7 Okt 2013

Media Sekular Cuba Kaitkan Ikhwanul Muslimin Dengan Terroris


Dubai - Arab Saudi. Pelbagai usaha dilakukan pihak tertentu untuk mencemarkan imej gerakan Ikwanul Muslimin (IM) untuk melabelkannya sebagai kumpulan pengganas (terroris).

Terbaru, akhbar Arab Saudi Al-Watan menerbitkan laporan terperinci di muka depan dengan mendakwa ahli IM terlibat dalam cubaan membunuh Naib Ketua Suruhanjaya Promosi Saudi, Abdul Latif Alshaikh sebagai satu usaha untuk mengaitkan IM sebagai kumpulan pengganas.

Dipetik laporan middleeastmonitor.com, akhbar itu turut mengesahkan, kononnya Abdul Latih kini menjadi sasaran bunuh apabila beliau dikatakan cuba diculik sejurus meninggalkan masjid selepas solat subuh minggu lalu.

Bagaimanapun, rancangan itu dikatakan gagal dan Abdul Latih Alshaikh disahkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Al Watan juga melaporkan, kumpulan Parti Salafi Syria bekerjasama dengan IM dalam merancang penculikan tersebut.

Kempen memburukkan IM turut berlaku di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di mana banyak tangkapan ahli kumpulan terbabit dilakukan dan sebahagian daripada mereka dipecat kerana didakwa sebagai pengganas.

Pemerhati politik berpendapat, krisis di Mesir mempunyai kaitan dengan Ketua Perisikan Saudi, Putera Bandar bin Sultan yang dikatakan berkomplot dengan ketua tentera Jeneral Abdul Fattah As-Sisi dalam usaha menggulingkan Presiden Mesir yang dipilih rakyat, Mohamed Mursi.

ULASAN GB

Sebenarnya bukan saja media di negara teluk, malah di Malaysia sendiri media massa arus perdana sudah cuba cemarkan imej Ikhwanul Muslimin sejak krisis Mesir tercetus.

Berikut laporan dari laman sosial FB Mesir Kini



Merujuk kepada kenyataan dalam akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 9 Julai 2013(gambar di atas) yang menyatakan "Ikhwanul Muslimin gesa pemberontakan diadakan", berdasarkan kenyataan- kenyataan yang telah dikeluarkan di Kaherah oleh pihak Ikhwanul Muslimin sejak bermulanya kebangkitan rakyat Mesir selepas pihak kepimpinan Tentera merampas kuasa pada 30 Jun 2013 dengan memecat Presiden Mesir yang dipilih oleh rakyat Mesir, Muhammad Mursi, kami ingin menyatakan bahawa :

1. Kenyataan akhbar Utusan Malaysia ini adalah tidak tepat sama sekali dan tidak datang dari sumber Ikhwanul Muslimin sendiri. Ianya mungkin dirujuk daripada sumber- sumber lain khasnya media propaganda pihak pembangkang Presiden Muhammad Mursi atau media- media lain.

2. Menurut kenyataan Mursyid Am Ikhwanul Muslimin, Dr Muhammad Badi', Ikhwan menentang penggulingan kuasa oleh Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir, Jeneral Abdul Fattah As Sisi ini kerana ianya adalah satu pencabulan hak rakyat yang telah membuat pemilihan terhadap presiden mereka melalui sistem demokrasi dan proses pilihanraya yang bersih (buat pertama kalinya dalam sejarah Mesir) yang diiktiraf oleh rakyat dan juga negara- negara luar.

3. Ikhwan Muslimin bersama berbagai kelompok rakyat yang cintakan kebenaran dan keadilan, menentang keras tindakan jahat dan kotor ini melalui perhimpunan aman di seluruh negara Mesir. Perhimpunan aman dan "I'tisom" ( berpiket secara berterusan/ tidak keluar daripada tempat berpiket) akan tetap diteruskan sehinggalah Presiden Dr Muhammad Mursi dikembalikan semula ke tampuk jawatannya sebagai presiden Mesir yang sah dan dipilih oleh rakyat melalui lunas demokrasi yang luhur.

4. Tindakan berhimpun secara aman dan tidak menggunakan sebarang unsur kekerasan akan tetap diteruskan sehinggalah presiden mesir dikembalikan semula. Mereka menegaskan perhimpunan aman ini adalah hak rakyat dan dijamin oleh perlembagaan Mesir (yang juga telah digantung perlaksanaannya oleh as Sisi) dan dijamin oleh PBB.

5. Tragedi berdarah yang berlaku semalam merupakan tindakan durjana pihak kepimpinan tentera yang telah menggunakan tindakan kekerasan bagi meleraikan perhimpunan aman ini. Mereka yang berhimpun waktu itu sedang solat subuh dan mereka dihujani dengan tembakan gas pemedih mata dan tembakan dengan peluru hidup tatkala mereka masih solat (rakaat kedua). Tohmahan adanya tindakan golongan pelampau yang menyerang tentera telah dinafikan sekeras- kerasnya oleh pihak penyokong Dr Muhammad Mursi. Semua bukti yang dikemukan oleh jurucakap Tentera dalam kenyataannya semalam adalah bukti video yang dimanipulasi dari rakaman insiden lain yang berlaku di tempat lain dan tiada kaitan dengan apa yang berlaku dalam tragedi berdarah awal pagi semalam.


Rujukan : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=203261753165429&set=a.202146149943656.1073741828.202121649946106&type=1&ref=nf

[EDISI TERLAMPAU MENTERI] Zahid Panggil Waythamoorthy, Timb Menteri Cengkadak Buruk


Kita dapat bukti kita tembak dulu'

Kumpulan masyarakat sivil sering mendakwa polis menjalankan dasar tembak mati ke atas suspek penjenayah.

Dakwaan itu nampaknya terbukti apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu ucapannya memberi gambaran bahawa lebih baik jika suspek tersebut ditembak terlebih dahulu, sebelum siasatan dijalankan.

Ahmad Zahid berucap dalam satu 'Majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat' pada hari Sabtu lalu, yang dilihat seperti satu acara kerajaan yang bertukar menjadi acara Umno.

Para wartawan dihalau keluar dengan penuh biadap ketika Zahid hampir menamatkan ucapannya, dan turut diugut oleh menteri tersebut agar tidak membuat laporan berhubung kandungan ucapannya.

Ahmad Zahid didakwa mengancam untuk menutup akhbar mereka sekiranya tidak berbuat demikian.

Ancaman itu berjaya menutup mulut kebanyakan dari media tersebut, namun akhbar Oriental Daily News melaporkan bahawa Ahmad Zahid memberi amaran selepas membuat “kenyataan sensitif”.

Akhbar itu bagaimanapun tidak memberi butiran lain berhubung kenyataan tersebut.

Malaysiakini berjaya mendapatkan rakaman audio sepanjang 20 minit bagi ucapan yang disampaikan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka.

Berdasarkan rakaman tersebut, Ahmad Zahid berkata kira-kira 28,000 dari 40,000 anggota gengster terdiri dari masyarakat India dan tiada salahnya untuk menahan golongan itu.

“Bagaimana keadaan mangsa-mangsa rompakan, mangsa-mangsa bunuh masa tembakan ini, kebanyakannya adalah orang Melayu kita. Kebanyakannya ialah bangsa kita.

“Saya pikir, cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu.

Ahmad Zahid seterusnya membangkitkan mengenai kes tembakan maut ke atas lima orang suspek anggota kongsi gelap di Pulau Pinang pada Ogos lalu.

Beliau turut menegur Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorty – tanpa menyebut namanya – kerana mempersoalkan kejadian tersebut.

“Ada timbalan menteri cengkadak buruk, dia pertikaikan saya dan polis, kenapa tak beri tembakan amaran dulu. barulah tembak. Saya kata kalau kamu nak jadi ngo, letaklah jawatan timbalan menteri. tak layak jadi timbalan menteri,” katanya yang disambut sorakan dari hadirin.

Zahid juga menyifatkan pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) yang memperkenalkan penahanan tanpa bicara sebagai undang-undangnya.

“Kita siasat, kita bawa ke mahkamah, kalau tak ada bukti, kalau tak cukup bukti, sekurangnya dua tahun penahanan. Itu undang-undang baru saya, tiada kompromi,” katanya lagi.

Pindaaan ke atas PCA itu memberi kuasa untuk membuat penahanan tanpa perbicaraan dalam tempoh dua tahun bagi satu-satu masa. -mk

ULASAN GB

Pertama, panggilan "cengkadak buruk" terhadap seorang timbalan menteri kabinet oleh Ahmad Zahid Hamidi adalah sesuatu yang keterlaluan.

Jika Waythamoorthy digelar "cengkadak buruk", bagaimana pula PM yang melantik Waythamoorthy menjadi timbalan menteri itu? Bukankah panggilan "cengkadak buruk" itu terpalit kepada pemanggilnya sendiri dan kepada PM yang melantik Waythamoorty?

Zahid memaparkan wajah sebenar UMNO dan para pemimpinnya. Rasis, angkuh dan suka memaki hamun bangsa lain tetapi yang dituduhnya pihak lain.

Kedua, yang lebih penting, kandungan ucapan Zahid memang berat. Beliau dengan terus terang membuat pengakuan "cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu."

Ini menunjukkan dakwaan pelbagai pihak bahawa polis menjalankan dasar tembak mati ke atas suspek penjenayah itu adalah benar dan langkah ini amat bertentangan dengan undang-undang, malah kenyataan dan tindakan Ahmad Zahid Hamidi boleh diadukan ke peringkat mahkamah antarabangsa.

Beliau perlu dipertanggungjawabkan di atas tindakan polis yang menembak mati suspek-suspek kerana rupa-rupanya, (melalui pengakuannya) beliau yang memberikan lampu hijau kepada polis bertindak demikian.

Para peguam Pakatan Rakyat perlu lakukan sesuatu terhadap Ahmad Zahid Hamidi ini.

Lagi 51 Orang Terbunuh Dalam Demonstrasi Anti-kudeta Mesir


Peringatan 40 tahun kemenangan Mesir melawan pasukan Israel berubah menjadi tragedi berdarah yang menyebabkan 51 orang terbunuh. Demonstran anti-kudeta Mesir kembali turun ke jalanraya seamalam, Ahad (6/10) waktu tempatan untuk peringatan tersebut. Menteri Kesihatan Mesir menyatakan, seramai 268 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran di seluruh negara. Pada Ahad malam, kementerian mengumumkan 408 demonstran ditangkap sepanjang Ahad. Polis telah melepaskan tembakan gas pemedih mata dan serta tembakan amaran ke udara untuk membubarkan demonstrasi massa antikudeta yang cuba memasuki Bundaran Tahrir . Di Delga, utara Kairo, polis diberitakan telah menembakkan peluru aktif kepada demonstran. Seorang peserta demonstrasi ditembak mati dan lainnya cedera, demikian menurut saksi kejadian kepada pejabat berita Anadolu. Dalam laporan Al-Jazeera, massa diperkirakan mencapai 4,000 orang. Massa tersebut ingin menuju Bundaran Tahrir sekalipun terdapat ancaman halangan dan kekerasan. Pasukan keamanan sendiri terdiri dari tiga lapis di jalan-jalan tersebut. Demonstran dari Ikhwabul Muslimin telah melakukan sejumlah protes sejak Muhammad Mursi digulingkan dari kerusi presiden pada 3 Juli. Aksi protes pada hari semalam merupakan sebahagian dari demonstrasi nasional yang diselenggarakan oleh pendukung pro Mursi untuk memperingati ulang tahun ke-40 kemenangan perang tahun 1973 atas Israel dan mengecam penggulingan tentera terhadap Presiden terpilih Muhammad Mursi.

Acara ini secara luas itu juga dianggap sebagai hari kebanggaan bagi tentera Mesir.

Bulan lalu, pasukan gabungan polis-tentera menyerbu Dalga dan membubarkan aksi protes yang telah berlangsung selama 75-hari yang dilakukan oleh pendukung Mursi.

"Tanda Putera" Tak Laku, Kena Tayang Percuma Di FELDA


Selepas gagal mendapat sambutan di panggung wayang, filem kontroversi Tanda Putera akan ditayangkan secara percuma di semua 317 tanah rancangan Felda, lapor akhbar Inggeris, The New Straits Times semalam.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad yang sedang berkempen untuk jawatan Naib Presiden Umno berkata, ia sebahagian dari projek panggung wayang terbuka Felda.

"Masyarakat Felda patut pergi menonton filem yang juga menyentuh pembangunan Felda yang dimulakan oleh perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein sendiri.

"Kita yakin mereka akan mengambil kesempatan untuk menonton sendiri filem ini dan mendapat maklumat sebenar sebelum membuat sebarang andaian mengenai jalan ceritanya," katanya sebagaimana yang dipetik akhbar itu ketika berucap di majlis pelancarannya di Padang Awam Felda Palong 12 di Jempol, Negeri Sembilan, Jumaat lepas.

Isa juga berkata, pihaknya juga sedia menayangkan filem itu di kampung-kampung tradisi jika ada permintaan ke atasnya.

"Filem ini bagus, cerita sejarah yang sesuai untuk ditonton oleh golongan remaja. Kita tidak ada masalah untuk menayangkannya di mana-mana saja," tambahnya.

Filem yang menelan belanja RM4.8 juta yang dibuat berasaskan peristiwa perbalahan kaum 13 Mei, 1969 di Kuala Lumpur itu mendapat bantahan dari DAP dan MCA yang mendakwa beberapa dialog dan gambaran dalam filem itu boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Kedua-dua parti itu mengkritik penayangan filem ini yang antaranya menunjukkan Cina yang bertanggungjawab mencetuskan tragedi 13 Mei itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang antara yang tidak berpuashati dengannya kerana menunjukkan sekumpulan remaja Cina kencing di tiang bendera yang terletak di perkarangan rumah bekas menteri besar Selangor, Datuk Harun Idris.

Ia seolah-olah menggambarkan Lim sebagai salah seorang dari remaja itu.

Dalam satu posting menerusi laman Facebook Tanda Putera, pentadbir laman meminta maaf kepada Lim kerana mendakwa beliau terlibat dalam kejadian itu.

Filem ini mula ditayangkan di panggung wayang pada 29 Ogos tetapi gagal mendapat sambutan.

Pengarah filem ini, Datin Paduka Shuhaimi Baba berkata, beliau sudah menjangka filem ini tidak akan mendapat sambutan baik kerana ia cerita sejarah yang sukar mendapat minat dari peminat wayang gambar, yang biasanya suka menonton cerita seram atau komedi. -TMI

Apakah Mat Sabu Calon PAS Untuk PRK Sungai Limau?

Mat Sabu memang seorang pemimpin yang hebat

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, resume rakyatnya tidak perlu banyak perkataan untuk dihurai. Selain hebat, ialah mengkagumkan.

Di zaman mudanya, Abang Mat keluar masuk penjara memperjuangkan apa yang dipercayainya sebagai benar. Ramai orang takut pada ISA, tetapi tidak pada Abang Mat. PAS adalah wadah perjuangannya, dan tiada apa yang boleh menyebabkan Abang Mat keluar daripada PAS.

Nama Mat Sabu sudah sinonim dengan PAS. Abang Mat adalah simbol toleransi dan friendliness (mudah bersahabat) bagi PAS.

Rakan-rakan bukan Islam cukup menyayanginya. Rakan-rakan seperjuangannya menghayati pengorbanan beliau.

“Cubalah kamu ikut saya seminggu. Tengoklah kamu boleh tahan tak?” begitulah cabaran Abang Mat pada saya selalu.

Memang sukar untuk mengikut jadual Abang Mat. Hanya manusia yang kental seperti beliau boleh menunaikan semua temujanji itu.

Namun, sehebat-hebat Abang Mat, beliau cumalah seorang manusia biasa yang ada kekurangannya.

Seperti para peminat artis pujaan, menyebut mengenai kekurangan Abang Mat akan menyinggung perasaan orang yang amat menyayanginya. Membandingkan Abang Mat dengan sesuatu yang lebih baik juga akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada para peminatnya, lebih-lebih lagi apabila Abang Mat adalah Timbalan Presiden PAS.

Namun, itu lumrah manusia kerana sememangnya ada perkara yang lebih disukai dan ada perkara yang tidak berapa disukai.

Semalam timbul kontroversi seperti yang tertera di atas apabila Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Mohd Khairudin Aman Razali dalam satu laporan The Malaysian Insider bertajuk “Timbalan presiden: Mat Sabu jangan kecil hati, kata ulama PAS” menyebut “Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama.”

Jelas Khairudin mengakui Abang Mat sebagai seorang pemimpin yang hebat. Cuma – ya ayat selepas ‘Cuma’ selalu membawa maksud berbeza kepada para pembaca mengikut kesukaannya.

“Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama” – ada yang membaca ayat ini berasa Khairudin kasar dan seolah-olah menghina Abang Mat. Persepsi itu diperkuatkan lagi apabila ada blogger yang mengulas perkara itu ke arah sedemikian.

Bagi yang sudah ada persepsi negatif terhadap Dewan Ulama selepas Multaqa lalu teramat mudah akan terdorong ke arah mempercayai bahawa Khairudin sedang memperkecilkan Abang Mat, walau beliau memulakan hujah ayat pertama dengan memuji Abang Mat sebagai pemimpin yang hebat. Tapi itu telah dilupakan, yang difokuskan ialah apa yang disebut selepas perkataan “cuma.”

Dalam aspek ini, Khairudin perlu lebih berhati-hati ketika berkata-kata dan menyedari persepsi negatif yang sedang menyelubungi Dewan Ulamak PAS Pusat akan menyebabkan kata-katanya terpesong daripada nada sebenar.

“Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama” – daripada lensa biasa tanpa sebarang prasangka, ayat ini tiada unsur penghinaan pada Abang Mat. Jelas dalam ayat ini, Khairudin tak pasti, sebab itu perkataan “barangkali” digunakan.

Apa yang cuba disebut Khairudin ialah ada orang yang lebih fakih soal agama berbanding Abang Mat. Kenyataan itu sebenarnya tidak salah, malah sebenarnya hakikat, cuma cara disebut itu boleh disalah tafsir, terutamanya bagi mereka yang sudah ada prejudis terhadap Dewan Ulamak PAS Pusat.

Faqih adalah istilah merujuk kepada satu standard ilmu dalam pengajian Islam melibatkan kefahaman mendalam terhadap teks al-Quran dan teks al-Hadis berasaskan ilmu-ilmu alat seperti usul fiqh dan ilmu bahasa Arab yang tinggi sehingga mampu memahami hukum-hakam Islam secara detail.

Namun, ingin dipertegaskan bahawa tahap keilmuan "faqih" bukan diukur dengan sijil dan tempat pengajian dan juga bukan diukur oleh diri sendiri tetapi dinilai oleh orang-orang berilmu yang lain.

Seseorang yang dikatakan tidak faqih bukan bererti dia jahil dan tidak tahu hukum-hakam agama untuk amalan seharian. Cuma ada orang yang lebih baik daripadanya dari sudut itu.

Memandangkan Khairudin sendiri adalah seorang “Dr PhD”, maka ada pula yang menganggapnya terlalu ego apabila beliau berhujah bahawa Abang Mat barangkali yang kurang adalah fakih soal agama – seolah-olah kerana beliau ada PhD maka beliau boleh memperkecilkan pemimpin yang lain yang tidak setanding tinggi ilmunya apabila berkata “barangkali yang kurang adalah fakih soal agama.”

Tuduhan itu tersasar kerana Khairudin tidak berniat begitu, cuma beliau barangkali masih baru dalam dunia politik dan media persepsi ini untuk berkata-kata jujur dengan selamat.

Mari kita bersangka baik dan melihat hujah Khairudin dari sudut lain:

“Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Dalam soal fakih (mendalam) soal agama, barangkali ada orang yang lebih hebat daripada beliau.”

Sebenarnya itulah maksud sebenar Khairudin. Bacalah dari arah manapun, unsur menghina langsung tiada - maka salah faham terhadap Khairudin juga tidak akan timbul daripada para peminat Abang Mat.

Lebih-lebih lagi, dengan peribadi Abang Mat yang hebat dan besar hati orangnya, sebenarnya tiada kontroversi dalam kata-kata Khairudin.

Tulisan ini ditulis supaya PAS dapat menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau dengan satu hati dan satu jiwa. Jangan biar polemik dalaman melemahkan PAS.

PRK Sungai Limau ialah maruah PAS Kedah dan juga maruah arwah Tan Sri Ustaz Azizan Razak. Oleh itu, PAS tidak harus dilemahkan lagi kerana sangka buruk dan buruk sangka yang tidak diperlukan masa ini.

Seperti kata Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, kurangkanlah kenyataan mengenai pemilihan di muktamar, fokuslah pada PRK Sungai Limau. Walaupun tulisan beliau semalam ditujukan kepada semua pimpinan tertinggi, tapi para penyokong parti harus juga berhenti daripada mengulasnya sehingga kemenangan PRK Sungai Limau dipertahankan.

Selepas itu, ada 20 hari untuk berkempen sebelum Muktamar. Kempen sehabis-habisnya dalam lingkungan adab dan akhlak jamaah yang tinggi dengan hanya mempromosikan kebaikan dan kehebatan pemimpin pilihan sendiri dan bukannya dengan memperkecilkan lawan.

Itu adalah roh Islam yang wajar ditunjukkan PAS kepada rakyat Malaysia. -Timmy Say/TMI

ULASAN GB

Tajuk GB: Apakah Mat Sabu Calon PAS untuk PRK Sungai Limau?

Ia sekadar satu soalan, atau satu lontaran cadangan.

Sungai Lmau memerlukan calon yang sehebat Allahyarham Ustaz Azizan dan diantara yang ada di dalam kepala GB hanya ada dua orang yang mampu mempertahankan kerusi PAS tersebut. Satu Datuk Mahfuz Omar dan kedua Mohammad Sabu.

Kedua-duanya pimpinan tertinggi PAS Pusat, Mahfuz Naib Presiden dan Mohammad Sabu Timbalan Presiden. Selain dari itu Mahfuz juga Pesuruhjaya PAS Kedah. Mungkin Mahfuz sudah berat dengan tanggungjawabnya sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah, Naib Presiden PAS Pusat dan juga sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena.

Jadi pilihan yang ada ialah Mohammad Sabu jika PAS perlu calonkan orang yang dikatakan setanding dengan kehebatan Allahyarham Ustaz Azizan. Mengapa perlu calon yang setanding dengan Allahyarham? Sebab ini pilihanraya kecil, bukan pilihanraya umum. Dalam beberapa minggu lagi semua akan menumpukan perhatian ke Sungai Limau. Jadi calon besar perlu diketengahkan jika PAS mahu menang.

Malah Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang telah pun memberikan signal yang jelas,

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau mahu calon itu memilki sifat kepimpinan seperti bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Kalau boleh, kita nak calon itu seperti Azizan. Sama ada calon tempatan atau luar, itu terpulang kepada Pas negeri dan Pusat yang tentukan.

“Syarat yang kita utamakan ialah calon itu mesti boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah untuk membawa mesej Pas. Itu yang penting,” katanya selepas menziarahi pusara Azizan di Muassasah Darul Ulum...
sinarharian 1/10/2013


PAS Kedah sangat memerlukan tenaga Mohammad Sabu untuk digandingkan dengan Mahfuz untuk merampas semula Kedah dari tangan BN.

Memang Mohammad Sabu lebih layak di parlimen, tetapi tidak salah beliau untuk bertanding menjadi seorang ADUN. Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dari seorang ahli parlimen Bukit Gantang kini menjadi ADUN Changkat Jering. Malah bekas Presiden PAS, Allahyarham Ustadz Fahzil Mohd Nor juga pernah sekadar menjadi ADUN Bukit Raya. Presiden PAS sendiri TG Haji Hadi pernah menjadi ADUN Rhu Rendang sahaja apabila tewas di parlimen Marang satu ketika dulu.

GB mengharapkan Mohammad Sabu dipilih untuk bertanding di PRK Sungai Limau, supaya beliau mula "bekerja" dari sekarang. Masa untuk bercakap sudah berlalu (bukan tak boleh bercakap lagi tetapi masa diperuntukkan untuk bekerja mesti diutamakan daripada masa untuk bercakap dan berceramah). Dan GB percaya Mohammad Sabu juga seorang yang rajin bekerja jika beliau diberikan peluang dan ruang itu.

PAS perlu buktikan ia parti yang kuat bekerja untuk rakyat, bukan sekadar parti ceramah waktu malam, dan ia bermula dengan orang yang bernama Mohammad Sabu. Kalau beliau selama merupakan ikon ceramah-ceramah PAS, beliau kini perlu menjadi ikon tenaga kerja profesyenal PAS pula. Mohammad Sabu perlu buktikan bahawa orang PAS bukan sekadar pandai berceramah/berpidato semata-mata, tetapi hebat di dalam melaksanakan tugas dan bekerja juga. Dan elok diserahkan baton ceramah dan pidato kepada yang fakih dalam hal-hal agama.