24 Dis 2010

GO GREEN: Melaka Bakal Menjadi Negeri Milik PAS

Selepas diisytihar sebagai negeri maju pada 20 Okt, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan visi beliau menjadikan Melaka “Negeri Hijau” menjelang 2020.

Ketika menjelaskan lanjut usaha hijaunya kepada Berrnama, Ketua Menteri yang berpandangan jauh ini bukan sahaja menceritakan beberapa inisiatif untuk merealisasikan matlamatnya menjadikan Melaka negeri hijau dalam tempoh sedekad ini, tetapi juga menarik perhatian kepada usaha hijau yang sedang dilaksanakan.

Mohd Ali mahu melihat inisiatif ini menampakkan hasil dalam masa sesingkat dua tahun dan semangat dan komitmen kerajaan negeri boleh dilihat apabila menggunakan warna hijau pucuk pisang sebagai warna tema untuk majlis rasmi anjuran kerajaan negeri.

“Saya mahu lihat kita manfaatkan dulu tenaga solar, di negara-negara yang membangunkan teknologi hijau yang saya lawati, tenaga solar merupakan antara tenaga utama yang mereka manfaatkan,” katanya.

Dengan kenyataan itu tidak hairanlah inisiatif transformasi pertama dan kedua Mohd Ali berkisar kepada pembangunan tenaga solar dengan transformasi pertama melibatkan usaha “menuai” tenaga solar secara besar-besaran.

Mohd Ali yakin dalam masa dua tahun, Melaka dapat membangunkan sebuah “solar farm” di mana di kawasan ini akan didirikan panel solar dalam kuantiti yang banyak dan mampu menuai tenaga solar untuk menjana tenaga elektrik.

“Masa itu Melaka akan dapat membekalkan tenaga elektrik sendiri kepada rakyatnya dan jika ada lebih, kita boleh jual kepada negeri lain melalui grid Tenaga Nasional, ini boleh tambahkan pendapatan negeri pula,” katanya.

Aspek transformasi kedua melibatkan penuaian tenaga angin untuk menjana elektrik di negeri ini.

Kerajaan negeri sedang melihat kemungkinan membina kincir angin untuk menjana tenaga elektrik di Pulau Besar, satu daripada pulau yang sedang dibangunkan sebagai destinasi pelancongan di Melaka.

Bagaimanapun lokasi kincir angin dan panel solar ini bergantung kepada kesesuaian tempat dan ini bergantung kepada kajian yang dilakukan, katanya.

Dengan penggunaan tenaga yang diperbaharui seperti solar dan angin, pengurangan pelbagai jenis kos jangka panjang yang terlibat dalam penjanaan tenaga elektrik boleh dikurangkan sehingga 30 peratus.

Transformasi ketiga yang dibayangkan Mohd Ali ialah membangunkan teknologi hijau bagi membantu kehidupan seharian rakyat, menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dan selesa.

Ketua Menteri itu berkata transformasi ini sudah pun dilakukan di mana rumah-rumah di negeri ini sudah mula dipasang panel solar sama ada untuk menjana tenaga elektrik atau tenaga haba.

“Tetapi saya hendak setiap rumah di Melaka guna panel solar dalam tempoh dua tahun, kita juga hendak lihat rumah-rumah tradisional Melaka ada panel solar di bumbung seperti yang kami cuba hendak buat di perkampungan Hang Tuah,” katanya.

Perkampungan Hang Tuah di Duyong di sini ialah kawasan kampung asal Laksamana Hang Tuah dan bakal dibangunkan dengan bertunjangkan teknologi hijau untuk menjadi satu lagi produk pelancongan yang bakal menarik lebih ramai
pelancong ke Melaka.

Transformasi keempat pula melibatkan pengangkutan di Melaka dengan teknologi hijau atau kenderaan hybrid menguasai bilangan di jalan raya.

Kenderaan hybrid menggunakan dua kuasa enjin untuk bergerak seperti petrol-elekrik, petrol-hidrogen dan diesel-elektrik. Kenderaan jenis ini telah digunakan di serata dunia.

“Melaka sudah mula mengorak langkah ke arah ini dan satu daripada projek kami ialah pembangunan monorel di Sungai Melaka, dan beberapa kenderaan tradisional seperti beca dipasang dengan panel solar,” katanya. – Bernama





Ulasan GB

Dulu KM Melaka ini cukup fobia dengan warna hijau sehinggakan ada sekolah dan surau diharamkan beratapkan hijau. Karpet surau dan masjid pun jangan ada yang berwarna hijau, tukar semua jadi warna biru. Malah pelajar-pelajar sekolah agama JAIM yang bersampin hijau waktu itu telah ditukarkan kepada warna biru gelap (warna BN). Jika boleh daun-daun di pokok yang banyak itu hendak ditukarkan warna dari hijau kepada biru.

"Kini baru dia tahu warna hijau adalah warna kemajuan, warna biru gelap masa depan," kata Ustadz Kamaruddin, Ketua Pemuda PAS Melaka.

Dari satu perspektif, langkah Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk melaksanakan "Go Green" itu adalah tepat. Melaka negeri yang paling banyak membazirkan wang rakyat. Sebut apa saja projek Ali Rustam di negeri Melaka.... Eyes of Malaysia... gagal... monorel tersangkut di hari pertama pelancarannya

Melaka perlu berhijrah, hijrah untuk kemajuan, hijrah untuk perubahan, hijrah untuk mengembalikan Melaka yang pernah satu ketika dulu dikenali sebagai pusat penyebaran Islam di nusantara ini, hijrah untuk memerdekakan pemerintahan negeri kepada sistem yang mendapat keberkatan dari Maha Pencipta...

Melaka kini satu-satunya negeri di Semenanjung yang tidak ada wakil rakyat dari PAS. Benar. Orang kata, Melaka berhantu UMNOnya... Namun, KM Melaka itu sendiri tidak mengetahui apa yang direncanakan itu adalah terliput di dalam perencanaan besar dari Maha Pencipta.

GO GREEN adalah simbolik kepada perubahan. Perubahan bukan sahaja untuk menjadikan Melaka negeri yang maju di dalam aspek material tetapi juga di sudut ukhrawi. Namun, ia hanya berjaya apabila sistem pemerintahan berada di tangan orang yang bersih aqidahnya, berada di peribadi pemimpin yang mengabdikan diri kepada Allah, di pimpin oleh parti yang memperjuangkan kalimat Allah untuk mengajak manusia beriman dan bertaqwa.

Dan sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) maka Kami siksa mereka disebabkan apa yang mereka perbuat. Al A’Raaf 96

Dari satu segi, PAS sedang dibantu Allah untuk diserahkan sebagai pewaris negeri yang telah banyak dirosakkan oleh UMNO BN selama ini.

Allah swt berfirman: “Akan Aku wariskan bumi ini kepada hamba-hamba-Ku yang soleh (bertaqwa).” (Al Anbiya: 105)

Greenboc berdoa dan menunggu saat itu, insyaAllah

Ahli Perniagaan Dibelasah Polis, Akan Tuntut Keadilan

Ahli perniagaan ‘dibelasah’ polis mahu tuntut keadilan

Tidak cukup dengan duitnya ‘dicuri’ anggota polis, seorang ahli perniagaan menjadi mangsa sekumpulan polis yang membelasahnya gara-gara kerana tidak mempamerkan cukai jalan yang tamat tempoh di skrin kereta.

Chia Buang Hing, 34 tahun peniaga bingkai lukisan yang memandu kereta jenis Proton Waja milik isterinya pada 18 Disember lalu, mendakwa dipukul 11 anggota polis dan menanggung kerugian lebih dari RM13,000.

Mangsa turut mengalami kecederaan fizikal di mata kanannya dipukul ekoran enggan menyerahkan sejumlah wang yang dimilikinya.

Mangsa ketika kejadian itu, dalam perjalanan ke kedainya di Kota Damansara ditahan sekumpulan anggota polis dalam sekatan jalan di kawasan tersebut.

Chia yang menyedari cukai jalan telah tamat tempoh kemudian meminta untuk disaman atas kesalahan itu, namun anggota polis yang menyeluk seluarnya menyedari beliau memiliki sejumlah wang.

"Dua anggota polis menumbuk saya"

"Apabila dia nampak kad VIP Kelantan saya, seorang anggota polis berkata, awak Kelantan istana banyak besar, banyak besar. Saya cuba ambil gambar anggota polis dengan telefon bimbit saya dan kemudian dua lagi anggota menumbuk saya secara bertubi-tubi.

"Saya digari dan dibawa masuk ke dalam kereta polis sehingga ke balai polis Dataran Sunway. Di balai itu, saya terus dipukul oleh tujuh anggota sehingga muntah darah dan mengalami kecederaan," katanya dalam sidang media di sebuah restoran di Taman Tun Datuk Ismail pagi ini.

Mangsa turut ditemani ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan peguam Ricky Tan Seng Cheong.

Katanya, beliau yakin dapat mengecam 10 daripada 11 anggota polis yang membelasahnya itu.

"Saya turut dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui dan mendengar perbualan polis yang mahu menolak saya. Saya dengar suara polis kata mau tolak lu mati, masa itu saya sudah muntah darah dan berbuih di mulut.

"Saya boleh cam anggota polis"

"Saya dibelasah dari jam 11 malam hingga 3 pagi 19 Disember itu. Saya yakin dapat mengecam 10 daripada 11 anggota polis itu. Saya juga boleh cam lima orang polis di IPD Petaling Jaya, serta lima lagi yang pukul saya dalam lori polis. Mereka semua memakai uniform ketika kejadian," katanya.

Chia pada 19 Disember dibawa ke mahkamah Petaling Jaya dan direman selama empat hari, namun dilepaskan melalui jaminan mulut pada 22 Disember.

Sementara itu, Lim yang mewakili mangsa berkata kesal dengan tindakan sekumpulan polis terbabit malah keengganan majistret untuk mengambil aduan Chia.

Beliau yang turut menemani mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara petang semalam, turut menuntut beberapa perkara.

"Kami menuntut beberapa perkara antaranya; tidak mahu pihak Ibu Pejabat Petaling Jaya mengambil kes ini; mangsa mahu membuat kawad cam; pihak majistret perlu disiasat; kereta mangsa dipulangkan semula serta duit yang dicuri itu," katanya. -FMT


Polis siasat dakwaan lelaki dipukul di balai

KUALA LUMPUR -- Polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki kononnya dia dipukul beberapa anggota polis di balai Dataran Sunway pada Sabtu lepas menyebabkan kedua-dua matanya lebam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh Chua Buang Hing, 34, yang turut mendakwa dia ditumbuk oleh tiga anggota polis lain sebelum itu.

Chua memberitahu pemberita hari ini bahawa pada 11 malam Sabtu lepas, beberapa anggota polis yang sedang mengadakan sekatan jalan raya di Petaling Jaya Utara telah menahan keretanya kerana tidak mempamerkan cukai jalan.

"Saya telah akui kesilapan saya kerana tidak menampal cukai jalan yang baru dihidupkan dan rela disaman. Saya terkejut seorang anggota polis itu terus menyeluk poket saya yang mengandungi RM7,000 dan meminta wang saya, namun saya tidak mahu memberi dan ini membuat dia marah. Tiga daripada mereka kemudian menumbuk muka dan mata saya serta menggari saya," katanya.

Chua, yang juga pengerusi sebuah tokong, berkata dia kemudiannya dibawa ke Balai Polis Dataran Sunway dan di situ, dia mendakwa dipukul, ditendang dan dipijak oleh tujuh anggota polis sehingga dia muntah darah, selain cedera di lengan kanan dan kiri.

"Mereka kemudian memaksa saya supaya membuat laporan polis mengaku bahawa kecederaan saya adalah akibat kemalangan jalan raya. Jika saya bersetuju, barulah mereka akan bebaskan saya," katanya.

Chua berkata dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan sebelum dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk direman dan dilepaskan pada Rabu lepas. -- BERNAMA



Ulasan GB

Sikap sesetengah anggota polis yang bertindak seperti "binatang" dengan membelasah rakyat sesuka hati amat perlu dikenakan tindakan disiplin kerana ia mencemarkan imej polis.

Rakyat membenci polis bukan kerana dihasut sesiapa, tetapi adalah lantaran perlakuan sesetangah polis sendiri yang menyebabkan mereka dibenci.

Polis yang sepatutnya mempastikan undang-undang dilaksanakan tiba-tiba meletakkan undang-undang di tangan mereka dan polis yang sedemikian amat wajar diheret ke muka pengadilan, tak kira sebesar mana pun pangkat mereka.

Tetapi apakah mereka dengar ini atau mereka sejenis spesis yang lansung tidak akan indahkan suara rakyat ini?


Populariti Najib Merudum - Pilihanraya Awal Batal, Nasihat APCO Mungkin Diperlukan

Populariti Najib jatuh selepas kenaikan harga

Populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merosot kepada 69 peratus - jatuh tiga mata berbanding dengan 72 peratus pada bulan Mei.

Tempoh kajiselidik - 30 November hingga 11 Disember - juga termasuk waktu pengumuman pemotongan subsidi kerajaan untuk bahan bakar, gas masak dan gula.

Populariti Najib jatuh ke tahap yang sama yang dicatatkan oleh badan kajiselidik bebas, Merdeka Centre, pada bulan Mac tahun ini.

Dalam kajiselidik terbaru Merdeka Centre, rating tertinggi datangnya dari responden kaum India, sepertimana yang dicatatkan sepanjang tahun ini.

Ia meningkat daripada 80 peratus pada bulan Mei kepada 85 peratus pada Disember, tetapi sokongan kaum India kepada Najib bagaimanapun lebih rendah daripada rekod tertinggi 91 peratus yang dicatatkan pada Mac tahun ini.

Bagaimanapun, sokongan orang Melayu kepada Najib merosot (daripada 77 peratus kepada 74 peratus) serta kaum Cina (daripada 58 peratus kepada 54 peratus).

Kajiselidik Merdeka Centre itu membabitkan 1,005 pengundi berdaftar yang dipilih secara rawak berusia 21 tahun ke atas.

Ia dijalankan melalui telefon antara 30 November hingga 11 Disember.

Populariti Najib itu mengesahkan bahawa beliau masih merupakan aset utama dalam kempen pilihan raya BN.

Kadar rating yang diperolehinya ketika mengambil alih teraju pemerintahan ialah 44 peratus, sewaktu ekonomi mengalami kelembapan, di samping terdedah kepada berita-berita buruk. -mk

Ulasan GB

Sepastinya sebarang rancangan awal untuk pilihanraya jika ada, terpaksa ditunda. Talian hayat, khidmat konsultan APCO mungkin digunakan untuk UMNO "mintak nyawa"....

Kes Teoh Beng Hock, Ahli Keluarganya Tuntut Najib Tunai Janji Tubuh Suruhanjaya Diraja

Najib digesa kota janji, tubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk siasatan kematian Beng Hock

"Dong Zhi", perayaan tradisional Cina yang disambut dengan berkumpulnya semua anggota keluarga pada 22 Disember tersebut, membawa makna "semua anggota selamat dan kekal bersama". Namun, perayaan ini menambah kedukaan kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock, yang sudah dua tahun tidak menyambutnya, berikutan kematian Beng Hock pada 16 Julai 2009.

Lebih-lebih lagi, punca kematian Teoh Beng Hock masih belum menemui jawapan, meskipun hampir 18 bulan tragedi ini berlalu. Adik mendiang Beng Hock, Teoh Lee Lan menuntut agar Perdana Menteri Najib Razak mengota janjinya kepada keluarga Teoh - menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, seandainya keluarga Teoh tidak berpuas hati dengan hasil siasatan inkues.

"Ketika itu Najib hanya berkata, akan 'mempertimbangkan (cadangan memperluaskan terma Suruhanjaya Diraja) sedalam-dalamnya'. Kini kami berharap orang awam menyokong hasrat kami untuk menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja yang lebih profesional dan berkecuali, untuk memaklumkan PM bahawa orang awam tidak lupa untuk mengetahui kebenaran," kata Teoh Lee Lan.

Beliau berkata sedemikian dalam satu kegiatan makan "Tang Yuan" untuk memperingati Teoh Beng Hock, anjuran badan NGO Justice For Beng Hock, Wanita Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor dan DEMA (Malaysia Youth & Students Democratic Movement), semalam. Kira-kira 70 orang menghadiri kegiatan tersebut, antaranya menangis kerana terharu selepas mendengar luahan Teoh Lee Lan.

Tandatangan Petisyen

Selain itu, Teoh Lee Lan turut menyeru agar orang awam menurunkan tandatangan sebagai sokongan kepada kempen "Jangan dilupai, Tegakkan kebenaran". Kempen ini menyasarkan 100 ribu tandatangan untuk menggesa agar PM Najib menubuhkan Suruhanjaya Diraja dengan serta-merta untuk menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock. Petisyen ini juga boleh ditandatangani melalui laman internet.

Teoh Lee Lan berkata, "Kami turun padang ke pilihan raya kecil, ceramah, pasar pagi, pasar malam dan jamuan malam untuk mengumpulkan tandatangan. Sememangnya proses ini agak sukar untuk kami, namun lebih sukar lagi untuk kita menuntut kebenaran."

"Kami tidak berputus asa, seandainya tiada jawapan diberikan pada hari esok, kami akan datang lagi pada lusa, sehingga kami mengetahui punca sebenar Teoh Beng Hock mati di dalam (bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah)," tegasnya.

Inkues penyiasatan punca kematian Teoh Beng Hock akan memberi kata duanya pada 5 Januari 2011. Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam. Mendiang Teoh Beng Hock dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 dalam bangunan tersebut, sebelum beliau ditemui mati pada keesokannya. -MR

*Leong Khong ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

Aneh, Ibu Dituduh Bunuh Bayi Masih Boleh Tersenyum

Ibu dituduh bunuh bayi

Ibu muda yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian bayi perempuan dalam pangkuannya, 12 hari lalu, dituduh membunuh bayi berkenaan dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.

Tertuduh, Marsuzana Che Muda, 31, dituduh membunuh Alia Miazara Mohd Azim, 7 bulan di rumahnya di Kampung Gaal Tengah Pasir Puteh, di sini antara jam 4.30 dan 5.30 pagi, 12 Disember lalu.

Tertuduh yang hadir berpakaian lokap ungu itu dilihat tersenyum ketika gambarnya dirakam media semasa dibawa ke mahkamah tersebut tepat jam 11pagi.

Semasa prosiding, tertuduh dikawal ketat polis mahkamah dan kadangkala diperhatikan seolah-olah meracau apabila namanya dipanggil untuk masuk ke kandang pesalah.

Marsuzana dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hamizah Ghazali.

Majistret Nur Zakiyah Shamsudin menetapkan kes ini akan disebut semula pada 25 Januari depan, sementara pihak pendakwaan mendapatkan laporan perubatan dan patologi terhadap tertuduh.

Sebelum itu, pada hari kejadian, polis menahan tertuduh selepas menerima aduan bapanya, Che Muda Salleh, 60, yang dikatakan mendengar jeritan dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku.

Bapa Marsuzana dikatakan melihat anaknya sedang memangku Alia Miazara yang sudah tidak bergerak dan menyambut bayi malang tersebut daripada tertuduh yang sedang menangis dan menjerit.

Bapa tertuduh membawa mangsa ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut, tetapi disahkan meninggal dunia dan polis tidak menolak kemungkinan tertuduh menghadapi kemurungan dan tekanan perasaan.

Ulasan GB

Entahlah, tiba-tiba seorang ibu yang dituduh membunuh bayi boleh tersenyum tatkala gambarnya dirakam media semasa dibawa ke mahkamah.

Alangkan binatang sayang anaknya.... di SINI

[Bergambar] Kebimbangan Di Eropah - Suhu Menusuk Tulang

London - Ramalan-ramalan terbaru mengenai kedatangan hujan salji bakal memanjangkan lagi kekalutan yang berlaku akibat cuaca sejuk itu di Eropah terutamanya di Britain.

Salji yang turun di Eropah itu buat masa ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi Jerman terbantut manakala para pekerja rangkaian penerbangan dan kereta api bertungkus-lumus memastikan perkhidmatan masing-masing kembali normal sejak kelmarin.

Gangguan penerbangan dan perjalanan kereta api berkelajuan tinggi di Eropah dan Britain telah menimbulkan kekecohan dalam kalangan puluhan ribu pengguna yang akan menyambut perayaan Krismas hujung minggu ini.

"Banyak projek pembinaan terpaksa dihentikan dan kunjungan perniagaan dibatalkan. Cuaca buruk ini menjejaskan pertumbuhan sehingga setengah mata bagi suku terakhir tahun ini," kata Ketua Ekonomi Dewan Industri dan Perdagangan DIHK Jerman, Volker Treier.

Namun, pihak pengurusan Lapangan Terbang Heathrow di London menyatakan operasi pengangkutan kembali normal selepas ditutup selama dua hari akibat salji setebal 10 sentimeter.

Penganalisis dari Davy Stockbrokers dan Oddo Securities menganggarkan gangguan akibat salji itu menyebabkan syarikat penerbangan British Airways menanggung kos sehingga AS$15.5 juta (RM48.2 juta) sehari.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt kembali dibuka dan beroperasi pada kapasiti penuh kelmarin selepas ditutup akibat salji.

Keadaan yang sama berlaku di lapangan terbang di Paris yang menyebabkan kira-kira 3,000 penumpang terkandas sebelum ini.

Salji yang tebal itu menyebabkan beberapa perlawanan bola sepak di England turut ditangguhkan. - Agensi


Cuaca buruk di Eropa belum memperlihatkan tanda-tanda akan berakhir. Kondisi ini mengganggu perhubungan.

Kerana penerbangan dibatalkan, penumpang menumpuk di Bandar Frankfurt.

Di Bandar Zaventem, aiport paling sibuk di Belgia petugas Palang Merah membantu para penumpang yang terdampar. Layanan kereta api, jalan darat dan udara mengalami gangguan besar di Belgia dan Belanda.

Daerah Perancis utara juga terkena salji lebat. Dilaporkan telah terjadi sejumlah kecelakaan darat di Perancis akibat salji dan jalan licin.

Paris tertutup salji. Keadaan seperti ini jarang terjadi di ibukota Prancis. Seperempat jumlah penerbangan di Bandara Charles de Gaulle dan Bandara Orly dibatalkan.

Suhu beku juga dirasakan di Italia selatan. Florentina tertutup salji dan aiportnya ditutup. Dalam foto ini, pemain golf Norwegia, Jan-Are Larsen berpura-pura main golf di pinggir Sungai Arno.

Suhu dingin dan saljijuga melanda Britain. Perhubungan mengalami kekacauan, tetapi dua warga London ini memberanikan diri berenang di tengah suhu beku.


PRK Tenang: Penamaan 22 Jan Undi 30 Jan - Bukti SPR Double Standard

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang 30 Jan, Penamaan Calon 22 Jan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor pada 22 Jan depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Jan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor pada 17 Dis lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada hari yang sama.

"Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Sulaiman, 59, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Abdul Aziz berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Beliau berkata terdapat 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pemilih biasa, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).

Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

"Sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi. Seramai 376 petugas akan terlibat dalam pilihan raya kecil ini, " katanya.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Labis Md Asri Amir dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

Abdul Aziz berkata tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akan ditubuhkan, yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan, bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang lapan hari tempoh rasmi berkempen.

Kira-kira RM1.1 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 diadakan, yang telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 juta.


PAS: Kita sedia kenal siapa SPR

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi PRK Dun Tenang, jelas memperlihatkan sikap 'double standard' suruhanjaya itu.

Menurut Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, SPR dilihat tidak konsisten apabila pada PRK Galas 4 November lalu, pengundian dibuat pada hari bukan cuti umum sehingga memaksa kerajaan negeri Kelantan pada waktu itu mengumumkan tarikh itu sebagai cuti peristiwa.

Katanya, apabila berdepan PRK di kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja, sedangkan apabila di kerusi BN, tindakan sebaliknya dilakukan SPR.

"Kita dapat melihat dengan jelas perbezaan ini dan ini bukannya pelik dalam negara kita ini.

"Kita kenal siapa SPR ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

SPR hari ini mengumumkan tarikh PRK Dun Tenang, Johor pada 30 Januari tahun depan manakala penamaan calon pula pada 22 Januari.

Walaupun berdepan situasi itu, Nasharuddin mahu jentera PAS berkerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon PAS yang akan bertanding kelak.

Kepada jentera yang sudah mula menjalankan tugas, beliau mahu semua tenaga kerja yang ada dimobilisasi pada tahap terbaik berdepan Umno BN.

"Bagi kita cuti ke tak cuti ke, kita tetap masuk dengan niat untuk menang dengan memberi tentangan sehebat mungkin kepada lawan kita, BN," katanya lagi.

Beliau juga optimis PAS berpotensi menang apabila pada pilihan raya umum lalu mereka dapat mengurangkan majoriti kepada 2,492 undi berbanding sebelumnya.

"Kejayaan mengurangkan majoriti pada PRU lalu akan menjadi perangsang kepada PAS untuk menambah satu lagi kerusi di Johor nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PAS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu PRK Tenang termasuk soal pemilihan calon. -harakahdaily


Demo Surau Rawang Hanya Provokasi UMNO

Demonstrasi surau hanya provokasi

BANDAR BARU SELAYANG – Demonstrasi bantahan terhadap Surau Al-Hidayah, Kampung Melayu Pekan Rawang yang dikatakan bakal dirobohkan hanyalah provokasi.

Yang Dipertua Pas Kawasan Selayang, Mohamad Abdul Rahman berkata, tujuan demonstrasi pihak tertentu berhubung surau itu, hanya mencari populariti murahan bagi menghasut rakyat membenci dan keliru, kononnya Pakatan Rakyat (PR) tidak prihatin isu agama Islam.

“Rakyat kini semakin cerdik menilai. Pihak berkenaan hanya mahu membuat provokasi dengan menguar-uarkan kepada penduduk Rawang, seolah-olah berlaku kelemahan dan ketidakcekapan Kerajaan Negeri sekarang, menyebabkan satu-satunya tanah orang Melayu di Pekan Rawang jatuh ke tangan syarikat swasta.

“Kita bukan sekadar mempertahankan tanah, tetapi lebih daripada itu kesucian Islam,” katanya selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penasihat Permuafakatan Nazir-Nazir Masjid Selayang berkata, pihaknya menyokong kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Kerajaan Negeri tidak terlibat dengan pelan pembangunan tapak seperti dituduh.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti mereka menghadiri demonstrasi yang majoritinya terdiri pimpinan tertentu termasuk Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sarkom, yang penglibatannya disifatkan tidak wajar.

Katanya, kenyataan semasa demonstrasi menghentam Kerajaan Negeri itu tidak berasas dan memakan diri kerana kini, daripada rakyat tidak tahu menahu, ia sebenarnya memecahkan tembelang pihak terlibat.

“Tanah terlibat dalam projek pembangunan itu sebenarnya dimiliki oleh satu syarikat yang akan menjalankan projek bersama sebuah syarikat swasta. Rekod menunjukkan syarikat yang dimaksudkan bukan lagi anak syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor semenjak 2002 lagi.

“Sebenarnya bukan setakat Surau Al-Hidayah sahaja kita sentuh, tetapi ada beberapa perkara lain berkaitan dengan tanah dan agama Islam di Rawang dan Pas Selayang akan cuba membongkar isu berkaitan,” katanya.

Mohamad berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti termasuk tergadainya sebahagian tanah Masjid Nurul Iman Rawang untuk pembinaan jalan oleh syarikat swasta sama.

Menurutnya, ini termasuk tanah surau dan rizab kubur di Rawang yang sudah digazetkan telah bertukar status, di mana ia dikatakan berlaku semasa pemerintahan Kerajaan Negeri lalu.

“Mungkin tidak ramai tahu sejarah Surau Al-Hidayah di Kg Melayu, Rawang termasuk kronologi surau itu. Oleh itu pihak kami meminta rakyat dan penduduk sekitar Rawang tidak mudah percaya kenyataan dikeluarkan pihak tertentu.

“Mereka yang mahukan maklumat lanjut boleh merujuk Pentadbir Masjid Nurul Iman Rawang sebagai penaung semua surau di dalam pentadbirannya,” katanya.

Mohamad juga menggesa penilaian rakyat sebaiknya kerana sepanjang PR memerintah tidak pernah berlaku lagi perobohan masjid dan surau begitu juga rumah ibadah bangsa agama lain. Katanya, masjid dan surau kini juga sentiasa diimarahkan oleh rakyat, berbeza berbanding masa pemerintahan sebelum ini.

Menurutnya sehubungan itu, pihaknya menyokong Kerajaan Negeri agar polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan lanjut berkenaan isu Surau Al-Hidayah.

“Siasatan ini termasuk dari sudut pengutipan sewa kepada gerai di tapak surau itu dan bayaran yang disalurkan ke tabung surau.

“Insya-Allah kami akan sentiasa memberi kerjasama bersama dengan pihak Kerajaan Negeri untuk memberi keterangan,” katanya.

Dalam demonstrasi 19 Disember lalu, Penasihat Badan Bertindak Surau Al-Hidayah (BBSAH), Datuk Ir Md Nasir Ibrahim mempertikaikan tapak surau yang juga rizab masjid terbabit didakwa dipecahkan kepada lapan lot, manakala lima daripadanya dikatakan sudah ada pembeli. -SH

Kumpulan Syed Mokhtar Kuasai Pelabuhan Pulau Pinang

Syed Mokhtar luaskan rangkaian, kuasai Pelabuhan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Tokoh perniagaan berpengaruh, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang rapat dengan pentadbiran Najib berjaya dalam “rebutan” memiliki Penang Port Sdn Bhd (PPSB), sekali gus menjadikan pelabuhan utara itu menjadi entiti baru dalam operasi logistik maritimnya.

The Malaysian Insider difahamkan Kabinet telah meluluskan penjualan PPSB pada mesyuarat mingguannya minggu ini meskipun menerima bidaan berdaya saing daripada ahli-ahli perniagaan utama yang lain dan juga kerajaan Pulau Pinang sendiri, pemilik tanah pelabuhan itu.

“Kabinet telah memutuskan keputusan yang memihak Syed Mokhtar,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Syarikat Syed Mokhtar akan membeli pengendali pelabuhan dan juga perkhidmatan feri antara George Town dan Butterworth.

Bagaimanapun tidak pasti harga yang kerajaan pusat bersetuju tetapi sumber memberitahu bahawa ia akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Tokoh perniagaan berpengaruh ini sudah pun memiliki Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor menerusi MMC Corp Bhd, di mana kerjasama dengan Gamuda Bhd juga dinamakan sebagai Project Delivery Partner bagi pembangunan MRT RM36 bilion di Kuala Lumpur.

Awal bulan ini, The Malaysian Insider melaporkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang juga menunjukkan minat mahu mengambil alih PPSB daripada Putrajaya, yang dilaporkan menerima beberapa tawaran menguasai pelabuhan utara Semenanjung ini yang mempamerkan keuntungan sejak kebelakangan ini.

The Malaysian Insider difahamkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mengemukakan bidaan kepada pemilik PPSB — Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Selain Syed Mokhtar, turut menunjukkan minat ialah Datuk Siew Ka Wai, yang juga rapat dengan pentadbiran Najib.

PPSB memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM77.74 juta pada tahun lalu, meningkat daripada RM22.70 juta yang dicapai pada 2008 meskipun pulangan merosot kepada RM268.54 juta berbanding RM277.04 juta pada 2008.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Lim pula merupakan pesaing kepada kerajaan pusat Barisan Nasional (BN), yang baru-baru ini melantik Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai pengerusi badan kawal selia pelabuhan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC).

PPC mengeluarkan lesen kepada PPSB untuk mengendalikan pelabuhan itu yang diswastakan pada 1 Januari 1994 iaitu ketika Pulau Pinang ditadbir oleh BN.

Kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri berubah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Sumber-sumber memberitahu bahawa Syed Mokhtar menjadi pilihan kerana syarikatnya sudah pun menguruskan beberapa pelabuhan dan lapangan terbang meskipun Siew berminat untuk membeli PPSB menerusi Ancom Logistics Bhd, yang pengerusinya ialah Datuk Abdul Latif Abdullah, yang pernah menjadi pengerusi PPSB.

Sumber-sumber kerajaan negeri sebelum ini pernah memberitahu bahawa Lim mampu membawa sejumlah ahli perniagaan dan pakar untuk menguruskan PPSB yang kini memerlukan dana bagi mendalamkan saluran pelabuhan itu dan memodenkan dermaga.

Rakan-rakan Lim dari DAP memberitahu Parlimen pada 24 November lalu bahawa Putrajaya seharusnya tampil menjelaskan sama ada Syed Mokhtar telah membeli pengurusan PPSB, yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin Umno, antaranya Pengerusi PPSB Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dan pengarah urusannya Datuk Ahmad Ibnuhajar.

Konglomerat Syed Mokhtar diberikan lesen penyedia rangkaian 4G baru-baru ini manakala satu lagi subsidiarinya berminat untuk mendapatkan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua mengemukakan persoalan di Dewan Rakyat bulan lalu berhubung pengambilalihan PPSB oleh Syed Mokhtar dan menuntut penjelasan sepenuhnya daripada kerajaan mengenai proses penswastaan.

Wakil rakyat Petaling Jaya Utara ini menekankan bahawa operasi pelabuhan itu diselubungi salah guna dan penyelewengan sebagaimana disebutkan oleh Laporan Audit Negara 2009 dan akan disiasat oleh oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara dalam dua minggu ini.

Dengan merujuk kepada laporan spekulatif Business Times Singapura Oktober lalu, Pua berkata, jika pengambilalihan menjadi kenyataan, ia akan menjadi satu lagi tindakan bertentangan dengan banyak janji kerajaan yang mahu bertindak telus dan penuh akauntabiliti, yang dijanjikan oleh Model Baru Ekonomi (MBE) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pua juga menggambarkan langkah itu sebagai satu lagi proses penswastaan “ala-Dr Mahathir” dan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengadakan tender terbuka bagi pembida terbaik membangunkan pelabuhan tersebut. -TMI

Sorokkan Kes Menteri Rogol Amah - Pak Lah Boleh Dikenakan Tindakan

WikiLeaks: Abdullah gagal bertindak kejadian rogol melibatkan menterinya?

PETALING JAYA: Pendedahan WikiLeaks berhubung kejadian rogol terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia yang melibatkan seorang Menteri Kabinet era mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dilihat mampu menggugat hubungan Malaysia-Indonesia dan menjejaskan imej negara.

"Walaupun laporan WikiLeaks ini boleh diragui kesahihannya, namun sekiranya kejadian rogol ini benar-benar berlaku, ia akan memberi imej buruk kepada negara sekaligus mengugat hubungan Malaysia-Indonesia.

"Tambahan pula semenjak kebelakangan ini, begitu banyak kejadian-kejadian yang menyebabkan perselisihan faham rakyat antara kedua-dua negara berjiran ini," demikian menurut Naib Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang telah mencipta sejarah sebagai satu-satunya tokoh wanita negara ini yang menduduki kerusi Timbalan Speaker turut memberitahu FMT, kejadian seperti ini haruslah ditangani dengan telus.

"Saya bukan mengulas tentang laporan ini tetapi secara umumnya, kita tidak boleh mengamalkan budaya yang membezakan layanan undang-undang terhadap orang kenamaan dan rakyat biasa.

"Walau siapa pun yang dituduh, ia perlu menjalani proses perundangan yang sama seperti orang lain dengan telus. Apatah lagi jika membabitkan seorang pemimpin yang mendapat kepercayaan rakyat untuk memimpin dan merupakan pemimpin di peringkat pembuat dasar," katanya lagi.

"Undang-undang sama untuk semua. Kalau tidak bagaimana kita hendak memastikan orang yang berpengaruh dan ada kedudukan ini lebih bertanggungjawab sekiranya mereka mendapat layanan yang istimewa apabila mereka melanggar undang-undang," katanya lagi.

Beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya kejadian seumpama ini dan tindakan undang-undang haruslah diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan dan pihak yang melindungi perbuatan seperti ini.

Penganiayaan terhadap wanita

"Kalaulah laporan WikiLeaks ini sahih, saya mengutuk sekeras-kerasnya dan tindakan undang-undang harus diambil terhadap sebarang kejadian penganiayaan terhadap wanita lebih-lebih lagi jenayah rogol dan termasuklah yang melindunginya," ujar beliau.

Sebelum ini dalam satu laporan blog Rocky Bru yang nama sebenarnya Ahirudin Atan hari ini menyiarkan pendedahan WikiLeaks bahawa salah seorang menteri ketika era Abdullah menerajui pentadbiran kerajaan telah merogol seorang pembantu rumah warganegara Indonesia.

Menurutnya, kejadian tersebut turut diketahui oleh Abdullah sendiri, namun tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap menteri tersebut.

Bagaimanapun menurut blog itu lagi, menteri terbabit hanya digugurkan sebagai menteri dalam satu rombakan kabinet yang dibuat oleh Abdullah tidak berapa lama selepas beliau mengetahui berita itu.

Beliau turut mencatatkan, pada masa ini menteri tersebut kembali aktif dari persaraannya apabila dilantik semula sebagai pengerusi sebuah badan kerajaan yang baru dibentuk pula.

Rocky Bru yang juga terkenal sebagai blogger proUmno juga menjelaskan, cerita tersebut telah sampai ke pengetahuannya semenjak tiga tahun lalu namun hanya dapat disahkan apabila pendedahan dibuat oleh WikiLeaks baru-baru ini.

Susulan peristiwa yang berlaku pada tahun 2007 ini, ketika mangsa ditemuramah di kampungnya di Jawa Tengah pada Julai tahun yang sama, mangsa telah membuat pengakuan terhadap kejadian itu.

Akhirnya laporan kejadian yang berlaku ketika tempoh perkhidmatan mangsa tersebut bersama bekas menteri terbabit menjangkau lapan tahun telah dibuat dan diserahkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat, Indonesia dan juga Pejabat PM sendiri.

Menurut sebuah badan NGO pula, kejadian yang menimpa amah yang mempunyai dua orang anak itu turut diketahui oleh suaminya tetapi disebabkan perasaan takut dan malu, tiada usaha yang serius dijalankan untuk mendakwa menteri terbabit. -FMT


Menteri rogol amah tetapi selamat

KUALA LUMPUR, 23 Dis: WikiLeaks bukan sahaja menyusahkan ahli politik yang masih aktif bahkan juga bakal menyusahkan mereka yang dikira telah bersara dari politik.

Pemimpin sebuah akhbar pro Umno, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan (gambar), menyiarkan pendedahan WikiLeaks bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengetahui salah seorang menterinya telah merogol seorang amah warga Indonesianya.

Namun, tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil ke atas menteri berkenaan.

Menteri berkenaan bagaimanapun selepas itu digugurkan sebagai menteri apabila perubahan kabinet dibuat.

Menurut Rocky Bru, beliau telah mendengar cerita rogol oleh menteri kebinet ini sejak tiga tahun lalu tetapi ia tidak dapat disahkan sehinggalah ia didedah oleh WikiLeaks berdasarkan dokumen yang bocor ini.

Peristiwa itu berlaku di Kuala Lumpur pada tahun 2007. Pada Julai 2007, mangsa yang ditemuramah di kampungnya dekat Jawa Tengah, Indonesia telah membuat pengakuan itu.

Laporan itu kemudiannya telah dihantar kepada kedutaan Amerika, Indonesia dan juga kepada pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Amah yang mempunyai dua anak dan suami itu telah bekerja di rumah menteri berkenaan lapan tahun ketika peristiwa itu berlaku.

Menurut laporan dari sebuah NGO itu, suami amah itu tahu peristiwa ini namun tidak diketahui oleh anak-anaknya.

Namun oleh kerana malu dan takut, usaha untuk mendakwa menteri berkenaan tidak berjaya. -harakahdaily


Anak Kambing Berwajah Anjing Bulldog

Anak kambing berwajah anjing

MOHD NASIR menunjukkan anak kambing berwajah pelik dan menyerupai anjing 'bulldog' di Kampung Serkam, Melaka. Kaki pula menyerupai khinzir

JASIN: Seorang penternak kambing di Kampung Serkam, Serkam, dekat sini, terkejut mendapati seekor daripada empat kambing betina peliharaannya melahirkan seekor anak berwajah pelik mirip anjing serta bersaiz luar biasa

Mohd Nasir Hashim, 49, berkata, kambing betina digelar Mak Itam itu melahirkan anaknya dianggarkan seberat enam kilogram bersama seekor lagi, antara jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, semalam.

Bagaimanapun, kedua-dua anak kambing terbabit mati sejurus dilahirkan.

Ketika ditemui, Mohd Nasir berkata, pada kira-kira jam 10.45 pagi, beliau meminta anaknya, Mohd Shahir dan Aizuddin ke kandang kambing untuk melihat keadaan Mak Itam yang dijangka beranak, semalam.

Katanya, apabila tiba di kandang itu, Mohd Shahir mendapati kambing berkenaan kesakitan dan sukar untuk melahirkan anak.

Saya bersama Mohd Shahir dan Aizuddin mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan anak kambing berkenaan yang dipercayai tersekat kerana saiz badannya yang besar.

Selepas berjaya dikeluarkan, saya terkejut melihat wajah dan saiznya tidak seperti kambing lain, manakala kakinya menyerupai kaki khinzir. Sejam selepas itu, seekor lagi anak kambing yang normal dilahirkan tetapi kedua-duanya mati tidak lama kemudian, katanya.

Mohd Nasir berkata, kejadian itu kali pertama berlaku sejak beliau mula menjalankan ternakan kambing dan lembu di belakang rumahnya.

Ini kejadian pelik dan saya bersyukur diberi peluang melihat keadaan yang membuktikan kebesaran Allah ini, katanya. -BH

[Bergambar] Anak Dan Ibu Terbunuh Sekembali Dari Ambil Keputusan PMR

Dua Beranak Terbunuh Sekembali Dari Mengambil Keputusan PMR

Gambar: Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa mayat Siti Aishah Zakaria,15, selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Krai-Kota Baharu di Pekan Kok Lanas, hari ini.

KOTA BAHARU: Kegembiraan Siti Aishah Zakaria bertukar tragedi sekelip mata apabila beliau dan ibunya maut ketika pulang mengambil keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) setelah terlibat dalam kemalangan Jalan Kuala Krai-Kota Baharu, di Pekan Kok Lanas, Khamis.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Siti Aishah, 15, dan ibunya, Azizah Musa,42, menaiki motosikal dan berhenti di lampu isyarat, telah dilanggar dengan sebuah lori muatan batu pasir dari simpang kanan, yang gagal keluar simpang jalan lalu terbabas serta melanggar lampu isyarat dan mangsa.

Jurucakap Polis Daerah Kota Baharu berkata, akibat hilang kawalan itu juga, lori berkenaan turut terlanggar tiga buah kenderaan lain, yang berhenti di lampu isyarat dan berada di belakang motosikal mangsa, sebelum lori itu terbalik.

"Dalam pelanggaran itu, Siti Aishah telah diseret oleh lori berkenaan dan tersepit di bawah lori itu apabila ia terbalik, manakala Azizah tercampak dari motosikalnya. Kedua-dua mereka mati di tempat kejadian akibat kecederaan di seluruh anggota badan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Jurucakap polis itu berkata kesemua mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu, termasuk pemandu lori hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik kesihatan berhampiran.

Ayah Aishah, Zakaria Muhamad, 43, pesara tentera berkata, anak dan isterinyabaru keluar tiga kilometer dari Sekolah Menengah Maahad Shamsul Maarif sebelumterlibat dalam kemalangan itu.

Beliau berkata, ketika kejadian itu berlaku, beliau berada di dalam KemTentera Desa Pahlawan berniaga sebagai pembekal pakaian seragam sukan dan guruanaknya memaklumkan bahawa Siti Aishah telah memperoleh keputusan 4A, 4B dan 1Cdalam PMR.

Katanya, beliau hanya menyedari kejadian itu daripada rakannya melalui telefon pada pukul 1.15 tengah hari dan berkejar ke tempat kejadian.

“Setiba di tempat kejadian saya mendapati mayat isteri saya sudah diangkat manakala mayat anak saya masih berada di bawah tayar lori yang terbalik dan sedang diangkat oleh pasukan penyelamat,” katanya yang kini menjadi pembekal pakaian seragam sukan di Kem Tentera Desa Pahlawan, tidak jauh dari situ.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat. - BERNAMA









[Bergambar] MOTIVASI - Kita Juga Boleh!

Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalannya.

Saksikan sendiri foto-foto yang dirakam dari pelbagai bahagian dunia ini. Ada yang mungkin menjadikan kita kebingungan, benda yang mustahil diusahakan supaya bertukar menjadi "mungkin" ataupun "boleh".

Justeru jangan mengalah, terus berfikir bagaimana mencipta kejayaan di dalam ruang yang sempit dan kekurangan. Jika mereka boleh mengapa tidak kita? Hanya si pemalas bekerja dan si dungu tak berfikir yang akan memberikan banyak alasan dan dalih. Moralnya: Kita akan berjaya ke Putrajaya jika kita kata KITA BOLEH!


















JIKA ANDA FIKIRKAN ANDA TEWAS, ANDA AKAN TEWAS
JIKA ANDA FIKIRKAN ANDA TIDAK BOLEH,
SEMEMANGNYA ANDA TIDAK AKAN BOLEH
JIKA ANDA INGINKAN KEJAYAAN
TETAPI ANDA MEMIKIRKAN TIDAK BOLEH MENCAPAINYA,
SUDAH PASTI ANDA TIDAK AKAN MENCAPAINYA.

JIKA ANDA FIKIRKAN ANDA AKAN DIKALAHKAN,
SEBENARNYA ANDA TELAH PUN KALAH
KERANA DI DALAM DUNIA INI
KITA SAKSIKAN BAHAWA:
KEJAYAAN ITU BERMULA DARI SEBUAH KEAZAMAN
DAN IA BERTITIK-TOLAK DI DALAM FIKIRAN KITA SENDIRI


JIKA ANDA FIKIRKAN ANDA TELAH DISISIHKAN,
ANDA TELAH PUN TERSISIH,
ANDA PERLU BERFIKIRAN TINGGI UNTUK SAMPAI KE PUNCAK,
ANDA PERLU YAKIN KEPADA DIRI ANDA SENDIRI
SEBELUM ANDA MAMPU MERAIH SEBARANG KEJAYAAN.

KEJAYAAN PULA TIDAK SELALU DIMILIKI
HANYA OLEH MEREKA YANG TERKUAT ATAU TERPANTAS
KERANA LAMBAT LAUN,
MEREKA YANG BERJAYA IALAH:
MEREKA YANG MEMIKIRKAN DAN MENYATAKAN
DENGAN PENUH YAKIN BAHAWA:
SAYA BOLEH