30 Jul 2011

Buang Bayi Menjadi-jadi - Apakah Penyelesaiannya?

Bayi kena tinggal di gerai makan

ALOR SETAR - Sepasang suami isteri tidak menyangka niat murni mereka membantu seorang gadis yang meminta menjaga bayinya dengan alasan ingin ke tandas, menyebabkan mereka terpaksa menunggu selama satu jam di kawasan Terminal Bas Shahab Perdana, namun gadis itu terus menghilangkan diri.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, pasangan suami isteri yang singgah menjamu selera di sebuah gerai makanan berhampiran terminal, dihampiri seorang gadis yang sedang mendukung seorang bayi.

Gadis berkenaan meminta wanita menjaga bayinya kerana dia ingin pergi ke tandas, bagaimanapun setelah sejam berlalu, kelibat gadis itu tidak kelihatan.

Bimbang dengan keadaan itu, pasangan suami isteri terbabit bergegas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan menerima laporan daripada pasangan suami isteri terbabit kira-kira jam 12.30 malam kelmarin.

“Bayi itu berada dalam keadaan sihat dan sudah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut serta akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung proses penjagaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie ketika dihubungi berkata, bayi seberat 1.58 kilogram itu kini ditempatkan di dalam inkubator dan berada di dalam keadaan stabil.

“Sewaktu dibawa ke HSB, tiada kesan kecederaan pada tubuh bayi terbabit bagaimanapun bayi itu memerlukan pengawasan rapi memandangkan kelahirannya tidak matang.

“Bayi itu akan diletakkan di bawah pengawasan hospital sehingga beratnya mencecah 1.8 kg,” katanya. -SH


Mayat bayi di tepi lebuh raya

SEREMBAN – Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan dari Muar, Johor ke Kuala Lumpur terkejut apabila menjumpai mayat seorang bayi lelaki semasa sedang berhenti rehat di bawah sebuah jejambat di Kilometer 282.4 Lebuh Raya Utara - Selatan, berhampiran susur masuk Nilai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, Azmi Talib, 44, bersama rakannya berhenti di tepi lebuh raya itu sebelum terlihat sebuah beg tangan wanita berwarna hitam di bawah jejambat berkenaan.

Disebabkan rasa curiga, Azmi berkata, dia kemudian mendapatkan beg berkenaan sebelum membukanya.

“Sebaik membuka beg tersebut, saya terlihat satu objek yang dibalut dengan tuala putih.

“Saya cuba memegang objek berkenaan tetapi terasa sesuatu yang lembik. Namun, saya terperanjat apabila melihat kaki bayi terkeluar di hujung tuala berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi penemuan mayat bayi berkenaan, semalam.

Panik dengan penemuan itu, Azmi berkata, dia pergi ke tepi lebuh raya dan menahan sebuah kereta peronda Plus yang kebetulan berdekatan dengan lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd. Yusoff Awang berkata, buat masa ini, polis belum mempunyai sebarang maklumat lengkap berhubung penemuan itu termasuk punca kematian bayi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bayi berkenaan dipercayai berbangas Melayu dan baru saja dilahirkan kerana masih terdapat tali pusat.

“Kita juga menjumpai satu bungkusan plastik yang mengandungi uri tidak jauh dari lokasi mayat bayi berkenaan dijumpai,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ke jadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. -SH


Ulasan GB

Apabila sistem hidup lebih menjurus kepada henodisme, maka perzinaan yang akhirnya mengakibatkan lahirnya bayi pada pasangan yang tidak mempunyai ikatan pernikahan.

Jalan mudah yang diambil ialah membuang bayi tersebut.

Semua pihak berkewajipan memandang isu ini sebagai isu yang serius. Dan tiada jalan lain selain dari mengembalikan sistem kehidupan kepada fitrahnya - Islam.

Pimpinan Tertinggi SPRM Mesti Dikenakan Tindakan

Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG melahirkan kekesalan tentang laporan Suruhanjaya siasatan Teoh Beng Hock yang membuat kesimpulan bahawa Teoh Beng Hock "di-bunuh diri".

Analisis psikologi suruhanjaya siasatan bahawa Teoh berubah daripada kumpulan risiko rendah kepada kumpulan risiko tinggi untuk membunuh diri selepas sesi soal siasat SPRM cuma suatu andaian, kesimpulan bunuh diri tersebut dibuat tanpa sebarang bukti fizikal adalah dangkal dan terburu-buru, melanggar prinsip-prinsip undang-undang yang memerlukan bukti kukuh.

Kesimpulan yang tidak professional ini dibuat oleh lima orang pesuruhjaya yang mempunyai latar belakang professional telah mengecewakan rakyat.

Sebenarnya, bagi kes kematian Teoh Beng Hock, rakyat telah ada jawapan di dalam hati, jika kesimpulan suruhanjaya siasatan dan kerajaan terpesong jauh dari persepsi umum rakyat, ia hanya akan merosakkan keseluruhan integriti kerajaan, tidak memanfaatkan usaha transformasi kerajaan.

Kami menyeru kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pimpinan tertinggi SPRM. Dua tahun yang lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Ahmad Said mengatakan Teoh bunuh diri sebelum pihak polis menyempurnakan siasatan. Dia berkata SPRM tidak perlu bertanggungjawab ke atas kematian Teoh kerana ketika itu Teoh tidak lagi di bawah jagaan SPRM. Sekarang, laporan suruhanjaya siasatan telah membuktikan, Teoh belum dibebaskan oleh SPRM pada masa kematiannya.

Jelasnya Ahmad Said telah berbohong dua tahun yang lalu, dia tidak ada sedikit pun perasaan kesal terhadap kematian Teoh, ini membangkitkan kemarahan rakyat! Kami meminta kerajaan mengambil kira tanggungjawab Ahmad Said, merampas segala pencen dan kebajikan penjawat awamnya. Kerajaan mesti menghukum Ahmad Said.

Ketua Pesuruhjaya SPRM kini Abu Kassim pernah mengemukakan surat terbuka kepada keluarga Teoh bahawa SPRM tidak akan melindungi sesiapa yang terlibat dalam kematian Teoh. Tetapi, bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim yang mengakibatkan kematian Teoh, telah dinaik-pangkat ke pengarah SPRM Negeri Sembilan semasa Abu Kassim memegang jawatan ketua pesuruhjaya. Hishamuddin juga hanya digantung sementara selepas laporan suruhanjaya siasatan diumumkan.

Ini menunjukkan Abu Kassim cakap tak serupa bikin, tidak benar-benar mengkaji semula kaedah-kaedah soal-siasat SPRM yang mencabuli hak asasi manusia, SPRM tidak ada sebarang tindakan boleh dikatakan ikhlas dalam tragedi Teoh. Kes kematian kedua pula terjadi dalam tempoh Abu Kassim sebagai Ketua Pesuruhjaya. Kami menggesa Abu Kassim segera meletakkan jawatan atas kematian Teoh dan kes-kes penyelewengan kuasa lain. Jikalau tidak ada seorang pun bertanggungjawab ke atas kematian Teoh dan dikenakan hukuman, kematian di bawah tahanan agensi kerajaan tidak akan dipandang serius, reputasi kerajaan akan dicemarkan. -MR

*Kenyataan media oleh Toh Kin Woon selaku Presiden Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG.

Kes Kematian Baharudin: Shuhardi Nafi Enggan Kerjasama Dengan Polis

Isu Baharuddin: Shuhardi nafi sembunyi, tak mahu bantu siasatan polis

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Shuhardi Md. Isa, lelaki yang didakwa berlakon sebagai Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai lalu, hari ini menafikan dirinya bersembunyi, melarikan diri dan enggan bekerjasama dengan polis.

Shuhardi yang ditemui pada satu sidang akhbar di sini, sebaliknya berkata beliau tidak pernah menerima sebarang surat rasmi memintanya menghadirkan diri bagi membantu siasatan dari mana-mana balai polis.

Bukankah polis lebih profesional dan tahu segala prosuder jika mahu seseorang itu memberi keterangan berhubung apa-apa kes? Saya tidak bersembunyi, datanglah ke rumah saya dengan tertib. Saya akan bekerjasama dengan mereka (polis),” katanya.

Shuhardi yang juga Setiausaha Agung Persatuan Usahawan Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop) menjelaskan, beliau terpaksa tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan kematian Allahyarham Baharudin kerana ia jelas menjatuhkan maruah dirinya.

“Saya masih hidup... yang meninggal Allahyarham Baharudin. Saya ingat perkara ini dah selesai dan saya tidak perlu tampil beri keterangan kerana ada blogger-blogger yang mengeluarkan gambar saya dengan mengatakan saya adalah Allahyarham Baharudin, telah meminta maaf kepada saya.

“Tapi semalam bila saya lihat komen Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata saya dipercayai menyembunyikan diri, saya terpaksa mendedahkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata polis sepatutnya menyiasat mereka yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai dirinya daripada menumpukan siasatan ke atas dirnya sendiri.

“Saya yakin pihak polis mampu membuat siasatan berdasarkan maklumat dalam internet tanpa perlu melibatkan saya. Malah saya rasa polis sepatutnya siasat mereka yang keluarkan kenyataan keliru mengenai mereka. Saya rasa sepatutnya saya yang menyaman mereka (blogger) yang salah dengan mengaitkan nama saya itu,” katanya.

Tetapi kerana kenyataan maaf dan pembetulan fakta yang dibuat seawal 10 Julai, maka saya menganggap perkara ini tidak perlu diperpanjangkan, malangnya kira-kira seminggu selepas peristiwa Bersih itu, pihak polis dan media masih mengaitkan nama saya,” katanya.

Beliau berkata kekeliruan tersebut terlebih dahulu telah dijelaskan oleh anaknya menerusi “facebook” dengan menjelaskan bahawa gambar yang disiarkan bukanlah gambar Shuhardi yang pengsan dalam perhimpunan tersebut.

Bapa kepada dua isteri dan 10 anak ini mendakwa tidak berkomplot dengan mana-mana pihak tertentu untuk berlakon dalam apa jua “aksi” kematian serta tidak mengenali Allahyarham Baharudin sendiri.

“Saya juga tidak kenal dengan mana-mana wartawan atau jurugambar yang datang buat liputan.Saya bukanlah “desperate” untuk dapatkan sogokan yang tidak bermaruah kerana Alhamdulillah saya hidup mewah,” katanya.

Suhardi berkata beliau bersedia memberikan kerjasama dengan pihak polis dan boleh dihubungi di talian 012-3900740. -Bernama

Ulangsiar: Siapa Sangka Bapa Tergilis Anaknya Sendiri

Malang nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan yang berhasrat mengikut ibu bapanya membeli kelengkapan hari raya tidak kesampaian apabila maut digilis kereta dipandu bapanya dalam kejadian di Kampung Tok Jawa, Bachok, pagi semalam.

Tambah menyedihkan, bapa kanak-kanak itu, Che Pauzi Mamat, 44, kehilangan anak tunggalnya, Nuramni Athirah adalah hasil perkahwinan keduanya bersama, Noraini Othman, 38.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Che Pauzi yang menghidupkan kereta Produa Alza di garaj rumahnya dikatakan tidak menyedari kehadiran Nuramni berhampiran kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

“Saya ingatkan dia berada dengan ibunya dalam rumah. Saya undurkan kereta dan mendengar bunyi seolah-olah melanggar sesuatu lalu turun melihat ke luar.

“Alangkah terkejutnya, apabila ternampak sekujur tubuh Nuramni ditindih tayar depan sebelah kiri kereta,” katanya.

Che Pauzi berkata, sebelum itu dia menghidupkan enjin kereta, sementara menunggu isterinya yang sedang bersiap untuk keluar membeli persiapan menjelang puasa, termasuk baju raya puteri tunggalnya itu.

“Saya tidak menyangka objek dilanggar itu adalah Nuramni. Dalam keadaan cemas saya berusaha mengubah kedudukan kereta bagi membolehkan anak saya diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, sejurus pelanggaran itu, isterinya keluar dari rumah dan terkejut apabila mendapati mangsa dalam keadaan tidak bergerak.

“Tanpa berlengah, saya segera membawa anak ke klinik berhampiran, sementara dalam perjalanan saya cuba memberi bantuan pernafasan, tetapi belum sempat sampai klinik anak sudah tidak bernyawa,” katanya.

Che Pauzi berkata, sebelum ini setiap kali hendak menaiki kenderaan, dia akan mendukung anaknya itu, tetapi semalam tidak seperti kebiasaannya kerana menganggap Nuramni berada bersama ibunya.

“Telatah Nuramni pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha tahun lalu masih segar dalam ingatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng mengesahkan menerima laporan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -SH

Akhirnya Dia Meninggal Dunia...

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, jam 5 pagi tadi.

Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, berkata jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Katanya beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'.

Katanya Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu.

Ulasan GB

Al-fatihah..

Semuga Allah s.w.t. megampuan dia dan mengampunkan kita,
Hanya Dia Yang Maha Tahu perjalanan sebenar kisah ini dan hanya Dia Yang Maha Tahu apa yang terbaik untuknya dan untuk kita.

PAS Dedahkan 44 Pengundi Nama & Kad Pengenalan Sama

PAS terus mendedahkan kelemahan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan mendakwa terdapat 44 orang di Terengganu yang mempunyai nama dan nombor kad pengenalan lama sama.

Bagaimanapun, nombor kad pengenalan baru hanya dua digit terakhir yang berbeza.

Ia didedahkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu yang dihubungi hari ini.

Beliau bimbang 44 nama terbabit boleh mengundi dua kali dalam pilihan raya umum akan datang.

“Besar kemungkinan mereka boleh mengundi di dua tempat berbeza. Pengalaman kita bila berurusan dengan SPR pengundi seperti ini boleh mengundi.

“Kerana SPR akan memberi alasan mereka boleh mengundi kerana perbezaan yang sedikit.

“Dari pengalaman lepas, nama yang telah didaftarkan sebagai pengundi agak sukar untuk dikeluarkan semula.

Bukan pengundi klon

“Dalam perbincangan kita dengan SPR, suruhanjaya itu memberitahu ia tidak ada kuasa,” katanya.

Sementara itu, bekas timbalan ketua AMK, Fariz Musa berkata, beliau menolak dakwaan wujud pengundi klon di negara ini.

Sebaliknya, dakwa beliau Umno, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berpakat untuk mendaftarkan nama orang berkenaan dalam senarai daftar pemilih SPR.

“Mengapa saya kata tidak wujud pengundi klon? Mengapa nombor kad pengenalan lama dan kad pengenalan baru berbeza?

“PKR pernah memeriksa kad pengenalan pengundi dan mendapati kad pengenalan itu itu tidak wujud.

“Semua ini berlaku dengan pembabitan Umno, SPR dan JPN. Ia bukan berlaku di Terengganu sahaja tetapi di seluruh negara,” tambahnya. -FMT

Era Untuk Menakut-nakutkan Rakyat Sudah Berlalu

Sambutan pembebasan EO6: Rakyat tidak boleh ditakut-takutkan lagi

Keenam-enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia, sebulat suara mendakwa bahawa kuasa rakyat yang membebaskan mereka daripada penahanan.

Malah, keberanian rakyat untuk turun ke jalan raya pada 9 Julai 2011, dan kecekalan untuk terus mendesak agar EO6 dibebaskan, membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah tidak takut lagi.

Ahli parlimen Sungai Siput Micheal Jeyakumar Deveraj menjangkakan dirinya bersama rakan seperjuangannya akan ditahan untuk tempoh 60 hari, malah mungkin dilanjutkan kepada dua tahun - namun akhirnya kerajaan terpaksa akur kerana desakan daripada rakyat Malaysia untuk membebaskan mereka.

Micheal Jeyakumar menganggap penangkapan EO6 bertujuan untuk menakutkan rakyat Malaysia agar tidak menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai, namun strategi ini terbukti gagal.

Ketika menggulung selepas EO6 yang dibebaskan jam 5.30 petang semalam berucap, Setiausaha Agung PSM Arutchelvan menyimpulkan bahawa "Rakyat Malaysia tidak boleh ditakut-takutkan lagi dengan cerita karut!"

Arutchelvan menceritakan bagaimana PSM sebagai parti yang paling miskin, meraih sokongan ramai selepas penahanan aktivis partinya berikutan perhimpunan BERSIH 2.0. Mereka sempat untuk mengumpul wang sebanyak RM192,000 dalam masa dua jam, untuk mengikat jamin aktivisnya yang ditahan. Malah, selepas penahanan EO6, ada orang yang mengunjungi ibu pejabatnya untuk mengisi borang kemasukan parti.

Kira-kira 400 orang dari latar belakang kaum yang pelbagai hadir untuk menyambut pembebasan EO6 di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Satu forum untuk membincangkan Ordinan Darurat dijadualkan untuk diadakan semalam, bertukar kepada perkongsian pengalaman EO6. Forum ini juga bertembung dengan candle light vigil untuk mendiang Teoh Beng Hock, yang diadakan pada 9 malam.

Selepas EO6 berkongsi pengalaman mereka, hampir kesemua hadirin menyertai candle light vigil di tingkat bawah Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KL-SCAH) menambahkan bilangan peserta kepada kira-kira 600 orang. Pengerusi BERSIH 2.0, EO6 dan wakil-wakil NGO turut hadir untuk memberi solidariti kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

Rakyat adalah wira demokrasi

Laungan slogan "Hidup Rakyat", "Mansuh Akta Zalim", "Hancur EO", terus kedengaran, malah penyokong PSM menyanyikan lagu "Suara Rakyat" dan lagu "Internasionale" untuk menyambut ketibaan EO6. Selain penyokong PSM dan aktivis sosial, pemimpin politik yang turut hadir termasuklah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Subang Sivarasa Rasiah dan lain-lain. Puluhan polis berada di sekitar bangunan KL-SCAH, tetapi tidak mengganggu perjalanan aktiviti.

Ketika berucap, AJK PSM Choo Chon Kai menjangkakan bahawa dirinya akan ditahan untuk tempoh yang panjang, namun beliau tidak pernah berasa gentar sama sekali.

"Saya ada kepercayaan kepada rakyat di luar sana. Saya percaya rakyat kita sudah matang," katanya disambut dengan sorakan. Beliau menambah, "Saya tidak merasa kami enam orang ini adalah wira. Wira yang sebenarnya adalah anda semua. Setiap orang, setiap rakyat yang turun ke jalan raya pada 9 Julai. Anda semua adalah wira demokrasi kepada politik di Malaysia ini!"

Penahanan di bawah Ordinan Darurat kali ini tidak melunturkan semangat R Saratbabu, malah beliau telah berjanji kepada dirinya, bahawa beliau akan bersama perjuangan PSM selepas dibebaskan. AP Letchumanan pula berkata, Ketua Polis Negara hanya boleh memenjarakan badannya, tetapi gagal memenjarakan semangat perjuangannya.

Sugumaran a/l Munisamy mengisahkan pengalamannya dalam nada berjenaka, menceritakan betapa lucunya cara soal-siasat pegawai penyiasat. Beliau ditanya soalan apa yang dilakukan pada bulan pertama tahun 1990, diminta untuk bernyanyi, malah pegawai penyiasat cuba membandingkan PSM dengan Parti Komunis Malaya (PKM) - PSM dengan hanya seorang pemimpin berketurunan Melayu, iaitu Nasir Hashim, sementara yang selainnya adalah berketurunan India. Sugu berkata pegawai penyiasat cuba menyamakan situasi ini dengan PKM, yang mana Rashid Maidin seorang sahaja Melayu di kalangan pemimpin PKM, dengan pemimpin selebihnya adalah berketurunan Cina.

Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy, turut mengalami pengalaman yang agak sama, di mana pegawai penyiasatnya cuba menyamakan sosialisme dengan komunisme. Beliau yang tidak tahan dengan kenyataan pegawai penyiasat itu berkata mereka telah puluhan tahun ketinggalan, sedangkan kita kini berada dalam abad ke-21.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Marah DAP Utamakan Melayu: Terbukti MCA Lebih Cauvinis Dari DAP

MCA marah DAP utamakan Melayu

Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak sepatutnya memberi projek kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera supaya dilihat adil, kata Pengerusi Pergerakan Wanita MCA negeri.

PETALING JAYA: Pergerakan Wanita MCA Pulau Pinang mempersoalkan kenapa kontraktor-kontraktor Cina di negeri itu tidak mendapat walaupun satu projek dari Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri dan sebaliknya kesemua projek diberi kepada kontraktor Melayu, Bumiputera dan India Muslim.

Pengerusinya Tan Cheng Liang, dalam blok parti itu hari ini berkata, beliau yakin kontraktor-kontraktor Cina turut menghantar permohonan tender mereka tetapi hairan kenapa tidak seorang pun kontraktor Cina mendapat projek JPS itu.

“Adakah permohonan mereka tidak lengkap,?” soal beliau sebagai respon kepada kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng bertarikh 27 Julai lalu.

Lim dalam kenyataannya berkata, para kontraktor dalam lima daerah untuk projek JPS adalah terdiri daripada Melayu, Bumiputera dan India Muslim manakala kontraktor wanita mewakili 20 peratus.

Tan berkata sejak DAP mengambil alih pentadbiran negeri, tidak ada seorang pun kontraktor Cina dalam lima daerah mendapat projek. JPS.

Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak sepatutnya memberi projek kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera supaya dilihat adil tetapi mereka mesti memastikan para kontraktor itu mampu menyiapkan projek-projek yang diberi dan tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

Tan berkata terdapat bukti bahawa walaupun mendapat sokongan daripada masyarakat Cina untuk Lim dan DAP, kepentingan masyarakat Cina kian terhakis sejak DAP berkuasa.

“Mereka (DAP) sedar bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada orang-orang Cina selama-lamanya tetapi saya harap tindakan DAP untuk “mengambil hati” bangsa-bangsa lain tidak dilakukan dengan mengenepikan kepentingan masyarakat Cina di negeri itu,” katanya. -FMT

Ulasan GB

Wahai UMNO dan sekalian pencacai mereka, sekarang siapa lebih cauvinis kecinaan? MCA atau DAP?

Terbentang nyata kini usaha DAP membantu kontraktor Melayu di Pulau Pinang ditentang oleh MCA, komponen BN sendiri.

Sekarang siapa yang kafir harbi? Siapa agaknya yang terlebih makan khinzir kini?

Justeru mana juak-juak UMNO, PERKASA dan sekalian NGO konon pejuang Melayu jati yang selama ini menuding jari kepada DAP terhadap kepinggiran orang Melayu di Pulau Pinang. Pergilah hadiahkan kepada MCA tersebut spender dan coli !


Ramai Tidak Percaya SPR, Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasatan Segera

SPR berdepan krisis kepercayaan?

Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar hanya mampu mendepa tangan dan mengangkat bahu ketika ditanya mengenai masalah birokrasi dalam membersihkan daftar pemilih.

Wan Ahmad memberi reaksi sedemikian ketika mengulas mengenai amalan sedia ada yang mewajibkan waris pengundi yang meninggal dunia supaya memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila keadaan itu berlaku.

Jelasnya, JPN hanya dapat mengemaskini data berkenaan apabila mendapat laporan daripada waris berkenaan – yang membolehkan SPR mengemaskini data berhubung pengundi berkenaan.

"Tapi bawah sistem sedia ada, balai polis yang mengeluarkan permit mengkebumi jenazah tidak dirangkaikan dengan JPN.

"Kita tidak boleh hanya padamkan nama orang dalam daftar pemilih," katanya lagi yang mengundang keluhan daripada kira-kira 300 orang yang hadir di majlis forum anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) itu.

Bercakap dalam debat pusingan kedua bersama pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Wan Ahmad turut menjelaskan bahawa SPR berusaha membersihkan sehingga 7,000 nama pengundi yang meninggal dunia daripada daftar pemilih setiap bulan.

Menjawab soalan berhubung cadangan supaya pemilih didaftarkan secara automatik sebaik mencapai usia layak mengundi pula, Wan Ahmad berkata cadangan berkenaan boleh dikemukakan kepada kerajaan.

"Tetapi dalam sistem sekarang, kerajaan perlu setuju dengan pindaan itu dahulu, barulah rang undang-undang itu boleh didrafkan oleh Peguam Negara.

"Kita mungkin fikir perkara itu betul tapi ada orang yang berfikiran berlainan," katanya lagi yang menambah rakyat juga perlu diberi hak untuk memilih sama ada mereka mahu mendaftar sebagai pemilih.

Jawapan itu nyata tidak memuaskan hati beberapa orang yang hadir sehingga ada yang mencabar Wan Ahmad supaya bertindak meletak jawatan atas dasar prinsip sekiranya cadangan mereka enggan diterima oleh kerajaan.

Wan Ahmad turut dicabar sekali lagi supaya mendedahkan cadangan pindaan yang dikemukakan olehnya kepada kerajaan sebelum ini agar dapat memulihkan persepsi yang timbul terhadap badan pengurus pilihan raya itu.

Pengerusi jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo berkata, SPR perlu tegas dalam mengemukakan pindaan itu atas dasar prinsip.


Seorang lagi yang mengemukakan soalan, bekas hakim kanan Datuk KC Vohrah berkata, Peguam Negara tidak berhak untuk menentukan perkara yang betul atau salah bagi pihak SPR.

"Saya tidak faham mengapa Peguam Negara perlu draf undang-undang anda. Sepatutnya anda pergi kepada peguam negara dan pertahankan pendirian anda,"
kata Vohrah lagi yang merupakan bekas penasihat kanan di Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, moderator forum berkenaan, Tan Sri Ramon Navaratnam turut meminta hadirin supaya mengangkat tangan sekiranya mereka melihat SPR sebagai badan yang tidak bebas.

Hampir kesemua yang hadir di majlis berkenaan mengangkat tangan apabila ditanya sedemikian.

Wan Ahmad dalam penjelasannya kemudiannya sekadar berkata, permintaan itu terlalu besar dan para hadirin sepatutnya perlu lebih munasabah.

"Anda perlu munasabah kerana kita bekerja dalam sistem. Hakim juga boleh tekankan apa saja reformasi tapi kita perlu bekerja di dalam sistem," katanya lagi dalam forum yang turut disertai peguam veteran Datuk Mohd Shafee Abdullah. -mk


Pusingan ke-2: Ambiga asak Wan Ahmad

Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengulangi bahawa SPR hanya sebuah "badan pengurusan" di bawah undang-undang untuk menguruskan pilihan raya, dan bukannya sebuah agensi penguatkuasa.

Katanya, SPR berpandu kepada Pejabat Peguam Negara "dan undang-undang yang diberikan kepada kami adalah undang-undang pengurusan."

Beliau menyatakan demikian di forum "Undang-Undang Pilihan Raya, SPR dan Pembaharuan Pilihan Raya' anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham).

Dalam ucapan pembukaannya di forum tersebut, Wan Ahmad berkata isu-isu yang berkaitan dengan politik wang, beli undi dan politik kotor adalah di bawah bidangkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"SPR boleh dipanggil sebagai responden atau saksi di mahkamah, tetapi tidak pernah dalam sejarah negara ini, SPR mengheret orang ke mahkamah berhubung rasuah," katanya.

NONEMengenai pasukan penguatkuasa SPR yang dibentuk semasa kempen pilihan raya, Wan Ahmad berkata, peranan mereka adalah hanya memantau poster yang dipasang ketika kempen.

"Apa yang mereka (parti politik) cakap semasa ceramah dikendalikan oleh pihak polis, mengikut Akta Polis. Ianya menjadi tanggungjawab polis untuk memantau ceramah."

Forum itu diadakan di Dream Centre di Seksyen 13, Petaling Jaya, petang ini - dan merupakan pusingan kedua yang dinanti-nantikan antara Wan Ahmad dan pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga.

'Tak benar SPR tak ada kuasa'

Menjawab kenyataan Wan Ahmad, Ambiga, sebagai penceramah kedua, memetik Seksyen 27E Akta Kesalahan Pilihan Raya untuk membuktikan bahawa SPR sebenarnya mempunyai kuasa lebih luas daripada tanggapan suruhanjaya tersebut.

Menurut Ambiga, seksyen itu memberi kuasa kepada pasukan penguatkuasa SPR sewaktu kempen pilihan raya untuk "memastikan bahawa undang-undang bertulis berhubung dengan pilihan raya dipatuhi".

Beliau berhujah bahawa SPR juga mempunyai kuasa di bawah undang-undang sedia ada, untuk memanggil pihak-pihak berkuasa lain untuk membantu suruhanjaya itu dalam menjalankan tugasnya.

Oleh itu, walaupun SPR tidak mempunyai kuasa pendakwaan, ia mempunyai tanggungjawab untuk membuat laporan polis atau meminta pihak berkuasa lain mengambil tindakan, apabila berhadapan dengan kes-kes penyelewengan.

Bekas presiden Majlis Peguam juga telah menyoal Wan Ahmad mengenai isu undi pos bagi rakyat Malaysia di luar negara, yang dinafikan peluang untuk mengundi.

"Daripada maklum balas yang kami terima, ia adalah mustahil bagi mereka untuk pergi ke kedutaan Malaysia untuk mengundi," kata Ambiga.

Beliau mengingatkan Wan Ahmad bahawa 50,000 hingga 200,000 rakyat Sarawak di Semenanjung hilang hak untuk mengundi dalam pilihan raya negeri itu April lalu kerana mereka tidak layak sebagai pengundi pos.

Pendaftaran automatik 'boleh dilakukan'

Menyentuh perkara yang sama, Ambiga juga meminta Wan Ahmad menjelaskan sama ada anggota tentera Wataniah, yang dicadang kerajaan diwujudkan di setiap kawasan parlimen di seluruh negara, akan didaftarkan sebagai pengundi pos.

Mengenai isu pendaftaran secara automatik - salah satu tuntutan BERSIH 2.0, Ambiga menolak alasan SPR bahawa ia akan memaksa orang ramai untuk mengundi, dan ia akan menyebabkan peratusan mengundi yang rendah.

Beliau berhujah bahawa jika rakyat secara automatik didaftarkan sebagai pengundi apabila mencapai umur 21 tahun, mereka masih mempunyai pilihan sama ada untuk mengundi atau tidak.

Bagi masalah keluar mengundi yang lebih rendah, Ambiga membalas bahawa pendaftaran automatik akan menghasilkan sebaliknya, kerana ia mengatasi masalah mereka yang malas untuk mendaftar di bawah sistem sekarang.

Tambahnya, pendaftaran automatik boleh dilakukan jika pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang disambung kepada SPR, adalah bersih dan mempunyai integriti yang tinggi. -mk


Ulasan GB

Banyaklah alasan SPR kali ini untuk pertahankan diri kononnya SPR tidak ada kuasa itu dan ini apabila ia melibatkan kepentingan UMNO BN.

Walhal semua orang masih ingat apabila mengenai Pakatan Rakyat sepantas kilat SPR keluarkan kenyataan malah ada yanb berbaur ugutan untuk ambil tindakan seperti kes penyerahan wang zakat oleh Nik Aziz kepada orang asli di pilihanraya kecil Galas.

Ternyata SPR kini cuba terus menipu rakyat.

Kami ingin menyatakan kepada SPR, kamu tidak akan dilepaskan, kamu tidak mungkin menipu rakyat dalam setiap masa. Satu hari ada yang bakal dipenjarakan kerana perbuatan menipunya itu.

Isu Cincin RM24 Juta: SAMM Tolak Penafian Rosmah

Gerakan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak penafian isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor bahawa beliau bukan pemilik sebentuk cincin berlian RM24 juta yang diimport dari Amerika Syarikat.

Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin berkata penafian "bongkak dan angkuh" Rosmah tidak boleh diterima kerana ia tidak menangani isu dokumen-dokumen Kastam bersabit cincin itu yang dikemukakan oleh SAMM kepada Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua minggu lalu.

Menurut Badrul, tabiat boros Rosmah akhirnya akan memberi kesan kepada pentadbiran negara yang berada di bawah naungan suaminya sendiri.

Beliau berkata ada bukti jelas dalam rekod kastam menunjukkan kemasukan sebentuk cincin berharga lebih RM24 juta pada 16 April lalu atas nama beliau sebagai penerima.

"Sikap boros dan sombong beliau yang kita lihat banyak sangat menghancurkan negara ini dan kerana itu Rosmah boleh cakap apa sahaja seperti juga Imelda Marcos yang langsung tidak mempedulikan protes dan suara rakyat. Dan akhirnya kehancuran Marcos penyumbang besarnya adalah Imelda,"katanya kepada Tv Selangor.

Badrul yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard berkata, beliau tidak membuat sebarang tuduhan melulu ke atas Rosmah, namun ia bersandarkan kepada bukti yang dibekalkan kepada pihaknya.

"Mengenai cincin ini saya tidak melemparkan sebarang tuduhan cuma saya mengeluarkan pada peringkat awalnya pada 8 Julai beberapa dokumen yang membuktikan ada kemasukan sebentuk cincin belian berharga RM24.45 juta yang dalam nama penerima ada tertera nama Rosmah Bin Mansor.

"Jadi saya bangkitkan dan minta untuk Rosmah atau mana-mana pihak untuk menyatakan kebenaran,"
katanya lagi.

Sikap berdolak-dalih dan angkuh isteri Perdana Menteri menimbulkan 1001 persoalan manakala alasan pihak tertentu kononnya cincin itu dibawa masuk bagi tujuan pameran 'sulit' sebelum di bawa keluar ke Singapura tidak logik sama sekali.

"Kalau (cincin) masuk untuk (tujuan) pameranlah.. (sedangkan) kalau dia buat pameran fesyen (biasa pun), dia paksa semua media untuk siarkan pameran fesyen dia. Kalau dia buat pameran berlian RM24 juta.. takkan dia tidak panggil media.

"Bila kita tanya pameran di mana? Pameran di sebuah tempat sulit, Bila? Di tarikh yang sulit. Siapa tetamu jemputan tengok pameran ini, oh tetamu yang sulit. Saya merasakan mereka sedang mencipta alasan demi alasan untuk membela Rosmah bin Mansor," kata Chegubard.

Terdahulu sebuah Edyesdot.com mendedahkan bahawa pameran sulit tersebut berlangsung pada 17-19 April 2011, di sebuah tempat yang turut dirahsiakan.

Berlian itu kemudian dibawa ke Singapura empat hari selepas itu dengan menggunakan borang K2 yang dikeluarkan Kastam di Raja Malaysia sebagai bukti pengeluaran.

Namun borang tersebut menimbulkan banyak keraguan termasuk status pegawai yang menurunkan tandatangan ke atas borang kastam berkenaan.

"Persoalan saya pula ialah....kalau masuk untuk pameran, kenapa tidak masuk prosedur untuk masuk pameran?" soal beliau.

Semalam, ketika mengiringi suaminya untuk lawatan rasmi ke Kedah, Rosmah dipetik berkata bahawa beliau difitnah oleh blogger tertentu sebagai memiliki sebentuk cincin berlian RM24 juta.

“Tak ada apa yang saya nak cakap (mengenai pembelian cincin lebih RM24 juta) sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (blogger) saja hendak cakap (tuduh),” kata beliau.

Bagaimanapun Rosmah tidak menjelaskan dokumen-dokumen Kastam bersabit pengimportan cincin itu atau pun siasatan SPRM mengenainya. -tvsnews



Menyayat Hati: Kanak-kanak Perempuan Mati Digilis Bapa

Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun 10 bulan maut selepas tidak sengaja digilis kenderaan yang dipandu bapanya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Tok Jawa, Tawang, Bachok, hari ini. Gambar hiasan.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi ketika keluarga mangsa, Nuramni Atirah Che Pauzi bersiap untuk keluar membeli kelengkapan menyambut Ramadan.

Bapa mangsa, Che Pauzi Mamat, 44, berkata beliau memanaskan enjin kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alzanya dan sama sekali tidak menyangka anak tunggalnya mengekori di belakang.

Beliau berkata sambil menunggu isterinya, Noraini Othman, 38, bersiap, beliau keluar dari rumah untuk memanaskan enjin dan menyangkakan anaknya itu berada bersama ibunya.

"Selepas memanaskan enjin kira-kira 15 minit, saya terus mengundurkan kereta namun tiba-tiba saya dengar jiran yang lalu di depan rumah menjerit memberitahu yang anak saya ada di bawah kereta," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

Che Pauzi, yang bertugas sebagai pekerja am di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berkata beliau terus melihat di bawah kenderaan dan terkejut apabila melihat anaknya tersepit di bawah tayar depan sebelah kiri kenderaan.

Bagaimanapun, katanya anaknya meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Klinik Kesihatan Kedai Lalat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng mengesahkan menerima laporan kes itu yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - BERNAMA