Mengapa deraan perlu maksimum dan ditolak penangguhan hukuman? Oleh Ahmad Lutfi Othman
Saya sukar memahami mengapa Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Norsalha Hamzah yang bukan sahaja memilih untuk menjatuhkan hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda RM5,000, tetapi juga telah menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut kepada 13 individu yang terlibat dalam perhimpunan di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, 6 Februari 2009.
Dengan itu, 13 rakyat prihatin, Bad Latif Mansor, 47, Suhana Abdullah, 49, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 38; Mohd Faiz Mohd Arshad, 26; Zulhaizam Zulkifli, 29 ; Isha Riduan Ishak, 59; Adi Hilmee Mohd Nasir, 44; Yusoff Jaafar, 48; Idris Mohd Thaib, 48; Mohamad Nazeer Hameed, 48; Khairul Azmi Hassan Basri,48; Mohd Hasri Ismail, 48; dan Mohamed Ismail SM Abdul Kadir, 47 -- yang pastinya cukup terkesan dan terganggu dengan "rampasan kuasa" menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak pimpinan Dato' Seri Nizar Jamaluddin hampir lima tahun lalu -- terpaksa menjalani hukuman penjara berkuat kuasa serta merta.
Mengapa deraan paling maksimum yang dipilih, dan lebih menghairankan, mengapa ia tidak boleh ditangguh sementara menunggu proses rayuan di mahkamah lebih tinggi, seolah-olah mereka semua adalah penjenayah yang wajib dipisahkan daripada masyarakat dalam kadar segera. Lagipun kes itu merupakan kesalahan pertama, termasuk bagi ibu tunggal dan penghidap kanser. Dahsyat, 'kan?
Apakah anda pernah mengikuti kes perbicaraan antara pemimpin tertinggi Umno yang kemudiannya didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan korupsi tetapi masih dibenarkan bebas sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai, walaupun Mahkamah Rayuan telah menolaknya?
Ataupun memori anda lebih cergas daripada saya, masih mampu mengingati senarai panjang insiden hampir sama, bagi membuktikan bukan saja ada "pendakwaan terpilih" tetapi juga bentuk hukuman "pilih kasih"? Mungkin saja kes rasuah tidak dianggap lebih besar atau berbahaya berbanding "perhimpunan haram".
Penghakiman kes ini hanya menambah-burukkan lagi persepsi negatif rakyat terhadap sistem kehakiman negara. Ia juga boleh merencatkan penghormatan orang ramai terhadap Ops Cantas atau sebarang usaha pihak keselamatan untuk membanteras jenayah, sekali gus menguatkan lagi sangkaan umum bahawa "kes-kes politik" lebih dipandang serius berbanding kesejahteraan rakyat.
Belum reda kejutan pembebasan tertuduh dalam kes pembunuhan Altantuya Shariibuu, keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar itu turut menyegarkan kembali isu rampasan kuasa dan operasi rasuah politik terbesar, yang dipercayai digerakkan oleh Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Dato' Seri Najib Razak, mengakibatkan kerajaan pilihan rakyat digulingkan.
Sejak lama saya meyakini bahawa politik wang, sudah tentu membabitkan "pembelian undi" -- apatah lagi apabila wakil rakyat juga dapat disogok untuk mengkhianati parti yang diwakilnya dalam pilihan raya -- merupakan transaksi korupsi paling terkutuk!
Dari sudut lain, episod hitam dan memalukan dalam sejarah politik Malaysia -- termasuk peristiwa Speaker Dun diusung keluar dan sidang Dun Perak di bawah pokok -- akan dikenang semula dan diharap menyemarakkan lagi proses mereformasikan sistem dan proses demokrasi kita.
Usah biarkan hukuman penjara maksimum serta-merta rakan-rakan kita itu berlalu sia-sia sahaja. fb ALO
Kudeta Perak : bebaskan segera peserta demontrasi
13 peserta demontrasi yang dipenjara ekoran membantah rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) digesa dibebaskan segera, tegas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Pengarah Propagandanya, Eddy Noor Reduan berkata, ianya bagi memberi laluan kepada proses rayuan dijalankan di mahkamah rayuan.
“Ketika pembunuh dibebaskan dan perasuah serta pencuri wang rakyat berprofail tinggi diberi hukuman ringan, 13 rakyat biasa menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa di Perak dijatuhkan hukuman berat tidak setimpal.
“Kerajaan pemerintah sebelum ini menjatuhkan kerajaan sah negeri Perak melalui rampasan kuasa, hari ini menunjukkan belang taringnya menggempur rakyat menyuarakan bantahan dan selepas menang PRU13,” kata Eddy.
Eddy Noor menyeru agar rakyat negara bangkit dan memberikan sokongan kepada 13 tahanan itu yang disifatkan hukuman yang tidak adil.
“Semua rakyat khususnya anak muda diseru supaya bangkit dan lawan. Ayuh bersama SAMM Perak, turun ke penjara Tapah memberi solidariti kepada 13 saudara kita yang dianiaya oleh rejim legasi penjajah,” kata beliau.
Sementara itu, Dewan Muslimat PAS melancarkan tabung bagi membantu keluarga 13 peserta demonstrasi yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda 5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala kangsar.
“Sebagai tanda solidariti dan zahirkan keprihatinan Dewan Muslimat melancarkan tabung segera ini bagi meringankan beban keluarga mereka yang pasti belum bersedia menerima keputusan ini.
“Rata-rata mereka isteri tidak bekerja dan anak-anak masih bersekolah. Sokongan dan kasih sayang semua sangat diharapkan,” kata Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS, Aiman Athirah Al-Jundi dipetik Harakah Daily.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank DMPP 564025400711.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui Whatsapp: 0192135353 atau email psu1.dmpp@pas.org.my -selangorku