dengan persetujuan Adun PR dan BN.

Adun Pelabuhan Klang itu bagaimanapun berkata, sekiranya ada mana-mana ahli Dewan yang tidak bersetuju dengan kenaikan tersebut, boleh menyalurkan lebihan pendapatan mereka kepada saluran-saluran lain.

"Adun PR dan BN semua setuju. Semasa dibahaskan tiada bantahan daripada mana-mana pihak.

"Jadi kalau ada yang tidak bersetuju, boleh dermakan kepada sesiapa,"
katanya.

Beliau turut berkata, sehingga hari ini, selain Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, tiada pihak lain yang menggesa beliau untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji tersebut.

Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) Selangor hari ini menggesa kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan adun negeri itu agar penilaian semula dengan kadar berpatutan dapat dilakukan.

Azmin berkata biarpun BBC tidak menolak kenaikan gaji tersebut, kadar yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah terlalu tinggi.

Menurut Adun Bukit Antarabangsa itu, sepanjang tempoh cadangan pelaksanaan kenaikan gaji, Abdul Khalid tidak pernah berbincang dengan BBC.


"Kita tidak tahu bagaimana pelaksanaannya dan kerajaan negeri sudah umumkan semalam. Tidak ada perbincangan langsung yang dibuat bersama BBC," katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Gombak dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Pagi tadi, Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar turut mengulas mengenai kenaikan berkenaan dengan menyifatkan ia terlalu tinggi dan mendadak.

Abdul Khalid bagaimanapun berkata, kadar yang digunakan kerajaan negeri Selangor adalah berdasarkan kadar gaji di Sarawak, dan jumlah berkenaan adalah munasabah.

"Bagi sesetengah orang ini mungkin dah banyak tetapi bagi mereka yang berada dalam sektor swasta, ia tidak tinggi. Ini munasabah," katanya.

"Kita tidak boleh sorokkan pendapatan. Kita sudah setuju pendapatan kita akan umumkan," kata Adun Pelabuhan Klang itu lagi.

Malah, Abdul Khalid turut berkata, pendapatan mereka yang berada dalam sektor swasta juga melebihi gaji menteri.

"Kerajaan persekutuan juga guna konsultan daripada orang swasta. Pendapatan mereka ada kalanya yang jauh lebih tinggi daripada menteri. Jadi maknanya sudah ada penerimaan tentang gaji yang munasabah," kata Abdul Khalid.

DUN Selangor semalam meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 anggota Dun berkuat kuasa Januari 1 depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Abdul Khalid ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada November 22 bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75% daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak. -TMI


MB pertahan kenaikan gaji exco, ADUN S'gor


Kenaikan gaji bagi wakil rakyat Selangor bertujuan supaya mereka tidak lagi perlu membuat kerja luar untuk mencari pendapatan tambahan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini

Kenaikan pendapatan tersebut, katanya, adalah sesuai untuk wakil rakyat dan exco kerajaan negeri kerana tidak mahu mereka membuat kerja luar untuk menampung perbelanjaan mereka.

"Ini telah berlaku (sebelum ini)," kata Khalid kepada media di lobi Dewan Undangan Neger (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.

Menurut Khalid, beberapa menteri persekutuan juga mungkin perlu mencari pendapatan tambahan untuk kerja-kerja politik mereka.

Katanya, walaupun mendapat gaji seorang menteri (selain elaun MP atau senator), mereka kadang-kadang mungkin perlu mendapatkan duit dari luar, untuk membayar bagi kerja-kerja mereka.

Khalid mempertahankan kenaikan pendapatan tersebut sebagai "tidak tinggi" dan "munasabah", berbanding dengan upah di sektor swasta.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengambil kira bantahan rakyat berhubung perkara ini.

Oleh itu, katanya, ia memilih gaji ADUN Sarawak sebagai asas dan memutuskan kadar 30 peratus lebih rendah untuk ADUN Selangor.

Walaupun kedua-dua negeri itu mempunyai rizab kewangan, Khalid berkata, Selangor lebih besar daripada Sarawak dari segi prestasi ekonomi. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan menteri besar Selangor berkata kenaikan gaji antara 80 hingga hampir 400 peratus itu dibuat selepas mengkaji pelbagai faktor termasuk mengambil kira kenaikan yang diterima ADUN serta anggota pentadbiran negeri Sarawak.

"Kita naikkan gaji di Selangor kerana tidak mahu wakil rakyat kita buat kerja luar untuk tampung perbelanjaan mereka.

"Saya berpendapat kenaikan ini munasabah sebab kita hendak (beri) servis kepada rakyat. Malah, kalau di sektor swasta, gaji seperti ini tidak tinggi. Kita juga tidak boleh sorok pendapatan sebab kita setuju setiap harta dan pendapatan mesti diumumkan, biar rakyat tahu," katanya.

Abdul Khalid turut menafikan yang gajinya lebih tinggi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Gaji di Selangor dikira berdasarkan formula 75 peratus daripada kenaikan yang diterima di Sarawak.

"Sebagai contoh kalau gaji ketua menteri Sarawak RM39,000, gaji menteri besar di Selangor ialah RM29,000.

"Selain itu, sejak lima tahun lepas kita dapat kutip hutang yang sebelum ini gagal dikutip kira-kira RM500 juta. Dengan 10 peratus daripada hasil kutipan hutang ini, kita sudah dapat bayar gaji ini," katanya.
-mk


ULASAN GB

Negeri yang kaya seperti Selangor mempunyai haknya sendiri untuk menaikkan gaji para ADUNnya. Dengan rizab mencecah hampir RM3 billion, sepastinya Selangor tidak ada masalah untuk kenaikan gaji berkenaan.

Namun, rezab yang tinggi itu sepatutnya dapat dinikmati oleh "rakyat Selangor" juga secara keseluruhannya.

Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Selangor mempertahankan kenaikan gaji berkenaan dengan alasan supaya wakil rakyat Sleangor tidak perlu membuat "kerja luar" untuk melaksanakan tugas-tugas memreka.

"Kerja luar" yang dimaksudkan berkemungkinan kerja-kerja yang boleh dikategorikan sebagi "komisyen" dan "korupsi" termasuklah membotakkan bukit untuk memunggah tanah, mengorek sungai untuk dikaut pasirnya dan yang seumpamanya.

Dengan alasan untuk menjalankan tugas YB memerlukan banyak belanja terutama untuk melayani permintaaan rakyat, bagi pandangan GB, daripada menaikkan gaji dengan "terlalu tinggi dan mendadak" kepada YB-YB, mengapakah kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid tidak memikirkan untuk menaikkan "peruntukan untuk YB"?

Ada beza di antara kedua-duanya. Dengan kenaikan peruntukan YB di satu-satu DUN, rakyat setempat dapat menikmati hasil negeri Selangor tetapi dengan hanya menaikkan gaji YB, rakyat belum tentu dapat merasainya kerana ia adalah "hak milik peribadi" YB berkenaan.

Jika peruntukan untuk YB dinaikkan berapa banyak sekalipun, ia akan disambut dengan meriah oleh sekalian rakyat Selangor. Korupsi boleh berlaku? Ya, tetapi peruntukan sentiasa boleh diaudit untuk mempastikan ia tidak disalahgunakan.

Bukan GB menentang kenaikan gaji itu, tetapi kenaikan itu biarlah berpada-pada. Separuh dari kenaikan tersebut sepatutnya disalurkan kepada rakyat di dalam bentuk peruntukan YB.

Seperkara lagi, Selangor tidak perlulah mendabik dada kerana menjadi negeri terkaya dan rezab terbanyak dengan meningkatkan gaji begitu tinggi, kerana langkah tersebut amat menyusahkan Pakatan Rakyat di tempat lain untuk mempertahankannya. Di saat kita menentang pembaziran dan belanja besar kerajaan UMNO BN di peringkat pusat dan negeri, tiba-tiba Selangor pula tidak dapat menjadi contoh yang baik di dalam apa yang kita sebutkan "belanja berhemah".

Jawapan Tan Sri Khalid: "Jadi kalau ada yang tidak bersetuju, boleh dermakan kepada sesiapa," terhadap saranan YB Azmin Ali supaya ditangguhkan dahulu kenaikan gaji itu agak dikesalkan. Nadanya kedengaran angkuh dan sombong.

Beringatlah, berapa banyak kerajaan yang kaya-raya akhirnya tumbang dan musnah kerana keangkuhan dan kesombongannya. Itu hukum kebenaran dan keadilan!