7 Jun 2013

SPR Perlu Letak Jawatan Jika Tidak Mahu Demonstrasi Seluruh Negara


Gabungan Suara Rakyat 505 hari ini memberi amaran kepada kerajaan bahawa pihaknya akan terus mengadakan demonstrasi jalanan secara aman selagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak meletakkan jawatan.

Gabungan itu turut mengkritik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan SPR di bawah kuasa parlimen yang disifatkan tidak menyeluruh malah diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga.

Ia berikutan SPR masih gagal melaksanakan sepenuhnya tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, kata Pengerusi Asal Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim.

Katanya, SPR juga dilihat seperti memuji diri sendiri setelah melaksanakan sebahagian daripada cadangan yang dikemukakan PSC, sedangkan proses PRU-13 terbukti tidak profesional dan penuh muslihat.

“Selagi tuntutan itu tidak dilakukan, gabungan lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) akan terus melakukan demonstrasi jalanan secara aman sebagai bantahan terhadap kegagalan mewujudkan sebuah badan pilihan raya yang bebas.

“Rakyat beri peluang kepada SPR untuk jelaskan perkara ini tetapi kepimpinan SPR sangat mengecewakan kerana mereka tolak mentah-mentah segala dakwaan penipuan PRU yang dimaksudkan walaupun perkara itu belum diputuskan di mahkamah.

“Keyakinan orang ramai terhadap SPR kini berada di tahap paling rendah. Kita semua mesti mengecam sebarang langkah penyusunan semula SPR yang tidak menyeluruh mengikut cara sepatutnya,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).

Dalam pada itu, beliau bersama pimpinan NGO lain berjanji akan memberi sokongan penuh terhadap Perhimpunan 505 pada 15 Jun ini di Padang Merbok dengan menggerakkan seluruh jentera semasa himpunan itu nanti.

“Kami akan bersama-sama menunjukkan semangat solidariti rakyat untuk terus menuntut perletakan jawatan SPR.

“Kami tidak akan mengingkari janji yang telah dibuat dan beralih menyalahkan pihak lain pula. Kami tidak akan lupa, tidak akan berputus asa dan menyerah kalah,” katanya lagi.

Mengapa Siasatan Kematian 14 Gajah Pigmi Tidak Diumumkan?


Sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu-isu alam sekitar – Sahabat Alam Malaysia – menggesa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Hidupan Liar Sabah mengumumkan hasil siasatan kematian 14 ekor gajah pigmi kira-kira enam bulan lalu.

Presiden SAM, S M Mohamed Idris berkata, kementerian dan jabatan tidak boleh menutup mata dan memekakkan telinga terhadap sebarang pelanggaran undang-undang sama ada oleh syarikat pembalakan, petani atau industri kelapa sawit.

“(Mereka) perlu memastikan bahawa mereka yang bertanggungjawab itu mestilah didakwa dengan segera,” kata beliau dalam sepucuk surat kepada FMT hari ini.

Beberapa bulan telah berlalu dan SAM masih tertanya-tanya siapa atau apakah yang bertanggungjawab terhadap kematian 14 ekor gajah pigmi itu.

Kata S M Mohamed, amat sukar untuk memahami kenapa ia mengambil masa yang begitu lama untuk analisis itu didedahkan.

Menurutnya, analisis dari negara maju seperti Australia seharusnya mampu untuk mengeluarkan hasil tanpa kelewatan yang berpanjangan.

“Hanya selepas beberapa surat kepada pengarang dari pembaca, baharulah pendedahan dibuat oleh Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah bahawa analisis histopatologi mengesan kehadiran keracunan kaustik,” kata beliau lagi.

`Apa yang boleh didakwa

Menurut S M Mohamed, walaupun polis Sabah telah mengambil inisiatif untuk menyiasat, adalah lebih baik jika mereka boleh memuktamadkannya.

“Mereka perlu mendedahkan apakah kes yang boleh didakwa dan apa yang tidak boleh didakwa.

“Pihak polis masih belum mengumumkan sebarang kes yang akan didakwa atau sebarang kesimpulan ke atas kertas siasatan mereka.

“Tidak terdapat bukti muktamad dari polis Sabah selain daripada petunjuk kepada kematian gajah itu,” tambahnya lagi.

Kekurangan usaha penyiasatan untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan gajah-gajah itu satu petanda yang tidak baik bagi Jabatan Hidupan Liar.

Ia juga hanya menunjukkan kelemahan urus tadbir dan sikap ini tidak meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

Kerajaan mestilah telus

Menurut S M Mohamed, jika Jabatan Hidupan Liar Sabah prihatin dan benar-benar serius mengenai pemuliharaan dan perlindungan spesies hidupan liar mereka perlu bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai hasil penyiasatan dan langkah pencegahan yang diambil untuk mencegah berlakunya kematian misteri pada masa akan datang./

Kerajaan mestilah bersikap telus dan tidak mengambil mudah akan sikap kepintaran dan ingin tahu orang ramai.

Jika alasan kukuh tidak diberikan, akan tiba masanya sebelum orang ramai menyedari bahawa mereka tidak dipedulikan.

Lebih penting orang ramai mestilah diyakinkan bahawa kertas penyias atan itu perlu diumumkan kepada orang ramai, kata S M Mohamed lagi.

SAM berharap perkara ini tidak akan berhenti begitu sahaja, kata S M Mohamed lagi. -FMT


Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Libasan Cantik TG Nik Aziz: Tak Bayar Royalti Boleh Dikira Hina Sultan


Barangkali nafi royalti minyak juga hina raja'

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat optimis pihak berkuasa akan menjalan siasatan sebaik-baiknya terhadap seorang wanita yang ditahan atas tuduhan menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Kelantan itu berkata, membelakangkan titah sultan untuk mengembalikan royalti minyak juga barangkali boleh dimasukkan dalam kategori sama.

"Di sebuah negeri, pernah sultan negeri berkenaan bertitah di dalam dewan agar dikembalikan royalti minyak dan didaratkan gas yang ditemui di lautan negeri ke pantai yang terdekat.

"Namun malangnya pembangkang di negeri berkenaan membelakangi titah sultan.

"Barangkali ini juga boleh dimasukkan di dalam kategori menghina raja,"
tulisnya dalam Facebook hari ini.

Seorang wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial Facebook miliknya, kelmarin ditahan pihak berkuasa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyebut pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan dan menahan suspek hasil siasatan serta maklumat orang ramai.

Kenyataan itu menyebut siasatan terhadap wanita itu dijalankan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga boleh didakwa bawah Akta Hasutan 1948. -mk

Selepas Tak Mengaku Dirinya "Papagomo", Beliau Kini Tak Mahu Berblog Lagi


Blogger terkenal, Papa Gomo yang 'memeriahkan' alam maya dengan entri-entri kontroversi mengumumkan mahu bersara daripada dunia blogging.

Menulis dalam laman mikro Twitter menggunakan nama @PapaGomo, blogger berkenaan memaklumkan perjuangannya dalam dunia blogging sudah berakhir.

"I'm done (saya selesai). Itu yang Gomo boleh katakan dalam perjuangan dengan nama blog Papa Gomo. Bagi peluang blogger baru gegar alam maya ini," tulisnya pada Isnin lalu.

Papa Gomo merupakan blogger yang tidak asing lagi dengan hasil tulisan dan pendedahan mengaitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai skandal.

Terbaru, blogger berkenaan berhadapan dengan kes saman oleh ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang akan didengar awal tahun depan.

Saman fitnah RM100 juta itu difailkan Anwar 21 Mac lalu dengan menamakan Wan Muhammad Azri Wan Deris sebagai pemilik blog berkenaan.

Ia ekoran penayangan video lucah yang didakwa sebagai pemimpin pembangkang itu.

Wan Muhammad Azri bagaimanapun menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog berkenaan.

Papa Gomo yang identitinya masih menjadi teka-teki dalam laman mikro Twitternya turut menulis, beliau yakin ramai lagi blogger berbakat dapat diketengahkan untuk memeriahkan PRU14 kelak.

Blog Papa Gomo juga kini tidak boleh diakses lagi.

"Gomo nak fokus pada perniagaan pakaian tu. Lagipun bulan puasa dah nak tiba dan ni masanya nak cari duit lebih," tulisnya.

"Gomo yakin PRU14 akan ada ramai blogger pro BN yang hebat.

"Semoga perjuangan rakan rakan blogger lain akan terus hebat dan menguasai arus blogger yang ada pada PRU14. Pakatan mesti dihancurkan," tambahnya lagi dalam posting berlainan.

Ulasan GB

Mula-mula "Muhammad Azri", bekas polis dan juga si penjenayah yang pernah menjadi banduan kerana rasuah itu tidak mengaku bahawa blog papagomo yang sarat dengan fitnah dan video lucah itu sebagai bukan miliknya. Kini mahu bersara dari menjadi seorang blogge.

' Dan yang pelik sempat pula menyatakan bahawa "Pakatan mesti dihancurkan".

Sekarang siapa yang hancur dulu? Pakatankah atau blog papagomokah?

GB sudah ulas dulu. Petikan:

Keengganan beliau untuk mengakui blog itu kepunyaannya bukti awal kebinasaan papagomo! Beliau TAKUT untuk mengakui blog fitnah itu miliknya kerana tahu blog itu menyajikan berita palsu dan dusta.

Sepatutnya apabila beliau sudah tidak mengakui blog itu miliknya, pihak berkuasa sudah boleh menyiasat siapa pula yang mengemaskini blog tersebut selama ini kalau bukan papagomo sendiri, dan papagomo boleh pula didakwa kerana menipu jika sebenarnya beliau yang mengemaskinikan blog tersebut. Dusta di atas dusta!

Namun, kebal macamana pun papagomo yang dilindungi oleh polis, dengan hukum kebenaran dan hukum Tuhan, kita akan menyaksikan papagomo pasti hancur binasa!

Bukan saja papagomo, sekalian blogger pencacai UMNO yang menyebarkan dan menyemarakkan budaya fitnah, lucah dan porno. Termasuklah polis yang selama ini bersikap double standard!


Sekarang sudah hampir menjadi kenyataan. Papagomo sedang menuju kebinasaan dan kehancuran.....

[GAMBAR & VIDEO] Sebahagian Jambatan Kedua Pulau Pinang Runtuh -updated


Batu Maung: Sebahagian dari struktur jambatan kedua Pulau Pinang yang masih dalam pembinaan telah runtuh kira-kira jam 7 malam tadi.

Kejadian berlaku di kawasan darat di sekitar Batu Maung.

Menurut Penolong Pesuruhjaya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohamad Shoki Hamzah, sebatang konkrit seberat lebih 1,000 tan serta berukuran 30 meter telah jatuh terhempap ke tanah.

Akibat runtuhan, sekurang-kurangnya sebuah kereta iaitu Perodua Kelisa telah disahkan tertimbus, namun masih tidak diketahui samada terdapat mangsa yang terperangkap atau tidak.

Sebuah kren juga digunakan bagi mengangkat batang konkrit tersebut. Menurut Shoki, pihak bomba juga dikejarkan ke lokasi sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Difahamkan juga, kerja-kerja pembinaan juga dihentikan buat sementara namun pembinaan pada bahagian lainnya tidak terjejas.

Sehingga setakat ini, punca sebenar kejadian masih tidak dapat diketahui.

Sementara itu, ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang berada di lokasi juga mengesahkan melalui laman Twitternya bahawa struktur sepanjang 30 meter itu telah runtuh.

Menurutnya Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah memberitahu lebih kurang satu atau dua kereta telah remuk akibat runtuhan.

Katanya lagi, pihak bomba juga sedang memulakan operasi menyelamat. -astro

3 cedera dalam runtuhan penyambung jambatan ke-2 PP

Tiga orang disahkan cedera akibat runtuhan tanjakan konkrit dan besi penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di kawasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di George Town malam ini.

Dua daripada mereka adalah pekerja asing iaitu warga Indonesia yang dikenali sebagai Slamat, 36, dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39. Mereka menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar memaklumkan pemberita kedua-dua mangsa dikatakan sedang bekerja di tapak binaan ketika kejadian pada kira-kira 7.15 malam.

Seorang lagi yang dilaporkan cedera ialah wanita tempatan, Thilasheni Rajendran, 24, akibat terkena serpihan runtuhan di bahagian tangan.

Ketika kejadian, Thilasheni sedang memandu dan beliau sempat memberhentikan kenderaannya pada jarak kira-kira dua meter dari lokasi kejadian.

Rakannya, Gajashaantini Gajanujan, 24, yang turut berada dalam kereta sama bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abdul Rahim berkata lebih 300 anggota bomba dan polis sedang mengesan mangsa dalam sebuah lagi kenderaan yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan itu.

Beliau berkata polis juga kesal dengan laporan berita portal yang mendakwa kononnya empat disahkan maut.

"Setakat ini, cuma tiga yang cedera, media diminta membuat laporan yang betul dan sah.

"Pasukan penyelamat sedang berusaha mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai terperangkap dalam runtuhan itu, dan keadaan mangsa masih belum diketahui," katanya.

Beliau berkata pasukan penyelamat juga terpaksa menggunakan perkhidmatan kren yang lebih berat apabila kren syarikat pembinaan itu gagal mengangkat tanjakan konkrit yang runtuh.

Abdul Rahim berkata kerja-kerja pembinaan akan dihentikan buat sementara bagi membolehkan siasatan punca kejadian manakala jalan masuk-keluar ke kawasan itu juga ditutup untuk semua kenderaan.

Sementara itu, jurucakap Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) berkata runtuhan berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung dan puncanya masih disiasat.

Projek pembinaan jalan susur keluar jambatan itu diurus kontraktor Cergas Murni Sdn Bhd dan JKSB akan mengeluarkan kenyataan rasminya esok. - Bernama