23 Jul 2011

Konvoi ‘Kuning’ Dari Shah Alam Ke Putrajaya Kekalkan Momentum Bersih 2.0

Putrajaya: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Selangor bertindak mengekalkan momentum Himpunan Bersih 2.0 dengan mengambil inisiatif menyemarakkan semangat perhimpunan itu dengan menganjurkan konvoi ‘kuning’ hari ini. Gambar fail

Menurut Jurucakap Gerakan Rakyat Selangor Khairul Annuar Othman, ini bukanlah kali pertama konvoi ini diadakan.

“Konvoi ini merupakan konvoi kali kedua, bermula di Dataran Shah Alam pada pagi tadi, menuju ke Putrajaya dan dijangka berakhir di Taman Jaya, Petaling Jaya petang ini,” katanya.

Pihak polis juga turut mengawal kawasan sekitar Dataran Shah Alam namun tiada sebarang insiden tidak diingini mahupun tangkapan dibuat.

Seramai 50 peserta menyertai konvoi tersebut dengan memakai pakaian berwarna kuning simbolik kepada perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Beliau berkata, objektif kita untuk menyemarakkan hari kuning, dengan memakai apa sahaja berwarna kuning
. Kami bergerak menuju ke Putrajaya dari Dataran Shah Alam dan sebahagian berpecah di dua lokasi berbeza iaitu Masjid Putrajaya dan Alamanda.

Upacara menghantar belon kuning turut diadakan sebagai upacara simbolik.

“Kami mahu memberi tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak supaya menerima tuntutan Bersih dalam tempoh tiga bulan.

“Jika Najib tidak terima tuntutan Bersih maka kami akan kerah Bersih 3.0 pula,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Kelab Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Abdul Razak Abdul Majid pula mengesahkan bahawa kumpulan NGO terbabit mempunyai kaitan dengan Bersih.

Ujar beliau, 11 kereta dilihat memasuki Masjid Putra ketika tengah hari tadi dan kurang daripada 30 peserta memakai pakaian kuning tanpa sebarang logo Bersih.

“Menyedari kehadiran polis, kumpulan terbabit mula bersurai dan hanya mengambil gambar seolah-olah mereka adalah pelancong,” katanya. -FMT

Halau Bourdon: Tindakan Najib Serupa Dengan Ben Ali

Tindakan kerajaan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak mengusir keluar peguam Perancis, William Bourdon yang mengendalikan kes rasuah Scorpene di Perancis membariskan beliau antara pemimpin diktator dunia.

Pengerusi Soladariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mengingatkan semua pihak betapa perbuatan Najib itu mengulangi kezaliman bekas Presiden kuku besi Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali yang digulingkan rakyat baru-baru ini.

Bourdon sebelum ini pernah dihalau oleh Ben Ali. Kali ini, Najib pula mengulangi tindakan sama. Najib sama seperti Ben Ali, sebaris dengan Ben Ali. Tiada bezanya mereka berdua.

“Kalau tidak salah, kenapa dihantar balik peguam Perancis. Bourdon datang untuk jalankan tanggungjawabnya mendedahkan kontroversi pembelian Scorpene,” kata beliau kepada yang lebih dikenali Chegu Bard kepada KeadilanDaily, hari ini.

Bourdon dijadualkan memberi ucapannya di Selangor malam semalam dan 23 Julai di Ipoh, Perak sebelum ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dihantar pulang ke Paris jam 11.30 malam semalam.

Beliau aktif dalam memulakan prosedur undang-undang di Perancis terhadap bekas pemimpin Serbia atau pemimpin Rwanda yang disyaki melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.

Beliau juga peguam kepada keluarga asal Perancis-Chile yang menjadi mangsa kepada bekas diktaktor Augusto Pinochet, selain mempertahankan beberapa banduan Perancis yang ditahan di Guantanamo.

Manakala Ben Ali pula seorang beragama Islam tetapi tidak melaksanakan pemerintahannya berlandaskan syariat, malah menolak tuntutan al-Quran sebagai dasar sesebuah kerajaan sekalipun majoriti rakyat, beragama Islam.

Ben Ali juga menukarkan Tunisia kepada sebuah kerajaan polis apabila meletakkan seorang anggota polis bagi mengawal setiap 100 penduduk.

Pemerintahan kuku itu berakhir berikutan kebangkitan rakyat hingga menyebabkan Ben Ali dan isterinya, Laila Trabelsi yang popular sebagai First Lady dan boros membelanjakan wang rakyat, melarikan diri ke luar negara.


Mengulas lanjut, Badrul berkata, Najib dalam keadaan semakin terdesak dan kini takut akan bayang-bayangnya sendiri hingga akhirnya memalukan dirinya sendiri.

“Najib semakin tergugat apatah lagi takut pembohongannya terdedah dengan pembongkaran Bourdon,” kata Ketua Cabang Rembau itu. -KD


Usir William Bourdon : Najib Masuk Perangkap

KUALA LUMPUR 23 JULAI : Pengusiran peguam Perancis William Bourdon tidak mematahkan semangat badan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pakatan Rakyat dalam memastikan penyiasatan berkenaan skandal pembelian kapal selam Scorpene diteruskan.

Malah ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyatakan pengusiran Bourdon merupakan satu lagi bukti betapa terdapat sesuatu yang disembunyikan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

“Kita tahu polis Perancis sudah memperoleh sejumlah banyak dokumen penting, mengaitkan (Datuk Seri) Najib Razak, perdana menteri kita yang dicintai. Sebab itu tindakan-tindakan tidak munasabah diambil hari ini (semalam).

"Saya fikir, kerana kerajaan telah mengusir beliau dengan cara yang tidak baik semalam, ia membantu perjuangan kita. Ini semua satu ujian. Saya lihat apa yang berlaku sebelum 9 Julai hingga kini satu ujian kepada pentadbiran Najib. Ujian bagaimana pelan-pelan dan transformasi," kata beliau pada majlis makan malam anjuran Suaram untuk mengumpul dana perundangan bagi menyiasat kes berkaitan di Perancis lewat tahun ini.

Kelmarin, Bourdon berucap di Pulau Pinang pada majlis sama anjuran Suaram dan sepatutnya berucap di sini malam tadi.

Bagaimanapun beliau ditahan sebelum sempat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba pada 11.40 pagi semalam dari Pulau Pinang.

Pengarah Eksekutif Suaram Cynthia Gabriel menceritakan betapa cara penahanan dan pengusiran yang tidak beretika oleh Jabatan Imigresen.

Beliau yang mengiringi Bourdon turut mendedahkan bahawa Bourdon dipaksa menandatangani satu kenyataan dalam bahasa Malaysia dan tidak difahaminya.

Malah, menurut Cynthia, Bourdon turut 'diundang' untuk ditahan di KLIA selama tiga hari kerana dijadualkan balik ke Perancis pada Ahad ini namun ditolak Bourdon yang menggunakan wang sendiri membeli tiket baru untuk pulang ke Perancis jam 11.50 malam semalam.

"Bolehkah anda bayangkan? Pihak berkuasa Malaysia menangkap personaliti Perancis yang dikenali di serata dunia ini selama 3 hari.

"Cara beliau ditangkap juga kejam. Sejurus kapal terbang mendarat dari Pulau Pinang pada 11.50 pagi tadi. Sebelum kami sempat keluar dari Kapal Terbang, 3 pegawai imigresen naik ke kapal dan mengarahkan Wiliam untuk mengikut mereka. Dia (Bourdon) tidak sempat menjejakkan kaki pun dan beliau sudah ditangkap," kata Cynthia lagi.

Pada Disember 2009 Suaram mengemukakan aduan di mahkamah Perancis meminta akses kepada maklumat mengenai perjanjian kerajaan yang ditandatangani Abdul Razak Baginda dari Perimekar Sdn Bhd dan maklumat lain yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di Malaysia.

Mahkamah Perancis menerima aduan itu untuk menyiasat dakwaan rasuah berjumlah RM500 juta dari DCNS kepada Perimekar.

DCNS didakwa membayar komisyen “yang amat tinggi” kepada pegawai kerajaan Malaysia yang terbabit dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.

Bayaran komisyen kepada pegawai kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.

Sementara itu, ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menghabiskan kira-kira 20 minit untuk menggambarkan mengenai urusan pembelian kelengkapan pertahanan sepanjang tiga tahun lalu, berjumlah RM16 bilion, jumlah besar berbanding dengan negara lain di rantau ini.

Pua mendedahkan ia termasuklah RM2.3 bilion untuk membeli 12 unit helikopter Eurocopter EC725, RM6 bilion untuk memiliki kapal rondaan luar pesisir pantai (OPV) dan RM7.8 bilion untuk mendapatkan 257 kereta perisai.

Beliau melahirkan kekecewaannya walaupun menganggotai Jawatankuasa Kirawang Awam di parlimen, penyiasatan seperti ini lazimnya berakhir dengan alasan 'ia rahsia' dan 'tidak boleh menjatuhkan kredibiliti orang lain.'

"Boleh tak kita minta pakar pertahanan ke PAC beri konsultasi, mereka kata tak boleh. PAC hanya panggil pegawai sahaja dan kemudian kes tutup...saya sudah nampak di PAC. sebab itu saya hargai usaha Suaram untuk siasat komisyen RM 500 juta Perimekar ini. Ia amat susah," kata beliau ketika menceritakan pengalaman beliau di bawah PAC. -tvsnews




Ulasan GB

Ringkas sahaj: jika tindakan serupa maka natijah pun tentulah bakal serupa. Maksudnya Najib sudah boleh mengira detik-detik beliau bakal disingkirkan oleh rakyat sendiri.

Isu Keganasan Polis Di BERS✔H 2.0: Tubuh Badan Khas Siasat - Dr Asri

Selepas pendedahan video oleh polis malah puluhan mungkin ratusan video Himpunan Bersih 2.0 yang dimuatnaik orang awam di internet menunjukkan perbedaan, wajarlah satu badan khas ditubuhkan untuk menghentikan spekulasi berterusan mengenai kekerasan yang digunakan oleh polis pada 9 Julai lalu.

Demikian pandangan bekas Mufti Perlis yang juga pemerhati politik di negara ini, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut Asri, selepas pendedahan video oleh polis diikuti pula oleh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Bersih 2.0 bertujuan menggulingkan kerajaan, adalah perlu Putrajaya bertindak menjernihkan keadaan itu supaya tidak timbul pelbagai tuduhan mahupun fitnah mengenainya lagi.

Saya rasa kita perlu hentikan cerita apa yang berlaku semasa Himpunan Bersih 2.0 dan saya cadangkan kerajaan tubuhkan badan analisis yang akan menganalisis secara jujur tentang peristiwa yang berlaku.

“Hasil dari analisis itu kerajaan perlu membuat penilaian semua tindakan mereka terhadap Himpunan Bersih 2.0 dan pertimbangkan cadangan yang diberikan oleh badan itu agar kerajaan dapat mengawal imej mereka
,” katanya pada sidang media selepas Forum Kepimpinan Wanita Dari Perspektif Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di Bangi,semalam.

Jelas Asri lagi, hasil analisis itu juga boleh digunakan oleh Putrajaya sebagai panduan bagi tujuan penambahbaikan sistem sedia ada.

Beliau yang dihubungi portal The Malaysian Insider juga menambah, badan itu haruslah tidak memihak kepada mana-mana pihak dan melakukan analisis secara adil dan saksama.

“Sekarang ada maklumat kata pihak kerajaan yang betul, malah ada maklumat kata penganjur dan pembangkang... kita kena ada jalan penyelesaian,” kata beliau.

Beliau juga turut menggesa pihak kerajaan supaya lebih bersikap terbuka dan memberi ruang media sama ada saluran televisyen kendalian RTM ataupun pemberian lesen siasaran kepada pembangkang.

Di Bahrain, kerajaan mendakwa pembangkang pergi kepada media luar sebab tiada ruang di media dalam negara... jika kita tidak menyediakan ruang kepada pihak lain termasuk pembangkang, mereka pasti akan mencari media alternatif,” jelas beliau.

Pada Khamis lalu, polis yang menayangkan video terpilih ketika Himpunan Bersih 2.0 kepada media menafikan pihaknya melakukan kekerasan kepada rakyat kecuali mengakui bahawa polis telah melepaskan meriam air ke kawasan Hospital Tung Shin.

Ia sebelum itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Menteri Kesihatan.

Namun di sebalik penayangan video itu, polis hakikatnya masih belum menjawab tentang kecederaan puluhan yang menyertai himpunan aman itu termasuk seorang meninggal dunia.

Polis juga gagal memberikan penjelasan bagaimana 12 das tembakan gas pemedih dilepaskan di kawasan tertutup di terowong berhampiran KL Sentral
.

Malah 1,667 peserta himpunan aman ditahan. -tvsnews



Kesan Gelombang BERS✔H 2.0 Lebih Besar dari BERS✔H 1.0

Kesan Bersih 2.0 lebih besar – Presiden PAS

TUMPAT, 22 Julai: Tidak lama selepas Bersih 1.0 diadakan pada November 2007, kerajaan Barisan Nasional (BN) menerima kesannya apabila dinafikan majoriti dua pertiga di parlimen pada pilihan raya umum Mac 2008.

Dan kesan gelombang Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu diakui banyak pihak lebih hebat lagi dirasakan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Bersih 2.0 dirasakan lebih hebat berbanding Bersih 1.0.

”Antaranya penyertaan masyarakat bukan Melayu begitu menggalakkan sekali. Ini merupakan satu gabungan sangat baik.

”Sedangkan kerajaan BN menggunakan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang bersikap fanatik seperti Perkasa dan kumpulan seni silat.

”Namun akhirnya mereka tidak dapat berhimpun dan terpaksa menarik diri kerana tidak dapat sambutan,
” katanya selepas perasmian penutup Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan di Pantai Geting, petang ini.

Ijtimak sehari itu bermula jam 9 pagi tadi. Kesemua pemimpin PAS dan wakil-wakil rakyat hadir. Perasmian pada sebelah pagi diadakan serentak dengan kuliah perdana oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dianggar lebih 20,000 hadir pada ijtimak tersebut apabila lokasi tempat perhimpunan penuh dengan kebanjiran pendokong PAS dari seluruh jajahan.

Menurut Presiden PAS, di negeri lain juga perhimpunan rakyat mendapat sambutan baik di majlis-majlis yang diadakan di seluruh tempat.

”Termasuklah himpunan anjuran Bersih 2.0 yang diatur baru-baru ini mendapat sokongan meluas dari seluruh negara di mana mereka sanggup datang berhimpun di Kuala Lumpur.

”Ini menandakan respon yang sangat positif daripada seluruh rakyat, bukan saja daripada penyokong PAS,” katanya.

Ditanya mengenai peguam Perancis, William Bourdon dilaporkan ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) katanya ia menandakan demokrasi di Malaysia ini masih tidak sempurna.

”Sekiranya kerajaan berada di pihak yang benar, kerajaan betul, apa hendak ditakutkan,” ujarnya.

Bourdon dilaporkan ditahan sebaik tiba di KLIA. Semalam beliau berada di Pulau Pinang bercakap tentang isu kontroversi pembelian kapal selam Scorpene didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit.

Menurutnya peguam terbabit dilihat berani mempertahankan kebenaran dan kalau tak salah apa hendak ditakutkan.

Sebelum itu ketibaan Tuan Guru Abdul Hadi yang anggota parlimen Marang ke Pantai Geting menaiki motosikal berkuasa besar dari Pantai Seri Tujuh.

Mengenai sambutan hangat ijtimak tersebut katanya Insya Allah kita yakin PAS dapat mempertahankan negeri ini.

”Selama ini walau pun pilihan raya tidak bersih di seluruh negara, Kelantan boleh bertahan. Operasi mengangkut pengundi dari luar, gunakan duit, macam-macam serta serangan media.

Kelantan mampu bertahan

”Dalam masa 20 tahun kita boleh bertahan. Sambutan diberikan hari ini menandakan komitmen, iltizam jentera-jentera PAS untuk terus bekerja bagi mempertahankan kemenangan di Kelantan ini, InsyaAllah,” katanya.

Mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi mereformasikan demokrasi di Malaysia dan 8 perkara tuntutan Bersih 2.0, beliau mengalu-alukan sebarang langkah supaya membetulkan amalan demokrasi di Malaysia ini.

”Kita sangat-sangat mengalu-alukan cadangan penubuhan itu,” ujarnya.

Mengulas tiada tanda-tanda pimpinan Datuk Seri Najib Razak mahu menerima 8 perkara tuntutan Berih 2.0, beliau berkata sekiranya mahu menjadi pemimpin bertanggungjawab mesti perubahan dilakukan.

Menurutnya mana-mana pemimpin yang bertahan secara tidak bermoral, jatuh pun juga secara tidak bermoral.

”Lihat seperti apa yang berlaku di Mesir, di Tunisia dan di mana-mana saja di dunia.

”Di Asia Tenggara Marcos dengan Suharto yang memerintah begitu lama dengan revolusi tertutup, akhirnya jagi meletup dan berkaku perubahan.

”Dan kita harap negara kita juga berlaku perubahan dengan cara yang bersopan, pemimpin kena sedar dan insaf,” katanya.

Beliau juga berkata, sekiranya tuntutan mereformasi pilihan raya tidak diterima kerajaan BN, PAS tetap akan menyertai pilihan raya dan menentang sebarang penyelewengan. -HD


IJTIMAK PILIHANRAYA PAS KELANTAN DI PANTAI GETING
Kredit foto: Pemuda PAS Machang








Halau Bourdon: Imej Negara Terjejas Teruk Di Peringkat Antarabangsa

Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hatta Wahari menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia menghalang seorang pengamal undang-undang daripada memasuki negara ini tanpa alasan munasabah akan memburukkan imej negara ini di mata dunia.

Menurut Hatta, dikhuatiri tindakan berterusan seperti itu hanya akan mengakibatkan negara luar terus hilang kepercayaan terhadap Malaysia dari segenap hal.

"Kalau berterusan begini, imej Malaysia akan terus jatuh. Dan saya percaya banyak negara akan menarik diri dari Malaysia untuk melabur. Dan ini akan menjejaskan negara kita," katanya kepada Tv Selangor.

Semalam, peguam Perancis Wiliam Bourdon yang mendedahkan tentang urusniaga kontroversi berkaitan pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan sogokan jutaan ringgit kepada pegawai kerajaan Malaysia, telah dihantar pulang selepas ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau dihantar pulang menaiki pesawat menuju ke Paris pada jam 11.30 malam tadi.

Bourdon sepatutnya menghadiri satu lagi siri penerangan sama di Petaling Jaya malam tadi selepas di Pulau Pinang malam semalam.

Namun tidak semena-mena, Bourdon yang berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan, Sherpa, yang khusus membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan di tahan di KLIA dan dihantar pulang tanpa diketahui alasan yang digunakan.

Mengulas senario itu, Hatta berpendapat, ada sesuatu yang tidak kena sehingga menyebabkan peguam Perancis itu dihantar pulang.

" Saya rasa ada satu masalah yang berlaku sekarang ini. Apakah sebab peguam untuk siasat Scorphene ini dilarang masuk ke Malaysia. Yang keduanya, adakah peguam ini telah melakukan kesalahan sehingga dia tidak dibenarkan masuk ke Malaysia. Dan ketiganya, mengapa tindakan ini diambil tanpa mengambil kira kesannya kepada imej Malaysia itu sendiri,"tegas Hatta.

"Saya rasa tindakan ini sesuatu yang tidak wajar dan harus dikutuk oleh orang ramai,"katanya lagi.

Bourdon, peguam yang mengendalikan skandal Scorpene yang difailkan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dijangka mendedahkan butiran kontroversi mengenai pembelian kapal selam negara dengan firma gergasi pertahanan Perancis DCNS.

Syarikat itu didakwa membayar komisyen “yang amat tinggi” kepada pegawai kerajaan Malaysia yang terbabit dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.

Bayaran komisyen kepada pegawai kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.

Suaram memfailkan kes ini tahun lalu melalui Bourdon dan pasukannya mengenai dakwaan firma pertahanan negara itu membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada Perimekar.

Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamanya adalah isteri Abdul Razak Baginda.

Abdul Razak pula adalah rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang didakwa terbabit dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shaariibuu tetapi kemudiannya dibebaskan. -tvsnews




Zahid, Kalau Telus Kenapa Halang & Halau Bourdon?

Zahid: Jangan buruk imej k'jaan dengan isu Scorpene

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada pihak tertentu supaya tidak memburukkan imej negara dengan menimbulkan isu kononnya terdapat penyelewengan dalam pembelian dua kapal selam 'Scorpene' dari Perancis pada 2002.

Zahid diminta mengulas mengenai kehadiran peguam Perancis William Bourdon di Pulau Pinang kelmarin di majlis penerangan berhubung perkembangan terbaru dalam siasatan perjanjian pembelian kapal selam itu antara kerajaan Malaysia dengan firma pertahanan DCNS yang berpangkalan di Perancis.

"Pembelian kapal selam merupakan sesuatu yang telus sebagaimana yang telah saya nyatakan di Parlimen. Harus ingat, sebarang kesilapan yang dilakukan oleh mereka, jangan ingat mereka boleh lepas," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia sempena Ops Pasir Sabah di Pulau Danawan di Semporna.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya merasakan ada pihak tertentu yang mempunyai niat jahat di sebalik perkara itu dengan memburukkan kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada ketika itu menjadi menteri pertahanan.

"Jangan hanya menuduh sebelah pihak...Kami juga punya bukti bahawa mereka mempunyai niat jahat. Saya akan pertahankan ini. Mereka harus ingat, jangan ingat bahawa mereka sahaja yang benar," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak percaya dengan dakwaan itu. - Bernama




Ulasan GB

Hah, kalau telus kenapa halau peguam Perancis William Bourdon di Pulau Pinang kelmarin?

Tindakan kerajaan menghalau peguam berkenaan JELAS menunjukkan kerajaan Malaysia bodoh dan bangang kerana dengan cara sedemikian nama Malaysia telah tercemar dan imej negara terjejas di mata dunia.

Adalah jelas juga bahawa tindakan menghantar pulang peguam berkenaan adalah kerana ketakutan kerajaan rahsia pembelian kapalselam berkenaan terbongkar, berhubung-kait pula dengan kes kematian Altantuya yang melibatkan beberap figur utama pemimpin negara.

Esok lusa - kebenaran PASTI terbongkar juga walau cuba dihalang dengan pelbagai cara!

BERS✔H: Menunggu Suara Rakyat Menjadi Tsunami

Kau menang kerana kami patuh kepada janji untuk berhimpun secara aman! Oleh Tan Sek Choong

... Pada ketika ini, seorang pemuda Melayu yang kurus, berbaju belang hitam-kuning, memakai cermin mata, dengan beg merah, dan bekas air berwarna kuning - melangkah ke depan dengan perlahan-lahan. Beliau duduk pada jarak lima meter di depan FRU.

Beliau mengangkat tangannya yang sedang menggenggam. Beliau duduk senyap di situ. Genggaman itu bukan untuk protes. Saya yang berada di belakangnya nampak dengan jelas, posisinya itu membawa makna bahawa beliau sedang menunggu polis untuk menggarinya.

Beliau memilih untuk tidak menentang ketika berdepan dengan kekerasan FRU. Beliau berseorangan di situ untuk beberapa minit. Ada orang yang menjerit, "Cepat bawa dia balik, jangan biar dia ditangkap!" Tiga orang kawan Melayu dengan cepat membimbingnya untuk balik ke kelompok manusia. Beliau tidak meronta, beliau menurut saja.

Apabila beliau lalu di sisi saya, saya nampak betapa sedih wajahnya. Saya tidak faham, mengapa wajah seseorang pemuda yang seharusnya bersemangat, sarat dengan kepiluan sedemikian. Mungkin anda anggap saya menghasut sentimen jika saya berkata sedemikian. Namun, benar dalam otak saya muncul sekeping gambar yang pernah saya tatapi, gambar seorang rakyat berdiri di depan kereta kebal untuk menghalang kemaraannya di Tianan Men, China, pada tahun 1989.

Tidak hilang kawal

... Walaupun telah diserang beberapa kali dengan gas pemedih mata, namun kelompok manusia tidak hilang kawal. Saya ternampak beberapa orang pemuda Melayu berlari ke kedai di tepi jalan dan mengetuk pintu besinya dengan kuat. Tingkahlakunya dibalas dengan ratusan orang yang mengherdiknya, "Jangan, jangan buat kerosakan, cepat tengok siapakah mereka! "

Saya tidak pasti beberapa orang pemuda itu sekadar mahu melepaskan geram, atau dihantar pihak lain untuk sabotaj. Tapi apa yang saya pasti, anda gagal membuat kecoh dalam kelompok manusia yang begitu tinggi disiplinnya.

Saya ternampak juga ada yang melontarkan satu botol air mineral dari perhentian bas Pudu Raya, menghala ke arah FRU. Dan ratusan orang yang berada di depan terus menghentikannya. Seorang pakcik Cina berulang kali menjerit, "Jangan lawan mereka, mereka terima arahan, mereka cuma jalankan tugas saja, kita semua rakyat Malaysia, jangan, jangan lawan."

Tiada bendera yang dibakar, tiada harta awam yang dicerobohi. Tiada kedai yang dihancurkan, tiada pintu atau tingkap kaca yang dipecahkan. Apa yang ada hanyalah laungan slogan dan duduk secara aman. Namun kita dilabel sebagai "perusuh". Apakah "keganasan" kami? Saya masih tertanya-tanya sehingga hari ini.

Kerana "aman" itu janji kami

Ratusan anggota polis memasuki kelompok "musuh" yang mempunyai puluhan ribu orang, dan polis pulang dengan tangkapannya yang berjaya. Apakah kamu rasa kamu ni berani dan tangkas? Kamu berjaya keluar dari kelompok kami tanpa dicederakan - ini kerana kami memilih untuk tidak berkasar. Apabila tiga atau empat orang daripada kamu bersama membuli seorang peserta, tahukah kamu bahawa ratusan pasang mata yang sedang memandang, dan ratusan pasang buku lima yang sedang menggenggam di belakang kamu?

Kami tidak berkasar kerana kami patuh kepada janji kami untuk berhimpun secara aman. Melihat prestasi kamu tempoh hari, semua rakyat tertanya-tanya, mengapa kamu sering terlambat apabila berlaku rompakan atau kes pencurian, dan apabila berdepan dengan rakyat jelata yang tidak bersenjata, kamu seolah-olah menelan pil berwarna biru itu, berkobar-kobar semangat, malah boleh menawan kelompok manusia 10 ribu orang? Apakah kami ini senang dibuli?

Bukankah tugas FRU adalah untuk menyuraikan orang ramai? Jadi mengapa pula menyekat jalan di Bukit Bintang apabila peserta perhimpunan diusir ke Jalan Pudu? Di kawasan berdekatan perhentian bas Pudu Raya, lorong di tepi jalan dipagari tiang besi kira-kira lima kaki tingginya. FRU melepaskan gas pemedih mata bertubi-tubi. Peserta mencari perlindungan di Hospital Tung Shin kerana ia adalah satu-satunya jalan keluar yang utama. Tak malukah wahai Menteri mengecam peserta kerana menggangu hospital?

"Kali pertama bayar cukai"

Saya mengikut orang ramai untuk berehat di kawasan rumpun di depan hospital. Hujan mula turun. Mungkin langit juga tidak merestui tindakan mereka, mencurahkan air hujan untuk menjirus bahan kimia yang berada pada tubuh kami.

Seorang gadis yang berada di belakang saya bengkak dan merah matanya. Sambil mengesat matanya, beliau berkata, "Tahun ini kali pertama saya bayar cukai." Kawan di sebelahnya pula mempersendakannya, "Jadi kerajaan pun pulangkan kepada kamu sekarang!"

Kami ketawa terbahak-bahak bersama, dan gadis itu mencungkil senyuman pahit. Menurut khabar, sebutir peluru gas pemedih mata berharga RM300, dan hari ini kerajaan dengan murah hati menghadiahkan kepada rakyatnya. Puluhan bilion ringgit dibelanjakan untuk pertahanan negara, selain jet yang tidak boleh terbang, kapal selam yang tidak boleh selam - mungkin kami bersyukur dengan gas pemedih mata dan meriam air yang terbukti memadai harganya.

Gas pemedih mata dilepaskan lagi. Sebutir peluru gas itu jatuh pada tempat yang tidak jauh daripada kami. Asapnya tersebar ke hospital. Asap yang berkepul-kepul juga berlegar di kawasan masuk Rumah Bersalin Cina. Jangan kata kepada saya bahawa tiada gas pemedih mata dilepaskan ke arah hospital, jangan pula kamu kata kamu tidak tahu apa itu "impact zone" gas pemedih. Yang Berhormat Menteri Kesihatan, jikalau saya melontar sebiji bom tangan pada jarak 1 kaki di depan kamu, jangan pula menyalahkan saya jikalau kamu dibom mati. Ini kerana bom tangan saya tidak menyentuh anda. Mungkin anda boleh menyalahkan angin yang meniupkan kuasa bom tangan ini ke arah kamu! (Ketika menafikan penembakan gas pemedih ke dalam perkarangan hospital, Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai mendakwa gas pemedih mata mungkin ditiup angin ke dalam kawasan hospital.)

Selepas hujan berhenti, kelompok orang ramai hanya tinggal separuh dari asalnya. Ramai yang memandang dari dalam bangunan hospital, dan kebanyakannya sudah keletihan. Beberapa orang pemimpin parti politik cuba berunding dengan polis, dan peserta di belakangnya menjerit "Buka jalan, buka jalan!"

Tidak lama kemudian, orang di depan memberitahu bahawa polis bersetuju untuk membuka jalan kepada peserta. Namun, apabila peserta berkumpul semula di Jalan Pudu, polis pula mengambil kesempatan untuk melepaskan meriam air. Peserta menjerit, "Polis tipu, tipu!" Apa peliknya? Sedangkan pimpinan tertinggi kerajaan boleh berdolak-dalih, apa pula orang bawahnnya?

Peserta terpaksa bersurai selepas meriam air dilepaskan. Polis mula menyerbu ke dalam hospital untuk menangkap peserta perhimpunan. Kenyataan dari kerajaan (hujah Menteri Kesihatan) mendakwa bahawa tiada tangkapan dibuat di dalam hospital, sekadar menghantar peserta yang cedera masuk ke hospital untuk rawatan.

Nampaknya dalam masa sekelip mata, munculnya ramai pakar Photoshop dan Video Editing, dan kesemua video dan gambar menjadi palsu. Mengapa pula polis menghantar ratusan orang ke dalam rumah bersalin? Adakah ratusan lelaki dan perempuan itu mahu bersalin? Mungkin gas itu bukan untuk memberi kesan memedihkan mata, tetapi merangsang untuk bersalin.

Saya terserempak dengan seorang kawan yang tidak saya jumpai untuk 10 tahun kebelakangan, maka saya mengikutnya untuk berlari ke Jalan Robertson. Terdapat sebuah gereja di hujung jalan itu. Sekumpulan muslim sedang bersembahyang di depan gereja itu, menghala ke Mekah. Dua orang pakcik India dalam gereja membuka paip air agar orang yang mencari perlindungan di situ boleh mencuci mukanya. Apa itu perpaduan kaum? Apa itu keharmonian agama? Kawan yang menggagaskan 1Malaysia itu harus turun ke perhimpunan ini untuk lihat sendiri.

Puluhan anggota polis datang dari belakang, pakcik India ini membuka pagar besinya untuk kami lalui. Kami berjalan ke belakang gereja, melangkaui tembok yang tingginya lima kaki, dan duduk untuk berehat di lorong itu. Maka tamatlah perhimpunan yang saya sertai ini, untuk diri saya.

Akhirnya saya ingin berkata kepada badut yang mendakwa "apa yang susah sangat terkena sebutir gas pemedih mata". Benar, mungkin dari kesudahannya, kamu menang dalam perhimpunan ini. Rakyat gagal sampai ke Stadium Merdeka, memorandum gagal diserah ke Istana Negara, malah peserta disuraikan tanpa belas kasihan. Tapi jangan lupa, kemenanganmu disebabkan pilihan kami untuk tidak membalas dengan keganasan.

Saya tetap yakin, apabila suara rakyat menjadi tsunami, anda gagal menghalang dengan meriam air yang kuat dan gas pemedih yang memedihkan. Siapa yang menang dan siapa pula yang kalah kelak, kita tunggu dan tengok! -MR

Tak Syak Lagi, Memang Kuning Yang Sambut Najib Di London Tempohari

Najib kata beliau jelaskan PM UK niat sebenar Bersih

SEPANG, 22 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah menjelaskan kepada rakan sejawatannya di Britain, David Cameron mengenai niat sebenar perhimpunan anjuran Bersih 2.0 di ibu negara 9 Julai lepas, semasa beliau melakukan lawatan rasmi empat hari ke United Kingdom baru-baru ini.

Dalam pertemuan di No. 10 Downing Street Khamis lalu, Najib berkata Cameron banyak bertanyakan soalan kepada beliau termasuklah berkaitan perhimpunan itu ketika lawatan itu berlangsung.

“Saya beritahu kepada Perdana Menteri United Kingdom (that we have room for dissent) (kami memberi ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati) di Malaysia,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib berkata sebagai kerajaan, soal ketenteraman awam harus dijaga dan pada masa sama memberi ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati.

“Saya beritahu beliau kita tawar sebuah stadium tetapi mereka tolak. Mereka mahu Stadium Merdeka kerana tujuannya hanya mahu berarak. Selepas itu lakukan provokasi terhadap polis. Biar polis naik berang. Apabila polis bertindak, mereka ambil gambar masuk laman YouTube dan mereka katakan kekejaman polis,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata Cameron juga dimaklumkan bahawa perhimpunan oleh Bersih 2.0 bukanlah sebenarnya bertujuan menuntut “pembaharuan pilihan raya”.

“Mereka lebih ingin tunjukkan kerajaan Malaysia seperti di Timur Tengah. Mereka gambarkan kerajaan Malaysia autokratik. Sebenarnya mereka hendak ambil kuasa daripada kita (kerajaan) yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Britain itu turut diberitahu kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang sentiasa menegakkan prinsip demokrasi.

“Saya kata pilihan raya di Malaysia, kita tidak pernah menipu. Pilihan raya di Malaysia adalah pilihan raya yang bersih,” kata Najib. -TMI





Ulasan GB

Maka benarlah bahawa ketibaan Najib di London tempohari penuh dengan sindiran tajam kepada beliau supaya menghormati pandangan rakyat, menghormati BERSIH. Beliau disambut dengan kuning di sana sini. Bukan saja baju Queen Elizabeth kuning, tali leher Menteri Pengangkutan UK pun kuning, sampai air minuman atas meja pun berwarna kuning... ditambah dengan hisan bunga-bunga kuning. Itu tak masuk kumpulan rakyat Malaysia yang berdemo ... yellow submarine... yellow submarine...

Tetapi Najib adalah manusia dari jenis tak sedar diri, muka tebal dan jenis angkuh tak mahu mengerti.

Masih nak menegakkan benang basah dan masih nak menipu sana sini, dulu dan kini.

“Saya kata pilihan raya di Malaysia, kita tidak pernah menipu. Pilihan raya di Malaysia adalah pilihan raya yang bersih,” kata Najib

Satu dunia sudah tahu bahawa Najib, Polis, SPR atau apa dan siapa saja yang terkait dengan UMNO adalah dari species penipu. Bukan sahaja 1 dunia tahu, Allah dan RasulNya juga tahu. Macamanalah kamu-kamu semua ini hendak melawan arus kebenaran yang yang semakin nyata dan terang itu?

Mungkin selepas ini negara-negara di benua Afrika pun akan sambut Najib dengan pakaian kuning sebab maklumat BERSIH sudah pun bersemarak di satu dunia.

Dari masyrik ke maghrib, isu keganasan polis Malaysia sedang dibicarakan, tetapi serupa Najib, mereka masih nak menipu dan enggan tunduk kepada kebenaran. Hanya Allah nanti yang bakal selesaikan kezaliman mereka ini.

يُخَادِعُونَ اللّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنفُسَهُم وَمَا يَشْعُرُونَ
فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللّهُ مَرَضاً وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

"Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedangkan mereka tidak menyadarinya. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya." (QS. al Baqarah: 8-10)


Tetapi malangnya orang-orang ini tak membaca Al-Quran... maka itu sebab mereka tenggelam dalam gelombang kejahilan dan kepalsuan.

Yang mereka tunggu hanyalah "satu teriakan" dari langit.

وَمَا يَنظُرُ هَؤُلَاء إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً مَّا لَهَا مِن فَوَاقٍ
Tiada lain yang mereka nantikan, hanya satu teriakan yang berkepanjangan yang tiada ulangannya lagi.(QS. Sad: 27)


Nak kata apa? Nak kata GB pergunakan ayat Quran?
Pergi baca habis-habis 30 juz, tak reti bahasa Arab, baca terjemahannya, baru datang sini semula buat tuduhan sedemikian.

Lanjut Masa Hiburan: Ulamak UMNO Diam Tanda Setuju?

Lanjutan operasi pusat hiburan: PAS berdemo

Lebih 200 jemaah yang kebanyakan ahli PAS mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah keputusan kerajaan negeri yang dibuat baru-baru ini berhubung isu melanjutkan masa operasi pusat hiburan di Melaka sehingga jam 3 pagi.

Demonstrasi dilakukan di perkarangan Masjid Bukit Katil sebaik selesai solat Jumaat.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Melaka, Musa Mohamad berkata, tindakan mereka itu bagi mendesak supaya kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menarik balik keputusan itu.

"Kita minta tarik balik kelulusan tersebut yang telah dibuat oleh Ali Rustam dan apakah beliau ingin jadikan Melaka ini sebagai 'Darul Maksiat'.

"Mencegah kemungkaran itu adalah perkara yang wajib bagi umat Islam tapi tindakan beliau ini lebih membuka ruang kepada maksiat dan perkara mungkar untuk lebih berleluasa lagi.

"Saya mengingatkan beliau di dalam kita hendak menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, jangan sampai bala Allah turun kepada kita semua disebabkan tindakan ini," katanya.

Beliau juga menyatakan Umno dan BN jelas tidak serius menangani gejala sosial yang semakin parah berlaku di kalangan masyarakat khususnya umat Islam.

Bagi Yang Dipertua PAS Kota Melaka, Harun Mohamed, beliau menjelaskan, PAS kesal dengan keputusan kerajaan negeri itu yang dilihat mencabar kesabaran umat Islam di negeri ini.

Iktibar

Menurutnya, tindakan ini perlu menjadi iktibar kepada rakyat Melaka supaya mengambil tindakan sewajarnya semasa pilihan raya umum akan datang.

"Ketika kerajaan Kedah mengambil keputusan menghadkan pusat hiburan hanya untuk orang bukan Islam pada bulan Ramadan ini, kerajaan Melaka dengan berani bertindak meluluskan perlanjutan masa operasi pusat hiburan," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, selepas mesyuarat mingguan Exco, mengumumkan keputusan kerajaan negeri membenarkan 15 pusat hiburan di kawasan Taman Melaka Raya melanjutkan masa operasi sehingga jam 3 pagi.

Bagaimanapun Mohd Ali ketika ditanya berkata, ia hanya boleh dilaksanakan pada hari Jumaat sehingga Ahad.

Manakala, bermula Isnin sehingga Khamis hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 atau 2 pagi sahaja.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mendapat permintaan orang ramai terutama pengusaha pusat hiburan.

Mohd Ali juga menjelaskan, kerajaan negeri telah pun mendapat maklumbalas daripada pihak polis bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan tahap keselamatan kawasan terlibat.

Sementara itu, keputusan yang dibuat kerajaan negeri Melaka itu ditentang banyak pihak termasuk dari kalangan ahli Umno sendiri. -mk

Tindakan Hantar Balik Bourdon Malukan Malaysia, Tersiar Dalam Washington Post

Bourdan: Negara dimalukan lagi selepas Bersih 2.0

TASEK GELUGOR, 22 Julai: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin penangkapan Peguam Hak Asasi Manusia Perancis, William Bourdon pasti akan meningkatkan lagi kemarahan rakyat selepas negara melakukan kezaliman terhadap perhimpunan aman Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 baru-baru ini.

Menurutnya, dalam keadaan rakyat ingin tahu perkara sebenar hasil pendedahannya di Malaysia, tiba-tiba sekumpulan pegawai Imigresen menangkapnya setelah pesawat yang dinaikinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, tangkapan itu amat memalukan negara sekali lagi setelah dimalukan dengan perhimpunan aman Bersih 2.0.

Tambahnya, tindakan tersebut sekaligus menjejaskan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disebut-sebut terlibat dengan pembelian kapal selam Scorpene.

“Jika Kerajaan Barisan Nasional (BN) berani kerana benar kenapa mereka tidak biarkan sahaja William Bourdon menjalankan tugasnya mendedahkan siapa di sebalik pembelian kapal selam yang tidak boleh menyelam sekembali ke Malaysia,” katanya.

Baginya, isu penangkapan Willian Bourdon di Malaysia pastinya mendapat kritikan berbagai pihak sama ada secara terus atau di alam maya kerana beliau bukan calang-calang peguam. -HD


Bourdon: Najib burukkan lagi nama Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Julai: Tindakan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menangkap peguam Perancis, William Bourdon (gambar) akan terus mencemarkan nama negara bahkan akan memburukkan lagi nama baik negara di mata dunia.

AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sepatutnya selepas pulang dari luar negara dan bertemu dengan Pope, Queen Elyzabeth dan Perdana Menteri Britain, Najib mempunyai pandangan lebih luas tetapi ternyata tidak.

"Balik sahaja dari luar negara, Najib terus membuat perangai buruk apabila menangkap William Bourdon, peguam hak asasi manusia dari Perancis ini. Sudah tentu ini akan menyebabkan semua mata peringkat antarabangsa akan melihat kita lagi.

"Sebelum ini majalah Economist di sensor, laporan tentang cara perhimpunan Bersih 2.0 dikendalikan belum selesai, ditambah pula dengan tindakan ini
," kata Dr Dzulkefly kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas penangkapan peguam hak asasi manusia Perancis William Bourdon di KLIA tengahari tadi.

Bourdon ditangkap oleh sekumpulan pegawai Imigresen yang naik ke atas kapal terbang itu sebaik sahaja kapal terbang mendarat

William Bourdon, dijangka akan menghangatkan lagi politik Malaysia apabila beliau akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bermula malam tadi di Pulau Pinang.

Bourdon, peguam Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu malam ini di Dewan Sivik MPPJ.

Bagi Dr Dzulkefly, arahan penangkapan ini tentu dari pihak atasan pentadbiran Najib bagi menyekat apa-apa maklumat yang hendak disampaikan beliau dalam majlis malam ini dan esok.

"Mengapa Najib terus-terusan mencetus tindakan yang tunjukkan beliau hilang kawalan dan tertekan begini.

"Sepatutnya lepas jumpa Queen, Pope dan Perdana Menteri Britain, wibawanya akan tinggi dan menunjukkan kepada dunia beliau masih menguasai pentadbiran Malaysia dengan baik.

"Langkah ini akan mencetuskan pandangan umum yang burukkan pentadbiran beliau dan dia sendiri," kata Dr Dzulkefli kepada Harakahdaily.

Bagi beliau, tindakan menaham peguam Suaram ini seolah-olah membayangkan Najib mengesahkan tanggapan ada perkara yang nak dilindungi beliau dari diketahui rakyat dalam majlis di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan di Ipoh esok.

Ia juga, katanya, mencetus minat rakyat dan media antarabangsa untuk isu Scorpene ini dan bakal menjadi fokus media antarabangsa dan rakyat selepas ini.

"Najib meletakkan negara dalam mata antarabangsa dengan lebih buruk lagi. Ia akan menjejaskan negara sebagai destinasi pelaburan atas dakwaan rasuah hingga melibatkan orang no 1 negara," katanya.

Beliau yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor yakin, jika Najib tidak bertindak sebegini, majlis makan malam mengutip dana Suaram dan kedatangan Bourdon ini akan berlalu begitu sahaja.

"Namun apabila warga asing ditangkap, peguam hak asasi manusia Mahkamah Perancis pula, ia satu tindakan desperate yang bakal memburukkan lagi keadaan," katanya. -HD



Malaysia deport French lawyer fighting alleged corruption by shipmaker in submarine deal

KUALA LUMPUR, Malaysia — A French lawyer said Friday he is being deported from Malaysia, and the human rights group he represents accused the government of paranoia after he spoke about a pending corruption trial over a $1.2 billion submarine deal.

William Bourdon arrived in northern Penang state Thursday and spoke at a dinner about the French court case set for trial in September, said Cynthia Gabriel of the Malaysian rights group Suaram.

When Bourdon traveled to Kuala Lumpur on Friday, “a police officer came to get me in the plane, and then I was escorted to the immigration office,” Bourdon told The Associated Press.

After a two-hour wait, he was given an expulsion order and told to get a plane ticket home, at his own expense, and will be held in the airport detention center until then, he said.

Government officials couldn’t be reached for comment Friday.

Suaram filed complaints with a French prosecutor in 2009 alleging corruption in a 114 million euro ($164 million) fee that shipbuilder DCNS paid to Malaysian firm Perimekar Sdn. Bhd. to facilitate the submarine deal.

Prime Minister Najib Razak has denied there was any corruption. He was defense minister in 2002, when Malaysia ordered the two diesel-electric Scorpene attack submarines as part of a naval upgrade. It has since received both the submarines.

In his talk Thursday, Bourdon gave an update about the status of the case, on the French judicial system and what to expect from the trial, Gabriel said.

“He didn’t reveal anything damning. This is just an act of paranoia, another irrationality by the government. They are afraid of their own shadows,” she said.

Bourdon said he told the police he didn’t understand the expulsion and the decision lacks any justification. “No explanation was given to me,” or to the French Embassy representative who accompanied him, he said.

“I told them I acted as a lawyer, in full respect of my duties and the rules of my profession, and in respect of international law and national laws,” he said in a phone interview.

Malaysian defense officials have said the fee was paid to Perimekar for coordination and support services. But critics argued that Perimekar was formed only a few months before the contract was inked, had no track record in submarine services and didn’t have the financial ability to support the contract.

Suaram has said it plans to take legal action against Perimekar and the Malaysian government if the French court rules there is corruption by DCNS.

The case could embarrass Najib and hamper his ruling coalition’s effort to bolster support ahead of general elections that many expect to be held next year.

Perimekar is owned by the wife of Abdul Razak Baginda, a controversial figure who once was Najib’s aide and a close friend.

Abdul Razak was acquitted in 2008 of abetting in the murder of his ex-mistress, a Mongolian woman. He confessed to having an affair with her and said she was blackmailing him. The woman was shot and her body blown up with military-grade explosives in October 2006.

Two policemen working in security were later convicted and sentenced to death for murdering the Mongolian, although prosecutors failed to show any motive. Suaram has said initial investigations by their French lawyers showed the Mongolian had worked as a translator for Abdul Razak in the submarine deal. -AP


Bekas Menteri Penerangan Gesa Najib Henti Sekat Suara Rakyat

Seorang lagi tokoh Umno hari ini tampil mencadangkan supaya kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan dialog dengan Gabungan Pilihan Raya bersih dan Adil (Bersih 2.0) bagi mengatasi kepincangan proses pilihanraya di negara ini.

Bekas Menteri Perlancongan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir memberikan saranan itu selain menekankan perlunya Najib berhenti menyekat kebebasan bersuara dan sebaliknya memperbaiki imej kerajaan supaya dilihat sebagai pemerintah yang bertanggungjawab.

"Kalau kita mula mahu sorok dan sebagainya, maka rakyat akan berasa syak wasangka sebab amanah (sejak) Merdeka (dan) pada zaman Tun Razak (adalah) memberi kebebasan bersuara," ujar beliau.

Justeru, tokoh veteran Umno itu mahukan berkata kerajaan menilai secara positif sebarang pandangan yang dilontarkan oleh mana-mana pihak.

Kerajaan mengisthiarkan Bersih yang menggabungkan 62 pertubuhan bukan kerajaan sebagai gerakan haram pada awal bulan ini.

Puluhan ribu orang yang menyertai perhimpuan Bersih 9 Julai lalu untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil walaupun terpaksa menongkah arus tembakan air berkimia dan gas pemedih mata oleh polis.

Lebih 1,600 orang ditahan manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadi beliau, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad antara yang cedera.

Seorang meninggal dunia, namun polis hari ini mendakwa kematian Baharuddin Ahmad, 59, adalah akibat sakit jantung dan bukan kerana tindakan polis. Enam individu lain ditangkap dibawah Ordinan Darurat yang membolehkan seseorang ditahan tanpa perbicaraan.

Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan dan mantan Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah menasihati Najib supaya tidak bersifat konfrontasi terhadap Bersih yang hanya menzahirkan tuntutan awam untuk proses pilihanraya yang lebih telus dan adil.

Abdul Kadir yang juga bekas Menteri Penerangan menggesa Najib supaya bergerak seiring dengan ketamadunan masyarakat yang berdaya saing dan intelektual, dan bukan menyekat hak rakyat untuk bersuara.

Beliau menjelaskan sekiranya kerajaan mampu membuktikan ia melaksanakan tanggungjawabnya dengan ikhlas, maka rakyat tidak akan mempunyai alasan untuk bangkit menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Abdul Kadir berkata demikian selepas majlis pelancaran "Angkatan Amanah Merdeka" (Amanah) pagi tadi.

Abdul Kadir berkata tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini menyaring maklumat berkaitan perhimpunan Bersih 2.0 dalam majalah antarabangsa The Economist hanya membangkitkan kecurigaan rakyat terhadap keikhlasan kerajaan.

Pendekatan sedemikian ketinggalan zaman dan hanya menimbulkan persepsi bahawa kerajaan cuba melindungi maklumat daripada sampai kepada orang awam, tegas beliau. -tvsnews