29 Ogo 2013

Pemimpin Ikhwanul Muslimin Bantah Tuduhan Terorisme


Seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir, Muhammad el-Beltagy membantah tuduhan kononnya kumpulannya telah melakukan tindakan terorisme menyusul kudeta yang menggulingkan presiden negara itu.

Kenyataan Beltagy itu dikeluarkan setelah Ikhwanul Muslimin merancang demonstrasi baru untuk menentang tindakan keras pihak keselamatan. Para pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin telah ditahan, salah seorangnya warga AS, Muhammad Soltan putera dari tokoh Ikhwanul Salah Soltan.

El-Beltagy, seorang mantan ahli parlimen dari Parti Kebebasan dan Keadilan dituduh menghasut rakyat Mesir melakukan dan diburu oleh pihak berkuasa selama hampir tiga minggu.

Dalam satu pesanan video yang ditayangkan Al Jazeera, el-Beltagy menyatakan pihak berkuasa cuba membalikkan krisis politik menjadi masalah keselamatan dengan menuduh kumpulannya di balik kempen terorisme.

Media Mesir, yang sebahagian besar anti-Ikhwanul menyatakan kekerasan itu sebagai perang melawan terorisme.

"Jangan mahu dibodohi dengan semua pembohongan dan penipuan yang bertujuan untuk melabelkan kami dengan terorisme, kekerasan, dan membunuh...pada ketika tangan rejim kudeta tenggalam dalam darah," kata Beltagy seperti dikutip Al Jazeera, Rabu (28/8).

El-Beltagy bersembunyi awal bulan ini setelah pihak berkuasa Mesir membubarkan perkemahan protes aman untuk menuntut pembebasan mantan presiden Muhammad Mursi. Ratusan orang terbunuh dalam kekerasan, termasuk puteri el-Beltagy sendiri, Asmaa El-Beltagi. Baca: Asmaa El-Beltagi, Syuhada Mesir - Warkah Yang Sebabkan Erdogan Turut Menangis.

Dr.Mazlee Bidas Kenyataan Prof dari Mesir Tentang Mursi

Kenyataan seorang profesor sains politik dari Mesir yang mendakwa Dr Mohamed Mursi terpaksa digulingkan kerana beliau mengecewakan majoriti rakyat negara itu yang memilihnya pada pilihan raya presiden tahun lalu lantaran terlalu memberi ruang kepada Ikhwanul Muslimin untuk memerintah, dicabar pakar politik Timur Tengah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Menurut Maszlee, apa yang disebut oleh Prof Dr Mohammad Selim, saintis politik dari Universiti Kaherah itu sama dengan propaganda kumpulan penentang Mursi, Tamarood yang mendakwa Mursi sekadar jadi 'pak turut' kepada pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain sedangkan rakyat Mesir memilih beliau untuk jadi presiden mereka, bukan Ikhwan Muslimin.

"Mursi dituduh oleh Tamarood sebagai presiden yang tidak berkuasa sebaliknya yang berkuasa adalah Ikhwanul Muslimin. Dari sudut mana dikatakan begitu?

Dalam membuat keputusan, setiap keputusan Mursi dibuat bersama Majlis Penasihat Presiden. Dalam majis itu, hanya seorang saja wakil Ikhwanul Muslimin iaitu Wael Haddad. Itu pun Wael Haddad adalah penasihat Mursi dalam hal hubungan antarabangsa. Anggota Majlis Penasihat lain pelbagai latar belakang, ada wakil Kristian Koptik, wanita, teknokrat, Salafi."

Paling jelas, kata Maszlee, Mursi malah pernah menawarkan jawatan timbalan presiden kepada Mohamed El Bardaei, pesaingnya dalam pilihan raya.

"Bukan El Bardaie saja, calon-calon lain juga ditawarkannya jawatan, satu bukti komitmennya untuk perpaduan dalam politik Mesir. Satu lagi bukti ialah beliau tidak meletak orang Ikhwan sebagai Menteri Pertahanan, posisi yang sangat penting untuk pemerintahannya sebaliknya beliau lainti Abdel Fattah Al Sisi. Beliau gantikan Hussain Tantawi dengan Al Fattah yang akhirnya menggulingkan beliau.

"Jadi di mana boleh dikatakan Mursi memerintah dengan ikut telunjuk Ikhwan? Itu yang saya tidak faham," katanya. Maszlee menjelaskan demikian kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Selain itu kata Maszlee, perkara yang paling nyata pada era Mursi ialah Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil bukan orang Ikhwan.

"Beliau juga tidak melantik rakannya, Muin Abdel Futuh yang keluar meninggalkan Ikhwan ke Kabinet atau Majlis Penasihat Presiden. Terlalu banyak fakta untuk menyangkal kenyataan seperti itu," katanya.

Sebenarnya jelas Maszlee ada banyak bukti untuk dijadikan hujah penggulingan Mursi dirancang, didalangi oleh saki baki rejim Mubarak dan juga kaitan dengan kuasa asing.

"Apabila berlaku revolusi 25 Januari 2011 yang menyaksikan jatuhnya bekas Presiden Hosni Mubarak, kita tidak boleh anggap bahawa revolusi itu sudah sempurna. Ini kerana walaupun kepala (Mubarak) sudah dibuang, badan dan ekornya masih yang lama. Jadi keadaan tidak banyak berubah seperti apa yang disangka.

"Bayangkanlah, polis terutama daripada Cawangan Khas (SB) yang sudah sekian lama melindungi seorang diktator (Mubarak), terpaksa menghadapi perubahan besar untuk berkhidmat kepada rakyat di bawah pentadbiran Mursi. Begitu juga tentera. Inilah yang mungkin jadi masalah bagi mereka, walaupun Mursi tidak mengongkong mereka sebagaimana di bawah rejim Mubarak."

Lebih ketara, kata Maszlee, di bawah pemerintahan Mursi juga, pejabat Ikhwanul Muslimin di seluruh Mesir diserang, diceroboh, dibakar dan dirompak oleh kumpulan samseng yang dikenali sebagai Baltajia.

"Sungguh pun demikian, polis tidak ambil tindakan, biarkan saja. Inikah apa yang dikatakan Ikhwanul Muslimin menguasai pentadbiran Mursi sedangkan dalam keadaan keselamatan mereka sendiri diancam oleh samseng pun, polis tidak buat apa-apa sedangkan presiden orang mereka?" tanya Maszlee.

Selain itu, kata Maszlee, media juga rata-ratanya masih dikuasai oleh penerbit dan editor yang pro Mubarak. Ini termasuk Naguib Sawiris, taikun media Mesir daripada etnik Kristian Koptik yang diketahui bersikap anti Mursi dan anti Ikhwanul Muslimin.

"Sewaktu revolusi 25 Januari 2011, Banyak gereja diserang tetapi polis tidak ambil tindakan kerana apa yang saya andaikan, mereka sengaja mahu beri gambaran buruk kepada revolusi tersebut. Di Mesir, politik mereka tidak kreatif. Sejak zaman Gamel Abdel Nasir yang naik jadi presiden selepas rampasan kuasa tentera pada 1952, seluruh dunia dimomokkan Ikhwanul Muslimin kumpulan yang ganas.

"Mereka tidak ada skrip baru dan ini menyebabkan pihak luar, media antarabangsa, kumpulan hak asasi sesetengahnya sudah tak larat nak layan Mesir. Kita amat sedih apabila seorang profesor universiti (Selim) pun tidak boleh berfikir out of the box (di luar kotak)," katanya.

Sebenarnya, kata Maszlee apa yang paling jelas di sebalik penggulingan Mursi ialah tangan ghaib pihak yang terjejas sejak pemimpin Ikhwan itu naik sebagai Presiden Mesir.

"Ini sudah tentu AS dan Israel. Paling nyata, dalam tempoh setahun saja jadi presiden, Mursi dengan berani telah menyanggah telunjuk AS yang menetapkan peraturan bahawa negara itu tidak boleh menanam gandum lebih daripada 20 peratus yang diperlukan rakyatnya. Peraturan ini termaktub dalam Perjanjian Camp David yang dimeterai pada 1978.

"Tetapi Mesir di bawah pemerintahan Mursi yang singkat itu, berjaya mengeluarkan gandum sehingga 60 peratus dengan bantuan Rusia. Mesir juga pada era Mursi mengikut model ekonomi Malaysia, 'dasar pandang ke Timur' ketika di bawah Tun Dr Mahathir dengan menjalin hubungan dagang dengan Rusia, China, Jepun dan Singapura.

Juga negara Selatan antaranya Brazil, Chile dan Venezuela. Ini yang tidak digemari oleh AS. Mereka bimbang jika Mesir terus dibiarkan dalam tangan Mursi, republik itu mungkin akan jadi Turki kedua," katanya. -SH

UMNO BN Mahu Sekat Air Ke Pulau Pinang Kerana Kalah PRU13


Sekat air ke P Pinang hukuman pada rakyat kerana tak pilih BN

PCadangan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah agar Kerajaan Kedah menyekat laluan air ke Pulau Pinang sebagai politik sempit yang menindas rakyat.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang, Amir Ghazali berkata, kenyataan dangkal Ahmad Bashah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam turut mencerminkan rupa sebenar pemimpin Umno BN.

“Mereka tergamak menghukum rakyat hanya disebabkan kepentingan politik sempit, walhal Ahmad Bashah harus faham, penduduk Pulau Pinang dan Kedah mempunyai hak yang sama terhadap bekalan air Sungai Muda.

“Malah tidak pernah sepanjang sejarah penubuhan Malaysia sejak merdeka, hak milik dan soal pembekalan sumber air ini menjadi pertikaian,” katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, tindakan itu menunjukkan Umno BN cuba menghukum penduduk Pulau Pinang kerana tidak memilih parti itu dalam pilihan raya umum lalu. “Justeru, demi kepentingan dan kebajikan rakyat kedua-dua negeri, saya mendesak Ahmad Bashah menarik balik kenyataannya yang dangkal dan tidak berperikemanusiaan itu”. -KD


Cadangan BN sekat air sungai Kedah ke Pulau Pinang kejam, seperti Israel tindas Palestin


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan cadangan Barisan Nasional (BN) Kedah untuk menyekat air sungai utama di negeri itu yang mengalir ke Pulau Pinang sebagai kejam, tidak masuk akal dan tidak mempunyai justifikasi undang-undang.

Beliau berkata, idea untuk menghalang sungai yang secara semula jadi terbentuk dan digunakan oleh lebih daripada satu juta rakyat Pulau Pinang, termasuk orang Melayu, adalah ‘kejam’, tidak beretika, tidak bermoral dan juga melanggari semangat Malaysia.

“Ini satu idea kejam yang hanya boleh dilakukan Israel kepada rakyat Palestin,” katanya dalam sidang media di pejabat Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Komtar, semalam.

ADUN BN Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Mohd Hanipah dalam sidang DUN Kedah seperi tertera dalam akhbar Sinar Harian baru-baru ini mengugut bahawa laluan air di Pulau Pinang harus disekat jika kerajaan Pulau Pinang tidak mahu berunding dengan Kedah untuk menyelesaikan permasalahan air itu.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir agar isu tersebut dapat diselesaikan, namun sehingga kini masih belum mendapat pengesahan surat supaya pertemuan itu dapat dilaksanakan.

Menurut Guan Eng, beliau telah memperkatakan berkenaan isu itu kepada Mukhriz kira-kira sebulan yang lalu dalam pertemuan di satu majlis dan Mukhriz juga sudah diberitahu bahawa surat akan dihantar untuk perbincangan lanjut.

Kerajaan PR Pulau Pinang juga telah menjelaskan bahawa negeri itu mengeluarkan air dari sungai semula jadi yang mengalir dalam sempadan sendiri dan tindakan mendesak pembayaran sama sekali tidak berasas.

Di bawah norma-norma antarabangsa dan konsep ‘hak riparian’, satu prinsip antarabangsa, pemilik tanah atau negara layak mendapat manfaat daripada aliran semulajadi sumber air dalam wilayah mereka, tidak kira di mana mereka berasal.

Guan Eng menegaskan bahawa Pulau Pinang mempunyai semua dokumen yang diperlukan untuk membuktikan bahawa air itu diambil di sebelah sempadan.

“Lima puluh tahun yang lalu perkara ini tidak pernah menjadi isu. Ia tidak masuk akal sama sekali. Pulau Pinang juga merupakan sebahagian daripada Malaysia. Malah air dari negara-negara lain juga tidak pernah dihalang,” ujarnya.

Beliau turut menjawap tuduhan Ketua UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkenaan surcaj yang dikenakan terhadap pengguna-pengguna air di Pulau Pinang.

“Hanya 28 peratus daripada pengguna domestik (isi rumah) yang menggunakan air secara berlebihan akan terjejas.

“Surcaj tidak akan dikenakan ke atas pengguna yang menggunakan kurang daripada 100,000 liter setiap dua bulan.

“Surcaj itu adalah cara yang paling proaktif untuk mencegah pembaziran air oleh isi rumah. Kadar dikenakan adalah tambahan 48 sen bagi setiap 1,000 liter yang digunakan selepas 100,000 liter pertama,” ujarnya.
– Roketkini


ULASAN GB

UMNO tidak serik-serik dengan kesalahan dan kesilapan menggunakan isu air untuk "menjatuhkan" kerajaan PR.

Sebelum PRU13, isu air menjadi isu utama yang dimainkan UMNO di negeri Selangor di dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan PR di negeri itu. Apa kesudahannya? UMNO yang ditimpa musibah besar di negeri itu. Dengan Najib sendiri sebagai kapten untuk merampas Selangor dari PR, tiba-tiba keputusan PRU13, BN cuma mendapat 12 daripada 56 kerusi di negeri itu. BN Selangor turut kehilangan 10 kerusi yang disandangnya sebelum itu iaitu Paya Jaras, Templer, Morib, Dusun Tua, Sabak, Tanjung Sepat, Sri Serdang, Kuala Kubu Baru, Sementa dan Sungai Pelek.

Kini sekali lagi, UMNO cuba menggunakan "air sebagai senjata" untuk menekan kerajaan PR di Pulau Pinang. Hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan. Air itu adalah pemberian Allah swt untuk sekalian manusia di mukabumi dan sesiapa juga yang cuba merampas hak Allah untuk berlaku kejam dan zalim ke atas pihak lain pasti akan dihuykum pula olehNya.

Apa Rahsia Datuk Kamaruddin Bersara Sebagai Setiausaha SPR Senyap-senyap?


Abdul Ghani Salleh Dilantik Setiausaha Baharu SPR

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Pengarah di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu, berkuat kuasa 19 Ogos ini.

Menurut kenyataan SPR Selasa, Abdul Ghani, 55, menggantikan Datuk Kamaruddin Mohamed Baria yang bersara pada 13 Ogos lepas.

Kamaruddin dilantik ke jawatan itu pada 1 Okt 2010.

"SPR berharap dengan pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam, pelantikan Abdul Ghani sebagai Setiausaha SPR yang baharu dapat memimpin Urus Setia SPR dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan dasar yang ditetapkan SPR dengan cekap dan berkesan," kata kenyataan itu.

Abdul Ghani mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Jan 1984.

Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri, termasuk Pegawai Daerah Gombak pada 1 Ogos 2006, dan Pengarah di Pejabat Pembangunan Negeri Selangor mulai 2 Mei 2008.

Dalam pada itu, SPR merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kamaruddin atas sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada badan berkenaan. - BERNAMA


SPR perlu berubah, bukan sekadar setiausaha baru


KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli menyambut baik lantikan Pegawai Pembangunan Negeri Selangor, Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru.

Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan perubahan bukan hanya tertumpu kepada lantikan setiausaha yang baru tetapi kepada keseluruhan SPR agar lebih telus.

"Lantikan setiausaha yang baru itu merupakan proses di dalam pentadbiran apabila ada pegawai yang berpencen, saya menyambut baik lantikan tersebut.

"Apa yang kita inginkan sebenarnya adalah perubahan keseluruhan kepada operasi SPR dan bukan hanya sesetengah jawatan, kita mahukan sebuah pentadbiran yang lebih telus dan adil," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang turut merupakan Ahli Parlimen Kuala Krai meminta agar Abdul Ghani dapat membuat pembaharuan di dalam SPR apabila beliau memegang jawatan tersebut serta melihat setiap pandangan yang telah dikemukakan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.

Abdul Ghani akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Kamaruddin Mohamed Baria yang telah pun bersara pada 13 Ogos yang berkuatkuasa 19 Ogos lalu.
-HD


ULASAN GB

Dalam diam-diam rupa-rupanya Datuk Kamaruddin Mohamed Baria telah bersara sebagai Setiausaha SPR sejak 13 Ogos yang lalu.

Persoalan yang masih menjadi tandatanya rakyat ialah apakah polis sudah selesai menyiasat isu dakwat kekal yang mana Datuk Kamaruddin terlibat secara lansung di dalam pembeliannya yang kosnya menelan belanja jutaan ringgit wang rakyat?

Apakah persaraanya secara diam-diam itu untuk "mendiamkan" isu dakwat kekal dari terus dibangkitkan dan diipersoalkan?

Ini juga mengingatkan kita mengenai persaraan bekas Pengerusi SPRM satu ketika dulu yang dipercepatkan. Datuk Seri Ahmad Said telah diketahui umum bahawa beliau dikaitkan dengan skandal pemberian kontrak uniform SPRM secara rundingan terus tanpa melalui tender terbuka seperti kebiasaannya!

Persaraan kedua-dua mereka semacam ada hal yang cuba ditutup.