3 Ogo 2010

Perak Akan Kembali Ke Pakatan Rakyat Semula

Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama sehari ekoran kekecohan yang timbul ketika perbahasan ke atas rang undang-udang perbekalan tambahan.

Kekecohan timbul apabila Nizar (PAS-Pasir Panjang) enggan duduk selepas tempoh 15 minit untuk beliau berbahas berakhir.

Datuk Ramly Zahari (BN-Manong) bangun meminta Nizar dikeluarkan dari DUN sambil mendakwa bekas menteri besar itu mahu mencetuskan kekecohan di DUN.

Speaker Datuk R. Ganesan yang Nizar enggan merujuknya sebagai Speaker DUN membenarkan Ramly membawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat lalu mengarahkan Nizar keluar dewan.

“YB Datuk Seri Nizar, sila tinggalkan dewan,” kata beliau berulang kali hampir setengah jam.

Nizar yang bertegas enggan keluar DUN, ditemani rakan-rakannya dalam PR yang turut bangun dan berhujah secara serentak.

“YB Nizar, anda digantung dari Dewan selama sehari, sehinggan sidang berakhir hari ini,” kata Ganesan.

Ganesan kemudian mengarahkan bentara DUN membawa Nizar keluar tetapi Nizar enggan mematuhi perintah itu.

Selepas kekecohan yang berterusan beberapa minit, kesemua 27 wakil rakyat PR memulaukan sidang dan meninggalkan DUN serentak bersama Nizar. -TMI

Ulasan GB

Sungguh anih, setelah negeri Perak dirampas secara biadab oleh UMNO BN, hari ini Speaker yang tak bertanding di dalam pilihanraya dengan muka tak tahu malu boleh menggantung seorang wakil rakyat yang sah, yang telah dipilih oleh rakyat.

GB berpandangan bahawa rakyat Perak PASTI akan mengajar UMNO BN dengan teruk selepas ini. Bahawa sistem pilihanraya yang diamalkan oleh Malaysia meletakkan kuasa rakyat mengatasi segala-galanya, bukan Najib, bukan UMNO BN, malah bukan Sultan, bukan hakim mahkamah, bukan polis dan bukan SPR atau SPRM yang akan menentukan siapa perintah Perak. Tetapi, "of the people, by the people, for the people".

ADUN Permatang Bersama Pembantu Peribadi Ditembak Mati

Bekas ADUN Permatang Dan Pembantu Wanita Mati Ditembak

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh, 64 dan pembantunya, Siti Norazah, 43, mati ditembak ketika sedang memandu.

Kereta yang dinaiki mereka merempuh pembahagi jalan. Polis turut menemui sepucuk pistol berisi peluru di dalam kereta mangsa.

Kejadian berlaku di KM476 Lebuhraya Utara-Selatan pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat kesan tembakan di kepala kedua-dua mangsa.

"Siasatan juga mendapati tembakan dilepaskan dari bahagian dalam kenderaan yg dinaiki mangsa, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya yang dipetik melalui status Facebook yang dikemaskini kira-kira pukul 1.30 petang, pada Selasa.

Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Tambah Khalid, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.

"Kita tidak menolak kemungkinan ini adalah satu kes pembunuhan dan bunuh diri, lain-lain butiran kita tak boleh beri setakat ini... biarlah polis siasat dahulu," katanya.

Katanya lagi, hasil maklumat saksi mengesahkan tiada individu lain dalam kereta mangsa ketika kejadian.

Abdul Aziz mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Permatang selama sepenggal sehingga 2008 sebelum digugurkan pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu dan digantikan dengan muka baru, Sulaiman Abdul Razak.

Allahyarham juga, merupakan bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abu Hassan Omar.

Sementara itu, anaknya Anis Abdul Aziz adalah Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia. -mstar foto : BH

Ulasan GB

Seorang bekas YB bersama seorang pembantu peribadi ditembak ketika sedang memandu. Itu tajuk yang menggemparkan hari ini.

Jarang sekali seorang "bekas" YB mempunyai pembantu peribadi, tetapi YB-YB UMNO biasanya masih mengekalkan PA masing-masing sekalipun sudah bersara menjadi YB. Ramai juga YB-YB dan bekas YB yang kadangkala terpaksa berdepan dengan isu rumahtangga kerana kehadiran PA.

Sepucuk pistol ditemui, kata polis. Tapi kali ini tiada parang yang biasanya disebutkan bersama apabila terdapat kes-kes sedemikian. Belum dipastikan siapa pemilik pistol berkenaan. Milik YB, mungkin, kerana tidak mungkin pula penembak meninggalkan pistolnya di situ.

Siasatan sedang dilakukan oleh polis, oleh itu GB tidak mahu mengganggu proses siasatan berkenaan.


Berita Mengenai Kewujudan Buaya Di Port Dickson Adalah Benar

Bangkai buaya tembaga seberat hampir satu tan ditemui di Port Dickson

Memang benar ada buaya di Port Dickson!

Buktinya adalah penemuan bangkai seekor buaya tembaga berukuran 5.48 meter dan ukur lilit 2.43 meter dengan berat lebih kurang satu tan di pantai Ixora Permai, Tanjung Agas, Port Dickson di sini hari ini.

Penemuan itu menggemparkan penduduk sekitar yang sebelum ini hanya mendengar khabar angin mengenai kehadiran reptilia itu di pantai berkenaan sehingga bangkai haiwan itu ditemui terdampar berhampiran Kolej Uniti Pasir Panjang kira-kira pukul 12.45 tengah hari ini.

Kisah buaya di Port Dickson pernah menjadi topik hangat pada Januari lalu apabila seorang pemuda dari Melaka mendakwa kakinya digigit oleh reptilia itu sehingga cedera.

Bagaimanapun, kisah itu dinafikan Jabatan Perikanan negeri serta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) selain kerajaan negeri.

Penduduk yang menemui bangkai buaya tembaga itu, Suhaimi Salim, 35, berkata, ketika itu dia memancing bersama-sama rakannya di lokasi berkenaan.

''Pada awalnya saya nampak satu objek seperti sebatang kayu besar dihanyutkan arus dan terapung di permukaan laut tetapi selepas dihampiri kami terkejut apabila objek itu adalah bangkai seekor buaya yang besar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dia bersama beberapa rakan yang lain menarik bangkai buaya itu ke pantai selepas yakin reptilia berkenaan sudah tidak bernyawa lagi sebelum menghubungi anggota polis dan orang ramai untuk mengesahkan penemuan bangkai berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lokasi kejadian bertukar menjadi 'pesta' apabila orang ramai mula berkumpul untuk menyaksikan bangkai haiwan itu dari dekat.

Kata mereka, selama tinggal di Port Dickson dan berkunjung ke Tanjung Agas, ini adalah kali pertama reptilia sebesar itu ditemui oleh penduduk.

Bagi Mohd. Farez Mohd. Said, 19, dia percaya reptilia berkenaan datang dari kawasan paya bakau Sungai Linggi dan berada di laut untuk mencari ikan di pesisir pantai.

''Kami memang biasa memancing di situ dan penemuan bangkai buaya ini menakutkan kerana ia besar," katanya.

Bagi Azay Mohd. Safri, 30, pula, dia tidak menduga ada buaya 'tersesat' di laut dan ia boleh mengancam nyawa manusia lebih-lebih lagi pada waktu malam dan ketika reptilia berkenaan kelaparan.

''Tentulah kami terkejut kerana ada buaya di laut Port Dickson," ujarnya.

Dalam pada itu Penolong Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd. Zafifi Ramli berkata, pihaknya akan menyiasat kewujudan bangkai buaya di Tanjung Agas itu dan punca kematian haiwan itu.

''Kita akan menjalankan kajian terhadap bangkai buaya itu dengan bantuan kakitangan Zoo Melaka," ujarnya. -UM

Ulasan GB

Apa yang GB paparkan dulu kini terbukti kebenarannya. Bahawa penafian MB Negeri Sembilan mengenai kewujudan buaya di Port Dickson tidak meyakinkan apabila tersiar berita mengenai penemuan bangkai buaya tembaga seberat lebih kurang 1 tan di pantai Port Dickson kelmarin.

Kini apa lagi penipuan yang hendak dilakukan oleh MB Negeri Sembilan?

Sekiranya adanya buaya seberat 1 tan dengan panjangnya 5.48 meter dan ukur lilit 2.43 meter menunjukkan MB Negeri Sembilan selama ini begitu naif dan sengaja berdusta.

Mujur buaya itu diberitakan telah tinggal bangkai, TETAPI jika ada buaya sedemikian besar di Port DIckson maka GB berpendapat memang masih ada lagi "buaya-buaya" yang telah menetap di pantai Port Dickson yang sedang menunggu mangsa seterusnya.

Dan GB sengaja meletakkan perkataan "buaya-buaya" itu di dalam pengikat kata. Bacalah dengan mata hati bukan sekadar mata kepala.


Hishamuddin Hussein Dan Musa Hassan Perlu Letak jawatan

Tangkapan Malam Mansuhkan ISA: Menteri KDN perlu letak jawatan

Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (LLG), Writers Alliance for Media Independence (WAMI) dan Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) mengecam sekeras-kerasnya tindakan keras polis ketika menyuraikan perhimpunan aman memasang lilin untuk menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Seramai 36 orang telah ditangkap pada malam tersebut.

Kami menyeru agar Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein meletak jawatan serta merta untuk bertanggungjawab ke atas tangkapan besar-besaran yang mencabul hak asasi rakyat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri pernah menyatakan pada hujung bulan Jun tahun ini bahawa rang undang-undang pindaan ISA akan dibentangkan di parlimen dan ia akan menjamin hak rakyat berhimpun secara aman. Beliau berkata, "Kalau berhimpun di bawah keadaan aman, kami tidak ada alasan mengenakan terlalu banyak batasan dan tidak membenarkan perhimpunan aman."

Tetapi, kami berpendapat, tangkapan besar-besaran 1 Ogos telah bercanggah dengan janji kerajaan dalam pemindaan ISA, mendedahkan betapa munafiknya kerajaan dalam isu hak-hak sivil rakyat.

Penangkapan yang berlaku pada malam kelmarin, ditambah pula dengan penahanan 589 orang dalam perhimpunan Anti-ISA pada tahun 2009, melonjakkan angka penahanan disebabkan bantahan terhadap ISA mencecah 625 orang. Bilangan yang mengejutkan ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak berkompromi dengan hak perhimpunan aman yang telah diiktiraf oleh sejagat dunia, seolah-olahnya Malaysia telah memasuki zaman negara polis. Slogan "Rakyat didahulukan" telah menjadi janji kosong.

Maka, kami meminta Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negera meletak jawatan untuk memikul tanggungjawab terhadap tindakan polis yang mencabul hak rakyat berhimpunan secara aman.

Setelah Parlimen meluluskan rang undang-undang ISA pada 1960, ISA yang membenarkan tahanan tanpa bicara telah disalahgunakan untuk menindas parti pembangkang dan orang yang berbeza pendapat untuk mengekalkan kedudukan pemerintahan pakatan pemerintah. Sehubungan dengan ini, kami mendeksa kerajaan memansuhkan ISA tanpa sebarang syarat, bukan meminda ISA yang telah terpesong dari objektif asalnya.

*Kenyataan media bersama oleh Toh Kin Woon (Presiden Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG), Wong Chin Huat (Pengerusi Writers Alliance for Media Independence) dan Liau Kok Fah (Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor). -MR

Rakyat Buka Mata Saksikan Kezaliman Polis

Anti-ISA : Kekerasan Polis Buka Mata Rakyat

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh kesal dengan tindakan polis yang melakukan penangkapan dan kekasaran terhadap peserta perhimpunan aman membantah ISA malam tadi.

Beliau menegaskan penahanan itu hanya membuka mata rakyat terhadap kezaliman yang dilakukan pihak berkuasa.

Semua 30 peserta kempen nyalaan lilin anti-ISA yang ditahan polis Petaling Jaya malam tadi dibebas kira-kira jam 4.30 pagi dengan jaminan polis.

Bagaimanapun, nasib mereka, sama ada didakwa di mahkamah atau sebaliknya hanya diketahui kira-kira dua minggu lagi.

"Penahanan ini sebenarnya tidak harus berlaku . program yang kita lakukan adalah perhimpunan yang aman dan tidak ada keganasan. malah ia tidak ada aktiviti ceramah besar-besaran, cuma berkumpul berhimpun menyalakan lilin sebagai tanda kekecewaan kita terhadap ulang tahun ISA hingga tahun yang ke 50," ujar beliau.

Mencerita suasana tangkapan, beliau berkata, mereka digari sebelum dibawa ke IPD Petaling Jaya dan keterangan mereka diambil sehingga sekitar 5 pagi.

Kata Syed Ibrahim, keangkuhan polis dapat dilihat berdasarkan kecederaan tahanan terutama di bahagian leher dan pergelangan tangan.

"Ada beberapa yang ditahan dan dikasari. ada kecederaan di leher dan pergelangan tangan akibat dipegang dengan kuat. saya difahamkan juga ada yang dilututkan kepala dijalan, ada yang dikepakkan tangan. ini cara yang ganas sedangkan kita orang biasa yang tak bawa senjata. kita cuma ada kaki tangan dan mulut sahaja" katanya lagi.

Beliau menganggap polis sengaja bertindak keras bagi membenamkan hasrat dan keinginan rakyat untuk menghapuskan ISA.

Syed bagaimanapun yakin rakyat tidak gentar dengan ancaman pihak berkuasa

"Jadi kita harus sama-sama mengajak masyarakat dan rakyat jangan tunduk kepada ugutan dan ancaman. kita lakukan ini untuk kebaikan dan masa depan negara kita.n jadi kita harus teruskan dengan usaha kita," kata Syed. -TVS


Polis, FRU Mengganas Di Perhimpunan Anti-ISA, 25 Ditahan

Anggota polis menahan 25 peserta Mansuh ISA di sini malam tadi setelah pihak keselamatan menghalau peserta perhimpunan daripada menghampiri Padang Timur dimana perhimpunan aman itu diadakan.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 19 lelaki dan 6 perempuan.

Perhimpunan anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) diadakan sempena ulangtahun ke-50 kewujudan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap zalim itu dan bagi mendesak agar ISA dimansuhkan.

Acara memasang lilin di Padang Timur bertukar menjadi kecoh apabila puluhan anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan bertindak kasar dan ganas menghalau peserta perhimpunan daripada kawasan padang berkenaan walaupun telah mendapat permit daripada pihak Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Peserta mula berkumpul seawal pukul 8 malam di hadapan pusat membeli-belah Amcorp Mall.

Hampir 300 peserta yang berbaju serba hitam berkumpul bagi menyertai perhimpunan tetapi dihalang pihak polis yang menutup jalan-jalan utama ke tempat perhimpunan itu.

Kira-kira 100 anggota polis ditempatkan bagi mengepung kawasan padang bagi menghalang peserta memasuki padang.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan cuba berbincang dengan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,

ACP Arjunaidi Mohamed tetapi dihalau secara keras sehingga ke dalam pusat membeli-belah Amcorp Mall.

Arjunaidi memberikan amaran keras mengarahkan orang ramai supaya bersurai.

Pihak polis kemudiannya bertindak menangkap beberapa orang aktivis yang memakai baju merah dan hitam termasuk Syed Ibrahim, Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard) serta beberapa anggota Angkatan Muda KEADILAN.

Kesemua yang ditahan kemudiannya telah dibawa ke IPD Petaling Jaya.

Peserta perhimpunan kemudiannya bertindak melarikan diri ke dalam kompleks membeli-belah tersebut dan berkumpul semula sambil melaung-laungkan 'anti-ISA' dan 'Mansuh ISA'.

Anggota FRU dan polis yang berpakaian preman bertindak mengejar peserta hingga ke dalam pusat membeli-belah memaksa pihak pengurusannya menutup premis lebih awal.

Mereka kemudiannya memulakan acara memasang lilin dan membaca sajak di dalam kompleks membeli-belah itu.

Arul bersama koordinator GMI, E Nalini meminta kumpulan tersebut bergerak ke Dewan Sivik tetapi malangnya pihak polis bertindak menahan mereka.

Pihak polis juga bertindak secara melulu apabila cuba menahan peserta perhimpunan yang memakai logo anti-ISA.

Salah seorang peguam pemerhati yang mewakili Majlis Peguam, Siti Kassim berkata pihak polis bertindak kejam dan ganas terhadap peserta perhimpunan.

"Pihak polis seperti hilang akal dan tindakan kejam mereka ini tidak boleh diterima," katanya kepada Suara Keadilan.

Pengarah Suaram, Dr Kua Kia Soong menyifatkan tindakan polis kali ini adalah yang paling kejam dan jijik yang pernah beliau saksikan sebelum ini.

"Mereka sepatutnya menjaga keamanan bukannya bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan yang mahukan kerajaan memansuhkan akta drakonian ini.

"Ini tidak, mereka pula dilihat telah menyusahkan para peniaga yang berniaga di dalam kompleks membeli-belah ini," kata Dr Kua dalam nada kesal.

Ahli MBPJ yang juga Ketua Penerangan KEADILAN, Latheefa Koya berkata pihak polis tidak sepatutnya menghalang kerana perhimpunan itu telah mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan.

"Di dalam Perlembagaan, Artikel 10 memberi hak kepada rakyat Malaysia untuk berhimpun, pihak polis nampaknya gagal menghayati artikel tersebut," katanya kepada wartawan.

Perhimpunan anti-ISA juga diadakan di seluruh negara di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan. -SK