5 Nov 2010

Kebangkitan Semula BN?

Menang Galas dan Batu Sapi: BN kini merapatkan jurang dengan 5-8

Barisan Nasional akhirnya berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar, sementara merampas kerusi DUN Galas dari PAS-Pakatan Rakyat, dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada hari ini. Kemenangan 2-0 ini semestinya memberangsangkan pemimpin dan penyokong BN, setelah sekian lama diselubungi kesuraman sejak dilanda "tsunami politik" pada 8 Mac 2008.

Malah, kemenangan BN ini berjaya memperbaharui rekod pertarungan antara BN dengan PR kepada 5-8, dalam 13 PRK yang diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-12.


Majoriti 6,359 undi di Batu Sapi

Di Batu Sapi, calon PBS-BN, Linda Tsen Thau Lin meraih 9,773 undi, menang dengan majoriti 6,359 undi. Ansari Abdullah dari PKR memperolehi 3,414 undi, mengatasi calon SAPP Yong Teck Lee yang hanya mendapat 2,031 undi. Bagaimanapun, jumlah undi Ansari Abdullah dengan Yong Teck Lee hanya 5,445 undi, iaitu 914 undi lebih kurang daripada undi majoriti. Di samping itu, terdapat 372 undi rosak mengikut perkiraan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Jumlah pengundi berdaftar Batu Sapi adalah 25,582 orang, terdiri daripada 15,099 orang bumiputera Islam (59.02%), 689 orang bumiputera (2.69%), 9,737 orang Cina (38.06%) dan kaum lain 57 orang atau 0.22%. Peratus mengundi pada hari ini mencatat 61.47%, atau 15, 774 orang, agak dekat dengan 61.45% pada PRU ke-12.

Dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, 61.45% pengundi tampil melaksanakan tanggungjawab mereka. Edmund Chong Ket Wah dari BN meraih 9,479 undi, mengalahkan calon bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Mendiang Edmund Chong meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 9 Oktober 2010.

PRK Galas: Undi PAS menurun

Sementara di Galas, calon UMNO-BN Abdul Aziz Yusoff memperolehi 5,324 undi, menewaskan calon PAS-PR Zulkefli Mohamed dengan majoriti 1,190 undi. Dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, Allahyarham Chek Hashim Sulaima (PAS) berjaya meraih 4,399 undi, menewaskan Saufi Deraman (UMNO-BN) dengan majoriti 646 undi. Allahyarham Chek Hashim Sulaima meninggal dunia pada 27 September 2010, memberi laluan kepada PRK ke-12 selepas PRU ke-12.

Di Galas, jumlah pengundi berdaftar seramai 11,553 orang, terdiri daripada 7,125 orang Melayu (61.67%), 2,317 orang Cina (20.06%), 1,839 orang asli (16.35%), 185 orang India (1.6%), 10 orang bumiputera Sarawak (0.09%) dan kaum lain-lain 27 orang atau 0.23%). Peratus mengundi adalah setinggi 83%, iaitu 2% lebih tinggi daripada PRU ke-12.

Menurut perkiraan DAP, undi Cina yang diperolehi PAS menurun kira-kira 2% hingga 3.5%. Malah, undi yang diperolehi PAS jelas berkurang berbanding PRU ke-12, seandainya dibaca dari perbezaan antara menang dengan majoriti 646 undi, dengan kalah 1,190 undi - membawa kepada kehilangan 1,836 undi, mengikut perkiraan kasar.

BN bangkit dari tsunami politik?

Seandainya diimbas kembali, sentimen rakyat jelas menyebelahi Pakatan Rakyat (PR), untuk satu jangka yang agak panjang selepas PRU ke-12. Situasi ini dapat diperlihatkan apabila PR memenangi dua PRK selepas PRU ke-12, iaitu Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih besar, dan Kuala Terengganu dengan rampasan kerusi dari BN.

BN hanya berjaya mempertahankan satu kerusi di DUN Batang Ai, Sarawak pada 7 April 2009. Namun, kemenangan ini sedikitpun tidak menceriakan BN, khususnya Najib Razak yang baru mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan, memandangkan dua PRK yang berlangsung serentak, iaitu Bukit Gantang (Perak) dan Bukit Selambau (Kedah) kekal dalam genggaman PR.

Kekalahan demi kekalahan ini mungkin antara faktor yang membelenggu BN, sehingga tidak menurunkan calon dalam PRK Penanti, yang berlangsung pada 31 Mei 2009. Bagaimanapun, kekalahan tetap menghantui UMNO-BN apabila tewas sekali lagi di PRK Permatang Pasir, kira-kira tiga bulan selepas itu.

Undi Melayu kembali ke UMNO?

Bagaimanapun, UMNO-BN hampir mengecapi kemenangan dalam PRK Manek Urai pada Julai 2009, apabila berjaya menghakis undi majoriti PAS dari 1,352 ke 65 undi, tetapi tetap gagal untuk menembusi kubu PAS. BN hanya berjaya menikmati manisan kemenangan pertamanya di Semenanjung Malaysia, melalui Mohd Isa Samad apabila mempertahankan DUN Bagan Pinang dengan majoriti lebih besar pada Oktober 2009.

Sejak itu UMNO-BN kembali dengan keyakinan bahawa undi Melayu telah balik ke pangkuan UMNO. Dakwaan ini diperkukuhkan apabila BN merampas kerusi parlimen Hulu Selangor dari PKR-PR, pada April 2010. Namun, kegembiraan ini tidak kekal lama, apabila DAP-PR mencipta keajaiban dengan merobohkan kubu BN di Sibu, Sarawak sebulan kemudian.

Kini, BN berjaya merampas DUN Galas, sementara mempertahankan Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar. Keputusan ini sekurang-kurangnya melegakan BN di Sabah, sementara merunsingkan PR di Semenanjung Malaysia. Kemenangan BN pada malam ini lantas mengundang spekulasi bahawa pilihan raya umum kilat mungkin diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. -MR

Tiada ulasan: