14 Apr 2010

RM76 juta dibayar kepada APCO, antaranya menemukan Najib-Obama

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz mengakui bahawa kos perkhidmatan yang dibayar kepada APCO Worldwide berjumlah RM76.82 juta setahun, malah memuji sumbangan APCO dalam usaha memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Sambil menuding jari kepada dua orang bekas Perdana Menteri yang "menjejaskan hubungan antara Kuala Lumpur-Washington", Nazri mendakwa bahawa hubungan dua hala yang terjejas dalam tempoh 28 tahun ini hanya boleh diperbaiki dengan membelanjakan wang.

Nazri Aziz tidak menafikan bahawa kerajaan Malaysia menggunakan perkhidmatan APCO Worldwide untuk memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, "APCO Worldwide bertanggungjawab untuk membina imej negara kita di Amerika Syarikat, agar hubungan kita dengan Amerika Syarikat lebih erat. Apakah anda menganggap syarikat tempatan Malaysia boleh mengeratkan hubungan antara kita dengan Amerika Syarikat?"

Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dianggap "kurang erat" semasa zaman pemerintahan PM keempat dan kelima, iaitu Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi, jadi Nazri tidak melihat wujudnya masalah untuk memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat atas nama diplomatik dan ekonomi.

"Sekiranya kita tidak berbaik dengan Amerika Syarikat, Amerika Syarikat langsung tidak akan mempedulikan kita. Kita perlu memperbaiki hubungan yang terjejas semasa zaman pemerintahan 22 tahun oleh Mahathir Mohamad dan enam tahun oleh Abdullah Ahmad Badawi. Anda ingat kita boleh meredakannya tanpa berbelanja?" tanya Nazri ketika ditemuramah media di parlimen, semalam.

Malah, Nazri menambah bahawa kerja melobi adalah sesuatu yang lumrah di Amerika Syarikat. "Anda perlu lobi (barulah kerja diselesaikan dengan baik), dan pelobi terbesar di Amerika Syarikat ialah pelobi Israel."

Memuji Najib

Setelah mempersalahkan Mahathir dan Abdullah, berikutan hubungan kurang erat dengan Amerika Syarikat yang memberi kesan kepada pembangunan ekonomi, Nazri seterusnya memuji PM sekarang, Najib Razak, "Najib bukan untuk dirinya, beliau melakukan ini demi negara. Apa salahnya berbaik dengan Amerika Syarikat? Ia hanya akan memanfaat ekonomi kita."

Najib mengambil contoh pertemuan antara Najib dengan Obama, sebagai bukti untuk menunjukkan APCO Worldwide menjalankan tugasnya dengan baik. "Apa yang kita belanjakan amat berbaloi, kita mendapat pulangannya."

"Prestasi APCO Worldwide cukup baik. Setakat ini Obama hanya meluangkan masa untuk berjumpa dengan Najib dan Hu Jintao (Presiden China). China tu China (pengaruh besar), tapi Obama berjanji untuk bertemu dengan Najib," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim ketika membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dalam persidangan Dewan Rakyat penggal ini mencungkil kontroversi apabila mengkritik kerajaan kerana menggunakan perkhidmatan syarikat Israel, APCO Worldwide, yang juga digunakan oleh diktator negara lain. 【Baca: APCO dan 1Malaysia】

"...Diktator yang kaya akan menggunakan (syarikat) yang terbaik. Jadi, mengapa mereka menggunakan APCO Worldwide? Ini kerana APCO Worldwide terlalu baik (perkhidmatannya). Kalaulah mereka nak membina imej yang baik di Amerika Syarikat, mereka perlu menggunakan APCO Worldwide," ulas Nazri.

Mengambil contoh Karpal dan Anwar

Bahkan, Nazri mengambil contoh peguam terkemuka, Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP, "Tahukah anda siapa yang akan mengupah Karpal Singh dalam kes mahkamah? Pembunuh, penyeludup... Kerana mereka nak bebaskan diri daripada hukuman. Mereka perlu mendapatkan peguam yang terbaik. Ada yang berkata Karpal Singh adalah yang terbaik. Jadi mereka mengambil Karpal Singh..."

"Tapi, bolehkah anda berkata Anwar Ibrahim adalah pembunuh kerana beliau menggunakan Karpal Singh sebagai peguam belanya?" tanya Nazri.

Karpal Singh kini adalah peguam bela Anwar Ibrahim dalam kes liwat.

Oleh itu, Najib menganggap pembangkang tidak harus meringkaskan isu ini, menyamakan penggunaan APCO Worldwide dengan isu lain sewenang-wenangnya. Malah, beliau mendakwa bahawa beliau pernah menyemak senarai nama Zionis, dan akhirnya beliau mendapati lebih separuh daripadanya adalah kawan Anwar.

"Jadi, beliau (Anwar) boleh berkawan dengan orang ini, dan kami tak boleh," sindirnya.

Tian mempertikaikan Nazri

Sebelum ini, ahli parlimen Batu-PKR Tian Chua mengadakan sidang media di koridor parlimen, mempertikaikan kejujuran Nazri dengan menunjukkan jawapan bertulis daripada Jabatan Perdana Menteri. JPM memberi jawapan bahawa kontrak perkhidmatan APCO Worldwide bernilai RM76,820,563 setahun, jauh berbeza dengan jawapan yang diberikan Nazri sebelumnya ketika ditemuramah media, iaitu RM28 juta.

Namun, Nazri mendakwa bahawa kedua-dua pihak sebenarnya tidak pasti dengan angka RM28 juta itu, tetapi beliau berjanji kepada Tian Chua (gambar kanan) secara peribadi, bahawa beliau akan mengemukakan jawapan yang terperinci seandainya Tian Chua menulis secara rasmi kepada JPM.

"Jadi, inilah jawapan tepatnya," Nazri menegaskan bahawa beliau tidak menolak untuk memberi jawapan, "Anda boleh menyemak minit mesyuarat. Saya (pada ketika itu) berkata saya tidak mempunyai maklumat yang terperinci. Dan saya juga kata, seandainya saya ada maklumat terperinci, maka saya boleh mendedah kepada semua orang."

Dalam satu wawancara bersama Malaysian Insider pada 7 April 2010, Nazri memberi reaksinya terhadap tindakan ahli parlimen Pokok Sena-PAS, Mahfuz Omar yang melaungkan "UMNO-APCO" dalam dewan. Nazri berkata, "'UMNO-APCO' adalah tuduhan yang serius. Parti komponen Barisan Nasional, UMNO menggunakan RM28 juta untuk mengupah APCO. Tetapi, mengatakan UMNO itu APCO dan APCO itu UMNO, membawa makna bahawa kami memasukkan wang kerajaan dalam saku UMNO. Kenyataan sedemikian membawa maksud bahawa kerajaan jelas menyedari bahawa APCO dimiliki UMNO, dan kemudian membayar RM28 juta kepada APCO. Tuduhan ini serius sekali."

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang. -MR

Calon PRK Hulu Selangor : PR Tenang, BN Borgolak Bagai Nak Rak

UMNO diramalkan akan tunduk kepada tekanan dan kehendak MIC supaya memilih Palanivel sebagai calon BN di Hulu Selangor.

Hal ini dikesani apabila Timbalan Presiden UMNO dan juga BN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, apabila beliau menolak dakwaan bahawa beliau menyokong timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan sebagai calon BN pada pilihan raya Hulu Selangor yang akan datang.

"Tiada perkara seumpama itu, Maksud saya tiada kenyataan yang dibuat dan saya rasa tiada apa yang telah didedahkan berhubung perkara itu,” katanya.

BN seringkali mendahului pembangkang dalam menamakan calonnya tetapi kali ini menjelang tempoh kurang 48 jam seperti yang dijanjikan, siapa yang bakal mewakili mereka terus menjadi tanda tanya.

UMNO dikatakan lebih selesa untuk menonjolkan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan sebagai calon di kerusi Hulu Selangor berbanding calon yang diketengahkan oleh MIC iaitu Timbalan Presidennya G Palanivel.

"Jika Mugilan dinamakan sebagai calon, kepemimpinan MIC akan memecat Mugilan kerana melobi bagi kerusi itu dan juga mensabotaj aktiviti parti serta mencemarkan nama Palanivel,” kata satu sumber.

Menurut beliau lagi, ketika mesyuarat malam kelmarin di Parlimen, presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dilaporkan bertikam lidah dengan Muhyiddin berhubung pemilihan calon BN itu.

Sumber itu berkata Muhyiddin berkata Mugilan adalah pilihan pemimpin BN tetapi pemimpin MIC yang hadir kurang menyenangi keputusan itu.

“Samy Vellu mempertahankan pemilihan MIC yang mahukan Palanivel dan ini menyebabkan mesyuarat menjadi hangat,”

Calon BN itu hanya akan diumumkan oleh Muhyiddin pada hari esok, jam 4 petang bertempat di markas BN, Bukit Sentosa di Bukit Beruntung.

Kula Buat Laporan Polis Terhadap Tajuddin

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap ugutan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman minggu lalu.

Tajuddin didakwa mengugut untuk menghantar orang memukul Kulasegaran kerana mengkritik beliau di luar Parlimen.

Di dalam Dewan Rakyat hari ini Tajuddin bangun mempersoalkan keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi amaran keras kepada beliau pada isnin lalu berhubung insiden tersebut.

Kulasegaran ketika di lobi Parlimen berkata beliau terkejut dengan tindakan Tajuddin yang mempertikaikan amaran Speaker kerana ia dibuat berasaskan kepada Peraturan Mesyuarat 99(a).

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berkata sikap Tajuddin dianggap keterlaluan dan mencemarkan imej Parlimen serta mencadangkan agar Ahli Parlimen Barisan Nasional itu dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan P arlimen.

"Selain kes Kula, beliau membuat pelbagai tuduhan terhadap pemimpin DAP di Pulau Pinang umpamanya lawatan ke Singapura dan Hong Kong untuk menjual rahsia kerajaan kepada bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew. Nizar pula dituduh sebagai Menteri Besar yang menjual tanah secara haram kepada Singapura," kata Kit Siang.

Hulu Selangor, MIC Berpecah, Chandran Tanding Bebas

Bekas Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Hulu Selangor V. S. Chandran akan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Chandran, 56, yang sedang digantung selama setahun oleh parti, berkata beliau sudah membayar deposit RM5,000 untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

“Saya telah tinggal di sini selama 54 tahun lepas. Saya amat arif dengan kawasan ini, penduduknya dan masalah di sini,” kata ahli perniagaan itu yang digantung oleh parti tahun lalu selepas beliau mendedahkan masalah yang dihadapi bahagian itu kepada media.

Chandran ialah timbalan pengerusi bahagian itu dari 2003 hingga 2009.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, pada 25 Mac akibat barah otak.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim telah dipilih sebagai calon PKR manakala Barisan Nasional dijangka mengumumkan calonnya esok.

Hari penamaan calon Sabtu ini. — Reuters

Ulasan GB

Atau apakah ini taktik Chandran dapatkan "wang besar"? Sebab dalam tempoh ini, macam-macam boleh berlaku, jadi jutawan segera pun serba mungkin.

Shahidan Kutuk MB Perlis Sebagai Penipu, Penzalim Dan Otak Sedut

Umno Perlis terus dilanda krisis berterusan apabila mantan Pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim mengutuk Pengerusi Umno Perlis ketika ini iaitu Mohd Isa Sabu.

Shahidan Kasim bukan sahaja mengutuk bosnya di negeri itu sebagai penipu, tetapi turut melabelkannya sebagai penzalim dan Otak Sedut kerana mensabotaj kehadirannya sempena lawatan Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin semalam.

Berikut ialah antara kenyataan Shahidan yang boleh dilihat secara jelas di laman sosial facebook.com. di sini.

1. "Depa (mereka), kerajaan negeri suruh saya tunggu disimpang 4, untuk menyambut tpm (Muhyiddin Yassin) .Tiba2 mereka ubah laluan dan tpm turun ditempat lain.. saya tak tau arahan siapa..tak mungkin tpm, tak mungkin polis.. tapi bertanggung jawab.. rakyat benci penipuan dan mungkir janji macam ini.. Tapi benda besar mereka bolih tipu, tentula benda yg kecil ini perkara biasa saja.. PENIPU"

2. "Orang2 Umno dan BN tunggu tempat lain,tapi puak Md Isa bawa Tpm turun tempat lain.. Saya bawa juga Tpm ketempat org ramai yg sedang menunggu.. mereka adalah orang umno,bn dan rakyat, beribu yg menunggu.. Tpm hanya jumpa separuh saja.. Sian org2 umno dan bn .. saya pohon maaf kepada rakyat semua sebab semua usaha baik saya tidak dapat diterima olih puak2 penipu dan penzalim.."

3. "kerajaan negeri juga tidak sediakan jamuan dlm gerai untuk tpm..tiada ada meja,kerusi.. maka saya tergesa gesa minta tolong kawan2,sediakan tempat makan ..p beli makanan serta merta di gerai gerai berdekatan.. saya tanya mb kenapa buat macam ni kat saya.. jawapan mudah.. tak tau.. laluan ditipu, makanan tak disediakan.. akhirnya kita sediakan juga untuk rakyat jelata..saya halalkan... mereka harus jawab kenapa SABOTAJ"

4. "Saya tanya polis traffic, kenapa ubah laluan, mereka pun dapat arahan dari atas.. kalau saya tau nak tipu rakyat macam ini, maka saya tak perlu ajak org ramai datang... takut kalau ada banner2 yg tak sokong kepinpinan..maka siapakah yg berhak buat keputusan tukar laluan? saya akan tanya dato Hishamuddin, mengenai perkara ini kerana menipu rakyat dilarang olih ds.najib..."

5. "Majlis dgn bn tengah hari tadi ramai yang bukan jawatankuasa hadir terutama dri bhagian kangar"

6. "Otak selut sungguh, ketua bahagian Arau mereka tipu tapi mereka dengar pandangan dari seorang yg bukan jawatankuasa bahagian.. ts muh..menyeru perpaduan diujudkan..adakah atas dasar kezaliman ?"

7. "Tpm kena tau perkara ini..harap2 tpm tak "makan sebelah".. kalau dia makan sebelah, dengar cakap md isa saja ,maka sianlah kat puak2 umno.. sudah jatuh ditimpa tangga"

8. "pemandu kereta ts muh. memang nak pergi ketempat yg ditentukan, tetapi bodyguard mb minta ubah tempat... Arahan siapa? siapakah yg kurang adat menipu rakyat? siapa? -erapakatan

OK, Saya Datang Jika Ada Jaminan Keselamatan - Pornthip

Pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand berkata beliau sanggup memberi keterangan pada inkues Teoh Beng Hock jika ada jaminan keselamatannya daripada kerajaan Malaysia.

"Saya sanggup datang jika ada jaminan rasmi daripada kerajaan Malaysia dan Pejabat Peguam Negara berhubung keselamatan dan juga kebebasan saya dalam melaksanakan tugas profesional sebagai seorang saksi bebas dalam kes Teoh,” katanya kepada Malaysiakini, semalam.

Ahad lalu, Pornthip mendedahkan beliau terpaksa menarik diri daripada menghadiri perbicaraan inkues itu kerana mendakwa terdapat 'ganguan politik' daripada kerajaan Malaysia.

Menurutnya, beliau mendapat maklumat daripada pegawai kerajaan Thailand bahawa rakan sejawatan mereka memberikan "isyarat" kepada kementerian luar Thailand bahawa kedatangan Pornthip tidak dialu-alukan di Malaysia.

Pornthip memberitahu beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.

Pakar patologi berusia 54 tahun itu berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.

Pornthip dijadualkan memberi keterangannya pada 20 April ini dan dijangka akan disoal mengenai pengamatannya terhadap bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat mendiang Teoh.

Dia menerima pelawaan kerajaan Selangor bagi membantu menentukan punca kematian Teoh berdasarkan pro bono, iaitu perkhidmatan kerajaan kepada kerajaan tanpa sebarang bayaran.

Menurut beliau kebimbangan mengenai keselamatannya bermula apabila pada November tahun lalu ketika terbabit dalam bedah siasat kedua, Pornthip diekori oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.

Tindakan itu memberi tekanan kepadanya dan kebimbangannya memuncak pada Januari lalu apabila dua laporan polis dibuat ke atasnya berdasarkan tuduhan dia membocorkan keputusan bedah siasat kedua itu.

"Saya menerima jemputan kerajaan Selangor sebagai pakar sukarelawan yang bebas kerana saya anggap ini adalah kes di mana seorang insan telah menderita. Bagaimanapun apa yang saya lalui ketika melaksanakan tugas itu di Malaysia, menjadikan saya kurang selesa,” katanya. -mk

Waspada Wang Kertas RM50 Palsu

Beberapa peniaga di sekitar Wangsa Maju terkejut apabila mendapati satu not RM50 hasil jualan barangan mereka palsu ketika ingin memasukkan wang itu ke bank.



BUKTI...Yew (depan kanan) bersama beberapa peniaga menunjukkan wang palsu yang diterima.


Mereka mendakwa kejadian itu berlaku apabila seorang lelaki tempatan berumur 30-an membeli makanan di kedai mereka dan membayar menggunakan wang palsu.

Peniaga, Tiang Ko Oong, 65, yang menjual pau dan surat khabar berkata, dia didatangi seorang lelaki Cina yang mahu membeli pau dan surat khabar jam 5 petang, minggu lalu.

Menurutnya, lelaki itu membeli barangan yang keseluruhannya berharga kira-kira RM20 ketika keadaan agak sibuk kerana ramai pelanggan.

“Saya tidak perasan not RM50 itu palsu serta tidak pula memeriksanya terlebih dulu kerana pada masa itu keadaan agak sibuk dan terus memulangkan baki kepada lelaki berkenaan.

Tiang berkata, dia ke bank keesokan harinya untuk memasukkan wang itu ke dalam akaunnya, namun disahkan pihak bank ia palsu.

Sementara itu, Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai wang palsu itu dua hari lalu.

Menurutnya, setakat ini sejumlah peniaga datang mengadu mengenai masalah itu dan dipercayai masih ramai menerima nasib sama, tetapi belum membuat aduan. hmetro

Memang Pelik, Mahkamah Syariah Tolak Qazaf

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan bantahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom (gambar) untuk membatal permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.

Anwar telah memfailkan permohonan qazaf itu pada 7 Januari bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengarahkan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain mendakwa Mohd Saiful dengan tuduhan qazaf kerana mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR.

Selain Shamsuddin, Anwar turut menamakan dua lagi reponden - pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Jamil Khir.

Jamil dan dua responden tersebut telah memfailkan bantahan terhadap permohonan qazaf itu pada 9 Februari lalu.

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki. Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. - Malaysiakini


Jawapan Mantap Zaid Mengenai Isu "Anak Tempatan"

Dengan menolak andaian beliau bukan “anak tempatan”, Datuk Zaid Ibrahim yang malam tadi diumumkan calon Pakatan Rakyat (PR) bagi kerusi Hulu Selangor memberi jaminan kepada 64,000 pengundi bahawa mereka boleh mengharapkan “wakil rakyat yang baik” jika diberi mandat.

“Itu boleh diharapkan. Wakil rakyat yang cuba selesai masalah dia, wakil yang boleh bersuara bagi pihak dia (pengundi Hulu Selangor),” kata Zaid, bekas anggota Kabinet, malah tidak asing dalam arena politik negara ini.

Serangan pertama dituju ke arah beliau sebaik sahaja diumumkan sebagai calon adalah “Zaid bukan merupakan anak tempatan.”

Sehubungan itu tegas Zaid, soal anak tempatan atau pun tidak, ia bukan isunya dalam pilihan raya khususnya di Hulu Selangor.

Jelas Zaid, anak negeri Kelantan dan pernah bertanding di Kota Baru pada 2002, apa yang penting ialah sama ada wakil rakyat boleh memberi khidmat untuk memenuhi harapan dan menyelesaikan masalah pengundi.

“Ia (Hulu Selangor) hanya setengah jam perjalanan (dari ibu negara). Apa bezanya saya dengan orang yang tinggal di Rawang.

“Jadi dari segi fizikal, dari segi geografi, apakah saya orang luar? Orang luar dari mana? Saya orang Selangor. Tapi orang di Hulu Selangor pun tak duduk di situ pun. Ramai cari pekerjaan,” katanya.

“Itu bukan soalan dia. Soalan dia, apakah awak faham masalah Hulu Selangor dan macam mana hendak selasaikan masalah itu. Siapa yang lebih mampu menyelesaikan masalah... itu isunya, bukan di mana dia lahir. Kalau dilahir di Hulu Selangor pun, kalau dia tak faham, dia tak tahu, dia malas, apa gunanya?” katanya.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider semalam, jelas Zaid, debat mengenai “budak tempatan” atau “orang muda” tidak perlu dijadikan isu pilihan raya kecil di sini.

Sehubungan itu menurut Zaid, atas kapasiti sebagai ahli politik sepenuh masa beliau meluangkan masa yang secukupnya untuk kepentingan masyarakat Hulu Selangor.

“Banyak masa akan saya luangkan sebab saya tiada apa-apa kerja lain untuk dilakukan.

“Saya tidak terlibat dalam bisnes saya, saya tiada kerja. Tiada sebab mengapa... saya tiada kerja sepenuh masa, saya bukan pengarah syarikat besar. Saya ada banyak masa.

“Saya ahli politik seratus peratus, 110 peratus. Jadi saya tidak... jadi saya fikir saya boleh sangat berfokus. Sebagaimana saya mengatakan, saya boleh... tiada masalah. Hulu Selangor sangat dekat, saya boleh pergi bila-bila masa,” kata beliau.

Berkelulusan undang-undang, Zaid, 59, diumumkan dengan rasmi sebagai calon PR-PKR bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Sambil merujuk kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang dikenali sebagai “Che Lah” dari Tumpat pada 1960-an, Zaid memberitahu, beliau mahu berperanan sebagai seorang “Ahli Parlimen yang prihatin.”

Katanya, wakil rakyat itu popular kerana khidmat yang diberikan kepada masyarakat sehingga walaupun enggan bertanding pengundi mendesaknya bertanding
.

“Bagi saya itu model contoh. Saya tidak berminat dengan glamor-glamor... tak payah.

“Saya mahu rakyat mengingati saya sebagai ahli politik penyayang... rakyat mengingati saya, saya tidak kisah jika yang lain tidak suka saya,” kata beliau sambil menambah aspek geografi tidak menjadi satu masalah untuk mendampingi rakyat jikan diberikan mandat pada 25 April ini,

“Saya akan memiliki pejabat (kekal) saya di Hulu Selangor,” kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR ini.

Ikuti temu bual penuh bersama Datuk Zaid Ibrahim:

TMI: Datuk pernah bertanding sebelum ini. Justeru adakah cabaran dan tanggungjawab kali ini lebih berat berbanding ketika pilihan raya umum 2004?

ZAID: Semua pilihan raya berat, tak ada pilihan raya yang tak berat. Kecuali kita ada undi pos 10,000 orang. Kalau kawasan kita ada undi pos, itu tak beratlah. Tapi kalau tak ada undi pos atau undi pos sikit, beratlah. Semua pilihan raya berat.

TMI: Tahun 2004, Datuk bertanding di kawasan Pantai Timur Kelantan, kawasan PAS, yang majoriti pengundi, 99 peratus adalah orang Melayu. Di sini senario mungkin berbeza dari Pantai Barat.

ZAID: Ya, semua tempat berbeza tapi masalah, isunya sama saja. Isunya lebih kurang. Kalau di Kelantan, di Kota Baru, ramai... 80 peratus Melayu di Kota Baru... jadi masa itu pun ada orang kata saya ini orang Melayu tak boleh terima. Hujah yang sama. Saya ini terlalu liberal, dia kata. Tapi saya menang juga. Saya percaya di The Star hari ini kata, misalnya The Star kata PAS tak boleh terima saya di Hulu Selangor. Inilah pemberitaan yang tak ada asas. Saya mendapati, kalau saya bertanding pun, PAS akan sokong kuat saya. Tak ada masalah.

TMI: Datuk yakin?

ZAID; Bukan saya yakin, saya tahu sebab saya sudah bercakap dengan mereka. Tak ada masalah, tak ada siapa yang tak suka saya bertanding, hanyalah calon-calon lain, yang hendak bertanding itu kan? Saya merasakan isunya adalah sama. Sama ada di Kota Baru, Hulu Selangor, saya rasa pengundi akan menilai siapa yang dia boleh percaya, siapa yang dia boleh rasa lebih berkemampuan untuk tolong dia. Itu saja. Kalau dia kata calon ini lebih sesuai dengan dia, dia pilih. Kalau dia tak suka, pilih yang satu lagi. Pada saya bangsa, status ekonomi, bandar, luar bandar... semua itu lebih kurang. Terlalu banyak orang membuat analisis bukan-bukan tentang saya. Jika pengundi suka pada calon, calon itu akan menang.

TMI: Dalam menghadapi pilihan raya kecil ini, bagaimana Datuk boleh gambarkan hubungan Datuk dengan PAS?

ZAID: Saya ini ahli Umno di Kota Baru dan PAS menang di Kota Baru sejak tahun 1990. Anda mesti ingat, pada 1990 PAS dan (parti) Semangat (46) menang dan selama 15 tahun. Hakikatnya saya menang sebab PAS (saya fikir) seharusnya telah menyokong saya, jika tidak macam mana saya boleh menang. Bermaksud penyokong-penyokong PAS... mereka yang bertanding sebelum saya kalah. Jadi, saya ada hubungan baik dengan rakyat biasa, anggota PAS biasa. Tak ada masalah. Itu maksud saya, ya.

Saya tiada masalah dengan anggota PAS tetapi mereka (sengaja) mereka cerita. Mereka cuba mereka cerita bahawa saya ini bukan popular di kalangan pengundi Melayu. Jadi saya menang di Kota Baru. Kota Baru bukannya kawasan bandar macam Kuala Lumpur pun. Ia pun bandar kecil. Penduduk juga dari kawasan pedalaman. Tak ada masalah. Jadi, rasa Hulu Selangor pun lebih kurang begitu.

TMI: Apakah cabaran yang Datuk mungkin hadapi sebagai calon pilihan raya kecil di Hulu Selangor?

ZAID: Barisan Nasional (BN) akan bermati-matian untuk memastikan saya tewas. Jadi bermacam-macam perkara akan mereka lakukan. Saya tak payah ulas tapi saya rasa kita faham.Itulah cabaran yang sebenarnya. Tapi kita boleh mengharapkan pengundi faham apa yang ‘what is at stake’ di Hulu Selangor. Perkara yang besar bergantung kepada Hulu Selangor. Perkara yang besar ialah pertamanya, apakah kita mahu negara ini terus diperintah oleh Barisan Nasional, parti atau kerajaan yang bukan saja, pada saya tidak menghormati peraturan dan undang-undang dan kerajaan yang menggunakan apa saja alasan untuk mengekalkan kuasa. Kita nak ke Barisan terus ataupun kita nak pastikan kuasa itu, suara rakyat itu didengar juga. Kalau kita nak suara rakyat didengar di Parlimen. Jadi, kita pilihlah parti pembangkang di Parlimen. Dan, saya bukan orang yang malu bersuara. Saya ini dalam kerjaya politik saya, saya tidak pernah takut untuk bercakap perkara yang saya rasa patut diutarakan. Jadi, itu isunya dari segi politik nasional.

Apakah orang Hulu Selangor mahu suara rakyat didengar di Parlimen dan menyentuh dasar-dasar negara. Yang lain itu adalah isu tempatan. Yang isu tempatan pun mudah juga. Siapa yang dia pilih mampu menyelesaikan masalah. MIC dah empat penggal, 18 tahun. Jadi kalau orang Hulu Selangor hendak teruskan MIC, dia pilih MIC lah... kalau dia puas hati dengan MIC punya prestasi. Tapi kalau kita lihat masalah yang adanya sekarang ini, saya rasa MIC telah gagal di Hulu Selangor. Itu kalau kita nak pilih orang yang gagal lagi, tak tahulah saya.

TMI: Adakah MIC gagal dan BN juga gagal?

ZAID: Yalah, sama... MIC, BN itu sama. Sebab itu masalah rumah terbengkalai, masalah tanah geran tak keluar, masalah permohonan tanah tidak diproses berpuluh-puluh tahun, masalah ladang, pekerjaan yang berkurangan di Hulu Selangor, masalah orang-orang Felda yang tidak dibela. Geran Felda tidak diberi, potongan Felda terlalu tinggi, inilah masalah. Jadi kalau kita kumpulkan masalah Orang Asli, tanah juga dirampas untuk pembangunan. Jadi, kalau kita kumpulkan masalah-masalah di Hulu Selangor ini, kita bertanya siapa yang faham isu ini dan siapa yang mampu. Jadi, saya rasa saya lebih mampu dan lebih faham dan kerajaan negeri Selangor ialah kerajaan Pakatan. Jadi, kalau kita nak selesai masalah tanah dan masalah perumahan, masalah pelaburan di Hulu Selangor, masalah tempatan, kita kena selasai dengan kerajaan negeri. Jadi, eloklah pilih wakil rakyat yang mewakili Pakatan Rakyat.

TMI: Sebagai calon, apa yang Datuk hendak tawarkan kepada pengundi Hulu Selangor?

ZAID: Satu, calon mesti faham masalah. Kalau anda tidak faham masalah orang Hulu Selangor, macam mana anda hendak menawarkan penyelesaian.

TMI: Kalau begitu, Datuk sudah faham masalah penduduk Hulu Selangor dengan mendalam?

ZAID: Saya tahu. Dan, saya hendak cakap pasal orang luar dan dalam. Selalu cakap kan? Ia bukan soal luar dalam. Tetapi yang penting dia kena tahu masalahnya dan menyelesaikannya. Itu persoalannya. Saya tinggal di Selangor ini sudah 30 tahun walaupun saya lahir di Kelantan. Saya tinggal di Selangor, Petaling Jaya. Jadi, saya bukanlah orang luar.

TMI: Bermaksud hendak menekankan bahawa tidak jauh dari Hulu Selangor?

ZAID: Ia hanya setengah jam perjalanan. Apa bezanya saya dengan orang yang tinggal di Rawang. Jadi dari segi fizikal, dari segi geografi, apakah saya orang luar? Orang luar dari mana? Saya orang Selangor. Tapi orang di Hulu Selangor pun tak duduk di situ pun. Ramai cari pekerjaan. Itu bukan soalan dia. Soalan dia, apakah awak faham masalah Hulu Selangor dan macam mana hendak selasaikan masalah itu. Itu siapa yang lebih mampu menyelesaikan masalah... itu isunya, bukan di mana dia lahir. Kalau dilahir di Hulu Selangor pun, kalau dia tak faham, dia tak tahu, dia malas, apa gunanya? Jadi debat, perbincangan mengenai budak tempatan, pada saya tidak perlu. Balik kepada soal seperti saya kata tadi, saya ada hubungan baik dengan Exco Selangor, jadi banyak perkara yang saya boleh cuba tolong. Kalau saya dah kenal dia orang, parti yang sama, saya yang lebih baik daripada MIC. Tak ada sebab pun orang Hulu Selangor hendak pilih parti yang telah mewakili mereka 18 tahun, masalah tidak selesai. Jadi, untuk apa?

TMI: Adakah Datuk bermaksud bahawa mereka (BN) tidak harus diberikan peluang kedua?

ZAID: Cukuplah, berapa kali tu? Lapan belas tahun tu... macam nak bagi Mahathir lagi peluang, misalnya. Anda sudah 22 tahun, cukup lah. Umumnya macam itulah. MIC sudah 18 tahun, jadi berapa lama lagi anda hendak beri, lagi 18 tahun sebelum masalah anda diselesaikan? Tidak boleh, tidak ada sebab orang Hulu Selangor harus memberi MIC satu lagi penggal. Anda harus cuba saya.

TMI: Mereka juga mendakwa mahukan calon muda?

ZAID: Saya pun muda juga. Saya bukan 70. Saya cuma 59 tahun.

TMI: Matlamat Datuk mahu jadi Ahli Parlimen bagi kawasan Hulu Selangor?

ZAID: Ya, sebagaimana saya katakan tadi, saya hendak menyuarakan hasrat rakyat, hasrat rakyat menikmati kebebasan, hasrat rakyat mencari peluang ekonomi lebih baik, hasrat peneroka Felda untuk hidup lebih baik. Misalnya, Felda itu, anda sedia tahu, satu konglomerat yang besar dan kaya tapi peneroka Felda masih miskin. Saya nak cuba mempertahankan kedudukan, kepentingan mereka. Saya nak cuba hendak dapatkan geran-geran tanah kepada mereka dan tidak ada tanah, yang minta tanah, yang telah 20 tahun menunggu. Saya hendak perjuangkan hak Orang Asli, saya nak memperjuangkan nasib orang India yang tinggal di ladang atau mereka diberhentikan kerja. Ramai juga pemuda India mencari peluang pekerjaan. Jadi saya akan cuba meyakinkan negeri Selangor bawa pelaburan, pembangunan, industri baru supaya kita boleh adakan lebih banyak peluang pekerjaan. Inilah kerja-kerja wakil rakyat.

TMI: Tinjauan Malaysian Insider semalam (kelmarin) di DUN Hulu Bernam, Kuala Kubu dan Batang Kali. Kita buat perbandingan populariti Datuk. Di dua kawasan, di Batang Kali dan Kuala Kubu Baru, 60 peratus bersedia untuk menerima Datuk. Di Hulu Bernam 90 peratus. Datuk tidak pernah pergi sana, tapi bagaimana Datuk melihat peratusan populariti ini? Bagaimana Datuk boleh terjemahkan dalam bentuk sokongan?

ZAID: Saya tak tau lah. Saya tidak tahu mengapa tetapi saya cuba buat andaian sahaja.... saya rasa saya ni, cara politik saya mudah saja. Saya mahukan keadilan untuk rakyat. Saya hendakkan rakyat ada keadilan, itu sebabnya. Saya cuma memperjuangkan apa yang patut, bukan saja dari segi undang-undang, tapi dari segi ekonomi dan kedudukan. Saya fikir, saya ahli politik rakyat. Bercakap jujur, saya tidak berminat dalam apa-apa isu. Disebabkan latar belakang saya, saya memikirkan kepentingan masyarakat kita, negara kita ini. Jurang kaya miskin terlalu besar. Orang kaya boleh melakukan apa yang mereka suka, syarikat besar buat apa saja mereka suka. Jadi saya lebih suka membela orang orang. Saya rasa jika anda tanya saya mengapa saya popular dengan rakyat biasa kemungkinan kerana ini. Tapi Umno akan cuba, Barisan akan cuba melakukan cara bertentangan bahawa Zaid ini tak popular dengan orang Melayu dan orang-orang biasa. Itu strategi politik mereka.

TMI: Bagaimana Datuk hendak menghadapi situasi ini?

ZAID: Rakyat ini bijak. Propaganda ini, dia punya nilai agak terbatas pada zaman sekarang ini. Saya tidak risau dengan itu. Saya fikir orang ramai akan menggunakan kebijaksanaan mereka, rakyat akan menggunakan pengalaman, mereka tahu macam mana hendak membuat keputusan. Jadi saya rasa propaganda Umno ini, ya, dia ada TV, radio, dia ada surat khabar, ada orang percayalah tapi saya rasa majoriti rakyat akan menilai.

TMI: Adakah landskap politik semasa, lebih-lebih lagi selepas tsunami politik 2008, akan memberi kelebihan kepada Datuk menghadapi cabaran kali ini?

ZAID: Saya rasa rakyat sekarang banyak benda dia tahu, tidak seperti dulu. Itu yang saya katakan, bila rakyat lebih mengetahui, lebih faham, susahlah orang hendak putar belit. Jadi, bila rakyat lebih tahu maka saya yakin dia akan buat pilihan yang betul.

TMI: Strategi untuk menghadapi saingan kali ini?

ZAID: Strategi saya, kalau ada pun, takkan hendak cakap dengan kamu. Kalau cakap dengan kamu, tak strategi lah. Jadi, apabila ada orang kata dia ada strategi bermakna sebenarnya mereka tiada strategi. Jika anda ada strategi, anda tidak akan memberitahu orang. Adakah anda pernah mendengar ada strategi yang pernah diperjelaskan? Mana boleh? Tak bolehlah.

TMI: Apa yang rakyat boleh mengharapkan daripada Datuk sebagai calon dan jika dipilih sebagai wakil rakyat kelak?

ZAID: Rakyat boleh mengharapkan wakil rakyat yang baik. Itu yang boleh diharapkan. Wakil rakyat yang cuba selesai masalah dia, wakil yang boleh bersuara untuk bagi pihak dia. Cukup lah. Itu kerja orang kira baik dah.

TMI: Yang keluar PKR tiga orang dan seorang yang dipecat, adakah mereka yang pernah sebarkan kata ‘Little Napoleon’ semua tu, adakah mereka yang keluar parti tu boleh menjejaskan peluang Datuk?

ZAID: Tak ada, tak ada. Saya harap mereka datang ramai-ramai, yang keluar parti tu. Baru kita tahu dia orang ini ada pengaruh atau tidak. Saya percaya mereka akan turun... baguslah. Kita tak ada masalah, rakyat menentukan.

TMI: Di mana-mana pilihan raya kecil, jentera BN memang suatu yang begitu kuat, dengan ‘goodies’ diberikan. Adakah ia akan memberi kesan kepada kempen?

ZAID: Memanglah. Memang jentera BN ini kuat, kita tahu semua. Sebab jentera dia jentera kerajaan, jentera pusat. Memang kuat... tapi dia kuat semua pun yang di tempat yang kalah pun dia kuat juga. Jentera ini satu aspek... ada banyak lagi aspek lain yang boleh menentukan menang kalah. Kita pun kuat juga. Kita jentera rakyat. Jadi, kita lawanlah jentera BN dengan jentera rakyat, kita tengoklah siapa kuat, 25 haribulan lah, betul tak? Kalau rakyat ? BN, kita tak kuatlah. Jentera ini ada dua macam, satu jentera upahan, satu jentera sukarela. Siapa yang banyak sukarela tu, itu yang menang.

TMI: Bermula dengan jentera BN dan sekarang ada dalam jentera Pakatan. Adakah pengalaman masa di jentera dalam BN akan membantu Datuk dalam pilihan raya kecil ini?

ZAID: Tak ada. Jentera BN pun tak adalah susah sangat. Jentera BN ini banyak jabatan kerajaan, sekolah, cikgu sekolah, jentera pejabat-pejabat kerajaan, itu saja. Tidak ada benda yang sulit, cuma dia banyak duit. Tapi kita pun ada orang ramai, kita ada penyokong kuat. Jadi walaupun kita tak ada duit, tapi harap-harapnya kita seimbang.... kita akan dapat mengatasi kuasa dia.

TMI: Kerajaan negeri Selangor adalah di bawah pimpinan Pakatan Rakyat, sejak dua tahun yang lalu. Adakah ia boleh menjadi satu kelebihan kepada Datuk?

ZAID: Oh ya, sudah pasti. Ini kerana pilihan raya ini bukan tentang diri saya. Sebagaimana anda kata, ia mengenai kerajaan negeri. Saya ini calon sahaja. Ia mengenai Exco kerajaan, bagaimana mereka memperlihatkan prestasi.

TMI: Bagaimana Datuk melihat peluang memenangi pilihan raya ini?

ZAID: Ia bergantung kepada penduduk Hulu Selangor. Jika mereka sokong saya, maka peluang saya adalah baik.

TMI: Berdasarkan bacaan Datuk?

ZAID: Tidak... saya tidak membuat bacaan.

TMI: Jika Datuk berjaya dalam pilihan raya kecil ini, berapa banyak masa yang Datuk akan luangkan di bahagian Parlimen ini?

ZAID: Oh, banyak masa akan saya luangkan sebab saya tiada apa-apa kerja lain untuk dilakukan. Saya tidak terlibat dalam bisnes saya, saya tiada kerja. Tiada sebab mengapa... saya tiada kerja sepenuh masa, saya bukan pengarah syarikat besar. Saya ada banyak masa. Jadi saya akan menghabiskan kebanyakan masa saya di sana sebab itu saya punya... itu satu-satunya perkara yang saya akan lakukan sebab saya tiada kerja lain. Saya ahli politik seratus peratus, 110 peratus. Jadi saya tidak... jadi saya fikir saya boleh sangat berfokus. Sebagaimana saya mengatakan, saya boleh... tiada masalah. Hulu Selangor sangat dekat, saya boleh pergi bila-bila masa. -TMI

Nazri Penipu Besar, Perlu Diheret Ke JK Hak Dan Kebebasan Parlimen

Angka sebenar yang dibayar kerajaan Umno Barisan Nasional untuk perkhidmatan Apco Worldwide bukan RM28 juta seperti sangkaan ramai selama ini, sebaliknya jumlah hampir RM80 juta, dedah Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Pada sidang media di lobi Parlimen, beliau menyatakan angka yang disebut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai jumlah bayaran kepada firma yang didalangi pemimpin Israel-Zionis itu, diputar belit.

Beliau mengulas demikian dengan merujuk laporan MalaysianInsider yang mewawancara Nazri berhubung jumlah bayaran kepada APCO dengan menyatakan angka ini: RM28 juta.

Namun, jawapan bertulis dari Jabatan Perdana Menteri kepada Tian Chua pula amat berbeza.



Dalam jawapan bertulis itu, jumlah bayaran kerajaan Umno BN kepada APCO ialah USD 24juta bersamaan RM80 juta dalam nilai ringgit malaysia, sekali gus berbeza dengan angka yang diberi Nazri iaitu RM28 juta.

“Menteri tidak menyatakan kebenaran berkali-kali. Sehingga sekarang, baru kita ada jawapan bertulis dari Jabatan Perdana Menteri. Ini satu perbelanjaan yang besar.

"Bagaimana mereka menilai perkhidmatan APCO Worldwide ini. Bayar hampir kepada RM1 bilion? Mungkin angka lebih lagi.

“Menteri menyatakan RM28 juta dibayar kepada APCO. Saya minta penjelasan dan dapat jawapan bertulis. Dalam jawapan ini, tidak mengandungi program Satu Malaysia, ini hanya APCO.

"Kita dapati ada dua perkhidmatan dibayar untuk perkhidmatan APCO. Satu ialah public affair dan public government affair services. Dan satu lagi ialah strategic communication and public relation and press outreach,” kata Tian Chua.

Kata Tian, Pakatan Rakyat mendesak kerajaan Umno BN menamatkan kontrak APCO Worldwide kerana khuatir dengan pembaziran puluhan juta ringgit sedangkan konsultan tempatan boleh dilantik.

Ulasan GB

Satu hari Nazri mesti kena. Beliau telah mengheret Gobind Sing Deo sehingga Gobind dikenakan tindakan digantung dari parlimen selama setahun. Kini beliau cuba mengheret DSAI ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen.

Walhal yang perlu sangat dihadapkan ke JK berkenaaan tidak lain dari Nazri sendiri kerana telah membuat penipuan yang secara nyata di dalam Parlimen mengenai pembayaran kepada APCO.

Hukum Karma : apa yang anda lakukan terhadap orang lain, anda akan merasakannya juga.

Ahli Parlimen PR yang lain, ada yang tak tahu apa lansung kisah mengenai APCO ini, buatlah sedikit kajian dan kerja-rumah serta usulkan Nazri ke JK berkenaan sebelum anda tercampak keluar di dalam PRU akan datang. Zaman ini zaman orang bekerja bukan zaman banyak tidur dan lena.