15 Sep 2015

Menjelang Pelancaran Parti Amanah Negara Esok...

Amanah’ mendukung gagasan politik Islam Oleh A Shukur Harun

Pelancaran rasmi parti politik baharu bernuansa Islam – Parti Amanah Negara atau singkatnya Amanah – esok, 16 September, mempunyai makna penting dan tersendiri bukan saja dalam sejarah politik tanah air, tetapi juga apa yang dinamakan politik Islam.

Parti Amanah ini sedang dalam proses untuk didaftarkan.

Selepas menekuni dari dekat kemunculan parti baharu ini, saya menyimpulkan beberapa hal.

Pertama, walaupun ia tidak mendakwa sebagai Harakatul Islam atau gerakan Islam, tetapi misi dan visi parti baharu ini menampilkan sebuah cita-cita besar untuk menjadi bukan saja sebagai parti Islam yang inklusif, tetapi juga sebagai sebuah pertubuhan Islam moden yang memenuhi citarasa masyarakat majmuk negara ini.

Kedua, jika wawasan Amanah ini berhasil, maka ia akan mengukir sejarah umah, sekurang-kurangnya di rantau ini, ia akan menjadi parti politik Islam dan dakwah yang merentasi bukan saja batas kaum dan agama tetapi juga batas geografi.

Ketiga, parti baharu ini hadir di tengah-tengah kegawatan bukan saja krisis ekonomi dan politik serta tajamnya perkauman yang semuanya meranapkan kemanusiaan dan harga diri.

Lebih malang pabila pemimpin politik negara dan mereka yang mendukung mereka kehilangan integriti dan rasa malu.

Keempat, semua ini menjadi cabaran yang sangat besar kepada parti Amanah untuk menyelesaikan masalah ini bukan secara bersendirian tetapi bersama gabungan baharu pembangkang – DAP dan PKR. Dengan gabungan baharu ini kiranya masalah negara ini akan dapat diselesaikan, walaupun secara bertahap.

Kerana itu, menjadi harapan pelbagai pihak yang mendukung cita-cita besar ini supaya Amanah dan gabungannya benar-benar menjadi alternatif kepada parti yang memerintah sekarang ini.

Kelahiran Parti Amanah di tengah membaranya suasana di dunia Islam dengan sebuah fenomena kebejatan akibat ideologi takfiriyah atau gerakan Takfiri. Manusia kaget dan tersentap dengan kekejaman yang tidak ada tolok bandingnya dengan kemunculan “Islamic State in Iraq and Syria’ (Isis) atau “Islamic State of Iraq and Levant” (Isil). Rentetan genesis atau susur-galur pembentukannya tidak perlu disebut di sini.

Fenomena ini pernah disebut oleh Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Mujahid Yusuf Rawa, tokoh pemikir dan kepimpinan Amanah ini dalam beberapa wacana sebelum ini.

Peristiwa kekejaman yang berlaku di Iraq, Syria dan Lubnan, menurut keduanya, adalah akibat bencana tragis terburuk fahaman takfiri atau takfiriyah. Tegasnya, gejala takfiriyah ini sangat mudah menghukum individu lain yang tidak sehaluan dengan mereka sebagai kafir dan munafik, di mana kesan buruknya pada akhirnya membawa kepada pertumpahan darah. Inilah yang perlu dielakkan.

Menurut 2 tokoh pemikir ini, fenomena mengkafirkan sesama Islam serta mengeluarkan fatwa tanpa menurut panduan sehingga menghalalkan perbuatan membunuh dan memerangi orang Islam yang lain adalah satu bencana besar membawa masyarakat kita menanggung kesangsaraan hidup yang amat pahit.

Memang sangat sedih apabila semua jenayah tersebut dilakukan kononnya di atas nama agama Islam dan syariatnya, sementara hakikatnya, Islam bersifat tasaamuh atau toleransi. Paling jelek, operasi keganasan pula dilaksanakan diiringi laungan “La-ilaha ilallah” dan suara takbir “Allahu al-akbar” dengan alasan tindakan itu sebagai menunaikan kewajipan berjihad dan mati syahid di jalan Allah.

Jelaslah gerakan takfiri ini, menyebabkan pentihgnya kemunculan sebuah parti politik sederhana dan terbuka, tetapi tidak berkompromi dengan asas-asas Islam. Inilah, antara lain, yang menyebabkan kehadiran Amanah.

Amanah ini komited untuk meneruskan legasi perjuangan politik Islam yang ditampilkan oleh Almarhum Tuan Guru Yusuf Rawa, Almarhum Ustaz Fadhil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menerokai ruang politik Islam yang “Amanah, Progresif dan Peduli”.

Saya kira pembudayaan politik baharu Amanah ini akan terus berpaksi kepada politik yang berteraskan prinsip, ilmu pengetahuan dan akhlak.

Ia juga bersedia mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan dalam perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan seperti dianjurkan oleh Islam dan syariatnya bagi melahirkan sebuah masyarakat dan negara madani.


Saya yakin, Amanah juga sangat peduli akan perlunya membangunkan pemikiran umat, khususnya generasi penerus di kalangan golongan muda supaya memiliki ilmu yang mantap, akhlak serta moral yang utuh-kukuh dan daya-saing serta kreativiti yang tinggi.

Menerusi Gerakan Harapan Baru, yang menganjurkan Nadwah Ulama lilL Nahdah Al-Jadidah atau NUNJI’15, sebagai isyarat jelas komitmen para asatizah dan golongan ilmuan Islam yang bersama Amanah untuk benar-benar mengangkat agenda Islam supaya berperanan secara releven dan berkesan.

Kesyumulan Islam ini menuntut aspek perlaksanaan Islam dengan mengambil kira perundangan negara, kerangka sistem politik tempatan dan suasan politik antrabangsa.

Kerana itu, perlunya melahirkan fiqh siyasah yang pada prinsipnya adalah untuk mencapai maksud Islam sebagai rahmat seluruh alam. Inilah tugas berat yang sedang menanti untuk dilaksanakan oleh Amanah.

Sementara itu sambutan terhadap parti baharu ini sangat luar biasa. Ia datang daripada pelbagai pihak. Sebahagiannya dari parti lama mereka, di samping daripada masyarakat madani, golongan muda dan terpelajar serta para veteran yang berfikiran progresif.

Beberapa orang kenalan saya terdiri daripada bukan Islam bertanyakan kepada saya mengenai parti baharu ini dan mereka mengalu-ngalukannya sambil berharap Amanah akan mendukung konsep keterbukaan dan tanpa perkauman. Mereka kebanyakannya tahu para tokoh pemimpin Amanah ini dan yakin kepimpiunan mereka akan mengamalkan sikap keterbukaan dan toleransi.

Kesimpulan daripada semuanya ini menunjukan masyarakat sangat memerlukan perubahan. Maka mereka melihat dengan penuh yakin, parti baharu ini akan memenuhi cita-cita untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang adil, tanpa perkauman dan sejahtera.

Di sinilah, saya kira Amanah akan berdiri gagah dan mampu untuk melaksanakan cita-citanya.











IKLAN BERBAYAR






Kes Pukul Pemimpin Mahasiswa: Kerja Siapa Sebenarnya?

Presiden Pro-M UKM didakwa dipukul, disimbah cat

Seorang pemimpin pelajar yang mewakili pro-Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa dipukul serta disimbah cat di badannya oleh individu yang tidak dikenali awal pagi ini.

Berikutan itu, rakannya, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan ketika dihubungi, mengesahkan satu laporan polis telah dibuat pagi ini berhubung kejadian itu.

Presiden Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), Muhammad Syahir Rahimi Sukri, 22 yang merupakan pelajar tahun tiga Fakulti Pengajian Islam didakwa dipukul pada kira-kira jam 4 pagi ini.

Sementara itu, menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tan Kar Hing, selain dipukul dan simbah cat, Muhammad Syahir juga didakwa ditoreh di bahagian kepala dan badan.

Tan menceritakan, Muhammad Syahir diserang di dalam kampus berhampiran kolej kediamannya di Kolej Ibrahim Yaakub.

Katanya, ketika itu, pemimpin pelajar berkenaan mengambil giliran untuk menjaga poster-poster yang ditampal sempena pilihan raya kampus.

Selepas diserang, pelajar itu kemudiannya di bawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan, kata Tan lagi.

Difahamkan beliau dibenarkan keluar daripada hospital setelah mendapat tujuh jahitan.

Ketika berita ini ditulis, Syahir sedang membuat laporan polis di Bangi bersama beberapa rakannya.


Serangan Presiden GMUKM Disyaki Kait Rapat Pilihan Raya Kampus, AMK Desak Siasat dan Hukum Penyerang

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, YB Tan Kar Hing mengecam sekeras-kerasnya kes serang ke atas Presiden Gerakan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Saudara Shahir Rahimi, yang telah menyebabkan beliau mengalami cedera parah akibat mendapat 5 torehan di bahagian kepala dan badan serta dilempar cat pewarna. Kes ini berlaku di dalam kawasan kampus UKM iaitu berdekatan kolej kediaman pada subuh 14hb September.

Kar Hing mendesak pihak berkuasa universiti dan polis supaya memberi penjelasan serta menjalankan penyiasatan serta-merta bagi mengenalpasti pihak penyerang dan menghadapkannya ke muka pengadilan. Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang toleransi dalam isu budaya kekerasan dalam kampus ini.

“Didapati tiada kehilangan harta benda yang berlaku, tetapi kereta yang digunakan oleh Shahir Rahimi pula turut disimbah cat. Ini jelas menunjukkan bahawa serangan tersebut bermotifkan ugutan serta gertakan dan bukan rompakan.”

Kejadian ini disyaki berkait rapat dengan pilihan raya kampus UKM yang sedang berlangsung. Kar Hing mengulas, ini adalah kerana serangan berlaku sewaktu Saudara Shahir “bertugas” secara bergilir untuk menjaga poster-poster kempen pilihan raya di dalam kampus bagi memastikan ianya tidak disabotaj.

“Kalau tahun 2014 kita kedengaran kes cermin kereta pengerusi kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dipecahkan oleh penyerang, tahun ini pula kes kekerasan telah semakin berleluasa dan menggugat keselamatan dan nyawa mahasiswa”

Kar Hing yang juga merupakan ADUN Simpang Pulai Perak berkata, aktivis mahasiswa dan calon pro-mahasiswa seringkali menjadi mangsa penindasan dan serangan menjelang musim pilihan raya kampus. Ini merupakan tamparan kepada demokrasi kampus serta menunjukkan bahawa pihak berkuasa gagal mengambil tindakan

sewajarnya untuk memastikan pilihan raya kampus dijalankan dalam keadaan adil dan telus. Menurut makluman anggota Gerakan Mahasiswa UKM, Shahir yang merupakan mahasiswa Fakulti Pengajian Islam tahun ketiga ini kini masih dirawat di Hospital Serdang.

YB Tan Kar Hing
Naib Ketua AMK Malaysia
ADUN Simpang Pulai


ULASAN GB

Budaya apakah yang sedang melanda kampus dan negara sekarang ini sehingga seorang Presiden Persatuan Mahasiswa sebuah universiti dipukul dan simbah cat serta ditoreh di bahagian kepala dan badan?

Ini merupakan satu perulangan kejadian di dalam tahun 2012 dimana Presiden Pro-Mahasiswa Nasional waktu itu, Edikoup Lakip Sediyanto telah diserang oleh lima lelaki tidak dikenali di awal pagi.

Modus operandinya sama, berlaku di awal pagi dan ia ada kaitan dengan kempen pilihanraya kampus dimana mahasiswa-mahasiwa akan memilih "pemimpin" di kalangan mereka.

Budaya samseng yang menular di menara gading ini sepastinya membimbangkan para ibu-bapa yang mempunyai anak yang menuntut di ipt. Dan budaya ini juga mengekang tradisi pembinaan pemimpin di kalangan para pelajar untuk menjadi pelapis kepimpinan negara di masa akan datang.

Anehnya yang kerap menjadi mangsa ialah hanya pemimpin ppelajar dari satu pihak - iaitu pro-mahasiswa.

Polis dan pihak universiti terlibat perlu bersungguh-sungguh mengatasi gejala tidak sihat ini sebelum lebih banyak peristiwa yang sama berulang lagi yang akhirnya imej polis dan pihak universiti terjejas lantarannya.

Soalnya, siapa sebenarnya melakukan kerja samseng itu? Ia belum terjawab sekalipun sudah banyak insiden yang sama berlaku!







IKLAN BERBAYAR