1 Okt 2011

Tak Layan Ugutan Perkasa: Mat Sabu Ke Negeri Sembilan Lagi

Petaling Jaya: Mohamad Sabu yang `diserang orang Perkasa’ minggu lalu dijangka kembali ke Negeri Sembilan dalam satu program anjuran yang PAS dan PKR Rembau minggu depan.

Program ceramah perdana isu semasa turut menampilkan pimpinan PAS dan PKR tempatan termasuk Badrul Hisham Shaharim dan bekas pesuruhjaya PAS negeri Dr. Rosli Yaakop.

Ceramah ini bertujuan memberi penerangan isu semasa yang di mana media perdana sedang mengelirukan rakyat, kata Setiuasaha PKR Rembau Norazizi Aziz.

“Kita juga menjemput ahli Umno untuk menghadiri program cemarah Mat Sabu itu, ” katanya.

PKR Rembau, katanya memandang serius permbangan politik ganas yang amat membahayakan ini.

Polis digesa bertindak secara profesional, tambahnya.

Norazizi mendakwa Pemuda Umno terbabit dalam serangan ke atas Mat Sabu.

Politik samseng

“Ini ia menunjukkan sikap sebenar mereka dan menambah kebencian orang ramai terhadap mereka.

“Sikap politik samseng ini makin melampau bila Perkasa NS dengan angkuh memberi amaran agar Hj Mohammad Sabu tidak masuk ke bumi N.Sembilan,” katanya.

Ceramah Mat Sabu di Ampangan Sabtu mencetuskan kekecohan sehingga menyebabkan dua penyokong PAS cedera selepas mereka cuba menghalang ahli Perkasa mara ke pentas ceramah.

Mat Sabu mencetuskan kontroversi tersebut ekoran ucapannya pada 21 Ogos lalu yang didakwa memuji Mat Indera, seorang pemimpin yang mengetuai serangan ke atas balai polis Bukit Kepong pada tahun 1950, sebagai pejuang kemerdekaan.

Laporan sebelum ini:

Ugut Mat Sabu: PAS Mahu Polis Siasat Perkasa (UMNO Juga)

PAS mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan pendesak Melayu, Perkasa ekoran ancaman terbuka mereka untuk 'menyerang' Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sambil menyifatkan ancaman itu boleh mencetus ketegangan, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata pihak polis sepatutnya sudah boleh memanggil Perkasa.

"Sepatutnya pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap Perkasa yang membuat ancaman secara terbuka.

"Mereka boleh cakap apa yang mereka nak cakap, tetapi jangan pulak sampai bertindak menghalang hak orang lain berceramah," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas amaran Perkasa Negeri Sembilan bahawa mereka akan menganjurkan lebih banyak protes ke atas Mohamad Sabu jika timbalan presiden PAS itu berani menjejakkan kakinya di negeri berkenaan untuk menyampaikan ceramah.

Amaran itu dilontarkan ketuanya Mohd Noor Nordin Abdullah yang dengan angkuh berkata beliau sendiri akan mengetuai protes terhadap Mohamad, jika timbalan presiden PAS itu enggan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai peristiwa Bukit Kepong.

Sabtu lalu satu pergaduhan tercetus pada ceramah Mat Sabu di Ampangan, Seremban.

Pada kejadian itu dua penyokong PAS cedera selepas bergelut dengan ahli Perkasa yang menyerbu pentas ceramah ketika timbalan presiden PAS sedang berucap. -hd

SAH!!! UMNO berlindung dibalik PERKASAM serang ceramah Mat Sabu




Haram Video Klip UNDILAH: Khairy Selar Tindakan SKMM Sebagai Rosakkan Imej BN

Klip Undilah: Tindakan SKMM rosak imej BN, kata Khairy

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melarang penyiaran klip video Undilah menerusi televisyen tempatan satu tindakan yang tidak wajar selain merosakkan imej kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Khairy Jamaluddin.

Ketua BN dan Pemuda Umno itu berkata pihaknya masih tidak jelas mengapa klip video itu diarah agar ditarik balik daripada terus disiarkan.

“Reaksi mengelirukan SKMM ke atas klip video Undilah agak memudaratkan kami,” kata beliau sambil bertanya, “apa isu sangat (dengan klip itu).”

Ketika ditemui pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung Pemuda MCA di sini hari ini, Khairy menjawab soalan berkaitan dengan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Kelmarin dipetik Bernama, Rais berkata, klip video Undilah tidak sesuai ditayangkan kerana ia mengandungi babak yang tidak disenangi segolongan masyarakat.

“Klip video itu juga mengandungi iktibar yang tersirat yang mengelirukan beberapa pihak,” kata Rais.

Katanya, penarikan semula penyiaran klip video itu dibuat kerana ia tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“LPF bukan terletak di bawah tanggungjawab kementerian saya sebaliknya terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang akan menentukan kedudukan penayangan klip video itu sama ada boleh ditayangkan atau tidak,” katanya.

SKMM, agensi di bawah portfolio Rais, sebelum ini menyatakan klip video Undilah belum mendapat kelulusan LPF untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, yang turut menjayakan penerbitan klip itu berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat sayap tersebut dan mereka tidak bersetuju dengan tindakan SKMM.

“Ia tindakan tidak wajar. Ia tidak memerlukan tapisan.... ia sangat subjektif, mereka (SKMM) tidak sewajarnya terlalu sensitif.

“Jangan gunakan pemikiran 1950-an untu bertindak ke atas generasi muda,” kata Wee. Difahamkan Kementerian Dalam Negeri akan membuat keputusan akhir mengenai perkara tersebut.

Banyak pihak termasuk mereka yang menjayakan penerbitan klip itu mengkritik tindakan SKMM yang melarang stesen penyiaran lokal daripada menyiarkan bahan itu.

Kenyataan SKMM itu menyusul laporan The Malaysian Insider yang menyebut bahan terbitan Pete Teo itu dilarang diterbitkan kerana memaparkan kemunculan beberapa wakil rakyat pembangkang dan juga mesej pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah yang menyentuh bahawa Malaysia berhadapan dengan beberapa masalah.

Difahamkan SKMM memberi arahan kepada stesen penyiaran tempatan minggu ini selepas ia mula ke udara sempena sambutan Hari Malaysia.

Selain Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dari Umno dan Wee, turut menjayakan klip itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin yang juga Ketua Puteri Umno. Personaliti lain termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Kira-kira empat juta rakyat negara ini yang layak untuk mengundi belum mendaftar sebagai pemilih.

Turut disenaraikan ialah pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

PAS Tak Akan Paksa Bukan Muslim Terima Undang-undang Islam - Hadi

Kepala Batas, 1 Okt — Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak akan memaksa orang bukan Islam agar menerima undang-undang jenayah syariah Islam seperti mana parti itu tidak memaksa mereka menerima ajaran Islam.

Presiden PAS berkata undang-undang Islam terutamanya hudud telah dimomokkan Barisan Nasional (BN) terutamanya Umno untuk memberikan gambaran negatif tentang hukum itu.

“Hukum jenayah Islam dimomokkan BN yang diketuai Umno melalui media, walaupun manusia sekarang menghadapi masalah sosial yang tenat dan sebagainya, soal jenayah sepatutnya perlu kembali kepada ajaran Allah.

“Kita cuba memperkenalkan undang-undang jenayah syariah terutamanya hudud dan takzir tapi mereka sengaja memetik hudud sahaja dengan tujuan menakutkan orang bukan Islam dan memperbodohkan orang Islam,” katanya ketika beucap merasmikan Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Millenium di sini.

Minggu lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Sebelum ini Nik Aziz berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

Rabu lalu, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas bahawa hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.

Menurut Hadi (gambar), undang-undang jenayah syariah mementingkan keadilan dan setiap keputusan yang dibuat perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

“Undang-undang Allah adalah untuk mendidik, untuk menjatuhkan hukuman tidak mudah kerana ada syarat, mesti melalui proses kehakiman, saksi dan hakim yang membicarakan kes jenayah bukan cari jalan untuk jatuhkan hukuman tapi cari jalan untuk bebaskan orang yang dituduh, itu falsafah Islam. “Dalam hal ini, PAS tidak memaksa bukan Islam menerima undang-undang Islam seperti mana kita tidak memaksa mereka menerima Islam,” katanya. -TMI

Mahkamah Tolak Hujjah Pendakwa Yang Bergantung Keterangan Polis Semata-mata

Pengecaman kawad cam diragui

Petaling Jaya - Anak Datuk Bandar Petaling Jaya dan dua rakannya semalam dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan menyamun seorang pemilik kafe siber tahun lepas.

Gambar: Kafe siber di Taman Sri Subang, Petaling Jaya tempat anak Datuk Bandar Petaling Jaya dan dua rakan didakwa melakukan samun pada 23 Mac 2010. Bagaimanapun, mereka dibebaskan daripada tuduhan itu semalam.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap penuntut kolej, Mohd. Radzak Razali, 22, pemandu peribadi Zulhelmi Mohammad, 23, serta Mohd. Khairul Amir Mohamad Roslan, 23, penuntut kolej yang juga anak kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Rozina dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil pengadu dan mangsa untuk memberi keterangan di mahkamah, sebaliknya pihak pendakwaan banyak bergantung kepada keterangan daripada pegawai polis semata-mata.

"Selain itu pengecaman terhadap tertuduh pertama (Mohd. Radzak) dan kedua (Zulhelmi) semasa kawad cam juga diragui kerana berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan kelima iaitu pegawai penyiasat Inspektor Zaini Mohamad Piah bahawa tangkapan yang dibuat ke atas kedua-dua tertuduh adalah berdasarkan pengecaman orang awam ke atas kereta dan pengecaman tersebut tidak dibuat berdasarkan individu yang ada di dalam kereta itu," katanya.

Rozina berkata, tiada keterangan mengaitkan tertuduh ketiga iaitu Mohd. Khairul memandangkan tertuduh tidak berada di tempat kejadian. -kosmo

Luarnegara: Baru Saja Dihentam Taufan Nesat, Taufan Nalgae Pula Ancam Filipina

Belum pun selesai lepas serangan angin taufan Nesat di Filipina yang mengorbankan 43 orang dua hari lalu. Pemerintah Filipina memperingatkan warganya akan adanya serangan badai lainnya.

Kesan dari taufan Nesat masih terus dirasakan oleh wilayah yang dihentam badai tersebut. Taufan Nesat yang menyerang Pulau Luzon, Selasa 27 September lalu, menyebabkan jutaan orang dilanda oleh banjir.

"Bila Taufan Nalgae akan tiba di wilayah kami masih belum diketahui. Tetapi taufan tersebut akan melanda di wilayah yang sama dilanda Taufan Nesat beberapa hari lalu," jelas Yumul.

Kini, mereka harus bersiap dengan ada angin taufan lain yang segera datang menyerang.

"Masalah banjir selepas Nesat belum selesai, warga kembali diancam dengan cuaca buruk yang akan segera datang," ungkap Wakil Menteri Sains Filipina Graciano Yumul seperti dikutip ABS-CBN, Jumaat (30/9/2011).

Menurut Yumul, ancaman baru ini tentunya menyebabkan keresahan warga yang sudah dilanda kesusahan akibat banjir yang menimpa sejak Nesat menyerang.

Dewan Pengurusan Bencana Nasional Filipina mengatakan jumlah korban yang maut akibat taupan Nesat terus meningkat. Setelah korban yang maut dikhabarkan mencapai 39 jiwa, saat ini korban dipastikan bertambah menjadi 43 jiwa.

Sementara 30 orang lainnya diberitakan masih hilang. Sebagian besar korban yang dilaporkan hilang tersebut adalah nelayan yang melaut ketika taufan Nesat menyerang Filipina.

[Bergambar] Kereta Myvi Terbang Masuk Rumah Orang

Kuantan: “Selepas terdengar dentuman kuat, keadaan di dalam rumah tiba-tiba gelap dengan asap tebal menyebabkan saya menggigil ketakutan,” kata warga emas, Hasnah Yusuf, 72, ketika menceritakan detik cemas rumahnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Peramu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar menuju ke arah Pekan dipercayai hilang kawalan dan merempuh dua rumah.

Kejadian itu juga menyebabkan kenderaan berkenaan terbalik dengan keempat-empat tayarnya berada di atas.

Trak penunda terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kereta berkenaan daripada beranda rumah Hasnah yang hampir roboh akibat rempuhan kuat itu, namun Hasnah tetap bersyukur tiada ahli keluarganya yang tercedera dalam kejadian itu.

Menurut Hasnah, sebelum kejadian, dia berada di ruang tamu sedang menghayun buaian cucunya yang berusia dua tahun manakala anak perempuannya, Nor Asyikin Awang, 36, pula sedang menjemur pakaian di bahagian dapur.

“Akibat terlalu takut, saya tidak mampu berdiri namun tetap mengerah kudrat untuk bangun dan melihat apa yang berlaku sebelum dimaklumkan kejadian sebenar oleh anak perempuan saya yang terlebih dulu keluar menjenguk,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Nor Asyikin berkata, dia terdengar bunyi kuat seperti kereta membrek selama beberapa saat disusuli dentuman kuat dan pada masa sama rumahnya bergegar sebelum dia bergegas keluar melihat apa yang berlaku.

“Saya terkejut mendapati sebuah kereta terperosok dalam keadaan terbalik di bawah beranda rumah yang hampir roboh dan seorang lelaki berada di dalam kereta itu sebelum dia dikeluarkan dengan bantuan orang ramai namun pemandu kereta berkenaan tidak cedera.

“Kejadian ini yang kedua berlaku di rumah kami selepas kejadian pertama pada Februari lalu membabitkan sebuah kereta Proton Satria yang terbabas dan merempuh van milik saya yang diletakkan di depan rumah. Van itu rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

Sementara itu, pemandu Perodua Myvi yang merempuh rumah Hasnah yang hanya ingin dikenali sebagai Rais, 30-an, berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan ke Yayasan Pahang untuk urusan kerja.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta saya hilang ketika saya cuba mengelak seorang pejalan kaki melintas jalan,” katanya yang tidak cedera, namun masih trauma dengan kejadian itu. -hm

Gambar fotoBernama





ADUN Bentayan Dedah Ditawar Habuan Lumayan Jika Jadi Wakil Rakyat Bebas [updated]

ADUN Bentayan mengaku ditawar habuan lompat parti

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bentayan, Johor Gwee Tong Hiang hari ini mengaku ditawarkan habuan lumayan jika lompat keluar daripada parti DAP dan menjadi wakil rakyat bebas.

Habuan itu meliputi ganjaran sejumlah RM150,000, pemberian 50 ekar tanah, elaun tambahan melebihi RM5,000 sebulan, serta skuad khas bagi membantu menyelesaikan masalah kawasan Bentayan termasuk isu majlis perbandaran dan agihan tanah.

Semua tawaran ini dijanjikan hanya jika selepas beliau bersetuju untuk keluar DAP dan mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas, serta bertanding menentang DAP dalam pilihan paya umum akan datang (PRU13). -FMT


ADUN DAP dakwa ditawar RM150,000 lompat parti


ADUN Bentayan, Gwee Tiong Hiang hari ini mendedahkan bahawa tawaran telah dibuat oleh pihak-pihak yang mendakwa mewakili perdana menteri supaya meninggalkan DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebasd.

Dalam satu sidang akhbar di ibupejabat DAP di Kuala Lumpur, Gwee berkata, beliau telah ditawarkan RM150,000 wang tunai, 50 ekar tanah, sekurang-kurangnya RM5,000 elaun bulanan tambahan, sebuah pusat perkhidmatan dan seorang pembantu peribadi jika bersetuju melompat parti.

Menurutnya, seorang lelaki, yang pertama kali menghubunginya melalui telefon pada 26 September dan mendakwa sebagai setiausaha agung persatuan klan Wee Johor Baru, juga memberi jaminan bahawa Gwee, akan diberi sokongan jika bertanding menentang DAP dalam pilihan raya umum.

Gwee mendedahkan trankrip rakaman satu lagi perbualan telefon antara beliau dengan 'ejen' empat hari selepas dihubungi.

Katanya, 'ejen', tersebut, yang mendakwa mewakili perdana menteri, berkata wang tawaran itu akan datang dari pusat, tetapi akan disalurkan melalui persatuan berkenaan.

Rakaman perbualan dalam bahasa Mandarin pada 30 September itu juga diperdengarkan semasa sidang akhbar tersebut.

Gwee berkata, 'ejen' itu, bersama dengan seorang lelaki Melayu yang Gwee dakwa mewakili Jabatan Perdana Menteri, bertemu dengannya pada 28 September untuk buat tawaran pertama RM50,000.

"Lelaki itu berkata dia berasa kesian dengan saya bahawa kami berkongsi nama keluarga yang sama dan dia mahu membantu saya kerana parti saya tidak mahukan saya lagi ...

"Tetapi saya rasa saya masih seorang (ADUN) DAP. Tawaran BN ini adalah tidak betul, saya perlu mendedahkan. Saya boleh memberitahu BN bukan setiap (ADUN) atau ahli parlimen DAP boleh dibeli. Saya sayangkan parti. Parti saya hanyalah DAP," kata Gwee, sambil mengesat air mata. -mk


Lagi Kes Coklat Berulat Ditemui

Karak – Kegembiraan sekumpulan murid menikmati coklat yang diperoleh hasil kesungguhan mereka memenangi pertandingan sempena bulan kemerdekaan anjuran sekolah bertukar menjadi kecoh apabila coklat itu berulat.

Seorang murid, Loqman Haqqim Abdul Jalil, 12, berkata, selepas mendapat coklat yang merupakan hadiah bagi johan pertandingan lagu patriotik dan johan menghias kelas, mereka berkumpul untuk menikmatinya.

Menurutnya, ketika dia sedang asyik membuka bungkusan coklat, dia ternampak ulat berwarna putih keluar dari bungkusan.

“Saya terkejut lalu memaklumkannya kepada rakan-rakan dan cikgu berkaitan perkara itu.

“Cikgu meminta kami berhenti memakan coklat itu dan mengumpulkannya semula,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Nurul Atasya Amran, 12, berkata, dia terperanjat apabila dimaklumkan rakannya berhubung perkara itu memandangkan dia sudah menghabiskan sebungkus coklat.

Menurutnya, saya langsung tidak menyedari kepelikan atau rasa luar biasa ke atas coklat itu kerana terlalu seronok.

“Tetapi apabila diberitahu rakan-rakan terdapat coklat yang berulat, saya hanya mampu berdoa tiada perkara buruk berlaku memandangkan saya sudah menghabiskannya.

“Selepas beberapa jam memakan coklat itu, saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang masalah kesihatan seperti cirit-birit,” katanya.

Manakala Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah terbabit, Anikah Rusida Yusof berkata, pihaknya hanya menyedari coklat itu berulat setelah dimaklumkan oleh murid dan guru kelas terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas beberapa bungkusan coklat itu mendapati terdapat bau kurang menyenangkan dan struktur coklat juga berlainan kerana kelihatan lebam serta terdapat ulat berwarna putih.

“Tidak sangka perkara ini berlaku kerana tarikh luput yang tertera adalah pada 2012 dan pihak sekolah sudah menghubungi pihak pengeluar coklat bagi memaklumkan kejadian itu.

“Dalam masa sama, pihak sekolah juga akan membuat aduan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhubung perkara ini supaya ia tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Anikah berkata, sekotak coklat yang mengandungi antara enam hingga lapan bungkusan coklat itu dibeli dengan harga antara RM4.95 hingga RM5.95 di sebuah kedai di Temerloh pada 24 September lalu. -SH

Laksana Hudud Jika Dapat Undi Majoriti Parlimen

Alor Setar: PAS hanya akan melaksanakan hukum hudud sekiranya mendapat majoriti sokongan dua pertiga di dalam Parlimen.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan hukum hudud di Malaysia mestilah menerusi pindaan perlembagaan iaitu amalan biasa bagi negara demokrasi.

“Keputusan itu diterima semua parti (pakatan pembangkang) dan DAP menghormati apa yang diluluskan di Kelantan pada tahun 1993 dan Terengganu pada 2003, cuma proses pelaksanaannya itu mesti melalui perlembagaan.

“Perlembagaan ertinya menerusi pindaan ke arah perkara yang boleh untuk melaksanakan hudud, iaitu mestilah mendapat dua pertiga sokongan (Parlimen) dan ia proses biasa dalam negara demokrasi.

“Kecualilah PAS mengambil pendekatan revolusi angkat senjata dan tidak berpakat dengan orang langsung. Itu lain lah... kita memilih jalan pilihan raya dan demokrasi mesti melalui proses perlembagaan yang ada,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah di Kompleks PAS Kubang Rotan di sini, malam kelmarin.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan pakatan pembangkang Rabu lalu yang sepakat tidak melaksanakan hudud seperti dicadangkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana pelaksanaannya tidak menepati dasar bersama pakatan itu, Perlembagaan Persekutuan dan kandungan Buku Jingga.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya menghormati pendirian PAS berhubung undang-undang berkenaan tetapi pada masa sama menerima perbezaan pendirian DAP yang membantah pelaksanaannya.

Ditanya adakah keputusan mesyuarat itu diterima sebulat suara oleh ketiga-tiga parti termasuk Kerajaan Kelantan, beliau berkata, mesyuarat berkenaan mencapai kata sepakat dan semua pihak berpuas hati.


“Kita akan memberi penerangan berterusan kepada orang ramai sebab bagi orang Islam syariat Islam termasuk hudud adalah perkara yang perlu dan wajib yakin. Tetapi cara dan kaedah pelaksanaan itu perlu menerusi Perlembagaan.

“Pinda Perlembagaan di Malaysia bukan perkara baru, kita sudah melalui 53 kali pindaan Perlembagaan sejak Merdeka,” katanya.

Sementara itu, dalam ceramahnya, Mohamad Sabu berkata, isu pelaksanaan hukum hudud ini sengaja dimainkan UMNO untuk menarik sokongan pengundi Melayu pada pilihan raya nanti. -bh

Fitnah Terlampau Video Seks Untuk Burukkan ADUN PR

Susun atur di ruang pejabat DUN Kota Anggerik di Seksyen 9 di sini jauh berbeza dengan klip video lucah di dalam sebuah blog pro-umno bertajuk 'Skandal Dalam Pejabat Adun Kota Anggerik Shah Alam’.

Tinjaun TVSelangor mendapati wanita yang didakwa dalam klip bertarikh 19 September bukan petugas di DUN berkenaan.

Klip video itu menyaksikan seorang wanita bertudung dengan seorang lelaki melakukan perbuatan sumbang kononnya di dalam pejabat Dun Kota Anggerik.

Adun Kota Anggerik Yaacob Sapari menjelaskan hasil siasatan mendapati klip video itu menunjukkan lokasi dan dekorasi dalaman pejabat yang jauh berbeza dengan Pusat Khidmat beliau.

"Susun atur dalam video itu sama sekali tidak sama dengan susun atur yang ada dalam pejabat ini, gambar gadis yang ditonjolkan dalam video itu juga tidak sama dengan staf saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika tinjauan TVSelangor di Pejabatnya hari ini. Selain susun atur yang berbeza, klip video jelas tidak berasas kerana terdapat beberapa perkara bercanggah dengan dakwaan blogger itu.

"Jadi saya mengutuk sekeras-kerasnya fitnah lucah ini yang diusahakan oleh mereka, sepatutnya kita bersaing secara sihat dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat, bukannya malakukan aktiviti seperti ini.

"Bagi saya ini bukan serangan kali pertama oleh blogger pro umno terhadap pemimpin pakatan rakyat, Dato Seri Anwar Ibrahim juga dituduh dengan perkara yang lucah sebegini," jelasnya kepada TVSelangor Pembantu Tadbir Pejabat DUN Kota Anggerik, Norlela Idris menafikan sekeras-kerasnya wanita didalam klip itu adalah dirinya kerana pada tarikh berkenaan beliau tiada di pejabat kerana cuti sakit.

"kebetulan pada hari itu saya bercuti kerana sakit, saya ada bukti surat cuti sakit, pada hari itu hanya seorang kakitangan sahaja yang ada di pejabat,"

"Saya juga menafikan sekeras-kerasnya wanita didalam klip itu adalah diri saya kerana saya adalah satu-satunya staf perempuan yang berkhidmat disini, mingkin kerana ingin mengenakan YB (Yaacob), sekaligus cuba mengaitkan stafnya sekali."

Sebelum ini PKR Shah Alam telah membuat laporan polis berhubung perkara ini di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.



Ulasan GB

GB sudah ulas isu ini. Petikan:

Blogger pro-UMNO meneruskan kerja-kerja syaitaniah dengan melakukan fitnah melalui penyebaran video seks - selepas DSAI, Mohd Sabu, diikuti dengan Allahyarham Sarbaini dan terkini ADUN Kota Anngerik, Yaakbob Sapari.

Golongan UMNO nampaknya kian terdesak sehingga sanggup melakukan apa saja untuk mencemarkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Tidak apa yang hendak diresahkan atau ditakutkan dengan fitnah mereka dari golongan yang tidak membaca Al-Quran dan tidak beriman ini.

Dah banyak kali GB membacakan ayat ini, untuk mengingatkan kepada mereka:

اسْتِكْبَاراً فِي الْأَرْضِ وَمَكْرَ السَّيِّئِ وَلَا يَحِيقُ الْمَكْرُ السَّيِّئُ إِلَّا بِأَهْلِهِ
فَهَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا سُنَّتَ الْأَوَّلِينَ فَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ اللَّهِ تَبْدِيلاً وَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ اللَّهِ تَحْوِيلاً


Sambil bersikap sombong di bumi dan berusaha merancangkan rencana jahat, dan tidak ditimpakan dengan rancangan yang jahat itu melainkan orang yang merancangkannya. Maka tiada yang mereka tunggu melainkan seperti berlakunya kebinasaan ke atas orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak akan mendapati perubahan bagi Sunnatullah, dan engkau tidak akan mendapati Sunnatullah itu menyimpang. Fathir: 43

Hari siksaan ke atas mereka tetap tiba sepertimana janji Allah s.w.t.

مَا يَنظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً تَأْخُذُهُمْ وَهُمْ يَخِصِّمُونَ

Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan yang akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar. (Yassin: 43)


Bomoh Didakwa Cabul Pesakit Barah Payudara

Kangar - Seorang pengamal perubatan tradisional berhadapan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan atas dakwaan mencabul seorang pesakitnya pada Ogos lalu.

Gambar: ISA dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret di Kangar semalam selepas didakwa atas tuduhan mencabul seorang remaja perempuan yang hendak mendapatkan khidmat rawatan barah payudara daripadanya.

Isa Man, 67, dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa.

Berdasarkan fakta kes, Isa dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah bilik rumah bernombor 188, Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis pada pukul 10.30 malam 21 Ogos lalu terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ketika menjalankan rawatan di bilik tersebut.

Mangsa yang datang bersama nenek dan ayah saudaranya telah menemui tertuduh bagi mendapatkan rawatan tradisional untuk menyembuhkan penyakit barah payu dara yang dialaminya. -kosmo

Pembunuh Aaliyah Dihukum Gantung Sampai Mati

Seorang penganggur warga Sudan dihukum mati selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, mendapati dia bersalah atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah pada penghakimannya berkata, pembelaan Mohannad Taha Ismail, 26, telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah dan menyifatkan keterangan tersebut sebagai tidak bermerit dan lesu sama sekali.

"Sebenarnya pembelaan tertuduh tidak mencerminkan pembelaan yang munasabah dan tidak boleh diterima akal," tambahnya.

Mohannad Taha yang masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar kelihatan tenang menerima hukuman itu berbeza dengan ibunya yang dilihat mengurutkan dada beberapa kali selepas dimaklumkan oleh seorang jurubahasa.

Ibunya yang hadir ke mahkamah bersama ayah tertuduh, kemudiannya memeluk Mohannad Taha dan dilihat berbisik sesuatu ke telinga pemuda tersebut sebelum dia dibawa keluar oleh polis mahkamah.

Mohannad Taha didakwa atas tuduhan membunuh Aaliyah Ayman Hussin Abdullah pada antara pukul 7.30 dan 8.30 malam, 12 Oktober 2009 di Tower 9/D3/9, Palozzo Tower, Pangsapuri Venice Hill, Batu 9 Cheras, Kajang, dekat sini.

Aaliyah Ayman merupakan anak kepada teman wanita tertuduh, Ellina Maulad Mahather, 26, yang merupakan seorang warga tempatan yang dikenalinya pada April 2008.

Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang, dekat sini, Dr Abdul Karim Tajudin, 62, pada keterangannya mengesahkan mangsa mati akibat pendarahan subdural yang teruk akibat goncangan yang kuat, yang berlaku lebih daripada sehari dalam tempoh seminggu sebelum kematian.

Abdul Karim yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ketiga juga mengesahkan terdapat 34 kesan cedera pada tubuh mangsa yang turut mengalami penderaan secara fizikal dan seksual.

Selain itu, mangsa yang hanya seberat 10.58 kilogram juga patah dua tulang rusuk sebelah kiri, ditumbuk di mulut, digigit pada bahagian tangan, ditampar dengan kuat di telinga dan tangannya digenggam atau dicengkam dengan kuat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sementara Mohannad Taha diwakili peguam J. Kuldeep Kumar pada peringkat pendakwaan manakala di peringkat pembelaan, dia diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Perbicaraan melibatkan 13 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.

Berdasarkan keterangan Ellina, dia memberitahu tertuduh akan menjaga mangsa semasa dia keluar bekerja sebagai setiausaha dan pada hari kejadian, mangsa ditinggalkan dalam keadaan normal walaupun tubuhnya terdapat kesan-kesan kecederaan yang hampir sembuh.

Wanita tersebut juga berkata, tertuduh telah menghubunginya pada pukul 11.30 pagi dalam keadaan yang marah kerana mendakwa Aaliyah telah membuang air kecil merata-rata.

Mohannad Taha yang berhenti belajar pada sekitar Jun atau Julai 2008 sekali lagi menghubungi Ellina pada pukul 2.30 petang hari yang sama mengatakan mangsa tidak dapat melihat dan telah melanggar pintu gelongsor rumah.

Panggilan terakhir pula menurut Ellina diterima pada pukul 4.30 petang dan tertuduh semasa itu berada dalam keadaan cemas telah memberitahu mangsa berada dalam keadaan koma.

Tertuduh seterusnya keluar untuk menjemput Ellina di tempat kerja pada pukul 5.30 petang dengan meninggalkan mangsa keseorangan di rumah.

Ellina juga memberitahu, mereka pulang pada pukul 7.30 petang, iaitu selepas singgah di sebuah pasar raya dan mendapati mangsa terbaring di atas tilam di ruang tamu dalam keadaan yang sukar bernafas dan muka yang lebam serta berdarah.

Tertuduh kemudiannya cuba memberikan bantuan pernafasan dan menekan dada mangsa, bagaimanapun gagal dan menyebabkan darah keluar daripada telinganya.

Ellina hanya berjaya membawa mangsa ke hospital selepas dia dan tertuduh berpakat untuk mengatakan mangsa didera oleh pembantu rumah memandangkan lelaki itu bimbang akan ditangkap polis atas dakwaan membunuh.

Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia apabila mereka tiba di Hospital Kajang, dekat sini.

Pada pembelaannya, Mohannad Taha menafikan dia pernah mendera mangsa, dan mendakwa pernah melihat Ellina memukul anaknya beberapa kali. -mstar

Berita sebelum ini
klik untuk baca




Mahkamah Dapati Utusan Memfitnah Khalid Samad, Zul Kulim Juga Sepatutnya Dinamakan Defenden

Khalid Samad Menang Saman Terhadap Utusan

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, pada Jumaat, menang saman fitnah terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berhubung tulisan yang tersiar dalam akhbar terbitannya dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Dr Prasad Sandosham Abraham memutuskan bahawa Khalid berjaya membuktikan kesnya dan plaintif (Khalid) juga difitnah oleh defendan melalui tulisan berkenaan.

Dalam keputusan lisan beliau, Prasad berkata defendan juga telah memuat turun tulisan berkenaan daripada satu laman blog tanpa memeriksa kandungannya walaupun ia bersifat sensitif.

Dalam saman yang difailkan tahun lepas, Anggota Parlimen PAS itu menamakan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia Datuk Aziz Ishak serta penerbit Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Utusan Melayu, sebagai defendan.

Khalid mendakwa bahawa pada 11 September 2009, Aziz, dengan niat jahat, membenarkan penyiaran dan percetakan perkataan berbaur fitnah terhadapnya di muka depan Utusan Malaysia.

Khalid berkata tulisan bertajuk "Zulkifli bidas Pak Janggut" itu secara langsung atau tidak langsung merujuk kepada beliau, walaupun namanya tidak disebut.

Hakim berkenaan menetapkan 11 Oktober sebagai tarikh untuk memberi keputusantentang jumlah ganti rugi yang perlu dibayar.- BERNAMA


Mahkamah dapati Utusan bersalah fitnah Khalid Samad

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Utusan Malaysia bersalah memfitnah ahli parlimem Shah Alam, Khalid Samad dalam kenyataan yang disiarkan di muka akhbar berkenaan.

Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham Prasad berkata plaintif (Khalid) telah berjaya membuktikan kenyataan itu - yang diambil dari blog ahli parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Nordin - adalah salah.

Hakim bagaimanapun menarik perhatian mengapa ahli parlimen Bandar Baru Kulim itu tidak dinamakan sebagai defendan.


Mahkamah menolak pelindungan bersyarat sebagai pembelaan dalam kes tersebut kerana hakim berkata kehidupan di Malaysia perlu mengambilkira sensitiviti semua kaum, tidak seperti undang-undang di Australia atau United Kingdom.

Dalam penghakiman lisannya, hakim berkata semua defendan bersalah memuat-turun artikel dari blog tersebut tanpa memeriksa kandungannya (berhubung sensitiviti).

Hakim Sandosham menetapkan 11 Oktober untuk mendengar penghujahan tentang gantirugi.

Beliau berkata, mahkamah mendapati menggelar seseorang sebagai Abu Jahal dan sebagai kafir adalah fitnah.

Dalam saman yang difailkan tahun lalu, Khalid, dari PAS, menamakan Utusan Malaysia dan ketua pengarang kumpulan Mingguan Malaysia, Datuk Aziz Ishak dan penerbit Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai defendan.

Ahli parlimen Shah Alam itu mendakwa bahawa pada 11 September 2009, Aziz - selaku ketua pengarang kumpulan kedua-dua akhbar tersebut - dengan niat jahat, membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan fitnah terhadapnya di muka depan akhbar berkenaan.

Beliau juga mendakwa bahawa artikel bertajuk 'Zulkifli bidas Pak Janggut' secara langsung atau tidak langsung merujuk kepadanya walaupun namanya tidak disebut. -mk


Ulasan GB

Kewartawanan adalah satu profesion yang mulia. Tetapi apabila etika kewartawanan dicabuli maka jadilah sang wartawan itu manusia paling hina.

Sebelum ini di dalam entri bertajuk Siapa Yang Bakal Terkena Suweh Penyapu?, GB telah ulas. Petikan:

Kumpulan UMNO yang dahulunya ber"kepala lembu" kini "bertopeng dan berpenyapu".

Penyapu dikatakan sebagai sesuatu simbol yang tidak baik. Di dalam adat bangsa Melayu yang dipercayai sebilangan besar ahli UMNO sendiri, ia pembawa suweh... maka dibawalah penyapu ke hari demonstrasi semalam.

Jangan lupa Khir Toyo yang dahulu menghadiahkan penyapu kepada PBT, tiba-tiba beliau yang ditimpa suweh sehingga sekarang tak habis-habis lagi.

Kerana apa? Mentaliti orang Melayu dah anggap penyapu itu pembawa suweh. "Kamu ialah apa yang kamu fikirkan"!

Maka yang akan ditimpa suweh nanti nampaknya bukan Khalid Ibrahim tetapi kepada penghadiah penyapu itu iaitu UMNO Selangor yang berselindung di sebalik nama NGO yang dikenali sebagai GEMPAK dan WARISAN.

Kalau geng kepala lembu sudah menerima habuannya, tak lama lagi geng penyapu dan mangkuk tandas ini bakal menerima apa yang mereka lakukan bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali namanya.

Allah itu Maha Melihat dan Allah itu Maha Berkuasa. Sebenarnya Allah yang akan mengurniakan habuan pembalasan itu, bukan kerana suwehnya penyapu.

Dia juga yang akan menunjukkan siapa sebenarnya yang bertanduk. MB Selangor & Khalid Samadkah atau geng songkok tinggi bersama UG. Di dalam Islam, yang jahat akan terkena balik kejahatan yang mereka lakukan. Di dalam konteks demonstrasi semalam nampaknya UMNO Selangor yang diwakil oleh geng bersongkok tinggi bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali & kumpulan UG bakal terkena "suweh penyapu" itu disertai dengan wartawan-wartawan & akhbar-akhbar yang menjulang tinggi tindakan mereka itu.

InsyaAllah, pemerhatian GB ini tidak silap.

p/s Bagi sesiapa yang disebut tadi nak elak terkena suweh penyapu tu, kenalah hubungi GB, jangan lupa siapkan pengeras sekali. Kalau tak tanggung jer nanti... hehehe


Tunggu, Utusan tetap tumbang, insyaAllah. Saman Mat Sabu menyusul selepas ini.