28 Nov 2009

Ibadah Korban Latih Muslim Bersikap Dermawan

Umat Islam diharuskan menumpahkan darah pada hari raya aidiladha dengan menyembelih haiwan ternakan.

Bagi menyambut seruan itu, hari ini sebanyak 26 keluarga sekitar Shah Alam tidak melepaskan peluang menjalankan ibadah korban di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Ibdah Korban Tahunan masjid negeri, Kapten Bersara Mohamed Hussain berkata, acara ini diadakan secara tahunan bagi menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam sekaligus mengeratkan hubungan silaturahim.

"Kita diingatkan dengan pesan Nabi Muhammad S.A.W, jadi kami disini bersetuju berkorban ini menyambut seruan itu,"katanya.

Sebanyak 26 ekor lembu dikorbankan bagi mewakili 26 keluarga yang melaksanakan ibadah korban.

Sementara itu, menurut Timbalan Pengerusinya, Ir Wan Mahmood Wan Abd Hamid, ibadah korban tahunan kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan kerana jumlah korban meningkat berbanding tahun sebelumnya.

"Tahun lepas 20 ekor tahun ini lebih sedikit 26 ekor dan ini menjadi acara tahunan masjid negeri,tiap-tiap tahun kita adakan majlis korban,"jelasnya.

Katanya, ibadah ini juga menjadi tuntutan dalam Islam agar dapat melatih dan mendidik individu Muslim untuk bersikap dermawan.

Orang ramai turut menyambut majlis ibadah korban ini dengan beramai-ramai mengunjungi acara yang diadakan bermula 8 pagi lagi.

Turut hadir pada majllis ibadah korban pagi ini, Mufti Selangor,Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid. -TVS



Kemelut MCA : Deklarasi 1128 Mahu Pemilihan Baru

TTaklimat khas MCA hari ini sebulat suara meluluskan deklarasi bagi mendesak supaya diadakan pemilihan baru di peringkat Jawatankuasa Pusat (CC).

Dalam deklarasi yang dinamakan "Deklarasi 1128" mengambil sempena tarikh hari ini, kira-kira 1,600 perwakilan termasuk anggota parti yang menghadiri taklimat yang dianjurkan oleh kumpulan Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai turut bertegas bahawa pemilihan baru perlu diadakan dalam masa 60 hari mulai hari ini.

Liow berkata agenda ini (mendesak supaya diadakan pemilihan baru) akan menjadi tumpuan utama beliau.

Beliau turut berharap agar Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat akan berpegang kepada keputusan sebulat suara itu dan pelan rundingan bagi mengadakan pemilihan baru secepat mungkin.

"Saya mahu tegaskan di sini bahawa suara perwakilan dan ahli yang hadir pada taklimat hari ini adalah cukup kuat dan cukup lantang (dalam mengesa supaya pemilihan parti diadakan secepat mungkin).

"Saya harap kepimpinan tertinggi parti akan mendengar suara akar umbi dan satu pemilihan baru diadakan dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar selepas sesi taklimat dua jam itu yang berlangsung di Wisma MCA di sini. -TVS



Selangor Beli Rumah PPRT Yang Dilelong Bank, Untuk Bantu Rakyat

Kerajaan Negeri Selangor akan membeli unit-unit rumah Projek Perumahan Rakyat Tempatan (PPRT) yang akan dilelong bank sekiranya hutang-hutang sewa tidak dapat dilangsaikan dalam tempoh terdekat.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin, Dr. Xavier Jayakumar, isu ini sedang dibincangkan oleh kerajaan negeri untuk mencari jalan membantu penghuni-penghuni PPRT di Selangor.

Xavier berkata, ini berikutan daripada gesaan bank kepada kerajaan negeri supaya bertindak menyelesaikan hal ini.

Katanya, bank akan melelong rumah-rumah tersebut sekiranya penghuni tidak dapat menjelaskan sewa dalam tempoh tertentu. Bagaimanapun, kerajaan negeri dalam usaha untuk mendapatkan jumlah tunggakan yang sebenar.

"So dalam mesyuarat Exco kita telah bincang isu ini dan mungkin kita akan adakan satu program baru dimana kita akan minta bank-bank ini bila rumah-rumah ini yang dibiarkan dan tidak dibayar, mereka kena beritahu dengan kerajaan dulu berapa ramai rumah dia, siapa yang beli, siapa tak boleh bayar dan nak lelong untuk berapa".

Beliau berkata demikian kepada media dalam satu majlis di Klang, hari ini.

Menurut Dr Xavier, setelah kerajaan negeri mengambilalih, pinjaman penghuni-penghuni, maka pihaknya akan mengatur semula pinjaman penghuni-penghuni PPRT dan akan mengurangkan kutipan sewa jangka panjang sebanyak RM150 sebulan.

"Kita punya cadangan, belum lagi pasti, tapi cadangan kita ialah negeri beli rumah ini semua. Sebab kita yang mulakan program ini dan kita akan hadir program ini. Dan kita katakan rumah-rumah ini untuk orang miskin," katanya.

Walaubagaimanapun, cadangan ini masih dalam perbincangan kerajaan negeri. –Hadri Yaziz.


PAS Perlu Ambil Tindakan Ke Atas Nik Amar!

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak sepatutnya ditekan untuk menamakan penggantinya dan semua kenyataan pemimpin PAS mengenai perkara itu mesti dihentikan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan paksa Tuan Guru mencadangkan penggantinya. Beliau tentu mempunyai perkiraan, perhitungan dan kebijaksanaan sendiri untuk memilih masa yang sesuai untuk mencadangkan siapa penggantinya," kata beliau.

Mahfuz menyifatkan tindakan berbalas-balas kenyataan mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media memberi tekanan kepada Tuan Guru menamakan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Walaupun tindakan menyuarakan pandangan mengenai perkara itu adalah hak demokratik masing-masing, kata beliau, tetapi berbalas-balas kenyataan sesama sendiri mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media boleh mengakibatkan implikasi yang lain.

"Lebih dari itu, semua pihak jangan membelakangi tertib organisasi di dalam PAS.

"Dari segi peraturan berorganisasi di dalam PAS, Tuan Guru atas sifatnya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan boleh mencadangkan nama penggantinya kepada dan di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

"Begitu juga, ahli-ahli mesyuarat yang lain di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat juga boleh mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan.

"Tetapi, dari segi kaedah berjemaah di dalam PAS, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang dipilih oleh muktamar," katanya.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pandangan dan hasrat Tuan Guru sebagai pemegang jawatan itu kini dan lebih dari itu sebagai Mursyidul Am biasanya diberi keutamaan untuk dipertimbangkan oleh mesyuarat tersebut.

Mahfuz juga menjelaskan, setiap kali PAS mendapat kerusi majoriti di mana-mana negeri selepas pilihan raya, nama orang yang mendapat kepercayaan parti untuk menjadi Menteri Besar di kemukakan oleh Presiden PAS kepada Sultan negeri yang berkenaan.

"Presiden PAS pula mengemukakan nama tersebut kepada Sultan yang berkenaan setelah dipersetujui oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat,"kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz meminta semua pihak agar memberikan kepercayaan kepada Tuan Guru untuk memilih masa yang sesuai bagi mencadangkan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan dan juga kepada mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk mempertimbangkan cadangan beliau dan membuat keputusan mengenainya.

"Saya yakin semuanya akan berjalan dengan lancar mengikut tertib berjemaah dan berorganisasi di dalam PAS," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, demikian harakahdaily dipetik.

Ulasan GB

Kenapa PAS tidak terus mengambil tindakan disiplin seperti memberikan amaran kepada Nik Amar Nik Abdullah yang pertama mencetuskan isu pengganti ini?

Mengapa pimpinan PAS terlalu banyak memberikan "reservation" kepada golongan UG yang kerap kali menimbulkan masalah kepada parti?

Kenapa hanya yang anti-UG sering diberikan amaran untuk tutup isu UG sedangkan pemimpin pro-UG bebas untuk berbicara dan melakukan kerja sesuka hati untuk memecah belahkan jemaah?

GB sudah ulas mengenai kes Nik Amar ini di SINI.

Tempelakan Bodoh Nik Abduh : Jangan Sampai Anda Pula Dibodohkan

Saya Mohamad Shah berasal daripada Dungun Terengganu, bekas anak tahanan ISA 1984, amat tidak senang dengan berita yang disiarkan oleh Malaysiakini tentang penyataan berikut: "Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan," tulis Nik Abduh Nik Aziz dalam blognya

"Jika tidak, saya akan memanggilnya, 'Wahai si bodoh!'," tulis Nik Abduh Nik Aziz yang juga exco Dewan Pemuda PAS pusat.

Dalam keadaan orang orang Islam dan perjuangan Islam diserang dari segenap penjuru sama ada di negeri Kelantan Malaysia malah dunia, masih adakah orang seperti Nik Abduh, seorang anak ulama besar yang disanjung mengatakan jika seseorang yang meminta bapanya tidak meletakkan jawatan.

Wahai Nik Abduh. Ustaz Nik Aziz itu bukan hak tuan, dia hanya dipinjamkan Allah dilahirkan ke dunia untuk memimpin dan pemimpin bagi umat manusia sama ada Islam atau bukan Islam di atas muka bumi ini. Cuma Ustaz Nik Aziz adalah perantara di alam istillah sunatullah.

Selepas Nabi Besar Muhammad wafat, di sambung oleh para sahabat diikuti para ambia dan berbetulan Ustaz Nik Aziz itu seorang alim, warak serta berpandukan al Quran, Hadis Nabi maka dia adalah hak umat manusia. Bukan hak Nik Abduh sahaja.

Apakah Nik Abduh bersedia apabila dipadang mashyar kelak untuk menjawab bahawa dia adalah penghalang umat Islam meminta Ustaz Nik Aziz berkhidmat untuk umat Islam dan manusia.

Kalau Ustaz Nik Aziz selalu mengambil pengiktibaran daripada kisah Rasullah, adakah di zaman Rasullah anak-anak Baginda melarang Rasullah meneruskan penyebaran dan penyampaian Islam kepada manusia?

Tak pernah pula saya terbaca anak Rasullah melarang ayahnya meneruskan Baginda menyampaikan Islam semasa Baginda sakit. Adalah baik Nik Abduh mengambil pengiktibaran daripada seorang Imam di Kampung Sura Tengah Dungun, Arwah Imam Haji Razali apabila ditanya oleh anaknya,

"Ayah sampai bila ayah akan menjadi imam sedangkan ayah dah tua dan sakit" apakah jawapan seorang imam yang tidak bertaraf ustaz dan ulama kepada anaknya, "Ayah akan terus menjadi Imam sehingga ayah mati"

Apakah pengiktibaran yang Allah berikan kepada umat Islam dikampung itu
Imam Haji Razali sempat mengimamkan solat Jumaat terakhir dalam hidupnya dan sebelum beliau meninggal dunia ini pun beliau meneruskan solat walaupun berada di katil hospital.

Oleh itu perkataan "Bodoh" atau tidak cerdik yang diguna pakai oleh Nik Abduh adalah perkataan orang yang tidak cerdik tentang perhitungan hidup mati, ketuhanan dan Islam. Perlu di ingat Nik Aziz hebat bukan kerana nama dia Nik Aziz, tetapi kerana perjuangan, pengucapan, cara hidup, amal ibadatnya mengikut Islam. Mereka yang bakal meminta Ustaz Nik Aziz meneruskan khidmatnya bukannya "Bodoh" tetapi mereka yang bakal meminta Nik Aziz meneruskan khidmatnya adalah mereka yang cerdik serta berpandangan jauh dalam meneruskan perjuangan Islam serta menyambung seruan Rasulullah saw.

Yang demikian Nik Abduh jangan bongkak, kerana sejarah menunjukan anak isteri para nabi ada yang menentang seruan Allah, jangan sampai Nik Abduh tergolong di kalangan mereka itu.

Sekian terima kasih - Mohd Shah (Detikdaily)

Memperingatkan Pimpinan PAS : Doa Seorang Hamba Yang Da'if

Doa Dan Munajat Seorang Hamba Yang Da'if

Segala puji teruntuk bagi Allah Tuhan Seru Sekalian Alam
Selawat dan salam kepada Nabi Junjungan kami
Mohd salallahu 'alahi wassalam

Ya Allah Ya Tuhan kami
Selamatkanlah parti kami
dari mereka yang sengaja merosakkan
perpaduan di antara kami

Ya Allah Ya Tuhan kami
bersihkanlah parti kami
dari mereka yang berpura-pura bersama kami
sedangkan hati mereka bersama dengan
musuh Engkau dan musuh kami
hantarkanlah pukulan keras Engkau
kepada mereka yang berpura-pura itu dan
pancunglah mereka untuk kami serta
hantarkanlah mereka ke lembah suuq (buruk)

Ya Allah Ya Tuhan kami
beradalah Engkau dipihak kami
bukan di pihak mereka yang menyebabkan
jemaah parti kami berada di dalam keadaan huru-hara
dan kacau-bilau

Ya Allah Ya Tuhan kami
tolonglah kami dan jangan Engkau beri pertolongan
kepada mana-mana pemimpin yang cuba
mengkhianati dan menyesatkan kami dan jemaah ini

Ya Allah Ya Tuhan kami
tunjukkanlah kebenaran Engkau
dengan mengangkat mereka yang ikhlas
berjuang keranaMu dan kerana agamaMu
sekalipun mereka bukan dari yang terpandai
dalam hal-hal agamaMu

Ya Allah Ya Tuhan kami
tunjukkanlah kebenaran Engkau
dengan menghantar mereka ke lembah kehinaan
mereka yang
berjuang kerana nafsu dan isi perut mereka
sekalipun mereka dari kalangan yang terpandai
dalam hal-hal agamaMu

Ya Allah Ya Tuhan kami
Kurniakanlah kemenangan kepada parti kami
di bawah pimpinan Mursyidul Am parti kami
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
kurniakanlah beliau kekuatan
untuk menghadapi musuh-musuh
yang berada di luar dan di dalam parti kami


Ya Allah Ya Tuhan kami
perkukuhkanlah kedudukan kami dengan rakan-rakan kami
bersama Pakatan Rakyat
kurniakanlah kemenangan kepada kami
berikanlah kami petunjukMu
untuk membimbing rakan-rakan kami
ke arah kebenaranMu
sekalipun kami bukan dari kalangan yang
pandai di dalam urusan ugamaMu

Allahumma kun lanaa walaa takun 'alaina
beradalah Engkau di pihak kami
bukan di pihak lawan kami

Allahummansurna wa laa tansur 'alaina
Ya Allah berilah pertolongan kepada kami
dan jangan tolong mereka untuk mengatasi kami

Allahumma kur lanaa walaa tamkur alaina
Ya Allah bimbing kami untuk menipu daya dan
jangan bimbing mereka untuk menipu daya kami

Ampunkan mereka apabila mereka insaf
dan memohon ampun kepadaMu
serta memohon maaf daripada kami

Ya Allah Ya Tuhan kami
Jadikanlah kami orang yang sentiasa mengingatiMu
orang yang berterima kasih di atas nikmat-nikmatMu
orang yang bersabar dengan setiap ujianMu
orang yang dikurniakan kecukupan rezeki yang halal dari sisiMu
sehingga kami tidak memerlukan sesiapa selainMu
dan jadikanlah kami
orang yang terpelihara daripada dosa
orang yang dijauhkan dari siksaan api neraka


Ya Allah Ya Tuhan kami
Jadikanlah akhir ucapan kami di dunia
dengan ucapan "Lailahailallah"
matikanlah kami di dalam ucapan tersebut
tidak terfitnah, tidak sesat dan tidak menyesatkan
tidak memandai dan mengubah kalimah itu

Ya Allah Ya Tuhan kami
Jadikanlah kami orang yang menunjukkan kebenaran
serta mendapat petunjuk
bukan orang yang sesat serta bukan orang yang
menyesatkan
jadikanlah kami orang yang sentiasa bergiat
untuk menegakkan hukum-hakamMu
teguhkanlah pendirian kami dan
jauhkan lah kami dari hal-hal yang menyebabkan
penyesalan kami di hari kiamat nanti

Ya Allah Ya Tuhan kami
Anugerahkan barakah dan ridhaMu
di dalam perjuangan kami
di dalam menegakkan kebenaran
dan menghapuskan kemunkaran
dan berikanlah kami
kemenangan dan kejayaan cemerlang
di dalam perjuangan kami
dan terimalah segala doa kami
dengan pembuktian dariMu yang bertambah-tambah

Ya Allah Ya Tuhan kami
perbaikilah ugama kami yang menjadi tempat
segala urusan kami
perbaikilah dunia kami yang menjadi tempat
peghidupan kami
perbaikilah akhirat kami yang menjadi tempat
kembalinya kami
jadikanlah kehidupan kami sebagai tempat untuk
bertambahnya kebaikan untuk kami dan
jadikanlah mati kami sebagai tempat istirehat kami
terhadap segala kejahatan

Ya Allah Ya Tuhan kami
cucurilah rahmat Engkau
kepada tempat kembali kami iaitu mati
dan hantarkanlah dulang kemaafanMu
ke atas segala dosa kami serta perbaikilah segala
keaiban kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami
Hidupkanlah kami jika hidup itu
lebih baik untuk kami dan agama kami
matikanlah kami jika mati itu
lebih baik untuk kami dan agama kami
janganlah jadikan kami orang yang
cintakan dunia dan takutkan mati

Ya Allah Ya Tuhan kami
tetapkan hati dan keyakinan kami kepadaMu
sekalipun kami diejek dan dicerca dengan
pelbagai cercaan seperti uztadz celupan
blogger celaka
dan seumpamanya
dan hantarkan pukulan Engkau kepada
pengejek-pengejek itu


Engkau Pelindung dan Penolong kami yang lemah ini

Ya Allah Ya Rahmaan Ya Rahiim
Ya Qahhar Ya Jabbar Ya Muntaqim
Ya Mujibas-sa'iilin

Ya Allah Ya Kariim Ya Sattar
Ya 'Alim Ya Jabbar
Ya 'Alii Ya Akbar
Ya Latiff Ya Ghaffar

Ya Allah Ya Awalal-Awaaliin
Ya Akhiral-akhiirin
Ya Zal-Quwatil-Matiin
Ya Rahiimal dhua'afa'i wal- Masakiin

Ya Allah Ya Tuhan kami
Terimalah dari kami ini
doa kami, solat kami, amalan kami dan
terimalah perjuangan kami,
Terimalah dan akuilah kami sebagai hamba-hambaMu
kerana itulah pemberian Engkau yang terbesar untuk
mereka yang Engkau pilih

jadilah kami imam kepada
orang beriman dan bertaqwa kepadaMu

Ya Allah Ya Tuhan kami
Janganlah Engkau siksa kami dengan menggagalkan kami
lantaran kelemahan dan kealpaan kami
Ampunkanlah kami di dalam tindakan-tindakan kami
yang melampaui batas
perteguhkan kami kami menghadapi
golongan yang ingkar

Rabbanaa la tuzigh qulubanaa ba'daiz hadai tanaa
wahablanaa minladukarahmataan innaka antal-wahhab
Rabbanaa aatina fiddun-ya hasanah
wa fil 'akhirah hasanah
wa qina azabannar

Selawat dan salam untuk Nabi Junjungan kami
Mohammad salallahu 'alaihi wassalam

Amin Ya Allah Amin Ya Rahmaan Amin Ya Rahiim
Walhamdulillahirabbal 'alamin

Aidiladha Tanda Pengorbanan Umat Islam

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan Solat Aidil Adha bersama pemimpin kerajaan negeri dan 10,000 rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pagi tadi.

Walaupun sambutan Hari Raya Korban agak sederhana namun umat Islam digalakkan melakukan Solat Aidil Adha di pagi 10 Zulhijjah, diikuti dengan melaungkan takbir membesarkan Allah dan menyembelih haiwan ternakan.

Hari Raya Aidil Adha bukan setakat mengalirkan darah ternakan ke bumi malah ia adalah simbolik pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. bersama anaknya, Nabi Ismail A.S menunaikan perintah Allah SWT.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam khutbahnya mengingatkan umat Islam supaya sentiasa mempertahankan kesucian Islam melalui kepercayaan tauhid dan melaksanakan tuntutan agama secara konsisten tanpa dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak.

“Masih ada segelintir umat Islam tidak yakin untuk melaksanakan Islam, dan masih ragu untuk hidup dengan melaksanakan sistem Islam yang syumul kerana takut tidak dipersetujui oleh orang-orang kafir, takut akan berlakunya huru-hara lalu menjadikannya alasan paling baik untuk tidak melaksanakan tuntutan Islam”, kata Tamyes.

Selain itu katanya, umat Islam dianjurkan bertakbir dan bertahmid sepanjang Hari Tasyriq iaitu pada hari kesepuluh, sebelas, dua belas dan diakhiri sesudah Asar pada hari ketiga belas bulan Zulhijjah yang disambut setiap tahun.

Tamyes turut mengingatkan Umat Islam supaya menghindarkan sikap mazmumah yang mementingkan urusan duniawi semata-mata sehingga sanggup meninggalkan tuntutan hukum hakam malah segelintirnya pula memperjuangkan maksiat dan kemungkaran.

“Pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail mengajar umat Islam semangat rela berkorban untuk menjunjung perintah Allah terutama pada saat umat Islam diserang wabak penyakit hubub dunia, iaitu terlalu sayangkan dunia, tamak kepada harta dan terlalu takut hilang sokongan”, jelasnya.

Hadir sama, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Selangor, Yaakob Sapari, Iskandar Abdul Samad dan Datuk Dr Hassan Mohamed Ali. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Pulau Pinang Beri Anugerah Kepada 137 Penghafaz Al-Quran Negeri

Seramai 137 penghafaz Al-Quran atau Hafiz di Pulau Pinang diberi penghargaan oleh kerajaan negeri dalam satu Majlis yang diadakan di Dewan Seri Pulau Pinang, kelmarin.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang,YAB Lim Guan Eng, pemberian anugerah ini adalah untuk memberi penghargaan kepada mereka yang berjaya menghafaz sepenuhnya AL-Quran dalam membentuk insan yang bertaqwa, sebagai pemangkin ekonomi negeri.

Jelas beliau, walaupun wujud kepelbagaian agama di negara ini khususnya di Pulau Pinang tetapi beliau berpegang kepada hakikat bahawa kesemua agama mengajak penganutnya ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

Tambah beliau, Kerajaan negeri memberi pengiktirafan ini kerana percaya bahawa bukan mudah untuk menjadi seorang penghafal Al-Quran kerana ia memerlukan disiplin dan komitment yang tinggi dan hanya insan-insan berjiwa besar serta berkeperibadian mulia mampu melakukanya.

Penyampaian anugerah kepada para hafiz dan hafizah ini telah dimulakan sejak tahun 2008 dalam usaha melahirkan ramai para hafiz di negeri ini.Setiap penerima anugerah diberikan sijil penghargaan dan wang tunai RM 500 setiap seorang

Turut hadir dalam majlis penyampaian anugerah kepada 137 para hafiz dan hafizah, Tuan Yang Terutama Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Bin Abbas,Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz dan Tuan Haji Mohamad Sabu.

Lim Guan Eng percaya dengan lahirnya para hafiz dan hafizah di negeri Pulau Pinang ini akan dapat melahirkan insan yang berintegriti tinggi serta melahirkan masyarakat yang harmoni dan dinamik. -TVS