14 Dis 2014

[BOM MELETUP] Najib Bakal Terhumban Dengan Skandal Terbesar 1MDB


Husam: 1MDB akan jadi punca kejatuhan PM

SHAH ALAM, 13 DIS: Naib Presiden PAS, Husam Musa menjangkakan skandal 1MDB akan menjadi punca kejatuhan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Abdul Razak.



Husam berkata laporan polis yang dibuat Timbalan Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan serta perbincangan skandal itu oleh Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan perkembangan “yang bakal membawa impak yang besar”.

PC Husam Musa Putrajaya Persint 9 01“Bagaimana pula perbincangan sulit kabinet mengenai isu ini boleh sampai kepada media? Tentulah dengan niat yang tertentu.

“Sama juga dengan keberanian tiba-tiba seorang pemimpin UMNO Bahagian. Bukankah menjelang PAU baru-baru ini, Presiden parti telah mengadakan perjumpaan dengan semua perwakilan dan memberikan penjelasan mengenai 1MDB?” soal Husam dalam satu kenyataan yang diterima Selangor Kini.

Husam melahirkan rasa syak diatas dua kejadian ini yang terjadi serentak. Beliau berkata babak seterusnya bergantung kepada keberanian Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini?” tanya Husam.

Menurut kenyataan itu lagi, Khairuddin melapor kepada polis mendesak siasatan keatas pembelian tanah seluas 234 ekar di Air Itam, Pulau Pinang dari dua pemilik pada harga RM1.38 bilion yang dikatakan melebihi harga pasaran semasa.

“Siapa pemilik tanah di Pulau Pinang yang dibeli dengan harga (95% lebih mahal?) oleh 1MDB,” sambut Husam.

Akar umbi Umno itu turut mendesak polis menyiasat pembayaran yuran kepada Goldman Sach International yang didakwa dikira berlebihan, dan pelaburan misteri di Pulau Cayman.

Selain itu, ahli Umno itu juga menggesa pelaburan misteri USD1.2 bilion dalam Petro Saudi International Ltd., pembelian aset janakuasa Penjana Tenaga Bebas (IPP) Powertek Energy dan Sanyen Power Sdn Bhd pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran, pembayaran bunga pinjaman yang lebih tinggi dari kadar pasaran, dan pembelian sebidang tanah di Pulau Indah, Selangor dengan harga RM317 juta dari Tadman Resources Sdn Bhd.

“Misalnya, bagi tahun kewangan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mencatat kerugian sebesar RM 665.3 juta dengan hutang sebesar RM 49.1 billion.

“Apa lagi, seperti ditulis oleh TS (The Scribe) A (Abdul) Kadir Jasin dalam blognya bahawa 1MDB telah pun memohon dan mendapat kelulusan dari Bank Negara untuk memanjangkan tempoh bagi hutang tak berbayar (non performing loan) dari tiga bulan kepada enam bulan.

“Jika ini benar, memang 1MDB sudah mengerang kesakitan walaupun usianya sangat muda,” kata Husam.

Isu 1MDB, isyarat untuk Najib letak jawatan – Rafizi

Tindakan pempimpin bawahan UMNO membuat laporan polis supaya siasatan dijalankan terhadap syarikat 1MDB jelas sekali menunjukkan bahawa wujud isyarat tersembunyi supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, ini merupakan perkembangan besar, maknanya ada pemimpin kanan berdiri dibelakang Khairudin untuk bertindak sedemikian akibat kegagalan pemimpin UMNO menjelaskan isu 1MDB.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi berikutan laporan Polis dibuat Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Sri Khairuddin Abu Hassan supaya siasatan dijalankan kepada syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana gagal menjelaskan kepada rakyat mengenai isu tersebut.

“Saya anggap ini juga sebagai isyarat tersembunyi pimpinan UMNO kepada Najib,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Jelas beliau, isu ini akan terus digunakan oleh pemimpin UMNO yang lain dengan mengerakkan kempen untuk mendesak Najib supaya memberi perhatian dan berbincang secara mendalam mengenai 1MDB dalam UMNO.

Beliau yang juga Setiausaha Agong PKR berkata isu 1MDB lebih kurang sama dengan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang pada awalnya dinafikan pemimpian UMNO tentang ketirisan yang berlaku, sehingga menyebabkan mereka sendiri mendesak Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan.

“Isu NFC pada awalnya dinafi pemimin UMNO, namun setelah berlakunya pergolakan dalam UMNO menyebabkan Shahrizat didesak supaya letak jawatan,” katanya.



Katanya lagi, beliau juga tidak peduli sama ada ahli UMNO percaya atau tidak tentang ketirisan yang berlaku dalam 1MDB, yang penting sekarang adalah ada dalam kalangan pepimpin UMNO sudah mula bertindak menekan Najib. “Soal UMNO percaya atau tidak, kalau mereka mula bersuara itu bukan sebab meraka ambil berat soal rasuah tetapi kerana rasuah 1MDB itu sudah tidak dapat dipertahankan lagi dengan rakyat, sebab itu segrlintir pemimpin UMNO sudah mula bersuara sekarang seperti yang berlaku NFC,” ujarnya.
-FMT


Ketika Pemimpin PR Disaman Mengenai 1MDB, Suami Umie Aida Dengan Beraninya Pula Buat Laporan Polis Kepada Najib

Meskipun seorang pemimpin DAP, Tony Pua telah disaman oleh Najib Razak berhubung isu 1MDB sebelum ini, keadaan itu bukan saja tidak menggentarkan barisan pemimpin pembangkang untuk terus bercakap mengenainya, bahkan kini sudah ada pemimpin UMNO juga yang senada dengannya.

Seorang pemimpin UMNO iaitu Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang, Khairuddin Abu Hassan hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi kerana curiga dan ragu-ragu dengan pengurusan kewangan 1MDB yang dianggapnya tidak telus serta meragukan.

Beliau yang juga suami kepada pelakon Umie Aida, mahu pihak polis menyiasat secara mendalam dan menyeluruh semua kakitangan pentadbiran, pegawai, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah serta keseluruhan personaliti dan syarikat yang terbabit dalam urusniaga meragukan dengan 1MDB.

Dalam langkah untuk terus ke hadapan mencari kebenaran mengenai 1MDB, Khairuddin juga berjanji akan membuat laporan polis khusus kepada Najib sebagai Menteri Kewangan jika tiada tindakan susulan diambil terhadap laporan polisnya ini.

Isu berkaitan 1MDB sudah banyak diperkatakan ramai. Selain ramai pemimpin pembangkang bercakap mengenainya, baik di pentas terbuka mahupun di Parlimen, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan Daim Zainudddin, turut kerapkali menegur dan meragui badan pelaburan kedua terbesar selepas Khazanah Nasional itu.

Keraguan bukan saja mengenai pelaburannya yang kabur dan bagaimana wangnya digunakan termasuk dakwaan pembelian ekuiti yang lebih tinggi daripada harga pasaran tetapi juga berkaitan hutangnya yang kian meningkat dan sebahagiannnya dijamin oleh kerajaan. Ini menjadikan hutang 1MDB adalah juga hutang negara sedangkan Najib telah sedia menambah hutang negara hampir ke paras siling 55 peratus daripada KDNK.

Di suatu peringkat, Mahathir juga mengatakan simpanan wang 1MDB di Pulau Cayman adalah suatu bentuk perjudian dan memberitahu, "negara tanpa 1MDB pun tak apa".

Badan pelaburan yang dicetuskan oleh Najib ini seakan-akan menyimpan banyak misteri apabila ramai pemimpin UMNO dan kerajaan sendiri tidak berani bercakap mengenainya. Najib pula lebih gemar memulih jalan mengemukakan saman terhadap Tony Pua yang kerapkali membangkitkan isu berkenaan dengannya.

Sesetengah ahli dan pemimpin UMNO yang kritikal pula beranggapan isu berkaitan 1MDB ini bakal menjadi skandal kewangan yang besar kepada negara selepas beberapa skandal sebelum ini seperti BMF, Mamimco, Talasco dan sebagainya.

Selain Tony, Rafizi juga beberapa kali membangkitkan mengenai 1MDB ini tetapi turut disaman oleh Najib apabila mengaitkan subsidi minyak dengan pembelian perhiasan mewah untuk isterinya, Rosmah Mansor.

Tetapi apabila ada pemimpin UMNO sendiri sudah berani membuat laporan polis mengenai 1MDB, episodnya kini menjadi lebih menarik.

Apakah Khairuddin juga bakal disaman oleh Najib atau UMNO bakal mengambil tindakan terhadapnya? Apakah Najib memilih untuk terus berdiam diri juga sebagaimana banyak isu lain sebelum ini?

Keberanian Khairuddin membuat laporan polis mengenai 1MDB hanya berlaku dua hari setelah ada menteri kabinet sendiri membangkitkannya dalam mesyuarat mingguan kabinet yang tidak dihadiri Najib pada Rabu lalu. Najib ketika ini berada di Korea Selatan melakukan lawatan rasminya.

Mereka membangkitkannya dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin itu kerana merasakan tidak mengetahui banyak perkara mengenai 1MDB serta tidak dapat memberi penjelasan apabila ditanya, baik mengenai pelaburan, kewangan dan hutangnya.

Apakah semuanya ini saling kait-mengait dan merupakan tekanan tambahan untuk menggoncang kedudukan Najib? Siapakah lagi dalam UMNO yang berani membuat laporan polis mengenai 1MDB selepas ini?

Pertanyaan yang popular juga ketika ini, adakah Khairuddin membuat laporan polis ini atas kesedaran sendiri atau kerana ada seseorang di belakang keberaniannya itu?

Ketika kes liwat pertama melibatkan Anwar dengan Azizan Abu Bakar, Khairuddin adalah antara individu yang kerap muncul dan menjadi perhatian di mahkamah kerana sering hadir bersama beberapa selebriti seperti Ziela Jalil dan Normala Yusof.

Ketika era pentadbiran Pak Lah pula, beliau pernah melakukan penerbangan solo mengelilingi dunia menggunakan kapal terbang kecil bernama "Kailan" iaitu sempena nama ibu bekas Perdana Menteri itu. Khairuddin kemudian menceburi dunia korporat dan berkahwin dengan Umie Aida beberapa tahun lalu.

Siapa pun Khairuddin, apa latar belakangnya dan sama ada terdapat orang lain di belakangnya atau tidak, Najib nampaknya tidak boleh lagi hanya berdiam diri atau mengemukakan saman terhadap mereka yang berani bercakap mengenai 1MDB atau sekadar meminta Ahmad Maslan menjelaskannya kerana penjelasan yang telus dan benar dari hatinya sendiri lebih diperlukan ketika ini.
-Shahbudindotcom


ULASAN GB

Najib boleh penjarakan musuh politiknya yang paling ditakuti dan dibenci, Anwar. Najib boleh menyaman beberapa tokoh Pakatan Rakyat. tetapi Hukum Kebenaran dan Keadilan akan tetap berjalan. Kesalahan dan kebobrokan Najib tetap terbongkar. Mungkin bukan semata-mata pendedahan dari PR tetapi adalah "sifat kebenaran dan keadilan" itu sendiri yang berupaya untuk mendedahkan segala-galanya.



UMNO Parti Samseng Ajak Orang Bergaduh


Ahli Parlimen DAP-Raub, Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz mendakwa UMNO hanya sebuah parti politik samseng yang mengajak orang bergaduh dan menyalahkan bangsa lain.

Katanya, sikap sedemikian itu dipertontonkan kerana mahu menutup pembohongan bahawa negara Malaysia dan bangsa Melayu akan hancur jika UMNO tidak berkuasa.

Beliau berkata, “meletakkan kuasa terus di tangan UMNO tidak menjamin agenda orang Melayu tercapai dan terjamin kerana parti itu sarat dengan kaki bising dan kaki ugut yang mahukan projek besar sahaja. Yang akhir ini (projek besar) bukan sahaja saya yang kata, tapi Dr Mahathir (bekas Perdana Menteri) pun berkata demikian.”

”Orang Melayu tidak ada keperluan kepada UMNO, sebaliknya UMNO memerlukan orang Melayu. Jadi mengapa kita biarkan puak UMNO ugut kita, berlagak macam tuan dan berlagak macam mereka yang beri kita rezeki dan sebagai nya?,” ujarnya.

Dalam entri terbaru blognya, sakmongkol.blogspot.com, Mohd Ariff Sabri yang juga ahli UMNO sehingga 2012 menyatakan, masalah pada UMNO pada hari ini adalah soal kepimpinan, wawasan, komitmen dan dedikasi kepimpinan.

Beliau berkata, orang Melayu akan terus hidup sekali pun UMNO tidak berkuasa dan tidak sepatutnya mendedahkan diri kepada ugutan oleh parti itu.

Bekas ADUN Pulau Manis semasa menjadi ahli UMNO ini memberitahu, benih-benih fasisme kini sudah meresap dalam bekas partinya sambil menyeru ”Kita jangan biarkan kerajaan menjadi kerajaan yang menekan dan menzalimi rakyat.”

”Itu pasal kenapa kita mesti ada institusi kehakiman yang bebas dan berintegriti supaya menjaga rakyat tidak dibuli oleh kerajaan. Itu sebab kita ada NGO2 yang menjaga supaya rakyat jangan dizalimi dan dikasari.

”Saya tidak fikir orang Cina akan menjadi PM di masa hadapan kecuali akan berlaku pertumpahan darah dan amukan dari orang Melayu. Orang Cina ini pragmatik- mereka bukan bangang nak tuntut jadi PM atau TPM. Mereka mahukan negara aman damai di dalamnya mereka boleh hidup senang dan buat duit banyak-banyak,” tulisnya.

ULASAN GB

Lebih tepat untuk dikatakan UMNO sebuah parti samseng.

Anehnya tindakan ahli-ahli mereka sering terlepas dengan tindakan polis,

Rakyat Malaysia tahu mengapa sebabnya.

Tetapi hukum kebenaran dan keadilan tidak dapat ditolak dan dipadamkan.

Najib Kaki Ponteng, Hanya 26 Hari Hadir Parlimen Sejak Jadi PM

Rekod buruk kehadiran Datuk Seri Najib Razak ke Parlimen mengesahkan kegagalannya sebagai Perdana Menteri, kata Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto.

Ujar Kashturi, sejak 2009 hingga April 2014, Najib hanya hadir kira-kira 26 hari ke Parlimen.

“Rekod ini jauh lebih rendah berbanding Perdana Menteri Britain yang hadir ke Parlimen setiap Rabu selama 30 minit untuk menjawab enam soalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kasthuri, Najib tidak menunjukkan usaha untuk membuat kehadirannya dirasai di Parlimen dengan mengambil bahagian dalam perbahasan dan mendengar isu-isu semasa dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen.

“Najib menghabiskan 14 minit di Parlimen berucap tentang tragedi kehilangan MH370 dan keluar sebaik Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bangun memulakan debat.

“Pada 23 Julai lalu, ketika sidang khas berikutan tragedi pesawat MH17, Najib hanya hadir 35 minit sebelum meninggalkan Parlimen sebaik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun.

“Selepas lebih dua jam membentangkan Belanjawan 2015 pada 10 Oktober, dia terus keluar tanpa memerhati prosiding Parlimen terutamanya perbahasan yang berlangsung sehingga 27 November,” tegas Kasthuri.

Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang turut mempersoalkan tindakan Najib meletakkan jawapan kepada Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet.

“Jika seorang menteri kabinet yang pakar dalam bidang tertentu boleh ‘ambil nota’ terhadap cadangan dan pindaan, mungkinkah pada masa akan datang mereka boleh bergilir-gilir membacakan teks perbahasan Belanjawan, bukannya Najib lagi?

“Jadi masih layakkah Najib yang langsung tidak mempunyai niat untuk hadir ke Parlimen mendengar masalah berbangkit diberi peluang tiga tahun lagi?

“Undang-undang diluluskan di sidang Dewan Rakyat akan memberi kesan kepada semua, malangnya Najib pula sentiasa hilang,” kata Kasthuri. -Roketkini

ULASAN GB

Sungguh dasyat dan sungguh binatang perangai orang-orang yang TELAH DIBERIKAN AMANAH OLEH RAKYAT kemudian mereka mengkhianatinya. Sanggup dan tergamak mereka terima wang gaji tetapi tidak hadir ke Parlimen..

Kisah orang politik ponteng untuk hadir ke Dewan Rakyat telah acapkali berlaku, bukan saja terhadap anggota parti kerajaan tetapi juga anggota pembangkang.

Hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan. Orang suka ponteng akan TETAP menrima hukuman Tuhan tak kira berapa tinggi pun darjat kamu dan berapa alim pun status kamu.