14 Dis 2011

Winnable Candidate: Shahidan Kasim Dah Lompat Masuk Bakul Dulu

Shahidan Kassim: ‘Saya calon boleh menang’

KUALA LUMPUR, 14 Dis — Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau adalah seorang “winnable candidate” iaitu calon boleh menang untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Bekas Menteri Besar Perlis itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis kawasan Tambun Tulang berkata keyakinannya itu berdasarkan pandangan rakyat terutama di kawasan yang diwakilinya.

“Semua rakyat tahu. Kalau tidak ada hal saya tak akan keluar dari Perlis.

“Saya akan duduk dari pagi sampai ke malam di kawasan saya sahaja... jumpa rakyat dan sebagainya. Kalau macam itu bukan ‘winnable candidate’, apa makna sebenarnya?” katanya dipetik Bernama Online.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk bertanding semula pada pilihan raya umum datang, Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Arau, itu terserah kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

Dalam laman Facebook beliau, Shahidan turut mengulas mengenai calon boleh menang bagi semua kawasan di Perlis, dengan memberi penilaian iaitu baik, sederhana baik, buruk, terburuk kepada mereka.

“Ada sesetengah pihak mempersoalkan kenapa saya buat macam itu.

“Masalahnya rakyat dah bercakap (menilai) macam itu. Bukan kita yang buat penilaian tetapi rakyat yang membuat penilaian. Jadi saya bagi pandangan rakyat apa yang berlaku. Kita bercakap (mengenai winnable candidate) tapi tak ada ciri yang jelas,” katanya.

Shahidan berkata bahawa dalam menyelesaikan masalah rakyat, seorang calon boleh menang tidak akan memberi alasan tidak ada peruntukan dan sebagainya, sebaliknya perlu berikhtiar dan berusaha termasuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

“Rakyat tak faham (soal peruntukan) itu. Kalau calon boleh menang, dia perlu berkorban. Tetapi pada masa yang sama hakikatnya ialah bukan semua masalah boleh diselesaikan serta merta oleh kerajaan,” katanya.

Mengenai senario politik semasa, beliau berkata negara tidak akan kekal aman sekiranya kemenangan berpihak kepada minoriti yang mahu menguasai majoriti.

Katanya penduduk Malaysia merangkumi 67 peratus kaum Melayu dan Bumiputera, 22 peratus Cina dan lapan peratus India, jadi kemenangan wakil rakyat mesti mewakili nisbah mengikut kaum untuk keharmonian negara.

“PAS tak akan jadi pemerintah sebab dia minoriti. Kalau nak jadi pemerintah pun DAP. Tapi kalau dia jadi pemerintah pun, bolehkah dia mewakili rakyat secara keseluruhan?” kata Shahidan.

Menyentuh politik di Perlis, beliau berkata, Umno dan BN boleh mengekalkan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang dengan syarat parti dapat memperkukuhkan perpaduan anggota dan mempunyai jentera pilihan raya yang berkesan.

“Kita boleh menang dengan cemerlang dan boleh kalah dengan teruk. Isu dalaman kena diperbetulkan. Begitu juga dengan orang yang menyokong MCA. Tapi di peringkat akar umbi, jentera sudah bergerak di seluruh negeri,” katanya.

Shahidan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri telah menunjukkan jalan terbaik dan memberi contoh kepada kepimpinan peringkat bawahan supaya bermula sekarang bagi memenangi hati rakyat.

“Siapa yang tak mahu ikut perubahan dia mesti diubah,” katanya. -TMI

Najib Sudah Bersedia Untuk Bubar Parlimen, Tunggu Hakim Putuskan Kes Liwat

Anwar ramal PRU-13 sejurus selepas kes liwatnya selesai

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil sebaik sahaja kes liwat dihadapinya sekarang berakhir, sambil menegaskan ia sebahagian daripada usaha menamatkan kerjaya politik beliau.

Ketua Pembangkang itu memberitahu pemberita bahawa beliau bersedia untuk yang terbaik tetapi pada masa yang sama menduga keadaan paling buruk.

“Ini bukan secara kebetulan, akhir kes ini akan secara kebetulan (selari) dengan pilihan raya (umum),” katanya di pekarangan mahkamah.

Hujah penggulungan masuk hari kedua hari ini.

Ini kes liwat kedua membabitkan beliau.

Semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan pilihan raya umum akan berlangsung awal tahun depan.

Mandat semasa hanya berakhir April 2013.

Menjawab hujah penggulungan pihak pendakwa yang menyerang keputusannya memberi keterangan dari kandang tertuduh, Anwar berkata beliau menggunakan perbicaraan untuk mengetengahkan keadaan sistem perundangan yang cacat.

“Saya mengambil kedudukan menerusi saksi-saksi yang kompeten. Satu-satunya usaha mereka ialah memusnahkan doktor-doktor yang ternama di dunia,” kata beliau lagi.

Perbicaraan akan disambung Khamis ini dengan pasukan pembela akan menjawab hujah pihak pendakwa.

Kemudian Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah akan memutuskan tarikh mengumumkan keputusannya. -TMI

Ulasan GB

Ramai yang berpandangan begitu. Tun Mahathir menyatakan awal 2012 - di mana seiring dengan telahan Anwar - pilihanraya dipanggil sebaik saja hakim menjatuhkan hukuman kepada Anwar.

Ramai juga yang meramalkan Anwar akan dijatuhi hukuman penjara - setidak-tidaknya itulah kehendak petualangnya, sekurang-kurangnya integriti Anwar lebur sebelum pilihanraya umum dipanggil.

Namun ramai juga berpandangan jika Anwar dipenjara, maka Pakatan Rakyat akan menang besar di dalam PRU nanti.

Hal ini dibuktikan di dalam pilihanraya 1999 dimana menurut Mahathir sendiri, isu mata lebam Anwar telah menyebabkan 300,000 pengundi telah lari dari menyokong BN kepada pembangkang ketika itu.

Justeru, samada Anwar didapati bersalah atau tidak, suka atau tidak suka - masa depan kerajaan Malaysia adalah untuk Pakatan Rakyat.

Perompak Ditembak Mati Oleh Pengawal Keselamatan Dalam Bank

Maut dalam bank

AMPANG: Mungkinkah Geng Styer yang aktif sejak 1999 dan ditumpaskan polis beberapa tahun kemudian muncul semula apabila seorang lelaki bersenjatakan raifal sama merompak sebuah bank di Jalan Bunga Taman Muda, Pandan Indah, di sini, sebelum ditembak mati seorang pengawal keselamatan bank berkenaan, petang semalam.

Gambar: ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat suspek.

Dalam kejadian jam 3.18 petang itu, seorang lelaki berusia 30-an yang bersenjatakan raifal styer meluru masuk ke dalam bank berkenaan sebelum cuba melarikan wang tunai RM253,000.


Difahamkan, lelaki itu masuk seorang diri di dalam bank manakala rakannya menunggu di luar bank dengan menunggang sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, suspek yang memakai pakaian hitam dan topi keledar masuk ke dalam bank berkenaan sebelum mengugut 20 pelanggan dengan mengacukan raifal styer supaya mendiamkan diri.

“Suspek melompat ke dalam kaunter dan mengugut 12 kakitangan supaya memasukkan wang tunai ke dalam beg galas dibawanya sambil mengacukan senjata.

“Selepas memperoleh wang, suspek cuba melarikan diri, namun ditembak pengawal keselamatan bank berkenaan yang bersembunyi di belakang kaunter dari jarak kira-kira 50 meter,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pengawal keselamatan berkenaan ketika itu bersembunyi dan tidak dapat dikesan suspek.

“Kami akan membuat siasatan terperinci dengan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan dan menyiasat situasi kejadian,” katanya.

Utusan Diperintah Bayar RM200,000 Kepada Lim Guan Eng

Pulau Pinang, 14 Dis: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Utusan memfitnah Lim Guan Eng dan diarahkan membayar RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu serta mendapati
dia tidak anti Melayu atau anti Islam tetapi itu adalah niat buruk Utusan.

Sebelum ini, Guan Eng berkata, "Jika menang, apa-apa wang yang diterima akan kami dermakan kepaada program membasmi kemiskinan.”

Lim Guan Eng pada 6 Januari lalu mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia atas dakwaan sebuah artikelnya memfitnah DAP.

Lim memutuskan untuk menyaman Utusan setelah akhbar harian itu menyiarkan sebuah artikel pada Disember lalu yang mendakwa DAP adalah alat kerajaan asing dan mahu parti berkenaan diharamkan.

Sebelum itu, Lim mengutuskan sepucuk surat tuntutan meminta Utusan menarik balik beberapa perkataan yang didakwa memfitnahnya dalam berita yang bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng'.

Utusan telah menuduh Lim sebagai seorang ‘rasis’ dan ‘anti-Melayu’ dalam artikel yang disiarkan sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat bulan lalu.

Lim dalam notis tuntutanya menafikan dakwaan berkenaan dan memohon akhbar itu menyiarkan permohonan maaf dan pampasan daripada Utusan kerana memfitnahnya.

Kehadiran Lim hari itu diiringi peguam yang juga ADUN Dato Keramat, Jagdeep Singh Deo dan juga beberapa ahli exco dan ADUN yang lain.

Mengenai jumlah pampasan yang dituntut, Lim berkata beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada mahkamah untuk menentukkannya. -HD

Guan Eng menang saman fitnah ke atas Utusan

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mendapati akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bersalah kerana memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung berita yang bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng’ yang diterbitkan pada 20 Disember tahun lalu.

Sehubungan itu, Utusan diarahkan membayar pampasan RM200,000 kepada setiausaha agung DAP itu dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos.

Utusan telah menuduh Lim sebagai seorang ‘rasis’ dan ‘anti-Melayu’ dalam artikel yang disiarkan sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat bulan lalu berdasarkan ucapanya yang bertema 'A People's Government for the Real Malaysians' pada 19 Disember lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk GV Varughese semasa penghakimannya menggariskan tujuh para yang Utusan dikatakan telah memfitnah Lim.

Beliau juga sempat memberi ucapan ringkas mengenai "kewartawanan bertanggungjawab” dan mengingatkan pemberita supaya melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan mengesahkan kenyataan yang diterima jika tidak mahu dikenakan dakwaan memfitnah.

Pada sidang media di luar mahkamah, Lim berkata Utusan memang mahu memfitnah dirinya dan DAP.

Katanya, akhbar milik Umno itu mempersalahkan dirinya dan kerajaan negeri yang diterajui DAP kerana mengusir penduduk kampung dan merobohkan rumah mereka di Kampung Jalan Pokok Asam dan Kampung Genting di Balik Pulau, sedangkan pertikaian sebenar adalah antara pemaju dan penduduk.

"Saya berpendapat jika Utusan adalah media yang bertanggungjawab, ia mesti bertaubat, tetapi saya tidak yakin mereka akan berbuat demikian,” kata Lim.

"Saya fikir mereka akan membanyar pampasan itu dan terus memfitnah saya dan DAP.” -mk



Isy, Pasangan Remaja Dicekup Berasmara Dalam Hume

Lunas - Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) menahan sepasang kekasih berusia 14 dan 16 tahun dalam lubang relung air yang ditinggalkan di belakang premis memproses getah beku di Paya Besar kira-kira jam 2 petang semalam.

Pengurus kilang yang enggan identitinya didedahkan berkata, dia ternampak beberapa pekerjanya memanjat tebing kilang dan mengintai ke luar premis, manakala salah seorang daripadanya memaklumkan kepadanya berhubung perbuatan pasangan terbabit yang sedang berasmara.

“Ini bukan kali pertama pasangan ini melakukan perbuatan sumbang di sini. Sehingga kini pekerja di kilang saya telah menemui mereka sebanyak tiga kali.

“Saya terkejut apabila pekerja saya memaklumkan pasangan itu sedang berbaring sambil berasmara. Saya kemudian memaklumkan kepada unit MPV untuk mengambil tindakan lanjut terhadap pasangan itu,” katanya.

Dalam pada itu, pengurus terbabit berharap pihak terlibat melihat permasalahan perlakuan seks kalangan remaja bawah umur terutama pelajar sekolah dengan lebih serius, bagi mengelakkan berlakunya kes buang anak, rogol dan lain-lain melibatkan mereka.

Difahamkan pihak PPKM menyerahkan kes kepada anggota unit MPV untuk tindakan lanjut sejurus penahanan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ghuzlan Saleh berkata, sehingga kini tidak ada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak terlibat.

Menurutnya polis akan menjalankan siasatan jika ada laporan dibuat terhadap mangsa terlibat.

“Perlakuan seks remaja bawah umur sama ada pasangan perempuan rela ataupun tidak, ia akan diklasifikasikan sebagai rogol dan ini merupakan kesalahan jenayah serius.

“Bagaimanapun waris harus membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dijalankan. Sehingga kini kebanyakan kes rogol melibatkan pasangan kekasih bawah umur berlaku kerana suka sama suka,” katanya.

Katanya, gejala ini mula menular ke pelajar sekolah rendah dan ibu bapa perlu memberikan didikan agama yang sempurna supaya mereka tidak mudah terlibat dalam sebarang perlakuan berunsurkan maksiat dalam usia muda. -SH

Husam Memang Layak Teraju Putrajaya

Bakal calon PAS Kelantan ‘dapat lampu hijau’, Husam mungkin ke pusat

PAS Kelantan telah memuktamadkan senarai pusingan pertama bakal calon yang akan diturunkan pada pilihan raya umum ke-13 termasuk kemungkinan membawa seorang pemimpin kanan negeri bertanding kerusi Parlimen.

The Malaysian Insider difahamkan dewan harian PAS Kelantan yang bermesyuarat malam kelmarin telah bersetuju dengan nama-nama yang dikemukakan kepimpinan kawasan.

Sumber berkata, kali ini kebanyakan nama yang disyorkan diterima tanpa sebarang masalah kecuali bagi kerusi-kerusi Parlimen yang pernah ditanding dan dimenangi PKR tiga tahun lalu.

“Hampir kesemua nama disyorkan telah diterima kelmarin. Setiap kawasan menghantar dua hingga tiga nama, kali ini hampir kesemua nama diterima, di peringat pusingan pertama ini, tiada yang ditolak,” kata sumber dari Kelantan kepada The Malaysian Insider.

Menurutnya, PAS Kelantan kemungkinan akan membawa empat hingga lima muka baru di peringkat negeri.

“Kebanyakan penyandang akan kekali, kecuali empat lima muka baru sahaja,” kata sumber itu lagi.

Minggu lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan bertanding kali ini.

Nik Aziz (gambar), 80, berkata tidak ada sebab untuk beliau berundur seperti desakan beberapa perwakilan semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Kelantan menawarkan 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri.

PAS dan PKR, komponen Pakatan Rakyat, memenangi 39 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 12 bahagian Parlimen pada pilihan raya umum 2008.

PKR bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri dan tiga kawasan Parlimen.

Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali yang bertanding menggunakan tiket PAS mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas kemudian.

“Di peringkat PAS, pusingan awal pemilihan sudah selesai, kemudian apabila dekat dengan pilihan raya, nama-nama ini akan dihantar kepada majlis syura pusat untuk pengesahan akhir,” kata beliau lagi.

Sumber itu juga memberitahu bahawa PAS Kelantan juga mencapai beberapa keputusan, antaranya mengurangkan calon-calon luar bertanding di Kelantan.

“Kali ini, Kelantan memutuskan untuk mengurangkan calon luar bertanding... angka itu akan dikurangkan kali ini berbanding sebelum ini,” kata beliau.

Tiga ahli Parlimen dari Kelantan iaitu Salahuddin Ayub, Nasharudin Mat Isa dan Dr Hatta Ramli, masing-masing naib presiden, bekas timbalan presiden dan pengarah pilihan raya pusat PAS merupakan orang luar yang bertanding kerusi Parlimen negeri itu.

Cadangan ke arah itu pernah dicetuskan sebelum ini.

“Ini antara kelainan yang kita boleh lihat di peringkat Kelantan pada kali ini, dan kemungkinan Datuk Husam Musa akan dibawa ke peringkat pusat,” katanya lagi dengan menyebut bahawa Husam kemungkinan bertanding di Kubang Kerian, kerusi disandang oleh Salahuddin.

Salahuddin disebut-sebut akan bertanding di Pasir Mas ataupun dibawa ke Johor.

Kata sumber, buat masa ini Husam telah dinamakan sebaagi calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen.

Husam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Salor.

“Kemungkinan beliau akan tanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ataupun satu sahaja. Pertimbangan masih diteliti,” kata beliau.

Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri merupakan Naib Presiden PAS dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Ulasan GB

Bukan tujuan GB untuk mengangkat dan mengampu Husam. Tak ada apa yang GB dapat dengan berbuat begitu.

Tetapi Husam Musa memang layak ke Pusat. Beliau ialah asset besar yang PAS ada. TG Nik Aziz pernah berkata:

“Kalau benar sekalipun Husam memohon untuk melepaskan jawatannya, saya tetap tidak akan mengizinkannya, kerana kebijaksanaan dia telah berjaya menyelesaikan pelbagai masaalah rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun politik Malaysia,”ujarnya.

“Husam ni saya nak sebut, Allah Taala buat dia bukan sahaja untuk Kelantan, tetapi untuk Malaysia, budaknya cerdik, pengalamannya banyak, dan pemikirannya jauh ke depan.

“Dan sekarang ni rakyat Kelantan banyak menerima buah fikiran yang baik dari Husam termasuk dengan mengambil tanah Felcra, termasuk mengadakan kifalah yang banyak sehingga dapat dimanafaatkan oleh wasi…OKU dan ramai lagi yang terima banyak manfaat hasil pemikiran Husam.


Itu kata TG Nik Aziz.

GB sebelum ini pernah mengulas di SINI. Petikan:

Salah satu sebab yang menyumbang kepada tumbangnya kerajaan Pusat UMNO BN nanti adalah kerana kezaliman mereka menganiaya rakyat Kelantan dengan merompak hasil royalti minyak yang menjadi hak milik rakyat Kelantan.

Di dalam keadaan apa sekalipun, kerajaan UMNO BN tidak sewajarnya menganak-tirikan kerajaan negeri yan diperintah oleh Pakatan Rakyat, di dalam konteks Kelantan, diperintah oleh PAS.

Hukum kebenaran akan mengambil tempatnya bahawa yang zalim pasti akan menerima balasannya. Allah tidak akan mengizinkan kerajaan yang zalim itu kekal lama. Bacalah Al-Quran. Di sana ada kisah-kisah pemerintahan Namrud dan Firaun yang zalim. Ada kisah Abu Lahab dan Qarun yang tamak haloba. "Baca" juga di sekeliling kita, tumbangnya Marcos di Filipina dan Thaksin di Thailand adalah kerana kezaliman dan salahguna kuasa. UMNO BN juga pasti tumbang. Itu keyakinan kita. Itu keyakinan orang beriman. Itu keyakinan pejuang kebenaran dan keadilan.

Pemerhatian GB: Dan Allah itu Maha Adil. Apabila orang yang dizalimi itu bersabar, Allah akan mengangkat darjatnya. Dan apabila UMNO BN tumbang, anak Kelantan jugalah yang berkemungkinan bakal menjadi orang penting di dalam kerajaan baru di Putrajaya untuk membetulkan semula semua kepincangan dan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan UMNO BN.

Teruskan perjuangan, janji Allah pasti berlaku, kemenangan itu tetap menjadi milik orang beriman.


Musa Hassan Saman Tiga blog Pro-Pakatan Rakyat

Kuala Lumpur - "Laporan polis yang saya buat baru-baru ini untuk memulihkan imej dan maruah saya dan ahli keluarga yang terjejas," kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau yang difitnah berkahwin dengan seorang penyanyi, Syella Kamaruddin pertengahan bulan lalu meminta penulis-penulis blog yang memfitnahnya agar menghentikan perbuatan mereka.

Musa membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya pada 8 Disember lalu setelah mendawa dia difitnah beberapa penulis blog kononnya berkahwin dengan penyanyi tersebut.

"Ini semua (fitnah yang mengaitkan dirinya) adalah cerita palsu. Ia turut memberi kesan dan menjatuhkan maruah keluarga saya.

"Saya harap pihak bertanggungjawab akan menyiasat penyebaran blog berunsur fitnah ini termasuk beberapa lagi blog yang saya tidak namakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Musa, 60, baru-baru ini menafikan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dalam beberapa blog bahawa beliau mendirikan rumahtangga dengan Syella atau Nurshid'la Ahmad Kamaruddin, 26.

Menurutnya, apa yang disiarkan dalam beberapa laman blog termasuk dakwaan beliau membelanjakan sejumlah RM15 juta untuk majlis perkahwinan itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

Beberapa keping gambar perkahwinan Syella dengan pasangannya tersiar dalam beberapa laman blog.

Antara maklumat yang disiarkan dalam blog itu adalah belanja majlis perkahwinan tersebut dianggarkan sebanyak RM15 juta, selain Syella menerima hadiah banglo bernilai RM5 juta, kereta Audi R8 berharga RM800,000, wang hantaran RM111,111, mas kahwin RM1,000, telefon bimbit, set mandian, alat solek, al-Quran, sejadah, telekung dan tasbih.

Berikutan tersiarnya gambar majlis persandingan itu, beberapa komen antara lain turut menghina bekas Ketua Polis Negara itu.

Musa dalam pada itu berkata, beliau turut menamakan tiga laman blog dalam laporan polis yang dibuatnya.

Tiga laman blog itu adalah free malays.blogpot.com, pulakdah.blogspot.com dan abushahid.wordpress.com. -utaranews

Jika Daftar Pemilih Tidak Dibersihkan, "Pengundi Hantu" Jadi Penentu PRU

Pengundi hantu' akan tentukan keputusan PRU-13

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng beranggapan keputusan pilihan raya umum akan datang akan ditentukan oleh ‘pengundi hantu’.

"Kalau kita tidak bercakap mengenai hantu, kita akan dihantui dengan keputusan pilihan raya yang tidak mencerminkan kehendak rakyat.

"Amat bahaya jika cadangan PSC tidak dilaksanakan,” katanya pada wacana anjuran akhbar Sinar Harian yang berjudul ‘PRU-13: Undi siapa jadi penentu’ di Shah Alam, hari ini.

Lim, yang juga adalah ketua menteri Pulau Pinang berkata jika ‘pengundi hantu’ itu ditangkap kuasa sebenar adalah pengundi di Sabah dan Sarawak.

"Mereka akan tentukan sama ada kita boleh dapatkan angka ajiaib - 112 (bagi majoriti di Parlimen),” katanya.

Selain Lim, anggota lain pada panel lima anggota hari ini adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Presiden parti KITA Datuk Zaid Ibrahim dan pensyarah pengajian media Universiti Malaya Prof Abu Hassan Hasbullah.

'Hantu' penentu PRU-13 jika syor PSC diketepi

SHAH ALAM, 13 Dis: Jika syor oleh Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya tidak dilaksanakan, maka pilihan Raya Umum ke-13 akan ditentukan oleh pengundi hantu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bercakap pada Wacana Sinar Harian: PRU-13 Undi Siapa Jadi Penentu, Lim berkata jika 'hantu' ditangkap barulah faktor lain yang akan menjadi penentu.

"Kita mahu apa yang dituntut oleh Jawatankuasa khas Parlimen (PSC) menjadi kenyataan sebelum PRU13 dan biarlah ia berlaku secara adil dan telus.

"Kalau 'hantu' dapat ditangkap maka penentu kemenangan sesebuah parti bergantung kepada undi di Sabah dan juga Sarawak," jelasnya.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga menambah undi Sabah dan Sarawak jugalah yang akan membolehkan parti mendapat angka ajaib 112 di Parlimen.

"Kita Pakatan Rakyat berharap rakyat di Sabah dan Sarawak berani membuat perubahan bagi mencari satu kelainan dalam pemerintahan yang akan datang.

"Rakyat seharusnya memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk parti itu membuktikan kepada rakyat bahawa pentadbiran yang dilaksanakan akan bersikap telus tanpa ada sebarang unsur rasuah serta kroni," sambungnya lagi.

Dalam pada itu Lim Guan Eng juga secara berseloroh memberitahu, Pakatan Rakyat memang tiada pengalaman dalam mentadbir sebuah kerajaan yang besar tetapi Pakatan Rakyat juga tiada pengalaman dalam mengamalkan rasuah serta kroni dalam pentadbiran di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Sementara itu Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar menyifatkan PRU13 adalah bergantung kepada Umno-Barisan Nasional.

"Kalau pada pilihanraya 1999 kita melihat pengundi Melayu menjadi penentu, manakala pada 2008 pula era di mana undi kaum Cina pula penentu kepada kebangkitan Pakatan Rakyat.

"Tetapi untuk PRU13 ini pula ia bergantung kepada Umno-Barisan Nasional, yang mana pada julung kalinya PSC menuntut agar ada perubahan pada sistem pilihanraya dan ini nyata kerajaan terpaksa mengakui bahawa selama ini jelas wujud kelemahan di dalam sistem pilihanraya di negara ini," jelasnya.

Tambah Nurul lagi, rakyat sekarang tidak kira apa jua kaum sedang menunggu adakah kerajaan sanggup melakukan perubahan seperti mana yang dituntut oleh PCS.

Selain Lim Guan Eng dan Nurul Izzahtiga lagi panel adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Presiden KITA Datuk Zaid Ibrahim dan Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya (UM) Prof Abu Hassan Hasbullah.

Manakala moderatornya adalah Dr Maszlee Malik dari Pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). -HD


Ulasan GB

Perkara pokok yang perlu dilaksanakan sekarang ialah daftar pemilih yang meragukan itu perlu dibersihkan.

Dan di dalam waktu yang sama sebuah Suruhanjaya Siasatan perlu dilakukan untuk menyiasat SPR dan JPN yang sudah tercemar dengan pelbagai konspirasi dan salah-laku.

Yang bersalah perlu didakwa dan dihukum seadil-adilnya sebelum rakyat bangkit secara menyeluruh menuntut kebenaran dan keadilan dilaksanakan.


Najib Perlu Buktikan Beliau Anak Jantan, Sahutlah Cabaran Anak Anwar

Najib dicabar bertanding di kerusi 1Malaysia

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan keikhlasan konsep 1Malaysia yang diterajuinya dengan bertanding di kawasan yang masyarakatnya berbilang bangsa seperti kerusi parlimennya di Lembah Pantai.

"Apabila bercakap tentang transformasi dan imej berbilang bangsa di Malaysia, saya berharap Saifuddin akan sampaikan kepada perdana menteri bahawa beliau harus mempertimbangkan kemungkinan bertanding di kerusi yang masyarakatnya berbilang kaum, kerusi 1Malaysia.

"Daripada apa yang saya tahu, Pekan mempunyai 93 peratus pengundi Melayu.

"Oleh itu, selaras dengan janji-janji 1Malaysia dan semua itu, Najib perlu bertanding di kawasan yang mempunyai pelbagai bangsa seperti di Lembah Pantai,” kata Nurul Izzah kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pada sebuah forum politik di Shah Alam.

Cadangan beliau itu mendapat tepukan gemuruh daripada kira-kira 500 hadirin.

Walau bagaimanapun, Nurul Izzah kemudiannya memberitahu Malaysiakini bahawa kenyataannya itu bukan satu cabaran kepada Najib tetapi mahu perdana menteri membuktikan apa yang diperkatakannya.

Nurul Izzah dan Saifuddin adalah penceramah pada forum bertajuk ‘Pilihan Raya Umum ke-13: Undi siapa akan jadi penentu?’

Penceramah lain termasuk Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Ketua parti KITA Datuk Zaid Ibrahim dan pensyarah pengajian media Universiti Malaya Prof Abu Hassan Hasbullah.

Forum itu anjuran akhbaran Sinar Harian.

Nurul Izzah pertama kali dipilih sebagai ahli parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum lalu. Kerusi yang terletak di Kuala Lumpur itu mempunyai campuran penduduk pelbagai bangsa - i 52 peratus pengundi Melayu, 27 peratus Cina dan 18 peratus India.

Bagi Najib pula, beliau dilantik menduduki kerusi Pekan di Dewan Rakyat pada usia yang sangat muda iaitu 23 tahun. Kerusi pilihan raya parlimen di luar bandar di Pahang itu mempunyai 93 peratus pengundi Melayu, 2.7 peratus Cina dan satu peratus India. -mk

Ulasan GB

Benar kata Nurul Izzah, Najib perlu buktikan kata-katanya, perlu terjemahkan segala wawasannya dengan tindakan - tentang transformasi dan imej berbilang bangsa di Malaysia - dengan bertanding di kawasan yang masyarakatnya berbilang bangsa terutama di Wailayah Persekutuan, bukan terperuk di Pekan Pahang.

Dan Najib berkata beliau tidak takut dengan Anwar.

Kini buktikan kata-kata itu. Sahut cabaran anak perempuan Anwar Ibrahim itu!

Beranikah Najib? Jantankah Najib? Atau penakutkah beliau? Pondankah beliau?

Kita tunggu riaksi Najib nanti.

Dan pesanan Mahathir semalam:

Bekas presiden Umno ini berkata orang Melayu tidak wajar menjadi bangsa penakut kerana ia juga akan menjadi penghalang kepada kejayaan mereka.

“Menjadi penakut memalukan. Bangsa yang penakut tidak boleh dibanggakan. Janganlah kita sengaja menjadikan bangsa kita bangsa penakut. Sebaliknya cubalah supaya bangsa kita jadi lebih berani,” katanya lagi. -petikan dari TMI


Tahniah Nurul Izzah yang bijak memerangkap dan mengeluarkan cabaran berkenaan.

[Bergambar] Kuala Lumpur Dilanda Banjir Kilat. Mana Menteri Wilayah Persekutuan?

Keadaan lalu lintas di ibu negara lumpuh hari ini berikutan banjir kilat di Jalan Tun Razak semasa waktu puncak apabila warga kerja pulang, berikutan hujan lebat.

Kawasan sekitar Perpustakaan Negara dilaporkan ditenggelami air dan dikatakan merebak sehingga ibu pejabat agensi berita Bernama yang terletak berhampiran.

Sebelum ini, kawasan itu bukan tempat yang kerap berlaku banjir. Dua minggu lalu Kajang juga dilanda banjir kilat yang terburuk sejak 1971.

Sementara itu, Bernama melaporkan kira-kira 30 kanak-kanak terkandas di sebuah tadika di Jalan Semarak berhampiran pusat latihan TM akibat banjir kilat.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat, dua bot dikerahkan bagi membawa keluar kanak-kanak berkenaan secara berperingkat.

"Sekarang ini kami dalam proses menyelamatkan mereka ke tempat yang lebih selamat sedikit demi sedikit," katanya dipetik agensi berita nasional itu. -mk

Ulasan GB

Mana menteri Wilayah Persekutuan yang hanya sibuk hendak merampas tanah di Kg.Baru sehingga tidak perasan kawasan ibukota mudah dilanda banjir kilat?

Mana wartawan arus perdana yang baru-baru ini sibuk menuduh kononnya berlaku pencurian pasir apabila berlaku banjir di Kajang baru-baru ini semata-mata untuk memburukkan imej Kerajaan Selangor? Ada orang curi pasirkah di tengah-tengah Jalan Tun Abdul Razak?

Foto Bernama: