27 Mac 2015

Guan Eng Menang Saman RM550,000 Ke Atas Akhbar UMNO & Pemimpin Perkasa


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memenangi kes samannya terhadap Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim dan enam lain berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman dikemukakan Lim selaku plaintif terhadap kesemua defendan dan memerintahkan ganti rugi RM550,000 dibayar kepada anggota Parlimen Bagan, Pulau Pinang itu.

Nor Bee ketika membuat keputusan itu memerintahkan Ruslan, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM150,000 kepada Lim.

Hakim itu juga memerintahkan bekas Pengarang Kumpulan New Straits Time Press (NSTP) Datuk Syed Nadri Syed Harun dan The New Straits Time Press (M) Sdn Bhd membayar ganti rugi yang sama berjumlah RM200,000.


Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu (M) Berhad diperintah membayar ganti rugi sama berjumlah RM200,000 kepada Lim.

Mahkamah juga memerintahkan kesemua defendan membayar kos berjumlah RM60,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Nor Bee, dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati perkataan yang diadukan oleh defendan adalah memfitnah Lim dan mahkamah juga mendapati kesemua defendan gagal dalam pembelaan justifikasi mereka.

Hakim itu berkata kesemua defendan sepatutnya perlu membuktikan ulasan yang dibuat adalah betul dan saksama sebelum ia disiar atau diterbitkan dan bukannya terus menyiarkannya tanpa membuat sebarang pengesahan.

“Dalam kes ini, mahkamah juga mendapati Kumpulan Utusan dan NSTP gagal mempamerkan kewartawanan bertanggungjawab,” katanya, lapor Bernama.

Pada 11 Mei 2012, Lim memfailkan saman fitnah terhadap kesemua defendan selepas mendakwa Ruslan menerbitkan satu kenyataan dan disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011 yang meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahaya memberi penjelasan berhubung pertemuannya (Lim) bersama Datuk Seri Kalimullah Hassan dan pemimpin kanan parti PAP Singapura pada 12 Ogos 2011.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan yang dikeluarkan itu membawa maksud bahawa beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.


Oleh itu, Lim menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas, yang kesemuanya berjumlah RM15 juta serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Ruslan ketika ditemui pemberita sejurus selesai prosiding menerima keputusan yang diputuskan oleh mahkamah dengan hati terbuka.

“Saya akur dengan keputusan mahkamah dan ini menunjukkan mahkamah adalah sebuah badan bebas serta tidak diperalatkan oleh kerajaan,” katanya dan menambah mungkin akan membuat rayuan berhubung keputusan itu.

Lim yang tidak hadir pada prosiding hari ini diwakili peguam Americk Sindhu, pihak defendan daripada Kumpulan Utusan dan NSTP diwakili peguam Lim Qi Si manakala peguam Saleh Ahmad mewakili kesemua defendan daripada Perkasa.

[VIDEO] Hudud: Mahfuz Dihalau Keluar Dewan Selepas Minta Jamil Khir Nyata Pendirian


Mahfuz dihalau keluar Dewan selepas desak menteri nyata pendirian hudud

Datuk Mahfuz Omar dihalau keluar dari Dewan Rakyat hari ini selepas mengingkari perintah Speaker dan menghina Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung isu hudud.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu naik berang dengan Jamil dan memanggilnya "bacul" kerana enggan menyatakan pendirian Putrajaya berkenaan undang-undang Islam itu.

Ketua Penerangan PAS itu diminta meninggalkan Dewan Rakyat selepas enggan duduk dan terus mendesak Jamil walaupun menteri berkenaan sudah menjelaskan tidak dapat menyatakan pendirian mengenainya kerana belum melihat rang undang-undang yang berkenaan.

"Bagaimana kerajaan mahu nyatakan pendirian, rang undang-undang yang dibawa PAS pun masih belum lihat lagi," kata Jamil, merujuk kepada rang undang-undang persendirian yang dijangka dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mahfuz kemudiannya gagal mengawal perasaannya apabila Jamil mendedahkan kerajaan tidak pernah membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 ke Majlis Raja-Raja untuk diluluskan.

Menurut Mahfuz, pindaan kepada akta tersebut, yang diperlukan bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan, sepatutnya dibawa kerajaan semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 11 dan 12 Mac lalu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac selepas dibentangkan pada 18 Mac dan dibahaskan 4 ahli DUN (Adun) serta disokong semua Adun termasuk dari Umno.

The Malaysian Insider melaporkan, jika Majlis Raja-raja meluluskan pindaan itu, Jawatankuasa Teknikal Hudud (JTH) akan membawanya ke Kabinet sebelum seorang menteri membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi meminda Akta 355.

Tetapi tanpa lampu hijau Majlis Raja-raja, kerajaan persekutuan kini tidak boleh membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen bagi meminda akta itu yang ketika ini mengehadkan hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah.

Langkah Hadi, yang juga ahli Parlimen Marang, membawa bil persendirian ke Parlimen juga dikatakan kerana tidak mendapat restu daripada Majlis Raja-Raja untuk ia dilaksanakan.

Mahfuz sementara itu mendakwa Putrajaya menipu dalam isu hudud walaupun pada awalnya dikatakan menyokong undang-undang Islam tersebut.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan pendirian parti itu berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selewat-lewatnya 24 Mac.

Katanya, pengumuman itu akan dibuat Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak tetapi sehingga hari ini masih tiada pendirian rasmi dibuat selain pandangan peribadi beberapa pemimpin parti itu. -TMI








ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan terus. Kini terdedahlah pekung UMNO... mereka bersandiwara di dalam soal hudud yang dibentangkan di DUN Kelantan baru-baru ini.

Dan seperti GB telah utarakan berkali-kali, PAS nampaknya terus diperangkap dan terserlah kebodohan kumpulan yang masih terus mempercayai bahawa kononnya UMNO itu jujur.

Apa lagi yang kumpulan pro-ulama mahu Allah tunjukkan?

InsyaAllah, kebenaran akan terus bersinar lagi....