12 Mei 2012

Kenapa Tiba-tiba NST & Utusan Minta Maaf Kepada Senator Australia, Xenophon?

Kuala Lumpur: Selepas New Strait Times, sebuah lagi akhbar Umno, Utusan Malaysia membuat permohonan maaf kepada senator Australia, Nicholas Xenophon selepas membuat laporan melulu terhadap beliau.

Gambar: Xenophon [dua dari kiri] ketika bercakap dalam sidang media di Parlimen sebelum perhimpunan Bersih 3.0. Beliau adalah antara pemerhati luar yang datang ke Malaysia untuk melihat pelaksanaan demokrasi di negara ini.

Utusan dalam penyataan mohon maaf hari ini turut menarik balik laporan mereka yang menuduh Nicholas Xenophon sebagai anti-Islam.

Kedua-dua akhbar Umno itu membuat laporan melulu kepada Nicholas Xenophon selepas senator itu menyifatkan perhimpunan Bersih 3.0 aman sehinggalah dikacau oleh polis.

NST dan Utusan membuat laporan kononnya Xenaphon penyokong LGBT, ungkapan yang ditujukan kepada kumpulan lesbian, gay, biseksual dan pondan.

Berikut adalah kenyataan yang disiarkan Utusan hari ini.

Kenyataan maaf dan penarikan balik

ARTIKEL Utusan Malaysia bertarikh 30 April 2012 yang disiarkan pada 1 Mei 2012 pada muka surat 6 dan di dalam Utusan Online (‘www.utusan. com. my’) yang bertajuk ‘Senator anti-Islam pantau Bersih 3.0’. Artikel tersebut merujuk kepada Senator Nicholas Xenophon, seorang senator bebas dari Selatan Australia.

Utusan Malaysia mengesahkan terdapat kesilapan dalam menerbitkan pernyataan-pernyataan di dalam artikel tersebut. Kami menerima bahawa dalam ucapan beliau di Parlimen Australia yang dirujuk dalam artikel tersebut, Senator Xenophon tidak menggunakan perkataan ‘Islam’ dan beliau tidak juga menegaskan bahawa Islam bukanlah sebuah organisasi agama tetapi sebuah organisasi jenayah yang berselindung di sebalik kepercayaan agama.

Berdasarkan sebab-sebab di atas, Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesemua pernyataan-pernyataan terkandung di dalam artikel tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada Senator Xenophon di atas kedukaan atau pengaiban yang diakibatkan kepada Senator Xenophon ekoran daripada penyiaran artikel tersebut.




NST minta maaf kepada Senator Australia

The New Straits Times telah memohon maaf kepada senator Australia Nicholas Xenophon berhubung satu laporan yang mendakwa beliau membuat ucapan anti-Islam di Parlimen Australia pada tahun 2009.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di lamanweb NST hari ini, akhbar berkenaan berkata ia telah membuat "kesilapan besar" dalam menyiarkan kenyataan dalam artikel tersebut.

NST berkata, dalam ucapannya di Parlimen Australia yang dirujuk dalam artikel tersebut, Xenophon tidak menggunakan perkataan 'Islam' dan tidak pernah menegaskan Islam bukan sebuah pertubuhan agama tetapi sebuah organisasi jenayah yang bersembunyi di sebalik kepercayaan agama.

Atas sebab di atas, tambahnya, akhbar itu menarik balik semua kenyataan yang terkandung dalam artikel terhadap Xenophon dan memohon maaf kepadanya di atas sebarang kesusahan atau rasa malu yang disebabkan oleh artikel tersebut.

Akhbar itu juga telah mengeluarkan artikel tersebut daripada versi dalam taliannya berkuat kuasa serta-merta.
-mk


Senator Australia cadang turut saman Utusan

Senator Australia, Nick Xenophon berkata beliau sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dua akhbar tempatan, termasuk Utusan Malaysia, kerana tersalah memetik ucapannya yang menggambarkan beliau sebagai anti-Islam.

"Sudah tentu (tindakan undang-undang akan dipertimbang) dalam apa sahaja bahasa ia diterbitkan sama ada mereka telah memohon maaf atau tidak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Xenophon merujuk kepada sebuah artikel yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST) yang telah tersalah memetik ucapannya di di Parlimen Australia pada 17 November 2009.

Akhbar harian berbahasa Inggeris NST telah memohon kerana "kesilapan besar" itu pada hari berikutnya.

Xenophon mengesahkan laporan awal yang memetik jurucakap dari pejabatnya bahawa beliau masih akan mengambil tindakan undang-undang terhadap NST walaupun akhbar tersebut telah memohon maaf.

Utusan Malaysia milik Umno, yang menerbitkan berita yang sama yang tersalah petik Xenophon, telah mengeluarkannya dari versi dalam talian di laman webnya tetapi tidak memohon maaf.

Xenophon adalah sebahagian daripada pasukan tujuh anggota pemantau antarabangsa dalam dalam misi pencarian fakta mengenai sistem pilihan raya Malaysia.
-mk



Ulasan GB

Kenapa tiba-tiba NST & UM membuat kenyataan memohon maaf kepada senator Australia, Nicholas Xenophon, sesuatu yang jarang benar dilakukan oleh media massa pro-UMNO/BN?

Difahamkan bahawa ada arahan dari pihak kerajaan supaya kedua-dua akhbar tersebut memohon maaf.

Ia dikatakan ada kaitan dengan pergerakan saham yang menurun yang salah satu sebabnya ialah penarikan diri para pelabur luar hasil dari kenyataan Xenophon yang hendak menyaman akhbar-akhbar tersebut.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI telah turun 6.72 mata kepada 1,584.32 daripada 1,591.04 .

Indeks Kewangan turun 32.59 mata kepada 14,173.49 daripada 14,206.08, Indeks Perusahaan rugi 29.7 mata kepada 2793.45 daripada 2,823.15 dan Indeks Perladangan merosot 68.76 mata kepada 8,640.20 daripada 8,708.96.

Indeks FBM Emas turun 67.29 mata kepada 10,852.93 daripada 10,920.22, Indeks FBM ACE turun 32.76 mata kepada 4,542.68 daripada 4,575.44, Indeks FBM Mid 70 rugi 166.93 mata kepada 11,879.98 daripada 12,046.91 dan Indeks FBM T100 merosot 65.64 mata kepada 10,655.78 daripada 10,721.42.


Nik Aziz: Selagi Tuntutan Tidak Dipenuhi, Akan Tetap Ada BERSIH 4.0

Gombak - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata akan ada perhimpunan Bersih 4.0 jika isu-isu berkaitan dengan tuntutan pilihan raya bersih dan adil tidak diselesaikan dengan segera.

“Bila timbul masalah Bersih (perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu), Syeikhul Azhar, Mufti Mesir masa itu mengatakan perhimpunan yang berlaku di Mesir haram.

“Tetapi rakyat Mesir membandingkan dengan fatwa Dr Yusuf Al-Qardawi melalui buku ditulis beliau dan hasilnya tujuh juta rakyat Mesir turun ke jalan kerana fatwa Qardawi betul,” katanya.

Nik Abdul Aziz sebelum ini menggalakkan orang ramai khususnya ahli-ahli Pas agar menyertai Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 April lalu. Malah beliau sendiri mengakui ada membiayai beberapa peserta perhimpunan itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Langkah Rakyat ke Putrajaya di Markas Tarbiah Pas Pusat Taman Melewar dekat sini, malam tadi.

Pada majlis itu, penyanyi popular bersuara lunak dan Juara Lagu 1990, Wan Aishah Wan Arifin menyerahkan borang keahlian menyertai Pas.

Ceramah itu turut dihadiri bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Jui Meng dan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar Baba.

Aishah ketika berucap pada majlis itu berkata, beliau mengambi keputusan menyertai Pas kerana merasakan ia fasa kedua dalam hidupnya selepas mendapat hidayah Allah.

“Saya merasa terharu kerana diberi peluang memberi borang keahliannya kepada Tuan Guru Nik Aziz dan inilah perkara yang ingin saya buat setelah mendapat hidayah Allah,” katanya.

Dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz berkata, rakyat negara ini perlu menukar parti yang memerintah Malaysia menerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan parti yang mendukung Islam.

“Tidak kisahlah kaum mana pun yang akan berada di Putrajaya itu, Melayu ke, Cina Muslim ke, India Muslim ke asal dia berasas Islam seperti yang di bawa Nabi Muhammad, Insya-Allah kita boleh selamat,” katanya. "Saya menyokong Bersih, itu baru 3.0, akan ada yang keempat lagi," kata beliau.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin PKR memberitahu Sinar Harian Online bahawa pihaknya tetap dengan pendirian untuk terus menyokong jika akan ada perhimpunan Bersih 4.0.

“Pihak kami belum berbincang apa-apa lagi mengenai perkara ini kerana belum ada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat mengenai Bersih 4.0," kata Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Subang, Sivarsa Rasiah pula berkata, pihaknya juga akan terus menyokong tindakan Bersih kerana setakat ini, kerajaan belum memberi sebarang jaminan mengenai tuntutan-tuntutan Bersih.

“Saya juga akan terus menyokong kerana rakyat sendiri inginkan pilihan raya dibuat secara bersih, adil dan saksama,” katanya lagi.

Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah memberi amaran perhimpunan yang lebih besar akan diadakan jika kerajaan enggan memenuhi tuntutan agar disediakan persekitaran bagi pilihan raya yang bebas dan adil. -SH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Ibrahim Ali Tertidur, Majlis Fatwa Sudah Putuskan Perkataan Islam Boleh Digunakan

PERKASA cadang Majlis Fatwa kaji gugur nama Islam pada PAS

PASIR MAS: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam pada parti itu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, berkata sudah sampai masanya majlis fatwa berbuat demikian memandangkan ia boleh mengelirukan umat Islam terutama di kalangan penyokong fanatik parti itu.

Beliau berkata, ada yang menganggap setiap tindak tanduk atau kenyataan daripada pemimpin PAS sebagai tuntutan Islam.

“Contohnya ialah seperti kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mewajibkan umat Islam khasnya penyokongnya menyertai perhimpunan yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan yang menimbulkan kekacauan di ibu negara baru-baru ini.

"Sedangkan beliau (Nik Aziz) sendiri tidak menyertai perhimpunan itu yang menyebabkan beberapa orang awam dan anggota polis cedera," katanya selepas majlis ceramah di sini, malam tadi.

Beliau berkata, ini menunjukkan PAS menyeleweng jauh daripada Islam dan seolah-olah fahaman yang dibawa PAS semuanya adalah tuntutan Islam.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau sanggup mendedahkan lebih banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pemimpin parti itu terutama berkaitan pembelian tanah yang membabitkan pemimpin parti itu.

"Saya sedia membawa perkara itu kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jika ada pemimpin parti itu sanggup mencabarnya berbuat demikian," katanya.

Presiden Jalur Tiga (JATI) yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, yang turut serta pada majlis ceramah itu berkata JATI akan menghantar satu memorandum tuntutan 10 perkara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika ahlinya mencecah 100,000 orang.

Katanya, antara tuntutan utama ialah menggesa kerajaan menjadikan mata pelajaran agama Islam sebagai mata pelajaran wajib di peringkat peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR); Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - BERNAMA

Ulasan GB

Apa yang dikemukakan oleh Ibrahim Ali itu menunjukkan betapa takutnya beliau terhadap nama "Islam" setelah beliau menipu PAS di dalam PRU12.

Di dalam pilihanraya ke 12 pada 2008 Ibrahim Ali memperdayakan PAS dengan bertanding di atas tiket PAS dan setelah menang beliau telah melompat menjadi ahli bebas.

Beliau menyedari beliau akan tewas jika bertanding melawan PAS di dalam pilihanraya akan datang ini, maka itu timbul cadangannya untuk menggugurkan nama Islam pada PAS>

Tetapi malang, beliau tidak mengikuti perkembangan semasa kerana Fatwa sudah dikeluarkan pada 31 Mac 2000 yang menyatakan

"1. Tiada halangan untuk menggunakan perkataan "Islam" oleh mana-mana pertubuhan, malahan digalakkan tetapi hendaklah berdisiplinkan ilmu, iman dan ehsan. Walau bagaimanapun mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan Islam atau perkataan "Islam" untuk tujuan mengelirukan masyarakat atau penyelewengan adalah salah dan bercanggah dengan prinsip-prinsip syariat Islam dan boleh diambil tindakan menurut peruntukan undang-undang yang sedia ada."


Majlis Raja-Raja juga pada 22 Mac 2001 telah memutuskan bahawa ia tidak menghalang penggunaan perkataan Islam pada mana-mana pertubuhan dan parti politik.

Ia juga memutuskan bahawa tiada pihak berhak menentukan keislaman seseorang itu dengan mengenakan syarat-syarat tambahan setelah orang itu menepati rukun Iman dan rukun Islam.

Keputusan itu yang dibuat berdasarkan usul Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, dicapai pada mesyuarat ke-188 Majlis Raja-Raja selama dua hari di Istana Negara.



Ternyatalah bahawa gesaan Ibrahim Ali itu adalah sesuatu yang karut malah menghina Majlis Fatwa dan Majlis Raja-raja yang telah memutuskan dengan jelas dan tegas: bahawa ia tidak menghalang penggunaan perkataan Islam pada mana-mana pertubuhan dan parti politik!


[KAJIAN] Isu "2L" (Lembu NFC & Lynas) Bakal Buat UMNO BN Terkangkang Pada PRU13

PRU13: Isu NFC boleh jejas imej Umno-BN

Shah Alam - Kontroversi berkaitan dengan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang tercetus November lalu, dilihat sebagai antara isu masih 'segar' di kalangan pengundi dan boleh menjejaskan imej Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana memberi gambaran parti itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Ia antara penemuan kajian kendalian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang baru dikeluarkan.

Daripada lebih 2,200 responden ditemui, yang terdiri daripada pengundi berdaftar, majoriti pengundi mengatakan mereka bersetuju yang isu NFC menjejekasn imej Umno kerana ia memberi gambaran parti teras Barisan Nasional (BN) itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Isu itu telah membawa kepada tindakan mahkamah ke atas Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Salleh Ismail manakala isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur sebagai anggota Kabinet apabila tempoh senator berakhir 8 April lalu.

Kajian ini dijalankan dalam lingkungan tersebut.

Hasil kajian yang diperoleh menunjukkan 68 peratus responden Melayu berada dalam kelompok sangat setuju dan setuju apabila diajukan soalan berkaitan.

Begitu juga dengan responden kalangan pengundi Cina - masing-masing 31 peratus sangat setuju dan 49 peratus setuju. Pengundi India yang sangat bersetuju dan setuju dengan soalan itu masing-masing 13 peratus dan 32 peratus.

Kontroversi NFC merupakan salah satu daripada empat isu yang menjadi pilihan responden apabila ditanya mengenai antara isu yang boleh menjejaskan prestasi BN pada PRU13.

Dua isu yang lain ialah kenaikan harga rumah yang melambung tinggi dan aspek berkaitan dengan integriti pemimpin BN-Umno.



Salah satu aspek penemuan hasil kajian, yang dibawa Sinar Harian Online semalam menunjukkan BN menjadi keutamaan di kalangan 49 peratus pengundi manakala 21 peratus kepada Pakatan Rakyat. Bagaimanapun 30 peratus pengundi masih belum membuat keputusan, dilihat sebagai pengundi atas pagar.

Berhubung soalan sama ada isu NFC tidak berkaitan dengan Shahrizat dan diperbesarkan oleh parti pembangkang, 49 peratus respoden tidak setuju manakala 35 peratus tidak pasti.

Hanya masing-masing empat peratus dan 12 peratus sangat setuju dan setuju dengan soalan itu.

Malah, arah aliran pandangan itu seiring dengan pendirian yang dilahirkan oleh responden yang cenderung menyokong BN.

Peratusan mereka yang tidak setuju dan sangat tidak setuju (38 peratus) mengatasi kumpulan responden yang setuju dan sangat setuju (21 peratus).

Majoriti responden juga bersetuju bahawa isu NFC melibatkan Shahrizat kerana penglibatan keluarganya secara langsung.

Seramai 58 peratus sangat setuju dan setuju manakala 35 peratus lagi tidak pasti.

Menjawab soalan sama ada keluarga Shahrizat perlu memulangkan kembali wang NFC kepada kerajaan, 66 peratus responden berada dalam kelompok sangat setuju dan setuju.



Hanya 29 peratus responden tidak pasti. -SH


Kajian: Lynas perlu ditutup sebelum PRU13

SHAH ALAM - Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu mengambil tindakan drastik - menutup projek nadir bumi Lynas dengan kadar segera, untuk memperoleh sokongan menyeluruh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), demikian menurut satu kajian kendalian Universiti Malaya (UM).



Penemuan kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (Umcedel), yang dikendalikan akhir Mac dan awal April lalu mendapati, 34 peratus sangat bersetuju dan 27 peratus lagi bersetuju agar operasi projek itu ditutup segera.



Seramai 24 peratus tidak pasti manakala 11 peratus tidak setuju dan empat peratus lagi sangat tidak bersetuju - mahu projek itu kekal.



Kajian itu menyenaraikan soalan "apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan terhadap bantahan projek nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.

Kedua-dua Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pahang diterajui oleh BN.

Tahun lalu, kerajaan menjemput pakar-pakar luar negara menyediakan laporan mengenai projek itu sebelum memutuskan untuk mengeluarkan lesen beserta satu senarai syarat yang panjang.

Ekoran protes yang berterusan, baru-baru ini kerajaan membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkenaan Lynas.

Bantahan berkenaan projek terus diadakan dengan perhimpunan Hijau berlangsung di Kuantang lebih dua bulan lalu, dan baru-baru ini pada 28 April lalu bersama Bersih 3.0 di ibu negara dan beberapa bandar lain.

Dari segi kaum, peratusan pengundi yang sangat bersetuju dan bersetuju, di kalangan orang Melayu, masing-masing sekitar 32 peratus dan 24 peratus dan lebih tinggi di kalangan pengundi Cina iaitu masing-masing 43 peratus dan 29 peratus.

Pengundi India yang sangat bersetuju adalah seramai 26 peratus dan 48 peratus pula bersetuju.

Berhubung soalan sama ada kerajaan perlu memindahkan penduduk berhampiran Gebeng ke kawasan yang lebih selamat, 17 peratus sangat bersetuju dan 40 peratus bersetuju - bermakna hampir 60 peratus menyokong keperluan tidak meneruskan projek tersebut.

Menjawab satu lagi soalan yang berkaitan, seramai 15 peratus tidak sesetuju dan 32 peratus sangat tidak bersetuju apabila ditanya sama ada projek Lynas perlu diteruskan kerana ia merupakan pelaburan besar.

Hanya lapan peratus responden sangat bersetuju dan 16 peratus bersetuju agar projek itu diteruskan. -SH


Pengarah Jais Mengaku Beliau Ahli Umno

Shah Alam: Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Marzuki Hussin (gambar)adalah ahli Umno.

Ketika ditanya peguam Zulhazmi Shariff yang mewakili pemimpin PAS dan Harakah dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi semalam, Marzuki mengaku beliau adalah ahli Umno.

Umno Selangor melalui Setiausaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin bin Mohamed menyaman Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, wartawan Harakah, Khairul Azlan Mohamad serta pencetak Harakah, Angkatan Edaran.

Bagaimanapun nama Abdul Hadi dan Mohamad Sabu telah ditolak oleh mahkamah dari menjadi defendan.

Umno Selangor menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Dalam laporan itu, Mustafa selaku Setiausaha Agung PAS mendakwa beliau mendapat maklumat, serbuan ke atas gereja itu didalangi oleh Umno.

Ketika ditanya peguam Asmuni Awi pula, adakah Marzuki tahu berhubung dengan serbuan yang dibuat Pegawai Jais ke atas gereja DUMC, Marzuki berkata beliau tidak mengetahui langsung dengan serbuan tersebut sehinggalah satu laporan dikemukakan oleh Ketua Penolong Pangarah Penguatkuasa kepadanya.

Menurutnya lagi, siasatan bagi kes tersebut telah dilakukan selama tujuh bulan, namun siasatan itu dilakukan oleh Bahagian RnD dan seterusnya dirujuk kepada bahagian penguatkuasaan tanpa perlu mendapat kebenaran Pengarah Jais mahupun exco berkaitan agama Islam Kerajaan Negeri untuk melakukan serbuan.

Sementara itu, ketika ditanya oleh peguam Dr Zulqarnain Lukman berhubung hasrat Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang mewakili PAS ingin bertemu dengan Jais, Marzuki memberitahu beliau sedia maklum perkara tersebut.

Jelasnya perkara itu telah dirujuk kepada bekas exco Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Dr Hasan perlu bertindak memaklumkan kepada Mustafa berkenaan dengan pertemuan yang dicadangkan dan perkara itu tidak dimaklumkan kepada Mustafa.

Pada sesi pagi, Mahkamah hanya mendengar keterangan dari Marzuki dan bersambung semula pada sebelah petang.

Turut hadir pada sesi pagi adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Datuk Ahmad Zaki Husin bertindak sebagai hakim dalam kes ini.

Perbicaraan akan disambung lagi pada 14 dan 15 Jun bagi mendengar keterangan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan juga Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd selaku pencetak. -HD




[Bergambar] 2 Buah Bas Bawa Ahli UMNO Terengganu Ke Bukit Jalil Kemalangan Di Tol Rasah

Gelombang Merah Umno Terhempas Di Tol Rasah

Dua buah bas yang membawa pulang penyokong-penyokong Umno Terengganu dari perhimpunan di Stadium Bukit Jalil telah terlibat dalam satu nahas jalan raya di exit Tol Rasah awal pagi ini.

Menurut Cikgu Bard melalui tweeternya nya, sebuah bas yang membawa penyokong Umno Terengganu (Kuala Terengganu) telah merempuh sebuah treler yang dipercayai berjalan perlahan dari arah belakang.

Ini diikuti pula oleh sebuah lagi bas yang membawa penyokon Umno Kuala Berang merempuh dari belakang bas tersebut.

Cikgu Bard beserta beberapa aktivis SAMM Negeri Sembilan yang dalam perjalanan pulang dari Johor terserempak dengan kejadian tersebut serta merta turut membantu mangsa nahas yang terlibat.

Setakat ini tiada kematian dilaporkan, cuma beberapa mangsa dipercayai mengalami kecederaan yang agak serius. Beliau juga mendoakan agar mereka semua selamat!

Syabas kita ucapkan kepada Cikgu Bard yang walaupun diherdik dan dimaki hamun oleh sekumpulan Samseng Umno seperti disini , sikap dan rasa per kemanusian beliau perlu dicontohi oleh kita semua.Syabas Cikgu Bard dan aktivis SAMM Negeri Sembilan! -alhusseyn







Najib: Rasa-rasa Nak Mengadap Agong Esok (Hari Ini)

Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Tun Razak menarik perhatian banyak pihak malam ini sambil berkata, beliau seolah-olah sudah mendapat inspirasi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong "esok" bagi mendapatkan perkenan membubarkan Parlimen - ekoran sokongan dan kehadiran luar biasa ahlinya pada majlis sambutan hari ulang tahun ke-66 Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

"Rasa-rasa esok (hari ini) saya hendak menghadap Yang di-Pertuan Agong (untuk mendapatkan perkenan)... adakah kita sudah bersedia, sudah bersedia, sudah bersedia?" kata Presiden Umno ketika spekulasi memuncak yang Parlimen akan dibubarkan dalam waktu terdekat.

Penganalisis dan pemerhati politik meramalkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan bulan depan.

Kata-kata itu disusuli dengan Najib bertanya, "boleh (kita) menang, boleh menang, boleh menang."

Perdana Menteri seterusnya bertanya kepada hadirin di Stadium Nasional sama ada bersedia untuk dipanggil PRU13 bulan depan atau pada bila-bila masa sahaja.

"Tahun ini, tahun depan, bulan Jun? (Atau) bila-bila boleh, tahun depan?" kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sambil memandang ke arah ahli-ahli Majlis Tertinggi yang duduk di pentas utama.

Sebahagian pemimpin dilihat memberi isyarat tidak diadakan PRU13 tahun depan, sebaliknya mahu ia disegerakan.

Ucapan beliau disiarkan menerusi stesen-stesen televisyen.

Spekulasi terbaru menyebut Najib sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong Khamis lalu. Spekulasi sebelum ini meramalkan PRU13 pada November lalu dan suku pertama tahun ini.

Ucapan Najib malam ini dilihat petanda PRU13 sudah semakin dekat, lebih-lebih lagi sambutan yang pertama kali diadakan dalam sebuah stadium.

Ucapan kira-kira 10 minit pertama beliau juga dimulakan dengan kecaman ke atas penganjur perhimpunan Bersih 3.0 yang enggan mengadakan perhimpunan di stadium.

Dalam ucapannya, Najib juga menyifatkan perhimpunan ulang tahun Umno ke-66 sebagai "satu perhimpunan raksasa, satu perhimpunan yang luar biasa, yang dianggap sebagai perlambangan kekuatan Umno."

"... perlambangan roh dan semangat, perjuangan gigih Umno. Sebab itulah perhimpunan menunjukkan semangat Umno, sokongan tidak menurun, hampir 100,000 yang berhimpun," kata Najib lagi. -SH

Najib Gambarkan Parlimen Akan Dibubarkan Masa Terdekat

Ucapan Ha Najib Razak baru sekejap tadi sempena sambutan hari ulang tahun ke 66 Umno sungguh emosi dan bersemangat. Satu ucapan penggerak semangat terakhir sebelum parlimen dibubarkan. Saya mengira cara Najib ini tepat. Ini kerana seperti saya ramalkan sebelum ini majlis ulang tahun Umno ke 66 pasti akan menjadi salah satu indikator untuk Najib mencari ilham bagi membubarkan parlimen bagi mendapat mandat rakyat. Kalau sambutan majlis ini hangat pasti ia menggocak jiwa Najib untuk bubar parlimen.

Bersih 3.0 adalah indikator pertama bagi Najib membuat penilaian dan keputusan apakah parlimen boleh dibuabrkan atau pun tidak dalam bulan Mei dan Jun ini. Dengan kehadiran lebih 60,000 ribu di stadium Bukit Jalil malam ini dianggap satu kehadiran yang terbesar dalam siri-siri majlis himpunan Umno yang diadakan selepas 28 April dapat menyangi kehebatan Bersih yang dihadiri lebih 250,000.

Tidak ada lagi majlis Umno selepas ini melainkan majlis ini dibuat sempena hari ulang tahun Umno. Majlis-majlis di negeri-negeri kurang mendapat sambutan walaupun Umno menyediakan prasarana dan ubah wang poket. Di negeri kelahiran Najib sendiri satu majlis hanya dihadiri tidak sampai 200 dan ia menimbulkan kemarahan Najib.

Malam ini waalaupun ahli Umno diangkut dan diupah, tetapi jumlah itu kurang dari 80,000 tetapi sudah cukup memuaskan Najib yang belaum ini belum pernah mendapat sokongan (paksa) seperti itu. Sebenarnya jumlah kehadiran di stadium Bukit Jalil ini belum dapat mengatasi ledakan penonton perlawanan akhir boleh sepak khasnya membabitkan Kelantan. Tetapi tidak mengapalah kerana inilah majlis melibatkan Najib teramai Najib perlu berpuas hati dan seronok.

Mungkin bagi mereka yang tidak mahu menerima kelemahan dan berilusi Umno masih hebat, walaupun sudah lemah, menganggap himpunan malam ini sempurna dan terhebat. Kenapa mereka merasakan begitu kerana tidak ada himpunan sebesar malam ini walaupun kurang separuh dari jumlah himpunan Bersih 3.0.

Najib dan Udin anak Yassin cuba sedaya upaya untuk menunjukkan majlis malam ini Umno kuat dan berpadu. Mereka berdua ingin menggambarkan kepada dunia bahawa Umno masih relevan dan utuh. Sebab itu Udin anak Yassin mengulangi jumlah hampir 100,000 dan katanya masih banyak lagi yang berada diluar dan dalam perjalanan. Sebenarnya yang dalam perjalanan sudah pun melencong ke tempat lain.

Najib pula malam ini telah mengeluarkan seluruh kekuatan dalaman dan luarannya. Suaranya sudah dilepaskan kesemua sekali. Jeritannya seakan sama kuat dan sama ngeri dengan jeritan harimau yang cedera ditembak.

Kenapa saya kata majlis itu tidak sumpurna? Situasi itu cukup apabila bekas presiden Umno dan perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi tidak ada dalam majlis itu. Apakah beliau sakit. Begitu juga bekas pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain termasuk anak-anak bekas timbalan perdana menteri, Ghafar Baba, Tamrin Ghabar, bekas anak Ketua Pemuda Umno, Harun Idris, Mazlan Harun, anak-anak bekas pahlawan Umno dan lain-lain tidak bersama. Itu memberi gambaran bahawa Umno semakain renggas dan bercelaru, indah di luar buruk di dalam. Masak di hujung putik dipangkal.

Orang-orang seperti Abdullah Badawi, Tengku Razaleigh tidak patut tidak hadir. Kalau mereka uzur dengan kerusi roda pun patut diheret. Tidak cukup dengan kedatangan Mahathir bersama isteri untuk menunjukkan Umno masih kuat dan padu seperti dulu. Penglibatan Mahathir dalam apa-apa majlis Umno hari ini dilihat bukan menyempurnakan lagi tetapi mencacatkan?

Dalam perhatian saya sambutan di kalangan pemuda Umno (anak-anak muda) kurang sekali. Kalau tanpa puteri dan wanita Umno yang dilihat sebagai peminat Umno kerana ingin glamour, mungkin majlis itu semakin rengas seperti daun kepala dimakan kekabur. Dari jumlah 60,000 itu mungkin 40,000 darinya adalah dari kalangan wanita.

Najib atau admit media sosialnya (Fb, blog, twitter dan lain) pernah menguar-uarkan bahawa pengikut Fb atau blog Najib sudah mencecah 1.5 juta. Apakah mereka tidak mengetahui majlis itu dan hanya menyapa Najib menerusi Fb dan blog atau twitter dengan tiap seorang membuka 10 hingga 30 akaun? Kalau benar pengikut media sosial Najib mencapai jumlah jutaan pengikut pasti di belapan stadium Bukit Jalil penuh sesak dan tidak ada kerusi kosong di tempat duduk berbumbung. Tetapi nampaknya dari suluhan kemera tv yang begitu hati-hati ternampaknya tempat duduk kosong tergohong.

Begitu juga kaum India yang hadir sama-sama meraikan ulang tahun Umno tidak ramai. Jumlahnya jauh lebih ramai yang pergi berarak dekat Bersih di mana saya anggarkan kira-kira 20,000. Ke manakah kaum India kali ini. Atau mereka menyimpang wang, tenaga dan semangat untuk menyertai himpunan Hendraf hujung bulan ini? Tidak ada corong kemereka tv yang diselar ke muka India.

Tidak mengapalah terpulang serah kepada Najib untuk menilai dan beliau merasa berhak untuk berseronok dengan gelombang merah malam ini. Sebagai orang yang pertama kali mendapat crowd seramai itu mungkin menyebabkan Najib tidak dapat tidur kerana mikirkan beliau mendapat sambutan. Walhal sorakan untuk Mahathir lebih hebat darinya.

Dari segi ucapan Najib tidak berapa elok kerana ada kalanya terlalu emosional dan ego. Ada beberapa perkara beliau sepatutnya tidak menyebut dan mengulang-ulanginya lagi kerana sudah pun menyebut sebelum ini. Ruang dan kesempatan yang baik itu sepatutnya Najib gunakan untuk membangkit semangat orang Melayu dan rakyat Malaysia, tetapi sayang digunakan untuk menghetam Bersih, memperkecilkan Bersih dan cuba mencerminkan pembangkang sebagai jahat dan tidak bertanggungjawab. Najib tidak habis-habis memuji polis dan membenci kejahatan para peserta Bersih sedangkan hakikatnya sudah diketahui jutaan orang.

Pada majlis begitu yang penuh emosi dan sentimental itu sepatutnya Najib berucap secara matang mengemukakan hujan fikir secara lebih mampan untuk menjelaskan transformasi dilakukannya. Mengajak rakyat untuk bersatu dengan Umno dan tidak perlu memperlekeh dan menjahat-jahatkan pembangkang secara melulu dan berlebihan. Pengundi hari ini sudah dewasa dan matang berfikir. Betapa pembangkang di kosmetikkan dengan kejahatan, mereka akan nilai sendiri nanti. Di hadapan Najib mereka bertepuk tangan tetapi bila kembali ke rumah mereka membandingkan dengan fikiran tenang. Sebab itu ada orang yang mengucup tangan Rosmah bila balik mereka basuh dan samak dengan tujuh jenis air. Kecuali seorang manusia saja yang tidak mandi tujuh hari kerana menghidup bau tangan Rosmah untuk dijadikan saksi dan bukti kesetiaan dia kepada Umno.

Najib tidak seharusnya mendabik dada Umno hebat, baik dan berjasa kepada rakyat. Sebaiknya dan paling berkesan biarlah orang lain yang memuji Umno. Najib sebagai orang Umno sudah tentu akan memuji Umno baik, seperti mana Najib melihat ke dalam cermin dia pasti merasakan dia paling kacak daripada segala orang lain termasuk bintang filem.

Iya, melihat kepada semangat Najib malam ini dan keyakinan bahawa Umno sudah mentap, kuat, sihat nampaknya dia sudah bersedia untuk membubarkan Parlimen. Najib tampaknya sudah berpuas hati dengan tahap orang-orangnya dalam mempersiapkan diri untuk berpilihan raya. Apapun hendak dikatakan Najib tetap mengambil himpunan malam ini sebagai indaktor untuk bubar parlimen.

Malam ini Najib juga terlalu yakin rakyat terjerat dengan perangkapnya menerusi pemberian wang rakyat kepada rakyat sebanyak RM500, baucher RM100 kepada pelajar, kewujudan kedai, klinik, pasar ikan 1 Malaysia dan sebagainya. Tujuh prinsip atau pun persoalan untuk dijawab pembangkang juga menunjukkan dia konfiden. Tujuh perkara itu pasti akan dijadikan tunggak dalam manifestonya untuk berigumentasi dengan pembangkang.

Melihat kepada senario dan raut muka Najib yang lebih merah pada malam ini saya percaya Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen dalam masa terdekat. Bila? Kerana suka tidak suka Najib sudah tidak ada masa dan ketika yang baik lagi untuk berbuat demikian.

Waktu ini juga rakyat termasuk ahli Umno sedang membuak rasa, tergila-gila hendak berpilihan raya, dan semasa sekeling masih ada... bubarlah walaupun khabarnya bomoh Siam, Tok Sami dan Kiyai di Indonesia membuat telahan mengikut firasat dan ilmu batin mereka masing-masing bahawa pilihan raya ke-13 ini pilihan raya yang tidak membawa banyak tuah kepada UBN dan memberi dugaan kurba buat Najib.
-msomelayu


Kuota Haji Akan Disekat? Menteri-menteri UMNO Malaysia Memang Pendusta

Protes di Mekah, Arab Saudi hantar nota diplomatik

Kerajaan telah menerima nota diplomatik daripada Kedutaaan Arab Saudi yang menasihati rakyat Malaysia supaya tidak mengambil bahagian dalam demonstrasi dan mematuhi undang-undang dan norma di Arab Saudi.

Menteri Luar, Datuk Anifah Aman berkata, protes BERSIH yang dianjurkan di Mekah dan Madinah telah menimbulkan kebimbangan kerajaan Arab Saudi yang mungkin mengugat kuota jemaah Malaysia untuk pergi menunaikan ibadat haji.

Katanya, Malaysia akan menghoramti tindakan kerajaan Arab Saudi yang akan diambil terhadap rakyat Malaysia yang terbabit dalam protes di bawah apa jua undang-undang.

"Kita akan memberi kerjasama penuh," katanya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur petang ini.

Satu laporan akhbar Mingguan Malaysia Ahad lalu mendakwa kerajaan Arab Saudi sedang memburu pemimpin pembangkang yang didakwa menganjurkan perhimpunan pro-BERSIH pada 28 April di kota suci Mekah dan Madinah.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, akbar itu mendakwa individu berkenaan diburu kerana "dipercayai menyampaikan ucapan dengan tujuan menghasut rakyat Arab Saudi menyertai gelombang Arab Spring dan bangkit menentang pemerintah."

Sementara itu, Anifah juga berkata tidak ada keperluan untuk orang luar menyiasat Prhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April.

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat dan mampu menjalankan penyiasatan sendiri yang saksama dan yakin dengan pihak berkuasa dan polis.

"Bagi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, saya tidak fikir ini adalah satu isu," tambahnya.

Jamil Khir: Arab Saudi sedang mempertimbangkan kena sekatan kepada jemaah haji, umrah Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Mei — Kerajaan Arab Saudi sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengenakan sekatan atau mengantung jemaah haji dan umrah dari Malaysia ekoran tindakan segelintir rakyat negara ini mengadakan perhimpunan haram Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perkara itu dinyatakan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Fahad A. H. Al-Rashid dalam perjumpaan mereka pada Jumaat lepas berhubung perkara itu.

“Saya menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia menentang kelakuan ini (perhimpunan di Mekah dan Madinah), apa lagi jika ia dilakukan di luar Negara Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Guru-guru Pendidikan Islam dan Guru Islam di Pusat Islam hari ini.

Jamil Khir berkata perhimpunan haram seperti ini sangat sensitif kepada kerajaan Arab Saudi, ditambah dengan keadaan di Timur Tengah yang baru sahaja dilanda gejolak “kebangkitan Arab”, di mana rakyat dihasut untuk menentang kerajaan-kerajaan mereka.

Beliau berkata sehingga hari ini Arab Saudi tidak pernah mengenakan sebarang hukuman terhadap Malaysia walaupun hukuman sekatan dan mengantung itu pernah dibuat ke atas negara lain.

Jamil Khir berkata kerajaan sangat bimbang jika Arab Saudi mengambil satu tindakan drastik berkaitan dengan kuota dan jumlah visa yang dikeluarkan untuk tahun ini.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir jemaah umrah dan pelajar Malaysia yang membawa politik tanah air ke luar termasuk mencampuradukkan ibadah dengan kepentingan fahaman politik mereka.

Katanya sikap mereka itu telah merosakkan imej negara kerana sebelum ini sikap jemaah Malaysia yang sentiasa mematuhi undang-undang negara itu sering mendapat pujian Raja Arab Saudi, dan sentiasa dijadikan penanda aras di negara itu.

Mengenai buku “Kahwin Campur” yang diterbit dan diedarkan secara percuma oleh Middle Eastern Study Group yang antara lain didakwa menghalalkan perhubungan seksual sejenis, Jamil berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Agama Islam akan bekerjasama dengan KDN untuk menguatkuasakan pengharamannya.

Beliau berkata pengharaman buku itu akan dapat menyekat hubungan songsang sesama jenis.

Middle Eastern Study Group adalah sebuah badan di bawah naungan Institut Kajian Dasar (IKD), yang dikaitkan dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
— BERNAMA


Bersih Perlu Bertanggungjawab Jika Arab Saudi Sekat Jemaah Malaysia

KUALA LUMPUR: Penganjur perhimpunan Bersih 3.0 perlu bertanggungjawab sekiranya jemaah Malaysia tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tempoh tertentu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pihak keselamatan Arab Saudi memandang serius dengan tindakan segelintir peserta Bersih yang berani mengadakan perhimpunan haram yang berunsur politik di negara tersebut.

"Arab Saudi cukup sensitif berhubung demonstrasi atau sebarang perhimpunan haram yang dilakukan di negara itu.

"Dulu ada rakyat sebuah negara Islam pernah mengadakan demonstrasi di Mekah dan Madinah bagi tujuan mendemokrasikan politik di negara berkenaan dan Arab Saudi telah tidak mengizinkan mana-mana jemaah dari negara berkenaan untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tempoh tiga tahun," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran konvoi bermotosikal sempena sambutan Hari Umno ke-66, di sini, Ahad.

Ahmad Zahid berkata penganjur perhimpunan perlu bertanggungjawab dan bersedia untuk membayar harga yang tinggi jika Arab Saudi mengenakan sekatan tersebut kepada jemaah dari negara ini.

"Saya cukup khuatir sensitiviti Arab Saudi tidak diketahui oleh pihak penganjur yang berpotensi menjejaskan jemaah haji dan umrah dari negara kita... Adakah ini satu cara yang baik untuk menuntut sesuatu perubahan kerana kita juga perlu mematuhi undang-undang sesebuah negara lain termasuklah Arab Saudi.

"Saya tidak fikir Arab Saudi akan mendiamkan diri ekoran gambar yang dikeluarkan melalui YouTube dan laman sosial Facebook...Kita perlu ingat risikan tentera mereka cekap kerana sering kali berhadapan dengan situasi sedemikian yang melibatkan negara luar," katanya.

Media melaporkan pihak berkuasa Arab Saudi sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah oleh aktivis-aktivis perhimpunan haram tersebut pada 28 April lalu.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata demonstrasi jalanan bukan acuan politik yang sesuai untuk negara ini.

"Saya fikir tidak sesuai mencari pengaruh dengan cara mengadakan demonstrasi atau politik jalanan," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengetuai konvoi bermotosikal sempena hari ulang tahun Umno ke-66 yang akan menjelajah ke wilayah tengah melibatkan Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang sebelum berakhir di Kuala Lumpur.

"Konvoi kali ini melibatkan motosikal berkuasa besar dan kecil bagi melibatkan ahli-ahli akar umbi...penting untuk konvoi kali ini libatkan sekali ahli peringkat akar umbi dan golongan muda bagi menjadikan Umno terus relevan dan ini juga sebagai usaha dalam meremajakan Umno," katanya.

Sebanyak 66 buah motosikal berkuasa besar dan kecil menyertai konvoi tersebut sebagai simbolik kepada 66 tahun kelahiran Umno.

Konvoi selama lima hari itu dijangka menamatkan jelajah mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat depan dan dijadual disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
BERNAMA


Ulasan GB

Ketiga-tiga berita di atas cukup meragukan.

Kerana tiada sebab untuk kerajaan Arab Saudi berasa bimbang terhadap sekumpulan rakyat malaysia yang sekadar bergambar sambil memegang bendera kuning BERSIH tanda sokongan mereka terhadap perjuangan BERSIH 3.0 yang diadakan di Kuala Lumpur.

GB cukup yakin bahawa ketiga-tiga menteri di atas berdusta, semata-mata untuk memburukkan BERSIH di mata masyarakat kita.

Nota diplomatik? Kalau serius mengapa sekadar nota? Betul-betul menteri luar punya auta!

Menteri-menteri yang cuba membodohkan rakyat menyangkakan penduistaan mereka boleh menyebabkan rakyat akan merenggangjkan diri denagn BERSIH. Sebenarnya sesiapa punboleh membuat semakan di Kedutaan Arab Saudi apakah benar ada nota diplomatik dikeluarkan khusus kerana BERSIH.

Dan juga, sebenarnya buang masa untuk pihak keselamatan Arab Saudi hendak pergi memburu pemimpin pembangkang yang kononnya didakwa menganjurkan perhimpunan pro-BERSIH seperti dilaporkan akhbar pencacai, Mingguan Malaysia.

Beberapa orang sahabat GB yang berkebetulan sedang mengerjakan umrah di Mekah menyatakan tidak ada apa-apa pun berlaku di sini. OK sahaja. Mengenai berita tentang sekatan kuota haji & umrah, cuma akhbar dan agensi berita di Malaysia sahaja yang sengaja menggembar-gemburkannya untuk memburukkan BERSIH.

Ini disokong pula oleh kenyataan Ustaz Zamri di dalam FBnya yang GB kutip dari ASD: