4 Jul 2012

Intipan CCTV Di Pejabat MB Selangor Dilakukan Sejak 2010 Lagi

Video Tingkat 21 tersebar

SHAH ALAM - Satu rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai dirakam dari dalam pejabat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tersebar di Internet semalam selepas dimuat naik di laman You Tube.

Video berdurasi selama 15 minit itu bagaimanapun tidak menunjukkan apa jua pendedahan, aksi panas atau motif penyebaran video tersebut kepada umum.

Video tersebut hanya menunjukkan aksi seorang lelaki berbaju kemeja bercorak didakwa Abdul Khalid yang masuk ke dalam pejabat, seterusnya duduk di kerusi dan meneliti beberapa helai dokumen di atas mejanya.

Gambar lelaki yang didakwa Abdul Khalid dalam video itu tidak begitu jelas kerana diambil dari arah belakang.

Penyebaran video tersebut menimbulkan tanda tanya sama ada ia sebahagian rakaman kamera tersembunyi di belakang langsir dalam pejabat Menteri Besar di Tingkat 21, Bangunan SUK itu seperti didedahkan Abdul Khalid pada Ogos 2010. -SH

MB S'gor cabar RPK dedah lagi rakaman video

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mencabar penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendedahkan lagi rakaman video tersembunyi sewaktu beliau berada di dalam pejabatnya.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco, Khalid dengan sinis "menggalakkan" penulis blog kontroversi itu "mempamerkannya supaya orang ramai dapat tengok".

"Ini adalah permainan yang lucu, jadi teruskanlah.

"Saya mendapatinya begitu menjengkelkan, begitu tidak bertanggungjawab. Tetapi sejak ia merupakan satu cara hidup, saya harus menerimanya," kata sambil ketawa.




Ulasan GB

GB yakin dan memang tidak syak lagi rakaman video itulah sebahagian rakaman kamera tersembunyi di belakang langsir dalam pejabat MB Selangor yang ditemui pada Ogos 2010.

Ia bertujuan untuk melakukan pengintipan setiap pergerakan dan tindakan MB Selangor. Semasa itu GB berkata ia adalah satu taktik dan satu strategi pihak lawan untuk tawan Selangor.

Persoalan kini, siapa yang memasang siapa yang mengarahkan ianya untuk dipasang?

Dan kedua, kenapa yang mendedahkannya PRK dan bagaimana RPK memperolehi rakaman CCTV itu.

GB tidak buat tuduhan kepada sesiapa. GB tidak kata orang PKR sendiri lakukan dan GB tidak kata orang UMNO melakukan.

Tetapi masing-masing dapat meneka siapa pembikinnya apabila kita tahu RPK sebelum ini pernah mendedahkan beberapa dokumen sulit yang hanya pihak tertentu saja boleh mengaksesnya.

Kami akan tetap berdoa agar kebenaran dan keadilan itu akan terdedah nanti.


اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه


Allahumma arinal haqqa, haqqan, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yangg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).



Laporan pada 11/8/2010
klik untuk baca





[DEDAH] SPR Ulangi Taktik Terengganu Untuk Bantu UMNO BN Tawan Selangor

Atas kertas, semua calon PAS Selangor kalah

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman berkata, pertambahan mendadak pengundi baru yang diragui di Selangor memperlihatkan atas kertas tiada seorang pun calon PAS boleh menang dalam PRU-13 ini.

Katanya, maklumat semasa di 20 Dun yang bakal ditandingi PAS, pertambahan pengundi baru sangat ketara dan luar biasa menyebabkan kerusi yang ditandingi sangat tidak selamat.

Keadaan sekarang di Selangor juga katanya mirip apa yang dilakukan terhadap negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum tahun 2004 di mana kerajaan negeri yang diterajui PAS ketika itu jatuh kepada BN.

"Atas kertas satu orang pun calon PAS tak boleh menang sekarang ini dengan kemasukan 600 ribu pengundi baru yang meragukan di negeri ini," katanya dalam rancangan Fokus Isu, Selangorku semalam.

Beliau yang juga pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (SKIMSEL) berkata demikian ketika diminta mengulas peluang PAS di negeri itu khususnya di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi parti itu.

Ditanya tindakan jentera parti menghadapi situasi itu, Dr Rani berkata pihaknya kini sedang 'all out' menjalankan pengesanan pengundi baru melalui program Selangorku Bersih yang dijalankan kerajaan negeri.

"Kita sedang kumpul nama yang diragui, kita akan buat laporan polis dan jika perlu pendakwaan di mahkamah sekalipun kita akan buat.

"Sekarang ini kita 'all out' jalankan pengesanan melalui Selangorku Bersih ini," katanya lagi.

Selangorku Bersih merupakan program membersihkan daftar pemilih ekoran pertambahan pemilih secara mendadak di Selangor sekaligus ianya mampu membantu tugas SPR.

Untuk tujuan itu kerajaan negeri Selangor menggerakkan semua JKKK, Ketua Kampung dan Penghulu untuk memeriksa senarai pengundi baharu di seluruh Selangor untuk memastikan nama-nama yang didaftarkan ini benar-benar wujud dan bukannya pengundi hantu seperti yang didakwa banyak pihak.

Pada masa yang sama beliau menyeru kepada seluruh jentera parti negeri itu mengadakan solat hajat agar diberi pertolongan oleh Allah menghadapi situasi itu.

"Tahun 2008 siapa boleh jangka kita menang. Sampai Khir Toyo kata nak bagi pembangkang sifar di Selangor.


"Ada kata di Meru, letak katak pun BN boleh menang. Tapi Allah lebih berkuasa menentukan," katanya. -HD

Ulasan GB

SPR menggunakan modus operandi yang serupa di terengganu pada PRU12 untuk membantu UMNO BN menawan Selangor di dalam PRU 13.

Semakin hari semakin terdedah tembelang SPR. Apabila rakyat mendesak daftar pemilih dibersihkan dan Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan mereka menolak dan menafikan ada salahlaku dan penyelewengan tetapi hukum kebenaran dan keadilan tidak boleh ditolak dan dinafikan.

Kamu-kamu di SPR akan menerima hukuman dari Allah swt, dan kami tiada tempat lain untuk mengadu selain kepada Allah swt Yang Maha Berkuasa dan Maha Adil. Segala perencanaan dan perancangan jahat kamu akan tetap terbongkar dan akan tetap dihukum oleh Allah swt.

Teruskanlah penipuan kamu, kami berdoa agar semua perancangan kamu digagalkan Allah swt dan kamu-kamu dipenjarakan satu hari nanti. Kami yakin Allah swt akan berada di pihak yang benar dan memperkenankan doa kami.

MCA Ingat Semua Cina Macam Pemimpin Mereka

Penafian Guan Eng: Saya bukan Soi Lek

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akhirnya bersuara berhubung dakwaan isterinya Betty Chew menyerang bekas kakitangannya.

Sambil menafikan dakwaan mempunyai hubungan dengan bekas kakitangan serta menafikan Betty menyerangnya, Lim berkata, dakwaan itu hasil daripada pembunuhan watak oleh BN dan MCA.

"Biar saya dan isteri buktikan di mahkamah bahawa MCA menipu, bahawa Lim Guan Eng bukan (Presiden MCA) Dr Chua Soi Lek," kata Lim, merujuk kepada hubungan sulit Chua pada Disember 2008.

Merujuk kepada dakwaan Anggota Dewan Undangan (ADUN) Negeri Duyong Gan Tian Loo dalam dewan pada Isnin, Lim berkata ia menyalahguna kekebalan dewan.

Beliau mendakwa Gan, ketua MCA Melayu, untuk mengulangi dakwaan itu di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya beliau dan isteri boleh mengambil tindakan undang-undang kerana memfitnah.

"Gan menyalahguna keistimewaan dan kekebalan dengan membuat dakwaan palsu berhubung skandal moral peribadi terhadap saya dan isteri," kata Lim, membaca kenyataan akhbar di Pulau Pinang hari ini. -mk



Ulasan GB

Bila dicabar untuk mengulangi tuduhan di luar dewan, pemimpin MCA membisu kerana takut diambil tindakan mahkamah. Hanya menuduh dalam dewan untuk memperalatkan kekebalan dewan. Itu SAH menunjukkan MCA memfitnah.

Pemimpin MCA menyangka semua orang Cina sama macam perangai mereka. Seperti juga UMNO yang menyangka semua orang Melayu/Islam sama jahat seperti mereka. Maka itu disebarkan gambar-gambar lucah TG Nik Aziz, Anwar, Azmin dan lain-lain pemimpin PAS dan PR.

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap mengambil tempatnya. Hukum ini tidak kira bangsa, agama, warna kulit dan sebagainya. Ia meliputi semua. "Golden Rule" sentiasa akan menghukum mereka yang melakukan hal-hal jijik di dalam tamaddun kehidupan manusia.

Kita usah khuatir dengan permainan jahat golongan Barisan Nasional ini. Jika kita masih ingat, Lim Guan Eng pernah difitnah dan dipenjara. Tetapi hukum kebenaran dan keadilan akhirnya bukan sekadar membebaskan Lim Guan Eng tetapi telah memberikan beliau kemenangan besar di dalam PRU12 dan menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang!

Jadi fitnah itu akan berbalik kepada si tukang fitnah. Apa yang berlaku kepada pemfitnah Lim Guan Eng iaitu Rahim Tamby Chik? Beliau terlucut jawatan sebagai Ketua Menteir Melaka dan baru-baru ini musibah menimpanya apabila banglonya dimasuki perompak. Dan saya percaya beliau akan terus menerima hukuman lagi kerana demikianlah "sunnatullah", yang baik dibalas baik yang jahat akan tetap menerima balasannya juga.

Hukum ini menghukum juga kepada penyebar-penyebar fitnah tersebut termmasuklah BERNAMA, media arus perdana (bercetak & eletronik), blogger pencacai dan sekalian yang bersama mereka.

"Gila" Hassan Ali Semakin Menjadi...

Hasan Ali: Risalah cubaan sabotaj JATI

Presiden NGO JATI, Datuk Dr Hassan Ali menyifatkan penyebaran risalah mengaitkan DAP dan penyebaran agama Kristian pada ceramah JATI sebagai cubaan sabotaj pihak tertentu terhadap pertubuhan itu.

Menurutnya, beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana ahli JATI menerbit atau mengedarkan risalah sedemikian rupa pada mana-mana acara anjurannya.

"Jika benar ia berlaku, ini adalah satu cubaan sabotaj JATI yang dibuat pihak tertentu," kata bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Beliau mengulas dakwaan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berhubung kewujudan satu risalah yang antara lainnya menuduh DAP cuba mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Ng mendakwa risalah yang ditujukan kepada orang Melayu Islam itu diperoleh dari satu majlis anjuran JATI di Meru, Selangor.

Ng dalam sidang medianya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengedar risalah sedemikian.

Mengulas lanjut, Hassan Ali berkata JATI adalah pertubuhan yang memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja sahaja dan tidak pernah memperkecilkan agama lain atau menimbulkan kekacauan.

"JATI hanya menegakkan prinsip kehidupan bersendikan Islam, Melayu dan Raja. Kita tidak pernah memperkecilkan mana-mana agama lain," katanya. -mk



Ulasan GB

Berputar-putar hassan Ali sekrang, cuba menafikan sesuatu yang beliau sendiri pernah kata dan lakukan.

Bukankah beliau sendiri pernah mendakwa: "usaha beliau menghalang Kristianisasi mendapat tentangan dari Adun-Adun Paktan Rakyat (PR)"?

Sekarang dah nak terkencing pula bila ada laporan polis terhadap risalah yang mengulangi dakwaannya dan cepat-cepat kata ia adalah sabotaj.

Seperti yang GB utarakan sebelum ini. petikan:

Yang jelas, kini Hassan Ali terus akan mencadi sasau dan cacau... dalam erti kata sebenar, "GILA".

Beliau menuduh orang lain (ADUN Meru yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor )mempunyai masalah mental sedangkan pada hakikatnya tuduhan itu berbalik kepada dirinya sendiri.

Lama kelamaan Hassan Ali gilalah... salah siapa jika terjadi demikian?

Kita tidak berdoa begitu tetapi beliau sendiri memilih untuk menjadi demikian...


Anda menuai semula apa yang anda tanam. Itulah hukum kebenaran dan keadilan. Jangan main-main dengan Islam.

Gantung Semua ADUN DAP, Melaka Akan Tumbang Macam Selangor!

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri dari DAP digantung 6 bulan oleh DUN Melaka hari ini. Selepas mereka digantung Speaker DUN Melaka, Othman Muhammad menangguhkan Sidang DUN tersebut.

Semua Adun terbabit ialah Adun Kesidang yang juga Ketua Pembangkang, Goh Leong San; Adun Kota Laksamana, Betty Chew; Adun Bachang, Lim Jak Wong; Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong.

Semalam DAP tersebut bertindak keluar dewan kerana membantah keputusan Speaker DUN Melaka membenarkan media tertentu merakam ucapan wakil rakyat MCA yang didakwa memburuk-burukkan keluarga ADUN Kota Laksamana Betty Chew ketika persidangan semalam.

Mereka bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan Speaker Datuk Othman Muhamad.

Dalam persidangan semalam, Othman menjelaskan bahawa beliau memberi kebenaran berkenaan kerana percaya dengan etika serta kredibiliti pihak media yang membuat liputan.

Wakil rakyat berkenaan bagaimanapun enggan menerima penjelasan tersebut dan menyifatkan Othman bersubahat dengan media berkenaan mencemarkan nama Chew dan suami wakil rakyat tersebut, Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

“Kamera itu memfokuskan kepada Chew, terutama apabila ucapan Gan untuk memburuk-burukkan Chew, Lim dan kerajaan Pulau Pinang dalam siaran berita 8 malam tadi dan muka depan Utusan Malaysia hari ini," kata wakil rakyat berkenaan dalam satu kenyataan bersama semalam.

Dalam sidang medianya di Melaka semalam, Chew berkata, tindakan berkenaan adalah taktik yang menjijikkan oleh pihak BN untuk memburuk-burukkan keluarganya.

"Sejak saya menyertai sidang DUN di Melaka sudah tiga penggal, tidak pernah ada rakaman video di dalam dewan oleh pihak media, kecuali prosiding yang ada Tuan Yang Terutama atau pembentangan bajet.

"Kita lihat mereka memberikan satu rakaman penuh dan sudah terbukti apabila kita melihat berita tersiar di stesyen Media Prima pada jam 8 di TV3, sudah jelas ini adalah satu konspirasi untuk cuba membangkitkan suatu isu yang tidak pernah berlaku.

"Saya percaya ini adalah satu konspirasi oleh BN dengan MCA untuk membunuh imej saya dengan suami saya menggunakan fitnah dan saya rasa ini adalah satu perbuatan yang jahat dan tidak boleh dimaafkanlah," katanya.

Beliau sekali lagi mencabar Gan untuk mengulangi dakwaan tersebut di luar dewan.

"Saya rasa kalau pemimpin terbabit ada moral, beliau harus ulangi tuduhan itu di luar dewan dan jangan berselindung dalam dewan dan jangan jadi pengecut.

"Saya nak tanya kepada Gan Tian Loo, you adalah seorang bapa dan you ada anak, boleh buat fitnah ini semata-mata untuk kepentingan parti," katanya lagi.

Ulasan GB

Tindakan Speaker DUN Melaka Othman Muhammad menggantung kelima-lima ADUN DAP memberikan signal jelas bahawa kerajaan Melaka akan tumbang.

Beliau terlupa kerajaan Selangor dibawah pimpinan Khir Toyo tumbang kerana menggantung ADUN Sg. Pinang, Teng Chang Khim. Akhirnya hukum kebenaran dan keadilan mengangkat Teng Chang Khim sebagai Speaker apabila kerajaan Pakatan Rakyat berkuasa dan Khir Toyo pula terpaksa merasai kezalimannya sendiri - beliau digantung dari persidangan DUN Selangor. Itulah reciprocal law - anda akan perolehi kembali apa yang anda beri.

Artis Cina Turut Berkempen Untuk Pakatan Rakyat

Jikalau penyertaan Bob Lokman, Aishah, Dayang Ku Intan, Hairie Othman, Abby Abadi, Iwan dan lain-lain ke dalam Pakatan Rakyat menimbulkan gelombang dalam arena politik kebelakangan ini, dunia hiburan Cina tempatan juga tidak kesepian, apabila penyanyi popular tempatan pada zaman 1980-an dan 1990-an, Ceng Wei Shan berkempen secara terbuka di pentas DAP pada malam 29 Jun.

Ceng Wei Shan (gambar) mempersoalkan, "Berapa 'tempoh lima tahun' yang kita miliki sebagai manusia? Berapa lagi 'tempoh lima tahun' untuk anda menggarap masa depan negara?

Jadi, jangan lepaskan peluang anda, hargailah tempoh lima tahun ini sebaik-baiknya, lakukanlah perubahan sebaik-baiknya. Dalam masa lima tahun, kes misteri Teoh Beng Hock perlu didedahkan. Hati saya perit membaca beritanya. Saya penyanyi Malaysia. Saya tidak terkata apa-apa. Saya gagal melakukan apa-apa. Saya hanya gelisah dalam hati. Begitu juga dengan anda semua."

Ketika menyanyikan lagu "Mimpi Keemasan Kota Bersejarah" (terjemahan), Ceng berkata, "Kota yang lama memiliki mimpi yang baru. Mimpi hari ini adalah untuk membawa perubahan pada masa depan, membawa perubahan untuk anak-anak. Jadi, mahu berubah? Berani untuk berubah? Saya sudah all out! Jikapun filem Kepong yang saya lakon itu diharamkan, saya pun tak kisah!"

Demikianlah ucapan Ceng Wei Shan ketika berkempen secara sukarela di ibu pejabat DAP Melaka pada malam 29 Jun, di depan kira-kira 2,000 hadirin. Ianya dipercayai kali pertama untuk penyanyi lagu Cina berkempen untuk pembangkang, selepas Auguste Kwan yang berkempen untuk Hew Kuan Yau dari DAP di DUN Bukit Gasing pada tahun 1999. Auguste Kwan adalah penyanyi Cina tempatan paling popular pada zaman 1990-an.

Baru-baru ini, beberapa artis popular dunia hiburan Cina mulai menunjukkan sokongan secara terbuka dalam isu seperti BERSIH 3.0, Hentikan Lynas dan sebagainya. Malah, seorang pengarah filem independen, Ho Yuhang telah memakai baju kuning "Kill Bill" (Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman) untuk menghadiri Majlis Perlancaran Filem Ah Beng The Movie: Three Wishes, yang dirasmikan Perdana Menteri Najib Razak, awal tahun 2012.

BN tidak menyara hidup saya

Ceng Wei Shan menulis di laman sosial Facebooknya kemudian, mendakwa bahawa dirinya sangat gembira kerana telah melakukan persembahan yang paling bermakna dalam hidupnya pada malam tersebut. "Berapa 'tempoh lima tahun' yang kita miliki? Saya akan kesal untuk seumur hidup seandainya saya tidak melangkah keluar pada hari ini."

"Untuk sekian tahun saya hidup, untuk sekian lama saya berada dalam dunia hiburan... Dulu saya terikat dengan kontrak syarikat, jadi saya tidak boleh membuat keputusan ke mana harus saya pergi untuk lakukan persembahan. Sekarang, saya sebagai individu yang bebas. Jadi, apa perlunya saya untuk mengambil peduli pandangan orang? Buatlah apa yang saya rasa patut, dan apa yang bermakna!" sambungnya.

Ceng Wei Shan mendakwa dirinya benar gembira dengan persembahan pada malam 29 Jun, kerana berkempen untuk DAP-Pakatan Rakyat secara sukarela. Beliau melihat petugas yang ghairah, dan gelombang untuk membawa perubahan. Segala-gala ini telah membuatkan Ceng merasakan keputusannya untuk lakukan persembahan ini dengan "all out" adalah memadai.

Penyanyi ini sedar bahawa beliau berdepan dengan risiko beritanya dipadamkan media, atau kehilangan peluang persembahan lantaran keputusannya berkempen untuk Pakatan Rakyat. Ceng Wei Shan yang sudah dua kali berada di pinggiran maut kerana kemalangan dan penyakit, berkata dirinya tidak kesal kerana tiada sesiapa yang mampu meramalkan masa depan dirinya. Berulang kali beliau berkata tidak banyak "tempoh lima tahun" dalam hidup seseorang manusia.

Ceng yang prihatin dengan perhimpunan BERSIH gagal turun ke jalan raya kerana keadaan kesihatannya yang tidak membenarkan. Beliau menitiskan air matanya apabila melihat gambar di tempat kejadian. Jadi, beliau tidak menyelindung hasratnya kali ini, untuk berkempen di pentas DAP dan menyeru agar semua orang menyertai arus perubahan.

"Apakah BN akan menyara hidup saya bila saya tidak bernyanyi?" Ceng Wei Shan meluahkan segala-gala yang terpendam dalam hati, sebagai seorang penyanyi Cina yang tidak menerima layanan adil dalam dunia hiburan. Beliau berkata, tidak kurang penyanyi Cina tempatan yang memperolehi anugerah di peringkat antarabangsa, tetapi tidak diiktiraf di Malaysia. Layanan jauh berbeza apabila artis dunia hiburan Melayu membuat persembahan di Indonesia dan Jepun.

Di samping itu, Ceng Wei Shan juga bersimpati dengan keluarga mendiang Teoh Beng Hock, pendidikan Cina yang tidak mendapat pembelaan dan sebagainya. Beliau marah apabila kekayaan negara dirampas perasuah yang menzalimi rakyat.

Beliau persoal, "Untuk membantu orang saya boleh membuat 160 persembahan tanpa syarat dan tanpa upah. Apakah saya tidak boleh mengorak selangkah ke depan untuk perubahan? Walaupun saya artis, tapi saya juga anak watan Malaysia! Apakah artis bukan warga negara?"

Ceng menambah, 95% daripada penyanyi popular yang dirinya kenal cenderung untuk "pertukaran kerajaan", namun mereka terikat dengan kontrak syarikat. Lagipun, peluang liputan mereka telah berkurang, seandainya "dipadamkan" sepenuhnya, maka hancurlah masa depan mereka. Itu puncanya mereka tidak menyatakan pendirian secara terbuka.

*Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 2 Julai 2012. - Merdeka Review

[IKTIBAR] Kisah Seorang Perempuan Dengan Terung

Di Damsyiq (Dimascus) terdapat sebuah masjid besar yang diberi nama Masjid at-Taubah. Ia merupakan sebuah masjid yang diberkati, indah dan mendamaikan.

Di atas tapak masjid itu asalnya sebuah gedung tempat berlaku segala macam maksiat. Pada kurun ke 7 Hijriah, seorang raja yang memerintah ketika itu membeli gedung tersebut, meruntuhkan dan membina di atas tapaknya sebuah masjid.

Lebih kurang 70 tahun lalu, di masjid itu terdapat seorang syaikh atau mahaguru yang alim mendidik umat Islam di kampong itu. Namanya Syaikh Saleem as-Suyuti. Dia sangat dihurmati oleh penduduk setempat. Mereka menjadikannya tempat rujukan dalam semua urusan sama ada urusan dunia atau akhirat.

Di masjid itu juga terdapat seorang murid yang sangat miskin tetapi terkenal dengan kemuliaan akhlak dan budi pekerti yang luhur. Dia tinggal di sebuah bilik yang terdapat di dalam masjid.

Suatu ketika, dia diserang kelaparan yang tidak mampu ditahan kerana sudah dua hari tidak menjamah makanan dan tidak ada wang langsung untuk membeli makanan. Masuk hari ke tiga, dia rasa seolah-olah dia akan mati kebuluran. Lalu dia berfikir apa yang patut dilakukan.

Pada pendapatnya, keadaannya telah sampai ke tahap darurat yang mengharuskannya makan bangkai atau mencuri sekadar yang diperlukan. Maka dia memilih untuk mencuri.

Masjid itu terletak di sebuah kampong di mana kedudukan rumahnya rapat-rapat dan bumbungnya bersambung antara satu sama lain. Seseorang boleh berjalan meniti dari bumbung ke bumbung bermula dari awal kampong hingga ke hujungnya.

Si miskin tadi memanjat bumbung masjid dan meniti bumbung-bumbung rumah untuk mencari makanan. Apabila dia terpandang wanita di dalam rumah, dia akan segera menjaga mata dan menjauhkan diri dari rumah itu. Akhirnya dia ternampak sebuah rumah yang kosong dan terhidu bau makanan yang menyelerakan.

Perasaan lapar yang menguasai dirinya menjadikan bau makanan itu bagaikan magnet yang menarik-nariknya dengan kuat agar mengambilnya. Lalu dia melompat dari bumbung memasuki rumah tersebut. Dia terus ke dapur dan membuka periuk.

Didapati di dalam periuk itu beberapa biji terung yang telah dimasak, lalu dia mengambil sebiji. Kerana kelaparan yang teramat sangat, dia tidak menghiraukan kepanasan terung yang baru dimasak, lantas terus menggigitnya. Ketika hampir-hampir menelan terung itu tiba-tiba akalnya yang dipenuhi ilmu agama yang dituntutnya selama ini di masjid menyergahnya!

Hatinya berbisik: Aku berlindung dengan Allah! Aku seorang penuntut yang tinggal di dalam masjid, kemudian aku menceroboh masuk ke dalam rumah orang dan mencuri makanan yang ada di dalamnya?

Dia rasa terlalu besar dosa yang telah dilakukan. Dia amat menyesal dan beristighfar. Terung yang telah digigit itu dikembalikan di tempatnya. Dia segera keluar dari rumah itu dan terus kembali ke masjid. Ketika itu Syaikh sedang mengajar, lalu dia duduk di dalam halaqah bersama murid-murid lain. Namun kelaparan yang mencengkam dirinya menjadikan dia tidak dapat memberi tumpuan pada pengajaran Syaikh dan tidak faham apa yang didengarnya.

Setelah sesi pengajian tamat, semua murid-murid beredar dari halaqah. Tiba-tiba muncul seorang wanita dalam keadaan berselubung menutup seluruh tubuh seperti kelaziman wanita-wanita di kampong itu. Wanita itu berkata sesuatu kepada Syaikh, tetapi murid itu tidak mendengar apa yang dikatakannya.

Syaikh memandang sekeliling. Dia tidak Nampak ada orang lain di dalam masjid selain murid yang miskin itu.

Syaikh memamnggilnya dan bertanya, adakah kamu telah berkahwin? Dia menjawab, tidak!

Syaikh bertanya, adakah kamu ingin berkahwin? Dia diam.

Syaikh bertanya sekali lagi, adakah kamu ingin berkahwin?

Dia menjawab dengan jujur bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membeli sesuap makanan untuk dirinya, maka untuk apa dia hendak berkahwin?

Syaikh berkata kepadanya bahawa wanita ini kematian suami. Dia orang asing di sini. Dia juga telah tidak ada sesiapa lagi di dunia ini kecuali seorang bapa saudara yang telah tua dan miskin yang tinggal bersama dengannya. Syaikh menunjukkan ke arah seorang lelaki tua yang duduk di sebuah sudut halaqah. Syaikh berkata lagi bahawa wanita ini telah mewarisi rumah dan harta peninggalan suaminya.

Dia mahu berkahwin mengikut sunnah Allah dan Rasul supaya dia tidak bersendiriann kerana dibimbangi akan menjadi tumpuan orang-orang jahat serta pergaulan yang haram. Jadi, adakah kamu mahu menikahinya?

Murid itu terus menjawab, ya!

Syaikh berpaling ke arah wanita itu dan bertanya, mahukah kamu menerimanya?

Wanita itu menjawab, ya!

Maka Syaikh memanggil bapa saudaranya dan dua orang saksi. Syaikh menikahkan mereka berdua dan membayar maskahwin bagi pihak muridnya.

Setelah selesai aqad, Syaikh berkata kepada muridnya, pimpinlah tangannya. Wanita itu memegang tangan suaminya dan membawanya pulang ke rumah. Setelah memasuki rumah, dia membuka kelubung yang menutupi mukanya, barulah murid itu dapat melihat wajah isterinya yang muda dan jelita.

Dia juga amat terkejut kerana rumah itu adalah rumah yang dia masuki sebentar tadi dan telah mencuri makanan daripada dapurnya.Isteri bertanya kepada suaminya, adakah kamu telah makan?

Dia menjawab, ya!

Dia membuka periuk dan melihat terung yang telah digigit. Dia berkata dengan hairan, siapa yang masuk ke dalam rumah dan menggigit terung?

Murid itupun menangis sambil menceritakan apa yang telah berlaku.

Isterinya berkata, inilah hasil amanah. Kamu menjauhkan diri dari terung yang haram, maka Allah berikan kamu rumah serta tuannya sekali dengan halal.

Diceritakan oleh Syaikh Ali at-Tantawi di dalam Muzakkiratnya dan dia berkata bahawa kisah ini benar-benar berlaku dan beliau kenal semua individu yang terlibat di dalam kisah tersebut.

Pengajarannya: Tinggalkan Yang Haram Allah s.w.t bagi Yang Halal!