28 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Kes Royalti Akan Ke Mahkamah Antarabangsa

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata isu tuntutan royalti minyak oleh Kelantan mungkin dibawa ke mahkamah antarabangsa sekiranya rundingan secara "persaudaraan" dengan kerajaan pusat gagal mencapai kata sepakat.

Royalti minyak dari kawasan yang terletak di perairan Kelantan perlu diberi kepada kerajaan negeri dan bukannya diambil oleh kerajaan pusat sebagaimana yang berlaku sekarang," katanya ketika mengulas tuntutan RM1 bilion hasil royalti minyak itu.

Isu itu timbul semasa kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Manik Urai baru-baru ini apabila Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Husam Musa, menyuarakan hasrat untuk menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat sebanyak RM1 bilion.

Nik Aziz berkata tidak ada sebab kerajaan pusat tidak memberikan royalti minyak itu kepada kerajaan negeri kerana kedudukan pelantar minyak jelas terletak di kawasan perairan Kelantan.

"Dari segi georgrafinya, dari segi faktanya, kalau Kelantan tiada hak, maka minyak dari pantai Kelantan hak siapa, Terengganu atau Thailand. Kalau tidak hak Terengganu, Thailand akan kata hak dia, ini bahaya kepada politik (negara)," katanya.

Nik Aziz berkata beliau berharap rundingan dengan kerajaan pusat akan diteruskan sehingga matlamat untuk mendapatkan royalti minyak tercapai.

"Kita berunding, kalau boleh secara mudah atau cara persaudaraan. Kalau tidak boleh berunding (kita) akan bawa ke mahkamah. Kalau tidak mahkamah di sini, ke mahkamah antarabangsa," katanya. -Bernama


Era Najib Altantuya : Rakyat Selangor Takkan Terima MB Parti Penyapu Lagi

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor anggap misi UMNO atau Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR) adalah malapetaka bagi rakyat.

Ketua Penerangan AMK, Mohd Ezli Mashut berkata, pastinya rakyat Selangor tidak mahu igauan ‘penyapu’ sebagai hadiah dan kezaliman yang dilakukan kembali semula mentadbir di negeri ini.

“AMK Selangor yakin rakyat Selangor kini amat selesa menikmati kemudahan air percuma 20 milimeter padu yang dilaksanakan oleh kerajaan PR. Bahkan itu salah satu usaha PR merakyatkan ekonomi Selangor.

“Usaha tersebut langsung tidak pernah diberi kepada rakyat Selangor oleh kerajaan BN selama 50 tahun mentadbir,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, jika kerajaan BN kembali memerintah Selangor maka kita yakin nikmat yang besar itu akan dimansuhkan kerana selama ini jelas kerajaan BN berusaha keras menentang usaha murni pemberian air percuma kepada rakyat negeri.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Besar Selangor terdahulu Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang mendakwa misi merampas Selangor mudah adalah satu kenyataan yang angkuh dan takbur.

“Kenyataan tersebut jelas bahawa beliau cuba menidakkan kebijaksanaan rakyat negeri ini yang berani membuat perubahan besar dalam 50 tahun yang menjadi titik tolak penolakan kepada kerajaan yang mengamalkan rasuah dan mendahulukan kepentingan sempit mereka.

“Malah, rakyat negeri ini masih belum lupa era pemerintahan terdahulu yang menzalimi rakyat kebanyakan,” katanya.

Mohd Ezli berkata, walaupun pihak pembangkang (BN) di negeri ini menggasak hebat daripada semua penjuru. Keyakinan rakyat Selangor terhadap kerajaan PR tidak berganjak malahan semakin diterima oleh semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Selain itu, suasana keadilan yang selama ini menjadi harapan baru untuk rakyat negeri ini semakin terserlah daripada hari ke hari. Bahkan kajian soal selidik juga dilakukan dan menyaksikan trend rakyat negeri ini semakin selesa serta boleh menerima pembaharuan yang dilaksanakan oleh PR.

“Selain itu, AMK yakin rakyat kini semakin merasai suasana perubahan semenjak PR mengambil alih negeri ini. Keyakinan pelabur luar terhadap iklim ekonomi dan prospek masa hadapan semakin meningkat walaupun iklim ekonomi dunia masih tidak menentu dan sukar diramal.

Beliau berkata, Selangor kini adalah Selangor Baharu yang menjadi tempat kediaman dan impian untuk semua agama dan bangsa. Malah, rakyat juga sudah boleh melupakan dan melupuskan BN dalam kamus politik di negeri ini.

Era Najib Altantuya : Rakyat Terkejut Bila Polis Klassifikasikan Teoh Mati Mengejut

Rakyat rata-rata terkejut dengan kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang membuat kenyataan bahawa kes kematian Teoh Beng Hock di bangunan SPRM minggu lalu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sekalipun katanya ia boleh dipinda jika ada penemuan baru.

"Benar-benar sudah diramalkan bahawa akan berlaku cover-up untuk kes ini sepertimana polis yang sama melakukan ke atas kes A. Kugan," kata seorang pemerhati politik.

"Jika demikianlah sikap dan hasil siasatan polis, tiada siapa lagi mahu percaya kepada polis dan tiada siapa lagi mahu bekerjasama dengan pihak polis di masa akan datang," ujarnya tegas.

Sementara itu prosiding inkues Teoh Beng Hock, setiausaha politik seorang anggota exco kerajaan Selangor, akan bermula esok di Mahkamah Shah Alam bagi mengetahui punca kematiannya.

Teoh, 30, ditemui mati terjatuh dari bangunan yang menempatkan pejabat Surhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor di Shah Alam, selepas dia dipanggil memberi keterangan dalam siasatan dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor.

Peguam Gobind Singh Deo, bagi pihak keluarga Teoh, ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan beberapa dokumen termasuk laporan bedah siasat sebelum prosiding inkues bermula.

Keterangan dari 77 saksi yang dipanggil akan menjadi tumpuan. Koroner Azmil Muntapha Abas dijangka mendengar kes itu selama 15 hari.

Antara yang dijangka dipanggil ialah 28 pegawai SPRM, ahli kimia dan patologi serta beberapa teman rapat Teoh.

Teoh, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Pada 22 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan bagi menentukan punca kematian Teoh.

Seksyen 337 Kanun Acara Jenayah memperuntukkan kuasa kepada koroner untuk menyiasat bila, di mana dan bagaimana seseorang itu mati, dan sama ada mana-mana orang terlibat secara jenayah yang menyebabkan kematian itu.

Selain Gobind, keluarga Teoh turut diwakili peguam Karpal Singh, manakala peguam Malik Imtiaz Sarwar akan bertindak sebagai peguam pemerhati bagi kerajaan negeri Selangor.

Pejabat Peguam Negara masih merahsiakan siapa yang akan mengendalikan kes itu tetapi dipercayai ia dibarisi beberapa Timbalan Pendakwa Raya berpengalaman.

Tinjauan Bernama di Mahkamah Majistret 5 Shah Alam hari ini mendapati beberapa petugas sedang sibuk membuat persiapan memasang tiga skrin untuk memaparkan segala keterangan yang direkod sepanjang prosiding inkues itu nanti.

Para petugas media dijangka berada di mahkamah seawal 6 pagi esok bagi mendapat tempat duduk di galeri awam memandangkan ruang mahkamah itu hanya mampu menampung sekitar 60 orang.



Era Najib Altantuya : Konspirasi BN Untuk Rampas Selangor

Konspirasi Barisan Nasional untuk merampas kembali Selangor dari pemerintahan Pakatan Rakyat melalui agensi-agensi kerajaan semakin serius, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Menurutnya, Barisan Nasional sentiasa menimbulkan pelbagai isu mengenai tingkah laku Exco dan Adun Pakatan Rakyat secara bersiri. Setakat ini konspirasi itu sudah memasuki lima episod.

“Apa yang berlaku PR, ini adalah satu teori konspirasi BN untuk merampas semula Selangor, ini siri kelima, pertama Teresa Kok ditangkap ISA, kedua Ronie Liu ditangkap alasan menghalang pegawai polis lakukan siasatan, ketiga MB guna sendiri sebagai kereta rasmi, dan isu lembu di masjid-masjid,”

“Seterusnya kes Exco Elizabeth Wong di sebarkan gambar secara tak beretika, lanjutan itu sehingga sekarang penyiasatan terhadap adun PR khususnya PJ, dan menyebabkan kematian Teoh, perancangan UMNO untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat untuk kembali ke Barisan Nasional,” katanya.

Ng berkata, di Perak misalnya, campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM yang kononnya menyiasat salah laku dua Adun menyebabkan Perak jatuh semula ke tangan Barisan Nasional.

“Kita berbincang dan sepakat untuk hadapi BN dengan segala perancangan jahat BN utk jatuh PR melalui rampasan kuasa, kita hadapi barisan nasional bila-bila masa pada pilihan raya kita tak gentar, tetapi bukan cara melalui rampasan kuasa melaui seluruh instrumen kerajaan persekutuan, termasuk polis, SPRM dan sebagainya,” jelasnya.

Ng berkata, beliau sedia untuk disiasat pada bila-bila masa, tetapi dengan syarat di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan ditemani peguam.

Sementara itu, Adun Meru, Dr Rani Osman berkata, semua Adun bersepakat membuat rumusan bahawa tindakan SPRM terhadap mendiang Teoh Beng Hock, adalah zalim.

Menurutnya, Teoh bukan suspek tetapi saksi yang tidak patut disiasat sebagai pesalah.
“Kami berharap suruhan jaya Diraja ditubuhkan menyiasat semua pekara sebab ini isu besar, pertama saya minta supaya SPRM kaji semula peruntukan yang diberikan kepada Adun, sebenarnya adalah hak Adun untuk dibelanjakan untuk kepentingan rakyat,”

“Jikalau Adun disiasat perlu temu janji untuk sial siasat, penyiasatan perlu berkualiti dan berhemah, jangan angap kami seperti criminal, sampai soalsiat disuruh berdiri tegak dan terlalu lama. Mereka perlu respect, minta mereka siasat di bangunan SUK, harap sekurang 10 peguam kerajaan negeri membantu Adun-Adun, bagi kami hari untuk menetapkan peguam dan jangan secara military, seperti kami dah bunuh orang,” katanya.



Era Najib Altantuya : Jenayah Meningkat, Rasuah Parah - Musa Hassan Perlu Letak Jawatan

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini dalam satu mesyuarat bersama badan bukan kerajaan bersetuju dengan empat resolusi meningkatkan keselamatan negara.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk seri Anwar Ibrahim berkata, resolusi pertama mendesak tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara Musa Hassan tidak dilanjutkan ekoran kegagalan beliau sebagai KPN untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini sepanjang tiga tahun lepas.

Musa gagal dalam menjalankan semua peranan asas polis termasuk mengurangkan kadar jenayah, membendung rasuah dan melindungi hak asasi manusia.

Katanya, resolusi kedua mendesak perlantikan KPN yang baru yang komited kepada demokrasi, serta melaksanakan saranan Suruhanjaya Diraja Keatas Penambahbaikan Pasukan Polis seperti penububuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

"Ketiga, KPI pembasmian jenayah berdasarkan kategori jenayah yang diusulkan oleh laporan Tun Mohamed Dzaiddin pada tahun 2005 dan yang keempat meminta diwujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC)," katanya.

Penubuhan IPCMC dicadangkan oleh Tun Mohamed Dzaiddin untuk memulihkan keyakinan umum terhadap pegawai polis.

Anwar berkata, pembaharuan yang diminta dalam resolusi berkenaan jelas bukan sahaja mahukan penubuhan IPCMC dan penukaran KPN baru tetapi juga melantik KPN yang bersih dalam usaha menambahbaik institusi polis dan profesionalisme mereka.

"Resolusi isu KPN ini serius dan kadar jenayah meningkat dan pertuduhan terhadap beliau begitu banyak, tindakan beliau membelakangkan hukum. Kami ada kepercayaan imej polis masih boleh dipulihkan ada sesetengah polis yang tahap profesionalisme mereka boleh membantu untuk memulihkan," katanya.

Anwar berkata, pembaharuan dalam institusi polis perlu bagi mengekang polis terlibat dalam jenayah termasuklah sindiket jenayah ah long dan samseng.

Katanya, sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap resolusi berkenaan, pihaknya akan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai jenayah membabitkan polis.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Pakatan meminta Barisan Nasional menerima resolusi berkenaan untuk melantik KPN baru dan modus operandi yang baru.

Katanya, langkah berkenaan perlu supaya polis memberikan layanan yang baik kepada rakyat, menjaga hak asasi manusia dan mengurangkan kadar jenayah.

"Perdana Menteri bercakap mengenai KPI Polis, saya gembira dengan pengumuman itu tetapi apa yang penting mereka perlu menyelesaikan masalah pokok dan perkara pertama yang akan dilihat adakah terdapat lantikan KPN baru, jika tidak saya rasa semua cakap-cakap mengenai KPI polis akan menurun dan ramai yang hilang kepercayaan.

"Apa yang penting berhubung perkara KPN baru untuk polis baru dan saya harap Najib mempertimbangkan secara serius penubuhan IPCMC yang mana tidak hanya melihat kepada laporan Persuruhjaya Dzaiddin terhadap apa yang berlaku emapt tahun lalu berhubung implimentasi laporan berkenaan. Malahan membentuk blueprint untuk polis dalam tahun-tahun akan datang dan bagaimana untuk mengamalkan polisi demokrasi dan mengembangkan peranan polis," katanya.

Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli berkata, resolusi yang dipersetujui dalam persidangan lebih dua jam berkenaan merupakan langkah besar dalam proses lantikan jawatan kanan negara.

Katanya, pengumuman Najib mengenai KPI mengurangkan 20 peratus kadar jenayah jalanan pada penghujung tahun 2010 merupakan satu undi tidak percaya beliau terhadap Musa Hassan.

"Saya rasa sebenarnya adalah satu undi tidak percaya kepada KPN yang ada sekarang, beliau harus faham apabila ia dimasukkan dalam KPI bermakna kerajaan tidak boleh lagi bertoleransi. Cuma mungkin mengikut perdebatan kita tadi, kerajaan serba salah untuk menukar KPN. Jika KPN masih ada sedikit sensitiviti dan maruah maka beliau tidak patut menawarkan diri menyambung khidmat," katanya. -TVA

Era Najib Altantuya : SPRM Diminta Buat Laporan Polis Jika Benar Terima Ugutan

Banyak pihak tidak percaya dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Said Hamdan, yang menyatakan SPRM menerima beberapa ugutan untuk memaksa mereka menghentikan siasatan ke atas kes salahguna peruntukan Adun Selangor.

Ia hanya helah untuk melakukan cover-up terhadap beberapa pegawai SPRM yang terlibat di dalam kes kematian Teoh Beng Hock yang ditemui mati di Plaza Masalam minggu lalu.

Ahmad Said Hamdan diminta membuat laporan polis sekiranya ugutan yang diterima ketika menyiasat kes salah guna peruntukan Adun Selangor.

Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, jika Ahmad Said tidak berani berbuat demikian, beliau sedia membantu SPRM membuat laporan polis.

"Saya berbuat demikian kerana saya mahu mempertahankan hak rakyat Malaysia supaya SPRM boleh menjalankan siasatan dengan adil dan saksama. Saya ingin menasihati Ahmad Said supaya jangan mencipta satu konspirasi untuk mencari alasan untuk melarikan tanggungjawab daripada kematian Teoh Beng Hock", katanya.

Ean berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, tengah hari tadi.
Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam, berhubung ugutan mati yang diterima oleh pegawai siasatan utama SPRM.

"Saya memandang serius tentang isu yang dibangkitkan oleh Ahmad Said. Tidak patut ada sebarang ancaman untuk mempengaruhi pegawai-pegawai agensi kerajaan untuk menjalankan siasatan dan membuat keputusan", katanya.

Dalam laporan itu, Ahmad Said mengesahkan SPRM menerima beberapa ugutan untuk memaksa mereka menghentikan siasatan ke atas kes salahguna peruntukan Adun Selangor.
Ugutan itu menyebabkan pegawai terbabit dipindahkan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Era Najib Altantuya : Pergi Jahanam UMNO!

Pergi jahanamlah UMNO,” sergah Tok Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan. Adakah ini satu kutukan atau satu kenyataan politik yang tepat? Yang pasti, Tok Guru Nik Aziz marah apabila UMNO dan media di bawah kekuasaan mereka memutar-belitkan kenyataannya tentang kerjasama antara pusat dan negeri Kelantan.

Masalah yang dihadapi Kelantan, yang menjadi masalah kronik yang dihadapi oleh setiap Menteri Besar dari PAS, ialah tentang perhubungan pusat dan negeri yang penuh konflik. Pusat tidak boleh terima ada negeri yang tidak sehaluan dengan pusat, walaupun dalam konteks demokrasi.

Meskipun peruntukan dalam Perlembagaan jelas tentang tanggungjawab pusat kepada negeri, terutama dari segi membayar gran tepat pada waktunya, tetapi dari segi pelaksanaannya tidak pernah dibuat dengan profesional, berasaskan kehendak Perlembagaan, oleh kerajaan pusat. Kita tidak perlu soal tentang kejujuran kerajaan pusat, kerana memang mereka tidak jujur dan soal kejujuran ini tidak penting dalam politik.

Yang penting ialah sama ada mereka patuh kepada Perlembagaan yang mereka buat sendiri. Kita mesti ingat, Perlembagaan Malaysia dibuat oleh UMNO dan konco-konconya. Jadi apabila mereka tidak mahu ikut, tentu ada masalah. Mereka tidak profesional, itulah kesimpulan yang tepat.

Rakyat tidak wajar mengharapkan kejujuran daripada UMNO (baik zaman Perikatan mahu pun zaman Barisan Nasional), tetapi mereka mahukan sikap profesional, bertindak sebagai manusia normal dan rasional, bukan sebagai manusia yang menggunakan kuasa untuk menindas.

Tentang aspek ini, Dr. Nik Ibrahim bin Nik Mahmud telah menulis tesis Ph.D. (1977) yang menganalisis hubungan penuh konflik dan penindasan antara pusat (di bawah Tunku dan Tun Razak) dengan Kelantan. Beliau memberikan data-data konkrit dengan mengemukakan dokumen yang boleh diperiksa oleh sesiapa juga yang tidak menerima kenyataan ini.

Jika kutukan Tok Guru Nik Aziz dilihat dalam konteks yang dianalisis oleh Dr. Nik Ibrahim ini, kita akan faham mengapa Tok Guru Nik Aziz mengucapkan dengan lantang kutukan beliau yang memang berasaskan kenyataan pengalaman politik yang tidak boleh diketepikan. Adakah orang Melayu berharap kutukan Tok Guru Nik Aziz akan menjadi kenyataan?

Jika kita melihat perkembangan terbaru dalam UMNO, kita akan dapati betapa para pemimpin UMNO sendiri mengaku betapa teruknya parti Melayu itu menghadapi masalah rasuah. Beberapa orang pemimpin penting UMNO telah menjadi korban tabiat rasuah itu apabila dinafikan daripada bertanding dalam pemilihan UMNO.

Tetapi mereka tidak dipecat dari jawatan penting di negeri-negeri, misalnya sebagai Ketua Menteri di Melaka. Kutukan Tok Guru Nik Aziz diluahkannya berasaskan kenyataan politik dalam UMNO sendiri. Tidakkah rasuah itu satu kecelakaan besar bagi negara, apabila para pemimpin negara dengan tidak ada perasaan malu mengaku bahawa mereka adalah pengamal rasuah.

Malah Dr. Mahathir Mohamed sendiri menegaskan Kabinet Najib yang ada sekarang tidak bersih, masih ada pemimpin rasuah di dalamnya. Adakah Dr. Mahathir berbohong? Yang boleh menjawabnya dengan tepat hanya orang UMNO sendiri, tetapi apabila bekas PM sendiri sudah membuat kesimpulan demikian, maka ucapan Tok Guru Nik Aziz yang umum itu memang dikhususkan kepada UMNO sebagai parti Melayu yang Islam yang telah merugikan Melayu dan Islam.

Yang menjadi masalah kepada UMNO dan ketua-ketua UMNO ialah apa yang diucapkan oleh Tok Guru Nik Aziz itu tepat sekali dengan perilaku politik dalam UMNO sendiri, yang diakui mereka dan disedari mereka kebenarannya. Oleh itu apabila lidah rasmi UMNO, akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan “Bisik-bisik” yang ditulis sendiri oleh Ketua Pengarangnya (bertarikh 28/7/2009), berkata Tok Guru Nik Aziz merugikan Islam dan bukan seorang pemimpin Islam sejati, maka fakta yang ada menunjukkan kesimpulan Ketua Pengarang itu lebih tepat ditujukan kepada UMNO dan para pemimpin UMNO. Kita boleh bertanya: Dari segi apa Najib Tun Razak dan Dr. Mahathir Mohamed misalnya menguntungkan Melayu dan Islam, dibandingkan dengan sumbangan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat?

Adakah kedua-dua mereka pemimpin Islam sejati? Adakah ketiga-tiga mereka ini sama-sama merugikan Melayu dan Islam dan bukan pemimpin Islam sejati? Oleh itu, siapakah pemimpin Islam sejati itu di Malaysia? Kita perlu tahu siapa pemimpin Islam sejati itu, kerana pada waktu orang Islam sudah begitu jauh dibawa UMNO untuk mengelirukan masyarakat tentang Islam (misalnya dengan mengemukakan Islam Hadhari, yang dengan sendirinya memberi keraguan kepada konsep Islam sejati, kecuali jika Islam Hadhari itulah yang sejati), maka pemimpin Islam sejati itu perlulah dinamakan supaya boleh dijadikan ukuran dalam menentukan siapa yang sejati dan palsu dalam kepemimpinan Islam ini.

Yang sah, tidak seorang pun daripada UMNO pernah muncul sebagai seorang pemimpin Islam sejati seperti yang disebut oleh Ketua Pengarang Utusan Malaysia dalam pojoknya. Yang pasti PAS telah melahirkan seorang negarawan besar dan seorang pemimpin Islam sejati dalam diri Dr. Burhanuddin Hilmi. Siapakah di kalangan pemimpin UMNO yang setanding dengan beliau sebagai seorang pemimpin Islam sejati? Di sinilah Tok Guru Nik Aziz berada, berdiri sebagai seorang pemimpin Islam yang tidak kalah dengan ketokohan Dr. Burhanuddin. Sama ada beliau seorang pemimpin Islam sejati atau tidak, tentulah bukan Utusan Malaysia yang menentukannya. - [28/7/2009] Mohd. Affandi Hassan

Era Najib Altantuya : 97% Rakyat Hidup Dalam Ketakutan

DDalam tiga hari tinjauan soalselidik elektronik dinaikkan di laman sesawang Kementerian Dalam Negeri, 6,058 peserta berasakan kadar jenayah yang meningkat mutakhir ini menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan, manakala 5,549 peserta merasakan pihak berkuasa tidak mampu menjamin keselamatan mereka.

Begitu menurut rencana terbaru Penasihat DAP Lim Kit Siang di laman blognya hari ini.
Bermula 23 Julai lalu, penyertaan awal adalah seramai 866 bagi tinjauan pertama dan 894 bagi tinjauan kedua.

Jumlah peserta meningkat pada hari berikutnya kepada 2,846 bagi tinjauan pertama dan 2,619 bagi tinjauan kedua.

Hari terakhir tinjauan mencatatkan respon dari 6,058 orang bagi tinjauan pertama dan 5,549 bagi tinjauan kedua.

Keputusan ini menunjukkan sejak 23 Julai jam 12 malam hingga 26 Julai jam 10 pagi, 97 peratus responden secara konsisten mengatakan mereka tidak berasa selamat, manakala 95 peratus secara konsisten menjawab kerajaan tidak mampu menjamin keselamatan mereka.

"Hanya ada satu kesimpulan dari statistik ini - akuan bahawa Musa Hassan telah gagal sebagai Ketua Polis Negara, dan perlunya KPN baru untuk membebaskan Malaysia dari jenayah," tegas Kit Siang.

"Kes ragut sahaja meingkat 99 peratus dari Januari hingga April tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Sebanyak 1,206 kes dilaporkan dalam empat bulan tahun ini berbanding 606 sahaja tahun lalu. Bahkan jumlah 1,206 ini adalah kecil kerana majoriti mangsa tidak melapor kerana mereka tidak lagi yakin pada polis," tambahnya lagi.


Era Najib Altantuya : Akhirnya DIA Menghulurkan JawapanNya

Tragedi kematian Teo Beng Hock yang mayatnya ditemui di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam kononnya akibat terjatuh dari bangunan itu telah mewujudkan pelbagai spekulasi. Terjun, terjatuh atau dijatuhkan?

Ada pelbagai teori yang diutarakan dan yang nyata, apa yang dikatakan pada peringkat awal penemuan tragedi berkenaan seperti yang dikhabarkan kepada rakyat bahawa mayat yang ditemui adalah kerana Teoh terjatuh atau terjun tidak diterima oleh akal yang waras dan orang yang membuat andaian serta memberikan maklumat sedemikian ternyata pendusta dan sengaja berniat jahat untuk menyembunyikan fakta kebenaran.

Jatuh dari tingkat 14 ke tingkat tanpa sebarang kecederaan fizikal luaran adalah sesuatu yang tidak mungkin diterima akal. Panggillah ahli pathologi paling handal dunia, atau panggil sahaja sesiapa yang mendakwa sedemikian, kemudian jatuhkan mereka dari tempat tinggi tanpa sebarang peralatan keselamatan, sudah tentu mereka tidak mampu untuk melakukan.

Termasuklah Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull yang menyatakan sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut. Dan kenyataan seorang menteri bernama Nazri Abdul Aziz. Mereka berdua patut membuktikan dengan terjun dari Tingkat 15 bangunan Plaza Masalam dan kemudian tunjukkan tiada kecederaan fizikal.



Mohd Shukri berkata, SPRM tidak pasti sama ada mangsa mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan itu dan menambah mangsa memberi kerjasama baik sepanjang keterangannya direkodkan.


“Jadi, dia patut balik rumah. Kita pun tak tahu dia nak terjun bangunan tu…,” kata Nazri


Pada hari semalam, seorang pelajar lelaki Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), maut selepas jatuh daripada Tingkat 16, Blok 5 Apartmen Vista Angkasa di Kerinchi.

Mangsa dikenali sebagai Tan, 22, ditemui tertiarap jam 11.30 pagi dalam keadaan mengerikan dengan badan berlumuran darah dan kepala pecah di tempat letak motosikal.

Hal sedemikian tidak berlaku kepada Teoh Beng Hock. Pergi jahanam dengan teori-teori yang cuba melakukan cover-up yang menyatakan Teoh "terjun atau terjatuh"!

Polis yang menyiasat berlebih-lebihan untuk menghalakan "serangan" ke atas Pakatan Rakyat seperti Datuk Khalid Abu Bakar perlu disiasat motifnya berbuat demikian.

IA JELAS SATU PEMBUNUHAN.

Era Najib Altantuya : Kisah Majnun Yang Tergilakan Laila

Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Inilah perasaan yang menimpa pemimpin Umno sekarang apabila sedaya upaya berusaha menjalinkan hubungan dengan PAS.

Sedangkan ia tidak lebih seperti bertepuk sebelah tangan.

"Saya pun tak faham kenapa perkara ini boleh berlaku, macam cerita Majnun pula apabila seorang pengembala kambing berhajat untuk mengahwini anak raja.

"Macam-macam kerenah yang dibuat oleh Majnun sehingga pada suatu hari dia duduk seorang diri di bawah pokok sementara menunggu kambing sedang makan rumput, Majnun bercakap seorang diri.

"Apabila kawan dia tanya kamu bercakap dengan siapa, lalu Majnun menjawab, saya sedang bercakap Laila, seorang anak raja.

"Macamana seorang pengembala kambing mahu mengahwini anak raja. Mahu tidak mahu dia menulis nama Laila atas pasir. Dia tulis nama Laila lalu dia baca sendiri berulang kali.

"Kawan dia bertanya lagi, kamu bercakap dengan siapa, lalu dia jawab lagi dengan Laila. Mana Laila, kawan dia tanya, ini Majnun menunjukkan nama Laila yang dia tulis di atas pasir," katanya Menteri Besar Kelantan ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini pemimpin Umno beriya-iya benar mahu mengadakan kerjasama dengan PAS kononnya untuk perpaduan orang Melayu.

Impian itu dicetus semula pemimpin Umno ekoran kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta kerajaan pusat memberi kerjasama penuh kepada kerajaan negeri dan melupakan sengketa politik.

Ekoran itu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Umno akan membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Jumaat ini.

Sebelum ini Umno amat mengharapkan perpaduan Umno dan PAS dijalin semula selepas idea kerajaan perpaduan yang dicetus ditarik balik.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, apa yang berlaku terhadap Umno sekarang hampir serupa kisah dengan Majnun yang tetap berkeras mahu berkahwin dengan anak raja.

"Walaupun dia tak dapat kahwin dengan anak raja, tetapi sekurang-kurangnya dia boleh menulis nama Laila dan bercakap dengan Laila seorang diri," katanya.

Beliau juga mempertikaikan laporan akhbar mengenai isu tersebut kerana apa yang disentuhnya sebelum ini hanya berkaitan hubungan kerajaan negeri dan pusat, bukan berkaitan parti.

Katanya akhbar menyebut mengenai perkara itu, namun beliau tidak tahu menahu pun tentang perkara tersebut.

"Sepatutnya perkara yang melibatkan saya kena tanya saya dulu. Orang lain tidak ada hak untuk menjadi jurubahasa kepada saya.

"Saya tidak pernah sebut lupakan perkataan sengketa lama. Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu sebagaimana yang disiarkan sebuah akhbar harian baru-baru ini.

"Tuan-tuan boleh check balik semula record pertemuan antara saya dengan Dato' Mustapa Mohamed di Kuala Lumpur sempena Fiesta Kelantan yang dianjurkan oleh sebuah syarikat baru-baru ini," ujarnya. -harakahdaily