27 Jul 2012

Gobala Didenda RM5,000, Boleh Gugur Jawatan MP Jika Rayuan Ditolak

N Gobalakrishnan didenda RM5,000 halang tugas penjawat awam

BUKIT MERTAJAM: Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan hari ini didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menghalang tugas penjawat awam pada 2009.

Majistret Mohd Azhar Hamzah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap fakta kes serta mengambil kira kepentingan awam.

Mohd Azhar berkata hukuman yang dikenakan terhadap Gobalakrishnan perlu dijadikan pengajaran oleh tertuduh serta orang ramai.

Gobalakrishnan didakwa menggunakan kekerasan menghalang Sub Inspektor M Karunamuthi daripada menjalankan tugasnya di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini pada 11 pagi 17 Ogos 2009.

Dia dikatakan mengingkari arahan polis dengan menggunakan alat pembesar suara serta melaungkan kata-kata berunsur provokasi termasuk menghambur kata-kata kesat terhadap polis.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda.

Selain itu, katanya, Gobalakrishnan juga mempunyai rekod kesalahan sama dan dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown pada 2010.

Sementara itu, Gobalakrishnan yang ditemui di luar mahkamah berkata beliau akan mengemukakan rayuan bagi mengenepikan hukuman itu yang akan difailkan oleh peguamnya, Saiful Ambar Abdullah Ambar hari ini.

Ahli Parlimen bebas itu yang mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal tahun lalu juga berkata beliau akan terus berkhidmat untuk pengundi Padang Serai melalui PEKEMAS, sebuah badan bukan kerajaan. - BERNAMA

Ulasan GB

Mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dipenjara melebihi setahun atau denda melebihi RM2,000, boleh dilucutkan jawatannya.

Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jawatan seseorang sebagai Ahli Parlimen akan terlucut sekiranya mahkamah menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman itu.


[VIDEO] Lagu Propaganda 1Malaysia UMNO BN Jadi Lagu Tema Hari Merdeka

Selepas kontroversi slogan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 ‘Janji Ditepati’ yang didakwa hanya untuk meraih sokongan kepada Barisan Nasional (BN), kini lagu temanya turut menimbulkan persoalan yang sama.

Lagu ‘Janji Ditepati’ yang dimuat naik dalam laman video sosial YouTube mengandungi lirik ‘Janji sudah ditepati, Kini masa balas budi’.

Lirik lagu 3:35 minit itu turut memuatkan baris ayat ‘Ini janji kita BR1M 1Malaysia’, ‘Kata kita dikota ‘, dan ‘Kedai 1Malaysia’.

Macam malam ikut siang
macam bulan ikut matahari
1Malaysia terus berjuang
Janji Kita ditepati
Kata Kita dikota
Janji Kita ditepati
Hidup Rakyat Dibela
Masa Depan Diberkati
Janji sudah ditepati
Kini masa balas budi
(Chorus)
Janji siapa? Janji kita
Janji APa? Janji 1Malaysia
Janji Siapa? Janji kita
Janji Apa? Janji 1Malaysia
Ini janji kita BR1M 1Malaysia
Ini janji 1Malaysia
BR1M 1Malaysia
Kata kita dikota
Kini 1Malaysia Janji kita ditepati
Kedai 1Malaysia


Manakala klip video tersebut memaparkan beberapa keping gambar slaid program 1Malaysia termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Bergerak 1Malaysia, serta Skim Amanah Rakyat (Sara) 1Malaysia.

Slogan ‘Janji Ditepati’ sebelum ini mendapat reaksi negatif terutamanya Pakatan Rakyat yang mendakwa ia tidak menggambarkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia dan hanya untuk meraih undi untuk pilihan raya.

Pakatan Rakyat sehubungan itu memberi tempoh masa seminggu kepada kerajaan menukar slogan itu sebelum mencadangkan satu tema lain yang lebih inklusif untuk semua.

Namun Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam reaksinya berkata bukan satu kesalahan menggunakan slogan “Janji Ditepati” sebagai tema kerana ia sememangnya mencerminkan komitmen kerajaan BN menunaikan janji-janjinya. -FMT




SAMM Cadang Boikot Sambutan Kemerdekaan Edisi Ke-55

Kenyataan Media
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
27 Julai 2012

SAMM Cadang Boikot Sambutan Kemerdekaan Edisi Ke-55

Buat kali pertama dalam sejarah, sambutan Hari Kemerdekaan telah dicemari oleh kepentingan politik kepartian yang melampau. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa agar sambutan hari kebangsaan dengan tema dan logo yang mengarut ini diboikot serta merta.

Tema hari kebangsaan 'Janji Ditepati' yang diambil daripada tema jelajah Bn dilihat SAMM sebagai sangat keterlaluan, adalah lebih baik sekiranya regim terus menggunakan tema 'Undilan Bn' sempena menghampiri tempoh mati bagi parlimen dibubarkan dan seterusnya pilihanraya dijalankan.

Hari kebangsaan atau Hari Kemerdekaan sepatutnya disambut oleh semua rakyat dalam negara ini merentasi batasan agama dan bangsa, apatahlagi warna kepartian. Namun sambutan tahun ini begitu memualkan apabila regim Bn yang telah benar-benar terdesak melacuri Hari Kebangsaan dengan menjadikan sambutan sebagai pentas kempen dan dengan tema jelas kepartian. Bagi SAMM, ini semakin melengkapkan syarat kejatuhan sesebuah regim.

SAMM juga menyeru kepada semua negeri Pakatan Rakyat agar sambutan hari kebangsaan dengan tema dan logo mengarut ini tidak dibenarkan berlaku dalam negeri masing-masing. Sambutan di peringkat negeri PR seharusnya diwarnakan semula dengan lebih murni dan patriotik. SAMM menyeru semua anak muda dan rakyat prihatin agar turut memboikot sambutan kemerdekaan yang menjadi medan politik kepartian regim Bn. Hari Kebangsaan mahupun Hari Merdeka disambut setiap tahun untuk semua, bukan untuk disambut oleh segelintir penyokong sesebuah parti. Maka kerajaan negeri bukan dibawah regim Bn harus menerajui rakyat bertindak keras di atas kecelaruan yang ditimbulkan regim Bn.

Sudahlah selama hari ini sambutan merdeka disadur dengan sejarah kemerdekaan separuh masak yang hanya menampilkan tokoh-tokoh Umno sahaja, sedangkan sejarah menuntut kemerdekaan itu berlaku jauh lebih awal sebelum wujudnya Umno. Malangnya hanya Umno wujud dalam sejarah jasa negara sedangkan banyak bukti persekongkolan Umno dengan penjajah British dan pihak yang jelas melawan dengan garis keras dilihat penjenayah dalam sejarah. Kini pula keadaan menjadi lebih parah apabila sambutan kemerdekaan itu dihiasi dengan tema syok sendiri dan logo sampah.

Jika kecelaruan dan pencabulan hari kebangsaan dibenarkan berlalu tahun ini sebegitu saja, yakinlah ia akan menjadi tradisi dan amat tidak baik bagi semangat pembinaan negara ini.



che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
www.anakmudamalaysia.com


Pergolakan Sabah Mangkin Kejatuhan BN

Beberapa hari yang lalu berlaku pergolakan politik di Sabah yang tentunya menarik untuk diperhatikan. Ia menjadi menarik kerana apa yang berlaku di Sabah itu bukan saja memberi kesan kepada politik negeri bawah bayu itu sahaja tetapi juga kepada perkembangan di Malaysia seluruhnya. Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing secara tiba-tiba mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran dan dijangka akan mengumumkan masa depan politiknya pada Ahad ini.

Tetapi ramai pemerhati meramalkan beliau akan keluar dari UPKO dan seterusnya mengisytiharkan dirinya menyokong Pakatan Rakyat. Di masa yang sama, timbul juga desas-desus sebuah parti baru yang dikenali Barisan Pembaharuan Sabah sedang dalam proses penubuhan dan dijangka diumumkan secara rasmi di di Dalit, Tuaran Ahad ini.

Di masa yang sama, Anwar Ibrahim juga dikhabarkan akan menghadiri satu perhimpunan rakyat di Tuaran, juga Ahad ini.

Berlakunya tiga peristiwa Ahad ini di Tuaran iaitu Wilfred akan mengumumkan masa depan politiknya, desas-desus penubuhan parti baru dan kehadiran Anwar dalam satu perhimpunan khas, tentunya bukan suatu kebetulan atau suratan takdir semata-mata.

Ia adalah perancangan untuk mencetuskan tsunami politik di Sabah dan seterusnya membawa perubahan kepada kedudukan UMNO, BN serta Najib.

Dalam pada itu, di hari yang sama Wilfred mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi BN Tuaran minggu lalu, seorang lagi pemimpin UMNO Sabah iaitu Lajim Ukim, seorang timbalan menteri kerajaan pusat dan ahli MT UMNO pula mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu.


Lajim sebelum ini telah pun meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Cawangan dan sudah mengumumkan tidak lagi mahu mempertahankan jawatan Ketua UMNO Beaufort yang disandangnya. Sebagaimana Wilfred, Lajim juga sudah dikaitkan dengan Pakatan Rakyat sejak sekian lama dan mempunyai hubungan yang dingin dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Dari segi politiknya, pertemuan seorang timbalan menteri dan ahli MT UMNO dengan Nik Aziz itu pastinya memberi pelbagai makna dan persepsi. Ia bukanlah pertemuan kerana ada program kementerian atau kebetulan ada lawatan rasmi ke Kelantan. Lajim menemui Nik Aziz semata-mata atas kapasiti peribadinya yang ingin berbual dan bertukar-tukar pandangan dengan Mursyidul Am Pas itu.

Di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pula, angin makin kuat bertiup mengatakan bahawa kedua-dua pemimpn itu akan meninggalkan BN dan menyokong PR dalam piliharaya akan datang. Jika Wilfred dikaitkan dengan parti baru, Lajim dikhabarkan kemungkinan akan menyertai Pas atau PKR.

Jika penghijrahan kedua-dua pemimpin itu menjadi nyata, ia tentunya boleh mencetuskan tsunami yang bukan saja boleh merubah senario politik Sabah tetapi juga Malaysia kerana berdasarkan pilihanraya lalu, kemenangan BN banyak disumbangkan oleh jumlah kerusi di Sabah dan Sarawak.

Kebiasaannya selepas dua pemimpin ini mengumumkan menyertai PR, ia akan disusuli pula pemimpin lain dari pelbagai peringkat pula. Jika ini berlaku, perubahan memang sukar ditahan lagi.

Senario di Sabah yang mahu kepada perubahan juga berikutan limpahan maklumat yang diterima oleh rakyat negeri itu. Bersandarkan senario semasa itu, Pengarah UiTM Sabah, Arnold Puyok meramalkan BN Sabah akan tewas lebih daripada 60 peratus kerusi Parlimennya atau sekurang-kurangnya 14 dari 22 kerusi.

Ini bermakna kedudukan Sabah sebagai deposit tetap bagi BN akan berubah. Sejarah politik Sabah memang sudah beberapa kali mengalami perubahan daripada USNO, Berjaya, PBS dan kini UMNO. Atas dasar itu, perubahan kepada PR pula bukanlah sesuatu yang mustahil. Cumanya jika selama ini hanya perubahan peringkat negeri, kali ini ia membabitkan Pusat juga.

UMMO sendiri menyedari hakikat itu. Sebab itu, sebaik tersebarnya berita Wilfred mengumumkan perletakan jawatannya dan mungkin beralih arah, begitu juga dengan Lajim, segera kedengaran bahawa Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan politik ke Sabah Sabtu ini.

Selain meninjau perkembangan semasa politik di negeri itu, tidak mustahil Muhyiddin akan mencari masa berusaha menemui kedua-dua pemimpin itu bagi memujuknya supaya membatalkan segala hasrat untuk bertalak kasih dengan BN itu. Mungkin pelbagai tawaran dan janji akan dilimpahkan supaya kedua mereka terus kekal bersama BN.

UMNO tentunya menyedari kehilangan 7 hingga 10 kerusi sahaja di Sabah sudah merupakan ancaman besar baginya. Lebih-lebih lagi jika perubahan di Sabah itu turut pula menjangkit ke Sarawak yang turut menyebabkan BN hilang beberapa kerusi lagi di negeri pimpinan Taib Mahmud itu.

Kerana itu kebarangkalian timbulnya elemen yang boleh mencetuskan tsunami di Sabah akan cuba dihalang sedaya upaya sebab kemenangan di Sabah dan Sarawaklah talian hayat terakhir bagi BN untuk mempertahankan kuasa.

Jika Wilfred dan Lajim dapat dipujuk, tsunami politik di Sabah mungkin dapat dikurangkan kesannya dan harapan BN untuk terus berkuasa masih ada.

Cumanya, adakah masih laku segala pujuk rayu disisi Wilfred dan Lajim yang sudah dikira veteran dalam politik Sabah itu? -Shahbudin Hussin

_______________________________

Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com

[BERGAMBAR] Bantahan Kekejaman Terhadap Rakyat Rohingya


Gambar di atas: AJK PAS Pusat, Ketua Lajnah IT dan Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS merangkap Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA) Ustaz Abd Ghani Shamsudin berucap dan menutup ucapan dengan doa di Masjid asy-Syarif Gombak


Gambar di bawah: Bersama umat Islam mendesak pemimpin negara Islam prihatin isu Umat Islam Rohingya yang dibunuh, dirogol dan dihalau dari kampung halaman di Arakan Burma. PBB, OIC hatta Malaysia memandang sepi isu ini. Bersama ialah Ust Abdul Ghani Shamsudin AJK Pas Pusat, Hj Mohamad Nor Pesuruhjaya Wilayah, Sdr Kamaruzzaman Ketua Pemuda WP dan Khairui Fahmi Mat Som SU pemuda Selangor, 1 hb akan ada rombongan ke sana untuk desak Junta tentera Myanmar. Himpunan anjuran Dewan Pemuda Pas Malaysia.



Gambar di bawah: Di negeri Terengganu, himpunan aman yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS negeri Terengganu berlangsung di Masjid Pasil Minal dengan kerjasama NGO-NGO Islam yang lain.

Himpunan tersebut di ketuai oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Sheikh Hanafi Abdul Aziz




Gambar di bawah: Di Melaka, di hadapan Masjid Al-Azhim diketuai oleh Pesuruh Jaya PAS Melaka, Sdra Hj Adly Zahari, TPJ 2, Ustaz Md.Nor dan Ketua Dewan Ulamak Ustaz Zulkifli







Yang Menangis Itu Bukan Mufti Saudi - Penjelasan GB

Bukan Mufti Saudi
Oleh Dr Wan Ahmad Razwan

Assalamualaikum wrwbt.

Saya merujuk "Mufti Saudi Ini Menangis Teresak-esak..."

Saya sudah meneliti rakaman video tersebut dan cerita yg dilaporkan orang ramai dalam alam maya itu didapati hanya untuk menyedapkan sebaran. Tokoh panel dalam video tersebut bukanlah Mufti Arab Saudi, tetapi seorang pendakwah yg bernama Syeikh Abd Aziz Fawzan.

Beliau menangis apabila mengulas tentang kejahilan seorang "liberalist" wanita yg bernama Hessa Asy- Syeikh yg menulis dalam akaun twitternya dengan menyamakan lagu Muhammad Abdu (penyanyi Arab Saudi) seperti Kalam ALLAH.

Memberi bantuan kepada rakyat Somalia adalah suatu tuntutan agama, tetapi bukan bermakna kita boleh sewenang-wenang menyandarkan sesuatu berita secara palsu. Inilah bentuk perekaan "hadith" palsu zaman moden !! -HD

Di bawah ini video yg dimaksudkan -



Ulasan GB

Pertama, GB ucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Wan Ahmad Razwan kerana memberikan responsnya terhadap isu yang telah dibawa oleh Blog GB dengan tajuk: [BERGAMBAR] Mufti Saudi Ini Menangis Teresak-esak... Mengapa?

Gambar dan berita tersebut telah tersebar di dalam Facebook, Twitter dan beberapa forum antarabangsa berbahasa Inggeris sejak beberapa hari lepas dan ketika ia mula-mula dimasukkan ke dalam blog ini, belum ada yang tampil memberikan maklumat sebenar dari mana-mana pihak terhadap isu berkenaan. GB juga telah berusaha untuk mencari video klipnya namun gagal.

Video yang disiarkan di atas itu pun hanya dimuatnaik pada 26hb Julai 2012 iaitu pada hari semalam.

Sebenarnya tidak timbul isu "menyandarkan sesuatu berita secara palsu" sepertimana yang didakwa oleh beliau kerana laporan mengenai penderitaan masyarakat Somalia itu adalah benar.

Laporan GB sebelum ini mempunyai dua bahagian, bahagian awal ialah petikan dari facebook yang dikatakan Mufti Saudi menangis teresak-esak kerana mendengar soalan dari seorang rakyat Somalia yang kononnya menanya:

"Adakah puasa saya diterima jika saya tidak bersahur dan berbuka puasa (Iftor)?"

Bahagian kedua laporan GB ialah kisah bergambar mengenai penderitaan masyarakat Somalia.

Jika tiada laporan pertama itu, iaitu laporan mengenai "Mufti Saudi yang menangis itu", maka laporan kedua di bawahnya iaitu penderitaan rakyat Somalia itu tetap boleh berdiri sendiri. Justeru itu laporan penderitaan rakyat Somalia itu tidak bersandar kepada laporan yang pertama tersebut tetapi "penerusan" kepada pendedahan kepada isu sebenar iaitu kesahihan dan kebenaran mengenai penderitaan rakyat Somalia yang mungkin saja dilupakan oleh masyarakat Islam di bulan Ramadhan ini.

Bersandar ertinya, jika tiada laporan pertama, maka laporan kedua itu pun rebah (kerana tiada tempat bersandar) dan batal. Tetapi berbeza di dalam laporan GB, jika tiada laporan pertama, laporan kedua itu tetap benar dan sahih.

Jadi tuduhan menyatakan "Inilah bentuk perekaan "hadith" palsu zaman moden" dengan sendiri tertolak kerana pertama laporan tersebut tidak saling sandar menyandar dan kedua tiada siapa berhak mengeluarkan "hadith" kecuali Rasulullah saw. Menyamakan apa pun laporan yang tidak betul oleh orang yang tidak diketahui itu dengan "hadith" sangat-sangatlah menyimpang. Kerana tidaklah patut apa-apa persamaan boleh dilakukan terhadap nas-nas qat'i seperti Al-Quran dan hadith.

Yang ketiga seperti yang GB katakan tadi, isu pokok yang diketengahkan ialah penderitaan rakyat Somalia dan tugas kita umat Islam mencari jalan membantu, melalui huluran sumbangan dan doa sebagai menunaikan tanggungjawab kita terhadap meringankan bebanan saudara Islam kita di Somalia.

Adapun laporan pertama yang dikatakan palsu itu boleh saja ditinggalkan tanpa mencacatkan lansung isu pokok yang sebenar lantaran bukan di situ tumpuan kita.

Pun begitu ada laporan lain yang GB terima dari seorang sahabat menyatakan soal-jawab itu memang wujud cuma gambarnya sahaja tidak betul dan diletakkan sekadar illustrasi hiasan. Jika demikian maka sudah tiada ada isu lagi. Cuma sekarang beliau sedang bantu GB meperolehi video soaljawab berkenaan. InsyaAllah akan disiarkan apabila ketemu nanti.

Kaedah Islam pula di dalam mengambil sesuatu pedoman, ilmu atau panduan maka dipesan sebagaimana istilah "أنظر ما قال ولا تنظر من قال" yang bermaksud “Lihatlah apa yang dicakap dan jangan melihat siapa yang bercakap”

Wallahu 'alam!

Greenboc
COO Blog Kelab GB

Laporan sebelum ini
klik untuk baca






[VIDEO] Kempen 'Tolak Najib' Dilancarkan

Wanita PKR semalam telah melancarkan kempen "Tolak Najib" bagi mendesak perdana menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak meletakkan jawatan sebagai pemangku menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Ketuanya Zuraida Kamaruddin berkata, kempen itu dijalankan kerana Najib masih gagal mengemukakan perancangan bagi hala tuju pembangunan wanita di Malaysia walau telah tiga bulan memangku jawatan itu.

Menurut Zuraida lagi, matlamat 30 peratus wanita di peringkat pembuat dasar jelas tidak seperti digambarkan kerana jurang gaji antara gender dan proses kepimpinan wanita di semua peringkat masih belum terlaksana.

"Semenjak 2008, jutaan dana telah diluluskan dan dibelanjakan oleh kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM). Namun sehingga kini semua pencapaian perlaksanaan dan hasil tidak diketahui.

"Jadi WANITA PKR melancarkan kempen ini bagi memberi pendedahan kepada wanita di luar sana tentang janji yang tak ditepati yang dibuat oleh Najib," katanya pada sidang media pelancaran kempen itu di ibu pejabat PKR hari ini.

Selain itu, Zuraida berkata, pihaknya turut menyeru agar Najib mengemukakan calon bagi jawatan menteri wanita KPWKM.

Zuraida berkata, Najib tidak mampu menggalas tanggungjawab yang banyak kerana presiden Umno itu kini sudah memegang "puluhan jawatan".

"Antara puluhan jawatan yang dipegang perdana menteri ialah menteri kewangan, pengerusi Khazanah Nasional, pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengerusi projek berimpak tinggi.

"Adakah dengan puluhan jawatan ini beliau mampu mentadbir KPWKM dengan baik?," soal Zuraida.

Zuraida berkata kempen "Tolak Najib" yang mensasarkan golongan wanita itu akan dilancarkan secara serentak di seluruh negara pada 28 Julai bermula dengan program mengedar risalah di kawasan bandar sehingga ke pedalaman.

Najib memangku jawatan kementerian pembangunan wanita pada April lalu selepas Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melepaskan jawatan tersebut berikutan desakan serta penglibat keluarganya di dalam isu National Feedlot Corporation (NFC). -mk



[Siapa Tu] Didenda RM800 Cuba Bakar Rumah Kerana Isteri Tak Izin Kahwin Lagi

Muar – Seorang ketua UMNO peringkat cawangan di Lenga dekat sini didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana cuba membakar rumahnya sendiri selepas permintaan untuk berkahwin lagi pada 17 Julai lalu tidak dibenarkan isterinya. Illustrasi hiasan

Majistret Suzana Mokhtar memerintahkan Ithnin Misdani, 50, dari Kampung Sawah, Tulang Gajah, Lenga membayar denda berkenaan atau dipenjara sebulan apabila tertuduh mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Ithnin pada pukul 10.10 pagi 17 Julai lalu telah mengambil tong berisi petrol serta tong gas dan meletakkannya di ruang tengah rumah sambil mengugut untuk membakar rumah berkenaan di depan isterinya, Siti Musliha Selamat.

Tertuduh dikatakan bertindak demikian selepas berang apabila isteri pertamanya dikatakan tidak mengikuti kehendaknya untuk beristeri lain.

Berikutan itu, Ithnin dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali. -kosmo

Ulasan GB

Cuba baca semula ayat pertama itu...

Seorang ketua UMNO peringkat cawangan di Lenga...

sampai nak bakar rumah sebab isteri tak bagi kahwin lagi..


Rumah Exco Kena Samun Bukti Kadar Jenayah Dah Turun?

Rumah exco Melaka dipecah masuk sebabkan kerugian RM200,000

MELAKA, 26 Julai — Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka Datuk Latif Tamby Chik kerugian kira-kira RM200,000 apabila rumahnya dipecah masuk tiga lelaki, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata ketika kejadian pada 11.45 malam itu di rumah Latif di Jalan Datuk Palembang Bukit Baru di sini, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Teluk Mas itu tiada di rumah kerana menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran manakala isterinya berada di rumah jiran.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki dipercayai rakyat tempatan berusia antara 20 dan 30-an itu menggunakan kenderaan mewah dan memakir kenderaan berkenaan di hadapan rumah mangsa sebelum memecah masuk rumah itu.

“Ketiga-tiga suspek masuk melalui tingkap di hadapan rumah dengan memecahkan jeriji sebelum menyelongkar rumah itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Beliau berkata kehadiran ketiga-tiga lelaki terbabit disedari isteri mangsa yang ingin memasuki rumah itu.

Suspek melarikan diri bersama kenderaan mewah menggunakan nombor pendaftaran palsu, katanya.

Raja Shahrom berkata mangsa kehilangan beberapa barangan kemas, beberapa utas jam tangan berjemana selain wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM200,000.

Beliau berkata kes pecah rumah itu merupakan yang ketiga berlaku sepanjang enam hari berpuasa dan dipercayai dilakukan kumpulan sama.

Kes pertama melibatkan rumah bekas Ketua Polis Melaka Datuk Ahmad Long di Taman Sentosa di sini pada Isnin dan kes kedua melibatkan jiran Ahmad pada hari sama.

Sehubungan itu katanya polis Melaka menubuhkan unit khas anti pecah rumah bagi menjejaki anggota sindiket itu dan pihaknya menyeru orang ramai melaporkan kepala polis sekiranya melihat kenderaan mewah yang mencurigakan. — Bernama

Ulasan GB

Menteri KDN, Pemandu dan KPN bertegas menyatakan kadar jenayah dah turun.

Sekarang satu demi satu terkena batang hidung, beberapa hari lepas Bekas ketua Wanita UMNO Bukit hangus mati ditikam, pada bulan lalu banglo Rahim Tamby Chik diceroboh, dari berita di atas rumah bekas Ketua Polis Melaka dan jirannya di Taman Sentosa kena rompak dan kini rumah exco di pecahmasuk.

Kebenaran itu tidak boleh disembunyi atau ditipu. Ia akan muncul juga bahawa kadar jenayah tidak turun seperti yang digembar-gemburkan.

illustrasi dari malaysia-chronicle


Populariti Najib Terus Merudum

Tahap populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kalangan pengundi di Semenanjung berada pada paras 64 peratus berbanding 65 peratus pada Mei lalu.

Penemuan ini hasil kendalian Merdeka Center yang diumumkan pada hari ini.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa paras rasa puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri di kalangan pengundi Melayu dan India masing-masing menurun daripada paras 79 peratus kepada 75 peratus dan 72 peratus kepada 69 peratus.

Bagaimanapun sokongan pengundi Cina telah meningkat daripada 37 peratus pada Mei lalu kepada 42 peratus bulan lalu.

“Meskipun mengalami penurunan di kalangan pengundi kaum India dan Melayu, paras yang direkodkan masih tinggi. Cuma ada perubahan sedikit di kalangan pengundi-pengundi Cina,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian dalam kenyataan media.

Ujar beliau, pendirian komuniti-komuniti itu kemungkinan dipengaruhi oleh kebimbangan mereka tentang ekonomi negara khususnya di kalangan responden India.

“Ia juga ada kaitan dengan rasa tidak puas hati berhubung kenyataan berkaitan dengan aktivis (Pengerusi Bersama) Datuk S. Ambiga,” kata beliau lagi.

Kaji selidik itu menunjukkan pandangan pengundi kerajaan terus merosot dengan 42 peratus daripada responden melaporkan bahawa “mereka gembira dengan kerajaan”, penurunan sebanyak enam peratus berbanding kajian yang dijalankan pada pertengahan Mei 2012.

Pungutan suara itu berkata penurunan itu amat ketara di kalangan pengundi Melayu, di mana jawapan dari orang-orang yang berkata ‘gembira’ dengan kerajaan menurun dari 65 peratus Mei kepada 58 peratus pada Jun 2012.

“Pada pandangan kami, penurunan itu mungkin mempunyai kurang kaitan dengan politik atau persepsi mereka terhadap Perdana Menteri tetapi dengan bagaimana pengundi melihat ekonomi, melaksanakan dan kesannya terhadap kehidupan mereka,” katanya.

Kajian yang sama mendapati bahawa kebimbangan terhadap isu-isu ekonomi, terutamanya kos sara hidup dan gaji, adalah teratas di minda pengundi, 39 peratus daripada mereka berbanding dengan 33 peratus Mei 2012.

Ini diikuti oleh kebimbangan terhadap jenayah dan masalah sosial di 12 satu isu peratus dan politik pada lapan peratus.

Kaji selidik itu mendapati bahawa peningkatan kebimbangan terhadap ekonomi mungkin juga menjejaskan prospek negara dengan 54 peratus menyatakan negara ini diketuai di landasan yang betul berbanding 58 peratus pada April 2012.

Kaji selidik yang telah dijalankan oleh Merdeka Center antara 22 dan 29 Jun di kalangan 1010 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 59 peratus Melayu, 32 peratus Cina dan sembilan peratus responden berbangsa India yang telah ditemubual melalui telefon. -selangorku

Ya Allah, Kau Berilah Balasan Kepada Mereka Yang Bertindak Melampaui Bidang Tugasnya Itu..

Polis sepak kad media, cuba rampas kamera

KUALA LUMPUR: Seorang petugas media memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa empat anggota polis memegang tangannya secara kasar dan merampas begnya ketika beliau sedang menjalankan tugas pada Perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Pembantu Editor Merdeka Review Edisi Bahasa Cina, Chen Shaua Fui (gambar) berkata, beliau memaklumkan kepada polis bahawa beliau seorang petugas media sambil menunjukkan kad medianya namun polis bertindak menarik dan menyepak kad medianya yang bertulis wartawan.

"Polis juga beri kata kepada saya, 'seorang polis sudah mati'. Kesemua mereka lelaki. Mereka juga beri amaran, 'kalau saya nampak kamu lagi, saya akan tangkap kamu," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Shaua Fui, 34, berkata, polis bertindak demikian sewaktu beliau sedang mengambil gambar polis yang mengasari peserta Bersih di sepanjang Jalan Ampang.

"Saya nampak polis menyuruh semua peserta yang memakai t-shirt kuning menanggalkan pakaian mereka," katanya yang sudah sepuluh tahun berkerja dalam bidang kewartawanan.

Tambahnya, walaupun sudah membuat liputan di beberapa perhimpunan aman, inilah kali pertama polis bertindak demikian terhadapnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen. -HD

‘Kawan pun bagitahu saya press polis terus pukul’

KUALA LUMPUR: Seorang petugas media hari ini berpandangan polis melanggar Seksyen 24 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 ketika bertugas di Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Gambar: Najib melawat Radzi Razak yang cedera dibelasah oleh polis.

Wartawan akhbar The Sun, Radzi Razak bersetuju ketika wakil pemerhati daripada Bersih pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini membacakan kandungan sekyen 24 dan meminta pandangan beliau.

Seksyen 24 memperuntukkan mana-mana wakil media boleh mempunyai akses yang munasabah kepada tempat perhimpunan dan menggunakan apa-apa kelengkapan untuk membuat laporan tentang perhimpunan itu.

"Adakah anda rasa seksyen 24 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 ini telah dilanggar?" soal pemerhati dan disusuli jawapan 'ya' oleh Radzi.

Pada hari tersebut, Radzi, 27, dipukul oleh tujuh anggota polis ketika berada di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Razak pada perhimpunan tersebut.

Menurutnya, sebelum beliau dipukul, beliau nampak dua anggota polis bercakap sesuatu kepada sekumpulan anggota yang berkumpul berhampiran Dataran Merdeka sebelum mereka berpecah dan memukul peserta yang berada di kawasan sekitar.

"Sekumpulan polis menuju ke arah saya dan menendang kepala saya sehingga jatuh terlentang. Saya jerit 'press' dan kawan-kawan saya pun bagitahu saya press. Polis terus pukul dan kemudian berlalu tanpa kata apa-apa," kata beliau yang merupakan saksi ke-17.

Beliau berkata demikian di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
-HD



Polis serang pelanggan di restoran A&W ketika Bersih, saksi beritahu Suhakam

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Polis telah menyerbu masuk ke dalam restoran A&W semasa perhimpunan 28 April dan menyerang peserta Bersih yang sedang makan di situ, kata seorang saksi kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam inkuiri hari ini.

Karam Singh Charan Singh, 50, seorang pemandu pelancong, mendakwa bahawa dia dan yang lain diserang oleh pegawai polis ketika sedang minum di restoran A&W di Jalan Tun Perak selepas perhimpunan itu.

“Polis telah menunjukkan kad kuasa mereka dan mengarahkan staf restoran itu untuk membuka pintu. Saya beritahu pekerja itu supaya jangan membuka pintu, tetapi staf restoran itu enggan mendengar kata saya dan membenarkan polis masuk.

“Polis itu kemudiannya terus ke meja saya dan rakan saya serta menyuruh kami membuka baju kuning. Seorang anggota polis kemudiannya cuba untuk menumbuk saya tapi tumbukannya hanya menyebabkan sedikit bengkak,” kata Karam.

Dia kemudian memberitahu panel bahawa polis telah memukulnya kerana cuba mempertahankan rakannya itu.

“Sembilan puluh peratus dari pelanggan tersebut adalah peserta Bersih. Ada seorang polis yang menjerit kami tidak sepatutnya dilayan begitu, mendakwa bahawa ada seorang pegawai polis telah dibunuh oleh para penunjuk perasaan.

“Polis telah memanggil kami ‘perosak’, memukul seorang lelaki dan mengherdik dua orang perempuan untuk pergi dari situ,”
katanya lagi.

Karam berkata bahawa dia mendengar khabar angin bahawa seorang pegawai polis dan dua orang penunjuk perasaan telah terbunuh pada hari itu.

Dia juga berkata kepada panel dan pemerhati dia tidak membuat laporan polis tentang serangan itu di restoran.

“Saya hilang keyakinan terhadap polis selepas menyaksikan cara mereka melayan dan menakutkan kami yang mereka akan menyerang kami jika kami mengadu tentang mereka.

“Saya tidak cedera dari segi fizikal, tetapi merasa malu dengan insiden tersebut,” katanya lagi.

ia berkata pada awal hari tersebut, suasana perhimpunan tersebut seperti karnival tetapi menjadi tegang apabila polis mula menahan para penunjuk perasaan.

Inkuiri yang bermula pada 5 Julai, mahu menentukan sejauh mana keganasan terhadap hak asasi manusia terhadap mana-mana pihak semasa dan selepas perhimpunan.

Panel inkuiri yang diketuai oleh Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh pesuruhjaya Professor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen akan menemubual 22 saksi dalam masa 22 hari.

Inkuiri bersambung pada 26 Julai.
-TMI


Ulasan GB

Perkara sudah berlaku. Tidak ada apa yang dapat dikatakan lagi. Yang hanya dapat kita lakukan ialah berdoa kepada Ilahi agar Dia mendedahkan dan melaksanakan kebenaran dan keadilan disamping menghukum mereka yang kejam dan zalim serta melampaui batas itu.

Kepada polis yang menendang dan menyepak orang awam dan para petugas itu, jangan sampai nanti Allah kudungkan kakinya supaya menjadi pengajaran kepada anggota polis yang lain. Ya Allah, Engkau Maha Mendengar doa kami...