24 Feb 2008

Pelbagai Bantahan Tapi Tiada Dipedulikan SPR

Oleh malaysiakini


Pelbagai bantahan dikemukakan terhadap pencalonan beberapa calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bantahan itu antaranya dikemukakan oleh calon PAS Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali di parlimen Titiwangsa terhadap pencalonan Datuk Aziz Jamaluddin Mohd Tahir kerana mengesyaki akuan bersumpah Aziz tidak mempunyai duti setem.

Menurut pihak Dr Lo' Lo', Aziz juga melanggarkan undang-undang pilihanraya kerana membayar deposit dengan menggunakan cek peribadi.

Kekecohan berlaku apabila pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) - yang diketuai oleh pegawai pengurus pilihanraya di situ, Che Yahya Che Soh - tidak membenarkan pihak PAS membuat semakan ke atas borang pencalonan Aziz berhubung bantahan tersebut.
Che Yahya berhujah, butiran peribadi mengenai calon-calon di papan pameran sudah mencukupi sebagai asas untuk membuat bantahan.

Beliau juga berkata, telah menerima arahan dari pegawai atasannya bahawa mana-mana pihak tidak dibenarkan melihat kertas pencalonan pihak lain.

Beliau kemudiannya menolak bantahan Dr Lo' Lo' dan mengisytharkan Dr Lo' Lo' dan Aziz sebagai dua calon parlimen Titiwangsa dalam pilihanraya 8 Mac ini.

Sementara itu, satu lagi bantahan dibuat oleh PKR bagi kerusi parlimen Rembau, Negeri Sembilan, terhadap pencalonan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

PKR membantah, dengan menyebut Khairy tidak menulis perkataan ‘bin’ pada kertas pencalonannya.

Pegawai SPR berkata, bantahan tersebut ditolak atas alasan kad pengenalan Khairy tidak mempunyai perkataan 'bin'.

Di DUN Rantau, bawah parlimen Rembau, Azhar Ibrahim dari PAS membuat bantahan terhadap penyandang Datuk Mohamad Hassan kerana meletakkan jawatan Menteri Besar dalam borang pencalonannya.

Bantahan tersebut juga ditolak tetapi alasannya tidak dinyatakan.
Perniagaan dan berniaga

Lagi di Negeri Sembilan, bagi kerusi-kerusi DUN Kota dan Chembong, bantahan turut dibuat oleh PAS terhadap penamaan dua calon BN. Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan alasan bantahan dibuat di Kota.

Di Chembong pula, bantahan dibuat atas dakwaan calon BN Zaiful Bahri Idris tidak menyatakan pekerjaannya sebagai ahli perniagaan. Sebaliknya, PAS mendakwa, Zaiful Bahri telah tersilap menulis 'berniaga'. Bantahan itu bagaimanapun ditolak.

Di Perak, dua bantahan difailkan terhadap pencalonan Datuk Seri S. Samy Vellu di parlimen Sungai Siput kerana beliau menulis pekerjaannya sebagai 'menteri'.

Bantahan itu dibuat atas alasan, ekoran pembubaran parlimen pada 13 Februari lalu, Samy Vellu hanya menganggotai kerajaan sementara dan bukan lagi seorang menteri.
Bantahan itu dibuat oleh seorang wakil DAP serta sebagai wakil berdaftar bagi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bagaimanapun, ia juga ditolak oleh pegawai pengurus pilihanraya dengan alasan Samy Vellu seorang 'pemangku' menteri.

Juga di Sungai Siput, bantahan turut dibuat terhadap Samy Vellu kerana terdapat perbezaan pada tarikh lahirnya yang ditulis dalam kertas pencalonan - 20 Jun - sedangkan tarikh lahirnya yang diketahui umum ialah 8 Mac.

Pegawai pengurus pilihanraya turut menolak bantahan tersebut atas alasan tidak ada perbezaan antara tarikh lahir Samy Vellu pada kad pengenalannya dengan yang ditulis pada borang pencalonan.

Di Batu Gajah, DAP membuat bantahan terhadap calon BN, Cheah Yoke Chan, selepas terdapat perbezaan pada ejaan nama penyokong keduanya seperti yang terdapat pada kad pengenalannya yang ditulis dalam borang pencalonan.

Bantahan tersebut ditolak tetapi sebab-sebabnya tidak diketahui.

Di Kuala Kangsar, satu bantahan dibuat terhadap Datuk Seri Rafidah Aziz selepas didapati beliau hanya menandatangani borang pencalonan asal, sedangkan salinan borang pencalonan tidak ditandatangani.

Pegawai pengurus pilihanraya menolak bantahan tersebut atas alasan terdapat tandatangan Rafidah pada borang pencalonan asal.

PAS berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat peguam mengenai perkara tersebut.

Menang awal: BN - 9, PAS - 1


BN menang tanpa bertanding di tujuh kerusi parlimen, empat di Sarawak dan masing-masing satu di Sabah dan Johor.

Sementara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi di Sabah dan Selangor.

PAS pula menang di DUN Kijang, Kelantan menjadikan semua 10 kerusi dimenangi tanpa berbanding 29 kerusi pada pilihanraya umum lepas.

Pada 2004, 17 calon menang tanpa bertanding bagi kerusi parlimen dan 12 bagi kerusi DUN, termasuk satu kerusi DUN dimenangi PAS.

Berikut calon-calon BN yang menang di peringkat parlimen:

Datuk Azalina Othman Said menang tanpa bertanding kali ini, seperti dalam pilihanraya 2004, bagi kerusi parlimen Pengerang.

Datuk Abdul Ghapur Salleh di kerusi parlimen Kalabakan.

Tan Sri Joseph Kurup di kerusi parlimen Pensiangan

Empat kerusi di menangi di Sarawak: Tanjung Manis, Selangau, Kapit dan Kanowit.

Anak bekas ketua menteri Sarawak, Norah Tun Abd Rahman, calon BN di Tanjung Manis, Joseph Entulu Belaun (Selangau), Alexander Nanti Linggi (Kapit) dan Ago Dagang (Kanowit).

Di peringkat kerusi DUN:

Kerusi Sementa, yang disandang exco negeri Datuk Abd Rahman Palil, kembali kepada BN setelah calon PKR yang diumum untuk bertanding, Suzaimi Salam, tidak muncul


Datuk Ramlee Marbahan (BN) di DUN Bugaya, Sabah.


Calon wanita PAS Wan Ubaidah Omar menang tanpa bertanding di kerusi DUN Kijang apabila calon BN Mustopha Ahmed dibatalkan setelah didapati muflis dan secara automatik gugur kelayakan sebagai calon pilihan raya.


Sebanyak 222 pusat penamaan di seluruh negara dibuka pagi tadi untuk proses pencalonan bagi merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi negeri pada pilihanraya umum 8 Mac.

Semua negeri, kecuali Sarawak, menyaksikan persaingan merebut kerusi-kerusi DUN.

Seseorang calon diperlukan membayar deposit RM10,000 untuk bertanding bagi kerusi parlimen dan RM5,000 untuk kerusi DUN semasa mengemukakan borang pencalonan mereka.

Sejumlah 10,922,139 pengundi berdaftar, termasuk 221,085 pengundi pos, dan kira-kira 600,000 pengundi baru dalam pilihan raya kali ini berbanding 10.3 juta pengundi pada pilihan raya umum 2004.

Sejumlah 30 parti politik layak bertanding dalam pilihan raya umum kali ni.

Sebelum Parlimen dan DUN dibubarkan pada 13 Feb, BN menguasai 199 kerusi, DAP (12 kerusi), PAS (tujuh kerusi) dan bebas (satu kerusi) dengan jumlah 219 kerusi.

Tiga tambahan kerusi parlimen kali ini -- Igan, Sibuti dan Limbang (semuanya di Sarawak) -- berikutan proses persempadanan semula kawasan pilihanraya.


SPR menetapkan 13 hari kempen, bermula hari ini sebaik sahaja selesai proses penamaan calon sehinggalah 12 tengah malam, 7 Mac.

PAS Terengganu cadang saman SPR kerana kelirukan calon

KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Hrkh) - PAS Terengganu kemungkinan akan mengambil tindakan menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana membuat peraturan yang menyusahkan mereka yang mahu menjadi calon dalam pilihan raya umum kali ini.

Timbalan Pesuruhjayanya, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong, berkata pihaknya akan menyaman SPR yang mengeluarkan surat peraturan mengarahkan mereka yang mahu bertanding dalam pilihan raya kali ini, menyerahkan borang mereka dengan dikenakan duti setem

Beliau yang berkata demikian ketika ditemui selepas penamaan calon di Wisma Darul Iman di sini, tengahari tadi, menyifatkan SPR ada niat buruk terhadap pembangkang.

"Sebaliknya apabila berlaku insiden di Marang di mana kesemua lima calon Barisan Nasional (BN) mengemukakan borang tidak berduti setem, dan apabila bantahan dibuat, tiba-tiba SPR mengeluarkan surat yang didakwa bertarikh 23 Februari memansuhkan surat arahan itu yang dikeluarkan pada 21 Februari," ujarnya.

Surat arahan pertama turut menyatakan mereka yang tidak berbuat demikian boleh dibatalkan menyertai pertandingan pilihan raya umum kali ini.

"Kita telah mengemukakan bantahan tersebut ke atas lima calon BN di Marang, bagaimanapun ditolak oleh SPR dengan mengemukakan alasan baru iaitu surat bertarikh 23 Februari, memansuhkan surat arahan 21 Februari.

Bagaimana ini boleh berlaku? Kita tahu di Kuala Lumpur cuti hujung minggu," ujarnya.

Kelima calon tersebut iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato' Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi kerusi Parlimen Marang, Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang, Razali Idris, bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang, Alias Abdullah di Dun Alur Limbat, Zaidi Muda di Dun Bukit Payung dan di Dun Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad.

Sebelum itu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengecam SPR yang menarik kembali arahan supaya semua calon pilihan raya mengenakan duti setem pada borang percalonan.

Arahan tersebut yang didakwanya cuba memerangkap calon pembangkang sebaliknya 'menikam' BN sendiri.

Ia memang cukup menyusahkan kerana surat itu dimaklumkan pada hari Khamis tetapi pembangkang dikatakan tetap berusaha mematuhinya sehingga terdapat mereka yang mahu menjadi calon terpaksa terbang ke Kuala Lumpur berikutan Terengganu cuti umum pada Jumaat dan Sabtu.

Seperti yang dialami calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa di Parlimen Kemaman, beliau terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur dengan kapal terbang pada hari Jumaat apabila mendapat maklumat pada pagi hari tersebut.

Namun begitu berlaku kepada lima calon BN di Marang mengemukakan borang tanpa duti setem. Apabila PAS mengemukakan bantahan sebaliknya mereka mendapat pembelaan SPR.

Dalam surat SPR yang ditandatangani Setiausahanya, Dato' Kamaruzzaman Mohd Nor menyatakan, "Pegawai Pengurus boleh menolak Kertas Penamaan Calon jika sekiranya Akuan Berkanun (Borang 5 atau 5A) yang dikemukakan bersama kertas penamaan tersebut tidak mematuhi peruntukan di bawah peraturan 4 (7) Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981."

Menurut Ustaz Hadi, PAS kesal kerana penarikan balik arahan tersebut tidak dimaklumkan kepada parti-parti pembangkang.

"Kita hanya dengar pegawai berbisik sesama sendiri mengatakan arahan tersebut hanya diterima subuh tadi," katanya.

Tegasnya, setelah didesak beberapa kali, barulah pegawai menunjukkan surat pembatalan arahan tersebut

Gagal kemuka bukti letak jawatan Senator, SPR tolak bantahan PAS


ARAU, 24 Feb (Hrkh)- Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menolak bantahan PAS terhadap calon Umno Dato' Ismail Kassim yang mencabar Timbalan Mursyidul Am Pas Dato' Dr Haron Din di P003 Parlimen Arau kerana tidak dapat mengemukakan bukti perletakan jawatan sebagai Senator.

Menurut peguam Zulmi Sabri yang mengemukakan bantahan tersebut, mendakwa Ismail masih lagi tidak meletakkan jawatan senator dan meminta beliau mengemukakan surat perletakan jawatannya termasuk bukti pembayaran (pay slip) pendapatan untuk dilihat sebagai bukti.

Katanya jika sabit, tindakan ini adalah bertentangan dengan perkara 481(C) Perlembagaan Persekutuan yang mana calon tersebut boleh hilang kelayakan bertanding kerana masih lagi memegang jawatan berpendapatan.

Dalam pada itu, Haron Din ketika ditemui kesal kerana SPR menolak bantahan PAS dan akan berbincang untuk melakukan tindakan susulan terhadap isu terbabit.

"Kita tidak puas hati dengan penjelasan SPR itu dan mahukan keadilan dalam kes ini," katanya.

Dr Haron adalah calon terawal sekali menyerah borang pencalonan di Dewan,Sivik Arau jam 9.11 pagi tadi manakala lawannya yang merupakan adik kepada Menteri Besar Perlis Dato' Seri Shahidan Kassim.

Turut sama menyerahkan borang pencalonan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin bagi mempertahankan kerusi dewan undangan negeri kawasan DUN Sanglang, satu-satunya kerusi yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum 2004.

Selain itu empat calon PAS turut bertanding di kawasan masing-masing seperti Abu Bakar Ali di N11 DUN Pauh;Che Nordin Ahmad di N12 Tambun Tulang yang mencabar Shahidan Kassim, Ahmad Adnan Fadzil di N13 Guar Sanji dan Rus'sele Eizian di N14 Simpang Empat.

Sementara turut menarik perhatian ialah dua beradik,bekas pegawai istana Dato' Hassan Din dan Ishak Din yang hadir memberi sokongan kepada Dr Haron dengan diiringi sejumlah kira-kira 1,500 penyokong yang berarak dari rumah Ustaz Ahmad Ali ke Dewan Sivik Arau.

Pengumuman calon-calon yang bertanding telah dibuat oleh Pegawai Pengurus SPR Mohd Daud Abdul Hamid dan disiarkan secara langsung oleh RTM tengah hari tadi

Kemenangan di Dun Kijang akan menjana kemenangan besar PAS di Kelantan

KENYATAAN MEDIA

Pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telahpun mengisytiharkan calon PAS, bekas Senator Wan Ubaidah bt Omar menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN N. 05 Kijang, Kelantan di Hari Penamaan Calon hari ini. Kerusi DUN Kijang dalam parlimen Pengkalan Chepa ini dahulunya disandang oleh Naib Presiden PAS Dato' Husam Musa, yang kini bertanding di DUN N.17 Salor.

Kemenangan awal 1-0 buat PAS dan Barisan Alternatif di Kelantan ini diyakini akan menyemarakkan lagi semangat dan iltizam para petugas dan penyokong parti untuk melipatgandakan lagi usaha mereka bagi memastikan kerajaan "Membangun Bersama Islam" PAS Kelantan akan kekal untuk penggal yang kelima berturut-turut.

Presiden dan seluruh pimpinan serta ahli-ahli PAS bersyukur dan bergembira dengan perkembangan terbaru ini. Kemenangan yang dicapai oleh wakil Muslimat PAS ini mudah-mudahan akan menjadi inspirasi kepada semua tenaga Muslimat dan wanita PAS seluruh negara untuk memastikan kejayaan calon-calon PAS lain semasa Hari Mengundi pada 8 Mac nanti.
24 Febuari 2008

Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir Sekretariat Media Pilihanraya Umum, PAS Pusat

Rangkuman BERITA PILIHANRAYA TKO

Oleh GB

a12.00 TGHARI
Dua kerusi DUN dan 6 Parlimen telah dimenangi oleh BN.

Sementa

Satu kerusi DUN di Selangor setelah calon ganti PKR ditolak kerana borang pencalonannya tidak lengkap kerana tidak membayar duti setem. Calon asal PKR Suzaimi Salam tidak muncul hingga ke saat pencalonan ditutup.

Bugaya

Datuk Ramlee Marbahan menang tanpa bertanding di DUN Bugaya, Sabah.

Pengerang - BN

Datuk Azalina Othman Said menang tanpa bertanding kali ini, seperti dalam pilihanraya 2004, bagi kerusi parlimen Pengerang.

Kalabakan - BN

Hanya calon BN, Datuk Abdul Ghapur Salleh, menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon bagi kerusi parlimen Kalabakan setelah tempoh pencalonan ditutup.

BN Sarawak - menang empat kerusi

Kerusi-kerusi parlimen Tanjung Manis, Selangau, Kapit dan Kanowit dimenangi BN tanpa bertanding.


12.15 ptg TKO difahamkan UMNO menggunakan taktik kotor dengan menaja calon Bebas bertujuan untuk mewujudkan pertandingan 3 penjuru di Palimen Kuala Terengganu dimana Maimun Yusuf, berusia 89 tahun bertanding atas tiket calon bebas di Parlimen Kuala Terengganu sekali gus menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan calon BN dan Pas.

Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan perlawanan di antara Maimun Yusuf menentang Datuk Razali Idris (BN) dan Mohamad Sabu (Pas).


12.20 ptg - Kawasan Parlimen Putrajaya menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad.


12.30 ptg - Pengerusi UMNO / BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan ditentang calon Pas, Subri Md. Arshad pada pilihan raya umum kali ini di Kepala Batas.

12.35 ptg - Bagi kerusi Parlimen Tumpat, penyandang dari parti PAS Dato' Kamarudin Jaffar akan menentang calon muda BN, Ashraf Wajdi Dusuki, sementara di Dun Pasir Pekan, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato'Ahmad Yakob (PAS)n akan ditentang oleh calon BN, Mohd Noor Yaakob.


Di Dun Kelaboran, Ketua Pemuda PAS Kelantan yang juga penyandang kerusi akan menentang calon BN, Wan Hanapi Wan Daud, sementara di Dun Wakaf Barum calon PAS, Che Abdullah Mat Nawi akan menentang Mohd Rosdi Abdul Aziz dari BN.


Di Dun Pengkalan Kubor pula calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Hassan Berahim akan menentang calon BN, Noor Zahidi Omar.


Terdapat bantahan yang dibuat wakil PAS terhadap calon BN pertamanya ke atas Ashraf Wajdi berikutan kekeliruan alamat tetap dan alamat suart menyurat, begitupun bantahan ditolak.


12.40 ptg PAS menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Kelantan apabila pencalonan calon Barisan Nasional (BN) ditolak.

Calon PAS, Wan Ubaidah Omar menang tanpa bertanding apabila pencalonan calon BN, Mustopha Ahmed ditolak.

Sebelum itu, PAS memprotes pencalonan Mustopha kerana beliau telah menerima notis bankrap Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke atasnya pada 25 November 2005.


SPR akhirnya menerima protes itu.


DUN Kijang berada dalam Kawasan Parlimen Pengkalan Chepa



12.45 ptg
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Awang ditentang oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato' Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi kerusi Parlimen Marang.

Di kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, beliau ditentang oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang, Razali Idris.



12.50 ptg Dun Alur Limbat, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, ditentang Alias Abdullah.


Di Bukit Payung, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah ditentang calon BN oleh Zaidi Muda.

Manakala AJK PAS Kawasan Marang, Mohd Draman menjadi calon PAS di Dun Pengkalan Berangan ditentang oleh Yahya Khatib Mohamad.


12.55 ptg Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad akan menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan calon Pas, Faisal Ali bagi merebut kerusi Parlimen Parit Sulung.


1.00 ptg SAHIH! PAS MENANG TANPA BERTANDING DI KIJANG. DEMIKIAN LAPORAN NTV7 SEBENTAR TADI.


1.05 ptg - "Saya proksi kepada penduduk Lembah Pantai, bukan proksi kepada ayah saya", demikian kata Nurul Izzah yang menentang Datuk Shahrizat Jalil dan calon BEBAS N Periasamy di Parlimen Lembah Pantai.


1.35 ptg Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman akan ditentang oleh Yang Dipertua Pas kawasan Ledang, Rusman Kemin dalam kerusi DUN Serom pada pilihan raya umum kali ini.


2.15 ptg Timbalan Presiden PAS, Ust Nasharuddin Mohd Isa akan menentang Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussindalam pertandingan dua penjuru di kerusi Parlimen Bachok pada pilihan raya umum 8 Mac ini.


2.20 ptg Calon PAS Parlimen Titiwangsa (P119), Dr Lo' Lo' Dato' Mohamad Ghazali melahirkan rasa kesal dengan tindakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang menolak bantahan mereka terhadap calon Barisan Nasional (BN) berhubung peraturan 'stamping' (mematikan setem pada borang Akuan Bersumpah) dan pembayaran wang deposit melalui cek oleh calon BN.


3.15 ptg Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid bakal berdepan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Zamri Yusuf bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu.


3.21 ptg Di Pahang kesemua calon BA, 12 parlimen dan 35 Dewan Undangan Negeri (Dun) bertanding dalam pilihan raya umum pada 8 Mac nanti.


Tiga kawasan Dun bagaimanapun berlaku pertandingan tiga penjuru melibatkan calon bebas iaitu Dun Damak, Dong dan Mentakab. Kerusi Dun Damak diwakili KeADILan, begitu juga Dun Dong manakala Mentakab diwakili DAP.


Pesuruhjaya PAS Pahang Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding di Dun Jengka, beliau ditentang calon BN, Wan Salman Ismail.


dikemaskini sentiasa. Sila refresh setiap 15 minit