20 Jan 2015

[VIDEO] Najib Sepatutnya Jual Jet Bukan Sekadar Tangguh PLKN


PKR saran PM jual jet demi berjimat

Setiausaha agung PKR Rafizi Ramli berkata, langkah penjimatan yang diumumkan kerajaan tidak menangani isu pokok untuk menghadapi kemerosotan pendapatan negara ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Rafizi antara lainnya membangkitkan mengenai pengumuman Najib mengenai penangguhan Program Latihan Khidmat Negara tahun ini bagi menjimatkan RM400 juta.

"Memotong RM400 juta adalah terlalu kecil untuk dilihat kesan.

"RM400 juta itu cuma (harga) dua biji jet sahaja. Baik dia jual dua biji jet itu untuk jimat RM400 juta,"
kata Rafizi dalam satu sidang media hari ini.

Katanya, beliau akan membuat ulasan lanjut mengenai pengumuman kerajaan berhubung kemerosotan pendapatan dan kejatuhan nilai ringgit itu dalam kenyataannya. -mk


[VIDEO] TERBAIK: Taat Kepada Negara Bukan Taat Kepada UMNO -Mejar Zaidi


Mejar Zaidi: Indoktrinasi pesong konsep 'taat'

Ramai anggota keselamatan hari ini keliru di antara konsep taat kepada negara dan taat kepada parti yang memerintah, kata bekas juruterbang TUDM, Mejar Zaidi Ahmad.

Kekeliruan itu, katanya, berlaku akibat proses indoktrinasi yang berterusan sejak lama menerusi ceramah dari pegawai atasan dan media.

Zaidi yang aktif menyuarakan pandangan politiknya menerusi laman Facebook "Sokong Mejar Zaidi TUDM" berkata terdapat di kalangan anggota keselamatan menegur tindakannya itu.

"Kebanyakan sama ada mereka didoktrinkan melalui pelbagai talk (ceramah) atau pelbagai media bahawa ketaatan kepada negara itu adalah ketaatan kepada parti yang memerintah.

"Itu adalah satu konsep yang salah.

"Hari ini pun, kalau buka FB ada yang kata, saya ini tidak taat kepada negara, tidak mengikuti sumpah seorang tentera.

"Jadi mereka tak faham konsep itu. Kita berikrar taat kepada negara, kita bukan taat kepada Umno.

"Jadi itu perkara yang berbeza," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Ditanya untuk memperincikan kaedah indoktrinasikan itu, Zaidi berkata pada masa dahulu mereka kebiasannya dimomokkan dengan konsep "jangan lupa tangan yang memberi rezeki".

"Leadership (kepimpinan) di airforce (tentera udara) ini dia akan keliling pengkalan dan antara isu yang dia akan cakap adalah jangan lupa tangan yang menyuap rezeki ke mulut.

'Itu konsep salah'

"Jadi kita kena faham dari perkataan itu.

"Harap-harap ini tak berlaku lagi. Itu konsep salah," katanya.

Kesedaran terhadap perkara itu mendorong Zaidi untuk menggunakan masanya selepas dipecat daripada perkhidmatan, untuk mengelilingi negara membetulkan perkara itu termasuk dakwaan menipu dalam pilihan raya.

"Jadi kita kena cakap yang ini tidak betul dan kita kena beritahulah faktanya.

"Jadi ramai yang tak faham konsep mentaati ini. Kalau parti yang memerintah itu menipu, awak pun kena ikut menipu, itu tak betullah.

"Sebab itu fokus saya sekarang hendak pergi roadshow (jelajah) atas apa-apa platform sama ada parti politik atau bukan parti politik," katanya lagi.

Zaidi dipecat mahkamah tentera selepas diputuskan bersalah memberi kenyataan media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera.

Beliau juga diputuskan bersalah menyiarkan surat pertukarannya kepada media tanpa kebenaran.

Keputusan itu dijatuhkan sewaktu Zaidi memfailkan semakan kehakiman kesnya itu di Mahkamah Tinggi.

Ia juga dibuat sewaktu peguam Zaidi memboikot kes itu kerana salah seorang ahli mahkamah didakwa meninggalkan komen pada berita kes itu di laman Facebook. -mk

Saya orang Islam, tidak mahu terlibat penipuan, kata Mejar Zaidi

Mejar Zaidi Ahmad yang dipecat Mahkamah Tentera pada Isnin kerana melanggar disiplin memberitahu forum malam tadi beliau tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku.

Zaidi berkata, tindakannya membuat laporan polis terhadap dakwat kekal yang tidak efektif semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu kerana beliau bertanggungjawab untuk menyatakan kebenaran.

"Mereka (kerajaan) mengatakan dakwat itu kekal tetapi saya dapati ia boleh dibasuh. Saya tidak mahu jadi sebahagian daripada penipuan.

"Saya orang Islam dan bertanggungjawab menyatakan kebenaran. Saya tidak menyesal untuk menyatakan kebenaran," kata Zaidi pada satu forum di Kuala Lumpur malam tadi.

Forum malam tadi dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) yang turut menampilkan Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari, Naib Presiden Majlis Peguam Steven Thiru dan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah.

Beliau berterima kasih kepada Bersih 2.0 atas sokongan yang diberikan kepadanya sepanjang perbicaraan.

"Kawan sebenar sukar untuk datang dan Bersih merupakan sahabat dan berada bersama saya sejak awal lagi," katanya.

Zaidi membuat laporan polis berhubung dakwat kekal selepas PRU13 dan diambil tindakan disiplin. Beliau didapati bersalah kerana berkongsi maklumat sulit dengan media.
-TMI (16 Januari, 2014)



Mahkamah Persekutuan Putuskan Mahfuz Menang Saman Ke Atas NSTP


Mahfuz menang saman akhbar RM150K

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar akan mendapat RM150,000 setelah menang saman terhadap New Straits Times Press (M) Bhd dan bekas ketua pengarang Berita Harian Datuk Ahmad Rejal Arbee.

Jumlah ganti rugi itu tidak termasuk faedah.

Ia berkaitan artikel dalam Berita Harian pada tahun 2000 berjudul "Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk".

Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif hari ini menolak permohonan NSTP untuk merayu kerana tiada merit untuk membenarkannya.

Pada Mei tahun lalu, tiga anggota Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009, yang memutuskan artikel itu sebagai fitnah.

Mahfuz diwakili oleh peguam Azhana ‎Mohd Khairuddin manakala NSTP pula diwakili oleh Nad Segaram. -mk

LAPORAN SEBELUM INI


Mahkamah Rayuan kekalkan ganti rugi RM150,000 kepada Mahfuz

Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pembayaran ganti rugi RM150,000 kepada ketua penerangan PAS pusat Datuk Mahfuz Omar bersabit dengan artikel bersifat fitnah yang diterbitkan akhbar Berita Harian pada tahun 2000.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan bekas pengarang kumpulan New Straits Times (M) Bhd (NST) dan Berita Harian Datuk Ahmad Rejal Arbee terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan artikel itu sebagai fitnah.

Dalam keputusannya, Hakim Mohd Hishamudin memutuskan bahawa rayuan yang dikemukakan oleh New Straits Times selaku penerbit Berita Harian dan Ahmad tidak mempunyai merit.

Beliau juga mengarahkan mereka membayar kos guaman RM40,000 kepada Mahfuz.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Aziah Ali dan Datuk Lim Yee Lan.

Mahfuz memfailkan saman sivil terhadap NST dan Ahmad Rejal pada tahun 2002 berhubung artikel bertajuk “Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk” yang disiarkan di muka depan akhbar berkenaan pada 9 Nov, 2000.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena mendakwa bahawa artikel itu bersifat fitnah dan telah mencemarkan reputasinya.

Pada 19 Ogos, 2009, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan saman sivil Mahfuz dan mengarahkan NST dan Ahmad Rejal membayar ganti rugi RM150,000 kepada Mahfuz.

Mahfuz diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga anggota Parlimen Sepang sementara pihak perayu diwakili peguam Nad Segaram.
-BERNAMA May 21, 2014


TGNA Semakin Uzur, Doakan Kesihatannya...


Rakyat Malaysia diminta supaya mendoakan kesihatan mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang semakin uzur.

Perkembangan terkini, di laman sosial Facebook, “Hanya Di Kelate” menunjukkan gambar Nik Aziz, 84, yang terlantar di atas katil dan dikelilingi para tetamu termasuk anak-anak kecil yang menziarahi di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Di dalam status terbaru tertulis, ”Ya Allah, minta doa dari seluruh rakyat moga tok guru Nik Aziz cepat sembuh dan terus diberikan kekuatan. Tok Guru sangat uzur sekarang, teruskan berdoa untuk Murabbi Ummah ini.”

Sebelum ini ketika Kelantan sedang dilanda bencana banjir paling buruk dalam tempoh 30 tahun, Nik Aziz telah dimasukkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Krian kerana uzur.

Anak Nik Aziz, yang juga Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini turut berkongsi mengenai keadaan kesihatan bapanya di akaun Facebooknya.

Menurut beliau, keadaan kesihatan ayahnya dikatakan semakin baik namun beliau masih ditempatkan di HUSM ekoran keadaan banjir yang sedang melanda Kelantan ketika itu.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali turut menziarahi Nik Aziz di hospital pada 27 Disember lalu, manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menziarahi beliau beberapa hari kemudian di rumahnya sebaik saja keluar dari hospital. -FMT