5 Ogo 2013

[VIDEO] Pemenang Nobel Keamanan, Tawakul Karman Dihalang Masuk Mesir


Pihak berkuasa Mesir menyekat pemenang hadiah Nobel Keamanan dari Yaman, Tawakul Karman - penyokong presiden Mohamed Mursi yang digulingkan - daripada memasuki negara itu pada Ahad.

Beliau juga dihantar pulang melalui penerbangan ke Dubai, menurut sumber keselamatan.

Agensi berita nasional Mena melaporkan, Karman yang sebelum ini mengumumkan solidariti bersama penyokong Mursi termasuk dalam senarai yang dilarang memasuki Mesir.

Jurucakap Ikhwanul Muslimin berkata, Karan sebelum ini pernah menyertai tunjuk perasaan di Kaherah bagi menuntut presiden yang digulingkan tentera sebulan lalu dikembalikan ke tampuk kekuasaan.

Menurut Tiwtter Karman pada Ahad, penulis dan aktivis itu ditahan di lapangan terbang Kaherah dan dilarang menyertai perhimpunan.

Beliau dihantar kembali ke kapal terbang yang sama membawanya masuk, menurut sumber.

Tindakan itu dikritik Ikhwan dan menyifatkan langkah ini mirip amalam semasa pemerintahan autokrat Hosni Mubarak.

"Kerajaan nampaknya mengamalkan semula amalan keselamatan negara Mubarak," kata Yasser Ali, seorang pemimpin Ikhwan dan bekas jurucakap presiden.

Karman, 34, ibu kepada tiga anak, merupakan simbol penting dalam kebangkitan Yaman 2011.

Beliau wanita pertama Arab yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan.

Karman juga digelar, "Wanita Besi" dan "Ibu Revolusi".

Anggota parti Islam besar di Yemen, Islah, Karman menyifatkan penggulingan Mursi sebagai "rampasan kuasa" dan "tamparan kepada demokrasi".


Remaja Bawah Umur Tawar Khidmat Seks RM20

Melaka: Harga yang ditawarkan untuk enam pelacur kanak-kanak hanyalah RM20 bagi setiap sesi berserta pil psikotropik untuk menjadikan mereka khayal.

Keenam-enam mereka yang semuanya berusia di bawah 14 tahun, telah ditahan ketika operasi anti-narkotik dijalankan oleh beberapa agensi penguatkuasaan.

Apabila ditanya, mereka mengaku secara rela menjual diri mereka untuk khidmat seks bagi mendapatkan bekalan dadah mereka.

Pihak berkuasa mendapati sukar untuk mendakwa mereka yang mengadakan hubungan seks dengan gadis-gadis bawah umur ini kerana identiti 'pelanggan' tidak diketahui.

"Dan, anak-anak gadis ini enggan memeberitahu nama mereka," kata Pengerusi Pembangunan Keluarga, Wanita dan Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar.

Beliau percaya terdapat banyak lagi gadis-gadis yang bersedia untuk dieksploitasi secara seksual kerana mereka mengalami ketagihan dadah.

"Kita bimbang. Pelacur remaja amat terdedah kepada HIV kerana kekurangan pengetahuan atau akses kepada kaedah pencegahan," katanya.

Latipah berkata polis baru-baru ini menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang telah memaksa teman wanita berusia 13 tahun dari Merlimau terlibat dalam kancah perdagangan seks.

Bapa gadis yang melarikan diri dari rumah itu telah menyerbu masuk ke dalam sebuah rumah di Peringgit Pantai pada 26 Julai lalu selepas menerima maklumat bahawa anaknya dipaksa melayan lelaki lain oleh teman lelakinya yang merupakan penagih dadah.

"Gadis itu berkata, dia juga terbabit dengan dadah dan menerima RM20 untuk setiap sesi seks daripada teman lelakinya," kata Latipah.

Siasatan polis mendapati gadis itu telah diminta untuk melayan pelanggan di hotel dan juga di rumah sejak Jun.

Latipah berkata remaja-remaja perempuan itu sedang menjalani pemulihan.

Sumber berkata beberapa pelacur kanak-kanak juga telah melancarkan perniagaan mereka secara bersendirian yang mana 'hasilnya' tidak perlu dikongsi dengan orang tengah dan bapa ayam.

"Mereka menawarkan perkhidmatan mereka melalui media sosial," kata satu sumber.

"Kebanyakan mereka menyewa rumah secara kumpulan untuk melayan pelanggan mereka," katanya.

"Ada juga yang melakukannya di lorong-lorong belakang." -mstar

Kes Tembak Berjangkit Ke Sabah, Seorang Ahli Perniagaan Terbunuh

Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan berusia 44 tahun terbunuh dalam kejadian tembak dari dalam kereta ketika berjalan keluar dari sebuah kedai kopi India Muslim di kompleks komersial Beverly Hills, di Penampang kira-kira pukul 10.15 malam Sabtu.

Lelaki itu dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth oleh sebuah kereta peronda polis, tetapi disahkan meninggal dunia lewat malam Ahad.

Polis masih belum mendedahkan identiti ahli perniagaan itu, yang dikatakan baru sahaja meninggalkan kedai kopi selepas minum dengan beberapa rakan.

Sebaik sahaja beliau meninggalkan kedai kopi itu, seorang lelaki yang tidak dikenali yang sedang menunggu di dalam kereta menembak di bahagian perut dan segera memecut.

Polis peronda yang berada berdekatan kawasan mendengar tembakan dan segera tiba ke tempat kejadian, membawa lelaki itu ke hospital.

Pihak polis segera mengadakan sekatan jalan raya di seluruh bandar dalam usaha untuk menangkap penyerang.

Difahamkan, polis juga merekodkan kenyataan daripada rakan-rakan ahli perniagaan itu. -mstar

Mujur UMNO BN Gagal Rampas Selangor Pada PRU13 Yang Lalu....


Rezab Selangor Hampir Cecah RM3 Bilion

Laporan kewangan terkini dari Jabatan Perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan rezab Kerajaan Negeri Selangor terus meningkat dari RM2.7 bilion sebelum ini kepada hampir mencecah RM3 bilion.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, wang rezab itu kemudiannya akan diuruskan mengikut satu garis panduan yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2014 pada bulan November akan datang.

“Dalam Belanjawan November nanti kita akan terangkan bagaimana kita mentadbirkan rezab negeri, bagaimana penggunaannya jika perlu.

“Hanya lima tahun lepas kita asyik sibuk memastikan simpanan kita terkumpul, baru kali ini kita dah ada simpanan terkumpul dan sekarang kita boleh buat beberapa program menggunakannya dengan lebih tertib dan lebih efisyen,” kata Abdul Khalid .

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Shopping Bantuan Raya di Pasaraya Besar Econsave, Pandamaran di sini.

Ujar, Abdul Khalid memberitahu pada ketika ini Kerajaan Negeri tidak menetapkan sasaran jumlah tertentu yang perlu ada dalam rezab Kerajaan Negeri.

Sebaliknya menurut beliau, jumlah rezab tersebut bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.

“Terpulang pada keadaan ekonomi negeri, kalau ekonomi meningkat, hasil negeri meningkat dan tentulah simpanan negeri dipertingkatkan.

“Ekonomi ini ada turun naik, kalau ekonomi turun kita boleh gunakan rezab ini untuk menolong Kerajaan Negeri dalam pentadbiran,” ujar Abdul Khalid lagi. -selangorku

ULASAN GB

Mujur sangat UMNO BN Selangor di bawah pimpinan Najib gagal untuk merampas Selangor di dalam PRU13 yang lalu. Jika tidak, habis dikitainya dan lunyailah wang rezab Selangor yang 3 billion itu.

Apa yang GB tertarik ialah kenyataan MB Selangor: "Ekonomi ini ada turun naik, kalau ekonomi turun kita boleh gunakan rezab ini untuk menolong Kerajaan Negeri dalam pentadbiran".

Ini adalah perbelanjaan berhemah seperti dianjurkan oleh al-Quran surah Yusuf ayat 43 hingga 49. Apa yang dapat kita faham daripada cerita al-Quran ini ialah seluruh rakyat sesebuah negeri itu perlu sedar dan sentiasa siap sedia untuk melalui masa gawat dan kesempitan. Mereka hendaklah sanggup merobah sikap untuk berjimat cermat atau berhemah dalam perbelanjaan setiap masa supaya dapat mengharungi sebarang ujian dan dugaan dalam kehidupan ini dengan penuh keselesaan.

Firman Allah yang bermaksud: Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: `Sesungguhnya aku mimpi melihat; tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir), terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang-orang yang pandai mentakbirkan mimpi’.

Mereka menjawab: `Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi (yang sedemikian) itu’. Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu teringat (akan pesanan Yusuf) sesudah berlaku sesuatu masa yang lanjut: `Aku akan memberitahu kepada kamu takbirnya. Oleh itu hantarlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui takbirnya)’. (Setelah dia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah dia); “Yusuf, wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Takbirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): Tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (takbirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui takbirnya’.

Yusuf menjawab: `Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan’. `Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)’.

`Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)’(surah Yusuf ayat 43 hingga 49).

Nabi Yusuf dapat mengetahui apa yang akan berlaku dengan ilham dan wahyu Tuhannya tetapi kita sekalipun tidak tahu tetapi kalau kita semua dapat membuat persediaan sepanjang masa, tentulah sesuatu keadaan itu dapat diatasi sebaik-baiknya.

Allah menjelaskan bahawa orang yang boros itu adalah saudara syaitan. Tabiat membazir amatlah dibenci Allah dan sebaliknya amat disukai syaitan, sedangkan syaitan itu menjanjikan kekafiran. Oleh itu hendaklah kita bersederhana dalam setiap perbelanjaan seharian.

Islam mengeji perbuatan boros sebaliknya menggalakkan sifat berhemah. Dalam al-Quran Allah menyebutkan yang maksudnya, Dan orang-orang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebih, dan tidak pula kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian – (surah al-Furqan ayat 67).

Oleh kerana itu Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk mengambil sifat di antara kedua-dua sifat tadi iaitu berlaku hemah dalam mengeluarkan harta atau perbelanjaan. Hemah bererti tidak cenderung kepada kekikiran dan tidak pula kepada pemborosan atau pembaziran. Tegahan dan larangan bersifat boros juga sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, maksudnya: Sesiapa yang berjimat cermat, tentu Allah memberikan kekayaan kepadanya. Dan sesiapa yang boros, tentu Allah menjadikannya miskin. Dan sesiapa yang merendah diri, tentu Allah akan mengangkat (darjatnya) dan sesiapa yang bongkak atau sombong nescaya Allah akan memutuskannya (memusuhinya).

Islam menggalakkan sifat sederhana dalam perbelanjaan dan penggunaan.