11 Mac 2011

Waspada: Ubat Herba Antara Punca Sakit Buah Pinggang

Alor Setar - Masyarakat di negara ini diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan ubat-ubat herba yang dijual di pasar atau kaki lima kerana dikhuatiri mengandungi racun yang boleh menyebabkan sakit buah pinggang.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Marzukhi Md Isa berkata penyakit buah pinggang bukan terjadi dengan sendiri tetapi antaranya disebabkan pemakanan ubat herba yang dijual tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sebenarnya dalam ubat herba yang dijual itu mempunyai banyak racun yang kita tidak tahu, mungkin kita selesa makan ubat itu, tapi tanpa kita sedari ubat itu menjadi penyebab sakit buah pinggang.

"Masyarakat jangan terlalu mudah terpengaruh dengan herba-herba yang dijual kerana ia akan mendatangkan penyakit, ada ubat-ubat herba itu berdaftar dengan KKM tetapi ia tidak mendapat kelulusan KKM, itupun perlu diambil berat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalan Sihat Hari Buah Pinggang Sedunia 2011 Peringkat Negeri Kedah di sini Jumaat.

Selain itu, katanya cara hidup masyarakat sekarang juga mendorong kepada sakit buah pinggang.

"Cara pemakanan yang tidak sihat akan menyebabkan mereka mendapat kencing manis, dan secara tidak langsung ia turut melibatkan sakit buah pinggang dan jantung," kata Marzukhi.

Beliau berkata di Kedah terdapat 1,159 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis di 35 pusat dialisis pada 2009.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,116 pesakit menggunakan mesin dialisis manakala 43 pesakit lagi menggunakan kaedah Peritoneum Peritoneal Dialisis (PPD) iaitu memasukkan air dalam perut selama empat hingga lima jam dan selepas itu perlu dikeluarkan semula untuk membuang toksin racun dalam badan tanpa menggunakan mesin hemodialisis," katanya.

Beliau berkata terdapat antara 3,000 hingga 4,000 pesakit baru yang menjalani dialisis setiap tahun.

"Kita jangkakan 10 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia mengalami sakit buah pinggang. Jadi, saya seru kepada masyarakat supaya menjalani cara hidup sihat untuk kesejahteraan hidup," katanya.

-- BERNAMA

Amacam Sampai Boleh Ada 3 Profail DNA Di Dubur Saiful?

Tiga profail DNA keliling dubur, Saiful enggan komen

Belum sempat pihak pendakwaan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup kes mereka, peguam bela utama Karpal Singh memohon untuk memanggil semula saksi utama pendakwa, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Alasan Karpal, beliau ingin bertanya berkaitan hasil penemuan dua DNA oleh ahli kimia, Dr Seah Lay Hong di dalam rektum (saluran dubur) mangsa.

Peguam Cara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden bagaimanapun membantah kerana menurutnya ia bukan bahan bukti. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah kemudiannya menangguhkan perbicaraan san semua pihak bermesyuarat di kamar hakim.

Mohd Saiful kemudian dipanggil semula dan Karpal memintanya menceritakan kejadian dan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur.

Karpal: Adakah awak pergi tandas?

Saiful: Ya, tapi saya tidak berak antara 26 hingga 28 Jun.

Karpal: Tandas, di mana?

Saiful: Ada beberapa.

Karpal: Menurut keterangan Dr Seah ada tiga profail DNA daripada orang berlainan di keliling dubur awak. Maknanya (awak) ada dua atau tiga rakan?

Saiful: Tidak. Saya tak boleh komen penemuan (Seah) itu.

Semasa diperiksa semula oleh Yusof, Saiful berkata dia mandi di rumah dan juga membuang air di tandas rumahnya.

Yusof kemudiannya membuat dua permohonan kepada mahkamah. Pertama, beliau mahu semakan ke atas penghakiman perbicaraan dalam perbicaraan.

"Ketika itu, kita tidak tahu alasan. Kami mempunyai waran, apa yang dica(tat) dalam waran adalah pertuduhan,” katanya.

Permohonan keduanya, pihak pendakwaan mahu mahkamah memaksa Anwar membekalkan sampel DNA untuk tujuan profailing. Bagaimanapun permintaan itu dibantah oleh Karpal.

Mahkamah kemudiannya ditangguhkan sehingga Isnin ini.

Geng Samun Kereta Mewah Tepi Jalan Tumpas

Kuala Lumpur – Taktik penyamun kereta mewah dengan cara langgar dan kebas akhirnya lumpuh dengan tertangkapnya 11 suspek dalam Ops Lejang Elite.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, kesemua suspek berusia antara 20 dan 35 tahun itu dipercayai aktif di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini, melibatkan lebih 10 kes samun kereta mewah.

Katanya, lapan kenderaan bernilai kira-kira RM1 juta, termasuk Toyota Alphard, BMW, Mitsubishi Air Trek, Honda Civic dan Toyota Altis, turut dirampas.

Polis percaya masih terdapat ahli sindiket itu yang masih bebas dan pihaknya akan terus memburu kumpulan terbabit.

Menurutnya, melalui operasi sama di Johor, polis menahan lima orang dan merampas dua kenderaan.

“Modus operandi kedua-dua sindiket itu sama, mengekori mangsa dan melanggar kereta dari belakang di kawasan sunyi.

“Apabila mangsa keluar untuk berunding, suspek bertindak mengacu senjata seperti parang dan kayu untuk menakutkan mangsa, kemudian melarikan kereta itu,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, suspek selalunya bertindak antara dua hingga empat orang ketika melakukan samun itu dan turut melarikan barangan berharga milik mangsa.

Menurutnya, dalam perkembangan berasingan, polis berjaya melumpuhkan sindiket menyeludup kereta ke negara jiran dengan tertangkapnya enam suspek di Perlis hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Bukit Kayu Hitam.

Katanya, sejak 2009, kira-kira 100 kes samun kereta mewah melibatkan kira-kira RM10 juta, dilaporkan

“Berdasarkan siasatan, kebiasaannya kereta mewah itu diseludup ke luar negara antaranya, Dubai dan Afrika Selatan.

“Polis akan siasat sama ada terdapat ‘orang dalam’ syarikat perkapalan terlibat dalam kegiatan ini,” katanya.

Menurutnya, bagi kereta kurang berjenama, sindiket menggunakannya untuk kegiatan jenayah seperti samun atau meleraikan komponennya bagi dijual sebagai alat ganti.

Berikutan itu, beliau menasihati orang ramai berhati-hati ketika berhadapan dengan senario dilanggar kenderaan lain dari belakang.

Menurutnya, jika berlaku kemalangan, orang awam dinasihatkan segera ke balai berhampiran.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan yang tidak mahu identitinya dikenalkan, dedahkan pengalamannya disamun tiga lelaki di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), bulan lalu.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan dari USJ ke rumahnya di Shah Alam, pada tengah malam, dia dilanggar kereta dari belakang.

“Saya keluar dari kereta dan seorang daripada mereka meminta maaf dalam keadaan mabuk.

“Tiba-tiba seorang lagi acu parang ke leher saya sebelum melarikan kereta, telefon bimbit dan dompet saya,” katanya. -SH


Komplot samun kereta tepi jalan

KUALA LUMPUR - Taktik licik 11 lelaki yang giat melakukan kegiatan menyamun kereta mewah dengan cara melanggar belakang kereta di kawasan sunyi tumpas apabila polis menahan anggota-anggota sindiket itu dan merampas lapan buah kereta mewah bernilai RM1 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, kesemua lelaki berumur 20 hingga 35 tahun itu ditahan sejak dua minggu lalu yang dipercayai terbabit dalam lebih 10 kes samun kereta mewah di lebuh raya di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini.

Salah seorang daripada 11 suspek itu merupakan ketua sindiket itu. Ketua sindiket itu merupakan bekas tahanan Simpang Renggam, Johor.

"Antara kereta mewah yang berjaya dirampas ialah Toyota Alphard, BMW, Mitsubishi Airtrek, Honda Civic dan Toyota Altis.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan sengaja melanggar kereta mangsa di kawasan sunyi sebelum melarikan kereta serta barangan berharga mereka. Mangsa pula akan ditinggalkan di tepi jalan," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Daripada tangkapan itu, menurut beliau, polis turut menjumpai parang, kayu dan pistol yang mungkin digunakan suspek sebagai senjata untuk mengugut mangsa. -kosmo


[Bergambar & Video] China Dilanda Gempa Bumi - 25 Maut, 250 Cedera

Beijing: Gempa bumi memusnahkan lebih 1,000 rumah dan pangsapuri di barat daya China berdekatan sempadan Myanmar mengakibatkan sekurang-kurangnya 25 terbunuh dan menyebabkan 250 cedera, kata kerajaan hari ini.

Gambar kejadian itu menunjukkan gempa bumi yang melanda semalam menunjukkan bangunan melambung dan tingkat bawah retak teruk.

Polis, anggota boomba dan askar bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan orang ramai yang terperangkap termasuk seorang lelaki dan kanak-kanak perempuan dalam bangunan empat tingkat, kata stesen China Central Television.

Bahagian sebuah pasaraya dan hotel turut roboh manakala laluan tepi jalan menyaksikan ramai yang mengalami kecederaan diberikan selimut dan diberikan payung bagi melindungi daripada terik matahari.

Kementerian Hal Ehwal Awam negara itu berkata, 25 orang terbunuh di wilayah Yunnan membabitkan daerah Yingjiang.

Dalam pada itu, kira-kira 250 orang mengalami kecederaan termasuk 134 cedera parah, kata kementerian itu dalam pengumuman menerusi laman web. - AP







[Bergambar & Video] Gempa Bumi 8.9 Gegar Jepun, Tsunami 6 Meter

Tokyo — Kawasan pantai timur laut Jepun dilanda tsunami enam meter susulan gempa bumi besar pada ukuran 8.8.

Seorang dilaporkan maut dalam kejadian terbaru ini.

Dua minggu lalu New Zealand berhadapan dengan gempa bumi terburuk dengan menyebabkan lebih 100 orang terbunuh.

Siaran televisyen menunjukkan kereta, kapal dan bangunan di kawasan Fukushima, kira-kira 400 kilometer dari Tokyo, dibawa arus tsunami.

Pegawai-pegawai berkata kawasan itu dilanda tsunami setinggi enam meter (20 kaki).

Amaran tsunami juga dikeluarkan di Rusia, Filipina, Taiwan, Hawaii, dan Indonesia.

Ekoran gempa bumi sekitar yang berlaku sekitar pukul 1.46 tengah hari tadi, agensi berita Kyodo melaporkan lapangan terbang Narita turut ditutup.

Lapangan terbang Sendai juga berhadapan dengan tsunami.

Sebuah kapal besar “disapu” ketika tsunami mengalir ke arah bandar raya Kesennuma di wilayah Miyagi, demikian menurut NHK.

Satu lagi siaran televisyen menunjukkan terjadi kebakaran di kawasan industri Isogo di Yokohama.

Kebakaran juga dilaporkan di bandar raya Sendai.

Bandar raya juga dilanda tsunami kecil manakala sebuah jejantas turut musnah dalam kejadian terbaru ini.

Pegawai-pegawai sedang menilai kemusnahan dibawa oleh tsunami dan gempa bumi.
















Terbakar Lagi - 2 Beranak Nyaris Maut

Bandar Jerantut – Dua beranak nyaris maut apabila kereta jenis proton Wira yang dipandu seorang wanita tiba-tiba mengeluarkan asap sebelum terbakar dalam kejadian kira-kira 1.05 petang semalam.

Mangsa iaitu seorang suri rumah, Hasliza Sharif, 34, bersama anak lelakinya, Izul Hazim Zahari, 5, ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.

Menceritakan detik cemas itu, Hasliza berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja keluar dari arah lampu isyarat kompleks kerajaan menuju ke rumah setelah membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat asma.

Menurutnya, mereka mendengar siaran radio ketika kejadian itu namun ia tiba-tiba terpadam sendiri.

“Radio itu tidak berbunyi dan mati dengan sendirinya dan secara tiba-tiba, keluar kepulan asap kecil dari arah radio dalam kereta.

“Mujur saya tidak panik dan cepat bertindak dengan memberhentikan kereta di bahu jalan. Saya mendukung anak dan berlari keluar untuk mendapatkan perlindungan agak jauh sedikit dari kereta itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Hasliza berkata, selepas keluar, asap hitam tebal mula memenuhi kereta diikuti percikan api yang seterusnya marak membakar seluruh kereta.

Menurutnya, dia tidak pernah berhadapan dengan kes kemalangan dan kejadian itu pertama kali ditempuhinya sepanjang memiliki lesen dan memandu kenderaan.

“Walaupun kereta musnah terbakar, saya amat bersyukur kerana kami dua beranak selamat. Hanya nyawa yang difikirkan ketika itu dan bantuan orang ramai menghubungi bomba juga amatlah dihargai sepenuhnya.

“Bekalan ubat yang diperoleh dari hospital juga turut terbakar bersama kereta, namun dokumen penting sempat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Ali Abdul Rahman berkata, dia sendiri terkejut apabila pertama kali melihat insiden kereta terbakar.

Menurutnya, tiada sesiapa berani mendekati kenderaan itu kerana bimbang ia meletup, namun dia dan anaknya nekad untuk berjumpa mangsa dan memberikan pertolongan termampu.

“Syukur semuanya selamat dan atas bantuan orang ramai serta bomba, keadaan dapat diselamatkan daripada menjadi lebih teruk,” katanya.

Catat empat kes kebakaran kenderaan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Yahaya Hanafi berkata, kejadian kebakaran kereta semalam merupakan kes keempat dicatatkan berlaku pada tahun ini.

Menurutnya, kes kenderaan terbakar itu membabitkan tiga kereta dan sebuah lori pada awal tahun ini.

“Kita masih menyiasat punca kenderaan semalam terbakar dan pemandu diharap tidak panik jika berdepan dengan kes sebegini.

“Jika berlaku masalah, mereka diharap dapat bertindak segera dengan memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan keluar menyelamatkan diri terlebih dahulu,” katanya.

Bagi Ketua Operasi Balai Bomba Penyelamat Jerantut, Osman Malik pula berkata, satu jentera dengan kekuatan enam anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus mendapat aduan semalam.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan berlaku berikutan mangsa sempat menyelamatkan diri, manakala operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya kira-kira sejam kemudian. -SH

Saman Ekor: DAP Cadang Heret Kerajaan Ke Mahkamah

Manjung – DAP Perak akan membawa isu saman ekor ke mahkamah jika gagal diselesaikan selepas tempoh lanjut berakhir semalam.

Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, beliau menjuruskan perkara itu kepada kesilapan saman ekor ke atas beberapa individu yang tidak pernah melakukan kesalahan sepertimana notis tawaran kompaun saman ekor.

Menurutnya, perkara itu adalah mengikut peruntukan undang-undang yang mengatakan seseorang individu tidak boleh dianggap bersalah, selain dibuktikan dalam mahkamah.

"Perlembagaan jelas mengatakan, tindakan tidak boleh diambil ke atas individu sebelum dibuktikan bersalah dalam mahkamah termasuk menahan cukai jalan mengikut peruntukan undang-undang negara ini.

"Ada banyak kes yang diadukan termasuk kepada saya sendiri apabila individu berkenaan jelas tidak melakukan kesalahan seperti dinyatakan dalam notis tawaran kompaun saman ekor," katanya kelmarin.

Koo Ham berkata, beliau mendapat aduan dua kes terbaru di mana melibatkan seorang guru apabila tarikh dan masa yang dinyatakan dalam notis berkenaan adalah waktu beliau berada di sekolah dan sedang mengajar.

Satu kes lagi, berkenaan kesilapan jenis kenderaan iaitu nombor pendaftaran kenderaan yang di saman didaftarkan ke atas kereta, bukan motosikal sepertimana dinyatakan dalam notis tawaran kompaun saman ekor.

"Kita telah menghantar surat kepada polis meminta supaya notis tawaran kompaun saman ekor yang silap dikeluarkan ini dibatalkan, tetapi polis enggan berbuat demikian.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat bersatu hati menentang sikap kerajaan berhubung isu saman ekor. -SH


Saman Ekor: Fahami isu sebenar
Zulhazmi Shariff

Saya ingin merujuk kepada siaran akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2011 yang memetik ulasan seorang Pakar Perlembagaan Profesor Dr Rohimi Shapiee. Saya amat dukacita dengan perkembangan dan ulasan tersebut yang melabelkan pihak-pihak yang tidak menggalakkan rakyat membayar saman sebagai sebagai nakal dan menggalakkan pemandu supaya terus melanggar undang-undang.

Saya ingin tegaskan pendirian kami di Jawatankuasa Kempen Anti saman Ekor (KASE) bahawa kami tidak sekali-kali bersetuju dan menggalakkan pemandu-pemandu kenderaan memandu tidak mengikut peraturan. Setiap pemandu mestilah memandu dengan berhemah kerana jalanraya bukan harta persendirian tetapi hak bersama. Kami juga tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan sedia ada. Atas hujah dan pendirian ini, kami melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) iaitu bertujuan memberikan penerangan tentang hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan, prinsip keadilan dan pematuhan peraturan serta prosedur tindakan undang-undang.

Tidak pernah pada bila-bila masa dan ketika, Kami menyatakan bahawa Saman Ekor yang dikeluarkan oleh PDRM adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta. Jika ada, saya merasakan kenyataan dan pendirian kami telah disalah tafsir. Saya ingin memperbetulkan pemahaman dan persepsi sesiapa sahaja termasuk Pakar Perlembagaan tersebut supaya sebelum membuat sebarang ulasan atau komen, FAHAMI dahulu apa isu yang dibawa dan ditimbulkan.

Saya ingin menegaskan bahawa Saman Ekor yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi hanya sekadar notis meminta maklumat pemandu daripada pemilik kenderaan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Notis ini disebut sebagai Pol 170A. Fakta ini tidak pernah disangkal malah diakui oleh Kementerian Dalam Negeri, PDRM malah Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat. Saya mohon kerjasama pihak-pihak yang ingin membuat ulasan supaya lebih rajin membaca daripada membuat ulasan dan komen berasaskan lojik akal fikiran. Pernahkah pihak-pihak yang membuat ulasan ini meneliti setiap patah perkataan yang terkandung di dalam notis Pol 170A tersebut sebelum membuat komen? Baca dan fahami kandungannya dahulu kemudian nyatakan komen dan ulasan.

Mengikut Seksyen 115 (1) APJ 1987 setiap pemilik kenderaan apabila diberikan notis Pol 170A ini hendaklah memberikan maklumat pemandu yang disyaki telah melakukan kesalahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh notis diterima. Kegagalan memberikan maklumat boleh dianggap melakukan kesalahan melainkan pemilik memuaskan hati mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa yang memandu. Maksud memuaskan hati mahkamah tersebut ialah seseorang pemilik jika ingkar menjawab notis tersebut maka pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini hendaklah mengeluarkan suatu notis (Saman) di bawah Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Persoalannya adakah semua prosedur ini diikuti oleh pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini?

Bersama Notis Pol 170A ini juga dikepilkan Notis Pol 171 iaitu menawarkan kompaun kepada pemilik kenderaan jika pemilik mengakui kesalahan dan ingin menerima tawaran kompaun, pemilik boleh menjelaskannya. Perlu diambil perhatian bahawa tawaran kompaun ini diberikan melalui Seksyen 120 (1) APJ 1987. Kompaun ini hanyalah semata-mata tawaran. Bukan suatu bentuk hukuman atau denda. Kompaun ini juga mempunyai tempoh sah laku kerana di dalam Notis Pol 171 di perenggan 4 dinyatakan begini “Tawaran ini berkuatkuasa sehingga (tarikh). Sekiranya tiada jawapan selepas tarikh ini, tindakan saman akan diambil”. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kompaun tersebut hanyalah suatu tawaran, dan jika pemilik atau yang disyaki melakukan kesalahan tidak menerima tawaran kompaun tersebut dan enggan membayar, maka mereka hendaklah disaman supaya hadir di Mahkamah menjawap pertuduhan ke atas mereka. Saman ini dikeluarkan mengikut Seksyen 53(1) APJ 1987 yang disebut sebelum ini.

Persoalannya, adakah prosedur ini juga diikuti oleh pihak berkuasa?

Perkembangan yang berlaku sekarang ialah pihak berkuasa iaitu Kementerian dalam Negeri melalui PDRM telah menghukum orang yang disyaki melakukan kesalahan lalu lintas sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan melakukan kesalahan. Mereka dihukum dengan alasan tidak membayar kompaun sedangkan kompaun hanyalah tawaran. PDRM pula mengambil kesempatan di atas kurangnya pemahaman rakyat tentang undang-undang dan peraturan telah menghukum dengan meminta JPJ menyenarai hitam kenderaan bertujuan memaksa mereka membayar kompaun. INILAH TINDAKAN YANG BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN!


Kenapa ia bertentangan dengan Perlembagaan?

a) Kesalahan yang dikatakan telah dilakukan tersebut belum dibuktikan.

Rujuk kembali kepada ulasan asal di atas. Jika Pemilik kenderaan ingkar notis, sepatutnya mereka dihadapkan ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka ingkar notis tersebut. Pelbagai persoalan akan timbul di sini. Adakah notis tersebut telah dikeluarkan? Adakah notis tersebut telah diserahkan dengan sempurna?

Notis boleh diserahkan kepada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 118 APJ 1987 iaitu dengan pos berdaftar. Jadi pihak berkuasa perlu membuktikan terlebih dahulu notis itu telah dikeluarkan. Kemudian buktikan notis itu telah diserahkan iaitu dengan bukti pengeposan daripada pejabat pos berkaitan. Jika ada bukti tersebut barulah pemilik perlu buktikan kenapa beliau ingkar. Jika beliau telah memuaskan hati mahkamah dengan alasan-alasannya maka kemungkinan akan dilepaskan. Jika tidak dapat memuaskan hati Mahkamah, kemungkinan akan dijatuhkan hukuman kerana ingkar notis. Belum lagi soal memandu melebihi hadlaju. Adakah ini dilakukan dalam situasi sekarang ini? Jawapannya tidak kerana Timbalan Menteri Pengangkutan sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 8/3/2011 bahawa jika seseorang ingkar Notis Pol 170A ini maka mereka secara automatik dianggap melakukan kesalahan. Ini suatu anggapan yang salah di sisi undang-undang.

Jika pemilik atau pemandu disyaki memandu melebihi hadlaju, mereka sepatutnya disaman hadir ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan tersebut. Adakah ini dilakukan? Tidak! Mereka terus disenarai hitam kerana tidak membayar kompaun. Sepatutnya PDRM membawa mereka ini ke Mahkamah, buktikan mereka memandu melebihi hadlaju. PDRM sentiasa mengatakan mereka mempunyai bukti, jadi buktikan di Mahkamah. Bukan dengan bekerjasama dengan JPJ untuk menyenarai hitam supaya pemilik kenderaan membayar kompaun. Ini salah! Kenapa PDRM tidak membawa mereka ini ke Mahkamah untuk dibuktikan kesalahan? Mungkin PDRM tahu bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan tersebut.

Perlu diambil perhatian bahawa APJ 1987 tidak memperuntukkan sebarang penggunaan imej yang dirakam untuk diterima pakai sebagai bukti di Mahkamah. Setelah APJ 1987 dipinda pada 22/12/2010 dan mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 barulah imej yang dirakam diterima sebagai bukti di Mahkamah. Ini disebut di dalam seksyen 117 (11) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 seperti berikut : Dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, apa-apa imej yang dirakamkan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan, dan hendaklah menjadi bukti prima facie bagi fakta yang dinyatakan di dalamnya.

Akan ada pula pihak yang akan mengatakan bahawa gambar boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah mengikut peruntukkan Akta Keterangan 1950. Betul, tetapi gambar bagaimana, bagaimana gambar diambil. Jika boleh digunakan peruntukkan Akta Keterangan 1950, kenapa kerajaan bersusah payah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memasukkan penggunaan gambar (imej) sebagai bukti yang boleh diterima?

Apa yang menyedihkan lagi, sudahlah gambar tidak boleh diterima sebagai bukti, para pemandu dan pemilik telah dikenakan bayaran RM10 untuk melihat dan mendapatkan salinan gambar tersebut oleh PDRM. Sudah lah tidak dibuktikan lagi mereka bersalah, mereka dikenakan bayaran untuk membuktikan mereka tidak bersalah. Sistem keadilan apa yang kita guna???

b) Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Ada dua (2) isu di sini :

a) Pembuktian bersalah; dan
b) Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah.

Pembuktian salah.

Seperti yang diulas sebelum ini, adakah semua yang dituduh dan dikeluarkan Saman Ekor ini telah dibuktikan melakukan kesalahan oleh PDRM dan JPJ? Di Mahkamah mana mereka ini dibuktikan bersalah? Jika tidak pernah dibuktikan bersalah, kenapa menghukum?

Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah?

Kuasa untuk menghukum ini adalah kuasa Mahkamah. Inilah tujuannya diwujudkan tiga (3) cabang dalam kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Polis tiada kuasa menghukum. JPJ tiada kuasa menghukum malah kerajaan tiada kuasa menghukum. Hanya Mahkamah sahaja mempunyai kuasa ini. Justeru tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan ini adalah suatu hukuman. Siapa yang menyenarai hitam? Bukan Mahkamah tetapi JPJ. Adakah JPJ telah mendapat perintah Mahkamah untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan?

JPJ akan menyatakan mereka mempunyai kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 untuk menghalang transaksi. Bagaimana kuasa tersebut perlu dibuat? Peruntukkannya menyebut bahawa Pengarah JPJ hendaklah berpuashati bahawa seseorang itu tidak mempunyai “perkara yang belum selesai”. Bagaimana JPJ hendak berpuashati? Mestilah membuat suatu siasatan seperti memberikan peluang membuat representasi kepada pemilik. Ini disebut di dalam Seksyen 17(2) APJ 1987. Adakah ini dibuat? Tanyalah JPJ.

Senario sekarang ini adalah hukum dahulu buktikan kesalahan kemudian. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.

c) Menyenarai hitam bermaksud menghalang rakyat menggunakan harta.

Perkara ini diulas dengan terperinci di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280.

Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuching tersebut telah memutuskan bahawa “perkara yang belum selesai” yang dimaksudkan di dalam Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 ialah perkara yang telah dibawa ke mahkamah di mana yang dituduh tidak membela diri.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan JPJ Negeri Sarawak menyenarai hitam di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Malah tindakan tersebut juga dianggap bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat menggunakan harta mereka.

Akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan gantirugi terhadap JPJ kerana telah menyebabkan kerugian kepada pemohon di dalam kes itu akibat kehilangan penggunaan harta beliau iaitu kereta yang disenarai hitam.

Justeru saya ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan persepsi dan pemahaman sesetengah pihak supaya apa yang diperjuangkan dan dibahaskan ini adalah isu penyalahgunaan proses keadilan. FAHAMI ISU SEBENAR! ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!

ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

11/3/2011


PAS Mengharapkan Tuhan Bekerja Untuknya?

Amaran keras dari Merlimau, Kerdau Oleh Ahmad Lutfi Othman

Kekalahan "teruk" PAS di Kerdau dan Merlimau -- dengan majoriti BN yang lebih besar -- mengundang banyak kritikan. Saya kira, adalah baik sekiranya pemimpin PAS dapat meneliti setiap teguran yang dikemukakan bagi melakukan proses penambahbaikan. Tentunya dalam PAS sindrom penafian belum menjadi wabak sehingga segala pandangan berbeda diketepikan begitu sahaja.

Bukankah siri pilihan raya kecil selepas tsunami politik Mac 2008, sama ada mencatatkan kemenangan atau kekalahan, dapat menghimpunkan iktibar sekali gus mendorong pembaharuan dilakukan sebelum Parlimen dibubarkan nanti?

PRU13 dijangka merupakan "medan pertempuran" paling sengit bakal disaksikan sepanjang sejarah pilihan raya di negara kita. Buat pertama kali rakyat Malaysia benar-benar ada pilihan dan berpeluang untuk menukar kerajaan persekutuan. Justeru, semua parti politik begitu serius mengatur persiapan rapi daripada semua segi, selain bersedia mengambil manfaat daripada apa jua insiden, khususnya kelemahan yang tertonjol dalam pilihan raya kecil, bagi memastikan target tidak tersasar.

Umumnya, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional kini masih dalam keadaan bertahan. Daripada 16 kali pilihan raya kecil, kedudukannya seri 8-8. Namun, yang lebih menarik perhatian umum adalah kawasan-kawasan yang menyaksikan peralihan kerusi. PAS dapat merebut satu kerusi Umno, Parlimen Kuala Terengganu tetapi hilang Dun Galas, manakala DAP mencipta sejarah di Sibu dan MIC berjaya merebut Hulu Selangor. Di Semenanjung, selepas BN meningkatkan undi di Bagan Pinang, parti yang menerima tamparan hebat pada Mac 2008 itu terus melonjak. Selain berjaya merampas kerusi KeADILan di Hulu Selangor, Umno menguasai semula Galas dan meningkatkan majoriti kemenangan di Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Bagi PAS, kekalahan dengan kemerosotan undi di Melaka dan Pahang (sebelum itu Johor) perlu dibedah-siasat secara menyeluruh. Segala kealpaan atau kepincangan harus diakui bagi dirumuskan jalan keluar yang tepat dan berkesan. Reformasi masih sempat dilakukan jika didapati ia memerlukan berbuat demikian. (Sehebat mana pun sesebuah parti, ia masih terbuka kepada pembaharuan). Tiada hinanya mengaku kesilapan dan bersedia membuat pembaharuan daripada hanya berkeras menyalahkan pihak musuh.

Mungkin ia bukan lagi melibatkan perubahan dalam soal-soal taktikal dan penyelarasan jentera pilihan raya, tetapi juga membabitkan hal-hal lebih besar seperti penekanan, keutamaan dan pendekatan parti. Sebarang persepsi negatif tidak boleh dibiarkan biarpun ia mungkin nampak tidak berasas. Dan yang perlu dirombak atau diperbetulkan bukan sekadar berkaitan sesebuah parti yang bertanding, misalnya PAS dalam kes Kerdau dan Merlimau, tetapi juga parti-parti sekutu, seperti KeADILan dan DAP.

Bagi Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Sufian, kejayaan Umno-BN di Merlimau dan Kerdau, dengan majoriti lebih besar memberikan signal jelas kepada Pakatan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan sokongan rakyat. Isu-isu yang memberi kelebihan kepada Pakatan dalam PRU12 mungkin tidak lagi memberi kesan kepada pengundi. Tambahnya, trend nasional menunjukkan pengundi Melayu masih memihak BN. Beliau turut menegur pendekatan PAS menangani beberapa isu lokal, termasuk berkaitan Felda. "Misalnya, bagaimana hendak mengatasi perasaan terima kasih kepada kerajaan yang masih sangat tebal?" ujarnya.

Dahulu, ketiga-tiga negeri di selatan yang menjadi gelanggang siri pilihan raya kecil terkini itu bukan dikira wilayah tradisi PAS (walaupun prestasi PAS di Pahang pada 1999 boleh dianggap membanggakan juga). Bagaimanapun selepas 2008, apabila Putrajaya dilihat turut terbuka untuk dikuasai Pakatan, maka setiap kerusi tidak boleh diremehkan. Di pihak Pakatan, sasaran bukan lagi menjadi pembangkang yang kuat di peringkat Dun, tetapi adalah mengambil alih teraju pemerintahan negeri-negeri berkenaan.

Tidak pelik apabila pemimpin BN sering mengingatkan agar setiap penggerak kempennya agar tidak memandang rendah kemampuan calon Pakatan meskipun melibatkan kerusi yang dahulunya tidak tergambar dapat dimenangi pihak lawan. Segala kekuatan dan sumber (tentunya daripada kerajaan) dikerah semaksimum mungkin. Sepanjang kempen, media, khususnya akhbar harian dan siaran berita TV, diperalatkan dengan begitu dahsyat. Lihatlah cara agresif Ali Rustam dan Adnan Yaakob berkempen. Mungkin komitmen mereka menemui pengundi jauh lebih besar berbanding sikap sebahagian pemimpin Pakatan sendiri.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Abu Hassan Hasbullah mendedahkan, kekalahan berturut-turut PAS itu juga menunjukkan wujudnya kelemahan dari aspek strategi, taktikal dan operasi politik apabila kepentingan-kepentingan demografi, geografi dan antropologi politik tidak diterjemahkan dengan sempurna sebaliknya kebergantungan terhadap kepercayaan dan amalan politik lama.

"PAS belum mampu memperbaiki imej dan strategi dengan mengukuhkan bentuk dan kandungan pembawaan politik yang lebih moden, lebih dinamik, lebih pragmatik tanpa bergantung secara total pada nilai-nilai ulama, sebaliknya mesti menjadi sebuah sistem dan organisasi yang memiliki kekuatan kedua-duanya iaitu ulamak dan profesional," tegasnya.

Seterusnya beliau menggesa PAS agar mempunyai strategi komunikasi dan rencana ekonomi, politik dan sosial yang benar-benar bersepadu dan terancang dalam membina kepercayaan, terutama di kalangan orang Melayu. "Kepercayaan ini tidak hanya boleh dibina dengan nilai-nilai perlawanan setiap masa, ada kala nilai-nilai progresif iaitu konstruktif perlu dibentuk juga. PAS perlu melihat sikap baru yakni menerima intelektualisme, profesionalisme, progresvisme sebagai bentuk dan kandungan politik maka barulah masyarakat akan lebih menerima dan yakin," tambah Dr Abu Hassan.

Kerdau dan Merlimau membabitkan dua Dun di kawasan majoriti Melayu ketika slogan "PAS Ganti Umno" mula dipopularkan. PAS pula pada akhir Februari lalu menggariskan 12 jaminan yang ditawarkan kepada orang Melayu. Di Tenang, PAS turut dilihat gagal menarik sokongan pengundi Melayu. Malah sebelumnya juga di kerusi majoriti Melayu, di Manek Urai, Kelantan, walaupun PAS bertahan tetapi majoritinya jauh merosot, daripada 1,352 undi kepada hanya 65.

Ramai pemerhati menjangkakan pengundi Cina masih meyakini Pakatan dalam PRU13 nanti. Mereka bimbang masyarakat India akan kembali kepada BN. Lebih kritikal adalah sikap pengundi Melayu. Jika mereka bertahan seperti tahun 2008, BN tetap mengekalkan kuasa, tetapi andai kata benar pengundi Melayu (apatah lagi jika membabitkan orang muda dan kelas menengah) mulai mempercayai Umno, Pakatan berada pada kedudukan berbahaya.

Apakah sebilangan besar pengundi Melayu masih sangsi dengan keupayaan, kemampuan dan keikhlasan PAS untuk membela dan mempertahankan hak Melayu, seperti sering ditohmahkan? Berkesankah propaganda media yang membayangkan PAS hanya alat kepada DAP dan mudah bertolak-ansur sehingga meleburkan prinsip perjuangan? Ataupun, pimpinan PAS dianggap tidak berketrampilan untuk sama-sama menerajui Pakatan bagi membentuk kerajaan persekutuan nanti?

Bagi sesetengah pemerhati politik, PAS yang mendapat manfaat besar daripada peralihan undi orang Melayu pada 1999 kini seolah-olah berada di persimpangan. Apakah ia terpaksa menukar strategi untuk menawan hati pengundi Melayu? "PAS tidak boleh dilihat panik mengubahsuai pendekatan politiknya, dibimbangi pengundi bukan Melayu curiga dengannya, tetapi orang Melayu pula, terutama di luar bandar, masih ragu-ragu memberi sokongan," kata seorang pensyarah IPTA. "Mesej pilihan raya kecil memang penting tetapi ia harus ditafsirkan seadanya sahaja," tambahnya.

Dalam pada itu, ada pemimpin PAS sendiri yang membuat teguran sinis: "Tak ramai wakil rakyat kita yang turun berkempen, apatah lagi untuk berkampung di sana, seperti dilakukan pemimpin tertinggi BN dan para menterinya. Ramai pemimpin PAS yang berkempen 'Touch-N-Go' saja, sekadar berceramah, tidak menyapa dan menyantuni rakyat secara dekat dan rapat, malah ada yang tak turun langsung. Hinggakan saya sendiri malu untuk bermunajat dengan Tuhan meminta pertolongan. Apakah kita sudah bekerja bersungguh-sungguh atau hanya mengharapkan Tuhan bekerja untuk kita?"

Blogger Nobisha, dalam analisisnya terhadap keputusan di Merlimau dan Kerdau menekankan: "Sejak mara bergaya dalam pilihan raya umum pada Mac 2008, parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah melakukan banyak kesilapan. Malangnya, apabila ada pihak yang menegur, maka mereka dilabel sebagai pecacai Uumno atau BN. Akhirnya, ramai juga yang mengatakan, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya. Nak kritik tak boleh, nak tegur pun tak boleh. Semua orang yang menegur Pakatan Rakyat dianggap "jahat" dan mempunyai motif tersembunyi. Mungkin atas sebab itu jugalah, sesetengah bloggers pro-Pakatan Rakyat mendiamkan diri sewaktu PRK Merlimau dan Kerdau."

Beliau turut memuji sikap Pengerusi BN, Najib Razak, yang dilihat lebih reseptif kepada kritikan. Nobisha yang sering diundang dalam Analisis Awani, terutama pada malam keputusan pilihan raya kecil diumumkan, menulis: "Saya fikir "transformasi politik" yang disebutkan Najib adalah merupakan respon beliau kepada kritikan rakyat yang ingin melihat BN berubah. Kesediaan Najib untuk berubah adalah merupakan satu sikap yang cukup merendah diri. Bukan mudah untuk melihat pemimpin politik berkata, "saya sanggup berubah"."

Mungkin pandangan-pandangan yang dilemparkan itu tidak menggambarkan realiti sebenar, namun banyak manfaatnya jika kritikan berkenaan boleh diolah untuk kebaikan parti.


Ulasan GB

GB dah utarakan di dalam tulisan ini:

Teropong: Ada YB PAS Tak Turun Bantu Kempen Di Merlimau & Kerdau

Pelanggan Kafe Siber Maut Diserang Sekumpulan 5 Lelaki

Kuala Lumpur – Seorang pelanggan sebuah pusat Internet maut selepas tengkuknya patah akibat terjun dari tingkat satu bangunan lot kedai empat tingkat di Taman Melati, Wangsa Maju di sini semalam.

Gambar: TEMPAT Khairul Helmi ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan lot kedai ketika cuba menyelamatkan diri daripada diserang lima lelaki di Taman Melati, Kuala Lumpur semalam.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa cuba menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa serangan sekumpulan lima lelaki.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, dua pelanggan lain di pusat Internet itu patah kaki kerana terjun dari tingkap di tingkat satu bangunan kedai itu.

Seorang pelanggan pusat Internet itu pula dibawa lari menaiki sebuah kereta dan sehingga petang semalam polis belum mengetahui nasib pelanggan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, sebelum kejadian, pemuda yang terbunuh itu Khairul Helmi Kamaruddin, 22, mengunjungi pusat Internet itu sebelum sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang, batang besi dan juga rantau menyerang premis itu. -kosmo


Kempunan baju hitam

KUALA LUMPUR – Seorang kelindan lori tidak sempat meraikan hari perkahwinan kakak kesayangannya, apabila dia maut akibat terjatuh dari tingkap bilik di sebuah kafe siber di Jalan Melati Utama, Taman Melati, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, Khairul Helmi Khamaruddin, 20, dan tujuh rakannya dikatakan bergayut di tingkap bilik premis untuk melarikan diri dari diserang sekumpulan lima lelaki membawa pelbagai senjata.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lima lelaki bersenjatakan parang, batang besi dan rantai menyerbu ke premis di tingkat satu bangunan tiga tingkat itu.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat sembilan pelanggan dan seorang juruwang dalam premis itu.

“Lapan daripada mereka, termasuk mangsa, sempat lari ke bilik belakang dalam premis, manakala seorang lagi gagal melarikan diri dan diserang dengan parang oleh salah seorang ahli kumpulan itu.

“Pelanggan yang cedera kemudiannya ditarik keluar oleh ahli kumpulan itu, manakala juruwang berada di situ turut dipukul,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Beliau berkata, lapan individu, termasuk mangsa cuba meloloskan diri dengan bergayut di tingkap sebelum terjun.

“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Khairul Helmi kerana dia terjatuh dan disahkan mati akibat cedera parah di kepala serta patah leher,” katanya.

Zainuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Motif serangan itu dipercayai ada kaitan dengan dendam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, kakak mangsa, Nor Azlin Khamaruddin, 27, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu pada jam 6.30 pagi semalam, selepas mengaktifkan semula telefonnya.

“Saya terkejut kerana banyak SMS masuk menyatakan Emi (mangsa) sudah tiada,” katanya.

Ketika pegawai polis datang mencari, mengatakan mangsa terlibat dalam pergaduhan kira-kira dua minggu lalu Nor Aslin ada menghibungi adiknya.

Nor Azlin berkata, dalam perbualan itu, adiknya menceritakan mengenai pergaduhan.

“Dia enggan bercerita lanjut dan berjanji pulang ke rumah untuk membantu persiapan perkahwinan saya, Ahad ini,” katanya.

Menurutnya, dia terkilan kerana adik bongsunya itu tidak dapat meraikan hari bahagianya dan hasratnya untuk membelikan baju warna hitam untuk dipakai adiknya pada majlis terbabit tidak kesampaian. -SH



Facebook Palsu Muslimat PAS Kelantan

Kota Bharu: Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan mendedahkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah membuka akaun facebook dengan menyamar sebagai milik dewan berkenaan.

Setiausahanya, Zainiah Abdul Halim ketika memberitahu Harakahdaily berkata, individu atau pihak tersebut telah menyamar menggunakan nama "Muslimah Pas Negeri Kelantan".

Katanya, bukan sahaja membuka facebook sebaliknya telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan serta tidak sejajar dengan dasar perjuangan PAS.

Sehubungan itu, menurutnya, DMPN Kelantan dengan tegas meminta pihak yang tidak beretika itu menutup akaun facebook tersebut dengan segera.

Zainiah juga turut berpendapat, facebook itu diwujudkan bertujuan untuk memburukkan imej PAS di samping memberi gambaran buruk pada masyarakat berhubung dasar perjuangan parti yang kini semakin diterima pelbagai bangsa dan rakyat di negara ini.

“Facebook rasmi Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan adalah "Dewan Muslimat Pas Kelantan",” ujarnya pada satu kenyataan. -HD



[Bergambar & Video] Skim Al-It'Am Kelantan - Kembalikan Hak Rakyat Kepada Rakyat

Salor, Kelantan - Lebih 100 orang rakyat di DUN Salor yang terdiri dari warga tua, orang kurang upaya, anak yatim, golongan miskin yang layak telah menerima bantuan beras percuma melalui Skim Al-It'Am kerajaan negeri Kelantan .

Skim Al-It'Am yang dioperasikan oleh kerajaan negeri Kelantan di seluruh DUN dalam negeri kelantan adalah untuk membantu meringankan beban rakyat yang amat memerlukan bantuan dan pembelaan tambahan pula semasa era kenaikan barangan makanan dan minyak serta pelaksanaan kutipan saman ekor.

Bantuan disampaikan kepada rakyat dalam satu majlis ringkas di dalam rutin perjumpaan ramah mesra di antara ADUN Salor, YB Dato Haji Husam Musa dengan rakyat di DUN Salor.

YB Dato Haji Husam Musa yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan dilaporkan berkata "Ini beras milik rakyat, jadi kerajaan kelantan bertanggungjawab beri semula kepada rakyat yang memerlukan bantuan dan pembelaan tanpa memaksa rakyat untuk mengisi borang untuk menjadi ahli parti PAS dan mendengar ceramah berjam-jam lamanya".

Lebih ramai lagi rakyat kelantan yang akan dapat dibantu oleh kerajaan negeri jika royalti petroleum dikembalikan kepada rakyat kelantan yang berhak menerimanya.

Beliau juga turut menyentuh bahawa Skim Al-It'Am mungkin adalah 1 % dari gerak kerja pelaksanaan awal isi kandungan di dalam buku Jingga Pakatan Rakyat.

Kerajaan pakatan rakyat juga tidak ingin melihat rakyat terus hidup miskin dan susah, malah ingin membantu rakyat hidup berdikari memajukan sosio-ekonomi mereka.

YB Dato Haji Husam Musa juga merujuk kepada Kejatuhan Maharaja Czar di Rusia pada zaman dahulu adalah kerana membuat zalim kepada rakyat sehingga rakyat yang hidup susah kebuluran tanpa makanan manakala pemerintah hidup bermewah-mewah.

YB Dato Haji Husam Musa juga berkata bahawa Kerajaan negeri Kelantan akan terus membela nasib rakyat yang memerlukan merangkumi Rohani dan Jasmani. -husammusa.com

Pemimpin yang durhaka kepada Rabbnya (Tuhannya) dan bertindak zalim kepada rakyatnya menjadi sebab dihancurannya suatu negeri. Allah Ta’ala berfirman,

“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya menaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (QS. Al-Isra’: 16)











Rumah Mewah Anak Ghaddafi Di London Ditawan Pemberontak

Setinggan, pembantah duduki rumah anak Gaddafi

LONDON: Kira-kira 20 setinggan dan orang buangan Libya menduduki sebuah rumah milik Encik Saif Al-Islam, anak lelaki pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, yang bernilai lebih £12 juta (RM58.5 juta) di London, kelmarin.

Para aktivis menggantung sepanduk di bumbung rumah yang diperbuat daripada batu bata itu sambil menggesa Encik Gaddafi 'Keluar dari Libya' dan 'Keluar dari London'.

Polis berkata mereka tidak membuat tangkapan dan menganggap pendudukan itu satu 'perkara sivil'.

Encik Saif Al-Islam membeli rumah di kawasan Hampstead Garden Suburb, di utara London, yang eksklusif pada 2009, kata laporan media.

Rumah empat tingkat itu diiklan untuk dijual di laman web hartanah setempat dengan harga £pounds;12.5 juta.

Para setinggan yang menggelar diri mereka sebagai 'Topple the Tyrants' itu berkongsi rumah itu dengan para pembantah daripada kumpulan anti-Gaddafi dan Kempen Perpaduan Britain-Libya (BLSC).

Mereka memanjat bumbung rumah itu dan mengibarkan bendera.

'Kami mahu memberitahu rejim Libya bahawa (pemerintahan) mereka sudah tamat dan mahu memastikan Gaddafi tidak diingini di Britain,' kata Encik Azeldin El Sharif kepada agensi berita Reuters.

Salah seorang setinggan, yang hanya memberi namanya sebagai Encik Dariush, berkata: 'Kami sudah menduduki rumah ini dalam perpaduan dengan orang-orang yang berjuang di Libya dan kami berhasrat mendudukinya sehingga ia diberi semula kepada rakyat Libya.'

Encik Saif Al-Islam adalah bekas mahasiswa Sekolah Ekonomi London, yang pengarahnya, Encik Howard Davies, minggu lalu terpaksa meletak jawatan kerana menerima pembiayaan daripada sebuah badan kebajikan kendaliannya.

Britain membekukan aset yang dimiliki dan dikuasai Encik Gaddafi dan anak-anaknya, yang dilaporkan bernilai beberapa bilion dolar di London. -- Reuters.

Dasyat: Penyewa Tak Bayar Sewa Larikan Rumah Yang Disewa

Kangar – Setelah lima bulan tidak mendapat duit sewa, seorang pemilik rumah tergamam apabila mendapati kediamannya itu ‘lesap’ dipercayai dilarikan penyewanya di Kampung Bakau di sini baru-baru ini.

Pada mulanya, pemilik rumah tersebut, Zuria Ali, 30, tidak mempercayai berita orang kampung yang memberitahu rumah papan dua tingkat itu ‘lesap’.

Dia yang tinggal di Perak kemudian balik ke Kampung Bakau pada Jumaat lalu dan terkejut apabila melihat rumahnya betul-betul sudah tiada.

Apa yang tinggal di tapak rumah itu hanyalah 24 pelapik tiang, cebisan papan buruk yang berselerak dan televisyen yang sudah rosak manakala bahagian bumbung, dinding papan dan tiang rumah sudah dikebas.

Cerita Zuria, banyak perkakas dalam rumah miliknya turut dikebas antaranya pinggan mangkuk, almari, perabot, meja makan dan peti sejuk.

“Saya mengesyaki penyewa sebelum ini terlibat membawa lari rumah saya selain tidak membayar sewa,” katanya yang kemudian membuat laporan polis.

Zuria memberitahu, rumah pusaka tersebut berusia lebih 60 tahun dan selama ini dijaga oleh rakannya, Rosni Putih, 57, bagi mengutip sewa RM100 sebulan daripada sebuah keluarga yang tinggal di rumah itu sejak lima tahun lalu.

Pelajar Sekolah Bertudung Jual Tubuh RM10 Sejak Usia 15 Tahun

Kota Kinabalu: Hanya RM10. Itu bayaran dikenakan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang masih bersekolah kepada rakan sekelas yang mahu mengadakan hubungan seks dengannya.

Remaja berkenaan juga tidak kisah melakukan perbuatan terkutuk itu pada siang hari di hotel murah pilihannya dan lebih memeranjatkan sudah melakukannya sejak berusia 15 tahun lagi.

Dalam pertemuan dengan wartawan Harian Metro, pelajar itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berkata, dia mula membabitkan diri dengan kegiatan tidak bermoral itu selepas dipengaruhi beberapa rakan wanita lebih tua yang dikenalinya ketika melepak di kompleks beli-belah di bandar raya ini.

“Ketika itu, saya memerlukan wang untuk membeli pakaian berjenama selain mendapatkan peralatan sekolah lebih lengkap, sedangkan keluarga tidak mampu menyediakannya termasuk buku latihan disebabkan faktor kemiskinan,” katanya.

Lina berkata, selepas menceritakan masalah kewangan dihadapinya, seorang rakan mempengaruhi supaya melakukan pekerjaan itu kerana boleh memperoleh wang dengan mudah.

“Pada mulanya, saya pelik dengan pekerjaan ditawarkan kerana dibawa ke sebuah bilik hotel dengan alasan untuk ‘ditemu duga’ sebelum didatangi seorang lelaki berusia sekitar 30-an.

“Sebelum berbual, saya melihat lelaki berkenaan menyediakan segelas air sebelum memasukkan sejenis pil lalu mengarahkan saya meminumnya dengan alasan untuk menghilangkan perasaan takut dan gemuruh,” katanya.

Katanya, selepas beberapa minit meneguk air berkenaan, dia berasa ghairah sebelum lelaki berkenaan mengarahkannya berbaring.

“Saya hanya tersedar beberapa jam selepas itu dalam keadaan tidak berpakaian. Pada masa itu, saya hanya mampu menangis, namun ditenangkan rakan itu sambil menunjukkan sejumlah wang untuk saya,” katanya.

Lina berkata, selepas kejadian itu, dia semakin ketagih untuk melakukan hubungan seks dan mula menawarkan diri kepada rakan lelaki yang dikenali saja.

“Selepas kejadian itu, saya sering mengulangi perbuatan sama terutama selepas waktu sekolah hingga mampu hidup senang.

“Bagaimanapun, disebabkan terlalu kerap melakukan hubungan seks dengan pelbagai lelaki, saya mengalami jangkitan kuman pada kemaluan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia berhenti daripada kegiatan itu dan akhirnya menyesal dengan apa dilakukannya.

“Mungkin itu balasan atas perbuatan saya kerana mahu mencari wang dengan mudah. Mujur saya tidak mengandung, jika tidak pasti nasib lebih buruk,” katanya. -hm

Ulasan GB

Moralnya: Kisah di atas baru seorang. Sudah pasti ada yang lain-lain. Bukan sahaja di KK, tetapi seluruh negara.

Msti ada usaha bersepadu untuk mengesan dan menjejaki kes-kes seperti di atas dan juga kesungguhan yang berterusan jika kita menganggap ia sebagai sesuatu yang serius.

Najib Semakin Keterlaluan Seolah Ajak Rakyat Ke Jalanraya

Pilihanraya: Najib keterlaluan, seolah ajak rakyat ke jalan raya

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kini dilihat semakin keterlaluan sehingga seolah-olah telah mengundang rakyat mengalihkan tumpuan daripada pilihan raya kepada demonstrasi ke jalan raya.

Sehubungan itu, Badan Bertindak Demokrasi PAS dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) II menuntut pihak pemerintah supaya mengadakan pilihanraya yang adil di negara ini.

Pengerusi Badan Bertindak Demokrasi PAS, Mohamad Sabu menegaskan, Perdana Menteri perlu menilai kembali segala tindakan yang telah dilakukannya dalam perjalanan pilihanraya di negara ini agak benar-benar berada pada landasan demokrasi.

Menurut beliau, tujuan tuntutan pilihanraya yang adil dibuat supaya setiap keputusan pilihanraya akan dapat diterima oleh seluruh rakyat negara ini.

Katanya, namun keadaan hari ini berada di sebaliknya. Setiap keputusan pilihan raya amat meragukan semua pihak terutama pembangkang kerana ia dijalankan tanpa keadilan.

"Pihak Umno BN yang memerintah bukan sahaja mempergunakan segala jentera kerajaan dengan sewenang-wenengnya, tetapi juga turut mengawal dan memaksa SPR supaya memihak kepada Umno BN dalam pelbagai aspek," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Disebabkan keadaan itu, menurut beliau, hak-hak pihak pembangkang dinafikan sama sekali oleh pihak pemerintah dalam perjalanan pilihanraya di negara ini sama ada pada pilihanraya umum, pilihanraya negeri dan pilihanraya kecil.

"Terbaru, perkara itu boleh dilihat dalam perjalanan pilihanraya dan kempen pilihan raya kecil Dun Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu yang jelas memperlihatkan tindakan SPR yang dikawal oleh Umno BN sehingga seratus peratus memihak kepada Umno BN.

"Dalam masa yang sama, pihak pembangkang pula ditekan dengan pelbagai peraturan yang bukan-bukan termasuk dilarang mengadakan pondok panas dan pemasangan bendera parti. Kesemua itu bertujuan untuk memberikan kemenangan kepada BN," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Menyentuh tentang perjalanan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi yang turut memperlihatkan beberapa peraturan baru diperkenalkan SPR, beliau mengatakan kesemua itu jelas menunjukkan sikap SPR yang tidak profesional dan adil dalam melaksanakan perjalanan pilihanraya di negara ini.

Menerusi peraturan baru itu, SPR akan membenarkan tempoh berkempen selama 7 hari sahaja. Antara alasan yang diberikan pula termasuklah disebabkan kebimbangan SPR dengan kemungkinan tindakan provokasi oleh pihak pembangkang yang jelas tidak masuk akal.

"Dalam kita menuntut supaya tempoh kempen dipanjangkan kepada 3 minggu, SPR pula membuat peraturan baru seperti itu. Ini jelas memperlihatkan sikap perlawanan SPR dengan pembangkang, pada hal tuntutan kita itu adalah untuk keadilan dalam pilihanraya.

"Dengan tempoh kempen sependek itu, apa yang pembangkang boleh buat? Pembangkang sudahlah tidak diberikan ruang bersuara menerusi media kerajaan dan media arus perdana, tidak banyak wang pula.

"Jadi kesemua itu adalah untuk memberikan keuntungan dan kemenangan kepada Umno BN yang memerintah dengan cara yang cukup jelas dan terang-terangan," katanya.

Dengan itu juga, tegasnya, bagaimana rakyat boleh bertahan yang tentunya akan memaksa rakyat berpilihanraya ke jalan-jalan raya nanti seperti yang telah berlaku di Mesir dan Libya.

Turut hadir pada sidang media itu, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Syed Azman Syed Mohd Nawawi dan calon PAS Dun Merlimau yang baru lalu, Yuhaizad Abdullah. -HD