10 Apr 2015

ADUN PAS Berpakaian Serba Hitam Tidak Bersalah...


Pas Perak tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap lima wakil rakyat parti itu yang tidak mengenakan pakaian istiadat pada pembukaan Persidangan Dewan Negeri, 31 Mac lalu.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, perkara itu jelas selepas pihaknya mendapati pakaian serba hitam yang dipakai ke semua wakil rakyat terbabit tidak melanggar sebarang kod etika berpakaian ketika menghadiri Persidangan Dewan Negeri.

“Tiada sebarang peruntukan dalam kod etika berpakaian yang menyatakan memakai baju Melayu serba hitam adalah salah dan melanggar peraturan dewan.

“Ingin saya tegaskan, pakaian hitam yang dipakai kelima-lima mereka itu juga telah dipersetujui ketika mesyuarat antara Adun PR sebelum ini,” katanya.

Razman berkata, isu pakaian itu dipercayai sengaja diperbesarkan BN bagi mengalihkan perhatian terhadap kelemahan urus tadbir di Perak.

“Selain itu, sekiranya Sultan Perak murka, mengapa sehingga ke hari ini (semalam) tiada sebarang kenyataan terbuka dibuat oleh pihak istana tentang hal tersebut?,” katanya.

Disoal tentang penolakan dari sudut kepimpinan oleh Dewan Ulama Pas Perak terhadap Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, Razman berkata, beliau telah mengesyorkan kedua-dua pihak bersemuka bagi menyelesaikan kemelut itu.

“Perkara ini juga telah saya maklumkan kepada Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, perkara itu perlu diselesaikan secepat mungkin demi kelangsungan parti.

“Itu yang sebaiknya dan diperlukan untuk mengukuhkan parti dan Pas Perak sendiri,” katanya. -SH

LAPORAN SEBELUM INI
ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan pun berjalanlah...

GB sudah ulas sebelum ini di media sosial, pakailah baju warna apa pun, ia tidak menjadi satu kesalahan kerana tidak ada sebarang peruntukan di dalam kod etika peraturan dewan menyatakan berpakaian berwarna hitam itu tidak dibenarkan.

Yang bising-bising mengenai pakaian berwana hitam ini ialah YAB Pak Hitam, mungkin terasa dirinya tersindir dengan pemakaian warna hitam ADUN-ADUN PR berkenaan. Lalu digunakan alasan Sultan Perak murka. Sedangkan Sultan Perak sendiri tidak pun menitahkan demikian.

p/s GB dimaklumkan bahawa terdapat mereka di dalam PAS sendiri terutama PAS Perak yang melakukan serangan dalam isu baju hitam ini, yang sebenarnya serangan yang dilakukan hendak dihalakan terhadap Dato Mohd Nizar Jamaluddin. Tetapi tak menjadi kenyataan apabila kesemua ADUN-ADUN PAS termasuk bekas Pesuruhjaya PAS Perak, ADUN Titi Serong, Ustaz Abu Bakar Hussien turut berpakaian serba hitam.

PAS Kena Main Lagi, RUU Persendirian Tak Dibentangkan Sesi Ini...


Rang undang-undang persendirian Hadi tidak dibentang sesi ini

Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi meminda Akta 355 yang membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, tidak akan dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu Dewan Rakyat hari ini, ia akan dibawa ke sesi akan datang yang dijadualkan bermula 18 Mei depan.

Katanya, sidang Dewan Rakyat sesi sekarang berakhir hari ini dan hanya membentangkan RUU daripada menteri dalam negeri membabitkan RUU Hasutan (Pindaan) 2015 serta usul dibawa Menteri Kewangan.

Ditemui di luar Dewan, Shahidan menafikan yang penangguhan RUU itu mempunyai kaitan dengan tiadanya pengumuman mengenai pendirian rasmi kerajaan Barisan Nasional atau Datuk Seri Najib Razak berhubung undang-undang Islam itu.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider, perdana menteri tidak seharusnya dikaitkan dengan pelaksanaan hudud oleh PAS di Kelantan itu kerana sokongan yang ditunjukkan Umno Kelantan terhadap enakmen jenayah Syariah negeri itu sudah memadai.

"Bila Umno kelantan menyokong hudud, apa maknanya? Adakah Umno Kelantan itu Umno persendirian? (Ahli) Umno Kelantan adalah (ahli) Umno Pusat, Umno Malaysia. Ia yang akan beri keputusan dan pandangan.

"Kenapa mahu dirujuk pada Najib? Hal Umno dirujuk pada Umno, dengan bermesyuarat. Apa kena mengena hudud dengan Najib?" soalnya sampai mengakui kenyataannya itu merupakan pandangan peribadinya.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, kuasa untuk memutuskan sama ada sesuatu RUU dapat dibahaskan di Parlimen atau tidak, diputuskan sepenuhnya oleh Speaker.

"Speaker akan benarkan RUU dibentang mengikut keutamaan dan melihat siapa yang perlu didahulukan.

"Dan, ia bukan sahaja mengenai RUU kerajaan, tapi juga RUU persendirian yang dibawa lebih awal.

"Kita tidak cukup masa, kerana itu RUU harus dihantar lebih awal kepada Speaker," katanya kepada The Malaysian Insider di lobi Parlimen.

Isu hudud timbul selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lalu dan Hadi menghantar notis pemberitahuan memohon membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen pada sidang kali ini.

Pindaan tersebut diluluskan DUN dengan majoriti sebulat suara apabila turut mendapat sokongan pembangkang di Kelantan, iaitu wakil rakyat Umno.

Namun, langkah Hadi itu dikecam hebat khususnya pemimpin DAP, malah PKR juga tidak menyatakan sokongan terhadap keputusan Hadi itu yang dikatakan dibuat membelakangi majlis pimpinan Pakatan Rakyat. -TMI

ULASAN GB

Memang sudah dijangka, RUU Persendirian Presiden PAS tidak akan dapat dibentangkan pada sesi ini walaupun Presiden PAS mmerasa yakin ianya dapat dibentangkan.

Rupa-rupanya RUU Persendirian disenaraikan untuk sesi ini hanyalah untuk mengaburi PAS dan untuk menipu Haji Hadi.

Tak sedar lagikah dan buka mata lagikah perangai UMNO, wahai pemimpin PAS? Berapa kali mahu terjelepuk ke dalam lubang biawak?