26 Jul 2010

Mahukah Najib Pecat Pengawalnya?

ADUN Damak gesa PM pecat pengawalnya

"Dia hanya pengawal (bodyguard) Perdana Menteri, saya ADUN empat penggal!" Demikianlah kemarahan yang diluahkan oleh ADUN Damak, Lau Lee yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Pahang, ketika menceritakan pengalamannya menyerah memorandum kepada PM Najib Razak.

"Seorang pengawal PM menghalang saya ketika saya ingin menyerah memorandum kepada PM. Dia mencadangkan supaya saya menyerah kepadanya (pengawal PM), tetapi saya bertegas mahu menyerah dengan sendiri," kata Lau Lee (gambar kiri).

"Dia pula berkata, 'kalau nak, serah kepada saya sekarang, kerana jika pun diserah kepada PM, PM akan bagi kepada saya. Kalau kamu enggan serah kepada saya sekarang, saya akan buang memorandum kamu selepas PM serah kepada saya'," Lau Lee menceritakan bagaimana beliau dilayan oleh pengawal PM, dalam Mesyuarat Agung Tahunan MCA Ngeri Pahang, semalam.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Lau Lee menggesa agar Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Pahang, juga Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai membawa mesejnya ke dalam kabinet untuk disampaikan kepada PM. "Kalau boleh, pecat pengawal ini segera!"

Lau Lee selaku Pengerusi MCA bahagian Jerantut, Pahang, mengetuai satu rombongan untuk menyerah satu memorandum berhubung masalah tanah kepada PM, semasa lawatan Najib Razak ke situ pada 3 Julai 2010. Tanpa diduga, Lau Lee menerima layanan yang buruk daripada pengawal PM, yang mendakwa dirinya bernama Sulaiman.

Malah, menurut laporan China Press, Lau Lee dipetik berkata, "Saya menyerah memorandum kepada PM sebagai seorang ADUN, tetapi perlu mengharungi pelbagai rintangan, daripada polis, setiausaha, pengawal..." Beliau juga berkata, "Walaupun PM melaung-laungkan slogan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan', tetapi setiausahanya, pembantunya, pengawalnya tidak ikut (menyahut seruan PM)..."

Disindir musuh parti

Lantaran daripada laporan tersebut, MCA disindir oleh PKR dari Pakatan Rakyat. ADUN Teja negeri Perak, Chang Lih Kang (gambar kanan) menyifatkan peranan MCA tidak setanding biarpun sebagai "penumpang". Chang Lih Kang sebaliknya menyindir bahawa kejadian layanan buruk pengawal PM terhadap ADUN MCA ini sekali lagi membuktikan bahawa hubungan MCA dengan UMNO dalam Barisan Nasional ibarat "hamba dengan Tuan".

Malah, Chang Lih Kang berkata pemimpin senior MCA ini hanya mengungkit kejadian yang menimpa individu, tetapi tidak menyentuh isu besar seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), penyelewengan dalam pembelian senjata..., kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan UMNO. -MR

Kakitangan Awam Diperalat Untuk Sabotaj Negeri Pakatan Rakyat

Umno-BN Letak Pegawai Kerajaan Pusat Sabotaj Negeri Pakatan Rakyat

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus bukan sahaja menunjukkan sikap dwi standard, tetapi juga menggalakkan pegawai perkhidmatan awam supaya tidak bekerjasama dengan pentadbiran kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua turut membidas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cuba mempertahankan pegawai kerajaan yang disifatkan beliau sebagai 'Napoleon kecil' dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.

"Malah, Tan Sri Muhyiddin menggelar Nik Ali seorang pegawai yang patut dicontohi dan melihat tiada kes keingkaran yang dilakukan. Sama juga, Ketua Setiausaha Negara yang telah berkata tiada tindakan akan diambil ke atas Nik Ali.

"Di atas komen memudaratkan oleh PM dan TPM, menunjukkan dengan jelas yang kerajaan Umno-Barisan Nasional sedang menggunakan 'Napoleon kecil' dalam perkhidmatan awam untuk merumitkan kerajaan Pakatan Rakyat demi kepentingan politik sendiri.

Isu itu bermula apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa Nik Ali berterus terang mengenai kos dan kerugian perobohan dua buah pintu gerbang di Taman Botani Pulau Pinang berharga RM150,000 yang dibina di bawah Kementerian Pelancongan.

Binaan itu dirobohkan berikutan kritikan orang ramai kerana binaan itu tidak mempunyai nilai seni dan kebudayaan negeri itu.

Guan Eng menyifatkan tindakan Nik Ali, yang merupakan pegawai yang bertanggungjawab menyelia projek itu cuba mensabotaj pentadbiran Pakatan Rakyat.

Beliau juga mendedahkan sepucuk surat yang dihantar SDO tersebut pada 13 Oktober kepada Jabatan Saliran dan Pengairan memberi kata dua terhadap peruntukan RM5 juta dari Kementerian Pelancongan.

Surat itu menyatakan kerajaan perlu menyelesaikan "isu-isu tertangguh" di Taman Botani" tersebut atau pembiayaan projek akan ditarik balik.

Nik Ali sebaliknya mengadakan sidang media dan menuduh kerajaan negeri membenarkan aktiviti mencuri pasir di Balik Pulau.

Menurut Tony, Najib mempertahankan kesalahan yang dilakukan Nik Ali yang telah membuat keputusan sendiri dengan mengadakan sidang media dianjurkan Umno serta menggelar Guan Eng sebagai biadap pada sidang media berkenaan.

"Pemimpin BN tidak dapat menerima keadaan di mana sebuah kerajaan berdasarkan kecekapan, kebertanggungjawaban dan telus akan melebihi prestasi BN. Sebaliknya telah memilih untuk menyemai 'Napoleon kecil' dalam perkhidmatan awam untuk sabotaj dasar-dasar pemerintahan yang beri manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Menurut Tony, Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak bersifat pilih kasih terhadap kakitangan perkhidmatan awam dan telah bekerja dengan ramai kakitangan kerajaan yang memberi prestasi cemerlang terhadap pentadbiran dan dasar kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tidak akan menerima kehadiran 'Napoleon kecil' seperti Nik Ali kerana peranannya hanya untuk menjaga kepentingan peribadi beliau dan Umno-BN.

"Kehadiran dan galakan diberikan kepada 'Napoleon kecil' akan hanya mengakibatkan unsur kebocoran, rasuah dan ketidakcekapan dalam mekanisme pentadbiran kerajaan, dan akan merumitkan kemasukan pelaburan asing dan tempatan kerana melihat tiada perubahan praktikal dilakukan Kerajaan meskipun dengan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB)," tegas Tony lagi. -SK


Pegawai sabotaj Kerajaan Kedah?

ALOR SETAR - Ada pegawai Kerajaan Negeri didakwa enggan bekerjasama dengan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) kerana bersikap pro-UMNO dan cuba mensabotaj Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Wan Salleh Wan Isa berkata, pegawai ini juga dikenal pasti aktif berpolitik secara senyap sekalipun menyedari tindakan itu melanggar etika penjawat awam.

Wan Salleh berkata, kerenah birokrasi yang dihadapinya sewaktu menjadi wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat kawasan Kuah, Langkawi sebelum ini, turut membelenggu wakil rakyat PR di negeri ini.

“Jika masalah ini tidak diberi perhatian, saya bimbang wakil rakyat PR akan terus menjadi mangsa sabotaj pegawai pro-UMNO ini kerana mereka seolah-olah ada agenda tertentu untuk menjatuhkan PR.

“Saya ada terima maklumat kumpulan ini menerima arahan daripada orang tertentu untuk memporak-perandakan PR,” katanya.

Wan Salleh berkata, pegawai kerajaan perlu mengenepikan sentimen politik untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan proses pentadbiran berjalan lancar dan berkesan.

Menurutnya, sekiranya masalah sentimen politik ini berlarutan, beliau bimbang rakyat yang akan menjadi mangsa.

“Sebagai contoh, sebelum ini saya menerima peruntukan wakil ADUN sebanyak RM200,000 daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan permasalahan kawasan Kuah, Langkawi.

“Bagaimanapun, saya hairan dengan sikap pegawai terlibat yang seakan cuba menyulitkan urusan saya untuk menggunakan peruntukan itu dengan pelbagai cara, sedangkan permohonan saya sebelum itu diluluskan Pejabat Menteri Besar Kedah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

“Sikap seperti ini jika dibiarkan akan menganiaya rakyat kerana peruntukan itu digunakan untuk rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai pelawaan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad supaya beliau masuk UMNO, Wan Salleh menolak.

“Saya letak jawatan wakil ADUN Angkat kerana tak tahan dengan kerenah pegawai pro-UMNO, bukan tidak puas hati dengan Kerajaan Negeri,” katanya. -SH

Kerajaan Pusat Petualang Sebenar Kes Curi Pasir

Saari : Kerajaan Pusat Petualang Sebenar Kes Curi Pasir

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meneruskan gesaan kepada Kerajaan Pusat untuk tidak mensabotaj usaha Kerajaan Negeri Selangor membasmi kegiatan mencuri pasir.

Adun Hulu Kelang, Saari Sungip berkata Kerajaan Pusat menyuburkan kegiatan mencuri pasir dengan memansuhkan kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Galian Tanah, seraya menjadikan agensi terbabit tidak berupaya untuk memberkas petualang pasir terbabit.

Saari dalam nada berseloroh pada awalnya menyoal siapa gerangan yang bertanggungjawab dalam isu kecurian pasir di Selangor, diikuti dengan penjelasan bagaimana isu kecurian pasir di negeri ini dikatakan sebagai satu usaha terancang oleh Kerajaan Persekutuan.

" Tuan-tuan, siapa yang curi pasir ini? Pencuri. Yang curi pasir ini ialah pencuri. Isu pencuri ini bidang kuasa pihak polis" seloroh Saari.

Berucap dalam ceramah umum "Siapa Curi Pasir", Saari menjelaskan, amalan kerajaan UMNO-BN ketika memerintah Selangor menjadikan masalah pasir di Selangor semakin rumit untuk diselesaikan.

Ianya menjadi semakin teruk apabila berlakunya amalan pendakwaan terpilih serta wujud usaha untuk melindungi pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

"Isu pencuri pasir ini ialah masalah penguatkuasaan di peringkat persekutuan. Saya hendak bawa satu isu besar, di dewan pun tidak terbawa sebab tidak dapat maklumat yang sepenuhnya" tambahnya lagi.

Tambahnya, amalan menyelamatkan kroni ini dikukuhkan oleh kerajaan pusat dengan meluluskan akta baru di peringkat Persekutuan pada November 2008 apabila kuasa menahan orang yang mencuri atau pun disyaki mencuri pasir tidak lagi di bawah bidang pegawai penguatkuasa PTD dan PTG.

Penahanan hanya boleh dibuat ketika operasi bersepadu yang melibatkan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilakukan.

Bahkan sekiranya ada kes kecurian yang terbongkar, ianya pantas dibersihkan melalui agensi yang tertakluk dibawah telunjuk kerajaan pusat.

" Ada pendakwaan pun suruh ditarik balik. Ini realitinya yang saya hendak tuan-tuan paham. Bagaimanakah kuasa pendakwaan di peringkat negeri tidak ada. Kalau Timbalan Perdana Menteri, kalau Noh Omar mengatakan bahawa kita ada mencuri pasir".

"Ini kerana kelemahan kepada mereka, kerana pendakwaan lemah, penguatkuasaan memang kita boleh buat tetapi oleh kerana pendakwaan terpilih, kalau dia tengok, kalau ada pencuri itu dari kelompok mereka, maka tidak ada pendakwaan" tambahnya lagi.

Disebabkan itulah ujar Saari, walaupun pihak kerajaan negeri menjalankan penguatkuasaan, namun ia tetap tidak berhasil untuk membanteras kecurian pasir di Selangor secara menyeluruh.

Baru-baru ini, Dewan Negeri Selangor mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama yang akan membawa dan membahaskan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat dalam Dewan Negeri.

Rang undang-undang ini bertujuan untuk mempertingkatkan penzahiran maklumat berkepentingan awam supaya setiap individu punyai peluang akses kepada maklumat setiap jabatan negeri.

Selain untuk merakyatkan informasi, ia juga akan menjadi perantara usaha yang dijalankan kerajaan negeri agar rakyat tidak mudah tertipu sekiranya timbulnya isu yang sengaja dimanipulasi oleh kerajaan pusat.

"Telus, kontraktor baik, developer baik, pemaju, peniaga, usahawan, korporat yang ada urusan dengan dana rakyat dari jabatan-jabatan kerajaan negeri dan jabatan kerajaan tempatan, tuan-tuan boleh minta maklumat".

Menurut Saari, dengan tertubuhnya jawatankuasa berkenaan, maka rakyat berpeluang untuk mengetahui perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Inilah yang menyebabkan UMNO panic. Maknanya lepas ini, selepas jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya ini di bawa ke dalam dewan, sekurang-kurangnya pada bulan Mac tahun depan rakyat berhak tahu siapa yang dapat kontrak pasir selama ini dengan Selangor".

"Siapa yang bekalkan lori, siapa yang bekalkan kren, siapa bekalkan pasir, siapa jadi gengstar, siapa Ketua Cawangan, siapa Ketua Bahagian yang dapat saham".


UMNO Jadikan Perpaduan Melayu Sebagai Benteng Akhir Sebelum Tersungkur Ke Bumi

Hentikan kezaliman, tegakkan keadilan: Penyelesai isu perpaduan Melayu, Islam — Dr Muhd Nur Manuty

Untuk kesekian kalinya, isu perpaduan Melayu ditonjolkan oleh Umno lagi. Parti yang bernafas lama hasil luapan sentimen perkauman ini amat menyedari bahawa kedudukan politiknya adalah semakin terdesak dan terancam. Sokongan orang Melayu terutamanya generasi muda semakin menurun.

Sokongan orang bukan Melayu pula kini amat terhakis. Gelombang sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak jelas sudah beralih kepada Pakatan Rakyat. Lantaran, Umno sedang menggunakan politik michevelli yang dianutinya. Isu perpaduan Melayu dikumandangkan lagi sebagai strategi perang psikologi memecahbelah Pakatan Rakyat.

Ini dilakukan selepas gagal menggunakan fitnah “liwat”, membeli wakil-wakil rakyat PR dan menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu, agen Yahudi, CIA dan Amerika Syarikat serta berbagai tuduhan lagi. Dalam masa yang sama media penyampai maklumat kepada rakyat cuba disekat dengan harapan “psywar” yang dilancar ini menjadi.

Sebenarnya, perpaduan yang dijaja ini hanyalah untuk menyelamatkan politik Umno itu sendiri. Umno ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu. Ia diakibatkan oleh segala kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka sendiri.

Segala khazanah negara sedang di “faraid” sesama sendiri dengan pelbagai cara. Tabung simpanan felda susut teruk dan yang terbaru ini harta Petronas pula sedang dikeringkan. Seluruh instrumen pentadbiran negara telah dikembirikan demi menjaga survival Umno.

Ekonomi negara sedang menguncup dan para pelabur semakin menjarak diri dari kita. Kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit. Kita semakin bimbang bagaimana nanti rakyat miskin di bandar-bandar dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dapat meneruskan kehidupan mereka yang sudahpun sengsara sekian lama. Menyedari rakyat semakin meminggirkannya, Umno melagang isu perpaduan Melayu.

Hakikatnya, pelbagai agenda perpaduan politik Melayu telahpun dicuba sebelum ini. Namun, semuanya berakhir dengan kegagalan. Paling jelas, gabungan PAS dan Umno di dalam Barisan Nasional pada tahun 1971 berkesudahan PAS di tendang keluar dari BN.

Kegagalan ini mencetuskan percubaan bentuk baru oleh Anwar Ibrahim, apabila beliau dan rakan-rakannya dari ABIM berijtihad untuk aktif dalam Umno. Ia berakhir dengan satu kemelut besar yang paling menyayat hati dalam sejarah politik Melayu Islam. Beliau disingkir dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno secara cukup hina dan mengaibkan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu seorang pemimpin hebatnya dijatuhkan dengan fitnah “liwat” seperti ini. Begitu pelik dan luarbiasa, namun ia boleh berlaku di dalam budaya politik Umno.

Jelaslah, perpecahan politik Melayu tetap berlaku meskipun para pemimpinnya berada dalam wadah yang sama, sama ada Umno atau BN. Lupakah kita dengan peristiwa pembunuhan Allahyarham Datuk Mohd Taha di Gemencheh Negeri Sembilan?

Apakah kita lupa dengan pergolakan politik di antara Team A dan B di dalam Umno hingga menyebabkan Umno di bubarkan pada tahun 1987 dan kemudiannya mengakibatkan tertubuhnya Umno Baru dan Parti Semangat 46?

Meskipun kemudiannya Parti Semangat 46 dibubarkan dan kembali bergabung di dalam Umno, namun isu perpaduan Melayu tidak juga berkesudahan. Malah, penggabungan Semangat 46 ke dalam Umno seakan-akan sengaja dirancang sebagai persediaan untuk mencipta krisis baru politik Melayu dengan peristiwa penyingkiran DSAI dari Umno beberapa kemudiannya.

Bagaimana mungkin Umno mengemudi perpaduan Melayu sedangkan perpaduan itu tidak wujud dalam tubuh badannya sendiri? Umno kini adalah bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Umno umpama sebuah bangunan yang kelihatan besar dan hebat, sedangkan segala tiang, rasuk dan gelegarnya telahpun hancur luluh dimakan bubuk dan anai-anai. Ia bakal runtuh bila-bila masa sahaja. Dengan pelbagai perkembangan mutakhir yang berlaku, kita meramalkan satu krisis baru yang amat menggemparkan akan berlaku di dalam kepimpinan Umno tidak berapa lama lagi. Percayalah!

Perjuangan para pemimpin Umno bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat. Asas perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati. Maka, amalan rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa.

Dana dan sumber negara di mana jua akan diperah dan khianati semahunya. Maka judi sukan yang jelas haram menjadi halal demi memperkayakan mereka yang sudah kaya dan menjadikan rakyat yang miskin semakin papa kedana.

Hakikatnya, perpaduan sejati apa jua kelompok tidak akan wujud apabila tiadanya nilai-nilai teras yang merealitikan perpaduan itu iaitu keikhlasan, kejujuran dan keadilan serta saling menjaga rukun dan adab dalam muamalah dan perhubungan. Inilah yang dapat kita fahami dari firman Allah yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai…..” (Ali-Imran: 103)

Isu perpaduan Melayu dan survival Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong Umno dan para kuncunya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia.

Jika Umno benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini. Suburkanlah iklim demokratik di Malaysia berasaskan perlembagaan negara yang ada. Wujudkan ruang persaingan yang terbuka dan sihat dan berasaskan syariat yang ditetapkan Islam. Ini akan menjadikan kita lebih kreatif dalam usaha menyampaikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama berasaskan kebenaran dan keadilan.

Dengan ini Islam yang murni akan lebih terserlah. Barisan kepimpinan Islam yang bertaqwa, bijaksana dan adil akan dapat dilahirkan. Masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam dan melihatnya secara objektif dan tepat.

Perkara ini sedang menjadi kenyataan. Masyarakat bukan Islam tidak lagi menjadi fobia kepada Islam apabila bersedia mengundi parti Islam di dalam pilihanraya, selepas sekian lama, Umno telah menjadikan segala berunsur Islam sebagai momokan kepada mereka.

Perkembangan inilah yang amat menggerunkan Umno sekarang ini, lantas menjadikan slogan perpaduan Melayu sebagai gendang perang terakhir sebelum terus tumbang di telan gelombang rakyat yang menuntut keadilan.

* Dr Muhd Nur Manuty ialah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Parti KeADILan Rakyat.

* This is the personal opinion of the writer or the publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.