7 Ogo 2010

Kes Liwat 2 Adalah Konspirasi Politik Adalah Benar

Pihak Pembelaan Ada Asas Pertikai Keterangan Saiful Dalam Mahkamah

Pihak pembelaan kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang mempunyai asas kukuh untuk memohon bagi mempertikai atau 'impeach' terhadap segala keterangan yang diberikan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan di dalam mahkamah selama ini atas dakwaan beliau telah bersekongkol atau melakukan 'complicity' dengan pihak pendakwaan.

Menurut pakar Perlembagaan, Dr Samarudin Rejab justeru itu permohonan pihak pembelaan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya diberi perhatian dengan serius oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memandangkan kes tersebut kini menimbulkan lebih banyak keraguan dan persoalan.

Kata beliau pihak pembelaan sebelum ini sentiasa menyatakan bahawa tuduhan yang dibuat oleh saksi utama, Saiful merupakan satu konspirasi politik di peringkat tertinggi dan dakwaan hubungan sulit antara timbalan pendakwa raya, Farah Azlina Latif dan Saiful kini menguatkan lagi persepsi tersebut.

"Apa yang menimbulkan persoalan, kes hubungan intim antara pengadu, Saiful dan ahli pasukan pendakwa raya, Farah Azlina dengan jelas menunjukkan bahawa konspirasi politik itu juga melibatkan pihak pendakwaan.

"Oleh yang demikian, permohonan pihak pembelaan supaya segala tuduhan terhadap Anwar sewajarnya digugurkan," kata Dr Samarudin.

Tambah beliau, agak aneh semua permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan maklumat dan keterangan daripada pihak pendakwaan terpaksa dipohon dan dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan tetapi sebaliknya hubungan romantis antara saksi utama dan pihak pendakwa raya berkemungkinan besar telah mendedahkan segala dokumen kertas siasatan dan keterangan pihak pendakwaan kepada pihak ketiga.

"Di manakah letak keadilan dari sudut perundangan di dalam kes ini?," soal beliau. -SK

Ulasan GB

UMNO BN bakal hancur lebur dengan konspirasi ini. Ini telah dibuktikan dimana di dalam pilihanraya 1999 iaitu selepas konspirasi liwat 1, pembangkang (semasa itu Barisan Alternatif) berjaya merampas banyak kerusi parlimen dan dua negeri jatuh kepada pembangkang.

Hancurlah kamu UMNO BN selepas ini.

Beranikah UMNO-BN ISAkan Chua Soi Lek?

Guna agama raih sokongan - Umno, PAS dibidas

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, kata Chua, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif - menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 ntahun.

"Kita perhatikan Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu. Kita timbulkan isu ini bagi memembolehkan masyarakat Cina berfikir mengenainya,” katanya pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, hari ini.

"Jangan optimistik bahawa jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap. Perlu diingat ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam,” katanya.

Chua berucap kepada kira-kira 300 ahlinya yang turut dihadiri oleh beberapa pemimpin kanannya - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Tan Chai Ho, Datuk Chor Chee Heung, Datuk Donald Lim - dan beberapa pemimpin Pulau Pinang lain seperti Lau Chiek Tuan dan Tan Cheng Liang.

Chua berkata di bawah pemerintahan PAS, generasi muda tidak akan mempeduli untuk mempelajari impak ke atas negara yang mungkin menjejaskan keadaan sosial dan pembangunan ekonomi negara.

Dalam ucapannya, Chua merujuk kepada buku tulisan, Syed Akbar Ali yang berjudul "Malaysia and the Club of Doom", yang mana pengarangnya menyenaraikan beberapa ciri-ciri umum di 57 negara-negara Islam di seluruh dunia.

Ciri-ciri itu termasuk kurang demokrasi kerana terlalu mementingkan agama; mereka mengadakan pilihan raya tetapi pemimpin Islam veteran menikmati kuasa mutlak; mengamalkan monarki mutlak; dan membuat dasar yang tidak setara dengan pembangunan global.

Menurut Chua lagi, tumpuan negara-negara berkenaan adalah lebih kepada agama berbanding pendidikan. Malah katanya, tahap buta huruf di negara-negara itu begitu tinggi khususnya di kalangan wanita.

Lazimnya juga pendapatan rakyat di negara-negara itu juga rendah, kadar pengganguran tinggi dan negara sentiasa dilanda kontroversi kerana tafsiran undang-undang pemimpinnya yang kebanyakan mereka adalah fundamentalists.

"Walaupun Malaysia adalah negara majoriti penduduknya beragama Islam, kita bernasib baik kerana dasar-dasar sederhana dan pragmatik yang dilakasanakan oleh kerajaan BN,” katanya. -mk


Negara Islam tak progresif: DAP bidas MCA

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menganggap pandangan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang memberi gambaran bahawa negara-negara Islam sebagai tidak progresif dan mengamalkan rasuah sebagai mengarut.

Menurut Lim, Chua pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, semalam telah memberi tanggapa negatif kononnya negara-negara Islam itu “tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang”.

Katanya, Chua sepatutnya mendidik dirinya sendiri dalam sejarah tamadun Islam yang bukan hanya mengenai empayar global tetapi kaya dengan pelbagai khazanah seperti seni, ilmu hisab, perubatan, algebra dan astronomi.

“Negara-negara Islam juga dilanda masalah yang sama seperti India dan China sebelum ini. Hanya apabila India dan China menjadi bebas dan dimerdekakan oleh penjajah, barulah mereka menyedari potensi masing-masing dan mengambil tempat sewajar mereka di pentas dunia,” katanya ketika berucap di Persidangan Intergriti Antarabangsa di Pulau Pinang hari ini.

“Saya yakin negara-negara Islam mampu mengembalikan kegemilangan silam mereka, jika negara-negara berkenaan tidak lagi dikongkong seperti India dan China,” katanya.

Lim, yang juga adalah setiausaha agung DAP berkata sejarah membuktikan negara-negara Islam juga boleh mempunyai urus tadbir seperti yang berlaku semasa pemerintahan Umar Abdul Aziz yang menyaksikan jajahan Ummaiyyah menjadi pusat pendidikan dan perundangan yang cemerlang.

“Pilihannya adalah sama ada kita ikuti jejak atau model Umar Abdul Aziz berhubung mentadbir dengan integriti dan melasanakan urus tadbir yang baik ataupun memilih cara pentadbiran secara kukus besi dan mengamalkan rasuah,” tambahnya.

Lim merujuk kepada ucapan Chua semalam yang membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Menurut Chua, apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif - menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 ntahun.

Beliau juga berkata Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Katanya, isu berkenaan sengaja ditimbulkan supaya masyarakat Cina di negara ini boleh berfikir memikirkan sejenak berhubung kerjasama DAP dengan PAS.

Chua juga mengingatkan masyarakat Cina di Malaysia supaya jangan terlalu optimistik dengan anggapan jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap. Katanya, ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam. -MK


Ulasan GB

Demikian biadabnya Chua Soi Lek ini. Dia tidak merujuk fakta sebenar, tidak juga mendapatkan maklumat mengenai Islam dan umat Islam dari sumber yang authentik, tetap daripada sebuah buku karya Syed Akbar Ali berjudul “Malaysia and the Club of Doom” yang mengetengahkan pandangan kritik mengenai negara-negara Islam.

Syed Akbar menulis menurut perspektifnya, dalam lingkungan keterbatasannya terhadap agamanya sendiri serta mentafsirkan kemajuan sesebuah negara mengikut pentafsiran dan acuan barat.

Kemudian Soi Lek mengutip sampah ini untuk dijadikan modal bagi menyerang Islam di negara ini - dengan kaedah cuba membunuh dua burung dari seketul batu - killing two birds with one stone - cuba menyerang UMNO dan PAS dalam satu masa.

Tak kisah menyerang UMNO dan PAS, tetapi amat dikisahkan apabila beliau bertindak keterlaluan mencemuh Islam dan umatnya. Kata Chua:

tumpuan negara-negara berkenaan adalah lebih kepada agama berbanding pendidikan. Malah katanya, tahap buta huruf di negara-negara itu begitu tinggi khususnya di kalangan wanita.

Lazimnya juga pendapatan rakyat di negara-negara itu juga rendah, kadar pengganguran tinggi dan negara sentiasa dilanda kontroversi kerana tafsiran undang-undang pemimpinnya yang kebanyakan mereka adalah fundamentalists.


Ini jelas satu blasphemy - satu penghinaan terhadap negara Islam, umat Islam malah agama Islam sendiri semata-mata untuk memulihkan imejnya yang satu dunia sudah tahu mengenai skandalnya dulu dan untuk mendapatkan semula sokongan kaum Cina terhadap MCA yang telah pupus itu.

Chua perlu dikenakan tindakan. Chua perlu diISAkan. Persoalannya: Beranikah UMNO?


Keganasan Polis - ACP Arjunaidi Perlu Dikenakan Tindakan

OCPD Petaling Jaya Didesak Mohon Maaf Kasari Peserta Perhimpunan Anti Isa

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed memohon maaf secara terbuka berhubung tindakan ganas yang dilakukan pihak polis menangkap 29 individu dan menyuraikan peserta perhimpunan aman anti ISA di Petaling Jaya Ahad lalu.

Suaram berpendapat, sebagai pegawai yang bertanggungjawab, tindakan ganas polis atas arahan Arjuanaidi itu sangat tidak profesional dan tidak wajar disebabkan himpunan itu mempunyai permit yang sah.

"Tanpa mengendahkan permintaan penganjur untuk berunding syarat untuk acara memasang lilin itu dan memberi masa kepada hadirin untuk bersurai secara aman, anda mengarahkan anggota anda bertindak secara keras ke atas peserta menyebabkan keadaan huru-hara dan ketakutan. Dalam keangkuhan, anda malah menafikan permit yang diberi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada penganjur," tegas Suaram dalam surat terbukanya kepada OCPD berkenaan.

Menurut Suaram, polis berlaku ganas dan kejam apabila menceroboh masuk untuk menahan peserta yang hadir acara memasang lilin di dataran Padang Timur, MBPJ itu.

Mereka yang ditahan termasuk peserta wanita ditolak, dipukul dan diheret serta secara dimaki hamun oleh pegawai polis.

"Menggunakan kekerasan keterlaluan sedemikian amat tidak perlu kerana mereka yang ditahan akan bekerjasama bila diberitahu bahawa mereka telah ditahan. Anda mempraktikkan kuasa anda secara arbitrari dan oleh itu, anda dipersalahkan atas pencabulan hak asasi yang berlaku pada malam itu," Suaram lagi.

Arjunaidi diselar kerana menggunakan taktik intimidasi seperti mengarahkan penggunaan trak pancutan dan Unit Pasukan Simpanan (FRU) untuk menyuraikan peserta di hadapan ibu pejabat polis tersebut yang berkumpul kerana menunjukkan solidariti kepada rakan mereka yang telah ditahan.

Suaram menganggap tindakan itu sebagai ugutan paling dahsyat termasuk memaksa peguam yang mewakili mereka yang ditahan memberi kenyataan saksi berasingan.

"Kami mengutuk pencabulan terang-terangan terhadap hak mendapatkan peguam dan hak peguam mewakili pelanggan mereka," tegas kenyataan itu.

Menurut Suaram, walaupun Seksyen 27 Akta Polis memperuntukkan polis dengan kuasa arbitrari untuk tidak membenarkan perhimpunan awam, peruntukan itu bercanggah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin kebebasan awam.

"Sebagai OCPD, anda seharusnya merasa malu kerana menjadi satu contoh buruk sebagai seorang pemimpin kepada anggota polis yang lebih muda dan lebih rendah pangkat daripada anda.

"Anda telah menunjukkan teladan bukan sahaja kepada pegawai anda tetapi juga rakyat Malaysia bahawa anda berlatih mengendalikan keselamatan awam dengan menimbulkan ketakutan dan keganasan.

"Disebabkan di atas, Suaram menuntut anda meminta maaf secara terbuka kepada peserta perhimpunan nyalaan lilin, mereka yang didera oleh pegawai anda dan peguam yang anda gertak. Kami juga menggesa anda tidak mendakwa mereka yang ditahan kerana mereka hanya mempraktikkan hak perlembagaan dengan memasang lilin secara aman," ujar Suaram. -SK