1 Sep 2013

Najib Masih Dijajah Jika Takut Bersuara Isu Di Mesir, Syria


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diibaratkan masih lagi dijajah sekiranya tidak bersuara terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam, khususnya di Mesir dan Syria, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata, ia ekoran sikap Najib yang dilihat tidak tegas dalam menyatakan pendirian, termasuk isu penindasan membabitkan umat Islam di Palestin.

“Sehingga ini Perdana Menteri masih tidak berani untuk menyatakan pendirian tegas mengenai kezaliman yang berlaku walaupun telah beberapa kali didesak untuk berbuat demikian.

“Apakah setelah Amerika menyatakan pendirian mereka, baru Malaysia mahu menyokong. Ini tindakan yang tidak betul. Malaysia mesti berpendirian dan berprinsip tanpa menanti keputusan Amerika.

“Sekiranya ini pun Najib tidak berani, negara bukan saja mempunyai pemimpin yang tidak merdeka pemikiran mereka, tetapi masih lagi terjajah dan tidak bebas,” tegasnya ketika berucap di Taman Seri Wang, Sungei Petani semasa sambutan Ambang Merdeka dan majlis Rumah Terbuka KEADILAN Kedah, 30 Ogos lalu.

Amerika Syarikat baru-baru ini mengumumkan akan melakukan serangan terhadap Syria yang dipimpin diktator Bashar Al Assad ekoran dakwaan penggunaan senjata kimia yang menyebabkan lebih 600 rakyatnya terbunuh.

Pada masa sama, krisis di Mesir bagaikan tidak berkesudahan menyaksikan ribuan rakyatnya terkorban selepas junta tentera merampas kuasa daripada presiden yang sah dipilih oleh rakyat, Mohammad Morsi.

Dalam pada itu, Anwar turut meminta umat Islam yang cintakan keamanan supaya menghadiri Himpunan Solidariti Ummah pada 6 September ini di Stadium Shah Alam, Selangor.

“Kita mesti buktikan dengan pendirian yang tegas menentang kezaliman dan kerakusan kuasa yang berlaku seperti di Mesir, Syria dan Palestin,” tegas beliau.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato Mohd Rashid Hasnon serta pimpinan Pakatan Rakyat negeri Kedah dan Pulau Pinang. -KD

[VIDEO] GRO Berbaju Kurung Ke Pesta Arak Merdeka


Sambutan ambang merdeka yang sepatutnya berlangsung dengan penuh kesyukuran dicemari pesta minuman keras oleh pengunjung beragama Islam di sebuah kelab hiburan di Jalan Sultan Sulaiman, di sini.

Lebih memalukan apabila ia berlangsung dalam keadaan pengunjung wanita berpakaian baju kurung dan kebaya dipercayai sempena tema ‘rumah terbuka Aidilfitri’ anjuran kelab berkenaan.

Ketika serbuan dijalankan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), kira-kira jam 2 pagi itu, rata-rata pengunjung sedang asyik berhibur bersama ‘bintang-bintang’ ternama dalam kalangan pengunjung tetap kelab berkenaan, yang menyertai pertandingan karaoke di situ.

Pada awalnya, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu berlangsung aman, bagaimanapun beberapa pengunjung gagal memberi kerjasama membuatkan pihak penguat kuasa Jawi terpaksa mengambil masa lebih dua jam sebelum dapat menyelesaikan ketegangan yang berlaku.

Beberapa petugas media juga menjadi ‘mangsa’ sasaran pengawal kelab yang bertindak mengarahkan semua rakaman dipadamkan sambil mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Operasi Jawi, Mohamad Rais Rasid berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 30 pengunjung yang disyaki meminum minuman keras, ditahan untuk siasatan lanjut manakala 20 lagi diberi notis perintah hadir kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

“Setiap tahun kita laksanakannya tetapi kali ini agak mencabar kerana membabitkan pengunjung yang terlalu ramai dalam kalangan Melayu Islam dan itu amat menyedihkan kerana tempat ini tidak sesuai untuk sambut merdeka. Ada hidang arak serta pencampuran lelaki dan perempuan,” katanya selepas operasi berkenaan.

Operasi bermula jam 12 tengah malam itu berakhir kira-kira jam 4 pagi melibatkan 71 anggota penguat kuasa Jawi dan juga polis.

Mohamad Rais berkata, siasatan turut dijalankan ke atas penjual arak yang mana jika sabit salah boleh membawa didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, dalam operasi sama, dua remaja berusia 20 tahun ditahan kerana berkhalwat hasil serbuan ke atas sebuah hotel bajet di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.

Pihak penguat kuasa Jawi terpaksa menunggu kira-kira empat minit sebelum pintu dibuka dan mendapati remaja perempuan itu cuba menyembunyikan diri dalam tandas bilik hotel dalam keadaan separuh bogel.

Kedua-duanya dibawa ke Jawi sebelum diikat jamin dan kes disiasat mengikut seksyen 27 kerana berkhalwat dan jika sabit salah denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. -SH


[BERGAMBAR] Parlimen Britain Tolak Serang Syria Seiring Demonstrasi Rakyatnya


London: Perdana Menteri Britain, Encik David Cameron, kelmarin gagal dalam undian terhadap usul yang dibentangkan di Parlimen bagi menyertai rakan sekutunya untuk menyerang Syria.

Seramai 285 Anggota Parlimen (AP) menentang sementara 272 undi menyokong usul ketenteraan sebagai tindak balas ke atas tindakan rejim negara itu menggunakan senjata kimia.

Undian Parlimen Britain itu melambangkan pandangan rakyatnya yang sudah serik dengan sebarang penglibatan ketenteraan di luar negara selepas penglibatan berlarutan tentera mereka di Iraq sebelum ini.

Encik Cameron berkata meskipun beliau percaya senjata kimia memang digunakan di Syria pada minggu lalu, beliau tetap menghormati keputusan Parlimen Britain.

Apabila ditanya oleh pemimpin Parti Buruh, Encik Ed Miliband, jika beliau berjanji tidak membelakangkan kehendak Parlimen, Encik Cameron berkata:

"Saya boleh berikan jaminan. Saya memang berpegang kuat pada pendirian mengenai perlunya respons tegas ekoran penggunaan senjata kimia tetapi saya juga percaya perlunya menghormati kehendak Dewan Parlimen," katanya.

Awal minggu ini, Encik Cameron dilihat bersedia menyertai Washington untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap rejim Presiden Bashar al-Assad berhubung penggunaan senjata kimia.

Kelmarin, Encik Assad berikrar negaranya akan terus mempertahankan diri bagi menentang sebarang serangan Barat.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Chuck Hagel, yang berada di Manila semalam, berkata sebarang keputusan yang bakal diambil oleh Presiden Barack Obama dan pentadbirannya akan berdasarkan rundingan dengan negara-negara sekutu lain.

"Pendekatan kami ialah mencari pakatan antarabangsa yang akan bertindak bersama-sama," kata Encik Hagel.

Menurutnya lagi, Washington menghormati pendirian Parlimen Britain yang menolak penglibatan dalam sebarang serangan ke atas Syria.

"Setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk membuat keputusannya sendiri. Kami akan terus berbincang dengan Britain serta negara-negara sekutu yang lain. Perbincangan itu akan melibatkan apa langkah selanjutnya yang harus diambil bersama sebagai respons kepada serangan kimia di Syria," katanya.

Kelmarin, para pegawai pentadbiran Amerika bagaimanapun akur pihaknya tidak cukup maklumat untuk membuktikan bahawa Encik Assad yang secara peribadi mengarahkan penggunaan senjata kimia.

Beberapa negara sekutu Amerika sebelum ini telah memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan tanpa kebenaran Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya akan memburukkan keadaan di Syria. - AP, AFP, Reuters.

Seorang Kakitangan Awam Maut Terjun Hotel


Selayang: Seorang kakitangan awam terbunuh selepas terjun dari tingkat dua sebuah hotel di Selayang Point, di sini, selepas premis berkenaan diserbu anggota penguat kuasa dalam Op Zina, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, mangsa yang berusia 43 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang hotel selepas panik dengan kehadiran pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan ke biliknya.

Operasi diketuai penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu turut dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sempena malam ambang kemerdekaan.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa yang panik dengan kehadiran anggota penguat kuasa nekad terjun dari tingkat dua hotel.

“Ketika serbuan, mangsa dipercayai berdua-duaan bersama teman wanitanya di bilik hotel. Akibat terjatuh dari ketinggian itu, mangsa cedera parah di kepala,” katanya. -HM

Pemerintah Mesir Mengganas: Tangkap Empat Wartawan Al Jazeera

Empat orang wartawan dari stesyen television Al Jazeera yang berpejabat di Qatar diberitakan telahditahan di Ibu Kota Mesir, Kaherah. Penangkapan mereka difahamakan akibat pemerintah Mesir mulai kurang senang dengan pemberitaan waratawan yang dilihat tidak memihak pemerintah Mesir.

Keempat orang diketahui adalah koresponden Wayne Hay, juru kamera Adil Bradlow dan dua orang produser Russ Finn dan Baher Mohammed. Mereka ditangkap pada Selasa 26 Ogos 2013, tetapi pihak Al Jazeera menyatakan, penangkapan berlangsung pada Rabu 27 Ogos 2013.

Menegenai penangkapan staf Al jazeera pihak berkuasa menjamin keselamatan juga kesihatan seluruh jurnalis. Pada akhirnya pemerinta Mesir memenuhi permintaan pembebasan para jurnalis. Demikian diberitakan The Guardian, Jumaat (30/8/2013).

Penangkapan keempat jurnalis ini dilakukan hanya seminggu setelah penyerbuan dan penangkapan staf jaringan television Al Jazeera di Mesir, Mubahser Misr. Pemerintah Mesir melabelkan Mubahser Misr sebagai ancaman bagai keselamatan nasional dan mereka perlu menutup pejabat berita ini.

Selain itu Menteri Dalam Negeri Mesir juga menuduh Al Jazeera dalam pemberitaannya terlalu condong membela Morsi. Menanggapi tuduhan dari pemerintah Mesir, stesyen television berita ini telah menyangkal semua tuduhan.

Mereka juga menyebut Pemerintah Mesir memang merencanakan kempen menentang Al-Jazeera.